Pengaruh Kreativiti Pada Representasi Visual Propaganda ...
Transcript of Pengaruh Kreativiti Pada Representasi Visual Propaganda ...
Saiful Akram Che Cob & Sharulnizam Ramli. (2017). Pengaruh Kreativiti Pada Representasi Visual Propaganda Berbahasa Melayu Sewaktu Pendudukan Jepun Di Malaysia. Idealogy, 2(1) : 36-51, 2017 Pengaruh Kreativiti Pada Representasi Visual Propaganda Berbahasa Melayu Sewaktu Pendudukan Jepun Di Malaysia Saiful Akram Che Cob & Sharulnizam Ramli Fakulti Seni Lukis & Seni Reka Universiti Teknologi MARA 40450, Shah Alam Selangor, Malaysia [email protected] Abstrak.
Pengaruh kreativiti sering dilihat daripada aspek proses, produk, individu dan persekitaran. Manusia dan kehidupan sekeliling sangat berkait rapat dalam menjana pembentukan kreativiti mini (Little-C) dan kreativiti unggul (Big-C). Penghasilan visual propaganda turut memerlukan kombinasi kognitif, estetika dan kreativiti. Era penaklukan Jepun ke atas Malaya pada tahun 1942-45 telah memperlihatkan kewujudan visual-visual propaganda dalam bahasa Melayu yang dicetuskan oleh pelukis-pelukis ilustrasi samada dimuatkan ke dalam majalah, foto, buku dan poster maupun akhbar. Visual atau imej dalam ilustrasi lazimnya memaparkan penggunaan simbol, tanda dan gambar serta taipografi dalam menyampaikan maklumat. Penulisan ini bertujuan mengupas pengaruh kreativiti ke atas penghasilan visual propaganda menerusi bahasa Melayu yang diterima oleh masyarakat di Malaya ketika era penaklukan Jepun. Contoh-contoh ilustrasi kreatif telah ditunjukkan bagi menyokong kenyataan bahawa pengaruh kreativiti tidak boleh dinafikan telah membantu pelukis-pelukis ilustrasi bagi menyampaikan mesej dan maklumat menggunakan bahasa Melayu dalam konteks propaganda demi menyokong pemerintahan Dai-Nippon di Malaya. Kata kunci: kreativiti, ilustrasi dan visual propaganda berbahasa Melayu
PENGENALAN Umumnya, kreativiti melibatkan kognitif manusia menerusi tindak
balas otak manusia di dalam keadaan sedar, separa sedar atau tidak sedar
ketika melakukan tindakan atau proses kreatif. Barron dan Harrington
(1981) menjelaskan bahawa pengaruh kreativiti merupakan satu tindak
balas otak manusia dalam keadaan tanpa sedar berdasarkan aktiviti-aktiviti
kreatif yang sedang dan telah dijalankan. Kreativiti juga dikatakan berkait
rapat dengan pembaharuan atau sesuatu yang baru, berkesan dan
mengikut etika (Cropley, 2001). Seterusnya, Kristeller (2007) pula
menyatakan kreativiti bermaksud keupayaan untuk mencipta. Mencipta
dan membuat dalam bahasa Latin bermaksud creare dan facerer.
Bermula daripada itu, penyelidikan moden ke atas kreativiti mula
berkembang dan telah dibahagikan kepada dua bahagian yang utama iaitu
kreativiti mini (Mini-C) dan kreativiti unggul atau genius (Big-C). Secara
umumnya, kreativiti mini ditakrifkan sebagai kreativiti yang dilakukan oleh
manusia dalam kehidupan seharian manakala kreativiti unggul merupakan
peringkat kreativiti yang dicetuskan oleh manusia yang genius dalam
bidang mereka (Kaufman & Beghetto, 2009). Antaranya adalah Albert
Einstein, Charles Darwin, Picasso dan ramai lagi.
Kognitif manusia mempunyai kaitan dengan pemikiran kreatif dan
pertumbuhan kreativiti. Kozbelt, Baghetto dan Runco (2010) menyifatkan
bahawa pencapaian kreativiti seseorang sangat sukar untuk dilihat jika tidak
melibatkan kognitif. Seterusnya, Ashcraft (2002) berpendapat bahawa
kognitif dan memori manusia berada di bawah sedar dan saling bekerjasama
ketika menerima dan mengolah maklumat. Semua manusia mempunyai
tahap kreativiti yang tersendiri bersesuaian dengan pendapat yang
mengatakan bahawa semua manusia adalah kreatif.
Rajah 1: Model Kreativiti Haefele (1962)
VISUAL PROPAGANDA JEPUN MENERUSI BAHASA MELAYU
Pendudukan Jepun di Malaya pada bulan Disember 1941 di Kota
Bharu telah menyaksikan sekali lagi Malaya dijajah. Kuasa penjajah tersebut
muncul dari timur benua Asia yang membawa slogan ‘Asia untuk Asia’ dan
‘Lingkungan Kemakmuran Bersama Asia Timur Raya’. Kekalahan British
kepada tenteraJepun di Malaya menandakan satu lagi peralihan kuasa kepada
pemerintahan baru bagi penduduk Malaya. Pemerintahan menerusi
kekerasan dan autokratik Jepun selama tiga tahun lapan bulan di Malaya
merupakan antara peristiwa yang penting ketika Perang Dunia Kedua di
Asia Tenggara.
Bagi tujuan mengukuhkan pemerintahan Da-Nippon, pihak
berkuasa Jepun telah mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara di
Malaya. Oleh itu, jabatan propaganda (Senden-Bu) telah
dipertanggungjawabkan untuk menyebarkan maklumat dan propaganda.
Objektifnya adalah bagi meraih sokongan penduduk Malaya kepada
pemerintahan Jepun (Md. Sidin Ahmad Ishak, 1998). Salah satu pendekatan
Senden-Bu adalah menyalurkan propaganda menerusi penggunaan visual
menggunakan dialek bahasa Melayu. Berdasarkan kenyataan Kurasawa
(1987), penduduk Malaya perlu diperkenalkan kepada tingkah laku dan pola
berfikir berdasarkan kaedah Jepun bagi mengindoktrinasi rakyat agar mereka
menyokong slogan ‘Lingkungan Kemakmuran Bersama Asia Timur Raya’,
‘Lapan Benua di bawah Satu Bumbung’ (Hakko Ichiu) dan kempen ‘Orde
Baru’.
Rajah 2:
Prinsip
Utama Propaganda Jepun di Malaya.
Berdasarkan rajah 2, propaganda Jepun di Malaya berpaksikan
cita-cita Jepun bagi menarik perhatian dan sokongan masyarakat Malaya
khususnya orang-orang Melayu. Visual propaganda menerusi bahasa Melayu
antara strategi yang diguna pakai oleh pihak berkuasa Jepun bagi meraih
sokongan penduduk tempatan. Ini direalisasikan menerusi kaedah visual
propaganda berbentuk ilustrasi, majalah, poster dan foto yang banyak
menyentuh soal emosi serta rohani rakyat. Objektifnya adalah bagi
memujuk, menarik perhatian dan mendidik masyarakat di Malaya.
Merril dan Lowenstein (1971) menyatakan bahawa propaganda
sering dikaitkan dengan sebarang aktiviti penyebaran mesej secara
terancang. Propaganda merupakan alat yang berupaya menyebarkan
maklumat dan maksud ‘terancang’ sebagai usaha-usaha jahat dan radikal
walaupun tidak semuanya bersifat sedemikian. Istilah propaganda seperti
yang dibahaskan oleh Merrril dan Lowenstein (1971), adalah berdasarkan
kata teras seperti ‘manipulasi’, ‘pengurusan bermatlamat’, ‘perencanaan
berprasangka’, ‘penciptaan kehendak’, ‘tindak berat sebelah’, ‘pemujukan
yang tidak rasional’, ‘objektif berspesifik’, ‘membangkitkan aksi’,
‘pengakhiran berbahaya’, ‘cadangan-cadangan’ dan ‘penciptaan watak’.
Konklusinya, propaganda merupakan aktiviti yang berkait rapat dengan
percubaan seseorang atau suatu organisasi untuk memanipulasi satu pihak
yang lain. Manipulasi bererti menguasai, dan menguasai bukan sekadar
kawalan tingkah laku malah kawalan pada setiap tindakan. Tindakan ini
digerakkan oleh seorang individu atau sesetengah kumpulan yang
dinamakan sebagai propagandis.
Imej dalam visual propaganda merupakan unsur seni yang penting
dalam menyampaikan maklumat dengan disokong menerusi kehadiran
perkataan.
Berdasarkan William dalam House dan Rule (2005), beliau melihat
bagaimana pentingnya fungsi imej dalam seni kepada manusia dengan
berkata:
” the arts are a central medium of human communication that feeds the human spirit. Creating and interpreting
images calls for inventive problem-solving capacities, analytic, and synthetic forms of reasoning, and the exercise of judgement.” (m/s 284)
Jelaslah, visual propaganda secara kreatif berperanan dalam
menyampaikan maklumat dari satu pihak kepada pihak yang lain.
Penghasilan visual berbentuk propaganda menerusi bahasa Melayu pada
era penaklukan Jepun di Malaya sangat berkait rapat dengan persekitaran
masyarakat dan peristiwa yang berlaku pada ketika itu. Sternberg (2012)
berpendapat bahawa persekitaran sangat diperlukan bagi menyokong dan
mendatangkan kepuasan ketika menghasikan idea-idea baru. Oleh itu,
persekitaran yang berbeza pastinya akan mewujudkan idea-idea kreatif
yang turut berbeza.
Masyarakat Melayu merupakan kaum majoriti di Malaya. Oleh itu,
penggunaan dialek bahasa Melayu dianggap paling sesuai dalam
menyalurkan matlamat menerusi visual propaganda secara kreatif pada
ketika itu. Ledakan Perang Dunia Kedua telah mencetuskan idea-idea
kreatif menerusi visual dalam kalangan pelukis-pelukis ilustrasi bagi
menyokong idealisme dan visi pemerintahan Jepun di Tanah Melayu. Di
sinilah pengaruh kreativiti dilihat telah diimpelemenkan dalam visual
propaganda melalui dialek bahasa Melayu bagi menarik minat, perhatian
dan sokongan masyarakat di Malaya khususnya kaum Melayu terhadap
slogan Asia untuk Asia.
PENGARUH KREATIVITI DALAM VISUAL PROPAGANDA
• Kreativiti visual propaganda menerusi bahasa Melayu dalam lukisan
i) Lukisan ’Kesah Serangan di Tanah Malai’
Lukisan figura melambangkan seorang tentera udara Jepun ini
telah digunakan bagi menghiasi muka hadapan buku hasil karya Zainal
Abidin bin Ahmad (ZABA) berjudul ’Kesah Peperangan Di Tanah
Malai’. Buku yang telah diterbitkan pada 15 Februari 1943 ini
memaparkan ilustrasi seorang tentera udara Jepun yang memberi tabik
hormat dan menunjukkan keazaman untuk mempertahankan Malaya
daripada ancaman tentera Eropah. Walau bagaimanapun, tidak dapat
dipastikan dengan tepat pelukis sebenar bagi ilustrasi ini
memandangkan tiada sebarang pengenalan atau nama yang
membolehkan pelukis dikenal pasti. Pelukis cenderung menggunakan
media cat air berlatar belakangkan warna merah dalam bentuk separa
bulatan. Ia dipercayai merupakan simbol kepada warna bendera Jepun
yang menggambarkan semangat dan keberanian yang tinggi. Kreativiti
pelukis turut memperlihatkan bentuk dan sorot mata tentera Jepun
yang dilukis dengan teliti sedang memandang ke atas dalam posisi
memberi tabik hormat. Raut wajah figura digambarkan bersahaja tapi
penuh keyakinan. Representasi ini melambangkan ketaatan,
optimitistik dan simbol kepada kuasa pemerintahan baru
menggantikan rejim lama dari Eropah. Lukisan ini juga turut
diterbitkan dalam Majalah Semangat Asia dan Fajar Asia.
Ilustrasi kreatif gambaran seorang tentera udara Jepun atau
kamikaze (dewa udara) turut dipadankan dengan potongan sebuah
hadis nabi bagi meraih sokongan terutamanya dalam kalangan orang
Melayu. Ini bertujuan supaya masyarakat Melayu menyokong kempen
dan usaha pembebasan Malaya yang telah dilakukan oleh Jepun (Rujuk
gambar 1).
Gambar 1: Ilustrasi “Japanese Airmen” bersama potongan hadis
yang disiarkan dalam majalah Semangat Asia, Mac 1943.
Pengaruh kreativiti menerusi gabungan kognitif dan
imaginasi pelukis telah berjaya menghasilkan visual propaganda
berbentuk lukisan ini. Memusatkan fikiran dan berimaginasi
merupakan sebahagian daripada proses kreatif yang penting.
Guilford dalam penulisan Gabora (2013) turut menyatakan bahawa
pendekatan kognitif dalam kreativiti memfokuskan kepada proses-
proses mental di mana hasil-hasil kreatif dijana. Proses-proses ini
melibatkan kombinasi, mengembangkan konsep, pengimejan, kiasan
dan percambahan fikiran.
Gambaran figura yang mendongak ke atas menunjukkan
kreativiti pelukis dalam menggambarkan imaginasi pelukis terhadap
penguasaan penuh yang dimiliki oleh tentera Jepun ke atas Tanah
Melayu. Ini dijelaskan oleh Lowenfeld dan Brittain (1987) yang
menyatakan bahawa kreativiti sebagai pemikiran yang fleksibel atau
dipengaruhi oleh idea-idea atau keupayaan bagi melahirkan idea baru
atau melihat sesuatu dalam sesuatu hubungan dan perkaitan baru
atau melihat dengan perspektif yang berbeza daripada orang lain.
Faktor gembira ketika proses penghasilan ilustrasi ini juga perlu
diambil kira. Kegembiraan merupakan aspek penting dalam proses
kreatif bagi setiap aktiviti kreatif yang berlangsung
(Csikszentmihalyi,1996).
• Kreativiti visual propaganda menerusi bahasa Melayu dalam poster
i) Poster propaganda ‘Semangat Asia’
Kreativiti turut dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Pengaruh
kreativiti berdasarkan persekitaran diihat dalam penghasilan poster
propaganda yang diterbitkan dalam Majalah Semangat Asia keluaran khas
ulang tahun kedua Peperangan Besar Asia Timur Raya (Dai Toa Senso)
dalam bulan Januari pada tahun 1944. Kreativiti pelukis ilustrasi ini telah
memaparkan visual berbentuk peristiwa yang berlaku pada ketika itu iaitu
peperangan yang meletus. Poster ini memaparkan ekspresi terhadap
kegagahan seorang tentera Jepun dengan menghalakan senapang ke udara.
Ekspresi muka figura menggambarkan keazaman dan semangat yang
tinggi. Di belakang figura pula terdapat bendera-bendera Pakatan Paksi
(Axis) dan bendera-bendera negara yang telah berjaya dibebaskan oleh
tentera Jepun daripada pengaruh serta penjajahan Barat. Dua garisan
berwarna merah yang merentasi ruang tengah poster merupakan simbol
kepada keberanian, kekuatan dan kekentalan semangat tentera Jepun bagi
mempertahankan Malaya.
Di sini pentingnya keupayaan kreativiti manusia dalam
menyelesaikan permasalahan visual. Torrance (1972) sebagai ‘Father of
Creativity’ berpendapat bahawa kreativiti merupakan satu proses yang
berlaku apabila seseorang individu menjadi peka terhadap masalah-
masalah yang muncul, kekurangan, jurang pengetahuan, elemen-elemen
yang hilang, ketidak harmonian dan sebagainya. Proses kreativiti juga bagi
mengenal pasti sesuatu perkara yang sukar, mencari kaedah dan
pendekatan baru serta membuat penyelesaian, membuat tekaan dan
membentuk andaian/hipotesis terhadap kekurangan-kekurangan tersebut,
menjalankan ujian serta mengkaji semula andaian ini secara berulang
ulang. Ketika proses pengulangan ini berlangsung, pengubahsuaian turut
berlaku dan seterusnya menyalurkan sebarang keputusan yang telah dibuat
untuk dikongsi bersama dengan orang lain.
ii) Poster propaganda ‘Semangat Asia’
Poster propaganda dalam bahasa Melayu di atas telah dipaparkan
pada muka depan majalah Semangat Asia bilangan 1 pada bulan Januari
1943. Pelukis poster ini telah menggunakan nama Leon. Paparan ilustrasi
dalam poster ini menunjukkan tiga imej figura sedang memberi tabik
hormat kepada bendera Jepun yang berada di puncak bukit. Kedudukan
markas tentera Jepun di puncak bukit pula merupakan simbol kepada
kehadiran kuasa baru di Asia. Poster propaganda ini juga memperlihatkan
simbol ketaatan dan sokongan daripada bangsa Melayu. Ia digambarkan
menerusi lakaran imej seorang lelaki berbangsa Melayu yang mengenakan
songkok, baju Melayu dan bersampin yang turut memberi tabik hormat
kepada bendera Jepun. Dua figura lain pula mewakili tentera dan pegawai
Jepun yang dapat dikenali menerusi pakaian seragam mereka. Kedudukan
tiga figura yang berada dalam satu barisan yang sama menunjukkan usaha
dan propaganda pihak Jepun bagi menunjukkan kesamaan antara
penduduk Malaya dan tentera Jepun yang bersatu hati bagi
mempertahankan Malaya.
• Kreativiti visual propaganda menerusi bahasa Melayu dalam foto
i) Foto ’Semangat Asia’
Pemilihan visual ini menampakkan pengaruh kreativiti
berdasarkan paparan foto yang menampilkan kesepakatan dan penerimaan
semua kaum terhadap pemerintahan Jepun. Foto yang dipaparkan di
muka hadapan Majalah Semangat Asia bilangan 5 dalam bulan Mei pada
tahun 1943 ini menunjukkan bahawa penduduk Malaya menyokong
slogan ‘Kemakmuran Bersama Asia Timur Raya’. Imej dalam foto
menggambarkan penduduk Malaya berbilang bangsa menyatakan
sokongan tidak berbelah bahagi sambil mengibarkan bendera Jepun
dengan penuh kegembiraan. Sekali lagi bahasa Melayu digunakan untuk
menarik perhatian dan meraih sokongan kaum Melayu bagi tujuan
propaganda berdasarkan foto ini.
Bagi meraih sokongan penduduk Tanah Melayu, visual
propaganda yang kreatif dapat mengalih perhatian rakyat terhadap
kesengsaraan dan kesukaran yang dialami di era peperangan.
Csikszentmihalyi (1996) menjelaskan bahawa kreativiti di dalam diri
manusia akan muncul selagi manusia mahu berfikir dan bertindak secara
spontan bagi memenuhi keperluan hidup mereka. Dengan kata lain,
manusia menjadi kreatif apabila keadaan mendesak mereka agar
menggunakan akal dan pertimbangan.
ii) Foto ‘Peringatan Maulid Nabi’
Pengaruh kreativiti sering melibatkan gabungan kognitif dan
estetika bagi menghasilkan proses kreatif dalam aktiviti kreatif selain
daripada faktor persekitaran sekeliling (Ahmad Suhaimi, 2006). Muka
hadapan Majalah Fajar Asia keluaran 27 pada 27 April 1943 di atas
memaparkan foto dalam sebuah masjid menunjukkan orang-orang Islam
yang dipercayai kalangan masyarakat Melayu sedang khusyuk beribadat.
Propaganda kreatif ini bagi tujuan menzahirkan kebebasan beragama dan
pengiktirafan Jepun kepada umat Islam di Malaya. Pada visual ini juga
terpapar teks ‘Peringatan Maulid Nabi’ dan ‘Hidup Islam’ dalam bahasa
Melayu. Ini menjelaskan bahawa pengaruh persekitaran menerbitkan idea
dan imaginasi kepada pelukis ilustrasi bagi menghasilkan visual
propaganda secara kreatif.
Penduduk Malaya yang beragama Islam tidak pernah dihalang
mengamalkan ajaran dan aktiviti-aktiviti keagamaan. Penghormatan Jepun
terhadap bangsa Melayu beragama Islam telah berjaya meraih kepercayaan
bangsa yang paling dominan di Malaya. Pihak berkuasa Jepun juga tidak
menyekat amalan agama bangsa-bangsa lain di Malaya. Persahabatan dan
persaudaraan yang ditunjukkan oleh Jepun selaras dengan slogan
‘Hakkoichiu’ atau persaudaraan universal. Slogan ini berlandaskan
fahaman ‘Shintoism’ merujuk kepada sentimen yang bersifat sederhana
dogmatik, tiada tekanan dan mencapai kesejahteraan universal merupakan
matlamat utama.
Pengaruh kreativiti dalam penghasilan foto propaganda ini dilihat
sangat berkait rapat dengan tindak balas otak manusia dalam menjana
sesuatu yang berlainan dan unik serta dapat menarik perhatian. Fisher
(2002) menyifatkan bahawa kreativiti merupakan sesuatu yang manusia
sedar dan akui apabila melihatnya. Fisher (2002) turut berpendapat
bahawa terdapat tiga proses asas kreativiti yang penting iaitu penjanaan,
pelbagai dan unik. Beliau merumuskan bahawa kreativiti melibatkan
perkara dan harta benda yang menjadi milik manusia, proses kreatif yang
berlaku atau produk. Dengan kata lain, Fisher berpandangan bahawa
kreativiti mempunyai hubung kait dengan kehidupan manusia, proses
kreatif dan produk yang dihasilkan.
KESIMPULAN
Visual propaganda merupakan senjata peperangan non-militarist
menerusi pemerintahan Jepun di Malaya sepanjang tahun 1942 hingga
1945. Penggunaan bahasa Melayu turut menerima tempiasnya ketika era
kependudukan Jepun di Malaya. Namun demikian, pengaruh kreativiti
juga memainkan peranan yang maha penting agar gabungan kreatif, ilham,
idea dan estetika dalam visual propaganda menerusi bahasa Melayu
berupaya diterima serta difahami dengan baik oleh masyarakat yang
mendokongnya.
Aspek persekitaran dan peristiwa atau tragedi yang berlaku di
sekeliling sesebuah masyarakat dilihat berupaya mencetuskan pemikiran
kreatif kepada golongan-golongan berkepentingan bagi menyalurkan
fahaman serta ideologi bagi pihak lain. Ini berlaku sama ada disengajakan
atau tanpa disedari menerusi olahan visual bersama bahasa yang difahami
berpaksikan anugerah kreatif atau bakat luar biasa yang dimiliki manusia
seperti mana yang dimaksudkan oleh Francis Galton dalam penulisan
Hocever dan Bachelor (2010).
Walaupun era penaklukan Jepun ini dianggap sebagai satu zaman
yang penuh dengan ketegangan, konflik, kacau-bilau, sengketa dan
prasangka namun peranan visual propaganda menerusi bahasa Melayu
sebagai media dalam menyalurkan propaganda secara kreatif begitu
sinonim dengan usaha memujuk, memanipulasi dan mewujudkan
permuafakatan bagi meraih sokongan serta kepercayaan. Sekali gus,
penyebaran visual propaganda yang kreatif menerusi bahasa Melayu pada
era penaklukan Jepun di Malaya telah berjaya mengubah persepsi umum
daripada penentangan kepada sokongan.
Rujukan
Adair, J. (1990) . The art of creative thinking: How to be innovative and develop great ideas. London: Talbot Adair Press Ahmad Suhami Mohd. Noor (2007). Sejarah kesedaran visual di Malaysia. Tanjong Malim: Penerbit Universiti UPSI Albert, R. S. (1990). Identity, experience, and career choice among the Execptionally Gifted and Eminent. Dlm M. A. Runco & R. S. Albert (eds), Theories of Creativity. 13-34. Thousand Oaks, CA: Sage Arnheim, R. (1969). Visual thinking. CA: University of California Press Ashcraft, M. H. (1994). Cognition. Upper Saddler River, NJ: Prentice Hall
Barbot, B., Besancon, M. & Lubart, T. I. (2011). Assessing creativity in the classroom. The Open Educational Journal, 4 (Suppl 1: M5) 58-66 Barron, F. & Harrington, D. M. (1981). Annual review of psychology. Creativity, Intelligence & Personality. 32, pp 436-476 Beghetto, R. A. (2013). Killing ideas softly: The promise and perils of Creativity in The Classroom. New York, NY: Information Age Blunt, S. B. (2010). The creative brain: Fundamental features, associated, condition and unifying neural mechanisms. Retrieved from: http://www.staviablunt.co.uk/CV-publications/The%20Creative%20Brain%20- %20Dr%20Stavia%20Blunt.pdf Bromer, G. F. & Kohl, D. (1988). Discovering Art History (2nd ed.). Worcester Massachusetts: Davis Conant, H. (1964). Art education. New York, NY: The Center for Applied Research in Education. Cropley, A. J. (2001). Creativity in education and learning: A guide for teachers and educators. London: Kogan Page. Csikszentmihalyi, M. (1996). Creativity: Flow and the psychology of discovery and invention. New York, NY: Harpel Perennial Feldman, E. B. (1996). Philosophy of art education. Englewood Cliffs, NJ: Prentice Hall Feldman, E. B. (1967). Art as image and idea. Upper Saddler River, NJ: Prentice Hall Fisher, R. .Teaching Qualities Initiative Conference, Hong Kong Baptist University. Creative Minds: Building Communities of Learning for the Creative Age. 2002 Retrieved from: http://www.pantaneto.co.uk/issue25/fisher.htm Fox, J. E. & Berry, S. (2007). Art in Early Childhood: Curriculum Connection. Excelligence Learning Corporation. Retrieved from: http://www.earlychildhoodnews.com/earlychildhood/article_print.aspx?ArticleId=113 Gabora, L. (2013). Research on Creativity. dalam Carayannis, E.G. (Ed.),
Encyclopedia of Creativity, Invention, Innovation, and Entrerpreneurship, 1548- 1558, New Delhi: Springer. Gardner, H. (2006). Multiple intelligences: New Horizon. New York, NY: Basic Book Hocevar, D. & Bachelor, P. (1989). A Taxonomy and Critique of Measurement Used in Study of Creativity. Dlm. G.A. Glover, R. R. Ronning & C. R. Reynolds (Eds), Handbook of Creativity. 53-75. NY: Plenum Press. House, C. A. & Rule, A. C. (2005), Preschoolers’ idea of what makes a picture book illustration beautiful. Early Childhood Education Journal, 32(5), pp. 283-290 Kaufman, J. C. & Beghetto, R. A. (2009). Beyond big and little: The Four C Model of Creativity. American Psychological Association, 13(1), 1-12 Kristeller, P.O. (2007). Creativity and tradition. Journal of The History of Ideas. 44(1), pp.105-113 Kozbelt, A., Beghetto, R. A. & Runco, M. A. (2010). Theories of Creativity, dalam Kaufman, J.C & Sternberg, R.J. (eds), The Cambrigde Handbook of Creativity. 20-47. New York, NY: Cambridge University Press Kurasawa, Aiko. (1987). Propaganda media on Java under the Japanese 1942- 1945. Indonesia 44, Oktober 1987 (m/s 59-116): South East Asia Program Publications Cornell University. Lowenfeld, V. & Brittain, W. L. (1987). Creative and mental growth (8th ed.). New York, NY: Macmillan Md. Sidin Ahmad Ishak (1990). Penerbitan & Pencetakan Buku Melayu 1807-1960. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka Merril, J. C. & Lowenstein, R. L. (1971). Media, Message & Men. New York, NY:Sage Scruton, R. (1982). KANT. New York, NY: Sterling. Seefeldt, C. & Barbour, N. (1998). Early childhood education: An introduction (4th ed.). Upper Saddler River, NJ: Prentice Hall Simmons, S. (1999). Cultivating creativity in art education: Myths, misconception, and practical procedures. Dlm Teaching standards-based creativity in art education, November 2, 2013, Retrieved from:
http://www.scaae.net/PDF/Teaching_Standards_Based_Creativity_in_the_Arts.pdf Simonton, D. K. (2004). Creativity as a constrained stochastic process. Dlm R. G. Sternberg , F. L. Grigorenko & J. L. Singer (Penyt.), Creativity: From potential to realization. (hh 83-101). Washington, DC: American Psycological Association Sternberg, R. J. (2012). The assessment of creativity: An investment-based approach. Creativity Research Journal, 24(1), 3-12 Stromberg, F. (2010). Comic art propaganda. NY: St. Martin Press. Torrance, E. P. (1972). Teaching for creativity. The Journal of Creative Behaviour, 6,114-143
Torrance, E. P. (1988). "The Nature Of Creativity As Manifest In Its Testing. Dlm. R.J. Sternberg (Ed.) The Nature of Creativity. Cambridge: Cambridge Univ. Press Vgotsky, L.S. (2004). Imagination and creativity in childhood. Journal of Russian and East European Psychology, 42(1), pp. 7–97. Wands, B. (2002). Digital Creativity: Techniques For Digital Media and Internet. New York, NY: Wiley