Pendahuluan · 2020. 10. 27. · memulakan tuntutan kemalangan sivil untuk menuntut ganti rugi atau...
Transcript of Pendahuluan · 2020. 10. 27. · memulakan tuntutan kemalangan sivil untuk menuntut ganti rugi atau...
Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 1
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Pendahuluan
Pada 26 Ogos 2020 yang lepas, Kerajaan telah meminda Akta Pengangkutan Jalan
1987 (Akta 333) (APJ 1987) selepas pindaan yang terakhir dilakukan pada tahun
2018. Pindaan kali ini sangat dinantikan rakyat memandangkan terdapat
peningkatan ketara kes kemalangan maut yang melibatkan pemandu mabuk
dilaporkan pada tahun ini. Antara kes yang mengundang kemarahan rakyat adalah
apabila petugas barisan hadapan iaitu Koperal Safwan Muhammad Ismail terkorban
ketika menjalankan tugas angkara pemandu mabuk.
Secara keseluruhannya, Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020
ini mengandungi 15 fasal pindaan dan menyentuh 13 Seksyen APJ 1987. Pindaan-
pindaan yang utama adalah membabitkan peningkatan hukuman iaitu yang
berkaitan dengan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen
memandu.
Pindaan daripada Seksyen 41 hingga 45 ini melibatkan kesalahan memandu di
bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara melulu. Turut dipinda,
takrifan semula kenderaan “mikromobiliti”, termasuk basikal lajak sebagai kenderaan
motor, dan meminda had kandungan alkohol mengikut kadar yang disyorkan oleh
World Health Organisation (WHO).
Kesemua pindaan ini adalah sangat wajar sebagai satu bentuk pencegahan
(deterrence) kepada orang ramai. Namun begitu, pindaan-pindaan yang dibawa ini
dilihat lebih menumpukan kepada pemandu mabuk atau pelaku kesalahan yang
mencederakan mangsa. Sedangkan, mangsa dan ahli keluarga mangsa juga
memerlukan perhatian dan pembelaan sewajarnya. Dalam hal ini, undang-undang
sedia ada juga perlu dipinda bagi memberi perlindungan kepada mangsa / ahli
keluarga mangsa.
Tidak dapat dinafikan, mekanisma perlindungan dalam bentuk pampasan / diyat
sebenarnya telah pun wujud dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia. Namun
begitu, penambah baikan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada sangat
diperlukan bagi memastikan ia dapat membela kepentingan mangsa / ahli keluarga
mangsa sebaik mungkin.
Oleh yang demikian, wujud keperluan bagi pemerkasaan undang-undang diyat bagi
mangsa kemalangan dilakukan melalui pindaan terhadap undang-undang yang
berkaitan, termasuklah Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) (KTJ) dan Akta
Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) (APJ 1987).
Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 2
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Konsep Diyat dan Keperluan untuk Mangsa Kemalangan
Secara umumnya, diyat adalah satu bentuk hukuman yang mewajibkan tertuduh
yang disabitkan atau keluarganya membayar pampasan kepada mangsa atau ahli
keluarga mangsa sejumlah wang mengikut kadar tertentu. Mengikut prinsip
perundangan Islam, diyat boleh diklasifikasikan kepada dua bentuk, iaitu yang
pertama, diyat sebagai hukuman gantian.
Diyat dalam kategori ini terpakai apabila penjenayah mendapat pengampunan
daripada ahli keluarga mangsa atau apabila ahli keluarga mangsa menuntut diyat
sebagai ganti qisas. Bentuk yang kedua pula adalah diyat sebagai hukuman asal
iaitu dalam situasi perbuatan salah yang tercuai. Situasi kecuaian yang menjadi
penyebab kemalangan jalan raya (tasabbub) boleh dimasukkan dalam kategori ini.
Di Malaysia, konsep diyat ini pernah diutarakan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha
Mulia (KDYM) Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah
Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-
Musta'in Billah seawal tahun 2017. Pada ketika itu, KDYM telah mengutarakan agar
Jemaah Pengampunan Pahang mengguna pakai kaedah pengampunan daripada
keluarga mangsa mengikut undang-undang Islam atau diyat sebagai alternatif
terhadap banduan yang berhadapan dengan hukuman mati bagi sabitan membunuh.
KDYM ketika itu turut bertitah bahawa konsep diyat adalah sesuai untuk dipraktikkan
kepada bangsa-bangsa lain, tidak tertakluk kepada orang Islam semata-mata, bagi
menunjukkan ketinggian dan kebaikan agama Islam. Sebagai rakyat yang patuh dan
taat setia kepada KDYM, seharusnya semua pihak perlu menggerakkan segenap
usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi undang-undang jenayah sivil dan
syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini.
Walaupun seruan KDYM itu lebih tertumpu kepada aplikasi diyat dalam kes
pembunuhan dengan sengaja, kaedah ini masih boleh disesuaikan dalam kes
kemalangan secara lebih praktikal, memandangkan asasnya telah pun wujud dalam
undang-undang jenayah sedia ada. Tambahan pula, mekanisma perlindungan
seperti pampasan / diyat ini sangat diperlukan oleh mangsa / ahli keluarga mangsa
kemalangan yang akan menanggung impak dan kerugian seperti kecederaan kekal
atau kematian apabila sesuatu kemalangan berlaku.
Aplikasi Konsep Diyat Dalam Perundangan Sedia Ada
Semangat daripada konsep diyat ini sering dikatakan telah wujud dalam Akta
Undang-undang Sivil 1956 (Akta 67) (AUS 1956). Hal ini kerana, dalam sistem
perundangan hari ini, mangsa atau ahli keluarga mangsa selalunya akan menuntut
pampasan melalui tuntutan sivil di mahkamah sivil.
Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 3
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Berdasarkan kepada AUS 1956 ini, mangsa atau ahli keluarga mangsa boleh
menuntut dua jenis ganti rugi iaitu ganti rugi khas dan am. Ganti rugi khas adalah
bayaran yang boleh dituntut atas kerugian yang bersifat kewangan seperti kos
rawatan dan kerosakan pada harta. Manakala, ganti rugi am pula lebih menjurus
kepada kerugian yang bersifat jangkaan dan abstrak seperti kesakitan dan
penderitaan, kehilangan upaya, pengurangan jangka hayat hidup dan lain-lain.
Walaupun akta ini membuka ruang bagi bayaran pampasan dibuat di mahkamah
sivil, ia dilihat masih menyulitkan mangsa. Kadangkala, mangsa perlu menunggu kes
jenayah yang melibatkan tertuduh selesai terlebih dahulu, sebelum mangsa
memulakan tuntutan kemalangan sivil untuk menuntut ganti rugi atau pampasan.
Hal ini kerana, mangsa hanya boleh dipanggil sebagai saksi, tetapi tidak boleh
memohon pampasan secara terus dalam mahkamah jenayah. Justeru, tempoh
masa akan menjadi lebih lama sebelum mangsa memperoleh pampasan yang
sepatutnya. Selain itu, ia juga turut melibatkan kos sekitar 20% sehingga 30%
daripada jumlah keseluruhan tuntutan yang diuruskan oleh pihak Peguamcara.
Dari satu sudut yang lain, tuntutan melalui mahkamah sivil biasanya dibuat terhadap
kenderaan yang dilindungi oleh insurans. Bergantung kepada polisi insurans yang
telah ditetapkan, sesetengah syarikat insurans tidak melindungi pemandu mabuk
atau pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah. Hal ini bermaksud sekiranya
mangsa / ahli keluarga mangsa mahu membuat tuntutan sivil, pemandu mabuk
tersebut perlu menanggung sendiri bayaran pampasan yang diperintahkan oleh
mahkamah.
Realitinya, kebanyakan peguam tidak mahu mewakili mangsa / ahli keluarga
mangsa di mahkamah memandangkan keputusan mahkamah hanya akan menjadi
penghakiman di atas kertas (paper judgment) dan tidak ada nilai. Apabila hal ini
berlaku, dalam banyak situasi, tertuduh tidak mampu untuk membuat bayaran yang
bernilai ratusan ribu ringgit kepada mangsa / ahli keluarga mangsa.
Walaupun mangsa / ahli keluarga mangsa mempunyai pilihan untuk mendapatkan
bayaran melalui permohonan writ penyitaan dan penjualan atau melalui
pengisytiharan kebankrapan, ia dilihat tidak praktikal kepada mangsa. Dalam
kerangka undang-undang yang ada ini, hak mangsa masih belum benar-benar
terbela.
Pada masa yang sama, asas, semangat serta kerangka model diyat juga telah
wujud di bawah Seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) (KTJ). Seksyen
ini memperuntukkan bahawa, selain daripada hukuman denda atau penjara,
mahkamah juga boleh memerintahkan tertuduh untuk membayar pampasan kepada
mangsa atau ahli keluarga mangsa, sekiranya kes tersebut melibatkan apa-apa
kecederaan, kerugian, kehilangan, mahupun kematian di pihak mangsa. Namun
Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 4
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
begitu, seksyen ini hanya boleh digunakan sekiranya permohonan dibuat oleh
Timbalan Pendakwa Raya dan masih kurang diaplikasikan secara menyeluruh
dalam kes-kes jenayah.
Misalnya, perintah untuk pampasan diberikan kepada ahli keluarga mangsa
kemalangan pernah dibuat oleh Mahkamah Majistret Tawau terhadap tertuduh yang
disabitkan di bawah Seksyen 41 APJ 1987. Dalam kes ini, mahkamah telah
memerintahkan tertuduh untuk membayar pampasan kepada dua orang waris
mangsa sebanyak RM4,000.00 setiap orang.
Selain daripada kes kemalangan, peruntukan ini juga boleh diguna pakai untuk
memberi pampasan kepada mangsa dalam kes-kes jenayah yang lain. Sebagai
contoh, dalam kes Pendakwa Raya lwn. Low Lu Keng, Mahkamah Tinggi telah
mengarahkan pesalah yang telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun
Keseksaan atas tuduhan membunuh tanpa niat, untuk membayar RM10,000.00
kepada balu mangsa bunuh. Hakim, pesalah dan mangsa yang terlibat dalam kes ini
semuanya ialah individu-individu bukan beragama Islam, menunjukkan bahawa
konsep pampasan / diyat bersifat universal dan sesuai digunakan oleh semua
bangsa dan agama.
Peruntukan-peruntukan ini menunjukkan konsep dan semangat diyat sebenarnya
telah pun wujud dalam pemakaian undang-undang sivil sedia ada mengikut
kerangka undang-undang di Malaysia. Bezanya, diyat dalam Islam bersumberkan
wahyu. Oleh kerana itu, ia mempunyai kadar pampasan yang jelas dan dalam
beberapa keadaan, nilainya tidak bergantung kepada penilaian dan ketetapan
mahkamah.
Namun, diyat juga bukanlah suatu konsep yang begitu asing sehingga kerajaan
perlu menggubal undang-undang khusus bagi melaksanakannya. Justeru,
pemakaian kaedah diyat mengikut prinsip perundangan Islam boleh diusahakan
sedikit demi sedikit dengan memperkemas konsep pampasan yang sedia ada dalam
undang-undang jenayah di Malaysia agar penggunaannya lebih menyeluruh dan
menepati hikmah dan tujuan pensyariatannya.
Cadangan Pemerkasaan Konsep Diyat dalam Undang-undang
yang Melibatkan Mangsa Kemalangan
Jelaslah di sini bahawa undang-undang sedia ada sebenarnya telah menyediakan
ruang yang cukup bagi pelaksanaan konsep diyat. Pada masa yang sama, tidak
dapat dinafikan wujud kelemahan dalam peruntukan sedia ada hingga menyebabkan
aplikasi konsep diyat tidak dapat diguna pakai secara optimum untuk melindungi
mangsa / ahli keluarga mangsa. Bagi mengatasi hal ini, beberapa pindaan perlu
Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 5
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
dilakukan bagi tujuan memperkasa konsep diyat dalam undang-undang sedia ada
agar pelaksanaannya boleh berjalan dengan lancar.
1 – Memberi kuasa kepada mahkamah untuk memberikan pampasan kepada
mangsa / ahli keluarga mangsa tanpa perlunya kepada permohonan daripada
pihak pendakwaraya terlebih dahulu
Seksyen 426 KTJ membenarkan mahkamah memberi pampasan sekiranya terdapat
permohonan daripada Timbalan Pendakwaraya. Maka, adalah lebih baik dan
sewajarnya, bagi setiap kes kemalangan yang melibatkan pertuduhan sebagai kes
jenayah di mahkamah, keperluan untuk memberi pampasan kepada mangsa / ahli
keluarga mangsa melalui Seksyen 426 ini dilakukan oleh pihak mahkamah secara
wajib, tanpa perlu menunggu permohonan oleh pihak pendakwaraya.
Dengan cara ini, proses pemberian pampasan akan menjadi lebih mudah mengikut
keperluan kes. Hal ini kerana, mengikut peruntukan sedia ada, mahkamah tidak
mempunyai kuasa sekiranya pemberian pampasan tidak dimohon oleh pihak
pendakwaraya, walaupun pada pertimbangan mahkamah, mangsa berhak diberikan
pampasan sewajarnya. Perkara ini adalah lebih baik kepada mangsa berbanding
hukuman denda yang akan dibayar sepenuhnya kepada kerajaan dan mangsa tidak
akan mendapat apa-apa daripada tertuduh.
Pindaan ini juga dapat memberikan perlindungan kepada mangsa kemalangan yang
melibatkan kenderaan yang tidak memiliki perlindungan insurans. Walaupun
terdapat Motor Insurers’ Bureau (MIB) yang menyediakan dana khas untuk
melindungi pengguna jalanraya yang dilanggar kenderaan yang tiada perlindungan
insurans, namun, jumlah dana dan kadar tuntutan yang diberikan secara relatifnya
adalah kecil dan tidak mampu memberi satu bentuk kadar perlindungan yang baik
kepada pemohon.
Justeru, melalui pindaan terhadap Seksyen 426 KTJ ini, mangsa yang terlibat dalam
kemalangan dengan kenderaan yang tidak dilindungi insurans juga berhak
mendapat pampasan yang munasabah dan sewajarnya daripada tertuduh.
2 – Ahli keluarga mangsa wajib dipanggil ke mahkamah untuk memberi kesan
pernyataan mangsa (victim impact statement) terutamanya dalam kes
kemalangan melibatkan pemandu mabuk
Selain itu, merit pemberian pampasan dapat diadili sewajarnya melalui penyataan
mangsa sebagai saksi. Kesan pernyataan mangsa membolehkan pihak mahkamah
menilai sendiri kesan kejadian kemalangan tersebut kepada diri mangsa / ahli
keluarga mangsa. Dengan cara ini juga, ia membolehkan keadilan dapat diberikan
secara sewajarnya kepada pihak mangsa / ahli keluarga mangsa.
Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 6
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Dalam hal ini, peruntukan di bawah Seksyen 183A KTJ menyatakan bahawa
mangsa / wakil keluarga mangsa boleh hadir sendiri ke mahkamah untuk memberi
kesan pernyataan mangsa. Namun begitu, pada waktu ini, seksyen ini memerlukan
kepada permohonan daripada keluarga mangsa.
Seringkali berlaku keadaan mangsa / ahli keluarga mangsa tidak tahu akan hak
mereka untuk berbuat demikian hingga menyebabkan keterangan mereka tidak
dikemukakan di hadapan mahkamah, walaupun hakikatnya faktor ini merupakan
faktor mitigasi pemberat / peringanan hukuman yang akan diberikan oleh
mahkamah.
Justeru, adalah dicadangkan bahawa pindaan terhadap Seksyen 183A ini perlu
dilakukan agar pihak mahkamah boleh memanggil mangsa / wakil keluarga mangsa
untuk hadir sendiri ke mahkamah bagi memberi kesan pernyataan mangsa secara
wajib, tanpa perlu menunggu permohonan oleh pihak mangsa / ahli keluarga
mangsa.
3 – Mewujudkan mekanisma yang dapat meringankan hukuman tertuduh
setelah pampasan diberikan dalam kes kemalangan yang disebabkan oleh
kecuaian yang tidak disengajakan
Seterusnya, konsep diyat dalam Islam juga turut menganjurkan pemberian
kemaafan daripada mangsa. Dalam jenayah qisas contohnya, diyat boleh
menggantikan hukuman yang berat sekiranya kerugian atau kecederaan yang
dialami boleh dimaafkan oleh mangsa.
Di Malaysia, bagi kes-kes seperti di bawah Seksyen 41 APJ 1987 (iaitu kesalahan
menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan),
rekod menunjukkan walaupun wujud kemaafan di pihak mangsa / ahli keluarga
mangsa, pihak pendakwaan tetap mengenakan pertuduhan yang berat kepada
tertuduh.
Walhal, satu bentuk pertuduhan pilihan yang memberikan alternatif hukuman yang
lebih ringan kepada tertuduh seperti hukuman denda tanpa penjara sepatutnya
boleh sahaja ditawarkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa faktor kemaafan di
pihak mangsa / ahli keluarga mangsa terhadap kesalahan tertuduh tidak mempunyai
apa-apa merit di sisi undang-undang.
Sedangkan, umum mengetahui bahawa proses pendakwaan tehadap tertuduh bagi
kes kemalangan (terutamanya dalam kes kemalangan maut) adalah bertujuan untuk
memastikan kepentingan awam khususnya kepentingan pihak mangsa / ahli
keluarga mangsa terpelihara. Hal ini bagi memastikan pihak mangsa / ahli keluarga
mangsa tidak diabaikan dan mendapat pembelaan sewajarnya. Namun, sekiranya
telah wujud kemaafan di pihak mangsa / ahli keluarga mangsa, maka tiada
Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 7
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
keperluan mendesak untuk tertuduh dikenakan hukuman yang berat seperti penjara
mandatori.
Kedudukan undang-undang yang ada seperti hari ini dilihat sulit, mendukacitakan
pihak-pihak yang terlibat, serta dikhuatiri tidak memberi keadilan kepada tertuduh
atas beberapa sebab. Pertama, walaupun dalam kes kemalangan maut, pesalah
tidak perlu sehingga masuk ke dalam penjara bagi kesalahan yang bukanlah
diakibatkan secara mutlak oleh gaya pemanduan tertuduh yang cuai, melulu atau
merbahaya, terutamanya dalam situasi di mana wujud faktor sumbang cuai luaran
seperti keadaan jalan, faktor cuaca, faktor kerosakan mekanikal dan lain-lain faktor.
Sewajarnya, bagi kes-kes yang melibatkan kecuaian yang tidak disengajakan,
hukuman penjara perlu dielakkan. Hal ini amat penting memandangkan hukuman
penjara bukan hanya ditanggung oleh tertuduh semata-mata, tetapi akan turut
menjejaskan ahli keluarga yang berada di bawah tanggungannya. Keringanan
daripada hukuman penjara setelah wujud kemaafan juga dapat membantu dalam
mengurangkan masalah kesesakan dalam penjara dan turut memberi keadilan
kepada pihak tertuduh.
Kedua, seringkali juga berlaku keadaan di mana tertuduh terus mengaku salah,
terutamanya apabila tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguambela. Situasi ini
terjadi apabila tertuduh tidak mampu melantik peguambela kerana proses
perbicaraan dalam kes-kes seumpama ini memerlukan kos guaman yang tinggi. Hal
ini sekaligus akan turut memberi gambaran bahawa, keadilan itu mungkin tidak
dapat dilaksanakan sekiranya seseorang tertuduh ini tidak mempunyai sumber
kewangan yang baik bagi melantik peguambela untuk mewakilinya di mahkamah.
Oleh itu, di dalam kes-kes jenayah melibatkan kemalangan yang membawa kepada
hukuman penjara, sekiranya di pihak mangsa / ahli keluarga mangsa telah memberi
kemaafan (iaitu yang membawa maksud bersetuju atau tiada bantahan untuk
tertuduh menerima hukuman / pertuduhan yang lebih ringan), maka perlu
diwujudkan saluran atau mekanisma untuk perkara ini dilaksanakan.
Dengan ini, pindaan perlu dilakukan dengan memasukkan satu peruntukan baru ke
dalam KTJ. Peruntukan ini akan memperincikan mekanisma yang akan meringankan
pertuduhan / hukuman terhadap tertuduh, sekiranya mangsa / ahli keluarga mangsa
diberikan pampasan di bawah Seksyen 426 KTJ dan Seksyen 183A KTJ
sepertimana dinyatakan sebelum ini. Peruntukan ini juga akan memastikan bahawa
walaupun kemaafan telah diberikan, pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa tetap
berhak kepada pampasan yang sewajarnya.
Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 8
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
4 – Menjadikan pampasan sebagai salah satu bentuk hukuman dalam APJ1987
Akhir sekali, bagi memenuhi hak dan keadilan kepada mangsa / ahli keluarga
mangsa terutamanya dalam kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk,
pampasan perlu dimasukkan ke dalam pindaan secara jelas, sebagai salah satu
bentuk cabang hukuman, selain daripada hukuman penjara dan denda yang telah
ditingkatkan.
Pindaan tersebut boleh menjadikan Seksyen 426 KTJ sebagai rujukan, di mana
peruntukan berkaitan kewajipan pampasan diletakkan secara umum, bergantung
kepada budi bicara mahkamah, yang akan membuat pertimbangan berdasarkan
kepada merit kes.
Penutup
Konsep diyat ini mungkin kedengaran asing bagi sesetengah pihak, namun ia
sebenarnya telah pun berfungsi dalam undang-undang sivil dan juga undang-
undang jenayah di Malaysia. Walaupun wujud beberapa perbezaan di antara konsep
Islam dan peruntukan undang-undang yang ada, ia tidak menghalang proses
harmonisasi dilakukan di antara kedua-duanya.
Hakikatnya, aplikasi konsep diyat berasaskan prinsip Islam dalam sistem keadilan
akan menguntungkan semua rakyat, baik yang beragama Islam atau yang bukan
beragama Islam. Pengiraan diyat mengikut kaedah Islam dalam undang-undang sivil
akan menjadikan nilai pampasan jauh lebih tinggi daripada pengiraan yang dibuat
oleh pihak insurans pada hari ini.
Dalam undang-undang jenayah pula, penggunaan konsep diyat mengikut tatacara
Islam akan menjadikan kebajikan mangsa sebagai keutamaan berbanding tumpuan
hukuman kepada pesalah. Hal ini dibuktikan oleh model diyat dalam kesalahan
qisas, di mana ia memberikan hak kepada ahli keluarga mangsa untuk membuat
keputusan sama ada mahu meneruskan atau meringankan hukuman.
Oleh yang demikian, asas undang-undang diyat yang ada untuk mangsa
kemalangan dalam KTJ, APJ 1987 dan AUS 1956 perlu diperkasakan sedikit demi
sedikit mengikut prinsip dan kaedah Islam agar ia dapat berkembang selaras
dengan nilai dan keperluan masyarakat hari ini.
Pada masa yang sama, usaha perlu dilakukan bagi memastikan konsep diyat ini
boleh diluaskan kepada mangsa jenayah yang lain agar kematian, kecederaan atau
kehilangan anggota dapat diberi pampasan seadilnya mengikut kadar syarak selaras
dengan titah KYDM kepada Jemaah Pengampunan Pahang sebelum ini.
Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 9
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Walaupun perjalanan untuk mengharmonisasikan undang-undang jenayah Islam
dan sivil secara menyeluruh dan sempurna akan mengambil masa yang lama, usaha
tetap perlu diteruskan sebagaimana pesan Allahyarham Tan Sri Prof Dr Ahmad
Ibrahim, “Oleh kerana undang-undang jenayah Islam dicipta oleh Allah, Allah juga
akan menolong kita di dalam pelaksanaannya”.
Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 10
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
SENARAI RUJUKAN
Dr Shahidra Abdul Khalil. (7 Jun, 2020). Lindungi hak waris, mangsa pemandu
mabuk. Retrieved from BH Online:
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/06/697373/lindungi-hak-
waris-mangsa-pemandu-mabuk
Prof Madya Dr Siti Zubaidah Ismail . (17 Januari, 2020). Hapus qisas ganti
pampasan tak tepati syarak. Retrieved from BH Online:
https://www.bharian.com.my/kolumnis/2020/01/647460/hapus-qisas-ganti-
pampasan-tak-tepati-syarak
Bernama. (3 Mei, 2017). Jemaah pengampunan Pahang cadang laksana kaedah
diyat. Retrieved from Malaysiakini:
https://www.malaysiakini.com/news/381005
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. (28 Jun, 2019). Bayan Linnas Siri Ke-185 :
Cadangan Pelaksanaan Diat dalam Sistem Keadilan di Malaysia. Retrieved
from Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:
https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3534-bayan-linnas-siri-ke-185-
cadangan-pelaksanaan-diat-dalam-sistem-keadilan-di-malaysia
Mohamad, U. A. (2012). Islamic Human Rights versus International Human Rights
Instruments. In A. G. Sein, Human Rights Law; International, Malaysian and
Islamic Perspectives (p. 333). Petaling Jaya: Sweet & Maxwell Asia.
Muhammad Fathi Yusof. (n.d.). Melaksanakan Diyat Melalui Lembaga
Pengampunan : Perspektif Perlembagaan. Retrieved from People@UTM:
https://people.utm.my/fathi/melaksanakan-diyat-melalui-lembaga-
pengampunan-perspektif-perlembagaan/
Muhammad Najib Abdullah. (2012). Diyat dalam Perundangan Islam. Bandar Baru
Nilai, Negeri Sembilan: Universiti Sains Islam Malaysia.
Paizah Ismail . (2012). Pelaksanaan Diyat Dalam Kerangka Perundangan di
Malaysia : Cabaran Fiqh Semasa. Jurnal Fiqh, No. 9 (2012) 1 - 20.
Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat Parlimen Keempat Belas Penggal Ketiga
Mesyuarat Kedua. (26 Ogos, 2020). Penyata Rasmi (Hansard). Retrieved
from Portal Rasmi Parlimen Malaysia:
https://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-26082020.pdf
Raja Noraina Raja Rahim. (1 Jun, 2020). 9 kemalangan maut angkara pemandu
mabuk. Retrieved from MyMetro:
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/06/584929/9-kemalangan-maut-
angkara-pemandu-mabuk
Pemerkasaan Undang-undang Diyat untuk Mangsa Kemalangan | 11
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Ramizah Wan Muhammad. (2018). Keadilan Restoratif dan Retributif dalam Syariah
dan di Malaysia : Satu Sorotan. Journal of Contemporary Islamic Law, Vol. 3
(1) (2018).
Siti Aisyah Samudin & Siti Zubaidah Ismail. (2018). Tuntutan Pampasan Bagi Kes
Kemalangan Jalan Raya di Malaysia: Kaedah Alternatif Berasaskan Diyat.
Journal of Shariah Law Research (2018) vol. 3 (1) 89 - 104.
Siti Khadijah Mohd Khair & Nuarrual Hilal Md Dahlan. (2019). Kuantum Pampasan
Kecederaan Diri Kes Kemalangan Jalan Raya: Analisa Kajian Kes Menurut
Undang-Undang Sivil Dan Perundangan. Jurnal Intelek Vol 14, Issue 2 (Dec
2019).