- 1 -
PERANCANGAN PENGAJARAN BERKESAN
MENJANA PEMBENTUKAN
MODAL INSAN KELAS PERTAMA
Aimee Shahrin Bin Jais
INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS
PEREMPUAN MELAYU
- 2 -
RINGKASAN EKSEKUTIF
Perbincangan penulisan ini adalah berfokus kepada 5 elemen utama perancangan pengajaran
berkesan adalah kesesuaian bahan pengajaran, kesesuaian sumber pengajaran, penglibatan
pelajar, penilaian prestasi , pengukuran dan penambahbaikan.
Faktor Olahan Perancangan yang memenuhi kehendak sukatan pelajaran / modul pelajaran ,
faktor perancangan penggunaan bahan mengajar konvensional serta faktor pengunaan teknologi
maklumat dan komunikasi menjadi kunci utama menentukan kesesuaian bahan pengajaran
berkesan.
Keberkesanan sesuatu sumber pembelajaran pula banyak dipengaruhi oleh faktor pemilihan
dan pemusatan pembelajaran berasaskan kepada teori tingkahlaku serta faktor pemilihan
pendekatan pembelajaran kontekstual, konstruktivisme dan masteri dalam bentuk pembelajaran
secara bersemuka.
Faktor kesediaan pelajar sama ada dari aspek kognitif afektif mahu pun psikomotor menjadi
tonggak kekuatan perancangan mengajar berkesan. Selain dari itu, faktor penglibatan pelajar
secara partisipatif dan kolaboratif juga menyumbang kearah keberkesanan merancang
penglibatan pelajar.
Keberkesanan penilaian prestasi juga dipengaruhi oleh faktor perlaksanaan proses penilaian
berasaskan sekolah melalui semakan hasil portfolio hasil kerja pelajar , serta faktor refleksi
kendiri pengajaran yang mendalam.
Keupayaan memilih , bentuk – bentuk ujian samad ada dalam pembinaan item mahupun
pembinaan PMM berdasarkan JPU juga memainkan peranan menentukan perancangan
pengajaran berkesan. Seterusnya tindakan melaksanakan analisis keputusan pelajar dan analisis
perancangan strategik akan mengukuhkan lagi proses tindakan penambah-baikan.
- 3 -
1.0 PENGENALAN
Dalam pendidikan formal, proses merancang pengajaran dan pembelajaran merupakan satu
proses utama yang perlu diberi penekanan yang sewajarnya. Ramai pakar dalam pendidikan
berpendapat bahawa proses ini memerlukan suatu usaha berterusan untuk menyediakan
pendidikan komprehensif serta efektif untuk menyampaikan segala isi pelajaran dengan berkesan.
Koh Boh Boon (1992) menyatakan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah
melibatkan dua pihak iaitu guru dan murid. Justeru, pengajaran yang ideal haruslah membawa
kesan penuh ke atas pembelajaran yang berlaku sepertimana yang telah dirancang terlebih
dahulu.
Menurut Sharifah Alwiah Alsagoff (1983) pula, pengajaran yang berkesan adalah merujuk
kepada keupayaan guru merancang dan melaksana proses pembelajaran yang dapat membawa
pelajar kepada hasil pembelajaran terakhir sepertimana yang diinginkannya. Hal ini melibatkan
corak pengajaran berstruktur sama ada segi organisasi pengurusan bilik darjah mahupun kepada
kecukupan dalam kandungan isi pelajaran.
Hal ini dikuatkan lagi dengan kenyataan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia : Modal Insan
Cemerlang Minda Kelas Pertama : Edisi Pelancaran 2008, ms 185 menyatakan bahawa
pengajaran berkesan sangat memerlukan perancangan yang rapi oleh guru dengan mengambil
kira kesesuaian bahan pengajaran, sumber pembelajaran, penglibatan aktif murid, penilaian
prestasi, pengukuran dan penambahbaikan.
Berdasarkan kepada dua kenyataan di atas, jelaslah bahawa untuk melaksanakan satu
proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan , satu persediaan perancangan yang rapi
perlu dirangka terlebih dahulu dengan mengambil kira 5 elemen utama seperti mana yang
terkandung dalam kenyataan Kementerian Pelajaran Malaysia tersebut.
Untuk melihat sepintas lalu perbincangan mengenai elemen-elemen tersebut, kerangka
perbincangan berfokus kepada seperti mana yang terkandung dalam rangka konsep dibawah :
- 4 -
ELEMEN Fokus elemen Huraian Contoh /Bukti • Olahan Perancangan
pengajaran memenuhi kehendak Sukatan pelajaran dan Modul Pembelajaran
Perlu melihat dan sejajar dengan sukatan dari:
o Matlamat /objektif pembelajaran
o Penerapan nilai o Masa pembelajaran yang
diperuntukan
• Rangka perancangan pengajaran
tahunan pensyarah (LAM PT 09-01)
• Ringkasan Rancangan Mengajar (Lesson
Plan) pensyarah LAM PT 09-02
:
• Penggunaan bahan
Bantu Mengajar (BBM) Konvensional
o Bahan konkrit
o Bahan separa konkrit
Perlu melihat kepada ciri-ciri bahan pengajaran yang baik
• gerakbalas dengan elemen pancaindera.
• membantu peningkatan kefahaman pelajar
• Mudah disediakan
• Bahan Bantu Belajar
o Alatan sebenar o Carta/gambar
(Gambaran sebenar bahan )
• Bahan pengurusan Grafik o Peta minda o Carta alir o Peta konsep
(Salinan gambaran grafik yang digunakan semasa P&P)
Kesesuaian Bahan Pengajaran
• Penggunaan bahan
berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
• Maklumat dapat dicapai secara on-
line (atas talian) • Pembelajaran secara interaktif. • Menggambarkan situasi sebenar
melalui rakaman-rakaman secaran movie/animasi.
• Dapat mengambarkan secara visual secara konkrit dari sesuatu abstrak.
• Meminima kos pembelajaran pelajar
• Laman web • E-libary • Hamparan elektronik
o Presentation Media o Word Spreadsheet
(Contoh Persembahan Powerpoint yang digunakan semasa P&P)
• Pemusatan
pembelajaran berasaskan Teori Tingkahlaku
Pemilihan dan perubahan strategi Pembelajaran dari kontinum berpusatkan guru kepada berpusatkan pelajar
• Kuliah/Tutorial/Amali ISL dalam
LAM PT 09-02
Kesesuaian Sumber pembelajaran
• Pendekatan pembelajaran secara bersemuka
• Pemilihan pendekatan pembelajaran yang sesuai.
o Pendekatan pembelajaran secara kontekstual
o Pendekatan pembelajaran
secara Konstruktivisme
o Pendekatan pembelajaran secara masteri
Kuliah/Tutorial/Amali ISL dalam LAM PT 09-02 Amali Praktikum dalam Borang PR1 dan PR2 Amali Bina Insan Guru dalam Borang Pentaksiran BIG Amali Gerko dalam Borang LAM PT 11-06 GERKO
• Faktor kesediaan
pelajar • Kesedianaan Kognitif • Kesediaan Afektif • Kesediaan Psikomotor
• Penyusunan jadual semester yang sesuai untuk pelajar (Jadual Waktu IPGMKPM)
• Penyusunan jadual waktu yang sesuai (Jadual Waktu Semester Pensyarah)
Penglibatan pelajar • Kaedah Penglibatan
pelajar • Penglibatan belajar secara
parsitipatif (pembuat keputusan) • Penglibatan belajar secara
kolaboratif
• Arahan pembinaan tugasan secara berkumpulan
• Arahan persembahan tugasan secara
berkumpulan
- 5 -
• Prestasi kemajuan dan perkembangan pelajar beraskan PBS
Melaksanakan proses penilaian melalui • Semakan folio Hasil Kerja Pelajar
• Arahan Kerja Kursus Pendek • Skema Jadual Penentuan Tugasan • Rubrik Kriteria Penilaian kerja
kursus ( PMM kerja kursus)
Penilaian Prestasi
• Penilaian Prestasi Pengajar
Melaksanakan proses merenung kembali melalui
• Refleksi kendiri pengajaran berasaskan Analisis SWOT.
• Soalselidik P&P oleh pelajat terhadap guru / pensysrah.
•
• Catatan/refleksi
tentang faktor kekuatan, kelemahan Peluang Ancaman dalam LAM PT 09-02
• Borang semakan interaksi bersemuka • Instrumen Penilaian perlaksanaan kerja
Kursus LAM PT 14-03
• Pemilihan bentuk-bentu ujian dan alat penilaian
• Pembinaan Item Ujian o Item objektif o Item subjektif o Item essei
• Pembinaan Panduan Memberi Markah (PMM)
Berdasarkan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU)
Contoh pembinaan soalan-soalan peperiksaan
• Analisis keputusan Pencapaian Pelajar
Pembinaan analisis keputusan pencapaian pelajar
Contoh Analisis Keputusan Kerja Kursus dan Peperiksaan mengikut Gred dalam LAM PT 15-02
Pengukuran Dan Penambahbaikan
Analisis Perancangan Strategik
Perlaksanaan tindakan penambahbaikan
o Penilaian sasaran Kerja tahunan (SKT)
Seterusnya, perincian perbincangan dalam penulisan ini adalah berdasarkan kepada
perlaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran Kursus Lepasan Ijazah (KPLI) yang dijalankan
di Institusi Pendidikan Guru (IPGM).
2.0 ELEMEN KESESUAIAN BAHAN PENGAJARAN
2.1 Perancangan pengajaran memenuhi dengan Sukatan Pelajaran kursus KPLI
dan Modul Pembelajaran KPLI
Sukatan pelajaran merupakan rujukan utama keperluan asas merangka
perancangan pengajaran. Akta Pendidikan 1996 dengan jelas menyatakan bahawa setiap
rangka perancangan pengajaran mestilah berpandukan kepada sukatan pelajaran. Ini
adalah kerana sukatan pelajaran tersebut dirangka untuk memenuhi apirasi matlamat
kurikulum operasional rasmi seperti mana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan
Negara.
- 6 -
Mengikut perakuan 57(a) Laporan Jawatankuasa Kabinet pula menyatakan
bahawa kurikulum sekolah hendaklah dirancang untuk membolehkan murid-murid
mencapai kemahiran dalam bidang komunikasi, bidang manusia dengan alam sekeliling
dan perkembangan bidang diri individu yang sesuai dengan keperluan, minat, bakat dan
kemampuan mental serta kesediaan murid-murid.
Oleh itu kesesuaian olahan perancangan pengajaran yang akan dirangka perlulah
juga memenuhi kehendak apa yang disarankan dalam sukatan pelajaran. Kesesuaian
mengolah perancangan pengajaran ini memberi implikasi terhadap keberkesanan untuk
mengapai
• Matlamat /objektif pembelajaran yang disasarkan
• Penerapan nilai-nilai murni yang dirangka
• Masa pembelajaran yang diperuntukan
Para pensyarah seterusnya melaksanakan proses penterjemahan dari sukatan
pelajaran KPLI atau modul Pembelajaran KPLI untuk menjana idea dan inovasi semasa
merangka Perancangan Pengajaran Tahunan Pensyarah ( rujuk lampiran 1 :LAM PT 09-
01). Olahan idea dan inovasi pengajaran yang dirancang dengan teliti dan terperinci ini
pula akan digarap dalam Ringkasan Rancangan Pengajaran Mingguan Pensyarah ( rujuk
lampiran 2 : LAM PT 09-02). Dengan usaha melengkapkan kedua-dua perancangan ini,
satu gambaran menyeluruh perencanaan perancangan pengajaran dapat diwujudkan.
Semasa melaksanakan proses menterjemah sukatan pelajaran atau modul
pembelajaran tersebut. keupayaan dan kebolehan seseorang pensyarah memahami dan
menghayati isi kandungannya dengan mendalam banyak membantu kejayaan merangka
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan banyak dipengaruhi oleh
• kelayakan profesionalisme keguruan yang dimiliki
• pengalaman sebagai pakar dalam menyusun tajuk-tajuk pembelajaran
- 7 -
• kebolehan dalam pengurusan masa mengikut jam kredit yang telah
ditetapkan.
Hakikat ini dibuktikan oleh kajian Aimee Shahrin (2007) menyatakan 98.3% dari
kalangan responden dengan jelas amat bersetuju dengan kepentingan elemen kelayakan
profesionalisma keguruan sebagai suatu penanda-aras dalam menilai kualiti pensyarah
institusi melalui Kelayakan Ikhtisas, Kelayakan Akademik, Kursus-kursus dalam
perkhidmatan yang diikuti, Keterampilan dalam bidang kepakaran, dan pengalaman
tempoh bertugas sebagai pakar dalam sesuatu tugasan dalam merencanakan
perancangan pengajaran.
Seterusnya kajian Salinat Mohamed Ali, Hj Yahya Panot, Zamzam Abdul Rashid,
Sabariah Ibrahim, Dr Jennifer Wee Beng Neo dan Hj Syed Nokman Syed Abu Bakar :
Kajian Kes Persepsi Terhadap Pensyarah Di Jabatan Pendidikan Ilmu Pendidikan , MPTI
telah menyatakan bahawa sebilangan besar persediaan pensyarah berada di tahap
sederhana tinggi dalam merangka dan menyediakan perancangan pengajaran yang
berkesan.
2.2 Penggunaan Bahan Bantu Belajar Konkrit atau Separa konkrit
Bahan bantu mengajar adalah faktor terpenting dalam menentukan kejayaan
program pembelajaran, menimbulkan rangsangan keinginan pelajar-pelajar untuk
mengetahui sesuatu dan untuk menjadikan pembelajaran lebih baik dan menarik. Bahan
bantu belajar (BBM) bukanlah merupakan sesuatu yang tersisih sifatnya daripada proses
pengajaran dan pembelajaran. Mengikut Noraziah Abdul Hamid ( 1981: 2 ) , menyatakan ‘
alat bantu ‘ itu mestilah dianggap sebagai satu bahagian yang padu dalam proses tersebut.
Ia bukan sahaja bertujuan untuk menambah kelancaran perhubungan antara guru dan
- 8 -
murid dan sebaliknya, murid sesama murid malah akan membantu atau mempercepatkan
proses pemahaman mereka.
Pendapat ini disokong sama oleh Edgar Dale ( 1964 ) yang digambarkan dalam
bentuk “ cone of experience” di mana proses pembelajaran bermula dengan proses aspek
konkrit hinggalah kepada aspek abstrak. Kefungsian Bahan Bantu Mengajar ini juga
diiktiraf oleh David Berlo yang menyatakan bahawa isi pengajaran sebagai mesej dan
salurannya penyampaiannya adalah melalui BBM, lisan dan tulisan.
Penyelidikan Mok Soon Sang dan Lee Shok Mee (1986) yang telah dibuat
menyatakan bahawa: kefahaman dan pengetahuan yang diperolehi oleh manusia, 75%
adalah diperolehi melalui deria pandang, 13% daripada deria dengar, 6% daripada deria
sentuh, 3% daripada deria rasa , 3% daripada deria bau. Berdasarkan kajian di atas,
nyatalah bahawa pancaindera pandang dan dengar merupakan dua saluran indera yang
penting sekali dalam proses pembelajaran. Kenyataan-kenyataan di atas dapat
disimpulkan bahawa ciri-ciri bahan yang baik seharusnya boleh :
• Memberi gerakbalas yang baik dengan elemen pancaindera yang dimiliki
oleh pelajar
• Membantu memberi peningkatan kefahaman pelajar dan
• Disediakan dengan mudah.
Oleh itu, untuk menyediakan bahan bantu mengajar di peringkat KPLI berdasarkan
kepada ciri-ciri tersebut, para pensyarah telah mengklasifikasikannya kepada dua bentuk.
Bentuk-bentuk tersebut adalah :
• bahan bantu mengajar konkrit
• bahan bantu mengajar separa konkrit.
Dibawah klasifikasi Bahan Bantu Mengajar Konkrit para pensyarah akan
menyediakan bahan sebenar yang terdiri dari alatan sebenar, item sebenar yang wujud
- 9 -
serta boleh digunakan sewaktu sessi pembelajaran yang dirancang.(rujuk lampiran 3 yang
mengambarkan penggunaan alatan sebenar atau bahan sebenar). Pelajar-pelajar akan
dibenarkan untuk mencuba menggunakan bahan-bahan tersebut untuk mengukuhkan
pengalaman pembelajaran mereka.
Seterusnya, para pensyarah akan menjelmakan bahan separa konkrit dalam bentuk
ilustrasi grafik seperti carta alir, peta minda dan peta konsep ( rujuk lampiran 4 ). Adalah
diharapkan ilustrasi grafik yang dihasilkan dari teori, idea atau konsep yang terdapat dalam
sesuatu isi kandungan pelajaran itu dapat membantu meningkatkan kefahaman pelajar.
2.3 Penggunaan Bahan Berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)
Dewasa ini sejajar dengan pengetahuan saintifik dan perkembangan teknologi,
beberapa bentuk BBM yang baru perlu digunakan untuk mempercepatkan proses
pembelajaran. Keberkesanan guru yang mengajar di bilik darjah pula tidak akan tercapai
dengan baik tanpa sokongan bahan bantu mengajar yang berteknologi, kreatif, cantik dan
menarik.
Panduan Pelaksanaan Program Pengkomputeran di Sekolah, BTP, KPM, Julai 2002
pula dengan jelas menyatakan ICT dalam pendidikan bermaksud penggunaan teknologi
maklumat dan komunikasi yang menyokong proses teras dalam pengurusan dan
pentadbiran pendidikan, pengajaran dan pembelajaran serta pendidikan sepanjang hayat.
Mohd Zaliman et al. (2001) pula menyatakan teknologi multimedia kian diiktiraf sebagai
alat bantuan pengajaran yang sesuai dalam membantu para pendidik untuk mendalami
dan mendasari cabaran dunia pendidikan era baru.
Menurut Norhashim et al. (1996) pada perkembangan awal pembelajaran
berasaskan komputer semua proses persembahan adalah berbentuk linear dan laluan
- 10 -
modul pengajaran telah ditetapkan. Dengan menggunakan teknik multi media
pembelajaran boleh berlaku secara interaktif. Pelajar dapat berinteraksi dengan media
pengajaran tanpa kehadiran guru atau secara online.
Brown et al. (1994) pula menyatakan bahawa aplikasi pembelajaran berasaskan
multimedia berupaya untuk memberikan berbagai contoh yang sebenar kepada pelajar
dengan gabungan teks, muzik, imej, video dan animasi. Pembelajaran berasaskan
komputer dalam bentuk multi media telah berkembang dengan begitu pesat.
Norhashim et al. (1996) juga menyatakan elemen multimedia jika digabungkan
dengan perisian kursus terkini yang dibina khas untuk pembangunan skrip akan dapat
menghasilkan perisian kursus yang lebih baik dari perisian kursus yang dibangunkan
dengan menggunakan sistem pengarangan tradisi kerana keupayaan perisian membina
animasi sasuatu konsep atau idea dalam sesuatu kandungan pelajaran.
Merrill et al (1994) juga menyatakan bahawa pembangunan perisian kursus
multimedia untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran telah menjadi lebih mudah untuk
diubahsuai dan disesuaikan untuk penggunaan individu. Kemudahan pembangunan ini
menjadikan perisian kursus sesuai untuk digunakan sebagai pembelajaran kendiri serta
berupaya menjimatkan kos.
Berdasarkan kepada beberapa kenyataan di atas dapat disimpulkan bahawa
penggunaan bahan ICT berkesan seharusnya mempunyai ciri – ciri :
• Maklumat boleh dapat dicapai secara on-line (atas talian)
• Pembelajaran secara interaktif serta boleh dijalankan tanpa penglibatan
secara langung oleh guru.
• Menggambarkan situasi sebenar melalui rakaman-rakaman video secara
langsung.
- 11 -
• Dapat mengambarkan secara visual secara konkrit dari sesuatu abstrak
melalui animasi
• Meminima kos pembelajaran yang ditanggung oleh guru dan pelajar.
Oleh itu, berdasarkan kepada kefahaman ini, para pensyarah cuba menerapkan
elemen ICT dalam bahan pengajaran dan pembelajaran mereka seperti pencarian
maklumat menggunakan laman web dan E-library. Persembahan persembahan dalam
bilik darjah pula dijalankan dengan menggunakan hamparan elektronik seperti Presentation
Media dan Word Spreadsheet ( rujuk lampiran 5: bahan Persembahan Powerpoint )
Hakikat kepentingan dan keperluan bahan ICT memberikan kesan pengajaran dan
pembelajaran ini dibuktikan oleh oleh kajian Azwan Ahmad, Abdul Ghani Abdullah,
Muhammad Zohir Ahmad dan Abdul rahman Abdul Aziz : Kesan efikasi kendiri guru
terhadap Amalan Pengajaran Berbantukan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT),
Jurnal Penyelidikan Pendidikan Jilid 7, BPPDP, KPM Dis 2005. Kajian tersebut
menyatakan bahawa dengan penggunaan ICT , pengajaran dan pembelajaran akan lebih
menarik dan tidak membosankan. Guru–guru seharusnya membiasakan diri
menggunakan teknologi dalam pengajaran mereka agar pelajar akan terangsang untuk
menghayati dan mengikuti pelajaran dengan penuh minat.
3.0 KESESUAIAN SUMBER PEMBELAJARAN
3.1 Pemilihan Strategi Pembelajaran Berasaskan Teori Tingkahlaku
Dalam teori tingkah laku, tumpuan pembelajaran adalah kepada perubahan tingkah
laku luaran yang dipengaruhi oleh peneguhan. Dalam teori ini tumpuan akan diberikan
kepada prinsip rangsangan dan tindak balas terhadap bahan yang dikemukakan oleh
perisian kursus kepada pelajar. Menurut Skinner (1954) teori tingkah laku adalah satu
kelakuan yang boleh diperhatikan dan diukur. Melalui perisian kursus ini tumpuan
- 12 -
pembelajaran berasaskan teori tingkah laku, adalah kepada tindak balas pelajar yang
dipengaruhi oleh peneguhan melalui maklum balas dari komputer.
Teori ini juga berpegang kepada prinsip bahawa pelajar akan mengekalkan sesuatu
tindakan jika peneguhan yang bersesuaian diberikan kepadanya. Menurut pandangan
Thorndike (2000) hubungan di antara rangsangan dan tindak balas akan diperkukuhkan
sekiranya tindak balas yang positif diberikan ganjaran yang positif. Sebagai contoh, apabila
seseorang pelajar diberikan ganjaran selepas menunjukkan sesuatu gerak balas, ia akan
mengulangi tindak balas tersebut setiap kali rangsangan yang sama diberikan.
Kebanyakkan pembelajaran yang dijalankan berdasarkan teori ini adalah tanggungjawab
pendidik dan dikawal sepenuhnya oleh sistem pengajaran yang digunakan. Pengaplikasian
teori tingkah laku pada perisian kursus ini ialah dengan membangunkan perisian kursus ini
dengan keupayaan untuk memberikan rangsangan bagi setiap tindak balas positif yang
diberikan oleh pengguna.
Hasil kenyataan diatas dapatlah dirumus bahawa proses pengajaran seharusnya
berubah dari berpaksikan guru kepada pengajaran berpusatkan pelajar. Situasi ini dapat
digambarkan melalui rajah berikut :
Berdasarkan kepada kenyataan tentang tingkah laku di atas, nyatalah kepentingan
pemilihan strategi amat penting untuk merangka strategi pembelakaran berkesan.
Berpaksikan kepada tahap pemikiran dan kematangan berfikir pelajar yang sedang
- 13 -
mengikuti Kursus KPLI, para pensyarah lebih menekankan strategi pembelajaran
berpusatkan pelajar berbanding strategi pembelajaran berpusatkan guru. Hakikat ini
dibuktikan dengan mewujudkan elemen kaedah pengajaran seperti kaedah kuliah, kaedah
tutorial, keadah amali dan kaedah pembelajaran kendiri atau ISL didalam ringkasan
mengajar pensyarah (rujuk lampiran 2 : LAM PT 09-02). Keupayaaan memilih kaedah-
kaedah pengajaran yang dinyatakan untuk diselaraskan dengan tahap tingkah laku pelajar
akan dapat menjana pengajaran yang berkesan.
3.2 Kaedah Pendekatan Pembelajaran Secara Bersemuka
Pendekatan pembelajaran secara bersemuka merupakan merupakan suatu kaedah
pembelajaran yang memerlukan adanya hubungan secara langsung di antara pelajar
dengan guru. Aplikasi pendekatan ditentukan melalui 2 ciri kawalan utama :
• Penentuan masa yang ditetapkan untuk sesuatu sessi pembelajaran berlaku
• Penentuan tempat yang ditetapkan untuk melaksanakan sesuatu sessi
pembelajaran.
Terdapat 3 pendekatan pembelajaran yang berada didalam pendekatan bersemuka iaitu
pendekatan Kontekstual, Pendekatan Konstruktivisme dan Pendekatan Masteri.
Pendekatan kontekstual merupakan satu konsepsi pengajaran dan pembelajaran
yang membantu guru mengaitkan bahan subjek yang dipelajari dengan situasi dunia
sebenar dan memotivasikan pelajar untuk membuat perkaitan antara pengetahuan dengan
aplikasinya dalam kehidupan harian mereka sebagai ahli keluarga, warga masyarakat dan
pekerja.
- 14 -
Menurut kamus Webster , Kontekstual berasal dari bahasa Latin con = with + textum =
woven yang bermaksud mengikut konteks atau dalam konteks. Konteks pula membawa
maksud keadaan, situasi dan kejadian. Secara umum, kontekstual membawa pengertian:
• Yang berkenaan, releven, ada hubungan atau kaitan langsung,
• Yang membawa maksud, makna dan kepentingan (meaningful).
Pendekatan kontekstual menyedari hakikat bahawa pembelajaran ialah satu proses
pelbagai bentuk yang kompleks yang menjangkaui kaedah-kaedah jenis latih tubi dan
rangsangan dan tindak balas.
Menurut teori pembelajaran kontekstual, pembelajaran hanya berlaku apabila
pelajar memproses maklumat atau ilmu pengetahuan baru dengan cara tertentu sehingga
ia membawa maksud atau makna kepada mereka dalam kerangka rujukan mereka sendiri
(dunia dalaman bagi memori, pengalaman dan tindak balas mereka sendiri). Pendekatan
pembelajaran dan pengajaran seperti ini mengandaikan minda akan mencari maksud
dalam konteks dengan cara semula jadi, iaitu berkait dengan persekitaran semasa
seseorang itu. Ini berlaku dengan cara pencarian hubungan yang diterima akal dan
kelihatan bermakna, terbentuk daripada pemahaman ini, teori pembelajaran kontekstual
tertumpu pada aspek pelbagai bagi mana-mana persekitaran pembelajaran, sama ada
dalam bilik darjah, dalam makmal, dalam makmal komputer, tampat atau lokasi kerja, atau
di ladang tanaman. Ia menggalakkan pendidik memilih dan/atau membina persekitaran
pembelajaran yang menggabungkan seberapa banyak bentuk pengalaman yang boleh
termasuk aspek sosial, fizikal, psikologikal, ke arah mencapai hasil pembelajaran yang
diinginkan. Dalam persekitaran sedemikian, pelajar menemui perhubungan yang bermakna
antara idea abstrak dan aplikasi praktikal dalam konteks alam yang nyata.
Pendekatan Konstruktivisme pula merupakan proses pembelajaran yang
menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda pelajar. A.N. Whitehead
- 15 -
(1929) mengingatkan supaya tidak membebankan kanak-kanak dengan pengetahuan
yang tidak berkembang (" dead knowledge").Apa yang diketengahkan oleh Whitehead
ialah amalan mengajar di sekolah perlulah menjurus kepada usaha membolehkan
kanak-kanak atau murid berfikir dalam persekitaran kehidupan dan mengelakkan
daripada hanya memberi pengetahuan yang bersifat kaku ( inert ideas ) yang tidak mampu
digunakan bagi menyelesaikan masalah harian.
Barnes (1976) dan Bransford (1986) mengkaji tentang 'inert ideas' mendapati
kebanyakan pengetahuan yang diajar di sekolah adalah terasing daripada cara kanak-
kanak berfikir. Menurut Bransford ramai yang berpandangan bahawa pengetahuan yang
didapati di sekolah hanya merupakan pengetahuan yang dipindahkan dari seseorang
kepada seseorang yang lain. Pengetahuan tersebut hanya cukup untuk menjawab soalan
daripada guru ataupun untuk menjawap soalan-soalan peperiksaan sahaja tetapi ianya
tidak menunjukkan pengetahuan individu secara keseluruhan.
Pendekatan masteri yang dipelopori oleh John Carroll (1963) pula menyarankan
fokus untuk sesuatu proses pembelajaran ialah masa yang diperlukan oleh pelajar yang
berlainan untuk menguasai perkara yang dipelajari. Ianya agak berbeza dengan teknik
pembelajaran secara tradisional dimana di dalam kaedah ini pelajar diberi jumlah masa
yang sama untuk menguasai sesuatu tajuk tetapi fokus kepada keupayaan yang berbeza.
Levine (1985 ) dan Bloom (1981) pula menyatakan cabaran di dalam suasana
pembelajaran masteri ini terletak kepada menyediakan masa yang cukup dan mengatur
strategi-strategi pembelajaran untuk memastikan semua pelajar akan mencapai keupayaan
yang sama . Elemen-elemen penting untuk kaedah pembelajaran masteri ialah :
• Menjelaskan secara spesifik kepada pelajar apa yang akan dipelajari dan
menjelaskan bagaimana ianya akan dinilai.
• Membenarkan pelajar untuk belajar dengan kadar mereka sendiri.
- 16 -
• Memantau kemajuan pelajar dan menyediakan tindakbalas berserta dengan
langkah pemulihan yang sesuai.
• Menguji bagi memastikan kriteria pembelajaran akhir tercapai.
Dengan memahami ketiga-tiga pendekatan pembelajaran tersebut , para pensyarah
akan mengaplikasikannya dalam mod-mod pembelajaran yang dirancang. Olahan dalam
mod-mod pembelajaran tersebut boleh berupa dalam bentuk kuliah/Tutorial/ Amali Gerko
dan ISL yang dijalankan di dalam persekitaran kampus IPG (rujuk lampiran 2 : LAM PT 09-
02 dan lampiran 8 : LAM PT 11-06 Amali Gerko ) Seterusnya untuk mendapatkan
kefahaman dan penghayatan lebih mendalam dalam situasi sebenar, Amali Praktikum
yang dijalankan disekolah-sekolah (rujuk lampiran 7: Borang PR1 dan PR2) dan Amali
Bina Insan Guru yang dijalankan secara aktiviti luar (rujuk lampiran 7..... : Borang
Pentaksiran BIG). Kepelbagaian mod pembelajaran yang dirangka ini akan banyak
memberi kesan pembelajaran yang dilalui oleh pelajar KPLI tersebut.
Hakikat keberkesanan pemilihan pendekatan yang dinyatakan diatas didalam kajian
Suresh Nair & Malar a/p Muthiah : Penggunaan Konstruktivisme Lima fasa Needham
Dalam Pembelajaran” : Malaysian Journal Of Educators and Education 20th edition (2005)
mendapati pengajaran menggunakan model lima fasa Needham (1987) dapat
meningkatkan pencapaian subjek secara signifikan.
4.0 PENGLIBATAN PELAJAR
4.1Faktor Kesedian Pelajar Untuk Belajar
Kesediaan pelajar untuk belajar juga perlu diambil kira semasa merancang
perancangan berkesan. Kesediaan pelajar tersebut terbahagi kepada 3 iaitu kesediaan
Kognitif, Kesediaan Afektif dan Kesediaan Psikomotor.
- 17 -
Kesediaan Kognitif merupakan kesediaan mendikut peringkat perkembangan mental untuk
menerima rangsangan dan memahaminya, menaakul dan berfikir serta dapat
menghubungkaitkan pengalaman sedia ada seseorang. Kesediaan Afektif merupakan
kesediaan sikap dan minat terhadap sesuatu pelajaran, menjadi aktif dan mudah menerima
pelajaran, memperolehi kepuasaan dan keseronokan dalam pembelajaran serta menjadi
pendorong untuk berjaya. Kesediaan psikomotor merupakan kesediaan fizikal pelajar untuk
menjalani latihan yang menggunakan fungsi tubuh badan sebagai pengerak utama serta
menuruti kesediaan kognitif dan afektif. Kesemua kesediaan tersebut pula dipengaruhi
oleh pengalaman dan kematangan.
Pengalaman menjadi faktor utama mempengaruhi kesediaan pelajar untuk
menerima pengajaran yang disampaikan. Ia juga menjadi prinsip asas kepada penentu
kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran. Kematangan pula di pengaruhi oleh
kematangan fizikal, mental, sosial dan emosi. Kematangan fizikal adalah kematangan yang
melibatkan perkembangan psikomotor individu. Individu yang normal akan mengalami
perkembangan dan mencapai kematangan fizikal yang sama dalam tempoh masa yang
seragam. Kematangan mental pula merupakan perkembangan dan persediaan minda
manusia untuk menerima pelajaran. Kematangan sosial pula merupakan keupayaan
seseorang individu membentuk hubungan baik dengan individu atau komuniti lain serta
mempamerkan sikap dan tingkah laku yang positif apabila berinteraksi. Kematangan emosi
puja merujuk kepada kestabilan dalam minat, sikap serta keinginan .
Santrock (2001) menjelaskan remaja yang dapat mencapai kesejahteraan (well
being) mengalami perkembangan yang sempurna serta mempunyai tahap kesediaan yang
tinggi. Hakikat dari kefahaman mengenai kenyataan tersebut, para pensyarah merangka
perancangan Jadual waktu semester (rujuk lampiran 10 : Jadual waktu IPGMKPM) serta
- 18 -
penyusunan nya (rujuk lampiran 11 : Jadual waktu pensyarah) agar memenuhi elemen-
elemen kesediaan pelajar untuk mengikuti proses pembelajaran.
4.2 Kaedah Penglibatan Pelajar
Dalam teori pengurusan moden, penglibatan parsitipatif (pembuatan keputusan)
merupakan komponen yang memainkan peranan kearah keberkesanan dan kejayaan
sesuatu aktiviti yang dijalankan. Robiah Sidin (1988) menjelaskan pembuatan keputusan
merupakan satu proses berfikir dan membuat pertimbangan berasaskan penganalisaan
yang bersungguh-sungguh tentang sesuatu situasi dan proses memikirkan secukup-
cukupnya berkenaan urutan aktiviti atau cara yang dapat digunakan sebagai tindakan. Fred
Luthans (1976) menyifatkannya sebagai satu proses membuat pemilihan berdasarkan
kepada beberapa alternatif. Alberts (1974) pula mengklafikasi sebagai perancangan,
motivasi dan pengawalan. Cambell, Corbally dan Nystrand (1983) menyatakan pembuatan
keputusan sebagai cara-cara bergerak sebagai arah pencapaian matlamat.
Sturman, (1992) mendefinisikan pendekatan kolaboratif sebagai. satu urusan yang
melibatkan (biasanya) dua orang guru yang bekerjasama secara timbal balas di setiap
peringkat pengajaran: merancang dan menyediakan rancangan pengajaran, melaksanakan
dan menilai pencapaian aspek yang ditumpukan dalam mata pelajaran
Nunan (1992) pula menyatakan pendekatan kolaboratif pengajaran sebenar yang
dilaksanakan secara timbal balas oleh dua orang guru yang sama atau berbeza disiplin
kepada sekumpulan pelajar dalam kelas yang sama pada waktu yang sama. Urusan
pengajaran seperti ini menekankan perkongsian bersama agihan kuasa dan membuat
keputusan antara guru-guru tersebut.
Dari pernyataan di atas dapat dirumuskan bahawa penglibatan secara kolaboratif
merupakan pembelajaran yang memerlukan penglibatan semua ahli kumpulan. Ia
- 19 -
memerlukan idea yang mencabar, menyokong dan menambah baik sesuatu idea sehingga
mencapai persetujuan kumpulan. Dalam pembelajaran kolaboratif ini, pelajar-pelajar akan
mengumpul idea atau data, berkongsi pengalaman, berbincang sesama mereka, dan
menyelesaikan masalah bersama. Kriteria asas dalam pendekatan kolaboratif
• kebolehan bergaul dan bekerjasama pada peringkat peribadi
• perlunya ada komitmen, kesudian untuk berkorban masa bagi merancang,
menilai dan membuat refleksi
• saling membantu antara satu sama lain untuk mencapai prestasi akademik
yang baik
Dengan mengandaikan bahawa pelajar KPLI juga merupakan bakal-bakal guru
yang dilatih, penglibatan pelajar secara aktif dalam semua proses pengajaran dan
pembelajaran sememangnya diberi keutamaan. Dalam proses pembelajaran tersebut,
para pensyarah akan mengolah aktiviti-aktiviti yang membolehkan pelajar sentiasa berada
didalam situasi partisipatif dan kolaboratif. (rujuk lampiran .. : Arahan Tugasan kerja kursus
pendek Dengan bentuk penglibatan sebegini, diharapkan pelajar KPLI akan dapat
menimba pengetahuan secara bersama-sama dalam pasukan (rujuk lampiran 16 : Borang
Rekod Kolaborasi Aktiviti)
5.0 PENILAIAN PRESTASI
5.1 Prestasi kemajuan Dan perkembangan Pelajar
Pembangunan Pendidikan 2001-2010 Kementerian Pelajaran Malaysia mengariskan
bahawa Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan proses penilaian selaras dengan
proses pengajaran dalam bilik darjah untuk mengesan kemajuan pelajar dalam konteks
perkembangan individu secara menyeluruh. Ianya akan mempertingkatkan mutu penilaian
dengan menggunakan ujian-ujian yang dibina dan dikawal mutunya supaya proses
- 20 -
pengukuran pembelajaran pelajar menjadi lebih bermakna dan bermanfaat. Ianya juga
memainkan peranan untuk meningkatkan keupayaan guru dalam usaha membina dan
mereka bentuk jenis-jenis ujian yang lebih bermutu. Melalui PBS guru dapat mengetahui
tahap pencapaian murid serta untuk mengenal pasti dan membaiki kelemahan-kelemahan
murid sebelum kelemahan-kelemahan pembelajaran menjadi lebih kronis.
Antara kelebihan-kelebihan Penilaian Berasaskan sekolah adalah :
• Menekan penilaian secara tak formal, seperti pemerhatian, soal jawab secara
lisan dan ujian kertas-pensel untuk mengesan peringkat penguasaan dan
kemajuan pelajar dalam bilik darjah.
• Menekan penilaian formatif daripada penilaian sumatif – maklumat yang
diperoleh daripada PBS adalah digunakan untuk membantu perkembangan
pelajar dalam semua bidang yang berkaitan dengan pendidikan.
• Menekankan tindakan susulan daripada laporan pencapaian atau pensijilan –
membaiki pembelajaran seterusnya.
• Menekankan penilaian secara berterusan – membolehkan guru
mengubahsuai strategi dan teknik, pengajaran mengikut maklumat penilaian
yang diperoleh dari semasa ke semasa.
• Menekan penilaian secara menyeluruh – segala potensi pelajar seperti
intelek, rohani, jasmani dan emosi dinilai.
• Menekankan penilaian dalaman – guru yang mengajar pelajar itu sendiri dan
bukan diuruskan secara berpusat.
Dengan merujuk kepada Proses Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS), para
pensyarah akan menilai prestasi kemajuan dan perkembangan pelajar secara berterusan
sepanjang semester pembelajaran. Satu Kerja Kursus Berasaskan Ilmu (KKBI) akan
diberikan kepada pelajar untuk dijalankan dan didokumentasikan sebagai Portolio Hasil
- 21 -
Kerja Pelajar. Seterusnya proses menilai Portfolio Hasil Kerja Pelajar pula
dilaksanakan.berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan (rujuk Lampiran 11: Arahan Kerja
Kursus Pendek, Skema jadual Penentuan Tugasan dan Peraturan memberi Markah Kerja
Kursus ).Melalui proses ini juga para pensyarah berpeluang membuat bimbingan sekiranya
pencapaian pembelajaran tidak mencapai tahap seperti mana yang telah ditetapkan..
5.2 Penilaian Prestasi Pengajar
Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan bahawa
Sistem Penilaian Prestasi merupakan suatu sistem instrumen penting pengurusan sumber
manusia bagi menilai pencapaian prestasi anggota perkhidmatan awam dan pencapaian
matlamat organisasi. Melalui Penilaian Prestasi, sesuatu penilaian boleh dilaksanakan
terhadap faktor
• Hubung kait anggota dengan rancangan / tindakan kerja organisasi (SKT)
• Maklum balas tentang kemajuan yang dicapai terhadap elemen yang
dirancang.
• Membuat petunjuk prestasi, pengukuran dan penilaian
• Kaunseling, motivasi dan insentif
• Penerapan budaya kerja cemerlang
Berdasarkan kepada kefahaman sistem penilaian prestasi yang dianjurkan oleh
jabatan perkhidmatan, para pensyarah akan melaksanakan proses penilaian terhadap
prestasi pengajaran melalui pembinaan refleksi kendiri berasaskan analisis SWOT.
Di dalam Refleksi tersebut, para pensyarah akan merenung kembali sessi pembelajaran
yang telah berlaku melalui elemen kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman. (rujuk
lampiran 2 : LAM PT 09-02 ruangan catatan). Seterusnya proses penilaian prestasi ini juga
boleh dinilai menurut perspektif pelajar. Pelajar akan memberikan maklum balas tentang
- 22 -
keberkesanan sesuatu pengajaran sepanjang semester tersebut melalui Instrumen
Penilaian Kerja Kursus Oleh Pelajar ( rujuk lampiran 12 : LAM PT 14-03). Melalui refleksi
kendiri dan maklumbalas pelajar, para pensyarah akan berupaya mengambil tindakan-
tindakan pembetulan untuk menjajarkan semula aktiviti-aktiviti pengajaran agar menjadi
lebih berkesan pada masa yang akan datang (rujukan lampiran 15 : borang Semakan
Interaksi Bersemuka / Mengajar)
6.0 PENGUKURAN DAN PENAMBAHBAIKAN
Bernhart (1994) menyarankan proses pengukuran dan penambahbaikan dijalankan melalui :
• pengunaan portfolio sekolah sebagai dokumen yang digunakan untuk mengenal
pasti keberkesanan sekolah/ institusi dan penambahbaikan matlamat.
• Data-data dalam seksyen pencapaian pelajar sesebuah folio sekolah
mengandungi
o Diskripsi populasi pelajar
o Pembelajaran pelajar berkecenderungan kepada kaedah essential
o Diskripsi kaedah pengajaran dan strategi penaksiran pelajar
• Kepelbagaian bentuk-bentuk penilaian berdasarkan fakta seperti pelajar belajar
lebih masa, keputusan pencapaian pelajar, penggunaan rubrik dalam tahap dan
kadar pencapaian pelajar, markah pelajar, melaksanakan pameran untuk
memberi kadaran dalam kontinum pencapaian pelajar.
• Keperluan pembelajaran pelajar
• Diskripsi strategi untuk memenuhi keperluan pembelajaran
• Penilaian tentang implimentasi dan keberkesanan strategi
• Penambahbaikan matlamat
- 23 -
Bersandarkan kepada kenyataan tersebut, rangka tindakan pengukuran dan
penambahbaikan telah diambil melalui Pemilihan jenis ujian dan alatan/Instrumen penilaian,
Analisis keputusan Pencapaian pelajar dan Analisis Perancangan Strategik.
6.1Pemilihan Jenis Ujian Dan Alatan / Instrumen Penilaian
Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, ujian atau penilaian
adalah komponen utama yang tidak boleh dikesampingkan dalam putaran proses
pengajaran dan pembelajaran. Mokhtar Ismail (1995) menjelaskan ujian ialah satu kaedah,
tugas atau prosedur yang digunakan untuk memperoleh pemerhatian yang sistematik
tentang sifat, atau trait seseorang berhubung dengan aspek pendidikan atau psikologi.
Oleh itu Ujian boleh menentukan kesediaan pelajar untuk memulakan sesuatu topik baru,
mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid-murid berhubung sesuatu topik,
mengenal pasti tahap pencapaian, bakat yang dimiliki pelajar dan sebagainya.
Terdapat beberapa bentuk ujian yang boleh dilaksanakan. Antaranya ialah :
• Ujian pencapaian - ujian yang digubal oleh guru bagi mengukur sejauh mana
sesuatu kumpulan murid atau seseorang murid berkenaan telah menguasai
sesuatu topik yang telah dipelajari.
• Ujian kecerdasan dikenali juga ujian mental - mengukur perbezaan di antara
individu.
• Ujian prestasi - memerlukan para pelajar membuat beberapa tugasan lain
sebagai tambahan kepada menjawab soalan.
• Ujian Diagnostik - mengenal pasti sesuatu perkara atau masalah yang
berlaku dalam pengajaran dan pembelajaran dan menentukan punca-punca
yang menyebabkan masalah berkenaan berlaku
- 24 -
• Ujian kecekapan - ujian yang digunakan oleh seseorang guru untuk menguji
kebolehan atau kecekapan seseorang murid atau calon dalam
melaksanakan sesuatu tugas atau aktiviti yang diberikan.
• Ujian Bakat - ujian dikaitkan dengan aktiviti membuat telahan ke atas calon.
• Ujian personaliti - ujian yang disediakan untuk mengenal pasti potensi diri,
personaliti, tahap kemahiran, keupayaan , minat, nilai dan sikap seseorang
yang diukur melalui alat-alat (instrumen psikologi) yang berbentuk ujian,
inventori, indikator dan indeks.
Pada masa yang sama, satu jadual penentuan (JPU) mestilah dibentuk terlebih
dahulu. JPU merupakan satu blue-print ujian yang perlu dibina untuk menetapkan jenis dan
kandungan ujian yang hendak dibina. JPU yang dibina seharusnya mengikut aras
taksonomi Bloom. Pembinaan JPU ini akan membantu pembina ujian mendapatkan skor
yang boleh dipercayai dan sah dari segi keputusan yang akan dibuat ke atas kandungan
ujian berkenaan.
Seterusnya proses pembinaan item ujian boleh dimulakan setelah adanya JSU.
Bentuk-bentuk item yang dirangka perlulah mempunyai sama ada ciri-ciri instrumen soalan
objektif, soalan berstruktur dan soalan essei. (rujuk lampiran 12 : Contoh muka depan
Soalan Peperiksaan)
Proses pembinaan soalan juga seharusnya berjalan dengan Panduan Memberi
Markah (PMM). Untuk soalan berstruktur dan soalan essei, skema pemarkahan PMM
mestilah menepati kehendak soalan dan mempunyai ciri keobjektifan yang tinggi. Ini
bermakna markah yang diberikan kepada setiap soalan adalah tekal atau konsisten tanpa
mengira siapa yang memeriksa dan dalam situasi apa sekali pun.
- 25 -
Untuk memenuhi ciri keobjektifan ini, pemeriksa perlu menjustifikasi setiap markah
yang diberi secara terperinci kepada elemen fakta/isi , huraian , penggunaan pengurusan
grafik, Pengolahan dan Nilai afektif.
6.2 Analisis keputusan Pencapaian Pelajar
Sebagai sebuah institusi pendidikan yang mengamalkan pemikiran dan tindakan
reflektif, suatu gambaran keputusan secara menyeluruh untuk sesuatu mata pelajaran
perlu diwujudkan demi untuk mengetahui pencapaian semasa pelajar. Melalui tindakan
sebegini, satu proses mengenal pasti permasalahan yang wujud semasa sesuatu sessi
pembelajaran akan dikenalpasti. Seterusnya tindakan susulan ke arah proses
penambahbaikan akan dijalankan. Oleh itu, para pensyarah akan membina Analisis
Keputusan Kerja Kursus Dan Peperiksaan (rujuk lampiran 14 : LAM PT 15-02) untuk
mengukur sejauh mana keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dijalankan
berdasarkan gred kelulusan yang telah dicapai oleh setiap pelajar. Bersandarkan kepada
analisis ini juga perancangan strategik pengajaran dan penilaian sessi pengajaran yang
berikutnya dapat dirangka semula.
6.3 Analisis Perancangan Strategik
Para pensyarah juga boleh mengukur sejauh mana keberkesanan perancangan
mereka melalui Penilaian Sasaran Kerja Tahunan (SKT). Melalui SKT para pensyarah
akan menilai dan membuat refleksi semula perancangan kerja tahunan mereka. Hasil
refleksi tersebut akan membantu membina perancangan kerja pengajaran dan
pembelajaran untuk masa yang akan datang.
- 26 -
7.0 PENUTUP
Sebagai kesimpulannya, dapatlah dilihat bahawa perancangan pengajaran sangat
memerlukan persediaan perancangan yang rapi berdasarkan kepada huraian 5 elemen yang
tersebut. Dalam usaha merealisasikan ”Pendidikan Bertaraf Dunia” semasa perlaksanaan proses
pengajaran dan pembelajaran , aspek kualiti untuk mengapai matlamat pembelajaran berkesan
sememangnya amat diberi perhatian. Usaha ini tidak akan berjaya sekiranya perencanaan awal
yang melibatkan 5 elemen tersebut tidak digarap dan rancang dengan berkesan. Semoga dengan
perbincangan ini, kefahaman serta penghayatan terhadap keberkesanan perancangan
pengajaran akan menjadi lebih bermakna dalam pembinaan modal insan cemerlang pada masa
yang akan datang.
- 27 -
RUJUKAN
Aimee Shahrin Bin Jais (2007) :Sekolah Berkesan : Dari Perspektif Pensyarah IPPM. Jurnal Penyelidikan IPGMKPM. Azwan Ahmad, Abdul Ghani Abdullah, Muhammad Zohir Ahmad dan Abdul rahman Abdul Aziz : Kesan efikasi kendiri guru terhadap Amalan Pengajaran Berbantukan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT), Jurnal Penyelidikan Pendidikan Jilid 7, BPPDP, KPM Dis 2005. Brown, M. G., Foote, J. T., Jones, G. J. F., Sparck Jones, K. And Young, S. J. ((1994) Open-Vocabulary Speech Indexing For Voice And Video Mail Retrieval. Proc. Of Multimedia'96, 307-316, Boston, Ma. Edgar Dale ( 1964 ) - Cone of Experience - Educationist 1940s Koh Boh Boon (1992) Kajian Pendidikan Khas dan Pemulihan Bacaan Merrill, M. David, and David G. Twitchell, (1994.). editors. Instructional Design Theory Englewood Cliffs, NJ: Educational Technology Publications Mohd Zaliman Yusoff and Benedict du Boulay. (2001). Artificial Intelligence in Education. Building Learning Systems that Care: from Knowledge Representation to Affective Modelling AIED2009 14th International Conference on Artificial Intelligence in Education, volume 200 of Frontiers in Artificial Intelligence and Applications, pages 623-625, Brighton, UK, 2009. IOS Press . Mok Soon Sang dan Lee Shok Mee (1986); Kurikulum baru Sekolah Rendah , Tahap 1Siri Maktab Perguruan Heinemann Asia, Kuala Lumpur Noraziah Abdul Hamid (1981) : Alatan Mengajar Dalam Pengajaran Bahasa Norhashim Abu Samah, Mazenah Youp, Rose alinda Alias (1996), Penyelidikan Pengajaran Bantuan Komputer . Salinat Mohamed Ali, Hj Yahya Panot, Zamzam Abdul Rashid, Sabariah Ibrahim, Dr Jennifer Wee Beng Neo dan Hj Syed Nokman Syed Abu Bakar : Kajian Kes Persepsi Terhadap Pensyarah Di Jabatan Pendidikan Ilmu Pendidikan Sharifah Alwiah Alsagoff, (1983 ) Ilmu Pendidikan : Pedagogi , Heinemann Asia, Kuala Lumpur Skinner, B.F. (1954). The science of learning and the art of teaching. Harvard Educational Review, 24(2), 86-97 Suresh Nair & Malar a/p Muthiah (2005): Penggunaan Konstruktivisme Lima fasa Needham Dalam Pembelajaran” : Malaysian Journal Of Educators and Education 20th edition
- 28 -
Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)
Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979
Panduan Pelaksanaan Program Pengkomputeran di Sekolah, BTP, KPM, Julai 2002 Pembangunan Pendidikan 2001-2010 Kementerian Pelajaran Malaysia
Cetakan Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
- 29 -
Top Related