PUSAT PENYELIDIKAN ARKEOLOGI GLOBAL, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA
KURSUS UAW 101 PENGANTAR AKREOLOGI
TAJUK: PENGKEBUMIAN PRASEJARAH
PENGENALAN
Kematian merupakan proses pemisahan roh dari jasad si mati. Ia dikatakan sebagai satu
transisi untuk kehidupan yang lebih baik di alam kedua. Matlamat ini hanya boleh dicapai
selepas kematian. Selepas kematian, roh si mati perlu dijauhi agar tidak mengganggu yang hidup.
Bagi masyarakat yang mempunyai budaya atau kepercayaan, si mati akan dikebumikan mengikut
kepercayaan masyarakat ketika itu. Amalan pengebumian telah diamalkan sejak 100 000 tahun
dahulu.
Pengebumian merupakan satu proses atau upacara untuk menghantar si mati ke alam lain.
Upacara pengebumian ini juga merupakan penghormatan terakhir kepada si mati dan sebagai
laluan ke dunia lain selepas kematian. Bagi sesetengah kepercayaan, tempat pengebumian
merupakan tempat suci yang harus dihormati dan dijaga. Sesetengah budaya amalan
menggunakan serbuk merah yang terhasil dari batu hematit dijadikan salah satu dari upacara
pengebumian. Serbuk merah ini melambangkan darah. Manusia memerlukan darah untuk hidup.
Oleh yang demikian, serbuk merah ini akan ditaburkan kepada si mati ketika upacara
pengebumian bagi membekalkan darah kepada si mati untuk hidup di alam selepas kematian.
Bagi sesetengah budaya juga, alat kiriman seperti alat batu, tembikar, makanan dan sebagainya
ditanamkan bersama-sama si mati untuk kegunaannya di alam lain. Kehadiran barang kiriman ini
berubah mengikut perubahan zaman.
Bab ini akan menerangkan jenis-jenis pengebumian yang wujud sejak zaman prasejarah.
Contoh pengebumian akan diberikan yang melibatkan beberapa contoh pengebumian penting di
seluruh Malaysia. Selain itu, penerangan juga akan menyentuh tentang ciri-ciri pengebumian
yang terdapat di Malaysia beserta contoh-contoh pengebumian.
JENIS-JENIS PENGEBUMIAN
Ketika zaman prasejarah, sistem tulisan masih belum wujud untuk menceritakan amalan
kepercayaan dan budaya masyarakat ketika itu. Oleh yang demikian, melalui pengebumian
prasejarah ini kita boleh mengetahui sistem sosial, kepercayaan, agama dan budaya masyarakat
ketika itu. Cara mayat dikebumikan merupakan jawapan penting bagi arkeologis. Antara bentuk
pengebumian yang diamalkan ialah mayat diletakkan memanjang seperti keadaan sedang tidur,
kedudukan berlipat, mayat diletakkan dalam struktur binaan bertutup, diawetkan dan sebagainya.
Bagi sesetengah pengebumian, mayat akan dikirimkan dengan barang kiriman. Melalui barang
kiriman ini arkeologi boleh mengetahuan kebudayaan si mati. Pengebumian prasejarah boleh
dibahagikan kepada 6 ketegori iaitu a) tulang/rangka (bones), b) kubur (grave), c) perkuburan
(cemetery), d) makam (tombs), e) mayat (corpses) dan f) mumia (mummy). Penemuan
pengebumian jenis tulang dan kubur boleh dijumpai pada zaman paleolitik. Manakala
pengebumian jenis kubur dan perkuburan boleh dijumpai pada zaman akhir paleolitik sehingga
akhir zaman logam.
a) TULANG/RANGKA
Tulang atau rangka merupakan penemuan ahli arkeologi secara tidak sengaja. Penemuan
rangka selalunya tidak lengkap dan dalam keadaan terganggu. Antara gangguan adalah
disebabkan oleh faktor semulajadi seperti banjir, runtuhan salji, tanah runtuh, bawaan haiwan
pemangsa dan sebagainya. Rangka yang ditemui melalui cara ini biasanya tiada bukti
pengebumian dan barang kiriman.
Salah satu contoh rangka manusia yang ditemui dengan cara pengebumian ini ialah Lucy.
Rangka Lucy ditemui pada 30th
of November 1974 di Hadar, bahagian tengah Afar, Ethiopia.
Lucy merupakan manusia dari kumpulan Australopithecus afarensis. Manusia dari kumpulan ini
memiliki sifat separuh manusia dan orang utan (ape). Lucy merupakan rangka manusia jantina
perempuan berdasarkan kepada bentuk tulang pinggul dan saluran peranakan. Semasa
kematiannya, Lucy dijangkakan berusia akhir belasan tahun dan awal dua puluhan berdasarkan
kepada kesan penggunaan gigi geraham bongsu yang telah rosak. Kerosakan gigi geraham
bongsu menunjukkan penggunaan gigi ini selama beberapa tahun.
Bagi kawasan Asia pula, rangka Manusia Jawa dan Manusia Peking merupakan rangka
yang penting dalam sejarah arkeologi. Manusia Jawa dijumpai di Trinil, Sungai Solo, Jawa,
Indonesia. Manusia Jawa ini ditemui oleh ahli anatomi, Eugene Dubois pada tahun 1891.
Manusia Jawa ini hanya menemui tempurung kepala dan gigi. Berdasarkan penemuan ini,
Manusia Jawa ini tergolong dalam kumpulan Pithecanthropus erectus atau “up-right ape man”.
Selain itu, tiada penemuan alat batu atau apa-apa tinggalan arkeologi ditemui bersama-sama
rangka Manusia Jawa ini.
Manusia Peking pula ditemui di Gua Zhoukoudian, Peking pada tahun 1928 oleh ahli
anatomi Kanada, Davidson Black. Manusia Peking merupakan manusia dari kumpulan Homo
erectus dengan bukti kebudayaan yang tinggi. Antara tinggalan arkeologi yang ditemui bersama-
Ketinggian Lucy dijangkakan 1.1m (3kaki 7inci). Dia berjalan
menggunakan dua kali dengan tulang belakangnya sedikit
membengkok. Jari tangan dan kaki Lucy juga membengkok
menunjukkan bahawa dia memanjat pokok untuk mendapatkan buah-
buahan, kekacang dan mungkin juga untuk menyelamatkan diri dari
pemangsa. Berdasarkan analisis polen dan tulang haiwan, Lucy
dijangkakan hidup sekitar 3 juta tahun dahulu dengan persekitaran
padang lapang sehingga ke kawasan hutan. Ketika rangka Lucy ini
ditemui, ia tidak menunjukkan bukti pengebumian dan kesan serangan
pemangsa. Lucy dijangkakan mati disebabkan kesakitan melampau atau
lemas di dalam tasik dan seumpamanya. Kemudian rangka Lucy telah
tertanam dengan pasir dan lumpur.
Rangka Lucy
sama Manusia Peking ialah alat batu, tulang haiwan dan lapisan abu. Melalui penemuan ini jelas
membuktikan Manusia Peking ini menjalankan aktiviti memburu dan memungut buah-buahan,
herba dan ubi. Selain itu, Manusia Peking sudah mempunyai kemahiran membuat alat batu dan
menghidupkan api.
b) KUBUR
Kubur merupakan rumah atau ruang untuk menempatkan mayat. Biasanya lubang khas akan
digali untuk menempatkan mayat. Upacara pengebumian juga akan dijalankan mengikut budaya
dan kepercayaan sesuatu kaum. Cara pengebumian ini adalah tanpa menggunakan keranda atau
kayu pelapik lain. Biasanya mayat akan dikebumikan dengan kiriman. Pengebumian secara
kubur ini telah bermula sejak zaman awal pleistosen.
Contoh pengebumian secara kubur ialah rangka Neanderthal. Istilah Neanderthal terasal
dari nama tempat fosil ini ditemui iaitu di Gua Feldhofer di lembah Neander, German pada tahun
1856 (thal membawa maksud lembah (valley)). Kajian rangka Neanderthal bermula apabila
penemuan tulang tengkorak Neanderthal di Engis, Belgium pada tahun 1829 dan di Forbes’
Quarry, Gibraltar pada tahun 1848. Masyarakat Neanderthal ini dijangkakan tinggal di kawasan
barat eropah hingga kawasan tengah Asia sekitar 200,000 hingga 28,000 tahun dahulu
(pertengahan hingga akhir pleistosen). Neanderthals merupakan manusia dari kumpulan Homo
sapiens neanderthalensis atau dari kumpulan Homo neanderthalensis. Sebanyak lebih dari 400
tulang Neanderthal ditemui sehingga kini.
Mengikut kajian sainstifik, masyarakat Neanderthal ini berdiri tegak dan bergerak dengan
dua kaki. Kapasiti otaknya kira-kira 1,500 cu cm (about 90 cu in) iaitu besar sedikit dari
kebanyakan kapasiti otak manusia moden sekarang. Masyarakat Neanderthal ini kaya dengan
kebudayaan sendiri antaranya kepercayaan simbolik seperti upacara pengebumian. Kebanyakan
rangka tulang Neanderthal ini dijumpai hampir lengkap jika dibandingkan dengan kumpulan
manusia homo yang lebih awal kerana masyarakat Neanderthal sudah mula menjalankan
pengebumian secara kubur. Masyarakat Neanderthal ini juga mempunyai pengetahuan untuk
menghasilkan sejenis alat batu yang dikenali sebagai Mousterian.
Salah satu contoh kubur Neanderthal
c) PERKUBURAN
Perkuburan merupakan tempat khas untuk pengebumian mayat. Ia berkaitan rapat dengan
penempatan prasejarah. Di kawasan perkuburan ini didapati lebih dari 1 rangka dikebumikan
bersama-sama. Kebanyakan dikebumikan mengikut keluarga atau keturunan. Barang kiriman
juga akan dikebumikan bersama-sama si mati. Salah satu contoh pengebumian secara perkuburan
ialah Khok Phanom Di. Khok Phanom Di merupakan penempatan prasejarah yang terletak di
selatan Thailand. Tapak ini dihuni sekitar 2000 dan 1500 BC berdasarkan pentarikhan
radiokarbon. Sebanyak 154 kubur yang ditemui di sini. Kubur ini diasingkan mengikut kelompok
tertentu. Kelompok ini dipisahkan dengan kehadiran struktur kayu dan tinggalan lubang. Setiap
rangka dalam kelompok yang sama dijangkakan dari keluarga atau keturunan yang sama.
Berdasarkan kajian, sebanyak 9 kluster/kelompok ditemui yang mewakili keluarga yang berbeza.
Barang kiriman seperti tembikar turut ditemui dikebumikan bersama-sama dengan di mati.
Salah satu rangka yang ditemui di tapak Khok Phanom Di dikenali sebagai ‘the Princess of
Khok Phanom Di. Rangka ini dijangkakan merupakan sesorang yang kaya pada ketika itu kerana
paling banyak barang kiriman ditemui di kuburnya. Kira-kira 122,000 manik cengkerang, pasu
tembikar tanah dan peralatan untuk pembuatan tembikar ditemui berasosiasi dengan rangka ini.
Dua lagi rangka manusia perempuan turut ditemui dalam kluster ini.
Contoh perkuburan di Khok Phanom Di
d) MAKAM
Makam merupakan rumah untuk si mati disemadikan. Kebanyakkan makam dibina untuk
melambangkan keagungan dan kemewahan si mati. Makam ini biasanya dibina untuk keluarga
Raja dan bangsawan, pembesar dan orang yang berpangkat tinggi. Makam mempunyai pelbagai
bentuk dan saiz, antaranya berbentuk piramid, rumah, tugu peringatan, bulat, di dalam bukit dan
sebagainya. Pembinaan sesebuah makam mengambil masa yang lama. Selain itu, si mati turut
dikebumikan bersama-sama artifak dan harta. Upacara keagamaan/pengebumian khas akan
dijalankan ketika mayat dimakamkan.
Contoh makam yang terawal di China ialah Makam Raja Liu Sheng dan permaisurinya di
Mancheng, selatan Beijing. Makam ini terletak di sebalik batuan tepi bukit. Raja Liu Sheng mati
pada tahun 113BC. Struktur makam baginda terdiri dari laluan masuk dan empat bilik. Keluasan
makan ini kira-kira 3000m2
(100000ft3). Semasa kematiannya, baginda dan permaisurinya
dikebumikan dengan persalinan mewah yang dipenuhi dengan batu jade yang dijahit dengan
benang emas. Setiap satu persalinan dijahit dengan 2500 batu jade. Menurut kepercayaan kuno
China, batu jade ini mampu untuk memelihara fizikal si mati.
Keistimewaan makam Raja Liu Sheng ini dilindungi dengan ribuan tentera terracotta.
Askar terracotta ini ada yang menyerupai pahlwan, kereta berkuda, pegawai, manusia gagah dan
juga pemuzik. Sebanyak 8000 askar, 130 kereta berkuda dengan 520 kuda, 150 pasukan askar
berkuda yang tertanam didalam tiga lubang yang terdapat di dalam makam ini. Kebanyakkan
dari jumpaan ini masih tertanam dalam lubang.
Sebahagian kawasan makam dan tentera terracotta yang ditemui di Makam Raja Liu Sheng
e) MAYAT
Mayat merupakan manusia yang tidak bernyawa. Dalam istilah arkeologi, mayat
dicirikan dengan kehadiran isi atau kulit yang terawet secara sengaja atau semulajadi. Penemuan
mayat ini biasanya tiada bukti pengebumian. Kebanyakkan mayat ini mati akibat bencana,
kemalangan atau tidak senjaga. Antara contoh mayat ialah The Iceman (Manusia Ice). Manusia
Ice ini dijumpai pada tahun September 1991 di glasier Similaun, Ötztaler Alps. Ötztaler Alps ini
terletak di antara sempadan Austria dan Itali.
Berdasarkan kajian, Manusia Ice mati disebabkan oleh kepenatan terlampau di atas
gunung atau mungkin juga terperangkap di dalam kabus atau ribus salji. Selepas kematian
mengejutnya dijuram bukit, mayatnya ditutupi oleh salji. Ini melindungi mayat dari dimakan
oleh pemangsa dan secara tidak langsung mayat telah terawet secara semulajadi. Angin panas
ketika musim luruh telah menyebabkan air didalam tubuhnya tersejat seterusnya membeku
menjadi ais. Manusia Ice ini menunjukkan jantina lelaki berkulit gelap dengan ketinggian 1.57m.
Manusia Ice ini dijangkakan berusia pertengahan atau akhir 40an. Berdasarkan dari perawakan
dan bentuk tubuhnya, Manusia Ice ini menyerupai bentuk tubuh masyarakat Itali dan Switzerland
pada akhir zaman Neolitik. Berdasarkan kepada keputusan pentarikhan radiokarbon, Manusia Ice
ini hidup sekitar 3365-2940BC. Bersama-sama dengan mayat Manusia Ice ini turut dijumpai
pelbagai jenis kayu, kapak, mata pisau, busur, anak panah, pisau pendek dan sebagainya.
Berdasarkan penemuan tinggalan artifak ini jelas menunjukkan Manusia Ice ini mati ketika
dalam perjalanan pulang setelah memungut hasil hutan.
Rangka Manusia Ice yang ditemui di Ötztaler Alps
f) MUMIA
Istilah mumia berasal dari proses pengawetan mayat oleh masyarakat di Barat Tengah
untuk pengebumian. Mayat ini akan diawetkan secara sengaja mengikut amalan kebudayaan
sesuatu masyarakat. Upacara pengebumian khas biasanya akan dijalankan. Mayat akan
dilengkapkan dengan pakaian, perhiasan diri dan beberapa barang kiriman. Biasanya mayat
ditemui dalam keadaan terpelihara dengan tinggalan pakaian, rambut, kulit dan perhiasan diri.
Contoh mumia yang tertua di dunia ialah Chinchorro. Mumia Chinchorro ini ditemui di pantai
Chinchorro, Arica, yang kini terletak di antara kawasan utara Chile dan selatan Peru. Mumia ini
dijangkakan hidup sekitar 6000 dan 1500 BC.
Penyediaan si mati kepada mumia dimulakan dengan memotong bahagian kepala, tangan
dan kaki si mati. Tujuan pemotongan ini untuk memudahkan mengeluarkan isi dan organ
dalaman si mati. Setelah itu, keseluruhan kulit badan si mati dikeluarkan. Isi badan, tulang, otak
dan organ dalaman si mati kemudiannya di keringkan dengan arang berbara. Isi badan si mati
kemudiannya disi dengan rumput dan abu untuk menggantikan isi daging yang dikeluarkan.
Setelah mayat siap disediakan, struktur tangan, kepala dan kaki dicantumkan semua dengan
bahagian abdomen si mati. Kayu diletakkan ditengah-tengah badan bagi menggantikan tulang
rusuk dan beberapa tulang utama. Cantuman antara struktur badan menggunakan abu putih.
Kulit kepala dan rambut si mati akan dicantumkan semula dengan kepala si mati. Pada akhir
proses mumia, seluruh badan si mati akan dibalutkan dengan kain atau baju berwarna gelap.
Teknik peyediaan mumia di Chile berkembang lebih awal berbanding teknik mumia di
Mesir. Teknik penyediaan mumia di Chile dijangkakan bermula 2000 tahun lebih awal
berbanding di Mesir. Selain Mumia Chinchorro, mumia kanak-kanak Inca ditemui di atas bukit
di bahagian tengah Chile hingga Selatan Peru. Lebih dari ratusan mumia kanak-kanak ditemui
yang dijadikan korban untuk upacara penyembahan kepada Tuhan gunung dan matahari.
Kepercayaan kepada Tuhan matahari ini juga mempunyai persamaan dengan masyarakat Mesir
kuno. Masyarakat Mesir kuno percaya bahawa pemeliharaan tubuh si mati adalah penting untuk
membolehkan roh di dalam tubuh si mati terus hidup. Teknik pengawetan mumia Mesir sedikit
berbeza dengan teknik yang digunakan di Chile dan Peru. Pengawetan mumia Mesir lebih maju
berbanding di Chile dan Peru. Masyarakat mesir kuno menggunakan bahan semulajadi seperti
pokok herba menggantikan isi daging yang dikeluarkan. Selain itu, serbuk soda karbonat turut
ditaburkan diatas tubuh si mati sebelum tubuh di balut dengan kain atau pakaian.
CONTOH PENGEBUMIAN DI MALAYSIA
Kebanyakan penemuan rangka pengebumian di Malaysia ditemui di dalam gua
berbanding kawasan terbuka. Malah, kesemua rangka ini ditemui tidak lebih dari zaman
Mumia Chinchorro Mumia Mesir
pertengah Pleistosen kira-kira 10,000 tahun dahulu disebabkan oleh faktor cuaca Malaysia.
Malaysia mempunyai iklim panas dan lembap sepanjang tahun dan ini menyebabkan adalah
mustahil untuk memelihara rangka manusia dengan keadaaan tanah yang berasid. Rekod
pengebumian prasejarah di Malaysia menunjukkan kebanyakan rangka manusia dikebumikan
dalam kedudukan berlipat ataupun memanjang. Rangka manusia yang berlipat adalah lebih tua
berbanding rangka manusia yang ditanam dalam kedudukan memanjang. Pengebumian rangka
manusia dalam kedudukan berlipat paling tua ditemui di Malaysia ialah di Gua Niah, Sarawak
iaitu kira-kira pada zaman pertengahan Pleistosen berdasarkan pentarikhan radiokarbon.
Manakala Manusia Perak merupakan rangka manusia zaman Holesen yang cukup terkenal di
Malaysia.
a) Ciri Pengebumian Paleolitik
Ciri pengebumian awal di Malaysia bermula secara kubur. Kedudukan mayat ketika
dikebumikan adalah dalam keadaan berlipat. Pada zaman ini tiada upacara pengebumian khas
dijalankan. Masyarakat ketika ini telah mula mempercayai kewujudan alam lain selepas
kematian. Ini boleh dibuktikan dengan penemuan barang kiriman seperti alat batu dan sisa fauna.
Selain itu, barang kiriman diletakkan dalam kedudukan yang tidak tersusun menunjukkan
masyarakat ketika ini tiada adat atau etika tertentu dalam proses pengebumikan si mati. Bagi
kepercayaan masyarakat prasejarah, tempat yang ada berlakunya kematian perlu ditinggalkan
untuk menghindari dari malapetaka atau nasib yang tidak baik.
Contoh yang jelas berhubung ciri pengebumian Paleolitik di Malaysia ialah Manusia
Perak. Manusia Perak ditemui di Gua Gunung Runtuh, Lenggong, Perak pada tahun 1990 oleh
Prof. Dato Zuraina Majid dan pasukan penyelidik Universiti Sains Malaysia. Manusia Perak
merupakan seorang lelaki dari kumpulan Australo-Melanesoid. Manusia Perak mati ketika dia
berusia 40an. Manusia Perak ini berketinggian 154 cm iaitu kira-kira 5 kaki. Manusia Perak ini
ditanamkan dengan kedudukan fetal dalam kandungan iaitu bahagian lutut kaki berada di atas
perut, tangan kiri terletak di bahagian perut manakala tangan kanan mencecah hujung bahu.
Selain itu tinggalan sisa fauna dan cengkerang ditemui di bahagian bahu kanan, bahu kiri
sehingga ke bahagian kaki. Manakala, alat batu turut ditemui di sekeliling badan lelaki Perak.
Tapak Gua Gunung Runtuh ini tiada menjumpai bukti pengebumian lain selain Manusia Perak.
Berdasarkan pentarikhan radiokarbon, Manusia Perak ini hidup sekitar 10120±110BP.
Manusia Perak ini menghidap penyakit kecacatan genetik yang dikenali sebagai
brachymesophalangia. Kecacatan ini menyebabkan jari dan tangan kirinya lebih pendek
daripada bahagian kanan. Manusia Perak ini dijangkakan seorang yang dihormati kerana beliau
boleh hidup sehingga berusia 40an dengan kecatatan yang dialaminya. Manusia Perak ini
dijangkakan dijaga dengan baik oleh masyarakat sekelilingnya disebabkan ilmu pengetahuannya
tentang pemburuan dan memugut misalnya. Manusia Perak juga disayangi oleh masyarakat
ketika itu berdasarkan bukti barang kiriman seperti alat batu dan sisa fauna yang banyak.
b) Ciri Pengebumian Neolitik
Pengebumian Neolitik di Malaysia berusia antara 3,000-5,000 tahun dahulu. Pada zaman ini,
ciri pengebumian yang diamalkan adalah secara kubur. Namun pada zaman ini, perubahan dari
segi cara kebumikan mayat boleh dilihat. Mayat mula dikebumikan dengan kedudukan
memanjang berorientasikan utara-selatan. Selain itu, perubahan juga boleh dilihat dari segi
barang kiriman yang lebih kompleks seperti tembikar, alat perhiasan diri, alat batu, alat dari
cengkerang, tulang dan makanan. Barang kiriman ini juga diletakkan pada kedudukan tertentu
Kedudukan Manusia Perak ketika dikebumikan Ilustrasi pergerakan
Manusia Perak
sekitar badan. Berdasarkan penemuan barang kiriman, masyarakat yang hidup ketika ini juga
mempercayai wujudnya alam selepas kematian. Kesan serbuk merah yang terhasil dari batuan
hematit juga menunjukkan upacara pemujaan atau sebagainya dijalankan ketika dikebumikan.
Susunan dan jenis barang kiriman boleh memberi gambaran tentang status si mati.
Contoh pengebumian Neolitik di Malaysia ialah di Gua Cha, Kelantan. Kebudayaan Neolitik
di Gua Cha bermula kira-kira 3000 tahun dahulu. Rangka di Gua Cha menunjukkan
pengebumian secara kubur dengan kedudukan mayat diletakkan memanjang berorientasikan
utara-selatan. Antara barang kiriman yang ditemui berasosiasi dengan rangka ini ialah tembikar
tanah jenis cord-marked, sisa fauna seperti siput, alat batu beliung, alat batu membuat pakaian,
dan alat perhiasan diri.
Salah satu rangka manusia yang ditemui di
Gua Cha, Kelantan.
c) Ciri Pengebumian Zaman Logam
Zaman Logam menunjukkan ciri pengebumian secara kubur dan kubur batuan cist. Pada
zaman ini mayat ditanam secara memanjang arah utara selatan dengan beberapa barang kiriman.
Perbezaan pengebumian zaman Logam dengan zaman Neolitik ialah dengan kehadiran artifak
logam. Berdasarkan bukti kehadiran kesan hematit dijangkakan upacara kepercayaan dijalankan
ketika proses pengebumian. Contoh pengebumian secara kubur pada zaman Logam ialah
penemuan rangka manusia di Gua Harimau, Lenggong, Perak. Ekskavasi pada tahun 1995 oleh
Zolkurnian Hassan, pelajar sarjana Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains
Malaysia telah mendedahkan 4 bukti pengebumian sekitar 3000BP. Berdasarkan tinggalan
rangka yang ditemui, dijangkakan mayat ini dikebumikan secara memanjang. Rangka manusia
ini berasosiasi dengan barang kiriman seperti tembikar, alat batu, kapak gangsa, acuan kapak
gangsa, perhiasan diri dari batu dan cengkerang, hematit dan sisa fauna.
Kubur batuan cist pula mula ditemui di Changkat Menteri, selatan Perak. Sejak itu,
beberapa lagi kubur jenis batuan ini ditemui di kawasan tengah Lembah Bernam, Selatan Perak
dan Selangor. Batuan slab atau granit ini akan diletakkan pada kedudukan tersusun supaya
cerunan batuan ini akan tercerun ke bahagian dalam. Cerunan batuan ke bahagian dalam akan
mengukuhkan lagi binaan kubur batuan ini. Manakala, batuan granit yang lebih berat akan
diletakkan dibahagian atas sebagai struktur bumbung untuk mengukuhkan lagi binaan ini.
Berdasarkan rekod arkeologi, tiada bukti tinggalan tulang atau rangka manusia yang ditemui di
dalam kubur batuan ini. Namun binaan batuan ini dijangkakan berfungsi sebagai sebuah kubur
berdasarkan penemuan beberapa barang kiriman dan perbandingan dengan penemuan kubur
batuan di negara lain, Di Jawa tengah, Indonesia misalnya, rangka manusia ditemui di dalam
kubur batuan ini dengan kedudukan mayat dikebumikan secara memanjang utara-selatan. Antara
barang kiriman yang ditemui di dalam kubur batuan di Changkat Menteri ialah alat logam,
tembikar tanah, barang perhiasan, manik, serpihan kaca dan beberapa batuan berharga seperti
carnelians dan batu kristal. Berdasarkan penemuan barang kiriman ini, dijangkakan kubur batuan
ini dibina untuk golongan berpangkat tinggi. Keputusan pentarikhan radiokarbon menunjukkan
kuburan batuan ini dibina sekitar abad pertama hingga ketujuh.
BAHAN BACAAN
Paul G. Bahn (1996) Tombs, Graves & Mumies, Weidenfeld & Nicolson. London
Henry Garnet (1964) ‘Tombs of Kings’, DALAM Treasures of Yesterday, The Natural History Press, Garden City,
New York, ms 100-181.
Pengebumian zaman logam yang ditemui
di Gua Harimau, Lenggong, Perak.
‘Cist Grave’ yang ditemui di
Changkat Menteri, Perak
Sklenar, Karel ( 1988) ‘Graves’, DALAM Hunters of the Stone Age, Hamlyn Publishing Group Limited, ms, 78- 89
Peter Rowley- Conwy (1993) ‘ Was there a Neanderthal religion ?, DALAM Goran Burenhult (ed.) The first
Humans, HarperSanFrancisco, ms 70-73.
Zurina Majid (1994) The Excavation of Gua Gunung Runtuh and the Discovery of the Perak Man in Malaysia,
Department of Museum and Antiquity, Kuala Lumpur.