Tugasan Kumpulan Peranan EIA
-
Upload
roger-nasip -
Category
Documents
-
view
294 -
download
3
Transcript of Tugasan Kumpulan Peranan EIA
Tugasan kumpulan:Penilaian Alam Sekitar dari aspek perundangan Malaysia. 2012
Pengenalan
Penilaian Impak Alam Sekitar atau Environmental Impact Assessment (EIA) telah mula
diperkenalkan bermula di Amerika Syarikat pada tahun 1970. Semenjak itu, EIA diamalkan di
hampir seluruh dunia dan menjadi satu trend yang memfokuskan impak-impak utama terhadap
alam sekitar. Jabatan Alam Sekitar Malaysia mendefinisikan EIA sebagai satu penyelidikan
yang dijalankan untuk mengenalpasti, meramal, menilai dan menyampaikan maklumat
tentang impak terhadap alam sekitar bagi setiap projek yang akan dijalankan dan penjelasan
tentang langkah-langkah yang perlu dijalankan bagi memastikan kesan terhadap alam
sekitar diminimumkan setelah sesuatu projek diluluskan.
EIA sangat diperlukan sebagai mekanisma kawalan untuk mengelakkan masalah alam sekitar
yang mungkin disebabkan oleh pelaksanaan sesuatu projek. EIA memastikan yang masalah yang
berkemungkinan akan timbul dilihat secara kolektif dan dinilai daripada awal pelaksanaan
projek. Justeru, keadaan ini dilihat sebagai satu peluang untuk mengelakkan kesilapan besar
daripada berlaku sewaktu pelaksanaan projek, sama ada disebabkan oleh kemungkinan masalah-
masalah alam sekitar timbul ataupun disebabkan perubahan yang diperlukan bagi
memininmumkan kesan terhadap alam sekitar. EIA apabila diaplikasikan dalam perancangan dan
struktur penyelesaian masalah, memberikan maklumat tambahan untuk membuat keputusan yang
lebih baik.
Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 1985 telah menyatakan keperluan
undang-undang untuk EIA bagi aktiviti-aktiviti yang telah ditentukan. Walaubagaimanapun,
Menteri berhak menentukan mana-mana aktiviti yang mungkin mempunyai impak yang
signifikan kepada alam sekitar untuk disenaraikan dalam aktiviti yang memerlukan kelulusan
EIA. Mana-mana pihak yang berhasrat untuk menjalankan mana-mana aktiviti yang telah
disenaraikan, mestilah menghantar laporan EIA kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar
sebelum mendapat apa-apa kelulusan daripada mana-mana pihak berkuasa yang relevan.
Laporan tersebut harus mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Ketua Pengarah dan
harus mengandungi penilaian terhadap kehadiran impak aktiviti tersebut kepada alam sekitar.
Laporan tersebut juga harus mempunyai cadangan langkah-langkah yang perlu diambil untuk
mengelakkan, mengurangkan atau mengawal impak tersebut kepada alam sekitar.
1
Tugasan kumpulan:Penilaian Alam Sekitar dari aspek perundangan Malaysia. 2012
Definisi EIA
Apakah itu Penilaian Kesan Alam Sekitar “Environmental Impact Assessment” (EIA)?Menurut
United Nations Environmental Programme (UNEP), “EIA adalah suatu kajian bagi
mengenalpasti, meramal dan menghuraikan akan kebaikan dan keburukan sesuatucadangan
projek pembangunan. Kajian ini perlu adanya hubungan komunikasi di antara pihak-pihak
terlibat iaitu masyarakat setempat, pemaju dan pihak berkuasa bagimelicinkan keadaan”.
Manakala Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sains, Teknologidan Alam Sekitar mendefinisikan
“EIA sebagai satu kajian mengenalpasti, meramal,menilai dan mendapatkan informasi
melalui komunikasi yang dibuat terhadap pihak- pihak terlibat, yang mana ianya berkaitan
dengan kesan terhadap alam sekitar yang berpunca dari cadangan projek pembangunan.
Disamping itu juga, EIA juga menyenaraikan langkah-langkah mitigasi sebelum projek
pembangunan berkenaan diluluskan dan beroperasi.”
Jadi dari definisi-definisi yang diberikan oleh dua agensi di atas jelas kepada kita bahawaEIA
adalah satu kajian penilaian terhadap sesuatu cadangan projek pembangunan yang akan
memberi kesan kepada alam sekitar. Kajian ini akan meneroka, mencari dan meramal segala
kesan samada kebaikan atau keburukan terhadap alam sekitar yang akan berpunca daripada
cadangan projek pembangunan berkenaan. Hasil daripada kajian ini akan membantu pemaju
untuk menggunakan kaedah terbaik di dalam usaha pemaju memajukan cadangan projek
pembangunan berkenaan dengan dapat mengelakkan kesan buruk ke atas alam sekitar. Di
samping itu juga pihak berkuasa melalui kajian ini,dapat mengawasi pihak pemaju daripada
melakukan aktiviti-aktiviti yang akan memberikan kesan buruk ke atas alam sekitar.
2
Tugasan kumpulan:Penilaian Alam Sekitar dari aspek perundangan Malaysia. 2012
EIA dan perundangan di Malaysia
EIA adalah sangat penting di dalam sistem perancangan pembangunan. Di dalam
sistem perancangan pembangunan, EIA memainkan peranan sebagai satu kaedah dan cara bagi
mengelakkan masalah pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada aktiviti-
aktiviti pembangunan. EIA juga cuba mengelakkan daripada berlaku perbelanjaan kos yang amat
tinggi daripada kecuaian di dalam menangani sesuatu projek pembangunan.Sehubungan dengan
itu Seksyen 34A(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Akta 127)memberi kuasa kepada
Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar untuk menyenaraikan aktiviti-aktiviti yang dirasakan
akan memberi kesan kepada alam sekitar selepas berbincang dengan Majlis Kualiti Alam
Sekeliling. Senarai aktiviti-aktiviti berkenaan dimuatkan di dalam Perintah Kualiti Alam
Sekeliling (Penilaian Kesan Alam Sekeliling) 1987. Di dalam Perintah ini terdapat 19 jenis
aktiviti-aktiviti disenaraikan. Aktiviti-aktiviti berkenaan ialah;
1. Pertanian
2. Lapangan terbang
3. Pengairan san saliran
4. Tebusguna tanah
5. Perikanan
6. Perhutanan
7. Perumahan
8. Perindustrian
9. Infrastruktur
10. Pelabuhan
11. Perlombongan
12. Petroleum
13. Penajaan dan pemancaran kuasa
14. Kuari
15. Rangkaian keretapi
16. Pengangkutan
17. Pembangunan peranginan dan Rekreasi
3
Tugasan kumpulan:Penilaian Alam Sekitar dari aspek perundangan Malaysia. 2012
18. Perkhidmatan pelupusan bahan buangan
19. Bekalan air.
Apabila suatu aktiviti yang disenaraikan di dalam Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Penilaian
Kesan Alam Sekitar) 1987, hendak dijalankan maka pemaju aktiviti berkenaan perlu
menyediakan dan menyerahkan satu laporan kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar
dan laporan berkenaan perlu mengandungi penilaian kesan aktiviti berkenaan terhadap alam
sekitar serta melampirkan bersama-sama cadangan langkah-langkah yang perlu diambil bagi
mengawal, mengelak danmengurangkan kesan buruk terhadap alam sekitar.
Selepas Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar membaca, meneliti dan memeriksa laporan yang
dikemukakan oleh pemaju berkenaan maka Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar boleh
samada meluluskan atau tidak meluluskan laporan berkenaan. Ketua Pengarah Jabatan Alam
Sekitar akan meluluskan laporan berkenaan jika beliau berpuashati dengan laporan berkenaan
yang mana memenuhi syarat keperluan yang dikehendaki olehSeksyen 34A (2) Akta Kualiti
Alam Sekeliling 1974 iaitu laporan berkenaan menjelaskan akan tindakan dan langkah-langkah
yang akan diambil bagi mengelak, mengawal atau mengurangkan kesan burukn ke atas alam
sekitar.
Manakala Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar dibenarkan untuk tidak meluluskanlaporan
berkenaan jika pada pendapat beliau laporan berkenaan tidak mengikut apa yangdikehendaki
oleh syarat keperluan di bawah Seksyen 34A (2) Akta Kualiti AlamSekeliling 1974 dan tindakan
serta langkah-langkah yang akan diambil bagi mengelak,mengawal atau mengurangkan kesan
keburukan ke atas alam sekitar tidak memuaskan.Sehubungan dengan itu, Ketua Pengarah
Jabatan Alam Sekitar akan memberi alasan beliau tentang penolakkan laporan berkenaan. Walau
bagaimanapun laporan yang ditolak itu, boleh dikemukakan semula selepas dikaji semula akan
kelemahan laporan berkenaan.Laporan yang telah diperbaiki ini kemudiannya boleh
dikemukakan semula kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar.
4
Tugasan kumpulan:Penilaian Alam Sekitar dari aspek perundangan Malaysia. 2012
Di samping itu juga Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar boleh mengarahkan pemaju
mengemukakan lebih daripada satu laporan penilaian kesan alam sekitar sekiranya Ketua
Pengarah Jabatan Alam Sekitar merasakan perlu.
Pemaju tidak dibenarkan melakukan aktiviti berkenaan sehinggalah laporan penilaian kesan alam
sekitar yang dikemukakan kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar diluluskan oleh Ketua
Pengarah Jabatan Alam Sekitar itu sendiri. Pemaju juga perlu diingatkan supaya semasa
menjalankan aktiviti-aktiviti berkenaan, pemaju sememangnya dikehendaki mengikuti segala apa
yang terkandung di dalam laporan berkenaan bagi mencapai tujuan untuk menghalang,
mengurangkan atau mengawal kesan keburukanterhadap alam sekitar yang berpunca daripada
aktiviti berkenaan.
Jika didapati mana-mana pemaju yang gagal mematuhi Seksyen 34A Akta Kualiti
AlamSekeliling 1974 ini, maka pemaju berkenaan telah melakukan kesalahan yang mana beliau
boleh didenda tidak melebihi Ringgit Malaysia seratus ribu (RM100,000) atau dipenjara tidak
melebihi 5 tahun atau kedua-dua nya sekali dan sebagai denda tambahan seribu ringgit setiap
hari di atas kesalahan yang diteruskan selepas Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar memberi
notis kepada pemaju supaya mematuhi kepadaSeksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974
ini.
Berdasarkan kepada Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dibincangkan di atas,
jelas kepada kita bahawa ianya cuba menyediakan satu kaedah kawalan terhadap 19 aktiviti-
aktiviti yang disenaraikan. Kawalan ini berupa penilaian kepada aktiviti-aktiviti yang
disenaraikan terhadap kesan alam sekitar sebelum aktiviti-aktiviti berkenaan beroperasi. Walau
bagaimanapun di dalam Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Penilaian Kesan Alam Sekeliling)
1987 ada menyatakan ukuran tertentu bagi tiap-tiap aktiviti yang disenaraikan.Contohnya aktiviti
pertanian yang merangkumi kawasan seluas 500 hektar atau lebih, pembalakan merangkumi
kawasan seluas 500 hektar atau lebih dan sebagainya. Keluasan ukuran tertentu yang ditetapkan
oleh Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Penilaian KesanAlam Sekeliling) 1987, memberikan
ruang dan peluang kepada pemaju untuk mengelakkan diri daripada menyediakan laporan EIA
dengan memajukan sesuatu projek seperti dengan memajukan aktiviti pertanian atau pembalakan
5
Tugasan kumpulan:Penilaian Alam Sekitar dari aspek perundangan Malaysia. 2012
dengan kurang daripada 500 hektar.Sehubungan dengan itu adalah wajar sekiranya keluasan
ukuran tertentu yang ditetapkan oleh Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Penilaian Kesan Alam
Sekeliling) 1987 dikaji semula dan adalah lebih baik jika aktiviti-aktiviti yang disenaraikan itu
ukuran keluasannya dikecilkan lagi bagi mengelak pemaju daripada terlepas untuk menyediakan
laporan EIA.Sebagai tambahan daripada perbincangan berkaitan EIA dan perundangan Malaysia,
kami berpendapat bahawa denda yang dikenakan kepada pemaju yang gagal mematuhi Seksyen
34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 adalah rendah. Ini adalah kerana memandangkan
pemaju yang memajukan aktiviti-aktiviti yang disenaraikan itu merupakan pemaju yang
mempunyai sumber kewangan yang amat kukuh. Tanpa sumber kewangan yang amat kukuh
sudah tentu pemaju tidak dapat memajukan projek perumahan dengan keluasanlebih daripada 50
hektar, membangunankan peranginan stesyen bukit atau hotel yang mempunyai keluasan lebih
50 hektar dan sebagainya. Pemaju-pemaju ini akan menganggap jika mereka gagal mematuhi
Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling1974 tidak akan memberi kesan kepada mereka
kerana nilai denda adalah rendah iaitu tidak melebihi RM100,000.Sehubungan dengan itu
dicadangkan supaya adalah lebih baik jika nilai denda sebanyak RM100,000 itu dinaikkan ke
suatu nilai denda yang lebih berpatutan. Pada pendapat kami juga, nilai denda yang berpatutan
ialah suatu nilai denda yang akan memberi kesan kepada sesiapa sahaja supaya mereka tidak
sekali-kali berfikir atau beranggapan untuk melanggar kehendak Seksyen 34A Akta Kualiti
Alam Sekeliling 1974.
6
Tugasan kumpulan:Penilaian Alam Sekitar dari aspek perundangan Malaysia. 2012
Permulaan kepada kajian EIA
Pemaju harus memastikan konsep projek pembangnan mestilah tidak bercanggah dengan mana-
mana pelan pembangunan, polisi ataupun apa-apa keputusan yang dibuat oleh kerajaan melalui
kajian EIA, antaranya ialah (tidak tertakluk kepada yang dibawah sahaja);
1. Pelan Pembangunan Nasional.
2. Pelan Struktur.
3. Pelan Tempatan.
4. Pelan Bersekutu (antara negeri)
5. Persetujuan antara Kerajaan dengan Kualiti Alam Sdn. Bhd untuk pelupusan bahan
buangan berkala.
6. Persetujuan antara Kerajaan Malaysia dan Pantai Medivest Sdn Bhd, Faber Mediserve Sdn
Bhd., dan Radicare Sdn Bhd untuk proses pelupusan bahan sisa klinikal daripada hospital-
hospital kerajaan.
7. Garis panduan pembangunan di kawasan tinggi.
8. Garis panduan untuk zon pendudukan industri.
7
Tugasan kumpulan:Penilaian Alam Sekitar dari aspek perundangan Malaysia. 2012
Pemilihan tapak projek
Kriteria untuk pemilihan tapak baru biasanya merangkumi aspek kejuruteraan, alam sekitar dan
ekonomi. Pada kebiasaannya, kriteria-kriteria ini menghadkan pilihan tapak yang sesuai kepada
bilangan yang sedikit. Pun begitu, tapak-tapak ini masih perlu dikaji dan disiasat untuk
memastikan kesesuaian melalui kaedah lawatan ke tapak dan analisis maklumat sedia ada. Pada
tahap ini, langkah-langkah untuk melindungi alam sekitar dan penyelesaian masalah
sosioekonomi juga diambil kira. Sekiranya projek terletak berhampiran dengan petempatan
awam ataupun laluan sumber air bersih, pengguna akan mendapat kesan langsung daripada
projek tersebut. Jadi, isu pampasan dan pelaburan sifar juga diambil kira dalam EIA.
Pemaju juga tidak digalakkan untuk memilih kawasan yang dikenali sebagai Kawasan Sensitif
(ESA) ataupun berhampiran; sepertimana yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Nasional
(April 2005). ESA harus diintegrasikan dalam perancangan dan pengurusan tanah dan sumber
alam bagi memastikan pembangunan yang lestari. Pengurusan ESA harus mengikut criteria
berikut :
Ranking 1 ESA — Tiada pembangunan, pertanian atau pembalakan boleh dilakukan
kecuali untuk tujuan eko-pelancongan, kajian dan pembelajaran
Ranking 2 ESA — Tiada pembangunan dan pertanian. Pembalakan secara lestari dan
eko-pelancongan dibolehkan dengan syarat-syarat tertentu.
Ranking 3 ESA — Pembangunan terkawal boleh dilakukan dengan kawalan ketat
bergantung kepada masalah-masalah yang mungkin timbul.
8
Tugasan kumpulan:Penilaian Alam Sekitar dari aspek perundangan Malaysia. 2012
Keperluan prosedur dalam EIA
Bermula 1hb Jun 2007, hanya jururunding EIA yang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar di
bawah satu skim baru iaitu Skim Pendaftaran jururunding EIA yang boleh melakukan kajian
EIA. Sebelum ini, pemaju projek yang mempunyai kemampuan dalaman atau mana-mana
jururunding EIA boleh melakukan kajian EIA.
Ini berlaku kerana Jabatan Alam Sekitar ingin memastikan hanya yang profesional dan
berpengalaman serta kompeten sahaja boleh melakukan kajian EIA. Senarai jururunding EIA
berdaftar dipaparkan di laman web Jabatan Alam Sekitar dalam tiga (3) kategori :
Jururunding EIA
Jururunding Mengikut Subjek
Pembantu Jururunding
Penolakan laporan EIA yang diterima adalah disebabkan oleh kegagalan pihak perunding
menyediakan laporan EIA mengikut kehendak Seksyen 34A(4), Akta Kualiti Alam Sekeliling
1974 berdasarkan kepada asas — asas berikut :
Langkah tebatan dan kawalan pencemaran yang dicadangkan tidak mencukupi atau tidak
merangkumi aspek-aspek kritikal yang dikenalpasti;
Gagal menyediakan maklumat yang mencukupi berkaitan isu-isu kritikal yang
dikenalpasti.
Penentuan sempadan projek yang masih belum dimuktamadkan;
Cadangan konsep pembangunan yang belum dimuktamadkan;
Penyediaan garis dasar kualiti alam sekeliling yang tidak memuaskan dan tidak mengikut
keperluan yang ditetapkan; dan
Ketidaksesuaian tapak pembangunan dan persekitaran dengan cadangan pembangunan
yang hendak dilaksanakan.
9
Tugasan kumpulan:Penilaian Alam Sekitar dari aspek perundangan Malaysia. 2012
Kepentingan EIA
EIA merupakan suatu cara dan kaedah yang amat penting dan memberi manfaat kepada semua
pihak termasuk pihak berkuasa, pihak pemaju dan masyarakat setempat.Sehubungan dengan itu
kepentingan EIA adalah:
(i) Memberi kemudahan kepada pihak berkuasa untuk menentukan samada sesuatu
cadangan projek pembangunan seharusnya boleh diluluskan atau sebaliknya;
(ii) Memberi suatu rumusan yang tepat terhadap tindakan di dalam
perancangan pembangunan.
(iii) Suatu kaedah dan cara untuk ke arah pembangunan yang berterusan; dan
(iv) Menjadi sumber maklumat informasi
i. EIA memberi kemudahan kepada pihak berkuasa untuk menentukan sama ada
suatu projek pembangunan itu seharusnya diluluskan atau sebaliknya.
Pada kebiasaannya setiap perancangan pembangunan perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran
daripada pihak berkuasa yang berkenaan supaya perancangan pembangunan boleh beroperasi.
EIA merupakan suatu kaedah terbaik bagi membentangkan sesuatu cadangan pembangunan
untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab di dalam hal yang
berkenaan.EIA memainkan peranan yang amat penting yang mana EIA memberi dan
mengemukakan pemeriksaan yang sistematik terhadap implikasi alam sekitar yang berpunca
daripada cadangan pembangunan dan EIA juga memberikan cadangan alternatif berhubungkait
dengan cadangan pembangunan.
Bukan itu sahaja, EIA menjimatkan masa serta wang yang digunakan dengan
memastikan bahawa usaha yang berulang-ulang akan dapat diminimumkan serta dikurangkan.
Tambahan lagi EIA juga membantu pihak berkuasa membuat ramalan berhubung kesan-kesan
yang akan terjadi apabila sesuatu cadangan perancangan pembangunan itu mula beroperasi dan
dengan ini EIA dapat membantu pihak berkuasa membuat sesuatukeputusan yang benar-benar
menggalakkan pembangunan tanpa menodai kesucian dankesegaran alam sekitar.
10
Tugasan kumpulan:Penilaian Alam Sekitar dari aspek perundangan Malaysia. 2012
Berdasarkan maklumat di atas jelas kepada kita bahawa EIA memberikan kemudahan kepada
pihak berkuasa untuk menentukan sama ada sesuatu cadangan projek pembangunan seharusnya
boleh diluluskan atau sebaliknya.
ii. EIA memberikan suatu rumusan yang tepat terhadap tindakan di dalam
perancangan pembangunan.
Dua dekad yang lalu EIA telah diperkenalkan di dalam pengurusan alam sekitar dan kini EIA
telah berkembang dengan pesat di serata dunia. Walau bagaimanapun, pemaju- pemaju
merasakan EIA merupakan suatu penghalang bagi mereka untuk menjayakan sesuatu projek
pembangunan. Mereka merasakan EIA penyebab sesuatu projek pembangunan lambat
dimajukan kerana di dalam proses EIA mereka perlu menunggu kesemua proses EIA selesai dan
bukan itu sahaja malah mereka juga perlu menunggu keputusan daripada pihak berkuasa untuk
meneliti laporan EIA yang disediakan oleh mereka bagi meluluskan sesuatu cadangan projek
pembangunan mereka itu.Pada hakikatnya EIA sebenarnya membantu pemaju-pemaju bagi
mencari rumusan yang tepat terhadap tindakan di dalam perancangan pembangunan yang mana
EIA dapat menentukan bahagian-bahagian yang berada di dalam projek cadangan pembangunan
yang perlu diubahsuai bagi meminimakan dan melupuskan kesan-kesan yang memberikan
keburukan dan kerosakan kepada alam sekitar.
Cara ini dapat menentukan pertimbangan berhubung dengan kesan-kesan alam sekitar di
peringkat awal di dalam perancangan projek pembangunan supaya dengan menggunakan EIA ini
dapat membantu bagi memilih reka bentuk projek yang akan menekankan pelupusan dan
meminimakan kesan-kesan yang memberi keburukan dan kerosakan kepada alam
sekitar. Tambahan lagi EIA juga membantu pemaju-pemaju menjaga hubungan dengan
penduduk setempat dan pihak berkuasa. EIA mewujudkan penglibatan dari ketiga-tiga pihak
iaitu pemaju, penduduk setempat dan pihak berkuasa dan dengan cara ini ketiga-tiga pihak akan
berbincang mengenai sesuatu cadangan projek pembangunan bagi mendapatkan rumusan yang
tepat supaya cadangan projek pembangunan dapat dijalankan tanpa memberi kesan buruk
terhadap alam sekitar.
11
Tugasan kumpulan:Penilaian Alam Sekitar dari aspek perundangan Malaysia. 2012
Sehubungan dengan itu, jelas di sini bahawa EIA memberi satu rumusan yang tepat terhadap
tindakan di dalam perancangan pembangunan yang menjimatkan kos dan masa bagi semua pihak
yang terlibat.
iii. EIA merupakan suatu kaedah dan cara kearah pembangunan yang berterusan.
Berpandukan kepada Laporan Brundtland 1987, konsep pembangunan yang berterusan perlu
digunakan bagi memelihara alam sekitar yang kita cintai daripada gangguan dan pencerobohan
oleh pencemaran. Sehubungan dengan itu Laporan Brundtland 1987 mendefinisikan
pembangunan yang berterusan sebagai “pembangunan yang memenuhi kepada kehendak
keperluan di masa sekarang tanpa mengancam keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi
keperluan mereka”. Laporan Brundtland ini cuba mengatakan bahawa pembangunan yang
berterusan memerlukan kita sebagai generasi masa kini semestinya menjaga dan memelihara
sumber alam serta menangkis segala pencerobohan oleh pencemaran ke atas alam sekitar.
Sebelum EIA diperkenalkan, wujudnya begitu banyak projek pembangunan yang membawa
kesan negatif kepada alam sekitar. Lantaran dari itu EIA pun diperkenalkan.EIA digunakan
sebagai kaedah dan instrumen bagi melindungi dan memelihara alam sekitar daripada
dieksploitasi oleh pencemaran.Seperti yang kita maklum bahawa pencegahan adalah lebih baik
daripada mengubati sesuatu masalah. Oleh yang demikian EIA memainkan peranannya sebagai
penunjuk dan pemberitahu akan kesan-kesan yang akan membawa kepada keburukan dan
kerosakan kepada alam sekitar dan EIA juga mencari jalan alternatif untuk mengatasi kesan-
kesan berkenaan terhadap alam sekitar. Oleh itu dengan menggunakan EIA,ia dapat membantu
ke arah pembangunan yang berterusan.Di negara kita Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS)
Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar sedang berusaha sedaya-upaya untuk
meningkatkan kesedaran pihak yang terlibat dalam projek-projek pembangunan akan
kepentingan EIA untuk mencapai pembangunan yang berterusan.
12
Tugasan kumpulan:Penilaian Alam Sekitar dari aspek perundangan Malaysia. 2012
Sehubungan dengan itu, pada tahun 1993, JAS telah mengadakan pelbagai seminar, kursus serta
ceramah tentang kepentingan EIA untuk tujuan mencapai pembangunan yang berterusan.
Seminar, kursus dan ceramah ini telah diberikan kepada semua peringkat kerajaan dan
profesional termasuklah bank-bank perdagangan, pihak berkuasa kerajaan tempatan, arkitek,
juru-ukur tanah dan kerajaan-kerajaan negeri.
iv. EIA menjadi sumber maklumat informasi.
EIA adalah perkara penting di dalam sesuatu perancangan pembangunan. EIA memberikan
maklumat yang secukupnya bagi menggambarkan kedudukan alam sekitar di masa akan datang
dan masa kini akibat dari sesuatu perancangan pembangunan itu serta EIA memberikan
tindakan-tindakan alternatif bagi mengatasi kesan-kesan negatif terhadap alam
sekitar.Sehubungan dengan itu, penerimaan segala maklumat menerusi EIA, mewujudkan
suatu peningkatan tahap informasi kepada semua pihak yang terlibat di dalam
sesuatu perancangan pembangunan yang melibatkan pemaju-pemaju, pihak berkuasa
dan penduduk setempat.Informasi maklumat yang didapati melalui EIA akan membantu pemaju-
pemaju untuk mengenalpasti bahagian-bahagian pembangunan berkenaan boleh diubah bagi
mengurangkan kesan-kesan negatif kepada alam sekitar di peringkat awal projek pembangunan
berkenaan. Jadi jelas di sini bahawa melalui maklumat yang didapati melalui EIA dapat
membantu pemaju-pemaju menjimatkan wang dan masa.Di samping itu juga informasi yang
diperolehi melalui EIA membantu pihak berkuasa untuk meramal kesan-kesan yang akan berlaku
dan mencari tindakan-tindakan alternatif bagi mengurangkan kesan-kesan negatif berkenaan ke
atas alam sekitar. Jadi, informasi yang diperolehi melalui EIA membantu pihak berkuasa
membuat keputusan dengan lebih berkesan dan cepat.Tambahan lagi, informasi yang diperolehi
melalui EIA dapat digunakan oleh penduduk setempat bagi mengetahui kedudukan sebenar
antara hubungan perancangan pembangunan yang hendak dibangunkan dan alam sekitar di
sekeliling mereka. Jadi dengan ini mereka mengetahui hak mereka di dalam menangani isu
pencerobohan pencemaran ke atas alam sekitar.Apabila informasi yang diperolehi melalui EIA
13
Tugasan kumpulan:Penilaian Alam Sekitar dari aspek perundangan Malaysia. 2012
dapat diketahui oleh semua pihak maka perancangan pembangunan akan berjalan dengan lancar
dan alam sekitar yang kita cintai ini dapat dipertahankan dari dinodai oleh pencemaran.
Penilaian
EIA sangat diperlukan sebagai mekanisma kawalan untuk mengelakkan masalah alam sekitar yg
mungkin berlaku disebabkan oleh pelaksanaan suatu projek pembangunan. EIA memastikan
masalah yang berkemungkinan akan timbul dilihat secara koektif dan dinilai daripada awal
pelaksanaan projek itu. Oleh itu,keadaan ini dilihat sebagai satu peluang untuk mengelakkan
kesilapan besar daripada berlaku semasa pelaksanaan projek,sama ada disebabkan oleh
kemungkinan masalah-masalah alam sekitar atau pun disebabkan oleh perubahan yang
diperlukan bagi meminimumkan kesan terhadap alam sekitar.EIA dilihat dapat memberikan jalan
penyelesaian dan maklumat tambahan sekiranya suatu projek itu menghadapi kesulitan.
Walau bagaimanapun,masih berlakunya pencemaran terhadap alam sekitar akibat suatu projek
yang dijalankan seperti pembinan resort di kawasan pantai telah menyebabkan pembuangan sisa
kumbahan ke dalam laut atau pantai,pembinaan projek perumahan di kawasan lereng bukit telah
mengakibatkan tanah runtuh dan mengorbankan nyawa yang banyak.Contohnya,di Highland
Tower di negeri Selangor.Selain itu pembinaan yang amat rancak seperti di Lembah Klang
sering mengakibatkan banjit kilat di kawasan tersebut.Keadaan ini disebabkan berlakunya
keputusan yang tidak bijak oleh pihak berwajib atau juga mereka lebih utamakan wang ringgit
daripada kesan jangka panjang akibat pelaksanaan suatu projek itu.Maksudnya,penilaian
terhadap alam sekitar tidak dibuat dengan teliti,atau pihak pemaju telah menggunakan kuasa
wang untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa.Ini bermakna,walau pun suatu
projek itu memang sudah diketahui akan memudaratkan alam sekitar dan manusia namun
diteruskan juga kerana pihak-pihak tertentu mempunyai kepentingan sendiri.
14
Tugasan kumpulan:Penilaian Alam Sekitar dari aspek perundangan Malaysia. 2012
Kesimpulan
Laporan EIA amat perlu diluluskan sebelum suatu projek itu mula dilaksanakan.Laporan EIA
sebenarnya menjamin suatu projek itu tidak mencemarkan atau mengganggu keseimbangan alam
sekitar.Kecuaian atau kelalaian suatu pihak dalam hal ini pastinya akan memudaratkan rakyat
dan alam sekitar. Ketamakan pihak pemaju dan pihak berkuasa yg lebih mengutamakan wang
ringgit akan mendatangkan kesan negatif dalam jangka masa panjang.Sikap sebegini haruslah
dikikis dalam diri terutamanya pihak pemaju dan juga pegawai-pegawai kerajaan yang
dipertanggungjawabkan dalam mengeluarkan kelulusan laporan EIA tersebut.
Berdasarkan perbincangan yang telah dijelaskan di atas, dapatlah diketahui tentang EIA dari
sudut perundangan di Malaysia bagi menangani isu penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Peruntukan perundangan berkaitan dengan EIA adalah di dalam seksyen 34A Akta Kualiti
AlamSekeliling, 1974.Di samping itu juga, di dalam perbincangan di atas, kepentingan EIA di
dalam menangani isu penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar ialah pertama, EIA memberi
kemudahankepada pihak berkuasa untuk menentukan samada sesuatu cadangan projek
pembangunanseharusnya boleh diluluskan atau sebaliknya; kedua, EIA memberi suatu rumusan
yang tepat terhadap tindakan di dalam perancangan pembangunan; ketiga, EIA merupakan suatu
kaedah dan cara untuk ke arah pembangunan yang berterusan; serta akhir sekali,EIA merupakan
sumber maklumat informasi.
15
Tugasan kumpulan:Penilaian Alam Sekitar dari aspek perundangan Malaysia. 2012
Rujukan
Abdul Hamid Mar Iman.2000.Hutan:Pengurusan dan Penilaian.Kuala Lumpur:Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Muhammad Rizal R.dan Kadir A: Penilaian Kesan Alam Sekitar “Environmental Impact
Assessment” (EIA) Dari Sudut Perundangan Malaysia Dan Kepentingannya.Jurnal
Penyelidikan.Bangi,Selangor:Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Abu Bakar Abdul Majeed dan Abu Bakar Yang.2000.Pengurusan Bijak Alam Sekitar.Kuala
Lumpur:Penerbit Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM).
Fairus Muhamad Darus.2004.Peranan Pihak Berkuasa Tempatan Dalam Pengurusan Kualiti
Udara Bandaraya Kuala Lumpur.Shah Alam,Selangor:Universiti Teknologi Mara.
Katiman Rostan & Asmah Ahmad.2006.Penilaian dan Pengurusan Sumber
Alam.Bangi,Selangor :Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Katiman Rostam,Nor Aziah Ali,et.al.2000.Alam,Manusia dan Pembangunan di Malaysia.Bangi,
Selangor:Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohamad Zaki Haji Mohd Isa.1995.Perhutanan dan Alam Sekitar.Kepong,Kuala Lumpur:
Penerbit Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
16