Tokoh Moral Tugasan Bahagian C
description
Transcript of Tokoh Moral Tugasan Bahagian C
a) Sejarah dan latar belakang tokoh yang dipilih
Biodata Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang
ke-lima pada 31 Oktober 2003. Tun Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan pada 26
November 1939di Kam pung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Tun Abdullah
menerima pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang
Methodist Boys School, Pulau Pinang. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di
Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang
Pengajian Islam pada tahun 1964. Setelah tamat pengajian,Tun Abdullah menyertai
sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan
Awam. Pada tahun 1969, Tun Abdullah berpindah ke Majlis Gerakan Negara
(MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara
yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada Mei 1969. Tun Abdullah kemudiannya
dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian yang sama pada
tahun 1974. Tun Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Tun Abdullah mula
bergerak aktif dalam arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas
pada tahun 1978 dan beliau berjaya mengekalkan kerusi parlimen tersebut sehingga
kini. Tun Abdullah adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO semenjak 1981. Tun Abdullah
telah dipilih memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun
1984, 1987 dan 1990, dan dipilih semula untuk jawatan tersebut pada tahun 1996.
Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Tun Abdullah dilantik sebagai Timbalan
Presiden bagi penggal 2000 – 2003. Tun Abdullah pernah memegang jawatan-jawatan
penting dalam beberapa kementerian. Tun Abdullah dilantik sebagai Setiausaha
Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (1978-80), Timbalan Menteri,
Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81), Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(1981-84), Menteri Pelajaran (1984-86) dan Menteri Pertahanan (1986-87). Pada 15
Mac 1991, Tun Abdullah dilantik sebagai Menteri Luar sehingga Januari 1999.
Seterusnya, Tun Abdullah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri
merangkap Menteri Dalam Negeri pada Januari 1999, sebelum dilantik menjadi
Perdana Menteri. Selain itu, Tun Abdullah juga adalah Menteri Pertahanan.
Tun Abdullah telah mendirikan rumahtangga dengan Allahyarham Datin Seri Endon
Dato’ Mahmood pada tahun 1965. Setelah 40 tahun bersama, Datin Seri Endon telah
meninggal dunia akibat penyakit kanser pada 20 Oktober 2005. Mereka mempunyai 2
orang anak dan 5 orang cucu. Tun Abdullah kemudiannya berkahwin dengan
Datin Seri Jeanne Abdullah pada 9 Jun 2007. Datin Seri Jeanne mempunyai 2 orang
anak perempuan.
BIBILIOGRAFI
Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan pada 26 November 1939 di kampung Perlis,
Bayan Lepas, Pulau Pinang. Namanya diambil sempena nama datuknya, Sheikh
Abdullah Fahim (Abdullah bin Ibrahim), seorang ulama dan ahli falak berpengaruh lagi
dihormati. Abdullah adalah anak sulung daripada empat adik beradik hasil perkongsian
hidup Haji Ahmad Badawi bin Abdullah dengan Hajah Kailan Hassan. Bapanya adalah
pejuang UMNO dan tokoh agama yang memainkan peranan penting ketika perjuangan
menuntut kemerdekaan tanah air. Haji Ahmad pernah menjadi Naib Ketua Pemuda
UMNO semasa Hussein Onn menjadi Ketua Pemuda UMNO dan merupakan salah
seorang tenaga muda menentang rancangan penubuhan Malayan Union.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Bertam, Kepala Batas,
Abdullah kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Tinggi Bukit Mertajam, Pulau
Pinang. Beliau juga menuntut di Penang Methodist Boys’ School, Pulau Pinang
sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau lulus dengan
kepujian dalam bidang Pengajian Islam pada tahun 1964. Abdullah turut mengikuti
pendidikan agama di Sekolah Menengah Agama Daeratul Maarif Wataniah, Kepala
Batas, Pulau Pinang yang diasaskan oleh datuknya.
Lebih mesra dengan panggilan ‘Pak Lah’, Abdullah telah mendirikan rumah
tangga dengan Endon binti Mahmood pada tahun 1965. Mereka dikurniakan dua
cahaya mata, Kamaluddin dan Nori dan enam cucu. Empat cucu adalah dari hasil
perkahwinan Kamaluddin dengan Azrene Abdullah iaitu Alya, Arif, Amira dan Ahmad.
Dua cucu lagi adalah anak kepada Nori dengan Khairy Jamaluddin Abu Bakar iaitu
Jibreil Ali dan Timor Abdullah.
Endon adalah anak kepada pasangan Mahmood Ambak dan Mariam Abdullah.
Beliau menerima pendidikan di St. Mary Secondary Girls’ School, Kuala Lumpur
sebelum berkhidmat dengan kerajaan hingga tahun 1976. Sifat penyayangnya
mendorong beliau mencurahkan bakti dalam aktiviti kemasyarakatan khususnya
kebajikan wanita dan kanak-kanak. Ketika menjadi isteri Perdana Menteri , Endon
menerajui Yayasan Penyayang yang ditubuhkan bagi tujuan pendidikan, kebajikan
masyarakat, penyelidikan, kesihatan dan perubatan. Beliau juga menerajui Kempen
“Pink Ribbon” iaitu organisasi berkaitan pencegahan dan pengubatan kanser payudara.
Beliau juga giat mempromosi batik, kebaya nyonya dan songket. Endon kembali ke
Rahmatullah pada 20 Oktober 2005, dua tahun selepas dikesan menghidap kanser.
Hampir dua tahun selepas Endon kembali ke Rahmatullah pada 9 Jun 2007,
Abdullah diijabkabul dengan Jeanne Abdullah, ibu kepada Nadiah Kimie dan Nadene
Kimie hasil dari perkahwinan pertama beliau. Bekas pelajar Sekolah Mnengah Assunta
ini berpengalaman bekerja dalam bidang pentadbiran dan perhotelan. Ketika menjadi
isteri Perdana Menteri, beliau aktif dalam Kempen Penghijauan Alam Sekitar yang
mempromosikan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
PERJALANAN KARIER POLITIK
Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan dari Pegawai Tadbir dan Diplomatik
(PTD) untuk bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya
Umum 1978 di kawasan Parlimen Kepala Batas. Beliau menewaskan calon PAS, Musa
Mohd Yatim dengan majority 5029 undi. Pada 27 Julai 1978, beliau dilantik sebagai
Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan.
Pada 2 Februari 1979, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa
Perhubungan UMNO Pulau Pinang. Pada September 1980, beliau diberi kepercayaan
menjadi Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan Timbalan
Menteri Wilayah Persekutuan. Pada pemilihan UMNO 1981, beliau terpilih buat pertama
kali sebagai ahli Majlis Tertinggi parti.
Beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Julai 1981 di
dalam kerajaan pimpinan Dr Mahathir bin Mohamad. Semasa Abdullah memegang
potfolio tersebut sehingga Jun 1983, beliau bertanggungjawab melaksanakan kempen
Kepimpinan Melalui Teladan dan Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan oleh Dr
Mahathir.
Setelah terpilih menduduki salah satu daripada tiga kerusi Naib Presiden UMNO
dalam Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung pada tahun 1984, beliau dilantik
menjadi Menteri Pelajaran. Dalam tahun 1986, beliau memegang jawatan Menteri
Pertahanan, kemudiannya digugurkan daripada barisan Jemaah Menteri pada 7 Mei
1987.
Pemilihan kepimpinan UMNO 1987 memperlihatkan UMNO berpecah kepada
‘Team A’ di pihak Dr Mahathir dan Ghafar Baba sementara ‘Team B’ diterajui oleh
Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam. Abdullah yang dikatakan memihak kepada
“Team B” digugurkan dari Jemaah Menteri tetapi diberi kepercayaan semula oleh Dr
Mahathir sebagai Menteri Luar Negeri pada tahun 1991.
Walaupun Abdullah tidak terpilih dalam pertandingan jawatan Naib Presiden
UMNO pada tahun 1993, Dr Mahathir melantiknya sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Pada pemilihan parti 1996, Abdullah terpilih semula menjadi Naib Presiden dengan
memperolehi undi kedua tertinggi iaitu 1053.
Abdullah mengekalkan kerusi Ahli Parlimen Kepala Batas selama enam penggal
berturut-turut sejak Pilihan Raya Umum 1978. Beliau sekali lagi dilantik sebagai
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang pada November 1998 selepas
Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dipecat dari
parti pada September 1998.
Pada 8 Januari 1999, Abdullah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh
Dr Mahathir dan diamanahkan melaksanakan tugas Timbalan Presiden UMNO mulai 5
Februari tahun yang sama. Abdullah kemudian terpilih memegang jawatan Timbalan
Presiden UMNO pada pemiliham parti Mei 2000.
Abdullah Ahmad Badawi mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri
Malaysia Kelima pada jam 3.30 petang, Jumaat, 31 Oktober 2003 bersamaan 5
Ramadan 1424 Hijrah setelah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-
Pertuan Agong. Beliau menerajui Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum
2004 dan memperolehi kemenangan gemilang apabila BN memenangi 198 daripada
220 kerusi parlimen dan menawan semula negeri Terengganu daripada Parti Islam Se-
Malaysia (PAS) dan hanya kekurangan dua kerusi untuk menawan negeri Kelantan dari
kerajaan PAS.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, BN hanya menang dengan majoriti mudah di
peringkat parlimen sementara di peringkat negeri selain daripada Kelantan, kerajaan-
kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak jatuh ke tangan parti lawan.
Pada Oktober 2008, Abdullah membuat ketetapan tidak mempertahankan jawatan
Presiden UMNO dan keputusan untuk beliau mengundur diri sebagai Perdana Menteri
di buat selepas Perhimpunan Agung UMNO pada bulan Mac 2009.
Seperti mana dijanjikan, Abdullah mengumumkan untuk melepaskan jawatan
Perdana Menteri dalam ucapan penangguhan Persidangan UMNO yang berlangsung
pada 28 Mac 2009. Pada 2 April 2009, beliau menghadap Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong menyembahkan hasrat untuk meletak jawatan dan menyerahkan
kepimpinan Negara kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Kronologi jawatan politik Tun Abdullah Ahmad Badawi
Tahun Jawatan
2004-2009 Presiden UMNO
2000 Timbalan Presiden UMNO
1998 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang
1996 Naib Presiden UMNO
1993-1996 Ahli Majlis Tertinggi UMNO
1984-1993 Naib Presiden UMNO
1981-1984 Ahli Majlis tertinggi UMNO
1980 Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang
1979 Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang
1978 Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas
1978 Ahli Parlime Kepala Batas
1977 Ketua UMNO Cawangan Bertam
SIFAT DAN SUMBANGAN TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI
1) PENTADBIRAN
Abdullah Ahmad Badawi memberi penekanan terhadap pengukuhan budaya
musyawarah, dialog, penerapan nilai-nilai murni serta memperbaiki sistem
penyampaian dalam pentadbiran. Slogan ‘Bekerja Bersama Saya, Bukan Untuk Saya’
yang diperkenalkan beliau sebaik sahaja mengambil alih teraju kepimpinan negara
disambut baik rakyat. Abdullah juga pada tahun yang sama melancarkan Portal Rasmi
Kerajaan myGovernment. Beliau mengarahkan penambahbaikan laman web agensi-
agensi kerajaan secara berterusan bagi mempelbagaikan dan memantapkan saluran
perkhidmatan kerajaan.
Dalam hasrat untuk memerangi rasuah, beliau menubuhkan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Di samping itu, Suruhanjaya Perlantikan
Kehakiman dibentuk bagi mengembalikan integrity dan penghormatan kepada cabang
kehakiman dan hakim-hakim. Pada Februari 2007, Abdullah juga mewujudkan Pasukan
Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) untuk memperbaiki system
penyampaian kerajaan
Abdullah juga menerapkan nilai-nilai Islam yang progresif dan dinamik menerusi
konsep Islam Hadhari untuk membawa umat Islam ke tahap lebih tinggi dalam pelbagai
sudut kehidupan termasuk menguasai kemajuan teknologi di samping tidak
mengamalkan amalan-amalan yang boleh mencetuskan kebimbangan dan pandangan
negative orang bukan Islam terhadap Islam.
Beliau juga memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI-Key Performance
Index) untuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC-Government Link Company) selain
membawa masuk tenaga muda bagi mengetuai syarikat-syarikat tersebut demi
memastikan ia terus mempunyai daya saing yang tinggi. Bagi mempertingkatkan mutu
perkhidmatan awam, beliau juga melaksanakan konsep Kerajaan Elektronik melalui
perkhidmatan Kerajaan-kepada-Kerajaan (G2G), Kerajaan-kepada-Rakyat (G2C) dan
Kerajaan-kepada-Komuniti Perniagaan (G2B). Menyedari kepentingan teknologi
maklumat dan komunikasi, beliau menitikberatkan penggunaan ICT dalam pentadbiran
kerajaan. Bagi memantapkan konsep Kerajaan Elektronik, beliau melancarkan Projek
ekl pada 1 Julai 2007. Ada beberapa inisiatif dalam Projek ekl ialah Projek myBayar dan
Gerbang SMS Kerajaan.
Abdullah juga memberi makna dan nafas baru kepada sector pertanian sebagai
penjana ekonomi dengan menjenamakan dan merombak Kementerian Pertanian
kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Beliau menganjurkan rakyat
menceburi bidang pertanian komersial dengan memperkenalkan konsep K2K (Kebun
ke Kilang) bagi memacu pertumbuhan sektor pertanian. Penekanan terhadap industri
pertanian mencerminkan keprihatinan beliau untuk memajukan tahap sosio-ekonomi
masyarakat luar bandar.
Abdullah juga mewujudkan lima koridor ekonomi dengan sektor swasta diseur
memainkan peranan utama dalam pelaburan dan pembangunan kawasan pertumbuhan
ekonomi tersebut. Lima koridor itu ialah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor
Utara (NCER), Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembaharuan Tenaga
Sarawak (SCORE) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).
2) HUBUNGAN ANTARABANGSA
Abdullah Ahmad Badawi memanfaat pengalaman luas sebagai Menteri Luar
untuk meneruskan dasar luar negara yang aktif menerusi forum-forum utama termasuk
ASEAN, Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC), Pergerakkan Negara-
Negara Berkecuali (NAM), Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) dan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sifat semula jadi beliau yang penuh diplomasi, bersahaja, mudah mesra dan
gemar kepada pendekatan muafakat daripada konfrontasi, memudahkan beliau
menjalin hubungan lebih akrab dengan Negara-negara sahabat. Abdullah
mengemukakan cadangan penubuhan Majlis Dasar Luar Negara bagi memantapkan
lagi hubungan luar serta diplomatik
3) MEDIA
Abdullah Ahmad Badawi berpegang kepada prinsip kebebasan media. Di bawah
kepimpinan beliau, pengamal media merasai kebebasan yang lebih luas. Kebetulan
pada era beliau juga, media baru (internet) memainkan peranan sangat berpengaruh
dalam membentuk pemikiran orang ramai termasuk persepsi mereka terhadap
kerajaan.
Abdullah berpegang kepada prinsip media memikul tanggungjawab sosial dan
kawalan kendiri. Dalam menikmati keterbukaan dan kebebasan, media pada masa
yang sama harus bersikap adil terhadap semua kaum, agama dan budaya, sentiasa
peka terhadap sensitiviti pembaca atau pendengar dan bertanggungjawab menjaga
keharmonian masyarakat.
Beliau mengamalkan pendekatan menasihati daripada menghukum dalam
hubungan kerajaan dengan pihak media. Lantaran itu, Abdullah adalah antara
pemimpin yang sangat senang didekati oleh pemgamal media.
Selaras dengan dasar tersebut, Abdullah menganggap media sebagai saluran
maklum balas daripada rakyat kepada pentadbir. Media dikehendaki memainkan
peranan ‘semak dan imbang’. Perdana Menteri yang Kelima itu pernah dipetik sebagai
berkata bahawa beliau mempunyai ‘telinga yang besar’ iaitu kesediaan untuk
mendengar rintihan dan teguran orang ramai.
TOKOH MORAL PILIHAN : TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI
BAPA PEMBANGUNAN MODAL INSAN
Sifat semula jadi Abdullah Ahmad Badawi mendorong beliau untuk
mengutamakan aktiviti kebajikan. Kebajikan masyarakat sentiasa mendapat
perhatiannya dan beliau banyak meluangkan waktu untuk menghadiri majlis berkaitan
kebajikan di samping menggalakkan orang ramai melakukan kerja-kerja kebajikan.
Sejajar dengan konsep Masyarakat Penyayang, beliau menggalakkan badan-badan
sukarela supaya berganding bahu dengan agensi kerajaan bagi memperbanyak
kegiatan kebajikan masyarakat. Beliau menggalakkan syarikat swasta menyokong
aktiviti kebajikan terutama untuk golongan orang kurang upaya (OKU) bagi memenuhi
tanggungjawab social korporat (Corporat Social Responsibility- CSR).
Abdullah memperkenalkan konsep ‘kebajikan produktif’ bagi membolehkan
golongan kurang bernasib baik menerima bantuan asas untuk mempertingkatkan
keupayaan berdikari. Beliau mengenalpasti OKU, warga emas, golongan fakir miskin
dan mangsa bencana alam sebagai golongan sasaran untuk diberi bantuan di bawah
program tersebut.
Pelbagai dasar dan perundangan bagi menjamin kesejahteraan kumpulan
sasaran tersebut dikaji semula dan dipermantapkan. Antaranya ialah Dasar Orang
Kurang Upaya dan Dasar Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak. Beliau
mengarahkan Kementerian berkaitan merangka Dasar Kanak-Kanak Negara serta
mengkaji semula Dasar Warga Emas Negara dan Dasar Wanita Negara.
Abdullah juga memastikan program latihan benar-benar bermutu tinggi supaya
para peserta termasuk OKU mendapat kemahiran secukupnya untuk berdikari.
Pendekatan membantu golongan tersebut dengan cara member bantuan kewangan
diubah kepada pembinaan keupayaan.
Nadi Komuniti merupakan salah satu inisiatif pembangunan masyarakat yang
diilhamkan semasa pentadbiran Abdullah. Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menjadi
penggerak utama dalam memupuk masyarakat penyayang menjadikan kesukarelaan
sebagai budaya hidup rakyat. Briged Kebajikan Perdana diwujud dan digerakkan
semula di setiap kawasan parlimen. Selain itu, dua anugerah iaitu Anugerah CSR
(tanggungjawab sosial korporat) Perdana Menteri dan ‘Anugerah Mayang Sri Endon’
diwujudkan bagi mengiktiraf badan korporat, individu atau pihak yang cemerlang dalam
aktiviti kebajikan masyarakat.
MEMPERKENALKAN ISLAM HADHARI
Semasa menjadi Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahamad Badawi juga telah
memperkenalkan Islam Hadhari yang mana telah menarik perhatian dunia terutamanya
negara-negara Islam. Usaha beliau dalam menekankan isu moral dalam masyarakat
telah memnyebabkan beliau diberi gelaran sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan.
Islam hadhari telah diperkenalkan dan telah menjadi salah satu dasar dalam negara.
Pengenalan
Islam Hadhari memberi tekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus
kepada pembinaan peradaban iaitu peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam
dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui
penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan
fizikal.
Mempertingkatkan mutu kehidupan adalah dengan mengamalkan sistem
ekonomi, sistem perdagangan dan sistem kewangan yang dinamik, pembangunan
sepadu dan seimbang bagi melahirkan umat yang berilmu dan beriman, bertamadun
tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah, serta bersedia menangani cabaran semasa
dunia global.
Islam Hadhari bukanlah agama baru. Islam Hadhari bukan ajaran baru. Islam
Hadhari bukannya mazhab baru. Islam Hadhari adalah usaha untuk mengembalikan
umat Islam kepada asas atau fundamental yang terkandung dalam Al Quran dan Hadis
yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam. Islam Hadhari jika ditafsir secara
ikhlas dan difahami secara jelas, sama sekali tidak akan memesongkan mana-mana
umat Islam dari asas akidah.
Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab melindungi kesucian Islam
dan memastikan umat Islam tanpa tergelincir akidah akan dapat menghadapi cabaran
dan realiti semasa, pintu ijtihad perlu terbuka supaya tafsiran yang diwarisi dapat
dikaitkan dengan bentuk dan corak pembangunan mengikut masa dan mengikut
tempat. Adalah perlu diteliti semula pelbagai pendekatan dan kaedah untuk
diperkemaskan supaya lebih seimbang dan menyeluruh, merangkumi pembangunan
prasarana dan pembangunan ekonomi, diperkukuhkan dengan pembangunan manusia
melalui program pendidikan yang komprehensif, diperlengkap pula dengan program
pembangunan rohani untuk menyemaikan nilai-nilai murni dan menerapkan nilai-nilai
Islam dalam kehidupan.
Prinsip Islam Hadhari
Islam Hadhari akan memastikan pencapaian sepuluh prinsip utama:
I. Keimanan dan ketakwaan kepada ILAHI
II. Kerajaan adil dan beramanah
III. Rakyat berjiwa merdeka
IV. Penguasaan ilmu pengetahuan
V. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif
VI. Kehidupan berkualiti
VII. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita
VIII. Keutuhan budaya dan moral
IX. Pemeliharaan alam semula jadi
X. Kekuatan pertahanan
Prinsip-prinsip ini adalah menurut acuan yang diadunkan supaya amalan dan
pendekatannya tidak akan menimbulkan salah faham dan kebimbangan kepada mana-
mana pihak dalam sebuah negara yang komposisi rakyatnya berbilang agama dan
berbilang kaum. Pendekatan yang digariskan juga adalah untuk memperkasakan umat
Islam supaya berupaya menghadapi cabaran dunia semasa.
Islam Hadhari adalah Islam yang syumul atau komprehensif dengan penekanan
kepada pembangunan ekonomi dan tamadun yang menyeluruh – berupaya menjadi
penggerak dan pendorong kepada peningkatan daya saing umat. Warisan dan tamadun
Islam yang memperlihatkan kejayaan cemerlang umat Islam dalam semua bidang perlu
dijadikan rujukan dan sumber inspirasi memajukan masyarakat Malaysia.
Perubahan minda umat memerlukan satu tindakan secara menyeluruh, secara
drastik, secara sistematik, dan tidak bersifat sektor atau partisan. Ini memerlukan satu
perubahan tasawur (pandangan global) seluruh masyarakat. Selaras dengan itu,
konsep hidup sebagai pengabdian kepada Tuhan dan konsep kerja sebagai ibadah,
manusia sebagai khalifah dan kewajipan mencapai kekuatan dalam semua bidang
kehidupan perlu dititikberatkan, khususnya prinsip maqasid al Syariah adalah berkaitan
dengan lima perkara seperti berikut:
I. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan agama
II. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan akal
III. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan nyawa
IV. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan harta
V. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan keturunan
Usaha yang konsisten hingga menghasilkan kejayaan yang berterusan perlu
dirancang. Segala bentuk pemikiran yang mengelirukan dan tidak bersesuaian dengan
kefahaman Islam perlu dikikis supaya pemikiran dan jati diri umat dapat dibentuk.
Perubahan sikap dan budaya umat memerlukan peranan berijtihad dan berjihad.
Konsep jihad perlu ditafsirkan secara lebih luas, meliputi aspek kehidupan manusia
seperti menuntut ilmu, menguasai sains dan teknologi serta melaksanakan aktiviti-
aktiviti ekonomi.
Peningkatan kualiti (itqan) dalam semua urusan dan kegiatan kehidupan
merangkumi bidang pendidikan, penguasaan sains dan teknologi serta aktiviti-aktiviti
ekonomi, hendaklah dijadikan budaya. Ijtihad membina ummah dalam zaman moden ini
perlu diberikan perhatian dan diberikan pengiktirafan.
Masyarakat Malaysia perlu diberikan kefahaman Islam yang membolehkan umat
menghayati dan mewarisi wawasan ketamadunan global (Rahmatan Lil’alamin) untuk
membolehkan umat berperanan secara berkesan diperingkat global. Semangat
persaudaraan (ukhuwah Islamiah) perlu dipupuk dan disemarakkan bagi menghasilkan
rangkaian sosial yang mantap sebagai satu strategi ke arah meningkatkan daya saing
umat. Masyarakat Malaysia perlu menghargai dan menghayati sifat berdikari dan
mengurangkan kebergantungan kepada pihak lain. Sikap dan nilai-nilai negatif
masyarakat perlu diubah kepada nilai-nilai yang terkandung di dalam tasawwur Islam.
Umat perlu dijadikan masyarakat iqra dalam hasrat mahu membina
kemampuanbangsa dari segi peningkatan penguasaan ilmu, kemahiran dan kepakaran.
Tuntutan Islam mewajibkan umat menguasai ilmu dalam semua bidang perlu dihayati.
Perlu diperbetulkan sebarang salah faham terhadap konsep ilmu agar tidak berlaku
pemisahan antara ilmu sekular dengan ilmu agama. Bahawa penguasaan sains dan
teknologi serta peningkatan kemahiran dan kepakaran merupakan sebahagian dari
tuntutan Islam. Begitu banyak ayat-ayat di dalam al-Quran yang menyentuh soal
penguasaan sains dan teknologi, yang perlu diberikan perhatian oleh umat. Sumbangan
tamadun Islam dalam sains dan teknologi yang membawa kepada kelahiran
renaissance di Eropah wajib diketahui oleh semua pelajar Islam. Usaha melahirkan
saintis Islam yang dapat menghasilkan penemuan-penemuan baru perlu
diperbanyakkan.
Dunia adalah satu perjalanan yang harus dimanfaatkan dalam proses
pengabdian manusia kepada Allah SWT dengan menyempurnakan tanggungjawab
fardu kifayah secara sempurna, jujur, telus dan amanah. Manusia tidak mungkin
berjaya memanfaatkan dunia ini dengan baik jika sikap dan pandangannya terhadap
dunia tidak tepat sebagaimana mestinya, kerana alam dan fenomenanya diciptakan dan
ditundukkan oleh Allah SWT untuk manusia diturunkan sebagai khalifah. Kerana itu,
amatlah penting untuk umat manusia itu diperlengkap dengan ilmu pengetahuan dan
kemahiran, supaya membolehkan manusia menguasai dunia.
Amatlah penting umat Islam dipimpin memahami dan menghayati Islam sebagai
sistem kehidupan menyeluruh untuk menggerakkan pembinaan satu tamadun.
Kehidupan menyeluruh yang bijak mengimbangkan tanggungjawab dunia dengan
tanggungjawab akhirat. Islam bukanlah satu ritual kerana ritualisme memberi tumpuan
kepada akhirat semata-mata. Kerajaan juga tidak pernah bersifat sekularisme yang
menolak akhirat dan memberi tumpuan kepada dunia semata-mata. Islam mestilah
dihayati sebagai sistem yang mengintegrasikan kehidupan duniawi dan persiapan
ukhrawi.
KESIMPULAN
Bangsa yang mencipta tamadun agung adalah mereka yang pandai menghargai
dan belajar daripada sejarah. Malaysia tidak terkecuali daripada hukum alam ini.
Kemampuan kita mentransformasi masyarakat dan ekonomi amat bergantung kepada
keupayaan kita mengiktiraf dan menghargai jasa bakti mereka yang terdahulu dari kita.
Malaysia telah melalui pembangunan yang pesat pada laf baru ini dan era
pentadbiran Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah memperkukuhkan lagi asas
sedia untuk kita mencapai kejayaan seterusnya. Setiap pemimpin negara adalah
laksana bintang yang menghiasi langit zaman. Setiap jasa dan pengorbanan yang
dicurahkan pasti kekal terpahat di sanubari rakyat zaman berzaman. Sesungguhnya
‘Pak Lah’ telah meningkatkan pelbagai usaha untuk membina sebuah masyarakat yang
lebih aman dan selamat.
RUJUKAN:
Pak Lah: Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi: Perdana Menteri Malaysia ke 5,
31.10.2003-2.4.2009,
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia.