TEKS UCAPAN - agc.gov.my YBhg Tan Sri Dato... · TEKS UCAPAN YBHG. TAN SRI DATO’ SRI ......
Transcript of TEKS UCAPAN - agc.gov.my YBhg Tan Sri Dato... · TEKS UCAPAN YBHG. TAN SRI DATO’ SRI ......
1
TEKS UCAPAN
YBHG. TAN SRI DATO’ SRI HAJI MOHAMED APANDI ALI
PEGUAM NEGARA MALAYSIA
PERSIDANGAN PEGAWAI UNDANG-UNDANG
JABATAN PEGUAM NEGARA 2017
TARIKH : 12 JANUARI 2017 (KHAMIS)
MASA : 9.00 AM – 9.45 AM
TEMPAT : GRAND HIBISCUS BALLROOM
SWISS-GARDEN HOTEL &
RESIDENCES MALACCA
(NOTA : TEMPOH UCAPAN – 20 MINIT)
2
Bismilahirrahmanirrahim
Yang Mulia Datuk Engku Nor Faizah binti Engku Atek
Peguam Cara Negara
Yang Berbahagia Datin Paduka Zauyah Be binti T.Loth Khan
Peguam Cara Negara II
Yang Berbahagia Datuk Siti Zainab binti Omar
Ketua Bahagian Penasihat merangkap Pengerusi
Jawatankuasa Persidangan Pegawai Undang-Undang 2017
Yang Berbahagia Datuk-Datuk/ To’ Puan Ketua-Ketua
Bahagian
Ahli-Ahli Majlis Pakar Pelbagai Disiplin;
Datuk-Datuk/Datin-Datin/Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya
hormati sekalian.
3
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam
1Malaysia.
1. Terlebih dahulu syukur ke hadrat Allah Subhanahuwataala
(SWT) kerana dengan limpah kurnia dan keizinanNya dapat
kita bersama-sama berkumpul pada pagi yang berbahagia ini.
2. Saya dimaklumkan bahawa seramai 631 orang pegawai
undang-undang daripada ibu pejabat, kementerian dan agensi
serta pejabat penasihat undang-undang negeri telah
meluangkan masa untuk hadir ke persidangan pada hari ini.
Terima kasih saya ucapkan atas komitmen YBhg. Datuk-Datuk,
Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan untuk turut serta
menjayakan persidangan pegawai undang-undang yang amat
julung kali kita adakan ini.
3. Walaupun dewan ini dipenuhi dengan 90 orang pegawai
berpangkat JUSA, 168 orang pegawai gred 54 – 52 dan 373
orang pegawai gred 48 – 41 kesemuanya, namun saya harap
4
selama tiga (3) hari kita bersidang ini, kita semua dapat
mengambil peluang untuk saling beramah mesra dan saling
bertukar fikiran, tanpa batas pangkat dan jawatan. Ini adalah
penting untuk kita sama-sama merintis jalan memperbaiki
mutu perkhidmatan sambil mengukuhkan jalinan kerjasama
antara satu sama lain.
4. Selain menghadiri persidangan, berpijaknya kita di bumi
Melaka yang bertuah ini bukanlah juga hanya untuk mengambil
peluang menikmati asam pedas Melaka atau mengambil
kesempatan merasai kelazatan air coconut shake serta kuih
keria antarabangsanya yang begitu terkenal semata-mata. Kita
pilih Negeri Melaka, ada sebabnya.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
5. Sekitar 600 tahun yang lalu, tanah yang kita pijak ini
merupakan letaknya satu peradaban yang amat disegani di
rantau Asia. Kekayaan Melaka hasil daripada aktiviti
5
perdagangan di Selat Melakanya yang mahsyur dan kehebatan
sistem pemerintahannya sekitar abad ke-15 dan 16 memang
tiada tolok bandingannya. Sehinggakan Duerte Barbosa,
seorang penulis Portugis pernah berkata “Sesiapa yang
menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia”.
Begitulah hebatnya Melaka pada abad tersebut.
6. Malangnya, pada tanggal 24 Ogos 1511, Melaka yang
dikatakan kebal daripada sebarang ancaman ini akhirnya jatuh
jua ke tangan Portugis.
7. Perlulah disedari bahawa jatuhnya Melaka bukan semata-
mata kerana mereka tiada senjata canggih untuk dihala dan
dihunus, bukan juga kerana mereka tiada kudrat tenaga
pahlawan untuk mengalahkan musuh. Sebaliknya, jatuhnya
Melaka ke tangan asing kerana benteng-benteng kukuh yang
melindungi Melaka sejak sekian lama telah dirobohkan sendiri
sedikit demi sedikit oleh orang-orang yang berlindung di
belakangnya.
6
8. Oleh yang demikian, selain menumpukan kepada perkara-
perkara berkaitan dengan persidangan ini, kisah-kisah yang
tersemat dalam lipatan sejarah Melaka inilah yang perlu kita
hayati sepanjang kita berada di bumi bertuah ini. Kita harus
mengambil teladan daripada kehebatan Melaka, dan pada
masa yang sama menginsafi kesilapan-kesilapan yang telah
mereka lakukan untuk kita jadikan sempadan.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
9. Justeru, menyulami sejarah keagungan dan kejatuhan
Melaka ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk sama-
sama berkongsi dengan semua peserta persidangan tiga (3)
perkara yang saya kira boleh kita jadikan panduan dalam
memacu Jabatan Peguam Negara menjadi lebih cemerlang,
lebih disegani dan lebih gah dipersada tanah air.
10. Antara pengajaran yang boleh kita ambil daripada sejarah
keagungan dan kejatuhan Melaka ialah, Pertamanya :
7
Pentadbiran yang baik akan membentuk organisasi yang
cemerlang.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
11. Sesebuah organisasi yang cemerlang seringkali disokong
oleh suatu sistem pentadbiran yang jelas, tersusun dan teratur.
Ia seringkali didasari dengan dua komponen utama iaitu
adanya “pemimpin yang baik” dan wujudnya corak “kepimpinan
yang cemerlang”.
12. Sejarah telah membuktikan bahawa antara sebab
kebangkitan Melaka sebagai suatu kuasa besar yang disegani
di rantau Asia adalah berikutan kecemerlangan pemerintahan
Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah dan Bendahara
Tun Perak. Namun, antara punca kejatuhannya juga adalah
akibat kelemahan pemimpin-pemimpin yang terkemudian yang
terlalu leka dengan keagungan dan kedudukan yang telah
mereka kecapi.
8
13. Malah, Tom Pires di dalam bukunya Suma Oriental dan
Tun Sri Lanang melalui hasil tulisan beliau di dalam buku
Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) telah merumuskan bahawa
jatuh bangunnya Melaka amat berkait rapat dengan faktor
pemerintah dan sistem pentadbirannya pada ketika itu.
14. Justeru, saya percaya, untuk memastikan Jabatan
Peguam Negara dapat mencapai aras kecemerlangan yang
lebih tinggi daripada sekarang, pegawai-pegawainya hendaklah
dididik menjadi pemimpin yang baik.
15. Pemimpin yang baik adalah seseorang yang juga boleh
memimpin dirinya dengan baik. If you can’t lead yourself,
others won’t follow you.
16. Oleh itu, perkara utama yang perlu kita lakukan sebagai
seorang pegawai di Jabatan Peguam Negara ialah memimpin
diri kita sendiri untuk menjadi seorang insan yang lebih baik.
9
Hiasilah akhlak masing-masing dengan sifat-sifat mahmudah
seperti sabar, adil, ikhlas dan mahabbah.
17. Namun, sahsiah yang baik sahaja tidak cukup untuk
menggerakkan sesebuah organisasi ke landasan yang
cemerlang. Kebolehan tuan-tuan dan puan-puan terutamanya
yang telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi ketua di
organisasi masing-masing, untuk sama-sama memimpin
pegawai-pegawai seliaan untuk turut cemerlang, tidak kurang
pentingnya.
18. Untuk tujuan ini, seseorang ketua itu hendaklah
mempunyai ilmu yang mencukupi agar ia dapat membuat
keputusan dengan cepat dan tepat, pemikiran yang kreatif dan
inovatif agar dia dapat melahirkan idea-idea penambahbaikan
organisasi yang bernas serta mempunyai visi dan misi serta
membuat perancangan yang jelas bagaimana hendak
mencapai visi dan misi tersebut.
10
19. Dalam hal ini, selaras dengan hasrat untuk menjadikan
Jabatan Peguam Negara sebuah organisasi perundangan
bertaraf dunia, Jabatan kita telahpun melancarkan Pelan
Strategik AGC 2016-2020 pada 31 Mei 2016 yang lalu. Pelan
Strategik ini menggariskan 3 teras utama yang mengandungi
12 strategi dan 23 program untuk dilaksanakan dalam tempoh
5 tahun.
20. Saya tidak bercadang untuk menerangkan satu persatu
pelan strategi yang telah kita rangka. Namun, saya menyeru
agar semua pegawai AGC dapat meluangkan sedikit masa
untuk melayari laman web rasmi AGC untuk membaca dan
meneliti Pelan Strategik ini supaya kita semua dapat
memahami hala tuju kita menjelang tahun 2020.
21. Seterusnya, kesimpulan kedua yang boleh kita pelajari
daripada sejarah Melaka ialah : Semangat berpasukan yang
tinggi dapat menjamin kelangsungan kecemerlangan
organisasi.
11
Hadirin yang saya hormati sekalian,
22. Berikutan aktiviti perdagangan yang pesat di Selat
Melaka, telah berlaku proses penyerapan golongan bukan
pribumi ke dalam masyarakat Melaka pada ketika itu.
Perkahwinan campuran antara orang tempatan dan pedagang
asing telah mewujudkan golongan India Muslim yang
memainkan peranan penting dalam politik Melaka.
23. Perasaan iri hati mula menyusup masuk ke dalam jiwa
masyarakat pribumi Melaka termasuklah dalam kalangan
pembesar dan berlakulah perebutan kuasa antara penyokong
Bendahara Tun Perak dari keturunan Melayu dengan Tun Ali
dari keturunan India Muslim.
24. Persengketaan ini berlanjutan sehinggalah ke era
pelantikan Tun Mutakhir sebagai Bendahara Melaka. Atas
dorongan perasaan dengki dan iri hati inilah, Bendahara Tun
12
Mutakhir yang merupakan antara pembesar yang mempunyai
kebijaksanaan strategi peperangan telah difitnah, sehingga
menyebabkan beliau dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud
Syah, di saat-saat Portugis menyerang Melaka.
25. Perpecahan dan perbalahan yang berterusan dari
generasi ke generasi ini sedikit sebanyak telah melunturkan
semangat kesetiaan dan permuafakatan dalam kalangan
masyarakat dan pembesar Melaka pada ketika itu. Perasaan iri
hati dan dendam telah mengaburi mata dan jiwa mereka
sehinggakan sanggup mengadai kedaulatan negeri Melaka.
26. Sebagai penjawat awam di era yang amat mencabar ini,
kisah kejatuhan Melaka perlu benar-benar kita fahami dan
insafi. “Berkhidmat Untuk Negara” bukan sekadar cogankata
yang kita tulis semata-mata, tetapi lafaz ikrar taat setia kita
kepada negara Malaysia.
13
27. Dalam konteks Jabatan Peguam Negara, kita perlu
memastikan bahawa tanggungjawab yang diamanahkan di
bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dapat kita
laksanakan dengan baik.
28. Slogan baharu “Bertekad Menegakkan Keadilan” yang
diinspirasikan daripada Surah An-Nisaa’ Ayat 135, umpama
semboyan yang memberi mesej yang cukup jelas kepada
semua pihak bahawa kita di Jabatan Peguam Negara akan
terus menegakkan keadilan without fear or favour.
29. Namun, untuk melaksanakan ikrar ini sebagai satu
pasukan, kita perlu bersatu padu, kita perlu saling
mempercayai antara satu sama lain dan kita tidak boleh
berprasangka sesama sendiri.
30. Jika ada walau sekelumit sifat ini di dalam hati kita,
hentikanlah. Sebagai Peguam Negara dan Ketua
Perkhidmatan, saya menyeru agar kita sama-sama
14
mneyucikan diri kita dari sifat berpuak-puak dan berpecah-
belah yang hanya akan merugikan Jabatan Peguam Negara
ini.
31. Adalah lebih baik jika kita dapat menumpukan seluruh
tenaga dan usaha kita untuk memastikan tugas selaku
penasihat undang-undang utama negara dapat dilaksanakan
sebaiknya berbanding untuk bertelagah, berpecah, memfitnah
dan menghina sesama kita atas kepentingan peribadi semata-
mata.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
32. Pengajaran ketiga yang boleh diambil daripada sejarah
Melaka ialah : Rasuah pemusnah negara.
33. Pada ambang kejatuhan Melaka, gejala rasuah telah
menjadi suatu perbuatan yang dominan dan sukar diubati
dalam kehidupan sosial dan politik antara golongan pembesar
15
dengan saudagar asing di Melaka 1
. Kesetiaan pembesar dan
saudagar amat mudah sahaja dibeli melalui wang ringgit yang
ditabur oleh pihak Portugis.
34. Penularan gejala rasuah ini pernah ditulis oleh R.J
Wilkinson di dalam bukunya “the Malacca Sultanate”2 seperti
yang berikut -
“...the laksamana lost his head at the sight of so much
money, forgetting the words of the wise...”
35. Kita perlu sedar bahawa gejala rasuah ini umpama anai-
anai yang akan memamah rakus keutuhan negara, sedikit demi
sedikit. Sebagaimana anai-anai, kehadirannya seringkali tanpa
kita sedari.
1 Chandra Muzaffar, 1983, “Continuity and Change in Malay Ideas of the Malaccan Period.” dalam “Melaka,
The Transformation of Malay Capitol in C 1400 – 1980” ed K.S Sandhu & Paul Wheatley, Kuala Lumpur :Oxford University Press. 2 Wilkinson RJ 1935 “The Malacca Sultanate” JMBRAS 13 : 11 October 1935
16
36. Hanya bermula dengan pelawaan makan malam di hotel-
hotel terkemuka, ia kemudian berjangkit pula ke pelawaan
bermain golf dan melancong bersama dengan semua
perbelanjaan di tanggung. Akhirnya, ia merebak dan
menjerumus kepada permintaan dan pemberian wang ringgit
serta barangan berharga secara terbuka tanpa rasa segan silu.
37. Sesungguhnya penularan gejala rasuah dalam kalangan
masyarakat Malaysia ini adalah lebih dahsyat kesannya
daripada penularan mana-mana wabak yang wujud di dalam
dunia. Jika wabak penyakit dapat kita sembuhkan dengan
penemuan vaksin dan anti-bakteria yang sesuai, wabak rasuah
hanya boleh diubati dengan keinsafan hati dan diri kita sendiri.
38. Menyedari hakikat ini, Jabatan Peguam Negara telah
mengorak satu lagi langkah ke hadapan dengan melancarkan
Pelan Integriti AGC 2016-2020 pada 29 November 2016
dengan aspirasi supaya Jabatan ini melahirkan pegawai yang
berakhlak mulia, berdisiplin dan berintegriti tinggi.
17
39. Pelbagai pelan strategi dan program telah disusun dalam
tempoh 4 tahun akan datang demi menyediakan persekitaran
yang kondusif yang boleh memangkin pembentukan pegawai
Jabatan Peguam Negara yang berintegriti tinggi. Sesalinan
Pelan Integriti AGC ini juga boleh diperolehi di portal rasmi
AGC untuk rujukan tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
40. Namun bak kata pepatah, “you can lead a horse to water,
but you can't make him drink”. There is only so much that we
can do. Tetapi pokok pangkalnya adalah masih berbalik
kepada diri tuan-tuan dan puan-puan sendiri.
41. Saya menyeru agar pegawai di Jabatan Peguam Negara
tidak sekali-kali terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah,
penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran mana-mana
peraturan dan undang-undang yang boleh mencemarkan imej
dan nama baik Jabatan ini.
18
42. Saya juga ingin menegaskan bahawa saya tidak akan
teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-
mana pegawai yang didapati terlibat dalam kesalahan-
kesalahan yang melibatkan isu integriti dalam apa-apa bentuk
sekalipun.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
43. Sebenarnya, banyak lagi perkara yang boleh kita pelajari
dengan menghayati sejarah keagungan dan kejatuhan Melaka
ini. Namun, saya kira cukuplah setakat tiga (3) perkara ini buat
masa ini kerana saya ingin memberi lebih masa untuk sesi
dialog sebentar lagi.
44. Saya dimaklumkan bahawa semasa majlis makan malam
“Malacca Heritage Trails” pada malam ini, kita berpeluang
sekali lagi untuk menghayati zaman Melaka di era kurun ke 14-
16. Saya harap, dalam kegembiraan kita berpakaian menepati
tema pada malam ini, kita juga tidak lupa untuk menghayati
19
mesej sebenar yang cuba disampaikan oleh ahli-ahli sejarah
berhubung kisah keagungan dan kejatuhan Kesultanan
Melaka, sebagaimana yang telah saya sebutkan di dalam
ucapan saya tadi.
45. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya
merakamkan setinggi penghargaan kepada semua Ahli
Jawatankuasa Persidangan Pegawai Undang-Undang Jabatan
Peguam Negara 2017 di bawah kepimpinan YBhg. Datuk Siti
Zainab Omar, dan semua pihak yang terlibat sama ada secara
langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan
persidangan ini dapat dijalankan dengan lancar.
46. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya
dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Pegawai
Undang-undang Jabatan Peguam Negara 2017. Semoga kita
dapat mengambil manfaat daripada perisian-perisian yang
telah dirancanakan sepanjang tiga hari ini.
20
Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.