Soalan 2 Full
description
Transcript of Soalan 2 Full
1.0 PENGENALAN
Profesion perguruan adalah bidang yang memberi perkhidmatan yang unik
dan diperlukan oleh masyarakat. Keunikannya hanya akan dirasai dan diketahui oleh
mereka yang terlibat dalam profesion ini. Hanya warga profesion ini sahaja yang
berkemampuan memberi perkhidmatan pendidikan terbaik kepada masyarakat dan
memberi kesan yang besar terhadap perkembangan personaliti, mental dan fizikal
setiap insan (Noran Fauziah dan Ahmad Mahdzan, dalam Abd Rahim Hamdan,
2006: 1). Menurut Musgrave dalam Amir Hasan Dawi (2006: 212), tugas yang
dianggap profesion ialah hanya menggunakan ilmu yang dimiliki untuk faedah
pelanggannya. Sungguhpun begitu untuk menterjemahkan konsep profesion
perguruan dalam satu ayat yang lengkap bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan
kerana ia perlu dijelaskan daripada pelbagai perspektif. Namun terdapat ciri-ciri
umum untuk menerima sesuatu pekerjaan sebagai profesion iaitu mempunyai ilmu
pengetahuan dan kepakaran dalam bidang yang khusus, mempunyai latihan khas
dan sebagainya. Profesion perguruan dianggap satu profesion yang mencabar.
Guru memainkan pelbagai peranan untuk menjadikan dirinya seorang pendidik yang
berkesan.
Profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang
sungguh mencabar. Tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka
dengan perkembangan terkini dalam proses kepemimpinan, pengurusan,
pengelolaan sumber, dan pencapaian matlamat pendidikan (Ibrahim Ahmad Bajunid,
1995). Justeru itu, dengan pelaksanaan pelbagai-bagai reformasi dalam pendidikan
sudah pasti menjadikan peranan dan tanggungjawab guru-guru menjadi lebih
mencabar. Di Malaysia, fenomena stres di kalangan guru kini sedang hebat
diperbincangkan dan dijadikan sebagai bahan kajian ilmiah. Malahan, kajian-kajian
yang lepas juga mendapati bahawa profesion perguruan adalah bidang kerjaya yang
menghadapi stres kerja yang tinggi (Cooper 1995, Hart et al.,1995) dalam Mokhtar
(1998).
Hatta Sidi dan Mohamed Hatta ( 2005), mentakrifkan stres sebagai tindak
balas minda dan fizikal yang terhasil daripada permintaan ( atau cabaran ) mengikut
sesuatu keadaan atau tempat. Stres melibatkan perasaan subjektif, yang pada
mulanya di terima oleh diri seseorang secara aman, tetapi lama-kelamaan menjadi
semakin “kacau” apabila permintaan atau cabaran semakin bertambah. Stres terjadi
akibat perubahan yang berlaku di dalam tubuh dan mempunyai kaitan dengan alam
sekeliling. Menurut Nor Hanani ( 2007 ) pula stress merangkumi tekanan, beban,
konflik, keletihan, ketegangan, panik, perasaan gemuruh, enxieti, kemurungan dan
hilang daya. Gejala stres ini terhasil apabila seseorang itu berasa yang keperluan
melebihi daripada keupayaan atau sumber yang ada pada dirinya.
Arus pendidikan hari ini semakin mendesak para professional pendidikan
untuk bekerja keras dan lebih masa demi mencapai permintaan tinggi pendidikan
tersebut. Di samping usaha peningkatan dan perlaksanaan, guru-guru semakin mula
tertekan atau sekurang-kurangnya pernah berasa tertekan dengan ‘demand’ tinggi
bebanan kerjaya pendidikan ini. Menurut Sapora Sipon (2007), stres terhadap guru
memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan
murung, mengalami tekanan jiwa, kekecewaan dan kebimbingan. Guru yang gagal
mengawal diri akibat stres akan memberi kesan kepada perhubungan guru dengan
murid dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini seterusnya boleh
menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan yang seterusnya akan
membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa
Malaysia ke tahap kecemerlangan mutu pendidikan.
2.0 DEFINISI KONSEP
Menurut Burhanuddin Abdul Jalal (2010), stress merupakan suatu ungkapan
yang sering dikaitkan dengan hal-hal yang negatif seperti gila, gelisah, tertekan,
tidak mampu berfikir, jiwa yang resah, pemarah dan hal-hal negatif yang lain. Kita
barangkali amat biasa dengan istilah atau ungkapan ini. Ini mungkin kerana setiap
hari kita mengalami stress. Mengapakah ini berlaku? Stress berlaku apabila
keadaan tubuh badan atau jiwa kita mengalami suatu keadaan atau situasi di luar
kebiasaan kita.
Tekanan boleh didefinisikan sebagai tindak balas emosi yang tidak spesifik
terhadap desakan sama ada yang sebenar atau yang diimaginasikan. Ia merupakan
satu fenomena semula jadi yang tidak boleh dielakkan sekiranya seseorang itu
membuat kerja-kerja profesional. Tekanan merupakan normal dalam kehidupan
yang sentiasa dipenuhi dengan kesibukan. Setiap orang akan mengalami tekanan
(stres) dalam kehidupan seharian mereka. Tekanan (stres) yang berterusan dan
keterlaluan boleh mengganggu kesihatan mental mahupun kesihatan fizikal.
Tekanan merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan
mental dan kerap menyerang masyarakat pada hari ini. Kehidupan manusia pada
alaf ini amat mencabar dan kompleks. Kepelbagaian dan kekompleksian kehidupan
ini menyebabkan munculnya “Sindrom Baru” yang menyerang manusia iaitu tekanan
atau lebih dikenali sebagai “stres”. Menurut Hatta Sidi dan Mohamed Hatta
Shaharom (2002) stres merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia sejak
dahulu lagi tanpa disedari. Ia berubah wajah mengikut peredaran masa. Stres
bukanlah suatu perkara yang asing bagi masyarakat negara ini. Stres biasanya
dialami oleh semua manusia apabila berada dalam keadaan yang tidak
menyeronokkan. Stres akan menjadi lebih teruk dan semakin sukar dikawal apabila
timbulnya perasaan marah. Contohnya, kesan-kesan stress seperti kenaikan
tekanan darah, hilang sabar dan cepat marah akan menjadi lebih teruk apabila
kemarahan memuncak.(Mohd. Razali Salleh, 2010).
Tekanan atau stres adalah satu tindakbalas fisiologikal dan psikologikal ke
atas permintaan terhadap seseorang. Ini bermaksud, tekanan yang melanda
seseorang akan menyebabkan fikiran dan fizikal individu tersebut bertindak balas
mengikut keadaan dan tahap tekanan tersebut. Sekiranya tahap tekanan tersebut
adalah rendah maka tindakbalas individu terbabit juga tidak terlalu besar dan begitu
juga sebaliknya. Smither (1994), kenyataan ini disokong oleh Schafer (1992), yang
menyatakan bahawa tekanan sebagai kebangkitan minda dan fizikal seseorang
dalam memberi tindakbalas kepada sesuatu permintaan terhadap diri seseorang.
Tambahan pula, Fontana (1989), juga menyatakan bahawa tekanan adalah satu
bentuk permintaan yang dibuat ke atas keupayaan untuk menyesuaikan minda dan
fizikal serta seterusnya menjelaskan sekiranya seseorang itu dapat menerima dan
menangani permintaan tersebut, maka tekanan tersebut akan mendatangkan kesan
yang positif.
Hal ini menunjukkan bahawa cara seseorang menangani tekanan bergantung
kepada tahap kesediaan minda dan fizikal seseorang untuk menerima atau
menyerap sesuatu tekanan yang diterima. Sekiranya individu terbabit tidak bersedia
dari segi fizikal dan mental, maka sudah pastinya tekanan yang datang dalam
bentuk permintaan ini tidak mampu dihadapi dengan sempurna yang akhirnya akan
menyebabkan individu tersebut tertekan dan menghadapi masalah yang lebih besar.
Sementara itu, menurut Levine dan Ursin (2009), tindakbalas tekanan ini adalah satu
perubahan fisiologi dan perlakuan yang berlaku terhadap mereka yang menghadapi
tekanan. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa, tekanan bukanlah satu perkara yang
boleh diambil ringan kerana seseorang itu akan menghadapi risiko untuk berubah
perlakuannya dengan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti
bercakap kasar, memulakan pertengkaran, terlibat secara fizikal dalam pergaduhan,
penyalahgunaan dadah, terlibat dalam jenayah dan sebagainya yang membuktikan
walau sekecil mana sekalipun tekanan tersebut sekiranya tidak diuruskan dengan
betul mampu membawa malapetaka yang lebih dahsyat lagi kepada mereka yang
terlibat. Namun semuanya bergantung kepada kekuatan mental dan fizikal
seseorang kerana ianya dapat membantu seseorang untuk menyerap tekanan dan
dapat menerima tekanan tersebut secara positif.
Tekanan kerja pada tahap yang tinggi juga akan membawa kepada
ketidakpuasan dalam membuat kerja dan akhirnya sikap suka mengelak dan
mengabaikan kerja akan terhasil. Tindakbalas penyesuaian tekanan oleh guru
merangkumi tindakbalas psikologikal (keletihan dan kemurungan), fisiologikal (sakit
kepala dan tekanan darah tinggi) dan berkaitan sikap (pengambilan alkohol,
merokok, gaya hidup dan masalah tidur). Akibat suasana kerja yang teruk akan
menyumbang kepada faktor tekanan dan seterusnya membawa kepada
ketidakpuasan kerja serta keinginan untuk meninggalkan profesion keguruan.
Kyriacou & Sutcliffe (1978), menyatakan bahawa tekanan guru adalah
berpunca dari aspek kerja mereka yang akhirnya menganggu emosi. Gangguan
emosi ini akhirnya menimbulkan rasa marah, perasaan tidak selesa, kebimbangan,
tekanan serta kekecewaan yang tinggi. Dalam hal ini , guru yang menghadapi
tekanan adalah guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan
budaya pendidikan yang bukan sahaja untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu
mendidik manusia agar menjadi manusia yang berguna. Oleh itu, bagi mewujudkan
satu pengajaran dan pembelajaran yang berkesan guru- guru terpaksa melakukan
kerja lebih masa bagi menyediakan alat bantu mengajar, menghadiri kursus dan
bengkel sepanjang minggu bagi membuat penyesuaian terhadap kaedah pengajaran
yang baru. Pada masa yang sama pula guru perlu melakukan kerja-kerja
pengkeranian dan ini telah meningkatkan tekanan di kalangan guru di sekolah.
Namun begitu, dalam perspektif pendidikan, sejak tahun lapan puluhan
Kyriacou (1987) telah menjelaskan bahawa terdapat bukti yang kukuh menunjukkan
stres yang berpanjangan boleh melemahkan mental dan fizikal seseorang guru.
Seterusnya kajian Jamaliyah (1999) juga menunjukkan stres membawa risiko ke
atas kesihatan seseorang guru. Di samping itu, menurut kajian Ali Murat Sunbul
(2003) pula, terlalu banyak stres yang dihadapi oleh guru juga boleh mendatangkan
pelbagai kesan yang negatif dan boleh mengganggu prestasi serta kepuasan kerja
seseorang guru. Kebanyakan guru melaporkan stres dalam pekerjaan mereka dan
mengalami “burn out” pada peringkat tertentu dalam pengalaman perkerjaan mereka
(Cormaks, 2000).
Di Malaysia, profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial
yang sungguh mencabar. (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Semenjak beberapa
tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha dijalankan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia sebagai satu usaha dalam meningkatkan mutu sistem pendidikan di
Malaysia. Dengan pelaksanaan pelbagai reformasi ini, tugas, peranan dan
tanggungjawab guru menjadi semakin mencabar.Tekanan terhadap guru memang
berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan murung,
mengalami tekanan jiwa, kekecewaan dan kebimbangan. Guru yang gagal
mengawal diri akibat tekanan akan memberi kesan kepada perhubungan guru
dengan pelajar dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran seterusnya boleh
menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan.
Bukan sekadar itu, masalah ini akan membantutkan usaha mewujudkan
sebuah masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan dan
kegemilangan mutu pendidikan. (Dr.Sapora Sipon, 2007). Peratusan kadar stress
dalam kalangan pekerja di Malaysia yang telah dicatatkan pada tahun 2011 juga
menunjukkan bahawa guru berada pada tempat keempat dengan peratusan
sebanyak 45.8 % berbanding pekerjaan-pekerjaan yang lain seperti jururawat,
doktor dan sebagainya. Statistik ini membuktikan bahawa tugas guru ini bukan
tugasan biasa dan mudah seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak. Satu
kajian telah dijalankan oleh Mohamad Abdillah Royo dan Woo Sew Fun dari Fakulti
Pendidikan Universiti Malaya bagi mengenalpasti punca sebenar dan jalan
penyelesaian bagi masalah ini. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelbagai perkara
yang dikenalpasti menyumbang kepada masalah ini antaranya bebanan tugas,
kerenah murid, kurang motivasi dan sebagainya.
Tekanan merupakan satu pengalaman yang lumrah dalam kehidupan
manusia. Setiap manusia tidak dapat lari daripada tekanan yang berpunca daripada
peristiwa-peristiwa dalam kehidupan baik dalam bentuk fizikal, sosial mahupun
psikologikal. Kesan tekanan ke atas seseorang individu banyak bergantung pada
ciri-ciri dan sikap individu itu bagaimana untuk mengatasinya. Smither (1994)
menakrifkan tekanan sebagai respon fisilogikal dan psikologikal ke atas permintaan
terhadap seseorang. Schafer (1992) mendefinisikan tekanan sebagai kebangkitan
minda dan badan seseorang dalam bertindak balas kepada permintaan terhadap
dirinya. Fontana (1989) pula memberi definisi tekanan sebagai permintaan yang
dibuat ke atas keupayaan penyesuaian minda dan badan seterusnya menjelaskan
sekiranya keupayaan seseorang itu dapat menangani permintaan itu, maka tekanan
itu akan mendatangkan kesan yang positif.
Kesedaran tentang perlunya menguruskan tekanan ini digambarkan dengan
kajian-kajian yang banyak dijalankan sama ada di dalam ataupun di luar negeri.
Antaranya ialah kajian oleh Nelson dan Sutton (1990) dan Jung (1995) di Amerika
Syarikat; Cooper dan Kelly (1993) , Abouserie (1996) dan Cockburn (1996) di United
Kingdom; Chan dan Hui (1995) di Hong Kong. Di dalam negeri pula telah dijalankan
oleh Noor Azzuddin (1990), Noriah (1995), Abu Omar (1996) dan Ungku Norulkamar
(1997).
Kebanyakan kajian yang dimaksudkan adalah berkaitan langsung dengan
persoalan tekanan dalam kalangan guru-guru. Gold dan Roth (1993)
menggambarkan status profesion perguruan masa kini dianggap mempunyai tiga
keadaan negatif, iaitu keadaan yang bertekanan, moral guru yang rendah, dan
peletakan jawatan (mungkin bukan dalam keadaan kegawatan sekarang). Di
Malaysia, persoalan tekanan dalam kalangan guru bukan lagi setakat bahan kajian
ilmiah, malah menjadi isu dalam media masa. Menurut Muhamad (1995) , kajian
oleh Kongres Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia
(KONGRES) menunjukkan guru-guru mengeluh terhadap kerja-kerja persediaan
guru seperti menyediakan perancangan tahunan, penggal, mingguan, dan harian.
Dalam konteks negeri Sarawak, Menteri Pembangunan Industri, Datuk Abang
Johari Abang Haji Openg selaku menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal
pendidikan telah menjelaskan sebab-sebab mengapa 75 guru di Sarawak telah
meninggalkan profesion perguruan (semenjak 1993 hingga Mei 1996). Antara
alasannya ialah masalah peribadi, tawaran yang lebih baik, tidak mahu berjauhan
dengan keluarga, persekitaran kerja yang tidak sesuai dan beban tugas yang berat
(Borneo Post, 1996). Perubahan yang berlaku dalam dunia pendidikan terutamanya
masalah pelajar, bebanan kerja , isu SSB, dan perubahan dasar yang tidak pernah
selesai. Kesemua ini menuntut perubahan pandangan guru terhadap persekitaran
mereka. Perubahan ini pasti menyebabkan tekanan ke atas guru.
Menurut Za’ba (1963), stres adalah satu paksaan atau desakan kepada
sesuatu perkara yang diutamakan atau yang terpenting. Hans Selye (1963) pula,
mendefinisikan stres sebagai suatu tindakbalas tubuh kepada tuntutan-tuntutan
dalaman dan luaran terhadap dirinya sehingga melibatkan kadar ’Wear and tear of
the living body’ . Menurutnya lagi, stres merupakan satu komponen kehidupan yang
memberikan kesan positif mahupun sebaliknya terhadap seseorang. Kesan yang
positif disebut sebagai ’eutress’ dan kesan negatif pula dipanggil ’distress’. Stres
boleh menjadi positif sekiranya dipandang sebagai satu cabaran yang boleh
meningkatkan potensi diri dan produktiviti.
3.0 PUNCA – PUNCA STRES
Daripada beberapa definisi yang diberikan di atas, maka boleh dikatakan
tekanan terbukti mempunyai hubungan dengan faktor dalaman dan luaran
seseorang. Faktor luaran ini bermaksud persekitaran fizikal seperti tugasan dan
tanggungjawab di pejabat, tahap perhubungan dengan manusia lain, keadaan fizikal
kediaman, tahap kebisingan, kesesakan jalanraya dan sebagainya yang berkaitan
dengan kehidupan seharian manusia. Faktor dalaman pula bermaksud faktor yang
mempengaruhi seseorang di dalam menangani faktor-faktor luaran tadi seperti tahap
kesihatan fizikal dan mental, emosi dan perasaan serta rehat yang mencukupi. Bagi
mereka yang mempunyai tahap kesihatan yang tinggi, kemungkinan untuk mereka
menghadapi tekanan disebabkan perkara yang remeh-temeh adalah rendah dan
cara mereka bertindakbalas juga adalah secara sederhana. Manakala mereka yang
mempunyai tahap kesihatan yang rendah mempunyai kemungkinan untuk
mengalami tekanan dan bertindakbalas secara agresif walaupun atas sebab-sebab
yang kecil akibat ketahanan mental dan fizikal yang lemah.
Kadar stres yang dirasai oleh seseorang guru terhadap sesuatu
perkara atau isu adalah berbeza. Perbezaan stres yang dialami oleh sesorang guru
bukan sahaja disebabkan oleh faktor luaran tetapi juga oleh faktor dalaman.
Stres boleh berlaku kepada semua guru sama ada guru sekolah menengah
mahupun rendah. Satu kajian yang dijalankan oleh Azizi Yahya dan Norliza Othman
mengenai punca sebenar berlakunya masalah stres dalam kalangan guru
matematik di negeri Johor. Hasil kajian mendapati bahawa faktor yang paling
mempengaruhi stres adalah faktor masalah disiplin pelajar yang mencatatkan nilai
min keseluruhan tertinggi iaitu 3.83. Kajian juga dijalankan oleh Azrul Hisham Abdul
Manaf pada tahun 2009 menunjukkan bahawa guru tidak terlepas daripada
perlakuan dan sikap segelintir pelajar yang kadangkala menyakitkan hati. Antara
contoh perlakuan pelajar yang membangkitkan kemarahan guru termasuklah datang
lewat ke kelas, membuat bising ketika sesi pengajaran dan pembelajaran bermula,
tidak hadir ke sekolah tanpa alasan yang munasabah dan bersikap biadap dengan
guru.
Perkara ini menyebabkan guru mengambil keputusan yang agak drastik dan
berasaskan emosi untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan disiplin
pelajar. Walaupun tindakan ini melanggar etika dan tatatertib seorang pendidik,
namun kadangkala emosi yang tidak stabil boleh menguasai kekuatan akal fikiran
yang waras. Terdapat banyak contoh kes sebenarnya yang berkaitan dengan
tindakan disiplin berdasarkan emosi yang dilakukan oleh guru yang berkait dengan
masalah disiplin pelajar. Antaranya ialah kejadian di mana 200 orang pelajar
Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan di Sarawak yang telah dihukum
dengan cara berendam di dalam sebuah kolam yang kotor oleh warden asrama
mereka disebabkan masalah disiplin (Utusan Malaysia, 28 Julai 2007). Setahun
sebelum itu,seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Kelantan telah
bertindak memukul seorang pelajar berulang kali di kawasan sekolah kerana
memakai seluar jeans pada hari terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
( Berita Harian, 20 Mei 2006 ).
Guru bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan para pelajar yang
bermasalah tetapi juga berhadapan dengan ibu bapa pelajar yang memberikan
harapan yang amat tinggi kepada para guru untuk menjadikan anak-anak mereka
cemerlang dalam pelajaran. Hal ini dapat dibuktikan menerusi kajian yang telah
dijalankan oleh Unit Kaunseling Jabatan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam
(JPA) pada tahun 2006 yang mendapati bahawa 83% daripada guru telah
mengalami tekanan akibat harapan tinggi yang diletakkan oleh ibu bapa pelajar yang
mengharapkan guru-guru di sekolah boleh membantu untuk menjadikan anak-anak
mereka sebagai pelajar yang cemerlang dalam akademik.
Kajian yang sama juga menyatakan bahawa kebanyakan ibu bapa akan
melepaskan sepenuhnya tanggungjawab untuk mendidik anak-anak mereka kepada
guru sekolah sambil mengharapkan anak mereka memperoleh keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan. Abu Bakar Hamzah dalam artikelnya yang dimuatkan
dalam akhbar Berita Harian bertarikh 23 Februari 2007 mengatakan bahawa ibu
bapa kebiasaannya akan mengukur kejayaan mutlak seseorang pelajar berdasarkan
kecemerlangan akademik semata-mata tanpa mengira aspek-aspek lain yang tidak
kurang pentingnya seperti kemahiran dalam bidang vokasional. Akibat daripada
harapan yang terlampau tinggi, kebanyakan guru terpaksa menghabiskan banyak
masa mereka di sekolah untuk mengadakan kelas-kelas tambahan di luar waktu
persekolahan bagi memastikan harapan ibu bapa dipenuhi.
Selain itu, faktor bebanan kerja yang terlampau banyak juga menyebabkan
guru-guru mengalami masalah stres. Menurut Esah Sulaiman (2003), guru
merupakan pengurus pembelajaran yang bertanggungjawab untuk merancang
pengetahuan, kemahiran dan nilai yang hendak diajar kepada pelajar setiap hari. Ini
menunjukkan tanggungjawab guru untuk menyediakan maklumat-maklumat untuk
diajar tidak semudah yang disangkakan. Guru juga dibebankan dengan tugas-tugas
lain seperti tugas pentadbiran sekolah contohnya merancang dan menjalankan
aktiviti sekolah, menjadi penasihat persatuan dan kelab, menjalani kursus yang telah
ditetapkan oleh pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri dan sebagainya.
Perkara ini mungkin dilihat mudah oleh sesetengah pihak namun ia
merupakan bebanan yang amat tinggi kepada para guru kerana mereka terpaksa
melakukan pelbagai jenis kerja yang berkaitan dengan akademik, kokurikulum dan
pentadbiran sekaligus setiap hari. Tambahan pula, adakalanya tugas-tugas ini perlu
diselesaikan pada hari minggu sehingga menyebabkan guru tidak mendapat ruang
waktu untuk berehat dan bersama keluarga. Ia menjadi menjadi satu masalah yang
besar dan dipandang serius oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sehingga
wujudnya satu Jawatankuasa Khas bagi mengkaji bebanan tugas guru yang
terlampau banyak. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Don
yang mempengerusikan jawatankuasa itu, beberapa cadangan sudah dikenalpasti
bagi menangani masalah ini. Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi memberi
maklumbalas terhadap aduan yang dibuat oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (NUTP) terhadap bebanan tugas guru dalam satu sidang media yang
diadakan pada tarikh 30 Mac 2010. Ini membuktikan bahawa banyak pihak yang
menyedari akan bebanan tugas guru yang semakin mencabar.
Bagi pekerja di setiap organisasi, etika kepimpinan seseorang pemimpin
atasan memainkan peranan yang penting dalam memajukan organisasi tersebut.
Perkara yang sama juga berlaku di sekolah apabila etika kepimpinan pengetua atau
guru besar yang memainkan peranan yang sangat penting di dalam kemajuan dan
pembangunan sekolah serta sumber manusianya. Guru sememangnya bergantung
harap kepada guru besar untuk memastikan kelancaran pentadbiran di sekolah di
samping menjaga kebajikan mereka sebaik-baiknya. Sekiranya perkara ini tidak
berlaku, guru akan mengalami tekanan kerana persekitaran tempat kerja yang tidak
membantu mereka untuk menjadi lebih produktif di dalam perkhidmatan. Hal ini
kerana, adakalanya dalam melaksanakan sesuatu program di sekolah, terdapat
corak pentadbiran dan tindakan pengetua yang kurang disenangi di sekolah.
Malahan, ada juga program yang diatur bukanlah untuk kepentingan sekolah atau
pelajar sebaliknya untuk kepentingan peribadi pengetua dan guru besar semata-
mata.
Keputusan-keputusan tentang peraturan dan dasar sekolah yang tidak adil
dan kerap berubah juga akan membangkitkan ketidakpuasan hati guru. (Hamedah
binti Wok Awang, 2004). Selain itu, ada juga pengetua yang menyalahgunakan
peruntukan sekolah untuk kegunaan peribadi seperti hanya menumpukan usaha
membesar dan mencantikkan bilik guru besar dan pengetua sahaja walaupun
peruntukan tersebut sebenarnya harus digunakan untuk pembangunan fizikal
sekolah serta kebajikan kakitangan dan pelajar. Isu ini telah dilaporkan oleh
BERNAMA pada 17 Februari 2000, apabila Kementerian Pendidikan akan
mengambil tindakan segera terhadap pengetua yang menyalahgunakan kuasa
mereka termasuk yang terlibat dalam rasuah.
Menurut mantan Menteri Pelajaran Malaysia, hal ini kerana terdapat beberapa
kes yang diterima oleh pihak kementerian setiap tahun yang menyebabkan tindakan
tegas perlu diambil secara serta merta. Hal ini secara langsung akan mengundang
tekanan emosi terhadap guru kerana mereka akan berasa kurang senang dengan
keputusan-keputusan yang dibuat tanpa mengambil kira kebajikan perkhidmatan
mereka. Apabila keadaan ini semakin berlarutan, ianya akan menghakis
kepercayaan guru terhadap kredibiliti dan ketelusan pengetua dan guru besar
terbabit. Akhirnya perasaan hormat guru akan hilang dan mereka akan kehilangan
motivasi untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.
Menurut Dunham (1992), terdapat lima faktor utama yang menyebabkan
berlakunya tekanan kerja guru iaitu salah laku pelajar, keperluan penghargaan,
kekangan masa dan tekanan kerja di kalangan guru sekolah menengah
sumber, dan hubungan interpersonal. Keadaan ini juga berlaku di Malaysia
seperti mana yang dinyatakan oleh Faridah dan Zubaidah (1999) di mana guru
berhadapan dengan masalah sosial, anak muda yang terbiar dan masalah disiplin
yang menakutkan serta disusuli pula oleh tekanan kerja yang kuat. Di dalam bilik
darjah guru berhadapan dengan masalah salah laku pelajar yang mana faktor ini
dipercayai antara faktor yang menyebabkan guru-guru di sekolah menengah
menghadapi tekanan. Guru-guru terpaksa berhadapan dengan masalah pelajar-
pelajar yang suka membuat bising, biadap atau kurang ajar dan kesukaran
mengawal pelajar dalam kelas (contoh, kelas tingkatan peralihan kerana masalah
berkomunikasi dalam bahasa Melayu).
Sehubungan itu, kita perhatikan bahawa faktor penghargaan merupakan
faktor yang boleh menyebabkan tekanan kerja kepada guru. Faktor penghargaan ini
merujuk kepada penghargaan yang sepatutnya diberikan kepada guru-guru yang
rajin, berdedikasi, dan cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Terdapat guru-
guru yang benar-benar memberi komitmen yang tinggi dalam pengajaran dan
pembelajaran, namun penghargaan yang sewajarnya masih belum diperolehi. Selain
itu, terdapat guru-guru yang tidak berpeluang untuk kenaikan pangkat dan masih
diiktiraf senioritinya untuk memegang sesuatu jawatan. Adakalanya pandangan,
pendapat dan suara guru-guru terhadap kebaikan sekolah tidak dihargai atau kurang
mendapat perhatian yang baik dari pihak pentadbiran sekolah. Ini juga boleh
menimbulkan perasaan tersinggung dan kecewa sehingga menyebabkan guru-guru
itu menjadi kurang proaktif lagi. Terdapat segelintir guru yang melihat gaji yang
diterima tidak seimbang dengan tugasnya sedangkan mereka ini mengharapkan gaji
yang seimbang dengan tugas-tugas yang ditanggungnya. Sepatutnya apabila guru-
guru tersebut memegang sesuatu jawatan atau tugas yang berat, pihak pentadbir
harus peka terhadap mereka yang dibebani kerja yang banyak.
Faktor kekangan masa dan sumber merupakan faktor seterusnya yang
menjadi penyebab berlakunya tekanan kerja kepada guru. Kekangan sumber
merujuk kepada kekurangan peralatan dan kemudahan pengajaran dan
pembelajaran, keadaan bilik guru, kekurangan kelas, tuntutan sukatan pelajaran dan
lain-lain. Kekangan masa pula ialah kekurangan masa guru-guru untuk mengajar,
menghabiskan sukatan pelajaran yang diajar, pelajar dan masa rehat yang singkat.
Pelbagai kursus juga perlu dihadiri oleh guru, kadang kala memakan masa yang
lama sehingga terpaksa meninggalkan kelas yang diajar. Tambahan pula, guru
tersebut tidak dapat menghabiskan sukatan pelajaran bagi mata pelajaran yang
diajarnya. Setelah tamat kursus, guru perlu menghabiskan dan menyiapkan tugasan
yang tertangguh sebelum ini. Ini tentunya akan menambahkan tekanan kerja kepada
guru tersebut.
Faktor hubungan interpersonal dalam sekolah juga merupakan faktor
yang menyebabkan berlakunya tekanan di kalangan guru-guru. Hubungan
antara personal ini merujuk kepada hubungan guru dengan guru, guru dengan
pengetua, guru dengan pegawai dan jabatan pendidikan, hubungan guru dengan
staf sokongan, hubungan guru dengan pelajar dan hubungan antara guru dengan
ibu bapa, penjaga atau waris pelajar. Perhubungan yang ada kalanya dingin antara
guru-guru dengan personel yang terdapat di sekolah akan mempengaruhi dan
memberikan implikasi yang kurang baik terhadap kualiti kerja guru-guru tersebut.
Walau bagaimanapun, geografi juga menjadi faktor penting dalam
menentukan tekanan kerja di kalangan guru. Kedudukan sekolah dan
masyarakat di kawasan sempadan adalah berbeza dengan tempat-tempat lain
di Malaysia. Antara tempat yang agak unik dan perlu dibuat kajian ialah kawasan
sempadan Malaysia dengan Thailand. Ini dapat kita lihat di Rantau Panjang,
Kelantan di mana 35 peratus pelajar di sekolah menengah berasal dari Sungai
Golok, Thailand. Pelajar-pelajar di sini adalah terdiri daripada pelajar Melayu dan
mereka berulang-alik melalui jambatan dan sebahagian lagi datang dengan menaiki
sampan. Budaya hidup di sini agak berlainan dengan tempat lain di Malaysia kerana
sedikit sebanyak budaya dari Thailand telah mempengaruhi masyarakat di Rantau
Panjang. Selain daripada itu, satu lagi kelainan jika dibandingkan dengan tempat-
tempat lain kegiatan penyeludupan yang menjadi sumber pendapatan penduduk di
sini.
Sebahagian besar penduduk di sini tidak menganggap kegiatan ini sebagai
satu kesalahan, malah ia dianggap sebagai satu mata pencarian. Guru baru yang
ditempatkan di sini memerlukan masa untuk menyesuaikan dengan keadaan dan
guru lama di sini mungkin telah menerima aktiviti ini sebagai satu kenyataan. Tidak
mustahil sekiranya guru-guru yang ditempatkan di sini mengalami masalah tekanan
kerja yang lebih berat dari tempat-tempat lain.Satu kajian telah dibuat oleh NUTP,
pada tahun 2005 mengenai stres di kalangan kakitangan perguruan. Seramai 9328
guru telah memberikan maklumbalas terdiri daripada guru kelas, pengetua,
pensyarah dan pegawai jabatan pelajaran. Daripada kajian itu, didapati seramai 69
peratus responden bersetuju bekerja dalam keadaan stres dan faktor utama yang
menyebabkan stres ialah tekanan daripada ibu bapa dan pelajar yang sering
menimbulkan masalah sehingga ada yang ingin menyaman dan membawa kes
kesalahan guru ke mahkamah.
Faktor lain seperti bebanan kerja dan prospek kenaikan pangkat yang tidak
mencukupi iaitu daripada 320 000 orang guru, hanya 40 000 kekosongan sahaja
untuk kenaikan pangkat. Oleh yang demikian, ramai guru yang kecewa sehingga
mereka bersara. Ini ditambah lagi dengan ketidakadilan dalam penilaian kenaikan
gaji oleh pengetua sedangkan prestasi guru cemerlang. Akibatnya stres
berpanjangan ketidakpuasan dalam bekerja menyebabkan guru ingin berhenti kerja
atau meluahkan ketidakpuasan melalui tingkahlaku yang tidak sepatutnya.
4.0 PENGURUSAN EMOSI GURU
Peningkatan masalah stres yang dialami oleh para guru masa kini tidak boleh
dipandang ringan oleh semua pihak terutama oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Jika ianya tidak diatasi dengan cara atau kaedah yang betul bukan sahaja
merugikan guru itu sendiri tetapi juga akan melibatkan pengurusan pengajaran
dalam pembelajaran di sekolah terganggu, kemerosotan pencapaian pelajar akan
kita lihat bila guru – guru yang sepatutnya berada di sekolah kerap tidak hadir ke
sekolah kerana mendapat cuti sakit, bercuti atau tidak hadir langsung ke sekolah
untuk bertugas. Seorang guru yang gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas
akan memberi mudarat kepada seluruh generasi (Chek Mat, 2008 ). Terdapat dua
cara untuk mengatasi masalah stres ini, ianya adalah daripada cadangan pakar
psikologi, hasil dari kajian moden.
4.1 Kaedah Moden
Diantara kaedah moden yang telah berjaya dilakukan ialah dengan menjalani
sesi Fisioterapi Khas yang diperkenalkan oleh Mohd Rozaimi Che Kamaruddin dari
Great Life Physio and Rehabilation.
4.1.1 Fisioterapi Khas
Program ini telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Menengah
Kebangsaan Bukit Gading, Sungai Buluh, Selangor yang melibatkan 135
orang guru dan kakitangan sekolah tersebut. Program tersebut bertujuan
mendedahkan cara dan panduan menguruskan stres semasa bertugas.
4.1.2 Pemeriksaan Kesihatan Berskala
Guru – guru perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara berskala di
klinik - klinik kesihatan untuk memastikan tahap kesihatan diri. Memastikan
tekanan darah sentiasa berada pada tahap yang baik. Pengambilan ubat –
ubatan diperingkat awal dapat mencegah gejala ini daripada semakin
merebak. Tahap kesihatan yang rendah akan mengundang masalah stres
dikalangan guru – guru di sekolah. Terkecuali daripada penyakit – penyakit
kronik yang lain dapat menyediakan mental dan fizikal guru di tahap yang
tinggi untuk melaksanakan tugas – tugas yang telah diamanahkan.
4.1.3 Perbincangan antara Rakan Sejawatan.
Cara ini boleh dipraktikkan bersama rakan – rakan setugas semasa
berada di sekolah pada bila – bila masa. Guru boleh menggunakan masa
terluang bersama – sama rakan berbincang perkara – perkara yang berkaitan
dengan masalah pengajaran dan pembelajaran, tugasan – tugasan yang
diberi tanggungjawab oleh pihak pentadbir sekolah untuk diselesaikan.
Perlakuan menyimpan permasalahan dalam diri sendiri akan mengundang
stres .
4.1.4 Senaman Pernafasan
Stres boleh menyebabkan seseorang bernafas secara sukar dan
adakalanya terpaksa bernafas secara kerap tanpa teratur atau dikenali
sebagai simptom hyperventilation yang menyebabkan mangsa stress berasa
panik secara tiba – tiba. Pengoksigenan darah yang dibawa ke otak
mendatangkan banyak manfaat kepada seseorang. Ia boleh melegakan otot
dan mententeramkan minda kita. Oksigen yang cukup di dalam otak kita akan
memastikan ia dapat berfungsi dengan baik tanpa tekanan dan dapat berfikir
dengan cara yang positif semasa mengalami sebarang masalah. Cara
senaman penafasan ialah dengan menarik nafas secara perlahan – lahan dan
kuat , kemudian lepaskan udara melalui hidung, lakukan berulang – ulang
kali. Cara ini boleh dilakukan dimana- mana sahaja dan ia ternyata dapat
memberi kesan positif dengan serta merta.
4.1.5 Meditasi
Meditasi secara sendirian tanpa sebarang ganggu membolehkan otak
kita kembali tenang dan ia dapat membebaskan hormon anti anxiety. Minda
yang tenang dapat melegakan tekanan otak kita semasa menhadapi
sebarang permasalahan. Tempoh meditasi yang dicadangkan adalah diantara
10 minit ke 15 minit secara minimum.
4.1.6 Menghapuskan Halangan
Keadaan fizikal tempat kita bekerja juga menjadi punca kepada stress
yang kita hadapi, di antara contohnya meja kerja yang berselerak,
kekurangan pencahayaan, pengudaraan yang kurang menyenangkan,
kebisingan yang melampau dan bauan yang tidak menyenangkan. Tindakan
drastik perlu dilakukan agar punca - punca masalah ini dapat diatasi dengan
segera.
Di antara langkah- langkah positif ialah dengan menyusun kembali
kedudukan meja kerja guru tersebut, mengumpul semua buku - buku atau
alatan di atas meja kerja dengan susunan yang teratur, buang atau simpan
segala buku atau bahan-bahan yang tidak diperlukan di atas meja. Mengalih
kedudukan meja kerja ke arah cahaya agar kedudukan meja dan kerusi kerja
berada dalam keadaan yang terang, cara ini dapat menampak keadaan yang
bersih dan melapangkan keadaan sekeliling. Jika perlu letakkan meja kerja
berdekatan dengan tingkap agar udara dapat melalui ruang meja kita, udara
yang segar dan pemandangan luar dari bilik guru dapat menyegarkan minda.
Kebisingan yang melampau boleh mengganggu aliran pemikiran
seseorang, cari sudut atau ruang yang jauh dari kebisingan yang tidak
diperlukan. Letakkan haruman yang disukai di atas meja atau mencantikkan
meja kerja dengan hiasan bunga – bungaan yang disukai agar kelihatan
berwarna warni dan harum. Bauan yang menyegarkan dapat mengurangkan
tekanan stres yang dialami. Ia merupakan salah satu terapi diri yang sangat
berkesan.
4.1.7 Penggambaran ( Visualisasi )
Penggambaran atau memgambar adalah satu kaedah yang dimana
kita membayangkan kejayaan dalam mencapai sesuatu tujuan atau pun cita
cita contohnya seperti menjadi sihat dan tenang, menjalankan tugas dan
tanggungjawab dengan baik serta berjaya. Cara ini dapat menenangkan
perasaan dan minda daripada terlalu takut dalam menghadapi sebarang
cabaran atau masalah.
4.1.8 Pengurutan
Terapi ini sudah lama diamalkan di Negara India. Cara ini dapat
mengurangkan denyutan jantung dan melegakan otot – otot yang kejang
semasa menghadapi atau melakukan tugasan. Khidmat bantu boleh didapati
dari seseorang yang profisional .
4.1.9 Kelegaan Otot
Anda perlu berbaring di tempat yang selesa dan lapang, biarkan otot –
otot seperti otot mata, muka, tengkuk, tangan, bahu mengendur dengan
secara sendiri selama sekurang – kurang tiga minit. Cara ini dapat
mengalirkan darah secara normal kembali, aliran darah yang baik akan
menyegarkan anda kembali setelah menghadapi tekanan. Pastikan anda
berbaring ditempat yang lembut dan suhu tidak panas atau terlalu kering.
4.1.10 Muzik
Kita ketahui muzik adalah satu hiburan yang amat digemari oleh
semua manusia dalam semua peringkat. Ia sentiasa didengar dan
didendangkan untuk memenuhi halwa telinga. Muzik juga merupakan terapi
minda jika alunan muzik itu dipilih dengan betul. Dalam satu kajian terbukti
muzik dapat menenangkan seorang bayi didlam kandungan ibunya. Muzik
dapat menenangkan tekanan darah, melegakan badan dan memenangkan
fikiran mereka yang tertekan perasaan. Pilihlah rentak muzik yang lembut
dalam keadaan yang santai.
4.1.11 Pengurusan masa
Pastikan menyusun kerja harian dengan mengikut keutamaan dan
menetapkan masa untuk pelaksanaannya, dengan cara ini kerja – kerja yang
penting dapat diselesaikan dengan tanpa tekanan dan dapat memastikan
sikap berlengah – lengah dapat dikurangkan ataupun terus dibuang. Kerja –
kerja atau perbuatan yang tidak mendatangkan faedah seperti berbual – bual
kosong, bergossip, memerhatikan dan memperkatakan perbuatan buruk
seseorang. Memenuhi masa berinteraksi dan berkomunikasi juga dapat
digunakan untuk menenangkan fikiran dan melepaskan tekanan stress.
4.1.12 Bersenam ( Beriadah )
Badan yang cergas akan membentuk otak yang cerdas. Segala
tekanan dapat dilepaskan apabila kita bersenam atau beriadah. Melakukan
senaman yang kerap dan beriadah juga dapat mengurangkan stress
seseorang. Aktiviti ini juga dapat mengurangkan pertumbuhan hormon stres
yang dikenali sebagai epinephrine dalam diri seseorang. Kesan ketegangan
otot akibat sres akan mengakibatkan sakit kepala, migraine dan kekejangan
otot dianggota badan. Bersenam merupakan ubat semulajadi untuk
mengubati penyakit kesukaran untuk tidur, mengurangkan kegelisahan
( anxiety ) dan dapat menyegarkan tubuh terutama otot badan seseorang.
Senaman boleh dilakukan di dalam rumah dan di luar rumah seperti di
taman – taman permainan, taman bunga ataupun di sekitar halaman
kediaman. Menghadirkan diri dalam kelas – kelas aerobik juga salah satu
kaedah untuk menghilangkan stres. Aktiviti – aktiviti psikomotor yang
dilakukan dapat memantapkan kecergasan fizikal dan minda seseorang.
Lakukan senaman dalam masa sekurang – kurangnya tiga puluh minit dalam
satu hari. Lakukan senaman ringan seperti berjalan laju, larian perlahan di
kawasan yang sesuai agar dapat membina otot yang kuat dan menenangkan
minda.
4.1.13 Bercuti
Pilih masa yang sesuai dengan bercuti ke tempat – tempat yang boleh
membuat seseorang itu berasa tenang dan tidak terlalu berfikir tentang beban
kerja yang ditanggung. Luangkan waktu pada waktu itu untuk bersendirian
dengan melihat dan menikmati keindahan tempat tersebut.
4.1.14 Disiplin Diet Pemakanan.
Pengambilan atau amalan makan makanan yang berlebihan juga
dapat menyumbangkan kepada terjadinya stres. Kita perlulah memastikan
makanan yang kita ambil seharian mempunyai zat yang berguna kepada
kestabilan kesihatan mental dan fizikal kita. Pengamalan makanan yang yang
terlalu banyak dan tidak teratur akan mengakibatkan kita mengalami berat
badan atau obesiti, kandungan kolestrol yang terlalu tinggi yang mana punca
kepada beberapa penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis. Bebanan
kerja dan masalah kesihatan akan membuatkan seseorang itu mengalami
simptom stres dan jika ini tidak dapat dikawal masalah akan bertambah teruk
bila gejala awal masalah jantung dapat dikesan. Langkah yang berkesan
untuk mengelakkan terjadi masalah ini ialah dengan mendapatkan nasihat
pakar – pakar pemakanan yang diiktiraf.
4.1.15 Hargai Kebolehan Diri Sendiri
Meningkatkan keyakinan diri adalah satu cara untuk menghilangkan
tekanan stres. Melihat sesuatu tugasan atau kerja yang diamanahkan itu
bukan sebagai bebanan tetapi sebagai tanggungjawab dan kita diberi
kepercayaan oleh ketua jabatan untuk melaksanakannya. Melaksanakannya
mengikut kebolehan atau kepakaran yang dimiliki dan melakukannya dengan
penuh komitmen. Cara ini dapat mengelakkan stres menguasai diri.
Keyakinan diri yang tinggi dapat mengelakkan diri kita daripada terpengaruh
dengan hasutan - hasutan daripada pihak yang berfikir negatif dari rakan –
rakan sejawat kita yang berkemungkinan tidak berapa menyukai kita atau
cemburu dengan kejayaan kita.
4.1.16 Tersenyum
Senyum yang sederhana akan mampu menciptakan kekuatan (power).
Senyuman yang kadang-kadang dianggap hal yang tidak penting mampu
memberikan sesuatu yang luar biasa. Senyum merupakan ekspresi wajah
yang terjadi akibat bergeraknya atau timbulnya suatu gerakan di bibir atau
kedua hujungnya atau pula di sekitar mata. Kebanyakan orang tersenyum
untuk menampilkan rasa bahagia dan senang. Apabila seseorang tersenyum,
maka wajahnya akan kelihatan lebih menarik, menyenangkan dan nyaman
untuk dipandang, daripada ketika berada keadaan biasa atau bahkan ketika
sedang marah. Senyum juga merupakan simbul perdamaian dan
persahabatan (Thobrani, 2010).
Dalam ajaran Islam memberi senyuman kepada orang lain bernilai ibadah,
kerana tersenyum kepada orang lain sama dengan bersedekah, tentu saja
senyum yang tulus. Suatu saat ketika Anda tidak tahu harus berbuat apa ?
atau memberi apa kepada orang lain, Anda masih punya senyuman, maka
tersenyumlah. Yakinlah bahawa setiap senyuman membawa manfaat.
Senyum membuat fikiran lebih jernih, segar dan terhindar dari stres.
Stres boleh dikurangkan dan boleh dihapuskan dengan pelbagai cara.
Kaedah – kaedah moden dan keagamaan boleh digabungkan dalam
memastikan minda sentiasa cerdas dalam melakukan sebarang kerja yang
semakin hari semakin mencabar kepada golongan pendidik dalam
memastikan pelaksanaan tugas berpandukan dasar – dasar yang
diperkenalkan untuk memajukan kecemerlangan dan kejayaan para pelajar
dibawah tanggungjawab seorang pendidik. Kemampuan mengatasi tekanan
stres dalam diri seorang pendidik dapat menyumbangkan kejayaan negara
menuju negara maju demi Wawasan 2020.
5.0KESIMPULAN
Tekanan kerja merupakan satu fenomena yang memang wujud dalam
kalangan guru di sekolah. Ia boleh dianggap sebagai satu petunjuk kepada
kesihatan mental guru. Pengurusan stres memerlukan kemahiran yang mesti
dipelajari oleh semua anggota di dalam organisasi pendidikan. Kegagalan mengawal
tekanan boleh mendatangkan kesan yang buruk bukan sahaja kepada individu
terbabit, tetapi juga imej organisasi.
Secara kesimpulannya, kerjaya sebagai seorang guru adalah satu kerjaya
yang cukup mencabar. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seorang
guru untuk memberi yang terbaik kepada para pelajar. Sesuatu yang positif perlu
dilakukan segera oleh pihak atasan sekolah dan juga guru bagi mengelakkan punca-
punca tekanan ini membawa kesan yang lebih teruk sekiranya dibiarkan berterusan.
Guru-guru juga haruslah sentiasa positif dalam menghadapi cabaran-cabaran dalam
dunia pendidikan hari ini bagi mengelakkan mereka terus berada dalam keadaan
stres dan menjejaskan karier mereka sebagai guru. Dalam pada itu, setiap pihak
juga harus memberi sokongan dan membantu mengurangkan beban stres yang
dihadapi oleh guru ini. Boleh dikatakan tekanan dapat dikawal dengan baik oleh guru
sekiranya mereka mementingkan kepada cara-cara untuk menguruskan tekanan
tersebut. Pengurusan tekanan memerlukan kemahiran yang mesti dipelajari oleh
guru bagi memastikan mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi segala cabaran
dalam dunia perguruan yang mendatang.
Perubahan demi perubahan yang pantas berlaku akan menjadikan kerjaya
seorang guru lebih sukar ataupun complicated. Sekiranya guru tidak mampu
mengawal diri dan tekanan mereka dengan baik, sudah pastinya kerjaya mereka
bukan sahaja akan berakhir lebih awal malahan dikenakan tindakan-tindakan disiplin
yang keras pula atas segala kesalahan yang dilakukan. Perubahan demi perubahan
yang berlaku dalam persekitaran dunia pendidikan pada hari ini pula ternyata
menyebabkan guru juga perlu berubah, namun tidak ramai yang mampu untuk
membuat perubahan secara drastik menyebabkan tekanan mula menguasai mereka
dan akhirnya membawa kesan yang besar kepada sistem pendidikan yang
dilaksanakan di sekolah amnya dan di Malaysia khasnya.
Akhirnya, sokongan yang berterusan daripada pihak guru besar dan
pengetua sehinggalah kepada kakitangan pentadbiran amat penting bagi menjamin
persekitaran tempat kerja yang harmoni dan aman untuk semua pihak. Konflik yang
sedang berlaku akan berterusan tanpa noktah sekiranya masih tiada ruang untuk
bekerjasama dibuka seluas-luasnya untuk kedua-dua belah pihak iaitu pentadbiran
dan akademik. Keprihatinan terhadap beban tugas guru perlu ditingkatkan oleh
segenap lapisan masyarakat demi memastikan kelangsungan sistem pendidikan di
Malaysia seterusnya usaha melahirkan generasi pewaris negara berterusan dan
tidak terhenti.
6.0BIBLIOGRAFI
Abd. Rahim Abd Rashid (2005).Prof esionalisme Keguruan:Prospek dan
Cabaran.Selangor:Dawama Sdn. Bhd.
Burhanuddin Abdul Jalal. et..al., (2010). Pengurusan Stres Secara Holistik.
.Kuala Lumpur : Blue-T Publication Sdn. Bhd.
Malek Muhamat Said (2004). Siri Motivasi : Studi Smart. Kuala Lumpur: PTS
Publication and Distribution Sdn. Bhd.
Mohd. Razali Salleh (2010). Pengendalian Stres Dan Kebimbangan:Penilaian
Kognitif dan Tingkah Laku.Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Mok Soon Sang (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku: Siri
Pengajian
Profesional. Selangor:Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Sidang Pengarang (2000). Tekanan dan Cara Mengendalikannya Dengan
Berkesan.
Skudai Post:Universiti Teknologi Malaysia, Skudai (Januari).
Syed Ismail Syed Mustapa, Ahmad Subki Miskon (2010). Guru dan Cabaran
Semasa. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.
http://kulanzsalleh.com/stress-di-kalangan-guru/
http://www.fp.utm.my/ePusatSumber/
http://beritasemasa.com/guru-bermasalah-di-sekolah
http://lhakim-suarahati.blogspot.com