Prosodi Melayu Dalam P&P Bahasa Melayu: Pembentukan Sahsiah ...
-
Upload
truonglien -
Category
Documents
-
view
282 -
download
13
Transcript of Prosodi Melayu Dalam P&P Bahasa Melayu: Pembentukan Sahsiah ...
1
Prosodi Melayu Dalam P&P Bahasa Melayu: Pembentukan Sahsiah Dan Jati Diri
Oleh
Prof. Madya Dr.Indirawati Zahid
Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya
Pendahuluan
Ramai yang kurang tahu dan/atau tidak tahu apa itu prosodi. Sebaliknya apabila
disebut perkataan i-n-t-o-n-a-s-i , pasti ramai yang akan memberikan respons “ ooooo....”
dan sekali gus memahami apakah yang dimaksudkan dengan kata prosodi. Tidak keterlaluan
jika dikatakan respons ini bertitik tolak dari keterbiasaan mendengar kata ini dalam
rancangan realiti TV, sama ada rancangan realiti TV yang berobjektif untuk melahirkan
penyanyi ataupun pelakon dan sebagainya. Sungguhpun begitu, jangan sama sekali
terperangkap dengan penyataan mensinonimkan prosodi dan intonasi ini kerana ini hanya
penjelasan yang cuba menyerdahanakan pemahaman tentang apa itu prosodi sahaja.
Sebenarnya kedua-dua ilmu ini tidak sama mahupun serupa sama sekali. Prosodi mempunyai
cakupan yang lebih luas berbanding intonasi yang analisisnya hanya tertumpu kepada 3 aspek,
iaitu kelangsingan (pitch), kelantangan suara (intensity) dan durasi ( duration). Kesan
rancangan realiti TV ini, khalayak seperti mulai terbuka mata akan kepentingan pengetahuan
dan kemahiran dalam aspek ini semasa lisan. Justeru dalam makalah ini, akan dipaparkan
kepentingan prosodi Melayu dalam P&P bahasa Melayu sekali gus pembentukan sahsiah dan
jati diri Melayu.
Perbincangan aspek prosodi dalam makalah ini merupakan satu aspek yang dapat
dianggap sebagai penambahbaikan cakupan ilmu bahasa Melayu sepadan dengan objektif
yang lazim ada P&P bahasa Melayu. Perbincangan ini tidak bertujuan menidakkan usaha
yang dilakukan sebelum ini sebaliknya apa yang dibincangkan merupakan satu rincian
pemartabatan salah satu subbidang ilmu linguistik dalam P&P di peringkat persekolahan.
Penginputan aspek prosodi Melayu dalam P&P bukan sahaja akan melahirkan
penutur bahasa Melayu yang sempurna lafaznya, iaitu bagi penutur natif mahupun penutur
asing dan/atau penutur bahasa kedua, sebaliknya juga pembentukan sahsiah dan jati diri juga
akan terbentuk. Sahsiah dan jati diri terbentuk apabila penekanan aspek prosodi dalm P&P
membezakan antara lisan dan teks, iaitu lafaz dan ayat. Dalam proses membezakan dua
2
konsep yang asas ini, kefahaman yang mendalam tentang masyarakat penutur bahasa Melayu
akan lebih mudah difahami. Penyataan ini bertitik tolak dari sifat bahasa Melayu sebagai
bahasa intonasi, iaitu makna tersuratnya kadang kala tidak sama dengan yang tersirat. Justeru
apabila kasus seperti ini berlaku maka sering kali pengguna fitur-fitur prosodi semasa lafaz
akan menjadi rujukan makna.
Dalam P&P apa pun bahasa, penekanan kepada keterampilan berbahasa dan
berkomunikasi disalurkan melalui tumpuan pengajaran kemahiran mendengar, bertutur,
membaca dan menulis. Kesemua kemahiran ini berobjektifkan penyediaan untuk menguasai
kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dengan menggunakan tatabahasa secara betul dan
tepat. Ini merupakan lanjutan objektif yang menekankan kemahiran yang diajarkan ini bagi
memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu, perhubungan sosial dan urusan harian.
Pengukuhan kepada objektif ini seterusnya direalisasikan dalam bentuk pelbagai aktiviti
dalam bahasa Melayu yang dilaksanakan di sekolah-sekolah. Melalui aktiviti yang sebegini
pengayaan kemahiran dan penguasaan menggunakan bahasa Melayu dengan tepat akan teruji.
Sungguhpun semua yang dinyatakan ini disusuli dengan pelbagai aktiviti luar kelas, sejauh
manakah aspek lisan diajarkan dengan rinci agar penguasaan dan kemahiran lisan yang
mempengaruhi pembentukan sahsiah dan jati diri ini sama seperti penguasaan aspek lain,
iaitu membaca dan menulis?
Dalam komunikasi1, perkara yang dipentingkan dari aspek lisan selain pemilihan kata,
serta struktur ayat, cara lafaz juga memainkan peranan yang penting. Sering kali juga berlaku
pemilihan kata dan struktur ayatnya sudah sempurna tetapi apabila lafaznya tidak “kena”
maka pengukuhan makna yang disampaikan itu sudah tidak lagi mencerminkan apa yang
tersurat dalam kata-kata/ungkapan tersebut. Tatabahasa Dewan ada menyatakan penggunaan
partikel – lah dalam ayat perintah berfungsi sebagai “pelembut” bicara2 walau bagaimanapun
kerana prosodi, lafaz seperti tolonglah, cepatlah, masuklah dan sebagainya akan berbunyi
“kasar” apabila dilafazkan dengan nada suara yang mempunya ton dan intonasi yang tidak
memenuhi prosodi Melayu. Menurut Couper-Kuhlen, E (1986:116) when lexical content or
1 Bahasa Melayu merupakan bahasa intonasi, penutur natif lazimnya bermain-main dengan turun naik nada
suara dalam menyampaikan sesuatu makna ujaran yang dirujuk. Sering kali makna implisit ujaran diperoleh
dengan persepsi ke atas fitur-fitur prosodi yang digunakan. 2
Ini konsep penulis untuk merujuk kepada penyataan dalam buku ini dalam merujuk kepada makna
melembutkan . … partikel – lah untuk melembutkannya di samping menegaskan predikat.
3
syntactic/textual structure are at odds with intonation, it is often the meaning derived from
intonation which prevails3: ...
Dan penyataan di bawah memperkukuh penyataan yang tersebut di atas.
... we often react violently to the intonational meanings than to the lexical ones; if a man’s
tone of voice belies his words, we immediately assume that the intonation more faithfully
reflects his true linguistic intentions...
(Pike 1945:22)
Pembinaan sahsiah dan jati diri negara bangsa sebenarnya bertitik tolak dari aspek
yang dibicarakan ini. Aspek ini tidak keterlaluan jika dikatakan sebagai “terlepas pandang”
kerana sistem pendidikan sejak dahulu dan kini ternyata tidak memberikan perhatian kepada
aspek ini. Fokus hanya tertumpu kepada aspek lain dalam bahasa seperti sintaksis, morfologi
dan semantik. Sungguh pun aspek semantik diberikan fokus dalam P&P4 namun aspek
semantik yang ditekankan pula ternyata tidak dihubungkan dengan aspek prosodi yang
berperanan dalam mendukung makna tersurat dan tersirat yang diungkap dalam komunikasi
lisan sehari-hari. Apabila perkara seperti ini berlaku, maka kepincangan dalam pembentukan
sahsiah dan jati diri akan berlaku dan implikasinya generasi baru yang lahir tidak lagi
mementingkan perkaitan antara semantik dan prosodi atau sekiranya sedar akan hubungan
kedua-duanya kemahiran menghubungkannya pula tiada atau tidak persis seperti objektif
komunikasi yang ingin dicapai. Dan seandainya ini berlaku maka pastilah generasi baru
mewarisi kepincangan ini merupakan cerminan kegagalan sistem pendidikan informal dalam
masyarakat dan formal yang diikuti.
Pendidikan prasekolah juga menekankan aspek yang sama dan seperti yang
dinyatakan di atas, aras pembelajarannya pastilah berbeza sesuai dengan tahap umur murid
semasa itu. Dan apa yang sering kali berlaku, guru-guru menerapkan aspek pengajaran ini
melalui aktiviti membacakan buku cerita5 dan kemudiannya diikuti dengan lakonan, main
peranan dan sebagainya. Perlu ditekankan, murid-murid prasekolah bukan hanya terdedah
3 Rujuk pandangan Ladd (1978) yang kurang bersetuju dalam hal ini. Menurut beliau … words may also
override intonation. 4 Pengajaran dan pembelajaran
5 Ibu bapa hari ini juga (khususnya mereka yang terdedah kepada sistem pendidikan tinggi) sering kali
membacakan buku cerita kepada anak-anak masing-masing. Dan pembacaan buku cerita ini dilakukan sejak
anak-anak ini masih di dalam kandungan lagi. Malahan jika diteliti cara bagaimana pembacaan cerita (story
telling) ini dilakukan, pasti pembaca akan bersetuju bahawa aktiviti sebegini agak banyak bermain dengan
intonasi.
4
kepada aspek intonasi apabila mulai bersekolah sebaliknya pada pendapat penulis aspek
intonasi di peringkat prasekolah sehingga persekolahan tinggi merupakan aspek pengukuhan
kepada apa yang sedia murid-murid/kanak-kanak ini warisi daripada ibu bapa, penjaga dan
persekitaran bahasa. Penyataan ini diperkukuh oleh Key, M.R. (1975:51) yang menyatakan
bahawa pola intonasi merupakan elemen pertama yang dipelajari oleh seorang bayi.
Sementara itu apabila murid-murid/kanak-kanak mula meningkat usia, peranan ini lebih
banyak diambil alih oleh media sama ada elektronik ataupun bercetak. Berbanding dengan
media cetak, media elektronik6 merupakan saluran media yang paling berpengaruh kerana
menyediakan bentuk program yang bersifat audio dan audiovisual yang menarik perhatian
kanak-kanak. Atas kepelbagaian bentuk kehadiran aspek intonasi ini dalam kehidupan
seharian dari seawal usia seseorang itu mula boleh memahami dan berkomunikasi maka
didapati aspek ini kelihatannya agak kurang mendapat tumpuan yang khusus atau kurang
diberikan perhatian. Ini disokong pula dengan buku yang menjadi rujukan utama, iaitu buku
tatabahasa pegangan Tatabahasa Dewan Edisi Baharu yang jika diteliti kandungan aspek
intonasi dalam buku ini, kelihatannya aspek ini amat kecil diberikan tumpuan
penghuraiannya berbanding dengan topik-topik yang lainnya. Adakah kerana perkara-perkara
yang disebutkan di atas maka aspek ini kelihatan agak kurang dipentingkan dalam
pengajaran? Atau adakah kerana andaian kemahiran berkomunikasi ini sedia diwarisi sejak
kecil dari ibu bapa maka langue7 yang ada dalam diri setiap orang yang sempurna itu sudah
memadai? Kesemua persoalan ini akan cuba dibincangkan dalam bahagian yang selanjutnya.
Prosodi
Prosodi merupakan satu konsep yang antara lainnya mencakupi fitur-fitur seperti
tekanan, intonasi, jeda, kadar tuturan, kualiti serta kualifier suara dan sebagainya.
Sehubungan dengan itu apabila menyentuh aspek prosodi dalam P&P, maka secara tidak
langsung seperti yang dinyatakan pada bahagian awal, fitur-fitur yang wujud dalam lisan itu
perlu dihuraikan secara mendetail. Dalam P&P, prosodi yang lengkap mesti diajar dan
ditekankan. Pengetahuan tentang ini mesti dijelaskan satu persatu tanpa membuat tanggapan
bahawa para pelajar sudah memperoleh dan memilikinya sejak mereka masih bayi dan proses
pengayaan pengetahuan ini berkembang seiring masa. Jika tanggapan ini menjadi pegangan
dan terus menjadi kepercayaan, pengetahuan yang ada tersebut sebenarnya tidak diperkaya
6 Termasuk kemudahan internet yang kini amat mudah diakses dari mana-mana lokasi sahaja.
7 Sistem bahasa yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Contohnya , tatabahasa, sintaksis dan kosa
kata (lihat Kamus Linguistik, halaman 145).
5
sebaliknya tekal pada tahap yang sangat minimum untuk dipergunakan seiring masa, iaitu
pada pandangan penulis, ia sekadar sesuai untuk tujuan komunikasi dan dianggap lisan
bahasa Melayu yang rendah8.
Fitur-fitur yang dinyatakan di atas digunakan secara terancang. Otak manusia yang
normal merancang dan memproses segala maklumat. Maklumat diperoleh dari banyak
sumber seperti laporan, televisyen, radio, internet dan sebagainya dan segala yang diinputkan
dalam otak seseorang individu akan diproses. Ini diikuti dengan peranan otak yang
kemudiannya memilih dari sejumlah pelbagai cara output yang sesuai dengan objektif
komunikasi. Output yang dipilih boleh secara bertulis atau lisan yang disampaikan dalam
pelbagai cara seperti laporan, pembentangan, komunikasi harian dan sebagainya.Dan cara
penyampaian ini pula mempunyai aturan yang tertentu yang harus dipatuhi sesuai dengan
norma yang ada dalam masayarakat penutur bahasa itu sendiri.
Seandainya lisan yang dipilih maka keputusan perlu dilakukan antaranya dalam
memilih kata, memilih struktur, memikirkan ton dan intonasi yang sesuai dan kedudukan
aksen dalam ujaran. Seperti bentuk teks bertulis, lisan juga mengambil kira banyak perkara
sebelum dilafaz bagi memastikan apa yang menjadi objektif si penutur akan tercapai9.
Sehubungan dengan itu, P&P aspek prosodi tidak boleh dipandang remeh.Mengangkat
bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa mestilah dilakukan dengan menjelaskan prosodi
Melayu itu sendiri agar objektif P&P-nya bukan sahaja melahirkan pelajar yang boleh dan
mampu berbahasa Melayu sebaliknya menguasai dan menjiwai Melayu itu sendiri.
Membuat keputusan bagaimana sesuatu ujaran itu harus dilafazkan bukan perkara
yang mudah kerana bahasa Melayu terikat kemas dengan budaya masyarakatnya yang
terkenal dengan mementingkan sopan santun dan berbudi pekerti. Justeru, dalam usaha
menghasilkan output yang sesempurna mungkin, otak bekerja keras agar lisan yang menjadi
output itu sempurna tanpa menimbulkan masalah komunikasi ataupun bebas konflik. Dan
inilah aspek prosodi Melayu yang mesti ditekankan dalam P&P bahasa Melayu.
8 Kecuali seseorang individu itu mempunyai inisiatif, mempelajari fitur-fitur ini secara pemerhatian, melakukan
proses penaakulan, menilai dan sebagainya, maka besar kemungkinan aspek prosodi Melayunya lebih sempurna
sungguhpun begitu konsep asas yang tepat mungkin tidak diketahui. Selain itu sejauh mana apa yang diketahui
itu betul masih menjadi persoalan. 9 Tambahan pula sering kali apa yang tersurat tidak sama dengan yang tersirat. Lafaz intonasi sering kali
diterima sebagai pendukung makna yang sebenarnya berbanding kata leksikal itu sendiri. Misalnya kata
silakanlah jika lafaz intonasinya tidak mewakili makna emosi yang seharusnya, maka boleh sahaja kata ini
membawa makna yang sebaliknya. Begitu juga kata pergi = menyuruh beredar, tetapi jika intonasinya tidak
mendukung makna sedemikian, maka kata pergi = melarang dari pergi.
6
Prosodi Melayu
P&P bahasa Melayu perlu dilihat bertujuan mengangkat bahasa Melayu ke satu aras yang
membanggakan. Tujuan pengajarannya bukan hanya setakat melepaskan batuk di tangga
sahaja. P&P bahasa Melayu semestinya berjaya melahirkan para pelajar yang bukan sahaja
berkebolehan malah berkemampuan bertutur sebaik atau sebagus penutur natif bahasa
Melayu sendiri. Dan P&P yang menyuntik prosodi Melayu ini mesti dimanfaat juga oleh
para pelajar Melayu kerana label bangsa atau kaum tidak sama sekali mencerminkan
kemampuan prosodi seseorang individu. Penyataan ini berpunca dari kesan persekitaran 10
yang wujud pada hari ini yang banyak mempengaruhi lisan para pelajar.
Paling awal yang perlu dijelaskan kepada para pelajar ialah sifat bahasa Melayu itu
sendiri yang merupakan bahasa yang tanpa tekanan prosodi katanya11
. Penjelasan seperti ini
pada pandangan peribadi dan pengetahuan penulis tidak pernah dibincangkan malah tidak
dimaklumkan kepada para pelajar baik di sekolah rendah atau menengah. Sementara itu
kebanyakan linguis tempatan12
pula ada yang kurang jelas dengan perkara ini sungguhpun
tidak dinafikan sesetengah linguis maklum akan penyataan seperti ini.
Sehubungan dengan itu secara berperingkat-peringkat perlu dijelaskan tentang
konsep-konsep yang perlu diketahui dan difahami. Dengan tidak menyentuh aspek fon dalam
bahasa Melayu13
, penulis langsung kepada aras yang berikutnya, iaitu kata. Sebelum fitur-
fitur prosodi dijelaskan, aspek register perlu diterangkan. Register merujuk kepada aras nilai
kelangsingan antara gender yang berbeza. Antara gender lelaki dan perempuan, perempuan
mempunyai nilai F0 yang tinggi berbanding dengan lelaki. Justeru apabila seseorang
individu cuba meniru-niru salah satu nilai F0 antara suara lelaki atau perempuan, perlakuan
ini tidak akan berjaya dilakukan sebaliknya lafaz yang kedengaran akan janggal sama sekali.
Begitu juga seseorang kanak-kanak mempunyai nilai kelangsingan yang lebih tinggi
berbanding dengan orang dewasa.
10
Misalnya pengaruh bahasa internet yang merupakan cerminan lisan hari ini yang lazimnya digunakan oleh
para pelajar yang terdiri daripada golongan remaja ternyata sudah jauh menyimpang dari lisan yang “sempurna”,
baku dan asli “bunyi” Melayunya.Sebaliknya lafaz yang kedengaran jelas beraksen bahasa asing seperti bahasa
Cina, Tamil, Inggeris dan sebagainya. Bagi orang asing yang mempelajarinya, contohnya pelajar Cina di
SRJK(C), kebanyakan mereka bertutur bahasa Melayu dengan aksen Cina. 11
Pembentangan hasil akhir analisis penulis On the stresslessness of the Malaysian Malay word dalam Prosody
Meeting, di Radboud Nijmegen University, Netherlands pada 24hb Jun 2009. Rujuk van Heuven; Van zanten
dan rakan-rakan. 12
Kajian tentang perkara ini sebenarnya banyak dilakukan oleh sarjana luar negara dan Indonesia.Dan kadang
kala hasil kajian ini tidak sampai ke Malaysia. 13
Perbezaan antara fonologi dan fonetik juga harus dijelaskan kerana dalam prosodi sering kali berlaku lafaz
yang dihasilkan dapat dilabelkan sebagai mempunyai fonologi yang sama tetapi fonetik yang berbeza.
7
Selanjutnya konsep yang perlu dijelaskan ialah tekanan (stress). Tekanan pada aras
kata dalam bahasa Melayu tidak berada pada posisi yang tetap. Implikasi kepada situasi ini,
dalam P&P perlu dijelaskan mengapa bahasa Melayu dilabelkan sedemikian rupa. Pengajar
atau guru seharusnya jelas tentang perkara ini kerana apabila label bahasa tanpa tekanan
dirujuk kepada bahasa Melayu, maka ini bererti bahasa Melayu memiliki sifat yang
bertentangan, iaitu bahasa intonasi. Penyataan bahasa tanpa tekanan memberikan 2 implikasi
kepada para pelajar, iaitu bahasa yang mudah untuk dipelajari dan sukar untuk dipelajari.
Tanggapan bahawa bahasa Melayu mudah dipelajari berlaku kerana andaian bahawa bahasa
Melayu tidak ada sistem yang rigid sehingga “memaksa” proses penghafalan berlaku dalam
memastikan kedudukan tekanan berada pada lokasi yang tertentu. Sebaliknya P&P menjadi
sukar kerana ketiadaan sistem yang disebutkan di atas. Bagi pelajar asing yang sudah terbiasa
dengan bahasa ibunda atau bahasa asing lain yang memiliki sistem tekanan yang tetap lokasi,
bahasa Melayu dianggap sukar kerana lokasi tekanan pada aras kata boleh berlaku di mana-
mana suku kata dan situasi menjadi lebih sukar apabila makna emosi sering kali seiring
dengan lafaz sesuatu kata. Sementara itu, apabila tiada tekanan pada aras kata yang spesifik
lokasinya, dari sisi yang lain, mungkin pelajar memikirkan ia mudah untuk dipelajari kerana
apa pun cara lafaz yang dihasilkan, kata tersebut akan dapat difahami dan yang penting sekali
gramatis walaupun aksennya tidak berbunyi asli Melayu. Jika tanggapan yang kedua ini
dipegang, maka salah faham pasti akan kerap timbul kerana penutur natif Melayu “bermain”
dengan prosodi dalam menyampaikan makna sesuatu ujaran. Konsep satu ayat dapat
disampaikan dengan lebih dari satu intonasi dan satu intonasi dapat diaplikasikan ke atas
lebih dari satu ayat perlu dijelaskan kepada para pelajar14
.
Seterusnya konsep intonasi, yang melibatkan nada tinggi dan rendah dalam
menyampaikan sesuatu ujaran perlu dijelaskan kepada para pelajar. Turun naik nada suara
dalam menyampaikan sesuatu ujaran berhubungan rapat dengan makna ayat dan emosi.
Justeru selain penting diketahui aspek pola yang rencam ini, pengetahuan dan kemahiran
dalam menggunakannya akan membantu pelajar mengaplikasikannya dalam medium yang
lain seperti syarahan, lakonan, pengantaraan atau pengacaraan dan sebagainya. Malah jika
didalami aspek prosodi ini, pengetahuan dan kemahiran yang ada boleh digunakan untuk
bidang perubatan, iaitu terapi tuturan.15
14
Rujuk tesis Ph.D Pierrehumbert. 15
Indirawati Zahid, 2009 , “Prospeks Kerjaya Dalam Bidang Fonetik” dalam Majalah Dewan Bahasa, Jilid 9
Bilangan 9, DBP.
8
Kualiti dan kualifier suara membincangkan tentang kejelasan suara dan makna emosi
semasa lafaz. Dalam hal ini tentulah suara orang yang berbisik sama sekali tidak akan sama
dengan suara orang yang bercakap dengan nada yang biasa, begitu juga suara orang yang
sedang menangis, marah dan sebagainya. Persoalan kualiti dan kualifier suara ini dijelaskan
agar sesuai situasi dan cara misalnya dalam pembacaan berita selain perlu menggunakan pola
intonasi ayat penyata yang berakhir dengan nada rendah atau L (low), kadar tuturan pula
tidak boleh terlalu laju atau perlahan kerana objektif penyampaian berita itu sendiri yang
perlu diambil kira.Sebaliknya pula dalam perantaraan acara sukan yang bersifat ceria, aktif
dan kadang kala serius, maka pastilah cara penyampaiannya tidak akan sama dengan
penyampain berita. Kesemua ini perlu dijelaskan kepada pelajar berserta contoh yang sesuai,
bersifat semasa dan kepelbagaian cara penyampaiannya.
Dalam lafaz ujaran, turun naik nada suara yang membentuk sesuatu pola intonasi
diberikan aksen tertentu pada kata-kata yang membina struktur ayat tersebut. Aksen diberikan
kepada kata-kata yang tertentu16
dalam sesuatu binaan ayat bagi menekankan sesuatu info
yang diutamakan dari sejumlah kata yang membina struktur ayat tersebut. Sebagai penutur
natif atau penutur bahasa Melayu, penentuan posisi aksen dalam binaan ayat dilakukan secara
terancang dalam otak yang berfungsi mengatur kesemua maklumat sesuai objektif yang
ditentukan sedari awal.
Sehubungan dengan ini perkara yang dibincangkan di atas perlulah ditekankan kepada
para pelajar agar kefahaman yang jelas akan diperoleh. Sungguh pun begitu, para guru
perlulah diberikan penerangan khusus agar dapat menyampaikan pengetahuan dan kemahiran
ini dengan baik dan lancar kepada pelajar.
Penghuraian di atas ternyata memperlihatkan betapa prosodi Melayu perlu diajarkan
dengan tujuan memperjelaskan mengapa dan bagaimana prosodi Melayu. Persoalan mengapa
di sini antara lain menekankan jawapan, antaranya;
1. Budaya Melayu sangat mementingkan kesantunan dalam berbahasa. Kesantunan akan
tercermin atau dipaparkan melalui kualiti bahasa yang digunakan.
2. Audiens sama ada kanak-kanak, orang tua, remaja mempunyai pola bahasa dan prosodinya
yang tersendiri. Dan ini menyebabkan bahasa yang digunakan, iaitu prosodi antara lapisan
umur ini tidak boleh disamakan.
16
Ini berbeza dengan bahasa yang mempunyai tekanan misalnya bahasa Belanda. Bahasa yang mempunyai
tekanan, sering kali kedudukan aksennya dalam ujaran sama dengan posisi tekanan dalam kata tersebut. Rujuk
van Heuven dan Gussenhoven.
9
3. Latar belakang pendidikan juga antara faktor mengapa prosodi perlu dijelaskan, iaitu
individu yang berpendidikan tinggi mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam
menggunakan bahasa dan prosodi yang baik dan sesuai konteks.
4. Objektif lisan ,iaitu prosodi penyampaian berita/maklumat, cerita, info sukan dan
sebagainya tidak sama, ini menyebabkan prosodi perlu dipelajari sesuai konteks dan
fungsinya.
Sementara itu, persoalan bagaimana aspek ini perlu diajarkan dan dipelajari? Jawapan untuk
soalan ini ialah dengan pengemukaaan pelbagai contoh korpus lisan yang ada dan diterima
pakai dalam masyarakat penutur, membuat penilaian secara persepsi kualiti lisan yang terbaik
dan mencari kecenderungan pola yang meluas diterima pakai.
Penambahbaikan P&P Bahasa Melayu
Dengan tidak menafikan usaha yang telah dilakukan sebelum ini, penulis sekadar
mengemukakan cadangan tentang penekanan input prosodi Melayu dalam P&P. Seperti yang
telah dinyatakan di bahagian sebelum ini, prosodi Melayu bersifat eksklusif. Ini bererti
sungguhpun bahasa yang dipelajari itu merupakan bahasa dalam keluarga yang sama,
prosodinya tetap berbeza. Ambil sahaja contoh antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia,
kedua-dua bahasa ini merupakan bahasa dalam keluarga Austronesia yang termasuk dalam
subkumpulan Malayic, iaitu Malayo-Polinesia Barat (Adelaar: 2005), tetapi ternyata sekali
prosodi antara kedua-duanya sangat berbeza sehingga apa yang kerap kali berlaku17
apabila
dua individu dari dua bahasa ini bertemu, kecenderungan penutur natif Melayu mengubah
cara lafaz ke prosodi bahasa Indonesia18
itu agak tinggi juga. Penyataan ini sekali gus
menjelaskan bahawa pentingnya prosodi dalam proses P&P bahasa Melayu.Dan dalam usaha
menginputkan aspek ini penggunaan teknologi semasa harus diutamakan.
Penggunaan teknologi semasa harus digalakkan tambahan pula kemudahan yang
disediakan di sekolah-sekolah hari ini sudah baik berbanding suatu masa dahulu. Lanjutan itu,
dalam menjadikan P&P prosodi Melayu menarik serta menyeronokkan untuk dipelajari,
penulis mencadangkan program Praat, iaitu satu program menganalisis data fonetik
digunakan. Melalui program ini, data bunyi boleh dirakamkan atau boleh juga digunakan
17
Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis. 18
Khususnya jika bertemu dengan orang Indonesia dari Pulau Jawa. Sementara orang Indonesia dari sebelah
Sumatera, prosodi Melayunya tidak jauh berbeza dengan bahasa Melayu Malaysia walaupun tidak dinafikan
kewujudan nilai fitur yang tidak sama itu tetap ada.
10
rakaman sedia ada dalam program untuk dianalisis. Dalam program ini data bunyi dianalisis
dan diperlihatkan pergerakan kelangsingannya selain dapat diukur tinggi rendah fundamental
frekuensi (F0), durasi dan intensitinya. Mungkin segala angka dan unit-unit nilainya tidak
membawa apa-apa erti dalam kalangan para pelajar namun secara tersiratnya pelajar
didedahkan anggaran dan ukuran tepat yang diterima pakai dalam prosodi Melayu19
misalnya
dalam data analisis, nilai kelangsingan suara, kelantangan suara dan kepanjangan (tempo)
yang digunakan ternyata bersifat informatif bukan sahaja makna ayat dan ujaran sahaja
sebaliknya makna emosi juga
Makna emosi dapat dipamerkan antaranya dengan penggunaan parameter dalam
intonasi, iaitu fundamental frekuensi (F0), intensiti dan durasi. Seperti yang dinyatakan
sebelum ini, makna yang tersurat tidak semestinya sama dengan makna yang tersirat.
Implikasi prosodi lazimya memberikan makna sebenar yang dirujuk oleh seseorang penutur.
Dalam membicarakan aspek ini, rancangan animasi berunsur pendidikan, Upin &
Ipin20
telah dijadikan data perbincangan yang memaparkan bagaimana prosodi Melayu yang
bersifat semasa digunakan dan diterima pakai. Data analisis yang melibatkan fitur-fitur
prosodi ini dapat digunakan dalam P&P misalnya dalam membuat simulasi, interpretasi
makna ujaran dan penilaian mengapa sesuatu ujaran yang dilafazkan sedemikian rupa
mendukung sesuatu makna yang tertentu. Inilah yang cuba dipaparkan dalam P&P bahasa
Melayu dengan harapan para pelajar sama ada pelajar bahasa Melayu sebagai bahasa pertama
atau kedua dan bahasa asing memanfaatkan cara lafaz yang diterima pakai.Bagi pelajar
bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dan khususnya bahasa asing, prosodi yang asing bagi
pendengaran mereka menyebabkan makna emosi yang tersirat tidak dapat difahami dengan
betul. Yang menjadi pegangan mereka ini ialah bentuk tersurat atau teks bertulisnya sahaja.
Berdasarkan pengalaman penulis semasa di Belanda baru-baru ini, seorang pelajar sarjana
yang membuat kajian tentang bahasa Melayu-Maluku tetapi tidak begitu memahami bahasa
tersebut, terpaksa menggunakan penutur natif dan penutur yang memahami bahasa ini untuk
menverifikasi data ujarannya semasa proses pelabelan jenis intonasi ujaran, frasa intonasi dan
makna emosi sebelum analisis lengkap dilakukan. Situasi ini memperkukuh penyataan
bahawa prosodi sesuatu bahasa itu bersifat eksklusif dan mesti dipelajari dalam memahami
dengan mendalam sesuatu bahasa tersebut. Dalam kasus bahasa Melayu yang berhasrat
19
Julat yang diterima pakai dalam lafaz bunyi. 20
Sekadar satu contoh yang diambil dan bersifat semasa.
11
menjadi bahasa antarabangsa, maka aspek ini tidak lagi boleh dipandang remeh. Usaha
penambahbaikan perlu dilakukan demi memperlengkap P&P yang sedia ada.
Penambahbaikan yang dicadangkan ini juga akan menjadikan P&P lebih menarik dan
menyeronokkan kerana para pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti yang dilakukan dan
penilaian yang dilakukan sesama sendiri akan memudahkan proses P&P.
Kecanggihan program komputer Praat yang boleh dimuat turun dari internet secara
percuma perlu dimanfaatkan oleh para guru/pengajar dan pelajar agar dapat melakukan
analisis ringkas bagaimana prosodi Melayu boleh dianalisis secara eksperimental21
. Dengan
menggunakan program ini juga, konsep-konsep lain dalam prosodi seperti bunyi monotonous
dapat dijelaskan dengan tepat sekali gus diterangkan mengapa lafaz bunyi yang sedemikian
tidak boleh diterima pakai. Dan semasa menjelas dan membincangkan perkara ini, parameter
seperti fundamental frekuensi (F0), intensiti dan durasi dapat diterangkan dengan baik.
Grafik 1 di bawah memperlihatkan tetingkap Manipulasi data bunyi yang asli yang
mencakupi makro dan mikro intonasi.
Grafik 1
Yang berikut pula grafik tetingkap Manipulasi data bunyi yang sama seperti yang terkandung
dalam Grafik 1 tetapi Grafik 2 ini, manipulasi kelangsingan telah dilakukan dengan
21
Suatu masa dahulu tanpa adanya program ini, untuk menvisualisasikan data bunyi merupakan sesuatu yang
mustahil apatah lagi jika mahu menganalisis dan memanipulasi data bunyi yang sedia terakam sebagai data.
Pergerakan
kelangsingan. Dapat
dilihat turun naik nada
yang berlaku semasa
lafaz.
12
menghapuskan semua pergerakan kelangsingan yang ada sebaliknya data bunyi yang
dimanipulasi ini menghasilkan bunyi monotonous22
.
Grafik 2
Bagi memudahkan kefahaman pelajar, grafik dan data bunyi yang dimanipulasi ini
diperdengarkan untuk mereka menilai sendiri kualiti prosodi tersebut. Adakah bunyi yang
telah dihapuskan pergerakan kelangsingan, iaitu sudah dihilangkan turun naik nada yang
wujud boleh diterima pakai? Sekiranya ia diterima, apakah alasan yang memungkinkan ia
diterima dan jika tidak, apakah alasan untuk menolak lafaz yang sebegini? Perbincangan
yang mendalam tentang aspek pentingnya lafaz yang mempunyai intonasi diperlihatkan
melalui program ini apabila pelajar itu sendiri memanipulasi data bunyi yang ada dan
seterusnya membuat penilaian terhadap kualiti bunyi yang terhasil.
Lihat pula Grafik 3, lafaz bunyi dimonotonous pada bahagian awal ujaran dan akhir
ujaran, sementara lafaz di tengah-tengah ujaran ini mengekalkan lafaz aslinya.
22
Penulis akan memperdengarkan bunyi monotonous yang dihasilkan ini.
Pergerakan kelangsingan
yang asal (berwarna
kelabu). Rujuk Grafik 1.
Pergerakan kelangsingan yang
dimanipulasi dengan
menghasilkan garis lurus –
tanpa turun naik nada.Ini
yang dilabelkan sebagai
monotonous.
13
Grafik 3
Dalam Grafik 3, lafaz monotonous dilakukan pada frasa intonasi awal dan akhir
ujaran. Dalam lafaz ini, pemisahan antara satu frasa intonasi dengan frasa intonasi yang lain
seperti dalam Grafik 3 dilakukan melalui penggunaan jeda. Jeda di sini berfungsi sebagai
segmentasi unit maklumat. Dan apabila data bunyi yang dianalisis ini dapat diperlihatkan,
maka sudah pasti pelajar akan dapat mengenal pasti parameter yang digunakan selain
segmentasi unit maklumat dalam ujaran.
Justeru menggalakkan pelajar bermain-main dengan program Praat ini pasti akan
mendedahkan secara langsung cara menggunakan prosodi Melayu yang betul. Dan P&P
yang sebegini akan sekali gus membuka minat pelajar untuk mendalami ilmu linguistik dan
mendapatkan idea baru.
Rumusan
Prosodi merupakan aspek yang kurang diberikan tumpuan dalam P&P bahasa Melayu.
Aspek ini diajarkan tanpa pemberian fokus yang sepatutnya. Implikasi dari P&P seperti ini
prosodi Melayu tidak dapat disampaikan secara holistik dan penguasaan dan kemahiran
pelajar dalam kata lain belum mencapai objektif yang sepatutnya.
Dalam mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa dunia, persoalan P&P perlu dilihat
semula dan proses penambahbaikan perlu dilakukan agar aspek-aspek yang dahulunya kurang
diberikan perhatian kini diberikan tumpuan. Tanggapan bahawa prosodi Melayu itu sedia
14
dimiliki sejak azali dan tidak perlu dipelajari perlu diperbetulkan. Perlu diingat, P&P yang
menarik dan menyeronokkan tentu akan mendorong pelajar bahasa pertama, kedua dan
bahasa asing untuk mempelajari bahasa Melayu dengan sesungguhnya. Dan sebagaimana
yang diketahui ramai mempelajari bahasa ini tidak seperti mempelajari mata pelajaran yang
lain, menpelajari bahasa bererti “masuk” dalam budaya masyarakat penutur bahasa yang
dipelajari. Dan untuk masuk ke dalam jiwa raga masyarakat bahasa sasaran, prosodi bahasa
tersebut perlu dipelajari dan pelbagai contoh perlu diperlihatkan.
Secara keseluruhannya soal sama ada mampu atau tidak bahasa Melayu menjadi
bahasa antarabangsa bukan persoalannya lagi. Apa yang perlu difikirkan sekarang ialah
pemantapan dan penambahbaikan usaha yang telah dilakukan sejak sekian lama. Pemantapan
dan penambahbaikan ini sangat bergantung kepada kebijaksanaan masyarakat penutur bahasa
Melayu itu sendiri kerana persoalan kemampuan tidak perlu diragui lagi.Segala yang
dilakukan mestilah seiring dengan peredaran masa agar perkembangan dan proses P&P
bahasa Melayu sentiasa segar sepanjang masa. Belajar bahasa perlu menimbulkan rasa
keseronokan, tanpa rasa keseronokan, belajar bahasa akan menjemukan, menjadi susah dan
membosankan.
Rujukan
Adelaar, A. (2005). The Austronesian languages of Asia and Madagascar: A historical
perspective. In Adelaar, A., Himmelmann, N.(Eds.), The Austronesian languages of Asia and
Madagascar ( pp. 1-42) Routledge.London/New York.
Arnfield, S.C., 1994. “Prosody And Syntax In Corpus Based Analysis Of Spoken English”.
Tesis PhD. School of Computer Studies. Universiti Leeds.
Asraf H.Wahab, 1981. Intonasi dalam Hubungannya dengan Sintaksis Bahasa Melayu.
Sasbadi Sdn Bhd: Petaling Jaya.
CD-ROM Buku Teks Bahasa Melayu
Cohn, A. (1989). Stress in Indonesian and bracketing paradoxes. Natural Language and
Linguistic Theory 7, pp.167-216
15
Cohn, A., McCarthy, J., (1994). Alignment and parallelism in Indonesian. Working Papers of
the Cornell Phonetics Laboratory 12, pp 53-137
Couper-Kuhlen, E., 1986. An Introduction To English Prosody. London: Edward Arnold.
Gerth van Wijk,D., (1985).Tatabahasa Melayu. Jakarta:Dhambatan.ILDEP
Halim,A., (1984). Intonation in relation to syntax in Indonesian. Canberra:The Australian
National University. Pacific Linguistics D36
Halliday, M.A.K., 1967. Intonation and Grammar in British English. Mouton, The Hague.
Indirawati @ Indrawati Zahid, 2003. “Kajian Intonasi Fonetik Eksperimental : Realisasi
Makna Emosi Filem Sembilu 1 dan 2”. Tesis Ph.D. Kuala Lumpur : Akademi Pengajian
Melayu, Universiti Malaya.
_______________________ dan Mardian Shah Omar. (2006). Fonetik dan Fonologi Bahasa
Melayu, PTS Publication, KL
________________________. 2009. “On the stresslessness of the Malaysian Malay word”,
kertas pembentangan di Prosody Meeting, di Radboud Nijmegen University, Netherlands
pada 24 Jun 2009.
________________________, 2009. “Prospek Kerjaya dalam Bidang Fonetik” Dewan
Bahasa Ogos 2009, Jilid 9 Bilangan 9. DBP:KL
_______________________, 2009. “Prosodi Melayu dalam P&P Bahasa Melayu” dalam
Prosiding Persidangan Bahasa Melayu Bahasa Dunia, 28-30 September 2009, Persada Johor,
Johor Baharu.
Key, M.R., (1975). Paralanguage And Kinesics (Nonverbal Communication).The
Scarecrow Press, Inc. Metuchen, N.J.
16
Laksman,M., (1994). Location of stress in Indonesian words and sentences. In Odé.C.,van
Heuven, V. (Eds), Experimental studies of Indonesian prosody (pp.108-139). Department of
Language and Culture of South East Asia and Ocenia, Leiden University.
Laver, J., (1994) . Principles of Phonetics. Cambridge: University Press
Nik Safiah Karim at.el. 2008. Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Odé, C. (1994). On perception of prominence in Indonesian. In Cecilia Odé & Vincent J.van
Hueven (Eds), Experimental S\studies of Indonesian prosody (pp. 27-69) Department of
Language and Culture of South East Asia and Ocenia, Leiden University.
Pike, K.L., 1945. The Intonation Of American English. University Of Michigan Publications.
Linguistics 1.Ann Arbor.Mich.
Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Bahasa Melayu 2003, Pusat
Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Bahasa Melayu 2001, Pusat
Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Van Heuven,V.J., Roosman, L, van Zanten, E., (2008). Betawi Malay word prosody. Lingua
118 (9) 1271-1287
van Zanten, E., Goedemans, R., Pacilly, J., (2003). The status of word stress in Indonesian .
In: van de Wijer, J., van Heuven, V., van der Hulst, H. (Eds), The phonological spectrum, vol
2: Suprasegmental structure (pp.151-175). John Benjamins, Amsterdam/Philadelphia.
van Zanten, E., van Heuven, V., (1998). Word stress in Indonesian: its communicative
relevance. Biddragen tot de Taal-Land-en Volkenkunde 154, 129-149.
www.praat.org
17