PPT BAHASA MELAYU T5 K2-SMK CONVENT PULAU TIKUS 2014

download PPT BAHASA MELAYU T5 K2-SMK CONVENT PULAU TIKUS 2014

of 6

description

-

Transcript of PPT BAHASA MELAYU T5 K2-SMK CONVENT PULAU TIKUS 2014

  • 1

    Soalan 1 : Rumusan

    [30 markah]

    Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca

    kekurangan air bersih di negara ini dan implikasinya kepada pengguna. Panjangnya

    rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

    Kita akui bahawa kemudahan asas, termasuk bekalan air di negara ini kini, jauh lebih

    baik berbanding dengan keadaannya sedekad yang lalu. Kemudahan bekalan air menjadi

    penanda aras bagi membolehkan kita menapak lebih jauh dari segi pertumbuhan ekonomi

    dan kemakmuran sosial. Namun begitu, kita masih berhadapan dengan hakikat bahawa

    projek pembangunan yang dilaksanakan tanpa kawalan mendatangkan kesan yang serius

    kepada kestabilan alam sekitar dan bekalan air di negara ini.

    Jika dibiarkan, fenomena ini akan bertambah serius. Akibatnya, kemajuan sesuatu

    kawasan itu tidak selari dengan keharmonian alam sekitar, termasuk kemajuan dalam sektor

    perindustrian, pelancongan dan pembuatan. Kadangkala dalam keasyikan kita memajukan

    tanah untuk pelbagai program pembangunan, kita memusnahkan kawasan tadahan hujan

    sehingga sumber air semakin berkurangan. Suatu hal yang agak aneh di Malaysia adalah

    walaupun purata hujan di negara ini melebihi 2500mm setahun, masalah kekurangan bekalan

    air bersih masih dialami. Selama ini, kita hanya bergantung pada kerangka konvensional

    untuk perkhidmatan air, iaitu mendapatkan air daripada sumber permukaan, iaitu air sungai

    kemudian disalirkan ke empangan atau ke takungan air. Pendekatan yang lebih inovatif perlu

    dirancang dan dilaksanakan agar pengagihannya lebih berkesan dan seterusnya dapat

    mengelakkan pembaziran.

    Masalah yang lain ialah sumber air tidak dikawal daripada punca pencemaran. Pada

    ketika ini, kita sedar bahawa seluruh negara mengalami kemerosotan kualiti air yang

    berpunca daripada buangan pelbagai sisa dan keladak. Sebenarnya, terdapat teknologi

    canggih yang boleh digunakan bagi membersihkan air mentah untuk dijadikan air minuman

    atau kegunaan industri tetapi kosnya tinggi. Sanggupkah pengguna membayar harga yang

    lebih untuk mendapatkannya atau bersediakah kerajaan memberikan subsidi untuk

    menampung kos pengeluaran air? Kita masih menunggu langkah pihak berkuasa

    melaksanakan dasar baharu yang berkaitan dengan pengurusan air negara. Dasar itu

    diharapkan bukan sahaja dapat memastikan pembangunan negara terus berkembang dengan

    adanya bekalan air yang mencukupi tetapi juga dapat memastikan bekalan air tidak tercemar.

    Lagipun pada masa ini, sistem pengurusan air yang ada tidak telus daripada kawal selia yang

    bebas. Pengguna yang prihatin terhadap hak dan tanggungjawab tidak dapat memastikan

    bahawa perkhidmatan air dilaksanakan dalam konteks yang lebih kompetitif.

    Penggunaan air sangat penting dan peranannya dapat ditingkatkan daripada

    kemudahan asas kepada sebuah industri. Selain untuk minuman, air juga dijadikan bahan

    pembersih dalam loji pembuatan dan kegunaan isi rumah. Air juga merupakan nadi kepada

    sektor pertanian dan pelancongan. Oleh itu, halangan dalam usaha untuk melicinkan

    pengendalian perkhidmatan air perlu diatasi di pelbagai peringkat.

    (Dipetik dan diubahsuaikan daripada Krisis Air Oleh Zul Fakhry Zulkifli,

    Dewan Masyarakat, Mac 2012.)

  • 2

    Soalan 2 : Pemahaman

    [35 markah]

    Soalan 2 (a) Petikan Umum

    Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat

    anda sendiri.

    (i) Berikan maksud penanda aras dalam petikan tersebut. [2 markah]

    (ii) Apakah kegunaan air dalam aktiviti harian manusia? [3 markah]

    (iii)Pada pendapat anda, apakah tindakan yang harus dilakukan untuk menangani masalah

    pencemaran air?

    [4 markah]

    Soalan 2 (b) Petikan Cerpen

    Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya

    dengan menggunakan ayat anda sendiri.

    Dalam keadaan kami diselubungi oleh raksasa ketakutan dan putus asa, tiba-tiba Pak

    Husain menjongol dalam lingkungan kami di Kampung Dal. Tiap-tiap kami bagai

    melingkungi ahli silap mata. Kehadiran Pak Husain juga menakjubkan. Tiap-tiap kami berasa

    bahawa kehadirannya bersama-sama cerita yang dibawanya, tanpa disedarinya telah

    memanjatkan gelaran 'pahlawan' kepadanya. Ceritanya begini:

    Waktu kami akan berangkat meninggalkan pangkalan, Pak Husain dalam perjalanan

    kerana memeriksa barang-barang rumahnya. Dengan tiba-tiba dia dicegat oleh dua orang

    tentera Jepun. Rupa-rupanya Jepun itu boleh berbahasa Melayu. Dia kenal orang Melayu.

    Dengan senapangnya, dia memaksa Pak Husain menguburkan mayat-mayat tentera dan orang

    mati. Ketika beberapa orang Jepun itu mahu mencari orang-orang kampung, Pak Husain

    menyatakan semuanya sudah lari. Sekaliannya sudah pindah. Akibat daripada sikapnya yang

    berani itu, Jepun tidak turun ke pangkalan. Pak Husain dipaksa menggali kubur besar. Mayat-

    mayat yang berpuluh-puluh (di pantai Pak Amat sahaja) dikuburkan beramai-ramai. Dia

    bekerja sehari suntuk. Darah menyimbah ke seluruh badannya. Dia seorang diri. Hingga

    menjelang senja (dia pun diberi makan biskut dan air oleh tentera Jepun), dia meminta

    kepada tentera yang pandai berbahasa Melayu itu, mahu membuang air besar. Ketika itulah

    dia mengambil peluang untuk melarikan diri. Pak Husain menyeberangi sungai ke Tuk

    Lukup. Dari Tuk Lukup dia berjalan kaki ke Sungai Gali.

    (Dipetik daripada

    Cerpen Pahlawan Buntung oleh S. Othman Kelantan

    dalam antologi Dirgahayu Bahasaku

    Dewan Bahasa dan Pustaka)

  • 3

    (i) Apakah kesan daripada tindakan Pak Husain membohongi tentera Jepun dengan mengatakan semua penduduk sudah lari?

    [2 markah]

    (ii) Dalam petikan digambarkan bahawa tentera Jepun fasih berbahasa Melayu. Nyatakan kebaikan-kebaikan menguasai banyak bahasa.

    [3 markah]

    (iii) Huraikan satu perwatakan Pak Husain yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu perwatakan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut.

    [4 markah]

    Soalan 2 (c) Petikan Prosa Tradisional

    Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang

    berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

    Setelah Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi mendengar serta dayang-dayang dan inang

    pengasuh melihat nuri itu berpantun, maka asuh sekalian itu pun hairanlah di dalam hatinya.

    Maka kata tuan puteri di dalam hati, Bijaksana sekali Raja Indera Bumaya itu. Maka kata tuan puteri, Hai nuri, di manakah Raja Indera Bumaya itu sekarang ? Maka sahut nuri itu, Ya tuanku tuan puteri, adapun baginda itu hampirlah datang ke negeri ini. Maka tuan puteri pun berahilah hendak melihat akan Raja Indera Bumaya itu. Maka tuan puteri pun berkata,

    Hai nuri, dapatkah engkau tunjukkan aku rupanya Raja Indera Bumaya itu ? Maka sahut nuri itu, Dapatlah juga patik tunjukkan. Maka nuri itu pun menyelit dada tuan puteri itu dengan sayapnya, maka kelihatanlah rupa Raja Indera Bumaya itu kepada tuan puteri itu.

    Syahadan, seketika itu maka nuri itu pun menjadi bunga yang sudah dikarang dengan

    cemerlang terlalu indah-indah rupanya. Setelah tuan puteri dan segala dayang-dayang melihat

    nuri itu menjadi bunga maka tuan puteri hairanlah seraya mengambil bunga itu lalu

    diciumnya.

    Setelah maka Raja Indera Bumaya pun mengembalikan dirinya yang sediakala duduk di

    kanan Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi. Setelah dilihat oleh tuan puteri bunga itu menjadi

    seorang laki-laki terlalu elok parasnya dan sikapnya terlalu pantas, maka di dalam hati tuan

    puteri, Inilah rupanya yang dikatakan oleh nuri, ini juga rupanya yang menjadi bayan ini dan nuri menjadi bunga. Di dalam hati tuan puteri, Bijaksana sekali-kali Raja Indera Bumaya ini. Maka Raja Indera Bumaya pun mengembalikan dirinya seperti yang sediakalanya. Maka dilihat oleh tuan puteri seorang laki-laki. Maka tuan puteri pun kemalu-maluan serta

    berpaling hendak turun.

    (Dipetik daripada Hikayat Langlang Buana, dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,

    Dewan Bahasa dan Pustaka)

    (i) Apakah maksud rangkai kata dikarang dengan cemerlang ? [2 markah]

    (ii) Nyatakan tiga keistimewaan Raja Indera Bumaya. [3 markah]

  • 4

    (iii)Pada pendapat anda, mengapakah Raja Indera Bumaya menukarkan dirinya kepada

    berbagai-bagai bentuk penyamaran ?

    Berikan tiga alasan anda.

    [3 markah]

    Soalan 2 (d) Sajak

    Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan

    menggunakan ayat anda sendiri.

    Kecek (V)

    1

    seorang pengarah

    membuka akaun semasanya

    di sebuah bank ternama

    tetapi dalam diam

    dia mencantum kemiskinan

    orang lain

    ke dalam amanahnya

    yang telah lama pecah.

    2

    di kampung

    seorang petani

    membuka akaun kemiskinannya

    di ruang kedaifan

    dan mengunci sedozen anak-anaknya

    di dalam pagar sengsara

    tetapi dia tidak pernah mencantum

    kekayaan orang lain

    ke dalam getirnya

    yang sudah lama

    berumbi.

    3

    di pantai

    seorang nelayan

    membuka akaun sengsaranya

    di rahang laut ternganga

    dia mengurung sederet anak-anaknya

    di bawah pusaran nasib

    tapi dia tak pernah mengumpul

    kesenangan orang lain

    ke dalam kegusarannya

    yang telah sekian musim

    berlumut

    di papan hidupnya.

    4

    Tuhan tidak pernah mungkir

    mencatatkan setiap angka

    dan nilai hitungan paling kecil

    ke dalam akaun-Nya

    di rumah keadilan.

    Awang Abdullah

    Dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,

    Dewan Bahasa dan Pustaka

    (i) Perihalkan sikap negatif pengarah seperti yang digambarkan oleh penyajak. [2 markah]

    (ii) Jika anda seorang petani, apakah langkah-langkah yang akan anda ambil untuk meningkatkan taraf hidup anda dan keluarga? Nyatakan tiga langkah tersebut. [3 markah]

    (iii)Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam sajak tersebut. [4 markah]

  • 5

    Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

    [30 markah]

    Jawab semua soalan.

    (a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan

    atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

    (i) alunan (ii) adunan (iii) sangkar (iv) sangkal (v) gelaran (vi) getaran [6 markah]

    (b) Tukarkan ayat-ayat bersusunan biasa di bawah ke dalam bentuk susunan ayat songsang tanpa mengubah maksud asalnya.

    (i) Encik Fakhry akan menghadiri kursus itu pada hujung minggu ini.

    (ii) Hujan lebat belum reda sejak semalam.

    (iii) Aktiviti pembalakan secara haram masih berleluasa walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan.

    [6 markah]

    (c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi

    setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan

    satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

    (i) Industri perbankan tempatan pada umumnya masih kukuh dan ekonomi domestik mampu menahan walaupun terpaksa berhadapan dengan krisis

    matawang yang melanda negara-negara maju di seluruh dunia.

    (ii) Penjenayah di kawasan bandar mula menjadikan kundominium sebagai sarang kegiatan mereka kerana sikap segelintir penghuninya yang tidak mempeduli

    urusan jiran tetangga.

    (iii)Satu lapuran lengkap tentang kejadian kemalangan yang dilibatkan bas

    ekspres itu diserahkan kepada Menteri Pengangkutan.

    [6 markah]

    (d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah

    dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu.

    Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan

    penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu

    menyalin ayat itu semula.

    (i) Kebanyakan peserta yang menganggotai kejohanan mini maraton di bandar itu baru-baru ini sangat bersemangat.

  • 6

    (ii) Pemimpin itu menjelaskan yang kecepatan pembangunan di negara ini dijalankan untuk kepentingan rakyat.

    (iii)Sebahagian besar daripada peneroka-peneroka tanah Felda Gedangsa akan

    menerima intensif daripada pihak kerajaan kerana peningkatan hasil tahunan.

    [6 markah]

    (e) Isi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.

    Ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak tentang kepentingan aktiviti

    bergotong-royong. Tindakan ibu bapa yang membiasakan anak-anak menyertai

    aktiviti tersebut sejak kecil amatlah wajar, bertepatan dengan peribahasa

    _____(i)_____ . Dalam melakukan sesuatu pekerjaan pula, ibu bapa perlu

    menunjukkan kesungguhan dan tidak sekali-kali melakukannya sekadar

    _____(ii)_____. Walaupun usaha yang kita lakukan itu kadangkala kurang berkesan,

    kita perlu memikirkan kaedah yang lain bagi mencapai hasrat ini. Peribahasa ada

    menyatakan bahawa ____(iii)____. Jadi, kitalah yang perlu mencari jalan tersebut.

    [6 markah]

    Soalan 4 : Novel

    [15 markah]

    Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel yang anda kaji.

    i. Kembara Amira karya Amer Hamzah L. Kadir ii. Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd. Hanafiah

    (a) Berdasarkan novel Kembara Amira karya Amer Hamzah L. Kadir , bincangkan dua latar masyarakat yang ingin diketengahkan dalam novel tersebut.

    [7

    markah]

    (b) Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan peristiwa yang menunjukkan nilai pengorbanan dalam novel-novel tersebut.

    [8 markah]

    KERTAS SOALAN TAMAT

    Disedia dan disemak oleh: Disahkan oleh:

    . Cik Norsiah bt Abu Bakar Pn. Thaligavathi A/P Rathakrishnan

    (Ketua Panitia Bahasa Melayu)