PERANAN DAN SUMBANGAN KEMAS DALAM …umkeprints.umk.edu.my/6845/1/Peranan Dan Sumbangan.pdf ·...
Transcript of PERANAN DAN SUMBANGAN KEMAS DALAM …umkeprints.umk.edu.my/6845/1/Peranan Dan Sumbangan.pdf ·...
PERANAN DAN SUMBANGAN KEMAS DALAM
PEMBANGUNAN SOSIOEKONOMI
MASYARAKAT LUAR BANDAR
DI BACHOK, KELANTAN.
MOHD RUSDIN BIN JUSOH
SARJANA SASTERA
2016
Peranan dan Sumbangan KEMAS Dalam
Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat
Luar Bandar di Bachok, Kelantan.
oleh
Mohd Rusdin Bin Jusoh
Tesis ini dikemukakan sebagai memenuhi syarat
memperolehi Ijazah Sarjana Sastera
Pusat Pengajian Bahasa Dan Pembangunan Insaniah
UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN
2016
PENGESAHAN TESIS
Saya dengan ini mengesahkan bahawa kerja yang terkandung dalam tesis ini adalah hasil
penyelidikan yang asli dan tidak pernah dikemukakan untuk ijazah tinggi kepada mana-
mana Universiti atau institusi
TERBUKA Saya bersetuju bahawa tesis boleh didapati sebagai naskah
keras atau akses terbuka dalam talian (teks penuh)
SEKATAN Saya bersetuju bahawa tesis boleh didapati sebagai naskah
keras atau dalam talian (teks penuh) bagi tempoh yang
diluluskan oleh Jawatankuasa Pengajian Siswazah
Dari tarikh _ hingga
SULIT (Mengandungi maklumat sulit di bawah Akta Rahsia
(1972)*
TERHAD (Mengandungi maklumat terhad yang ditetapkan oleh
organisasi di mana penyelidikan dijalankan)*
Saya mengakui bahawa Universiti Malaysia Kelantan mempunyai hak berikut:
1. Tesis ini adalah hak milik Universiti Malaysia Kelantan.
2. Perpustakaan Universiti Malaysia Kelantan mempunyai hak untuk membuat salinan
untuk tujuan pengajian sahaja.
3. Perpustakaan dibenarkan membuat salinan tesis ini sebagai bahan pertukaran antara
institusi pengajian.
Tandatangan Tandatangan Penyelia Utama
No. Kad pengenalan Nama Penyelia Utama
Tarikh: Tarikh:
PENGHARGAAN
Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang.
Syukur kehadrat ilahi dengan limpah kurnia-Nya, telah memberi saya kesempatan,
kekuatan dan kesihatan bagi membolehkan saya menyiapkan tesis ini. Penghargaan yang
tidak terhingga dan ucapan terima kasih ditujukan khas untuk Dr. Nur Azuki bin Yusoff
selaku penyelia utama yang sangat sabar dalam memberi tunjuk ajar dan tidak jemu
memberi bimbingan, teguran dan panduan walaupun dalam kesibukan sebagai seorang
pensyarah semasa saya menyiapkan tesis ini.
Seterusnya, penghargaan ini juga ditujukan kepada ketua-ketua kampung dalam
jajahan Bachok, Kelantan di atas bantuan yang telah diberikan sepanjang kajian ini
dilakukan. Selain itu juga, penghargaan ini ditujukan kepada Pejabat Kemajuan
Masyarakat (KEMAS) serta Penyelia-penyelia KEMAS Jajahan Bachok kerana tidak
jemu memberikan kerjasama semasa kajian ini dilakukan.
Ucapan penghargaan ini juga ditujukan khas buat ibu tersayang, isteri, anak-anak,
adik-beradik serta ahli keluarga yang banyak memberi sokongan dan bantuan dalam saya
menyiapkan tesis ini. Akhir sekali, penghargaan ini ditujukan kepada kawan-kawan saya
yang telah banyak memberi sokongan kepada saya dalam menyiapkan tesis ini.
Sekian, terima kasih.
Mohd Rusdin Jusoh
KANDUNGAN
MUKA SURAT
PENGESAHAN TESIS i
PENGHARGAAN ii
KANDUNGAN iii
SENARAI JADUAL viii
SENARAI RAJAH ix
ABSTRAK x
ABSTRACT xi
BAB 1 PENDAHULUAN
1.1 Latarbelakang Kajian 1
1.2 Permasalahan Kajian 3
1.3 Objektif Kajian 5
1.4 Kepentingan Kajian 5
1.5 Skop Kajian 6
1.6 Batasan Kajian 10
BAB 2 SOROTAN LITERATUR
2.1 Pengenalan 12
2.2 Konsep Pembangunan Sosioekonomi 12
2.3 Model Pembangunan Sosioekonomi 24
2.3.1 Model Atas-Bawah 24
2.3.2 Model Bawah-Atas 26
2.3.3 Model Bersepadu 27
2.4 Prinsip Utama Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat 29
2.4.1 Proses Pembentukan Jayadiri 30
2.4.2 Penyertaan dalam Pembangunan 30
2.4.3 Bantuan dan Galakan 31
2.5 Latarbelakang Perkembangan Pembangunan
Sosioekonomi di Malaysia
33
2.6 Matlamat Pembangunan Sosioekonomi di Malaysia 40
2.7 Strategi Pembangunan Sosioekonomi 44
2.8 Program Pembangunan Sosioekonomi di Malaysia 53
2.8.1 Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) 54
2.8.2 Pembangunan Tanah 57
2.8.3 Program Mikrokredit 60
2.8.4 Program Kemajuan Masyarakat (KEMAS) 67
2.9 Penutup 71
BAB 3 METODOLOGI KAJIAN
3.1 Pengenalan 72
3.2 Rekabentuk Kajian 72
3.3 Lokasi Kajian 73
3.4 Kaedah Persampelan 77
3.5 Pengumpulan Data 79
3.6 Instrumen Kajian 80
3.7 Penganalisisan Data 81
3.8 Kesulitan Kajian 81
BAB 4 HASIL KAJIAN
4.1 Pengenalan 85
4.2 Profil Kawasan Kajian 85
4.2.1 Kependudukan 88
4.2.2 Kegiatan Ekonomi dan Struktur Pekerjaan 89
4.3 Profil Responden Kajian 94
4.3.1 Jantina 94
4.3.2 Umur 95
4.3.3 Taraf Perkahwinan 97
4.3.4 Pencapaian Akademik 98
4.3.5 Pekerjaan Ketua Isi Rumah 100
4.3.6 Pendapatan Keluarga 102
4.3.7 Tanggungan Keluarga 104
4.3.8 Taraf Hak Milik dan Jenis Rumah 106
4.3.9 Kesedaran Politik 110
4.4 Peranan KEMAS Dalam Pembangunan Sosioekonomi
Masyarakat Luar Bandar 113
4.4.1 Latarbelakang Penubuhan KEMAS 113
4.4.2 Organisasi Pentadbiran KEMAS 126
4.4.3 Peranan dan sumbangan KEMAS Dalam Membangun
Sosioekonomi Masyarakat Luar Bandar 138
4.5 Penglibatan Masyarakat dalam Aktiviti KEMAS 177
4.5.1 Kesedaran Tentang Program KEMAS 177
4.5.2 Jenis-jenis Kegiatan yang Disertai 179
4.5.3 Motivasi dan Penyertaan 184
4.5.4 Sebab-sebab KEMAS Tidak Mendapat Sambutan 188
4.5.5 Masalah dalam Penyertaan 191
4.5.6 Faedah Penyertaan dalam KEMAS 200
4.6 Penutup 207
BAB 5 KESIMPULAN DAN CADANGAN
5.1 Ringkasan 208
5.2 Kesimpulan 211
5.2 Cadangan 213
RUJUKAN 220
LAMPIRAN 1 238
SENARAI JADUAL
NO. MUKA SURAT
2.1 Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata
Mengikut Wilayah, 2009 43
3.1 Keluasan Daerah dan Bilangan Mukim 76
3.2 Bilangan Pendudukan Jajahan Bachok Mengikut Daerah 2007 77
4.1 Keluasan daerah dan Bilangan Mukim 87
4.2 Guna Tanah Di Jajahan Bachok 87
4.3 Taburan jumlah Penduduk Mengikut Daerah bagi Tahun 1991,
2000, 2007 dan 2010. 89
4.4 Pertubuhan Struktur Pekerjaan 1991-2000 92
4.5 Data Kemiskinan Mengikut Jajahan Wilayah Kelantan Utara 93
4.6 Data Kemiskinan Jajahan Bachok 2008 93
4.7 Jantina 95
4.8 Umur 96
4.9 Taraf Perkahwinan 98
4.10 Pencapaian Akademik 100
4.11 Kerjaya Ketua Rumah 101
4.12 Pendapatan keluarga 104
4.13 Bilangan Tanggungan Keluarga 106
4.14 Taraf Hak Milik Rumah 108
4.15 Jenis Rumah 109
4.16 Tahap Sokongan Terhadap Kerajaan Persekutuan 112
4.17 Kesedaran Tentang Peranan KEMAS
Sebagai Pembawa Pembangunan 178
4.18 Jenis Kegiatan KEMAS yang Disertai 181
4.19 Galakan Dalam Penyertaan 185
4.20 Syarat Untuk Mengikuti Kelas KEMAS 188
4.21 Sebab-sebab Tidak Menyertai KEMAS 189
4.22 Masalah-masalah Penyertaan 192
4.23 Faedah Sosial Yang Diterima Dari Program KEMAS 204
NO.
SENARAI RAJAH
MUKA SURAT
1.1 Kerangka Kajian 11
2.1 Model Atas-bawah 25
2.2 Model Bawah-atas 27
2.3 Model Bersepadu 28
2.4 Gerak Kerja Bahagian Pelajaran Dewasa 1960-1969 36
3.1 Peta Lakar Negeri Kelantan 75
4.1 Ringkasan Sejarah KEMAS 116
4.2 Carta Organisasi Jabatan Kemajuan Masyarakat Malaysia 128
4.3 Carta Organisasi Jabatan Kemajuan Masyarakat
Negeri Kelantan
130
4.4 Carta Organisasi Bahagian Kemajuan Masyarakat
Daerah Bachok
137
Peranan dan Sumbangan KEMAS Dalam Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat
Luar Bandar di Bachok, Kelantan.
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji peranan dan sumbangan KEMAS dalam
pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar di Bachok, Kelantan. Penelitian
peranan dan sumbangan KEMAS ini berdasarkan tiga tema utama iaitu indikator status
semasa keadaan sosioekonomi masyarakat, peranan KEMAS dalam pembangunan
sosioekonomi masyarakat dan penglibatan masyarakat dalam aktiviti yang dijalankan
oleh KEMAS. Walaupun kajian ini bersifat makro tetapi dengan memberikan
penumpuan terperinci terhadap ciri-ciri pembangunan sosioekonomi, maka dapat dibuat
penilaian keberkesanan program-program yang dianjurkan oleh KEMAS. Dalam kajian
ini tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dipilih sebagai lokasi kajian iaitu DUN
Tawang, DUN Perupok dan DUN Jelawat. Kajian ini menggunakan pendekatan
kuantitatif melalui kaedah tinjauan. Maklumat kajian telah dikumpul menggunakan
borang soalselidik dan dianalisis menggunakan Perisian Pakej Statistik untuk Sains
Sosial (SPSS). Kajian ini melibatkan seramai 356 orang ketua keluarga yang telah dipilih
daripada ketiga-tiga DUN yang terlibat. Mereka ini terdiri daripada 177 orang peserta
program KEMAS dan 179 orang bukan peserta KEMAS. Kesemua responden kajian ini
dipilih secara convenience sampling. Secara umumnya, program-program pembangunan
sosioekonomi yang dilaksanakan oleh KEMAS telah membantu meningkatkan taraf
hidup dan status sosioekonomi dalam bidang sosial, ekonomi dan politik masyarakat luar
bandar. Walau bagaimanapun, bentuk perubahan tersebut adalah berbeza-beza di antara
ahli masyarakat luar bandar. Penemuan kajian juga menunjukkan masyarakat luar bandar
telah turut serta secara aktif dalam aktiviti yang dilaksanakan KEMAS.
The Role and Contribution of KEMAS in the Socio-Economic Development of
Rural Communities in Bachok, Kelantan.
ABSTRACT
This study aims to investigate the role and contribution of KEMAS in the socio- economic
development of rural communities in Bachok, Kelantan. The investigation is based on
three main themes namely the socio-economic status of the community, the role of
KEMAS in the socio-economic development and the participation of the community in
activities organised by KEMAS. Evaluation of the impact of KEMAS activities on the
community was carried out through a detailed analysis of socio-economic development
attributes albeit the macro nature of this study. Three State Legislative Assembly (DUN)
were purposely selected as the location of this study which include DUN Tawang, DUN
Perupok and DUN Jelawat. This study employs quantitative approach through descriptive
survey method by which data were collected through questionnaires and analysed through
Statistical Package for the Social Sciences (SPPS) software. There are 356 respondents
(heads of families) involved in this study. They consist of 177 KEMAS participants as
well as 179 non-KEMAS participants. They were chosen through convenience sampling
method. On the whole, the socio-economic development activities organized by KEMAS
has eventually helped to improve the standard of living and socio- economic status of the
rural communities socially, economically and politically. Nonetheless, the improvement
and change ensued after such activities differed from an individual to another. The study
also found that the rural communities were actively involved in various activities
organised by KEMAS.
BAB 1
PENDAHULUAN
1.1 Latarbelakang Kajian
Pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar di Malaysia adalah
berasaskan kepada pencapaian Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kawasan luar bandar
di Malaysia mempunyai masalah kemiskinan yang berterusan. Oleh itu gerakan
pembangunan masyarakat luar bandar pesat dijalankan seawal kemerdekaan lagi
melalui pelaksanaan pelbagai usaha secara berterusan dalam Rancangan Malaya.
Sehingga kini, usaha pembangunan masyarakat luar bandar masih merupakan
agenda utama negara. Program pembangunan masyarakat yang dilaksanakan di
Malaysia berpaksikan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan hidup dan
peningkatan produktiviti masyarakat. Sejumlah besar peruntukan kewangan telah
dilaburkan oleh kerajaan dalam usaha pelaksanaan program pembangunan
masyarakat di kawasan luar bandar. Sebagai contoh, dalam RMK 7 sejumlah
RM542 juta dan RM598 dalam RMK 8 diperuntukkan bagi melaksanakan
pembangunan masyarakat dan keluarga (RMK 7, 1996; RMK 8, 2001).
Maimunah (1999) menjelaskan kerajaan telah menjalankan pelbagai
strategi untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat luar bandar di Malaysia
dengan memberi tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur dan kemudahan
asas, peningkatan produktiviti pertanian, pembangunan tanah dan kawasan,
pembangunan “in-situ”, pendidikan, penyelidikan dan pengembangan
pembangunan sosial dan institusi serta pembangunan bersepadu.
Bagi menjayakan strategi tersebut pelbagai program pembangunan
sosioekonomi masyarakat luar bandar telah dilaksanakan seperti program KEMAS,
program pembangunan tanah seperti FELDA dan FELCRA, program
pembangunan in-situ dan lain-lain.
Setakat ini, banyak kawasan penempatan dan pertanian baru dibuka yang
disusuli dengan penyediaan pelbagai kemudahan asas. Kadar kemiskinan
masyarakat luar bandar juga berjaya dikurangkan daripada 59% (1970) kepada
20.7% (1985) dan terus menurun kepada 17.1% (1990), 14.8% (1999) dan terus
susut kepada 11.9% (2000), (RMK 8, 2001).
Secara keseluruhan, tahap kehidupan masyarakat di Malaysia telah
meningkat dengan agak baik hasil daripada kadar pertumbuhan ekonomi yang
positif. Keadaan ini ditunjukkan oleh peningkatan dalam beberapa indikator
sosioekonomi seperti pendapatan per kapita KNK, kesihatan, pendidikan,
kesejahteraan sosial dan perumahan (Rahimah dan Mohamed Yusuf, 2002). Selain
itu, keadaan tahap kesejahteraan sosial rakyat Malaysia juga boleh diteliti dari
aspek pengurangan kadar kemiskinan dan kematian bayi, peningkatan jangka hayat
penduduk negara, kadar celik, nisbah enrolmen bersih, kesihatan dan ekonomi.
Kesemua aspek ini bukan sahaja penting dari segi keupayaan menikmati kehidupan
tetapi juga boleh mempengaruhi produktiviti dan kebolehan mencari pendapatan dan
kekayaan.
Walau bagaimanapun, perangkaan juga menunjukkan berlaku turun naik
dalam kadar kemiskinan masyarakat di luar bandar iaitu daripada 14.9% (1995),
turun kepada 10.9% (1997) dan meningkat kepada 12.4% (1999) (RMK 8, 2001).
Menurut Laporan Rancangan Malaysia Kelapan (RMK 8), kadar kemiskinan
negara secara keseluruhannya telah menurun daripada 8.5% (1999) kepada 5.7%
(2004). Kadar kemiskinan di kawasan luar bandar juga turut mengalami
penurunan daripada 14.8% (1999) kepada 11.9% (2004). Walaupun berlaku
penurunan kadar kemiskinan di kawasan luar bandar, namun jurang kemiskinannya
adalah lima kali lebih tinggi berbanding dengan kawasan bandar (RMK 9). Walau
bagaimanapun, kadar kemiskinan masyarakat luar bandar di Malaysia terus
menurun kepada 3.7% (2010), (Mohd Shafie, 2012). Perangkaan juga
menunjukkan masih terdapat lagi sebilangan masyarakat yang berhadapan dengan
masalah kemiskinan yang serius (Nafziger, 1984), yang mana perangkaan
menunjukkan 70.6% daripada isi rumah miskin di Malaysia tinggal di kawasan
luar bandar (Fatimah, 2008).
1.2 Permasalahan Kajian
Penggembelengan tenaga dalam gerakan pembangunan sosioekonomi
masyarakat di luar bandar dilakukan oleh banyak pihak. Antara agensi kerajaan
yang banyak memainkan peranan dalam usaha pembangunan sosioekonomi
masyarakat luar bandar ialah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS). Jabatan
Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ditubuhkan pada tahun 1961 melalui kertas
kabinet Bil.385/25/60 memberi fokus utama kepada program ‘Pembasmian Buta
Huruf’. Pada waktu itu jabatan tersebut beroperasi dengan nama Bahagian
Pelajaran Dewasa (BPD). Menjelang tahun 1977, gerakan membasmi buta huruf
ini dipertingkatkan dengan pengenalan konsep ‘Functional Literacy’ oleh
UNESCO sebagai satu usaha membasmi kemiskinan dan strategi membangunkan
masyarakat luar bandar. Berikutan pelancaran ‘Dasar Ekonomi Baru’ pada tahun
1970, BPD telah dinamakan semula kepada Bahagian Kemajuan Masyarakat
(KEMAS) dan diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Pembangunan
Masyarakat dan Luar Bandar. Matlamat penubuhan KEMAS ialah membantu
masyarakat luar bandar berdikari dan memulakan perniagaan sendiri berasaskan
kemahiran yang dipelajari. KEMAS telah memperkenalkan program pembangunan
masyarakat melalui pendekatan pendidikan dewasa seawal tahun 1960-1969
(Asnarulkhadi, 2004). Pendekatan ini menggunakan kaedah pendidikan tak-formal,
KEMAS berperanan mengendalikan kelas literasi fungsional dan kemahiran
vokasional, kelas ekonomi rumah tangga, kesihatan keluarga, dan taman
prasekolah. Tiga program pembangunan masyarakat utama yang dilaksanakan di
bawah KEMAS ialah program pembangunan keluarga, pendidikan masyarakat dan
program latihan. Setelah hampir lima dekad penubuhannya ( 1970-2016 ), aktiviti
yang dilaksanakan oleh KEMAS iaitu, penubuhan Taman Bimbingan Kanak-
Kanak (TABIKA), Gerakan Daya Wawasan (GDW), Bina Insan (BI), Pusat
Sumber, Pendidikan Kemahiran (PK), Pendidikan Literasi Komputer (PLK),
Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) dan Pendidikan Kesihatan Keluarga (PKK).
Sepanjang pengamatan, pengkaji mendapati beberapa persoalan perlu di
ketengahkan berkaitan hubungan agensi ini dengan masyarakat, antaranya
persoalan apakah status sosioekonomi masyarakat di Bachok, Kelantan yang
terlibat dalam program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh KEMAS? Apakah
peranan sebenar yang dimainkan oleh KEMAS dalam pembangunan sosioekonomi
masyarakat di Bachok, Kelantan? dan sejauh manakah penglibatan masyarakat
Bachok, Kelantan dalam aktiviti yang dilaksanakan oleh KEMAS?
1.3 Objektif Kajian
Secara umumnya kajian ini bertujuan untuk mengkaji sumbangan KEMAS
dalam usaha-usaha meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat di
Bachok, Kelantan. Secara khususnya, kajian ini berusaha untuk mengetengahkan
perkara-perkara berikut :
i. Status sosioekonomi masyarakat di Bachok, Kelantan yang terlibat dalam
program dan aktiviti KEMAS.
ii. Peranan sebenar yang dimainkan oleh Jabatan KEMAS Bachok dalam
usaha meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar.
iii. Penglibatan masyarakat di Bachok, Kelantan dalam program dan aktiviti
yang dilaksanakan oleh KEMAS.
1.4 Kepentingan Kajian
Kajian ini dijangkakan dapat membuat satu penilaian umum mengenai
keberkesanan KEMAS dalam usaha membawa perubahan dan pembangunan
masyarakat di luar bandar, khususnya di jajahan Bachok. Kajian ini akan dapat
menggambarkan penerimaan masyarakat luar bandar di Bachok terhadap aktiviti
yang dilaksanakan oleh pihak KEMAS. Maklumat-maklumat di atas dijangka
berupaya memberi maklum balas penting kepada KEMAS dalam merangka dasar
dan strategi pelaksanaan program dan aktiviti yang lebih baik pada masa akan
datang.
Dari segi kepentingan ilmiah, kajian ini akan dapat menjelaskan lagi
konsep kesejahteraan sosial dalam konteks pembangunan masyarakat luar bandar.
Dengan itu kajian ini dijangka dapat menambahkan lagi khazanah ilmu dalam
bidang pembangunan masyarakat dan pembentukan program jaliran sosial yang
berupaya memenuhi keperluan kumpulan sasar.
1.5 Skop Kajian
Kajian ini memfokuskan kepada peranan dan sumbangan KEMAS dalam
usaha-usaha membangun sosioekonomi masyarakat luar bandar, khususnya di
jajahan Bachok, Kelantan. KEMAS memainkan peranan sebagai agensi yang
menyediakan agen perubahan kepada masyarakat luar bandar. Sebagai agen
perubahan, KEMAS mempunyai hubungan peranan dengan sistem masyarakat
serta organisasi-organisasi lain yang menerima mandat untuk membangun
masyarakat luar bandar. KEMAS mempunyai struktur agen perubahan yang jelas
di peringkat persekutuan, negeri, daerah mukim dan kampung. Agen-agen
perubahan KEMAS sering kali dipanggil sebagai pembangun atau penggerak
masyarakat.
Sebagai pembangun atau penggerak masyarakat, institusi ini mempunyai
beberapa peranan penting. Menurut Rogers (1972) pembangunan masyarakat perlu
memainkan peranan dari segi membentuk keperluan terhadap perubahan,
membentuk perhubungan mesra dengan masyarakat dan organisasi terlibat,
mengenalpasti masalah yang dihadapi masyarakat, membentuk penyelesaian
masalah yang telah dikenalpasti, melaksanakan penyelesaian, menstabilkan
perubahan supaya bergerak secara berterusan dan berenggang daripada penerima.
Havelock (1973) pula menyatakan bahawa sebagai agen perubahan atau
pembangun masyarakat berperanan sebagai penggerak perubahan, penyelesai
masalah, pembantu proses dan penghubung sumber. Manakala Beal (1981) pula
menyatakan bahawa agen perubahan berperanan sebagai pendidik, penyelidik,
perunding, pentadbir dan pemimpin.
KEMAS menyediakan agen penggerak masyarakat yang bertindak sebagai
pekerja barisan hadapan di peringkat akar umbi masyarakat. Mereka merupakan
saluran yang paling hampir dengan masyarakat. Oleh itu, mereka diberi
tanggungjawab untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat berbanding dengan
saluran lain seperti media massa. Ini kerana mereka berhubung secara bersemuka
dengan kumpulan sasar dan mesej juga boleh bergerak secara dua hala. Dalam
kajian ini peranan dan sumbangan KEMAS ini diteliti dari aspek usaha KEMAS
dalam membawa perubahan dan pembangunan dalam pendidikan dan latihan,
kesedaran sosiopolitik, proses perubahan, melahirkan kepimpinan tempatan,
koordinasi pembangunan masyarakat, penglibatan masyarakat dalam aktiviti
KEMAS dan faedah penyertaan masyarakat dalam aktiviti KEMAS.
Penelitian terhadap peranan dan sumbangan KEMAS dalam pembangunan
pendidikan meliputi aspek penglibatan KEMAS dalam melaksanakan aktiviti
pendidikan dan melatih peserta-peserta yang terlibat. Usaha-usaha yang
dilaksanakan oleh KEMAS ini adalah bertujuan untuk membantu meningkatkan
pendidikan asas dan kemahiran masyarakat luar bandar. Untuk itu KEMAS telah
melaksanakan pelbagai aktiviti kemahiran dan pendidikan untuk masyarakat dan
anak-anak di luar bandar.
Peranan dan sumbangan KEMAS dalam pembangunan sosiopolitik pula
diteliti dari aspek aktiviti yang dilaksanakan oleh KEMAS dalam melahirkan
kesedaran politik dan melahirkan atau mengasuh bakat-bakat kepimpinan dalam
kalangan masyarakat luar bandar. Peranan ini sinonim dengan tanggapan bahawa
KEMAS adalah agen politik pemerintah.
Peranan KEMAS dalam proses perubahan pula diteliti berasaskan kepada
peranan dan sumbangan KEMAS sebagai agen perubahan dalam masyarakat luar
bandar. Sebagai agen perubahan KEMAS berperanan untuk membentuk keperluan
terhadap perubahan, membentuk hubungan yang mesra dengan penduduk luar
bandar, mengenalpasti masalah penduduk luar bandar, membentuk penyelesaian
terhadap masalah penduduk luar bandar, melaksanakan penyelesaian, menstabilkan
perubahan dan membantu penduduk luar bandar berdikari.
Peranan KEMAS dalam melahirkan kepimpinan tempatan meliputi aspek
peranan KEMAS dalam aktiviti pelantikan penduduk tempatan dalam aktiviti
KEMAS dan pelaksanaan latihan kepada pemimpin-pemimpin tempatan yang
dilantik. Selain itu, pemimpin tempatan yang dilantik juga diberi peluang untuk
membuat keputusan dalam pelaksanaan aktiviti KEMAS.
Pelaksanaan aktiviti pembangunan masyarakat luar bandar melibatkan
pelbagai agensi dan institusi. Bagi mengelakkan pertindanan dan pembaziran
sumber, aktiviti pembangunan tersebut perlu dikoordinasi. Koordinasi ini
melibatkan hubungan sosial sesama pemimpin KEMAS tempatan, koordinasi
dengan pemimpin masyarakat dan koordinasi antara institusi-institusi yang terlibat
dalam aktiviti pembangunan.
Penglibatan masyarakat dalam aktiviti KEMAS pula diteliti dari aspek
kesedaran masyarakat terhadap aktiviti yang dilaksanakan oleh KEMAS,
penyertaan dalam aktiviti yang dilaksanakan, motivasi yang menggalakkan
penyertaan masyarakat dalam aktiviti KEMAS, sebab yang menyebabkan
masyarakat tidak menyertai aktiviti KEMAS dan faedah yang diperoleh daripada
aktiviti KEMAS yang disertai. Penglibatan komuniti dalam aktiviti yang
dilaksanakan adalah kunci kepada program pembangunan komuniti yang
mengamalkan pendekatan perancangan “bawah-atas” (Kelly and Vlaenderen,
1996). Penglibatan komuniti juga menjadi pra-syarat untuk kejayaan pelaksanaan
sebarang projek pemulihan (Soen, 1981). Kumpulan perunding daripada
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (1981) mendefinisikan penglibatan komuniti
sebagai pembentukan peluang yang sama kepada semua ahli komuniti untuk
melibatkan diri secara aktif dalam proses pembangunan. Ini bermakna individu di
semua peringkat diberi peluang yang sama untuk mengambil bahagian dalam
proses membuat keputusan.
Dalam konteks pembangunan komuniti, penglibatan dilihat sebagai
kemahuan individu secara suka rela membuat komen atau cadangan dalam sesuatu
forum komuniti (community forum), berkongsi pendapat dengan ahli-ahli dan
mengambil berat atau bertanggungjawab terhadap aktiviti kumpulan (Bowen,
2008; Cornwall, 2008; Tosun, 2000; Brian et al., 1975; Brokensha and Hodge,
1969; Edwards and Jones, 1976). Cohen dan Uphoff (1977) menyatakan
penglibatan masyarakat dalam aktiviti pembangunan luar bandar berlaku dalam
aspek membuat keputusan, pelaksanaan, berkongsi manfaat dan penilaian. Proses
penglibatan berlaku apabila ahli komuniti terlibat dalam proses membuat
keputusan mengenai sesuatu perkara dan menentukan bagaimana perkara tersebut
seharusnya dilaksanakan, bentuk penglibatan mereka yang turut serta, bagaimana
keuntungan diagihkan serta bagaimana orang ramai dapat dilibatkan dalam
penilaian ke atas aktiviti yang disertai (Bowen, 2008; Cornwall, 2008, Tandon
2008: Cohen and Uphoff, 1977). Penyertaan ahli komuniti dalam sesuatu aktiviti
boleh berlaku dalam bentuk sumbangan tenaga, barangan dan wang ringgit.
Penyertaan dalam bentuk sumbangan ini boleh berlaku pada peringkat
perancangan, pelaksanaan dan penilaian sesuatu program (Nayan, 1975;
Santhanam et al, 1982).
Secara keseluruhannya kerangka kajian ini dapat digambarkan melalui
rajah 1.1 di bawah.
1.6 Batasan Kajian
Kajian ini memfokuskan kepada sumbangan KEMAS terhadap
pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar di Bachok, Kelantan.
Sumbangan KEMAS ini diteliti dari aspek status semasa keadaan sosioekonomi
masyarakat, peranan yang dimainkan oleh agensi KEMAS dan penglibatan peserta
langsung dan tidak langsung dalam program yang dilaksanakan oleh KEMAS di
Bachok, Kelantan. Kajian ini akan mengkaji pendapat sebenar masyarakat luar
bandar tentang keadaan realiti status sosioekonomi mereka setelah terlibat dalam
program KEMAS. Secara tidak langsung tanggapan yang dibuat merupakan
‘penilaian’ yang boleh dijadikan asas dalam mengawal dan mengubahsuai aktiviti
pembangunan semasa masyarakat luar bandar.
Peranan dan Sumbangan
KEMAS
Pendidikan
Sosiopolitik
Proses perubahan
Melahirkan kepimpinan
tempatan
Koordinasi pembangunan
masyarakat.
Keadaan
Sosioekonomi
Masyarakat
Luar Bandar
Penglibatan dalam aktiviti
KEMAS
Aktiviti KEMAS yang
disertai
Sambutan terhadap aktiviti
KEMAS
Galakan dalam menyertai
aktiviti KEMAS
Manfaat yang diperoleh dari
aktiviti KEMAS
Rajah 1.1: Kerangka Kajian
BAB 2
SOROTAN LITERATUR
2.1 Pengenalan
Penulisan bab ini melibatkan dua bahagian utama. Bahagian pertama
membincangkan tentang konsep pembangunan sosioekonomi, model
pembangunan sosioekonomi, prinsip pembangunan sosioekonomi. Manakala
bahagian kedua membincangkan tentang pelaksanaan program pembangunan
sosioekonomi di Malaysia. Perbincangan tentang konsep pembangunan
sosioekonomi meliputi aspek pengertian dan pendekatan pembangunan
sosioekonomi. Manakala perbincangan tentang pelaksanaan program
pembangunan sosioekonomi di Malaysia meliputi aspek latarbelakang, matlamat,
strategi serta program pembangunan sosioekonomi di Malaysia.
2.2 Konsep Pembangunan Sosioekonomi
Tidak terdapat satu istilah yang benar-benar dapat menjelaskan maksud
pembangunan. Konsep pembangunan digunakan berdasarkan kepada bidang ilmu
tertentu, seperti ekonomi, politik dan sosiologi. Ungkapan pembangunan sering
bertindan lapis dengan istilah pertumbuhan, modenisasi, perubahan sosial,
kemajuan, pembaharuan dan perkembangan.