PENGGUNAAN SIMBOL DALAM PERIBAHASA
-
Upload
phungquynh -
Category
Documents
-
view
335 -
download
8
Transcript of PENGGUNAAN SIMBOL DALAM PERIBAHASA
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
118
6 PENGGUNAAN SIMBOL DALAM PERIBAHASA
Nurhiza Mohamed [email protected]
Sekolah Rendah Cantonment
Abstrak
Peribahasa digunakan sejak zaman berzaman untuk menyampaikan mesej atau
nasihat secara tidak langsung melalui simbol-simbol tertentu. Penggunaan simbol-
simbol dalam peribahasa boleh menyebabkan kekeliruan atau salah tafsir jika
diterjemahkan secara literal. Objektif kertas kerja ini adalah untuk mengenal pasti
jenis-jenis simbol yang digunakan dalam peribahasa Melayu dan mencerakinkan
aspek pemikiran, kefalsafahan, kebudayaan dan kepengaruhan agama yang
terkandung dalam simbol-simbol yang digunakan. Penggolongan simbol
berdasarkan jenis-jenis simbol dilakukan sebelum dianalisis menggunakan Model
Semiotik Segi Tiga Ogden dan Richards (1923) sebagai garis panduan. Penggunaan
simbol dianalisis secara kualitatif dengan melihat hubungan antara simbol dan
referen, dari segi persamaan atau perbezaan ciri-ciri, sifat atau fungsi. Pemilihan
simbol yang tepat dalam peribahasa Melayu mencerminkan sifat intelektual dalam
pemikiran masyarakat Melayu yang berjaya mengilhamkan simbol-simbol dalam
sistem kehidupan masyarakat ke dalam peribahasa-peribahasanya. Kertas kerja ini
diharapkan dapat meningkatkan minat dan memudahkan pelajar Melayu Singapura
dalam pembelajaran peribahasa.
Kata Kunci: semiotik, peribahasa, simbolisme, simbol, referean, metafora, kiasan
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
119
Pengenalan
Peribahasa sudah wujud berzaman-zaman lamanya. Peribahasa didefinisikan
sebagai ayat atau kelompok kata yg mempunyai susunan yang tetap dan
mengandungi pengertian yg tertentu, bidal, pepatah (Kamus Dewan, 2005). Tradisi
lisan yang diwarisi secara turun-temurun ini merupakan hak milik masyarakat yang
digunakan masyarakat secara meluas. Setiap peribahasa yang dihasilkan bertujuan
untuk mendidik masyarakat dengan norma-norma sosial dan nilai-nilai moral yang
terkandung di dalamnya supaya dapat menjadi pegangan bagi setiap anggota
masyarakat. Oleh yang demikian, peribahasa perlu diwariskan dan diajarkan kepada
generasi yang lebih muda agar tidak lapuk dek kemodenan.
Peribahasa dihasilkan melalui ilham yang tercetus akibat pengamatan dan
tafsiran masyarakat silam terhadap alam persekitaran yang memperlihatkan ciri-ciri
yang bertepatan dengan sifat manusia. Alam persekitaran dan keadaan sekeliling
merupakan sumber inspirasi dan dijadikan simbol dalam sesuatu peribahasa.
Masyarakat lama bijak menggabungjalinkan ciri-ciri yang terdapat pada alam dan
keadaan sekeliling dengan sesuatu simbol untuk mengiaskan sesuatu perkara. Oleh
yang demikian, simbol yang terdapat dalam peribahasa tidak boleh ditafsirkan
secara harfiah dan memerlukan pemahaman serta pentafsiran yang mendalam dari
pelbagai sudut makna untuk menggarap makna sebenar sesuatu peribahasa
dengan baik. Menurut Asmah Haji Omar (1993:1-2), simbol atau lambang tidak
sama dengan benda, perbuatan, peristiwa atau sifat, tetapi wakilnya sahaja.
Simbol yang digunakan merujuk kepada konsep yang terhasil dari satu
persepsi. Erti kata lain, simbol boleh dirumuskan sebagai sesuatu bentuk yang boleh
muncul dalam bentuk maujud mahupun mujarad yang digunakan untuk mewujudkan
perbandingan dengan sesuatu pernyataan. Justeru, simbol yang diungkapkan dalam
peribahasa mencerminkan corak pemikiran masyarakat Melayu yang merangkumi
falsafah, norma, nilai, kepercayaan dan peraturan hidup yang berpandukan ajaran
agama Islam. Hubungan akrab yang wujud antara bahasa dengan cara pemikiran
masyarakat ini bertepatan dengan hipotesis yang dikemukakan oleh Sapir dan
Whorf. Hipotesis Sapir dan Whorf (dlm. Beaugrande, D., 1991) menyatakan bahawa
bahasa yang digunakan oleh suatu bangsa menentukan pemikiran dan
pandangannya terhadap dunia dan lingkungan sekitarannya. Justeru, penggunaan
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
120
bahasa dalam peribahasa Melayu yang diwarisi sejak zaman dahulu memancarkan
nilai, budaya, cara pemikiran, sikap, pandangan hidup, akal budi dan adab
masyarakat Melayu tradisional.
Pernyataan Masalah
Peribahasa Melayu dijunjung tinggi oleh masyarakat suatu masa dahulu dan kerap
digunakan dalam majlis-majlis orang Melayu mahupun pertuturan biasa. Melalui
peribahasa, mereka menyampaikan nasihat, petua, amanah dan pesan-pesan moral
yang berisi nilai-nilai luhur agama, budaya serta norma-norma sosial yang dianut
masyarakat. Pelbagai ketentuan adat dan tradisi juga turut diturunkan dalam bentuk
peribahasa. Hal ini membuktikan bahawa di dalam setiap peribahasa terpancar
welstanchung, falsafah dan nilai masyarakat Melayu.
Kewujudan peribahasa membuktikan bahawa ia merupakan suatu wahana
penting yang memberi kesan positif dalam menyampaikan mesej-mesej tertentu.
Namun demikian, dalam kehidupan masa kini, masyarakat Melayu tidak lagi sebati
dengan peribahasa dan kurang menggunakan peribahasa dalam kehidupan
seharian. Amalan penggunaan peribahasa semakin kurang dititikberatkan.
Dalam kajian kali ini, peribahasa Melayu telah dipilih menjadi tema
perbincangan kerana pada hemat pengkaji, seseorang yang dikatakan Melayu harus
mempelajari tentang bahasanya dengan lebih mendalam lagi terutama dalam bidang
peribahasa. Hal ini kerana peribahasa yang dihasilkan bukan sahaja mencerminkan
budaya dan tatasusila orang Melayu, tetapi juga kebijaksanaan mereka.
Kajian-kajian lepas yang telah dilakukan juga kurang memberi perhatian
terhadap simbol-simbol yang digunakan dalam peribahasa yang mengandungi
kebijaksanaan fikiran yang hasil daripada pemerhatian dan pengamatan masyarakat
dahulu. Sehingga kini, terdapat banyak kajian tentang semiotik yang dilakukan
namun demikian, kebanyakan kajian tertumpu terhadap pantun. Oleh yang
demikian, pengkaji akan menganalisis penggunaan simbol yang digunakan dalam
peribahasa Melayu.
Kajian dilakukan bagi melihat wujud atau tidaknya kaitan antara simbol, objek
dan makna yang ingin disampaikan dalam peribahasa serta penerapan nilai dalam
peribahasa yang hampir dilupai dan semakin luput daripada ingatan masyarakat
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
121
Melayu. Kajian yang dijalankan akan menganalisis dan mengupas simbol-simbol
yang digunakan dalam peribahasa Melayu menggunakan model Segi Tiga Semiotik
oleh Ogden dan Richards (1923).
Tujuan Kajian
Dalam membantu pengkaji untuk menganalisis kajian, pengkaji telah menyenaraikan
dua objektif yang ingin dicapai pada akhir kajian. Objektif kajian adalah seperti
berikut:
(i) mengenal pasti dan mengklasifikasikan jenis-jenis simbol yang digunakan dalam peribahasa Melayu; dan
(ii) menganalisis penggunaan simbol serta mencerakinkan aspek pemikiran, kefalsafahan, kebudayaan, kepengaruhan agama dan kebudayaan Melayu dalam peribahasa Melayu menggunakan model Semiotik Segi Tiga.
Kajian Literatur / Kajian Lepas
Istilah semiotik berasal daripada perkataan Yunani, iaitu semeion yang membawa
maksud sains umum yang mengkaji sistem perlambangan dalam kehidupan
manusia (Van Zoest, A., 1990: 152). Terdapat pelbagai definisi yang dikemukakan
mengenai istilah semiotik berdasarkan pandangan sarjana-sarjana Barat mahupun
tokoh-tokoh tempatan yang mula menunjukkan kecenderungan ke arah penelitian
cabang ilmu ini. Paul Cobley dan Litza Jansz (1997: 4) pula menyatakan bahawa,
perkataan semiotik diambil daripada kata akar daripada Yunani, iaitu seme dan
melibatkan interpreter terhadap tanda. Ringkasnya, semiotik merupakan disiplin ilmu
yang mengkaji tanda-tanda yang bersifat saintifik atau lebih tepatnya dikenali
dengan istilah 'science of sign'. Tanda yang digunakan mewakili pelbagai aspek
yang berupa fikiran, perasaan, pengalaman, gagasan dan tidak terhad kepada
elemen bahasa sahaja.
Pada tahap awal kemunculan bidang kajian semiotik, istilah yang digunakan
untuk bidang ini ialah istilah tanda. Istilah tanda mula digunakan Plato (428-348 S.
M.), seorang ahli falsafah Yunani dan anak muridnya Aristotle melalui karya ‘Poetics’
dan ‘On Interpretation’. Plato telah memulakan penelitiannya tentang asal usul
bahasa dengan merujuk nama-nama sebagai lambang sesuatu benda ataupun
kejadian. Sehubungan itu, Aristotle (dlm. Tzvetan, T., 1982:16) dalam bukunya yang
bertajuk ‘On Interpretation’ membincangkan lambang lisan dan tulisan. Beliau telah
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
122
mengemukakan teori bahasa yang melihat lambang kepada rujukan perkataan yang
ditulis ataupun dituturkan, seperti mana yang diperhatikan dalam petikan berikut:
“Spoken words are the symbols of mental experience and written words are the symbols of spoken words. Just as all men have not the same writing, so all men have not the same speech sounds, but the mental experiences, which these directly symbolize, are the same for all, as also are those things of which our experiences are the images.”
(Hashim Hj. Musa, 1994:90)
Augustine dalam tulisannya ‘On Dialectics’ (387 S. M.) pula telah
mentakrifkan dan memberi penjelasan mengenai konsep tanda dalam petikan
berikut:
“A sign is something which is itself sensed and which indicates to the mind something beyond the sign itself. To speak is to give a sign by means of an articulate utterance... A word is a sign of any sort of thing. It is spoken by a speaker and can be understood by a hearer.”
(Tzvetan, T., 1982:36)
Jelasnya, sebelum kemunculan Fredinand de Sausurre dan Charles Sanders
Peirce, istilah tanda digunakan dalam kajian bidang ini.
Disiplin kajian dan istilah semiotik hanya mula diterima dan digunakan sekitar
abad ke-19 di Barat selepas kemunculan Ferdinand de Saussure (1857-1913) dan
Charles Sanders Peirce (1839-1913), dua orang tokoh terpenting yang membawa
pembaharuan dengan mengemukakan teori dan prinsip masing-masing. Ferdinand
de Saussure (1959: 16) telah memperkenalkan istilah semiologi dalam bukunya
yang bertajuk ‘Course in General Linguistics’. Beliau telah mentakrifkan semiotik
sebagai suatu sains yang mengkaji tanda dalam masyarakat. Charles Sanders
Peirce pula dalam eseinya ‘Collected Papers of Charles Sanders Peirce. Vol 1&2’
(1965), memberi takrifan tentang konsep semiotik sebagai sains umum yang
mengkaji sistem perlambangan. Menurut beliau, lambang-lambang yang terdapat
dalam kehidupan manusia boleh dikaji dan diselongkar oleh satu disiplin yang
bersifat 'inter-disciplinary approaches'. Beliau mendefinisikan lambang sebagai suatu
yang dihadapkan kepada seseorang dalam sesuatu keadaan serta kemampuan
tertentu dan mengarahkan kepada seseorang (dlm. Supardy Muradi, 1990: 37).
Bertitik tolak daripada konsep tersebut, Peirce telah memperkembangkan tiga jenis
tanda yang difahaminya, iaitu lambang, ikon dan juga indeks.
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
123
Kemunculan Ferdinand de Saussure dan Charles Sanders Peirce telah
mendorong kemunculan pengkaji-pengkaji semiotik lain yang mempunyai prinsip
dan pemahaman semiotik tersendiri. Antaranya, Manning (1986: 25) berpendapat
bahawa semiotik merupakan satu analisis khusus dalam memahami situasi tanda
yang disampaikan dalam konteks. Menurut Culler pula, matlamat analisis semiotik
bukan sekadar penghuraian, bahkan boleh digunakan untuk mengupas dan
menghuraikan sistem-sistem yang terkandung dalam bahasa dan menentukan
segala makna yang berkaitan. Ringkasnya, bagi beliau, ilmu semiotik mampu
mengkaji budaya yang terungkap dalam sesuatu bahasa (Culler, J., 1975: 31).
Jelaslah bahawa terdapat pelbagai konsep yang telah dikemukakan untuk
mendefinisikan istilah semiotik yang juga merujuk kepada kajian tentang tanda.
Bidang semiotik juga melihatkan perkembangan dan pertumbuhan dalam
kalangan para pengkaji daripada Timur. Definisi dan prinsip mengenai semiotik juga
turut diketengahkan oleh para sarjana di Malaysia dan juga Indonesia. Huraian yang
dibuat oleh Sutadi Wiryatmadja tentang semiotik dianggap lengkap kerana beliau
cuba mengaitkan sistem tanda dengan makna yang terdapat dalam kehidupan
masyarakat tersebut. Menurutnya:
“Semiotika adalah ilmu yang mengkaji kehidupan tanda dalam maknanya yang luas di dalam masyarakat, baik yang lugas (literal) mahupun yang kias (figuratif), baik yang menggunakan bahasa mahupun bukan bahasa.”
(Wiryatmadja, S., 1981: 4)
Sanat Md. Nasir (2006: 121) pula telah menyesuaikan fahaman semiotik yang
dikemukakan oleh ahli-ahli linguistik Barat seperti Saussure dan Peirce, lalu
menyerpadukannya dengan perspektif Islam. Beliau memperkenalkan semiotik yang
berdasarkan Islam yang dikenali sebagai Model Semiotik Paling Luas (MSPL). Ilmu
semiotik ini berasaskan semiotik Peirce yang telah diubahsuai menurut perspektif
Islam. A. Teeuw (1984: 6) seorang ahli sastera mendefinisikan semiotik sebagai satu
tindak balas komunikasi yang telah dipertanggungjawabkan kepada semua faktor
yang melibatkan aspek hakiki pemahaman bukan secara literal atau huruf kepada
penyampaian mesej di dalam masyarakat atau komuniti. Menurut Kamaruddin Abdul
Rahman (1991: 54), disiplin semiotik merangkumi beberapa disiplin ilmu lain seperti
sejarah, sosiologi, psikologi, antropologi, linguistik dan sebagainya. Kenyataan
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
124
beliau ini berasaskan pandangan yang dikemukakan oleh Ferdinand de Saussure
(1959: 16) bahawa linguistik hanyalah salah satu bahagian daripada disiplin semiotik.
Menurut Supardy Muradi (1984: 35), semiotik merupakan sains umum yang
mengkaji sistem perlambangan dalam bidang kehidupan manusia yang kaya dengan
sistem perlambangan, sama ada yang bersifat jelas mahupun yang kabur.
Supardy Muradi merupakan antara tokoh yang menghasilkan tulisan yang
berkaitan dengan bidang semiotik. Tulisan beliau telah dimuatkan dalam majalah
Dewan Sastera. Kajiannya bermula sekitar tahun 1980-an dan ditumpukan kepada
teori dasar kajian semiotik moden yang berasal daripada teori dan kaedah
strukturalisme. Eseinya yang bertajuk ‘Strukturalisme sebagai Disiplin Kritikan
Sastera’ (Dewan Sastera, Jun 1984: 42-50), merakamkan sejarah perkembangan
strukturalisme di Eropah sekitar tahun 1960-an.
Dalam kajian beliau yang bertajuk ‘Semiotik dan Kajian Perlambangan’
(Dewan Sastera, Disember 1984: 35-39), beliau telah memperkenalkan beberapa
orang tokoh yang tidak asing namanya dalam bidang semiotik seperti Umberto Eco
(1976), Jonathan Culler (1978), dan Michael Riffaterre (1980). Sehubungan itu, hasil
tulisan Supardy Muradi yang bertajuk ‘Teori-teori Kesusasteraan Mutakhir’ (1989:
127-147) turut membincangkan mengenai semiotik yang berkaitan dengan ‘Semiotik
Sepintas Lalu’. Beliau juga mengumpulkan koleksi kertas kerja yang dibukukan lalu
diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1990. Buku beliau yang
bertajuk ‘Kesusasteraan daripada Perspektif Semiotik’ ini memuatkan enam kertas
kerja yang dibentangkan dalam Seminar Sehari Mengenai Semiotik di Universiti
Sains Malaysia pada tahun 1987.
Kertas kerja pertama bertajuk ‘Semiotik dan Prosa: Satu Tanggapan’ yang
dihasilkan olehnya, memberi tumpuan kepada kemunculan teori semiotik sebagai
salah satu bidang kritikan kesusasteraan mutakhir. Dalam kertas kerja ini, beliau
menyatakan bahawa semiotik sebagai teori membaca dan menilai sastera
sebenarnya tidak terhad kepada genre sastera semata-mata, bahkan kajiannya juga
melibatkan kebudayaan, bahasa, seni dan pelbagai bidang ilmu yang lain. Kertas
kerja kedua ‘Semiotik dan Puisi’ oleh Wong Soak Koon memperlihatkan kajian
mengenai hubungan semiotik dan puisi. Manakala Umar Junus dalam kertas kerja
ketiga yang bertajuk ‘Semiotik dan Kesusasteraan’ pula menumpukan perbincangan
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
125
mengenai semiotik dalam kesusasteraan secara umum. Kertas kerja ‘Semiotik dan
Bahasa’ oleh Abdullah Hassan mengemukakan perbincangan yang menjurus
kepada gagasan semiotik yang dianjurkan oleh Saussure yang melihat hubungan
yang terjalin antara pelambang (signifier) dan lambangan (signified) secara arbitrari.
Kertas kerja kelima oleh M. Khalid Taib dan Baharudin Ahmad dengan kerjasama Ali
Mohd lsa yang bertajuk ‘Pandangan Islam Terhadap Dua Andaian dalam Doktrin
Semiotik’ pula membincangkan disiplin semiotik daripada pandangan Islam yang
mengkritik teori Charles Sanders Peirce kerana kajian tanda Pierce tertumpu kepada
kewujudan yang bersifat konkrit, yakni dunia yang hanya dapat dikesan melalui
pancaindera. Kertas kerja terakhir ‘Ilmu Kesusasteraan Harus Kembali ke Akar Islam’
oleh Ali Haji Ahmad juga turut menyentuh tentang disiplin semiotik menurut
perspektif Islam.
Selain kompilasi kertas kerja, Dewan Bahasa dan Pustaka juga menerbitkan
buku ‘Fiksyen dan Sejarah: Suatu Dialog’ (1989) yang membincangkan mengenai
disiplin semiotik. Karya Umar Junus yang menyentuh tentang semiotik ‘Fiksyen dan
Realiti: Mimetik dan Semiotik’ telah dimuatkan dalam buku ini. Sehubungan itu,
Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan buku Shamsiah Mohd Said yang
bertajuk ‘Simbolisme - Siri Konsep Sastera’ (1991). Buku ini merupakan
penterjemahan Sahmsiah Mohd. Said terhadap karya Charles Chadwick yang
bertajuk ‘Symbolism’ ke dalam bahasa Melayu.
Kajian tentang bidang semiotik juga mula mendapat tempat di universiti yang
telah menghasilkan disertasi dan latihan ilmiah yang menyumbang terhadap
perkembangan bidang semiotik. Pada peringkat sarjana muda, antara latihan ilmiah
yang dihasilkan berkaitan dengan bidang semiotik termasuklah ‘Imej Wanita Jalang
di Layar Perak: Kajian Kes Perempuan, Isteri & ...? Arahan U-Wei Shaari: Satu
Pendekatan Semiotik dan Psikoanalisis’ oleh Kartina Haji Dollah (1994), ‘Analisis
Kandungan Rancangan di TV3: Kajian Semiotik Tentang Imej Wanita dalam Nona
dan Wajah-wajah’ oleh Wong Sau Tian (1994), ‘Penggunaan Bahasa dalam Bidang
Insurans dari Sudut Retorik dan Semiotik’ oleh Azlizawaty Hashim (2000), ‘Surah
An-Nisa: Analisis dari Perspektif Semiotik Bahasa Melayu’ oleh Zaleha Hussain
(2000), ‘Perspektif Semiotik Lambang dalam Cerpen Shahnon Ahmad’ oleh Siti
Raihanni Binti Selamat (2002).
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
126
Disertasi dan tesis yang berhubung dengan semiotik juga turut dihasilkan.
Antaranya termasuklah disertasi oleh Aishah Rohani Nahar (1998) ‘Perlambangan
dalam Peribahasa Melayu Serawak’. Beliau menggunakan Model Semiotik Jakobson
dalam fungsi puitis dalam kajiannya kerana model ini memberi keutamaan terhadap
makna sebenar atau tersirat dan bukan makna tersurt bagi lambang yang digunakan.
Hazleeya Mad Ali (2006) dalam disertasinya ‘Iklan Majalah: Analisis Semiotik Paling
Luas’ telah mengkaji penggunaan lambang dalam iklan majalah. Sehubungan itu,
Haryati Surana juga mengkaji tentang ikon menggunakan teori Model Semiotik
Paling Luas dalam disertasinya ‘Penggunaan Ikon Pelbagai Institusi Antara Dua
Negara: Analisis Semiotik Paling Luas’ pada tahun 2006. Noriza Binti Daud (2004)
menghasilkan tesis yang bertajuk ‘Semiotik Daripada Perspektif Islam: Konsepsi
Lambang Pantun Warisan Rakyat’. Kajian tentang semiotik turut dilakukan terhadap
lagu-lagu P. Ramlee dalam tesis Ph. D oleh Abdul Hamid bin Adnan yang bertajuk
‘Lagu-Lagu Gubahan P.Ramlee: Analisis Semiotik Melodi dan Lirik’ (2006). Tesis
Nureeda Salaemae (2007) membandingkan metafora yang digunakan oleh penulis
Melayu dan Thailand yang bertajuk ‘Metafora Dalam Novel Penulis Wanita Melayu
Dan Thai: Analisis Semiotik’. Tesis Tuan Zainab Wi (2008) ‘Tanda Pemikiran dan
Tanda Emosi Dalam Sangeetha: Kajian Semiotik’ pula mengkaji Sangeetha sebuah
novel hasil karya Allahyarham Azizi Hj. Abdullah yang dihasilkan pada tahun 2005.
Selain latihan ilmiah, disertasi dan tesis, terdapat juga kertas projek yang telah
diusahakan. Antaranya dihasilkan oleh Abd. Razak Bin Mohammad Yusof yang
bertajuk ‘Pantun: Satu Analisis Semiotik’ pada tahun 2000. Kertas projek ini telah
menggunakan pantun sebagai data kajian. Hema Ashwini A/P Uthamaseelan juga
menghasilkan kertas projek bertajuk ‘Kosa Kata Tamil dalam Bahasa Melayu: Suatu
Analisis Semiotik’ pada tahun 2001. Kajian ini meneliti perkataan-perkataan bahasa
Melayu dalam teks ‘Hikayat Hang Tuah’ oleh Kassim Ahmad dan Noriah Mohamed
(1997) yang dipinjam daripada bahasa Tamil. Aspek semiotik dinilai dari segi makna
yang didukung oleh kata dalam bahasa Melayu. Sehubungan itu, kertas projek yang
bertajuk ‘Budi dan Adab dalam Mestika Bahasa: Satu Analisis Semiotik’ pada
peringkat sarjana juga diusahakan pada tahun 2001 oleh Mohd. Hisham Bin Osman.
Kertas-kertas projek ini turut menyumbang kepada perkembangan kajian semiotik di
peringkat universiti.
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
127
Kaedah Kajian
Pemilihan data dilakukan dengan kaedah kepustakaan menerusi kajian teks ‘Kamus
Peribahasa Melayu’. Terdapat lebih banyak jenis yang terungkap dalam buku
tersebut. Pengkaji memfokuskan pencarian data dan sorotan kajian di perpustakaan-
perpustakaan Universiti Malaya seperti Perpustakaan Utama, Perpustakaan
Akademi Pengajian Melayu dan juga Perpustakaan Peringatan Za'ba. Rujukan
maklumat juga turut dijalankan di Perpustakaan Nasional Singapura untuk
mendapatkan bahan-bahan yang relevan dengan kajian yang dijalankan.
Selain itu, rujukan dan data turut diambil melalui sumber media elektronik
seperti Internet yang dianggap sebagai sumber sekunder. Bahan daripada sumber
Internet berbentuk ensiklopedia, blog dan lelaman yang diperoleh merupakan data
tambahan tentang penggunaan simbol dalam peribahasa. Rujukan buku dan Internet
berkaitan teori semiotik merupakan perkakasan penting kepada pengkaji untuk
menentukan gaya dan kaedah yang akan digunakan untuk menganalisis data.
Pengkaji mengenal pasti simbol-simbol yang digunakan dalam data kajian
dan mengkategorikan data penggunaan unsur simbol kepada sepuluh kategori. Data
yang dipilih merupakan bentuk kata nama yang tidak menerima sebarang bentuk
imbuhan atau penambahan. Kata nama yang dipilih terdiri daripada tumbuh-
tumbuahan, haiwan, anggota tubuh manusia dan sebagainya. Setiap data disusun
mengikut susunan abjad berdasarkan penjenisan simbol.
Data-data yang telah dikenal pasti dan dikategorikan dianalisis menggunakan
kaedah kuantitatif, yakni melalui data-data statistik yang melibatkan bilangan yang
dipersembahkan dalam bentuk jadual kekerapan. Setelah jadual diisi dengan
sepenuhnya dan disusun mengikut abjad, satu analisis kuantitatif akan dilakukan ke
atas set data ini. Peribahasa yang mempunyai unsur simbol yang sama akan
dimasukkan ke dalam senarai. Contohnya, jika terdapat sepuluh peribahasa yang
berlainan yang mengandungi unsur simbol haiwan yang sama, seperti contoh ‘lebah’,
peribahasa-peribahasa ini akan dimasukkan ke dalam data bertajuk ‘lebah’. Proses
yang sama akan dilakukan untuk peribahasa lain yang mengandungi unsur simbol
haiwan yang lain seperti anjing, burung dan lain-lain. Selain daripada memudahkan
pentafsiran dapatan, kaedah kuantitatif merupakan salah satu teknik yang berkesan
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
128
kerana maklumat dapat dikemukakan melalui penggunaan jadual, carta, graf,
gambar rajah dan sebagainya.
Data kuantitatif yang diperoleh dianalisis, dihujahkan dan diinterpretasikan
menggunakan kaedah kualitatif berdasarkan model Segi Tiga Semiotik yang
dipelopori oleh Ogden dan Richards (1923). Menurut Argyrous, G. (2000) lagi, kajian
yang melibatkan kelakuan manusia, apa yang difikirkan, perasaan dan persepsi
lebih sesuai dianalisis menggunakan kaedah kualitatif. Hal ini kerana kaedah
kualitatif sesuai untuk memahami definisi tertentu individu atau masyarakat,
penghuraian dan makna sesuatu perkara yang berlaku (events). Pembacaan yang
luas dan pentafsiran yang mendalam perlu dilakukan bagi memahami unsur-unsur
simbol yang digunakan. Makna tersurat dan tersirat di sebalik simbol-simbol ini perlu
dikaitkan dengan penglihatan dunia masyarakat pada masa tersebut. Analisis ini
melibatkan kefahaman budaya, aspek kehidupan dan penglihatan dunia masyarakat
Melayu silam. Penganalisisan kualitatif ini dilakukan untuk meneliti sebab simbol-
simbol ini digunakan khusus untuk peribahasa-peribahasa tertentu. Faktor suasana
seperti peperangan, kemiskinan, penindasan dan juga faktor saintifik, logik, geografi
dan sejarah serta ciri-ciri yang terdapat pada simbol itu sendiri akan ditinjau bagi
tujuan analisis data kajian ini.
Kaedah kualitatif yang digunakan untuk menganalisis data yang terkumpul
merupakan kaedah yang paling sesuai kerana analisis kajian ini memerlukan proses
yang lebih analitis dan historikus (apa yang berlaku pada masa lampau). Kajian ini
juga secara tidak langsung memperlihatkan kepentingan alam dan persekitaran
sosial dalam kehidupan masyarakat lampau sehinggakan ia digunakan sebagai
simbol dalam peribahasa Melayu.
Dapatan Kajian dan Perbincangan
Simbol-simbol yang telah dikenal pasti dianalisis mengikut tiga unsur atau entiti yang
digariskan dalam model Segi Tiga Semiotik, iaitu simbol, konsep dan referen.
Pengkaji telah memilih 10 jenis simbol, secara rambang bagi empat kategori simbol
yang tertinggi untuk dianalisis dalam kajian ini.
Kuntowijoya (1987: 67) menyatakan bahawa simbol merujuk kepada lambang
yang digunakan masyakat dan tidak dapat dipisahkan daripada budaya dan
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
129
kehidupan masyarakat yang menggunakannya. Oleh yang demikian, pengamatan
dan penghayatan makna simbol memerlukan proses pemerhatian dan renungan
terhadap akal fikiran masyarakat tersebut pada suatu zaman. Hubungan antara
simbol, makna konsep simbol dan referen simbol ini akan dianalisis menggunakan
model Segi Tiga Semiotik untuk mencerakinkan dan menghuraikan pemilihan
simbol-simbol tertentu yang digunakan oleh masyarakat Melayu tradisional dalam
peribahasanya. Berdasarkan model kajian ini, simbol yang digunakan dalam
peribahasa dipecahkan kepada tiga unsur atau entiti, iaitu simbol, konsep dan
referen. Simbol merujuk kepada kata yang digunakan dalam suatu peribahasa.
Konsep pula merupakan makna literal yang diperoleh daripada kamus atau fikiran
seseorang mengenai bentuk atau ciri-ciri yang terdapat pada simbol tersebut dan
referen merujuk pada makna yang didukung simbol berdasarkan konteks dalam
peribahasa.
Buluh
Peribahasa ‘melentur buluh biar dari rebungnya’ yang bermaksud mengajar anak-
anak biarlah selagi kecil, apabila telah besar, keraslah hatinya dan tidak dapat diajar.
Simbol rebung dikonsepsikan sebagai anak buluh yang akan menjadi batang
(Kamus Dewan, 2005) Rebung akan membesar dan menjadi buluh. Buluh
dikonsepsikan sebagai sejenis tumbuhan yang batangnya keras, berongga dan
beruas, contohnya seperti bambu atau aur (Kamus Dewan, 2005: 219). Terdapat
pelbagai jenis buluh seperti buluh duri, buluh minyak, buluh betung, buluh madu,
buluh bemban dan buluh perindu. Buluh mempunyai miang yang gatal, namun
demikian buluh amat berguna dan kegunaan buluh dalam alam Melayu memang
terserlah.
Penggunaan simbol buluh juga boleh ditemui dalam karya sastera Melayu
tradisional dan beberapa jenis peribahasa Melayu. Contohnya, dalam Hikayat
Merong Mahawangsa, ada diceritakan tentang kelahiran Raja Buluh Betung dari
ruas buluh yang dibawa pulang oleh Raja Phra Ong Mahaputisat semasa baginda
pergi berburu. Buluh juga digunakan dalam masakan tradisional Melayu seperti
lemang, malah terdapat pantang larang yang dikaitkan dengan buluh lemang.
Menurut pantang-larang orang Melayu, buluh lemang atau dikenali juga sebagai
buluh nipis yang sudah ditebang atau siap dipotong mengikut ruasnya, tidak boleh
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
130
dilangkah kerana ia boleh menyebabkan lemang muntah sewaktu dibakar. Pantang
larang tersebut sentiasa dipatuhi dan masih lagi diamalkan bagi memastikan lemang
yang dibuat menjadi.
Buluh juga digunakan dalam pembinaan rumah masyarakat dahulu. Dinding
dan tingkap rumah-rumah Melayu tradisional ada yang diperbuat daripada buluh
yang dianyam dipanggil pelupuh. Rumah sebegini dapat dilihat di kawasan yang
mudah mendapat bekalan buluh. Selain itu, buluh juga digunakan dalam perubatan
tradisional. Contohnya, buluh gading, sejenis buluh kecil yang berwarna kuning,
berkhasiat untuk rawatan penyatkit kencing manis, sakit kuning, dan juga sebagai
pemudah untuk wanita semasa bersalin (A.Q.H.A.S., 2003: 66).
Simbol rebung yang merupakan referen kepada anak kecil amat bertepatan.
Ibu bapa harus mula mendidik anak sejak usia yang muda. Kanak-kanak mudah
terbentuk dan dibentuk sewaktu usia mereka masih muda. Anak kecil bagaikan kain
putih dan lukisannya dicorakkan oleh ibu bapanya. Justeru, ibu bapa
bertanggungjawab mencorakkan kain itu sebaik mungkin. Corakan yang cantik
dapat menyenangkan pandangan mata, sepertimana akhlak yang baik akan
menyenangkan pandangan ibu bapa mereka.
Kesimpulannya, simbol rebung bertepatan dengan maksud yang ingin
disampaikan kerana seperti rebung yang masih lembut, seorang anak juga perluh
dididik daripada awal supaya dapat membentuknya menjadi insan yang berguna.
Padi
Peribahasa bagai menumbuk padi hampa membawa maksud perkhabaran
selalu dilebih-lebihkan daripada keadaan yang sebenarnya. Penggunaan simbol
padi kerap ditemui dalam karya Melayu tradisional, pantun Melayu dan beberapa
jenis peribahasa Melayu. Sejarah Melayu ada menyatakan:
“Apabila cucu-cucu Maharaja Aftabul-Ardh yang bernama Nila Utama, Nila Pahlawan dan Krishna Pandeta menjejakkan kaki di huma Wan Empuk dan Wan Malini, sekonyong-konyong buah padi di huma itu bertukar menjadi emas; daunnya menjadi perak dan batang padinya menjadi tembaga suasa.”
(Muhammad Ariff Ahmad, 2007)
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
131
Kisah dalam Sejarah Melayu ini jelas memperlihatkan kepentingan padi
dalam kehidupan masyarakat masa dahulu. Padi atau dikenali dengan nama
saintifiknya Oryza sativa boleh dikonsepsikan sebagai sejenis tumbuhan; rumput
yang buahnya dijadikan beras. Padi merupakan makanan asas bagi ramai penduduk
dunia terutamanya di Asia. Terdapat dua jenis padi iaitu padi sawah yang juga
dikenali sebagai padi bendang dan padi huma atau padi bukit.
Referen bagi simbol padi pula berbeza-beza bergantung kepada konteks.
Indirawati Zahid (1995: 243) telah menyenaraikan 18 makna konotatif padi yang
digunakan dalam peribahasa Melayu seperti orang yang mampu, orang yang suka
menolak, tidak sombong, berbuat baik, pencarian yang tetap, adat, keuntungan
dalam peribahasa yang dikaji beliau. Sehubungan itu, simbol padi dalam peribahasa
yang berbeza juga boleh merujuk kepada referen yang berbagai-bagai berdasarkan
konteks.
Analisis terhadap data kajian mendapati simbol padi hampa dalam konteks
peribahasa ini dikonsepsikan sebagai padi yang kosong dan tidak berisi setelah padi
ditampi untuk mengeluarkan hampanya. Padi hampa diasingkan daripada padi yang
berisi melalui proses menampi. Padi yang telah ditumbuk dimasukkan ke dalam alat
menampi yang diperbuat daripada anyaman buluh atau mengkuang dan ditampi
dengan cara melambungkan padi. Proses ini dijalankan di kawasan tanah lapang
dengan menggunakan bantuan angin. Proses ini dilakukan berkali-kali sehingga
semua hampa padi terkeluar dari alat penampi meninggalkan buah padi yang bersih.
Referen bagi simbol padi hampa ini merujuk kepada perkhabaran yang dilebih-
lebihkan.
Simbol padi hampa lebih tepat digunakan dan bukan biji beras kerana ciri
yang terdapat pada padi hampa tidak sama dengan ciri biji beras walaupun kedua-
duanya melalui proses yang sama dan ditempatkan dalam nyiru yang sama. Padi
hampa lebih ringan daripada biji beras dan hal ini menyebabkan padi hampa itu
melambung tinggi ketika ditampi dan membunyikan bunyi yang nyaring. Padi hampa
yang ringan itu akan diterbangkan keluar dan diasingkan daripada biji beras yang
elok. Padi hampa juga memberi gambaran sesuatu yang kosong, khabar yang tidak
begitu penting tetapi dilebih-lebihkan, berbanding dengan padi yang berisi dan
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
132
berharga. Oleh itu, referen bagi simbol padi hampa yang merujuk kepada
perkhabaran yang dilebih-lebihkan amat bersesuaian.
Kesimpulan
Kebijaksanaan masyarakat Melayu tradisional dalam memilih objek-objek tertentu
untuk menghasilkan makna yang lain dan lebih mendalam sebagai simbol dalam
peribahasanya memperlihatkan kepekaan mereka walaupun tidak menerima
pendidikan secara formal. Seperti mana yang telah diketahui, masyarakat tradisional
hanya mempelajari dari keadaan sekeliling yang dijadikan sebagai teladan,
sepertimana yang tergambar dalam ungkapan ‘alam terkembang dijadikan guru’.
Mereka juga rajin memberi perhatian untuk mendalami ciri-ciri, fungsi dan sifat
anggota tubuh serta peralatan yang digunakan untuk disuaikan dengan perangai
manusia. Pemilihan simbol yang dilakukan lazimnya mempunyai hubungan langsung
dengan konsep simbol itu sendiri dengan memenuhi ciri, fungsi atau sifat yang
terdapat pada simbol tersebut.
Terbukti bahawa simbol yang digunakan dalam peribahasa Melayu berkait
rapat dengan sesuatu yang diperoleh daripada alam sekitar dan juga persekitaran
sekeliling.
Referen-referen bagi simbol yang digunakan dalam peribahasa lazimnya
mempunyai hubungan langsung dengan konsep simbol itu sendiri, sama ada dari
segi ciri, sifat atau fungsi yang terdapat pada simbol tersebut. Simbol yang
digunakan lazimnya bersifat konkrit dan dapat dilihat namun begitu, referen bagi
simbol-simbol ini boleh berbentuk konkrit dan juga abstrak. Hal ini bermakna tidak
semua referen yang merujuk kepada perkara yang abstrak, walaupun ia lebih ketara.
Penggunaan simbol turut mengambil kira konsep simbol yang bersifat literal dan
bukan literal. Lazimnya, simbol yang digunakan dalam suatu peribahasa membawa
makna tersirat, namun tidak semua simbol yang mendukung makna tersirat.
Terdapat juga simbol yang membawa makna literal. Justeru, dapatlah dirumuskan
bahawa penggunaan simbol dalam peribahasa bertujuan untuk mengelakkan
pendengar berasa tersinggung. Simbol yang pelbagai disesuaikan untuk mendukung
konsep yang tersurat mahupun yang tersirat. Makna yang disampaikan melalui
penggunaan simbol ini memperlihatkan keadaan, falsafah, pemikiran dan berkait
rapat dengan kepercayaan agama masyarakat tersebut, yakni agama Islam.
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
133
Kajian yang dilakukan kali ini hanya terbatas kepada hubungan simbol dan referen.
Oleh itu, dicadangkan supaya kajian-kajian selanjutnya yang bakal dijalankan
berfokus kepada kajian mendalam dan lebih terperinci berhubung tujuan
penggunaan simbol, sama ada berbentuk peringatan, nasihat atau pegetahuan
kepada penerima, kategori-kategori lain. Kajian-kajian yang akan datang juga boleh
menerapkan model kajian semantik yang lain terhadap simbol-simbol yang
digunakan. Kajian ini diharapkan dapat menjadi titik permulaan bagai pengkaji-
pengkaji untuk terus meneliti penggunaan simbol-simbol dalam peribahasa dengan
lebih menyeluruh untuk membuktikan kepintaran dan keaslian masyarakat dahulu
dalam pemilihan penggunaan simbol-simbol tertentu yang pastinya mempunyai
kaitan dengan makna yang ingin disampaikan.
Rujukan
Buku
A. Teeuw. (1984). Sastra dan Ilmu Sastra: Pengantar Teori Sastra. Bandung: Pustaka Jaya.
Abdul Latief Ghazali. (2000). Rahsia Kejadian Tubuh dan Organ Manusia Menurut Al-Quran dan Sains. Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise.
Abdullah Al-Qarl Hj. Salleh (A.Q.H.A.S.). (2003). Ensiklopedia Herba-herba Sekeliling Anda: Memuat 300 Jenis Herba Berdasarkan Kajian Sains, Eksperimen, Pengamatan dan Panduan Tradisional. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.
Abdullah Al-Qarl Hj. Salleh (A.Q.H.A.S.). (2005). Ensiklopedia Rawatan Penyakit dengan Madu Lebah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.
Abdullah Hussein. (1991). Kamus Istimewa Peribahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ainon Mohd. (2005). Kamus Peribahasa Kontemporari (Ed. Kedua). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Aliman Hassan. (2007). Sanggan Budaya. Singapura: Angkatan Sasterawan ’50. Argyrous, G. (2000). Statistics for Social and Health Research with a Guide to
SPSS. London: SAGE Publications Ltd. Asmah Hj. Omar. (1993). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka. Beaugrande, D. (1991). Linguistic Theory: The Discourse of Fundamental Work.
New York: Longman Group UK Limited. Chandler, D. (2002). Semiotics: The Basics. London: Routledge. Chadwick, C. (1991). Simbolisme – Siri Konsep Sastera. Terj.. Shamsiah Mohd
Said. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Cobley, P. and Jansz, L. (1997). Introducing Semiotics. Victoria: McPherson’s
Printing Group. Culler, J. (1975). Structuralist Poetics: Structuralism, Linguistics, and the Study of
Literature. London: Cornell University Press.
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
134
Ensiklopedia Pelajar Oxford. (1995). Shah Alam: Fajar Bakti.
Harun Pat Piah. (2006). Kitab Tib: Ilmu Perubatan Melayu. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.
Hashim Musa. (1994). Falsafah Bahasa Melayu: Beberapa Aspek Kajian. Petaling Jaya: DJ Gemilang Sdn. Bhd.
Hawkes, T. (1977). Structuralism and Semiotics. London: Methuen & Co Ltd. Hitler, A., (2005). Mein Kampf. Mumbai: Jaico Publishing House Holden, H. M. (1950). Noses. Cleveland: World Publishing Company. Kamus Dewan (Ed. Keempat). (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kassim Ahmad. (2008). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka. Kuntowijoya. (1987). Budaya dan Masyarakat. Yogyakarta: PT Tiara Wacana Yogya. Losonsky, M.. (1999). Humboldt 'On Language': On the Diversity of Human
Language Construction and its Influence on the Mental Development of the Human Species (2nd. Ed). Cambridge: Cambridge University Press.
Manning, Peter K. (1986). Semiotics and Fieldwork. London: Sage Publications. Mohd. Yusof Md. Nor & Abd. Rahman Kaeh. (1985). Puisi Melayu Tradisi, Petaling
Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Muhammad Afandi Yahya. (1995). Simbolisme dalam Seni Bina Rumah Melayu.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Muhammad Ariff Ahmad. (2007). Nilam: Nilai Melayu Menurut Adat. Singapura:
Majlis Pustaka dan Budaya. Mujamma’ al-Malik al-Fahd. (1990). Al-Quran dan Terjemahannya. Madinah Al-
Munawwarah: Saudi Arabiyya Ibnu Hajar. Mukjizat Ilmiah dalam Islam (Sunnah Nabawiah). (1992). Ter.. Mahmood Embong.
Kuala Terengganu: Yayasan Islam Terengganu. Ogden, C. K. & Richards, I. A. (1923). The Meaning of Meaning. 8th Ed. New York:
Harcourt, Brace & World, Inc. Peirce, C. S. (1931-1958). (1965). Collected Papers of Charles Sanders Peirce ed.
by C. Hartshorne, P. Weiss, & A. Burks, 8 vols. London: Belknap Press of Harvard University Press.
Rukayah Aman. (1999). Buah-buahan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rukayah Aman. (2001). Buah-buahan Nadir Semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Saussure, F. (1959). Course in General Linguistics. New York: Philosophical Library.
Sobur, A. (2006). Semiotika Komunikasi. Bandung: Remaja Rosdakarya.
Supardy Muradi. (1990). Kesusasteraan Daripada Perspektif Semiotik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
T.A. Ridwan. (1985). “Bahasa Melayu Riau: Suatu Tinjauan Sosiolinguistik” dlm. S. Budisantoso (peny.). Masyarakat Melayu Riau dan Kebudayaannya. Jakarta: Pemerintah Propinsi Daerah Tingkatan I Riau.
Tzvetan, T. (1982). French Literary Theory Today: A Reader (ed.). Cambridge: Cambridge University Press.
Tenas Effendy. (1989). Menjenguk Peribahasa Tradisional Melayu Riau. Riau: Pekan Baru.
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
135
Tenas Effendy. (pngr). (1989). Peribahasa Tradisional Melayu Riau. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Umar Junus. (1989). Fiksyen dan Sejarah: Suatu Dialog. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Van Zoest, A. (1990). Fiksi dan Non Fiksi dalam Kajian Semiotik. Manoekmi Sardjoe (Ptj.), Jakarta: Intermasa.
Wiryatmadja, S. (1981). Memahami Cerita Rekaan Secara Semiotika, Surakarta: Universitas sebelas Maret.
Zainal Abidin Bakar. (1983). Kumpulan Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jurnal
Dr Al-Saiyid Salman A. Saqa. “Air Liur Yang Membunuh” dlm. Manar al-Islam, Mac 1986.
Kamaruddin Abdul Rahman. “Novel Madu Dalam Saringan: Ditinjau Dari Aspek Semiotik” dlm. Mastika. Hlm. 52-53, Mei 1991.
Supardy Muradi. “Strukturlisme sebagai Disiplin Kritikan Sastera” dlm. Dewan Sastera. Hlm. 42-50, Jun 1984. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Supardy Muradi. “Semiotik dan Kajian Perlambangan” dlm. Dewan Sastera. Hlm. 35-39, Disember 1984. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Supardy Muradi. “Teori-teori Kesusasteraan Mutakhir” dlm. Dewan Sastera. Hlm. 127-147, Disember 1989. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Visscher, P, Vetter, R, Camazine, S. "Removing bee stings". dlm. Lancet 348 (9023) Hlm. 301–302. 1996.
Tesis dan Latihan Ilmiah
Abdul Hamid bin Adnan. (2006). Lagu-Lagu Gubahan P.Ramlee: Analisis Semiotik Melodi dan Lirik. Tesis Ph. D. Universiti Malaya.
Aishah Rohani Nahar. (1998). Perlambangan dalam Peribahasa Melayu Serawak. Tesis Sarjana. Universiti Malaya.
Azlizawaty Hashim. (2000). Penggunaan Bahasa dalam Bidang Insurans dari Sudut Retorik dan Semiotik. Latihan Ilmiah. Universiti Malaya.
Haryati Surana. (2006). Penggunaan Ikon Pelbagai Institusi Antara Dua Negara: Analisis Semiotik Paling Luas. Disertasi. Universiti Malaya.
Hazleeya Mad Ali. (2006) Iklan Majalah: Analisis Semiotik Paling Luas. Disertasi. Universiti Malaya.
Imran Ho Abdullah. (2011). Analisis Kognitif Semantik Peribahasa Melayu Bersumberkan Anjing. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Indirawati Zahid. (1995). Semantik Leksikal dalam Peribahasa Melayu. Tesis Sarjana. Universiti Malaya.
Kartina Haji Dollah. (1994). Imej Wanita Jalang di Layar Perak: Kajian Kes Perempuan, Isteri & ...? Arahan U-Wei Shaari: Satu Pendekatan Semiotik dan Psikoanalisis. Latihan Ilmiah. Universiti Malaya.
Nureeda Salaemae. (2007). Metafora Dalam Novel Penulis Wanita Melayu Dan Thai: Analisis Semiotik. Tesis Sarjana. Universiti Malaya.
Noriza Binti Daud. (2004). Semiotik Daripada Perspektif Islam: Konsepsi Lambang Pantun Warisan Rakyat. Tesis Sarjana. Universiti Malaya.
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
136
Siti Raihanni Binte Selamat. (2002). Perspektif Semiotik Lambang dalam Cerpen Shahnon Ahmad. Latihan Ilmiah. Universiti Malaya. Tuan Zainab Wi. (2008). Tanda Pemikiran dan Tanda Emosi Dalam Sangeetha:
Kajian Semiotik’. Tesis Sarjana. Universiti Malaya. Wong Sau Tian. (1994). Analisis Kandungan Rancangan di TV3: Kajian Semiotik
Tentang Imej Wanita dalam Nona dan Wajah-wajah. Latihan Ilmiah. Universiti Malaya.
Zaleha Hussain. (2000). Surah An-Nisa: Analisis dari Perspektif Semiotik Bahasa Melayu. Latihan Ilmah. Universiti Malaya.
Zurinah Hassan. (2001). Penggunaan Unsur Alam Sebagai Perlambangan dalam Puisi Melayu Moden, Tesis Sarjana, Universiti Putra Malaysia.
Kertas Projek
Abd. Razak Mohamed Yusof. (2000). Pantun: Satu Analisis Semiotik. Kertas Projek Sarjana Akademi Pengajian Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Hema Ashwini A/P Uthamaseelan. (2001). Kosa Kata Tamil dalam Bahasa Melayu: Suatu Analisis Semiotik. Kertas Projek Sarjana Akademi Pengajian Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Mohd. Hisham Bin Osman. (2001). Budi dan Adab dalam Mestika Bahasa: Satu Analisis. Kertas Projek Sarjana Akademi Pengajian Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Sanat Md Nasir. (2000). Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu. Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu, 28 Oktober 2000. Kuala Lumpur: Universiti Malaya, Akademi Pengajian Melayu.
Bahan Rujukan Elektronik
Encyclopedia of the Nations. Malaysia Agriculture, Information about Agriculture in Malaysia. (atas talian): http://www.nationsencyclopedia.com/economies/Asia-and-the-Pacific/Malaysia-AGRICULTURE.html Capaian (14 Mei 2014).
Geoweek’s Weblog. 2008. Kenapa Lalat Sulit Dipukul. (atas talian): http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:LNCj31dTy7YJ:https://geoweek.wordpress.com/page/10/+&cd=2&hl=en&ct=clnk&gl=my&client=firefox-a (6 April 2014)
Kraftangan Warisan Kita. Sejarah Labu Sayong. (atas talian): http://web.moe.gov.my/bpk/modul_pnp/ictic/labu/sejarah.html (23 April 2014). Laman Konsultan HBI Drhatta.com. Chili Juga Adalah Sumber Penawar. (atas talian): http://www.drhatta.com/2012/Okt12/Chili_homeo.html (12 Mac 2014).
Lirik Lagu Pak Pandir. (atas talian): http://www.liriklagumuzika.com/2008/09/lirik-yang-remeh-temeh-pak-pandir.html#ixzz341tE1bzz (8 Mei 2014).
Portal Rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia. (atas talian): http://www.myhealth.gov.my/index.php/gigi-kekal-lewat-tumbuh (22 April 2014).
Portal Rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia (atas talian): http://www.myhealth.gov.my/index.php/gigi-kekal-lewat-tumbuh (22 April 2014).
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
137
Selamat, Ahmad & Ismail, Mohd. Razi. 2009. Pertanika Journal of Tropical Agricultural Science. (atas talian): http://wf2dnvr12.webfeat.org/6cmxO114266/url=http://content.ebscohost.com/pdf23_24/pdf/2009/6EKC/01Aug09/47221157.pdf?T=P&P=AN&K=47221157&S=R&D=a9h&EbscoContent=dGJyMMvl7ESeqK440dvuOLCmr0ieqLBSrqe4TLWWxWXS&ContentCustomer=dGJyMOXp7Um549%2BB7LHjgfLt8QAA (14 Mei 2014).
The Guardian. “Killer” Curry Competition Hospitalises Two. (atas talian): http://www.theguardian.com/lifeandstyle/2011/oct/05/killer-curry-competition-hospitalises-two (13 April 2014).
Utusan Online. 2011. Rahsia Buluh Lemang Pak Ali. (atas talian): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_01.htm#ixzz32nAe1EPV (26 April 2014).
Utusan Online. 2005. (atas talian): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0104&pub=utusan_malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm&arc=hive (26 Mei 2014) Wikipedia. Peringkat Umur Padi. (atas talian): http://ms.wikipedia.org/wiki/Padi (2 April 2014).