Pendekatan Dakwah Melalui Pelaksanaan Undang-Undang
Transcript of Pendekatan Dakwah Melalui Pelaksanaan Undang-Undang
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
1
PENDEKATAN DAKWAH DALAM PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG: KAJIAN TERHADAP KESALAHAN BERKAITAN AKHLAK DI
SELANGOR
AZIZAH BINTI MAT RASHID, NOR 'ADHA BINTI ABDUL HAMID, NOOR SYAHIDA
ABD. RAHMAN, NORUL HUDA BINTI BAKAR [email protected], [email protected], [email protected]
ABSTRAK
Islam sangat menekankan pendidikan akhlak kerana ia menjamin pembentukan peribadi insan
yang cemerlang di dunia dan akhirat. Peribadi yang berasaskan akhlak yang mulia, seterusnya
melahirkan masyarakat yang aman dan bebas dari masalah sosial. Selaras dengan kepentingan
akhlak yang ditekankan dalam Islam, pendidikan akhlak turut diberi penekanan dalam sistem
pendidikan Negara. Persoalannya, mengapa masih terdapat pelbagai masalah sosial yang serius
seperti zina, khalwat, sumbang mahram, kelahiran anak tak sahtraf dan kes pembuangan bayi
yang berleluasa dalam masyarakat. Penulisan ini bukan bertujuan mengupas persoalan
keberkesanan sistem pendidikan tersebut, tetapi menjelaskan bagaimana pendekatan dakwah
boleh diterapkan dalam pelaksanaan undang-undang terhadap golongan yang terlibat dalam
kesalahan berkaitan akhlak. Pendekatan ini bertujuan menangani masalah kerosakan akhlak yang
sangat membimbangkan dalam masyarakat. Bagi mencapai obektif tersebut penulisan ini
memfokuskan kepada kesalahan berkaitan akhlak yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah
Selangor 1995. Metod pengumpulan data secara dokumentasi dan kaedah temubual telah
digunakan bagi mencapai objektif penulisan ini.
Kata Kunci: akhlak, masalah sosial, dakwah, undang-undang
PENGENALAN
Kajian ini dihasilkan bagi melihat bagaimana pelaksanaan undang-undang berfungsi sebagai
medium dakwah dalam membentuk akhlak dan sahsiah individu dalam masyarakat. Kajian
menumpukan kepada permasalahan akhlak kerana masalah sosial berkaitan akhlak seperti
berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai, perlakuan sumbang mahram, khalwat, persetubuhan
haram, pelacuran dan kelahiran anak tak sahtaraf berada pada tahap yang sangat
membimbangkan walaupun masyarakat di Malaysia telah diberi penekanan tentang pendidikan
akhlak. Bagi menangani masalah ini, penulis berpandangan bahawa pendekatan dakwah yang
berkesan mampu mendidik masyarakat ke arah pembentukan akhlak dan peribadi yang baik. Ini
kerana Islam menganjurkan pendekatan dakwah yang penuh dengan hikmah dan berhemah.
Kejayaan pendekatan dakwah ini telah dibuktikan oleh Rasulullah saw dalam pelbagai posisi dan
dimensi. Melihat kepada keberkesanan pendekatan dakwah ini, maka penulisan ini
membentangkan bagaimana pendekatan ini juga dapat diaplikasikan dalam pelaksanaan
Enakmen Jenayah Syariah1995 khususnya berkaitan kesalahan tatasusila.
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
2
Di Malaysia, mahkamah syariah di setiap negeri mempunyai kuasa terhadap pelaksanaan
undang-undang Jenayah Syariah melalui Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan
Persekutuan. Bidangkuasa mahkamah syariah dalam menjatuhkan hukuman bagi kesalahan
jenayah syariah adalah tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)
(Pindaan) 19841 yang telah memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau
denda tidak melebihi RM5000 atau sebat tidak melebihi enam sebatan atau kombinasi dua atau
ketiga-tiga hukuman tersebut. Persoalannya, adakah hukuman yang diperuntukan tersebut
memadai dan berkesan untuk memberi pengajaran kepada pesalah atau berupaya mencegah
masyarakat daripada terlibat dengan kesalahan-keslahan jenayah syariah? Jasri Jamal dan Siti
Nor Farahiyah Zakariah (2007) dalam memetik pandangan Y.A.A Datuk Haji Aidi bin Haji
Mokhtar dan Y.A Tuan Abd Walid bin Hj Abu Hassan berpandangan penambahan hukuman
amat perlu dan berharap dalam masa yang sama penambahbaikan dan mutu penghakiman akan
berubah menjadi lebih baik. Walau bagaimanapun, hasil temubual penulis bersama hakim
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dan Ketua Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan di
Jabatan Agama Islam Selangor, penulis merumuskan bahawa keberkesanan sesuatu hukuman itu
perlu dinilai pada kualitinya dan bukan pada kuantitinya. Ini bermaksud ia perlu dinilai kepada
sejauh mana hukuman tersebut mampu memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri dan
sejauh mana ia berupaya mencegah perlakuan jenayah.
Penguatkuasaan undang-undang Jenayah Syariah akan melalui beberapa peringkat pelaksanaan.
Ia bermula dengan adanya aduan oleh mana-mana pihak terhadap perlakuan yang menyalahi
mana-mana peruntukan enakmen jenayah syariah. Meskipun penguatkuasaan enakmen ini
tertakluk kepada prosedur tertentu dan dilihat menggunakan pendekatan yang lebih tegas, namun
metod pelaksanaannya berasaskan kepada prinsip keadilan yang berhemah selari dengan
pendekatan dakwah yang diajar oleh Islam.
METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang dilakukan dengan mengumpul data dan maklumat
secara dokumentasi. Rujukan terhadap penulisan-penulisan ilmiah seperti jurnal, makalah, buku-
buku, laporan akhbar serta dokumen-dokumen dari jabatan tertentu telah dilakukan bagi
mendapatkan data dan maklumat yang diperlukan. Metod temubual turut dilakukan bagi
mengesahkan maklumat-maklumat sekunder yang telah diperolehi. Kesemua rujukan yang
dirujuk adalah berautoriti walaupun terdapat banyak rujukan yang bersifat sekunder. Bahan
berkenaan dianalisis secara historis, induktif dan deduktif.
KESALAHAN JENAYAH SYARIAH BERKAITAN AKHLAK
Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan tatasusila sebagai adat sopan santun dan budi
pekerti yang baik manakala akhlak didefinisikan sebagai budi pekerti, kelakuan atau tabiat.
Persamaan antara kedua-dua istilah ini mempunyai pengertian yang sama di mana kedua-duanya
merujuk kepada budi pekerti. Berdasarkan kepada kedua-dua definisi ini, penulis merumuskan
bahawa kesalahan berhubungan tatasusila dilihat amat bersesuaian untuk diteliti dalam
membincangkan permasalahan berkaitan akhlak. Sebagai contoh, dalam Enakmen Kesalahan
Syariah Selangor 1995, tedapat beberapa kesalahan berhubungan tatasusila seperti khalwat,
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
3
persediaan melakukan persetubuhan haram, persetubuhan luar nikah, sumbang mahram,
muncikari dan sebagainya. Kesalahan berkaitan akhlak ini juga seringkali dirujuk sebagai
kesalahan berkaitan moral. Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan moral sebagai ajaran
atau pegangan tentang buruk baik sesuatu perbuatan, sikap atau cara berkelakuan yang
berasaskan atau diukur dari segi baik buruk sesuatu akhlak. Jelas, ketiga-ketiga istilah ini saling
berkait dan merujuk kepada pengertian yang sama.
Menurut Nasimah Hussin et al. (2007) dalam satu ulasannya tentang kesalahan berkaitan dengan
kesusilaan dan moral dalam undang-undang kesalahan jenayah syariah di Malaysia, akhlak
merupakan satu komponen asas agama Islam. Maka tidak hairanlah mengapa undang-undang
Islam amat menitikberatkan persoalan akhlak dan memastikan supaya setiap muslim berkelakuan
baik sebagaimana yang disarankan oleh al-Quran dan hadith. Sebagai contoh, dalam sebuah
hadith, rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya aku diutuskan untuk
menyempurnakan akhlak”.
Artikel ini menilai bagaimana pendekatan dakwah diaplikasikan dalam menguatkuasakan
peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan akhlak. Masyarakat pada hari ini terpaksa
berhadapan dengan pelbagai masalah kerosakan akhlak seperti khalwat, sumbang mahram, zina,
kelahiran anak tak sahtaraf dan pembuangan bayi. Analisis terhadap peruntukan enakmen
jenayah syariah mendapati bahawa perlakuan tersebut merupakan kesalahan jenayah syariah
yang boleh dikenakan tindakan undang-undang jika disabitkan bersalah. Maka jika seseorang
melakukan mana-mana perlakuan yang menjadi kesalahan di bawah peruntukan enakmen
kesalahan jenayah syariah, di mana tatacara pelaksanan atau prosedur penguatkuasaannya adalah
tertakluk kepada Prosedur Tatacara Jenayah Syariah.
PENDEKATAN DAKWAH DALAM PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG
BERKAITAN KESALAHAN TATASUSILA
Siti Zubaidah (2008) dalam penjelasannya tentang maksud penguatkuasaan jenayah syariah telah
merujuk kepada melaksanakan peraturan yang diperuntukkan di bawah mana-mana undang-
undang Islam yang sedang berkuatkuasa seperti peruntukan yang terdapat di bawah enakmen
kesalahan jenayah syariah negeri-negeri. Penjelasan ini memberi satu kefahaman bahawa
penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang adalah merujuk kepada proses yang sama.
Tatacara penguatkuasaan yang tertakluk kepada prosedur tertentu ini memberi persepsi bahawa
pendekatan undang-undang yang digunakan bersifat tegas tanpa mempunyai ruang untuk
menggunakan budibicara. Walaubagaimanapun, penelitian terhadap pendekatan pelaksanaan
undang-undnag tersebut mengubah persepsi awal terhadap ketegasan pendekatan yang
digunakan dalam menguatkuasa undang-undang. Penekanan terhadap prinsip-prinsip keadilan
dan ketelitian pertimbangan dalam proses penguatkuasaan undang-undang hakikatnya
memperlihatkan bahawa proses penguatkuasan undang-undang tidak pernah mengetepikan
pendekatan dakwah yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Siti Zubaidah (2008) dalam kajiannya mendedahkan bahawa pihak berkuasa berhadapan dengan
pelbagai kerenah dan cabaran yang tersendiri. Bagi kesalahan berkaitan moral atau tatasusila
misalnya, terdapat langkah-langkah menangani suspek di tempat kejadian yang kadang- kadang
dilihat sebagai tidak sesuai sehingga tidak menyenangkan mereka yang terlibat. Terdapat
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
4
segelintir masyarakat yang menuduh pihak penguatkuasa agama mencampuri urusan peribadi
dan kebebasan mereka apabila menangkap dan menyiasat golongan yang disyaki terlibat dengan
kesalahan moral. Maka, dengan pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi dalam melaksanakan
tugas ini, pihak yang terlibat perlu memahami tujuan dan matlamat pelaksanaan tugas tersebut
yang mana antara objektif utamanya adalah menjalankan amanah Allah supaya menyeru ke arah
kebaikan dan mencegah kemungkaran. Artikel ini menjelaskan bagaimana pelaksanaan atau
proses penguatkuasaan undang-undang berkaitan kesalahan akhlak itu perlu dilihat sebagai satu
tindakan yang menerapkan pendekatan dakwah dalam mencegah kemungkaran.
1. Pendekatan Dakwah dalam Penguatkuasaan
Siti Rahmaniah Bachok (2010) menerangkan maksud penguatkuasaan sebagai suatu tindakan
yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa agama (PPA) yang berbidang kuasa ke atas
seseorang yang melakukan kesalahan di bawah undang-undang jenayah syariah yang
berkuatkuasa di sesebuah negeri. Proses penguatkuasaan bermula selepas menerima sesuatu
maklumat atau aduan berkaitan suatu kesalahan yang berlaku. Ia meliputi siasatan sebelum
melakukan tagkapan, siasatan semasa melakukan tangkapan dan siasatan selepas berlakunya
sesuatu tangkapan sehingga kes dipanjangkan ke Bahagian Pendakwaan.
Konsep melakukan siasatan sebaik-baik sahaja menerima aduan tentang sesuatu perlakuan
jenayah juga bertepatan dengan firman Allah s.w.t. dalam Al-Hujrat, ayat 659 yang bermaksud
“Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu seorang fasiq dengan
perkhabaran berita, maka selidikilah untuk menentukan kebenarannya kerana ditakuti kamu akan
bertindak buruk terhadap sesuatu kaum dengan kejahilan maka kamu menyesali atas apa yang
kamu telah lakukan. Dalam ayat ini, Allah s.w.t. telah memerintahkan orang-orang yang
beriman agar menyelidik dan menyiasat kebenaran tentang sesuatu berita yang dibawa oleh
seorang fasiq sebelum mengambil tindakan kerana dibimbangi jika tidak diselidiki dan berita
yang dibawa itu pula terbukti tidak benar, maka mungkin ada tindakan-tindakan yang terburu-
buru telah diambil yang kelak membawa kepada ketidakadilan serta kezaliman ke atas mana-
mana pihak. Penyiasatan dan penyelidikan ini membuktikan Islam menekankan keadilan dan
menutup ruang penindasan atau kezaliman sekalipun terhadap orang yang dituduh melakukan
sesuatu kesalahan.
Proses penguatkuasaan undang-undang ini tidak dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia
tertakluk kepada prosedur dan peraturan tertentu. Ini penting bagi mengelakkan penyalahgunaan
kuasa oleh pihak-pihak tertentu atau ketidakaturan dalam menjalankan tugas yang mungkin
boleh memprejudiskan mana-mana pihak. Abdul Monir Yaakob (2013) dalam penulisannya
menyatakan bahawa prosedur yang digunakan oleh mahkamah syariah di seluruh Negara pada
hari ini adalah berdasarkan kepada Kanun Prosedur Jenayah Syariah yang diadaptasi daripada
Kanun Prosedur Jenayah yang dipakai oleh Mahkamah Awam Malaysia.
Sebagai usaha meningkatkan tahap profesionalisme dari aspek penguatkuasaan dan pendakwaan
jenayah syariah, satu Standard Operating Procedure (SOP) telah diwujudkan agar pelaksanaan
proses penguatkuasaan dilakukan dengan betul dan tidak menyalahi peraturan. Siti Zubaidah
(2008) dalam tinjauannya mendapati Melaka dan Negeri Selangor merupakan antara negeri yang
terlebih dahulu mempunyai dasar atau arahan tetap pengurusan penguatkuasaan. Di Selangor,
Arahan Tetap Pengarah JAIS 2002 (Pindaan 2004) yang khusus berkenaan dengan kaedah
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
5
menangani maklumat dan aduan daripada orang awam telah wujud di mana terdapt 67
peruntukan di bawah Arahan Tetap terbabit yang wajar diikuti oleh semua PPA dalam
menjalankan tugas mereka.
Menyentuh isu berkaitan perlakuan tidak sopan, apakah sebenarnya yang boleh difahami dengan
maksud perlakuan tersebut? Sesetengah pihak tidak memahami maksud kesalahan tersebut dan
ada sesetengahnya pula tidak memandang serius tentang perlakuan tidak sopan. Ini mungkin
disebabkan istilah perlakuan sopan yang diperuntukkan dalam enakmen kesalahan jenayah itu
sendiri bersifat terlalu umum. Arahan Amalan No. 8 Tahun 2005 mentakrifkan perlakuan tidak
sopan sebagai apa-apa perbuatan yang dilakukan oleh mana-mana orang di mana-mana tempat
awam termasuk bercumbu-cumbuan, berpeluk-pelukan, pertuturan atau isyarat lucah atau
berpakaian yang mengghairahkan, atau lain-lain perbuatan yang tidak sopan yang bertentangan
dengan Hukum Syarak. Tafsiran ini jelas menunjukkan bahawa perlakuan tidak sopan adalah
kesalahan serius yang tidak harus dipandang enteng oleh mana-mana pihak. Menurut Shahzehan,
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan yang terlibat secara langsung
dengan penghasilan Arahan Tetap S.S JAIS 2015 bilangan 3 bagi melaksanakan tindakan
pencegahan perlakuan tidak sopan di khalayak ramai di bawah seksyen 31, perlakuan tidak sopan
merangkumi beberapa perbuatan yang telah diperincikan dan perbuatan-perbuatan tersebut perlu
ditangani dengan cara yang berbeza.
Tindakan pertama yang perlu dilakukan bagi mencegah perlakuan tidak sopan ialah memberi
nasihat dan arah beredar. Jika penguatkuasa mendapati terdapat mana-mana pasangan lelaki dan
perempuan bukan mahram dalam keadaan berjalan sambil berpegangan tangan, duduk rapat
bergurau senda, duduk tangan di atas bahu, duduk rapat berpegangan tangan, suap-menyuap atau
berjalan tangan di bahu, mereka tidak boleh dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan melakukan
perlakuan tidak sopan, tetapi perlu ditangani dengan cara memberi nasihat dan diarahkan
beredar.
Jika didapati mana-mana lelaki atau perempuan bukan mahram yang terlibat dalam mana-mana
perbuatan seperti duduk merangkul pasangan, berdepan atau membelakang di celah kangkang
pasangan, berjalan merangkul pasangan, menyandar kepala di bahu atau dada pasangan dan
mengusap atau menyelat rambut pasangan, mereka akan diarahkan untuk menghadiri kursus
yang dijalankan oleh JAIS. Arahan ini turut menggariskan supaya pegawai penguatkuasa yang
menerima kahadiran pelaku-pelaku yang dikeluarkan surat arah hadir kursus ini dilayan dengan
baik dan bersopan santun. Panduan ini menunjukkan betapa pentingnya adab dan kesopanan
yang membentuk akhlak seseorang ditonjolkan sekalipun dalam menangani masalah akhlak yang
dilakukan oleh pesalahlaku akhlak itu sendiri. Pendekatan ini merupakan satu metod dakwah
yang baik dan perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan kerana ia dilihat mampu
melembutkan dan menjinakkan jiwa menyimpang dari landasan syariat Islam.
Seterusnya, bagi mana-mana pasangan bukan mahram yang terlibat dengan perlakuan yang lebih
serius seperti baring di atas riba atau di celah kangkang pasangan, meraba atau saling membuat
rabaan, mengucup, berkucupan, mencium atau bercium, berpeluk secara berdepan atau
memasukkan tangan ke dalam pakaian pasangan boleh dikenakan tindakan mahkamah. Mereka
akan dibawa ke mahkamah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang yang
berkuatkuasa.
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
6
Penulis tertarik dengan pendekatan yang digunakan oleh pihak penguatkuasa semasa
menjalankan penguatkuasaan. Shahzehan menjelaskan proses penguatkuasaan dijalankan
berdasarkan prinsip amar makruf nahi mungkar. Pendekatan dakwah yang digunakan bagi
mencegah kemungkaran telah diterapkan kepada pegawai-pegawai penguatkuasa JAIS. Maka,
niat yang perlu ada pada setiap penguatkuasa seharusnya adalah untuk menjalankan perintah
yang diamanahkan oleh Allah untuk mengajak manusia ke arah melakukan kebaikan dan
mencegah kemungkaran. Keberhasilan sesuatu tugas dan amanah tersebut tidak perlu dinilai
dengan kuantiti, tetapi perlu diukur dengan kualiti. Penulis berpandangan sekiranya setiap
penguatkuasa menyedari tanggungjawab sebenar mereka dalam menjalankan amanah ini, maka
nasihat dan teguran yang diberikan kepada orang yang terlibat dengan kesalahan akhlak ini
mungkin dapat dilakukan dengan penuh berhemah. Teguran yang berhemah mampu memberi
impak yang lebih berkesan kepada mereka yang melakukan kesalahan berbanding berkasar
dalam membuat teguran yang hanya mungkin mengundang dendam. Walau bagaimanapun,
penulis berpandangan satu kajian yang lebih khusus perlu dilakukan bagi menilai sejauh mana
pendekatan yang diamalkan ini berkesan menangani masalah berkaitan perlakuan kurang sopan
ini.
Menurut beliau lagi, sekiranya siasatan gagal mengumpul bukti-bukti yang kukuh untuk
diteruskan dengan pendakwaan, orang yang disyaki melakukan kesalahan akan diperintahkan
menghadiri kursus amar makruh nahi munkar yang dikendalikan oleh JAIS. Ia bertujuan
memberi bimbingan, kesedaran dan keinsafan kepada mereka agar tidak mensia-siakan diri
dengan melakukan perbuatan maksiat yang boleh kengundang kemurkaan Allah. Langkah JAIS
dalam mengadakan kursus seumpama ini jelas menunjukkan bahawa mereka bukan hanya
menggalas tugas sebagai penguatkuasa undang-undang, malah merupakan seorang pendakwah.
Pendekatan dakwah yang dilakukan ini juga harus disambut baik dan dilihat sebagai satu usaha
murni yang boleh mengubah persepsi umum terhadap penguatkuasaan undang-undang yang
bersifat tegas.
Justeru, penulis bersetuju dengan Siti Zubaidah (2008) dalam kajiannya yang merumuskan
bahawa sepanjang melakukan siasatan, PPA hendaklah menahan mulut dari mengeluarkan kata-
kata yang tidak sedap didengar baik dalam bentuk sindiran mahupun gurauan. Nasihat ini
sebenarnya amat bertepatan dengan konsep ʻ amar makruf nahi mungkar’ yang merupakan
tunjang operasi hisbah dalam pentadbiran Islam.
2. Memastikan Kekukuhan Bukti dalam Pendakwaan
Ahmad ‘Azam Mohd Shariff (2011) dalam memetik penjelasan Tuan Ibrahim bin Deris, Ketua
Pendakwa Syarie, Bahagian Pendakwaan, JAWI setelah sesuatu siasatan oleh pegawai
penguatkuasa agama itu selesai serta berjaya mengumpul keterangan yang cukup kukuh untuk
mengaitkan tertuduh dengan pertuduhan, kertas siasatan hendaklah dimajukan kepada pendakwa
syarie negeri. Ketua pendakwa syarie seterusnya akan meneliti kertas siasatan dari semua sudut
sebelum memutuskan samada sesuatu pertuduhan dan pendakwaan akan dibuat ataupun
sebaliknya. Sekiranya pendakwa syarie masih belum berpuashati dengan keterangan yang
dikemukakan, beliau boleh mengarahkan pegawai penguatkuasa agama untuk meneruskan
siasatan bagi mengumpul lagi keterangan-keterangan lain dalam usaha memperkukuhkan lagi
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
7
keterangan yang sedia ada. Tetapi sekiranya ketua pendakwa syarie berpuashati dengan kertas
siasatan serta kekukuhan keterangan yang dikumpulkan dalam siasatan, maka Ketua pendakwa
syarie akan memulakan tugas-tugas melakukan pendakwaan ke atas tertuduh. Berdasarkan
penjelasan ini, sikap berhati-hati dan kesungguhan dalam memastikan kekukuhan keterangan di
peringkat siasatan membuktikan bahawa dalam perundang Islam, keadilan bukan hanya boleh
dinilai pada peringkat penghakiman, malah usaha memastikan keadilan yang dicapai itu boleh
dinilai sejak dari peringkat awal di mana hak seorang yang disyaki dipastikan terpelihara
walaupun masih dalam peringkat siastan. Keindahan perundangan Islam yang ditonjolkan pada
peringkat ini boleh melembutkan hati mereka yang melakukan kesalahan untuk menginsafi
kesalahan diri. Ini kerana Islam masih memelihara adab dan prinsip keadilan walaupun dalam
urusan membuktikan pendakwaan terhadap orang yang bersalah.
Prinsip syariah berkaitan prosedur pendakwaan dilihat selari dengan firman Allah S.W.T dalam
surah Al Nisa’ ayat 581 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan
amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara
manusia, hendaklah kamu berhukum dengan adil”. Dalam ayat 42 surah Al-Maidah pula Allah
S.W.T telah berfirman yang bermaksud: Dan jika kamu menghukum (perkara mereka) maka
hukumlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang yang
adil. Kedua-dua ayat ini secara jelas menuntut supaya keadilan ditegakkan dan dilaksanakan
dalam sesuatu penghukuman. Perlu difahami bahawa keseluruhan prosedur pendakwaan yang
dilakukan ke atas tertuduh adalah untuk mencapai keadilan bagi pihak pendakwa dan pihak
peguambela tertuduh.
Sebagaimana Siti Zubaidah (2008), Ahmad ‘Azam Mohd Shariff (2011) dalam kajiannya juga
mendapati Melaka dan Selangor sebagai pelopor mengadakan arahan tetap penguatkuasaan
sebelum penyelarasan dibuat. Walaubagaimanapun dalam konteks pendakwaan pula, didapati
Sabah adalah negeri yang mula-mula sekali mempunyai Arahan Ketua Pendakwa Syarie iaitu
sejak tahun 2000 lagi. Arahan yang diletakkan dalam buku kecil ini disediakan oleh Bahagian
Pendakwaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah. Namun kini, Bahagian
Penyelarasan Penguatkuasaan di bawah JAKIM juga telah mengeluarkan Arahan Ketua
Pendakwa Syarie dan ia telah pun diterima untuk digunapakai di negeri- negeri. Antaranya
Sarawak telah menamakannya Arahan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sarawak dan telah
dikeluarkan pada awal 2008. Negeri-negeri lain juga juga difahamkan telah menerima pakai
garis panduan ini yang merangkumi carta alir kerja dan tindakan yang dihuraikan untuk
kegunaan Ketua Pendakwa Syarie dan Pendakwa Syarie. Ia merangkumi peraturan bermula dari
penyediaan buku daftar semenjak penerimaan Kertas Siasatan dari Bahagian Penguatkuasaan dan
diikuti dengan kaedah menyemak Kertas Siasatan, penyediaan draf pertuduhan jenayah dan
segala tatacara berkaitan prosiding pendakwaan dan ketika perbicaraan.
Dalam konteks prinsip pendakwaan, ketika membuat keputusan untuk mendakwa, Arahan Ketua
Pendakwa Syarie menetapkan bahawa Pendakwa Syarie hendaklah mengambilkira perkara-
perkara berikut:
1. Prima facie, maksudnya kecukupan keterangan yang diterangkan sebagaimana di bawah:
a) Keterangan telah ditapis
b) Keterangan telah melalui proses penilaian
c) Keterangan mencukupi untuk mensabitkan kes
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
8
d) Saksi-saksi yang kompeten berkredibiliti dapat dibawa ke mahkamah.
2. Kepentingan awam, yang merangkumi:
a) Keseriusan kes tersebut
b) Terdapat faktor keringanan dan pemberatan
c) Usia muda, kecerdikan, tiada cacat akal, sihat fizikal kepada tertuduh, atau saksi tertuduh.
d) Latarbelakang dan riwayat hidup tertuduh
e) Tahap keterlibatan tertuduh
f) Kesan kesalahan terhadap agama, ketenteraman awam dan moral atau akhlak masyarakat serta
imej pihak berkuasa agama.
3. Kebolehterimaan pengakuan dan keterangan lain:
a) Terdapat keterangan pada diri tertuduh sendiri
b) Terdapat dokumen-dokumen yang menyokong dan
c) Tidak terdapat unsur-unsur paksaan.
Beberapa prinsip boleh difahami dari pegangan di atas, iaitu kepentingan awam adalah faktor
utama sesuatu kes didakwa. Justeru tidak semua kes berakhir dengan pendakwaan. Prinsip asas
yang mesti dipegang oleh Pendakwa ialah seorang suspek patut didakwa hanya sekiranya bukti
mencukupi untuk didakwa. Prinsip yang dipegang dalam pendakwaan ini turut diperakui oleh
Shahzehan yang turut berpengalaman dalam perkhidmatannya selama lebih kurang 20 tahun.
Beliau turut memaklumkan bahawa antara punca kegagalan pendakwaan terhadap sesuatu
kesalahan adalah kekurangan bukti.
Keberkesanan Hukuman bagi Mencegah Kemungkaran
Menurut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Apabila tertuduh dibawa ke
Mahkamah, pertuduhan akan dibacakan serta diterangkan kepada tertuduh mengikut bahasa yang
difahaminya. Kemudian mahkamah perlu merekodkan pengakuan tertuduh iaitu sama ada
mengaku salah atau minta dibicarakan. Sekiranya tertuduh memilih untuk mengaku salah
mahkamah hendaklah memastikan tertuduh memahami implikasi pengakuannya. Pihak
Pendakwa selepas itu hendaklah mengemukakan fakta kes mengenai pertuduhan yang dikenakan
terhadap tertuduh. Sekiranya tertuduh mengakui fakta tersebut, maka barang-barang bukti yang
lain seperti laporan polis, laporan bertulis kepada pegawai penguatkuasa, laporan perubatan,
laporan kimia dan lain-lain akan dikemukakan sebagai barang bukti di mahkamah. Setelah
mahkamah berpuashati wujudnya cukup keterangan untuk mensabitkan tertuduh, maka
mahkamah hendaklah mensabitkan tertuduh dengan kesalahan yang dilakukannya. Pada
peringkat ini, tertuduh diberi peluang untuk membuat rayuan bagi meringankan hukuman. Dalam
pada itu, Pihak Pendakwa diberi peluang membuat hujahan balas terhadap rayuan mitigasi yang
dikemukakan olej tertuduh dengan mengemukakan alasan-alasan yang kukuh. Setelah
mempertimbangkan segala hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, maka mahkamah
akan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.
Bagi kes yang melibatkan pengakuan tidak salah, tertuduh biasanya akan memohon untuk
dibicarakan. Pendakwa Syarie akan mengemukakan keterangan bagi membuktikan dakwaannya.
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
9
Pada peringkat ini, keterangan saksi pendakwa syarie penting bagi menentukan wujudnya prima
facie atau sebaliknya. Mahkamah akan menentukan sama ada wujud prima facie atau tidak
setelah mendengar hujah Tertuduh dan pendakwa syarie. Sekiranya tidak wujud prima facie,
Tertuduh akan dibebaskan dan sekiranya wujud prima facie, tertuduh akan dipanggil untuk
membela diri. Pada ketika ini terduduh mempunyai pilihan untuk memilih memberi keteragan
secara bersumpah yang mana implikasinya beliau boleh disoal balas oleh pendakwa syarie dan
diperiksa semula oleh peguamnya, atau memberi keterangan tidak bersumpah yang mana beliau
tidak boleh disoal balas dan disoal semula oleh peguamnya atau berdiam diri tanpa memberi
keterangan yang mana mahkamah akan merekodkan keterangan daripada saksi-saksinya sahaja.
Mahkamah akan membuat keputusan bagi menentukan sama ada tertuduh disabitkan bersalah
atau tidak selepas menengar hujah kedua-dua pihak. Maka hukuman akan dijatuhkan mengikut
skop hukuman yang ditetapkan jika tertuduh disabitkan bersalah dan dibebaskan sekiranya
didapati tidak bersalah.
Ahmad ‘Azam Mohd Shariff (2011) berpandangan dalam hal ini seorang hakim mahkamah
syariah seharusnya bersikap objektif dan terbuka dengan menilai setiap hujah serta keterangan
yang dikemukakan. Beliau seharusnya tidak memihak kepada mana-mana pihak demi mencapai
keadilan. Sebaliknya harus menumpukan perhatian kepada keterangan-keterangan yang
dikemukakan oleh kedua belah pihak sehingga membantu beliau mencapai satu penghakiman
yang adil. Inilah keadilan yang menjadi matlamat sebenar sesuatu prosedur pendakwaan jenayah
syariah.
Zaini Nasoha (2008) dalam memetik pandangan Abd qadir Audah, menekankan prinsip-prinsip
hukuman berikut bagi memastikan keberkesanan dalam hukuman:
1. Hukuman hendaklah menjadi pencegah perlakuan jenayah dan menjadi pengalaman
yang memeritkan selepas penjenayah mengalaminya serta menjadi peringatan kepada
orang lain supaya takut untuk melakukan kesalahan tersebut.
2. Batasan hukuman adalah berdasarkan keperluan masyarakat.
3. Sekiranya keperluan masyarakat terhadap kesan daripada sesuatu perbuatan jenayah
itu sampai ke tahap perlu menghapuskan penjenayah atau menjauhkannya, maka
hukuman yang sesuai dan perlu adalah hukuman mati atau penjara seumur hidup.
4. Setiap hukuman yang diperuntukan oleh syarak adalah untuk kebaikan individu dan
melindungi masyarakat.
5. Pelaksanaan sesuatu hukuman bukan bertujuan membalas dendam
Prinsip-prinsip ini perlu diteliti bagi melihat sama ada hukuman sedia ada memenuhi prinsip
tersebut. Hukuman yang tidak mematuhi prinsip-prinsip tersebut mungkin menyebabkan
hukuman yang dijatuhkan akan menjadi sia-sia. Akhirnya, sesuatu kesalahan jenayah tidak akan
berjaya ditangani.
Peruntukan bidang kuasa yang diberikan kepada mahkamah syariah untuk menghukum orang
Islam yang melakukan kesalahan jenayah pada hari ini ialah penjara tidak melebihi tiga tahun
atau denda tidak melebihi RM5000 atau hukuman sebat tidak melebihi enam sebatan atau
kombinasi mana-mana jenis hukuman tersebut. Berdasarkan peruntukan “3-5-6” tersebut,
didapati bahawa peruntukan ini mempunyai skop yang kecil. Malahan, secara realitinya hakim
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
10
syarie lebih cenderung mengenakan hukuman denda berbanding hukuman penjara atau sebatan.
Dalam temubual bersama Yang Arif Tn. Hj Salehan, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shah
Alam pada 6 Ogos 2015, beliau menjelaskan bahawa seorang hakim perlu membuat
pertimbangan dengan mengambilkira semua aspek sebelum menjatuhkan sesuatu hukuman bagi
sesuatu kesalahan agar hukuman tersebut mencapai objektif penghukuman dan bukan
menambahkan kemudharatan ke atas pesalah. Sebagai contoh dalam menjatuhkan hukuman
pemenjaraan ke atas seseorang pesalah jenayah syariah, perlu dilihat implikasinya jika pesalah
tersebut ditempatkan bersama pesalah-pesalah jenayah sivil yang lebih serius. Ini kerana
dibimbangi pesalah-pesalah syariah syariah ini akan dipengaruhi melakukan perbuatan-
perbuatan lain yang lebih serius. Langkah berhati-hati bagi mengelakkan kemudharatan yang
lebih buruk ini merupakan satu tindakan yang berasas, namum ia tidak harus dijadikan alas an
yang berterusan bagi mengelakkan hukuman penjaraan yang mungkin lebih memberi kesan
dalam penghukuman.
Ainul Bashirah Bt Ismail et al. (2012) dalam kajiannya mendapati peningkatan kes-kes khalwat
dan perlakuan tidak sopan secara tidak langsung menunjukkan bahawa hukuman yang sedia ada
seolah-olah kurang memberi pengajaran kepada masyarakat agar menghindari perbuatan
tersebut. Hal ini telah menyebabkan matlamat penghukuman untuk memulihkan dan mencegah
pesalah sukar untuk dicapai. Penulis berpandangan sesuatu hukuman yang mampu mencegah
perlakuan jenayah ini sangat penting untuk dilaksanakan agar ia bukan sekadar menjadi
pengajaran kepada pesalah, malah boleh menghalang orang lain daripada melakukannya.
Sekiranya hukuman denda dan pemenjaraan dilihat sebagai kurang bersesuaian untk
dilaksanakan, maka pihak mahkamah perlu mempertimbangan pelaksanaan hukuman alternatif
lain seperti perintah khidmat masyarakat. Menurut kajian Arifah Rahimah Ismail dan Mohd. Al
Adib Samuri (2014), di Malaysia, hukuman perintah khidmat masyarakat sememangnya telah
dilaksanakan oleh badan perundangan di mahkamah sivil terhadap pesalah muda yang terlibat
dalam kesalahan jenayah. Walaubagaimanapun, dalam sistem perundangan syariah, peruntukan
berkaitan perintah khidmat masyarakat ini masih dalam peringkat cadangan untuk
diimplementasikan sebagai hukuman tambahan di mahkamah syariah Malaysia atas beberapa
faktor termasuk kegagalan matlamat asas penghukuman serta kelemahan peruntukan sedia ada.
Bagi kesalahan yang berhubungan tatasusila, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 melalui
seksyen 54 memperuntukkan mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan
pesalah perempuan yang terlibat dengan kesalahan tatasusila menjalani tempoh pemulihan di
rumah-rumah perlindungan yang diiktiraf untuk satu tempoh yang tidak melebihi enam bulan.
Peruntukan ini seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pihak mahkamah dalam
menjatuhkan hukuman kerana kebanyakan rumah-rumah perlindungan mempunyai modul-modul
tersendiri yang mampu memperkasa pembentukan peribadi dan rohani. Ruang dan peluang yang
wujud melalui perintah mahkamah supaya dihantar ke rumah perlindungan yang diiktiraf ini
merupakan permulaan untuk menyediakan pesalah kepada platform dakwah melalui pelaksanaan
undang-undang. Maka penulis merumuskan bahawa dakwah masih boleh dilaksanakan selari
dengan pelaksanaan undang-undang dan integrasi kedua-dua pendekatan ini mampu memberi
impak yang lebih maksima.
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
11
PENUTUP
Akhlak merupakan elemen penting yang menjadi asas dalam agam Islam. Ia tidak dapat
dipisahkan daripada aqidah dan syariah kerana ia saling melengkapi antara satu sam lain.
Terdapat pelbagai kategori perlakuan yang bertentangan dengan akhlak Islami yang berlaku
dalam masyarakat. Enakmen Jenayah Syariah mempunyai peruntukan khas berkaitan kesalahan
yang berkaitan dengan akhlak. Tatacara pelaksanaan undang-undang terhadap kesalahan tersebut
adalah tertakluk kepada Enakmen Tatacara Prosedur Jenayah Syariah. Satu siasatan akan
dimulakan apabila adanya aduan salahlaku terhadap seseorang dilakukan. Bagi kes-kes yang
diteruskan dengan siasatan, didapati konsep penyiasatan tersebut adalah berdasarkan kepada
prinsip menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran atau amar ma'ruf nahi mungkar. Ini
selaras dengan firman Allah S.W.T dalam Ali-Imran, ayat 104 yang bermasud “Dan hendaklah
ada di kalangan kamu satu umat yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh berbuat yang
baik dan melarang daripada berbuat yang mungkar dan mereka itu adalah terdiri daripada orang-
orang yang Berjaya”. Pengaduan kepada pihak berkuasa tentang berlakunya sesuatu jenayah
yang menjadi asas permulaan kepada sesuatu siasatan juga sebenarnya boleh dianggap sebagai
satu cara mencegah kemungkaran dengan menggunakan lidah atau perkataan, selari dengan
sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud “ barang siapa di kalangan kamu yang melihat
kemungkaran maka cegahlah ia dengan tangannya, barang siapa yang tidak mampu, maka
dengan lidahnya, barang siapa yang tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah
selemah-lemah iman”. Dalam penguatkuasaaan undang-undang, masih terdapat ruang-ruang
dakwah dan toleransi di mana bagi sesetengah kesalahan seperti berkelakuan kurang sopan di
khalayak ramai, pihak penguatkuasa menggunakan pendekatan dakwah terlebih dahulu dengan
memberi nasihat atau diarahkan beredar tanpa terus mengambil tindakan yang lebih tegas. Bagi
mereka yang terlibat dalam kesalahan yang berkaitan, ruang dan peluang ini harus digunakan
sebaik mungkin sebagai peringatan dan terus bertaubat untuk tidak mengulangi kesalahan
tersebut. Walaupun pelaksanaan undang-undang dilihat sebagai satu pendekatan yang tegas,
namu peruntukan undang-undang yang membolehkan hakim memerintahkan pesalah dihantar ke
pusat-pusat pemulihan yang diiktiraf menunjukkan bahawa tujuan sesuatu hukuman bukanlah
sebagai balasan atau denda akibat perbuatan salahlakunya, namum ia mempunyai matlamat yang
jauh lebih murni daripada itu iaitu memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri. Oleh itu,
pendekatan dakwah melalui modul-modul di pusat perlindungan diyakini mampu mendidik jiwa
dan membentuk jatidiri pesalah agar menjadi insan yang lebih sempurna akhlak dan peribadinya.
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
12
RUJUKAN
Abdul Monir Yaacob. Ulasan Buku “Mahkamah Syariah di Malaysia” Jurnal Syariah, Jil 21
Bil.1 (2013) 75-88
Ahmad ‘Azam Mohd Shariff. 2011. Prosedur Pendakwaan Jenayah Syariah: Analisis ke atas
Peruntukan Undang-undang di bawah Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah
Persekutuan) 1997 dan Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah
Persekutuan) 1997. (2011) 15 JUUM 1-18
Ainul Bashirah Bt Ismail, Zuliza Bt Mohd Kusrin, Mat Noor Mat Zain, Kesalahan Khalwat Dan
Perbuatan Tidak Sopan Dan Hukumannya Menurut Islam, Jurnal Hadhari 4 (2) (2012) 65 –
88
Arifah Rahimah Ismail, Mohd. Al Adib Samuri. 2014. Perintah Khidmat Masyarakat Sebagai
Hukuman Alternatif Di Mahkamah Syariah Malaysia. 26 Kanun (2) 192-217.
Hajah Noresah et. al. 2007. Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Jasri Jamal, 2003. “Konsep Hukuman Takzir di dalam Kanun Jenayah Syariah di Malaysia”.
Kertas Kerja Prosiding Seminar Kebangsaan Fiqh Semasa, Jabatan Syariah Fakulti
Pengajian Islam UKM, hlm. 181.
Jasri Jamal & Siti Nor Farahiyah Zakariah, Kes-kes Jenayah Syariah yang Dilaporkan dalam
Jurnal Hukum JKSM dari Tahun 2007-2011: Satu Analisa Ringkas, JH 35 Bhg 2, ms 179-
200.
Nasimah Hussin et al. 2007. Undang-undang Islam Jenayah, Keterangan dan Prosedur.Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Siti Zubaidah Ismail. 2008. Dasar Penguatkuasaan Dan Pendakwaan Jenayah Syariah Di
Malaysia: Satu Analisis. Shariah Journal, Vol. 16, Special Edition (2008) 537-554
Siti Zubaidah Ismail. 2011. Hukuman Alternatif dari Perspektif Undang-undang Syariah, Shariah
Law Reports Articles.
Siti Rahmaniah Bachok. Pelaksanaan penguatkuasaan kes hamil dan melahirkan anak luar nikah
di negeri Melaka dan Negeri Sembilan : Satu kajian bandingan.2010
Zaini Nasohah, Beberapa Aspek Mengenai Hukuman Jenayah dalam Islam. Al- Syariah Jilid 4,
Fiqh Jenayah, Siti Zalikhah Md Nor et al. Dewan Bahasa dan Pustaka 2008.
Rujukan lain
Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 19841
Arahan Tetap S.S Pengarah JAIS 2015
Arahan Amalan No. 8 Tahun 2005
Enakmen tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selngor) 2003
Kamus Dewan Edisi Keempat