Nasionalisme & Anti Kolonialisme At
-
Upload
dagang-terbiar -
Category
Documents
-
view
552 -
download
1
Transcript of Nasionalisme & Anti Kolonialisme At
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
PENDAHULUAN
Kolonialisme1 merujuk kepada dasar melalui kegiatan imperialisme2. Maka, pengertian
kolonialisme adalah merujuk kepada kefahaman kepada masalah penindasan, penghinaan atau
eksploitasi yang dilakukan oleh kuasa-kuasa imperialis Barat dan Asia terhadap penduduk
peribumi. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa imperialisme dan kolonialisme merupakan dua
perkataan yang mempunyai fungsi dan tanggungjawab yang sangat besar dalam sejarah dunia.
Walaupun imperialisme dan kolonialisme memberi makna yang positif kepada patriotisme
Barat, tetapi semua pihak khususnya kepada warga dunia ketiga, ianya membawa pengertian
negatif. Penindasan atau eksploitasi merupakan gejala paling buruk dalam imperialisme dan ia
dilaksanakan melalui dasar penjajahan (kolonialisme) yang tidak memberi persamaan hak
atau taraf bangsa-bangsa.3 Keburukan imperialisme dan kolonialisme telah menyebabkan
timbul penentangan untuk menghapuskannya. Gerakan anti-kolonialisme ini dikenali sebagai
gerakan kebangsaan atau nasionalisme. Situasi inilah yang sedang rancak berlaku di Asia
Tenggara menjelang dekad 1940-an.
1 Kolonialisme bermaksud menguatkuasakan satu bentuk pemerintahan ke atas sesebuah kawasan atau negeri lain iaitu tanah jajahan. Ia juga didefinisikan sebagai suatu perlakuan bagi mendapatkan wilayah sama ada melalui paksaan atau secara aman. Lihat Nicholas Tarling, Nations States in Southeast Asia. Melbourne, Australia: Cambridge University Press, 1998, hlm. 45. 2 Imperialisme merujuk kepada sistem pemerintahan serta perhubungan ekonomi dan politik negara-negara yang kaya dan berkuasa, mengawal dan menguasai negara-negara lain yang lazimnya mundur dan miskin dengan tujuan mengeksploitasi sumber yang ada di negara-negara berkenaan supaya menjadi lebih kaya dan lebih berkuasa. Lihat Nicholas Tarling, Nations States in Sotheast Asia, 1998, hlm 60.3 Wan Abdul Rahman Latif et. al, Sejarah perkembangan Tamadun Dunia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001, hlm. 289.
1
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
NASIONALISME DAN ANTI-KOLONIALISME DI ASIA TENGGARA
Pada teorinya, amnya, nasionalisme4 merupakan prinsip politik yang berpegang
kepada kepercayaan bahawa unit politik patut bersesuaian dengan unit kebangsaan. Namun,
sebagai gerakan ataupun perasaan, nasionalisme memaparkan kemarahan atau pun
keketidakpuasan hati apabila prinsip nasionalis itu terceroboh atau tidak dapat ditunaikan.
Pada praktisnya, nasionalisme adalah teori keupsahan politik sesebuah unit politik yang
bersyarat bahawa sempadan rumpun bangsa tidak patut menjadi halangan menghadkan
sempadan politik sesebuah unit politik. Ertinya, sempadan rumpun bangsa dalam sesebuah
negara tidak patut mengasingkan pihak berkuasa daripada semua masyarakat yang lain yang
menjadi komponen negara berkenaan.
Nasionalisme secara khususnya membawa pengertian kepada satu kesedaran yang
membangkitkan semangat bertujuan untuk mendapatkan kebebasan atau kemerdekaan.
Kebebasan merupakan hasrat yang diperjuangkan oleh individu dan rakyat untuk
membebaskan negara mereka daripada cengkaman dan belenggu penjajah. Kebangkitan
nasionalisme adalah satu bentuk kesedaran di kalangan rakyat dalam sesebuah negara untuk
menebus maruahnya yang turut tercemar melalui dasar penjajahan kuasa asing. Perjuangan itu
juga bertujuan untuk menentukan masa depan bangsa dan negara yang merdeka. Ini
bermakna, nasionalisme bergerak dan berkembang ke arah menebus semula identiti bangsa
yang bertamadun dan berbudaya tinggi.5
4 Nasionalisme boleh ditakrifkan sebagai satu fenomena sejagat yang mengiktiraf hak setiap bangsa di dunia untuk menubuhkan negaranya sendiri, memindahkan kedaulatan kepada rakyat serta menuntut kesetiaan ulung individu disalurkan kepada negara bangsa itu. Nasionalisme juga cuba untuk merobohkan struktur pemerintah yang dianggap tidak sesuai dengan nilai-nilai kebangsaan. Lihat R. Suntharalingam dan Abdul Rahman Ismail, Nasionalisme: Satu Tinjauan Sejarah. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti, 1985, hlm. 15.5 William L. Hollond, Asian Nationalism and The West, New York: Octagon Books, 1973, hlm. ix.
2
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
Asia Tenggara dalam dua dekad pasca Perang Dunia Kedua merupakan tempoh
perkembangan pesat nasionalisme dan perjuangan untuk merdeka merujuk kepada negeri-
negeri jajahan Barat. Tidak dapat dinafikan bahawa, nasionalisme merupakan daya sosio-
politik yang paling dinamis, berkuasa, berpengaruh dan menarik buat Asia Tenggara dalam
usaha berjuang menamatkan empayar kolonial Barat serta melahirkan negara-negara berdaulat
yang bersatu di Asia Tenggara. Seterusnya, nasionalisme ini dapat mengubah gambaran sosio-
politik rantau Asia Tenggara dengan berkesan. Ia juga merupakan tindakan balas masyarakat
tempatan kepada imperialisme Barat dan rejim kolonial yang mengeksploitasikan kuasa
politik dan sumber ekonomi masyarakat yang dijajah untuk kepentingan Barat semata-mata.
Walaupun wujud kesedaran politik dan nasionalis di kalangan masyarakat tempatan
Asia Tenggara pada tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua, tidak dapat dinafikan bahawa
kuasa dan cabaran sosio-politik mereka tidak berkemampuan memberi tekanan yang
bermakna terhadap kedudukan rejim kolonial Barat. Sebaliknya, rejim-rejim tersebut terus
berkedudukan kukuh. Oleh itu, tuntutan gerakan-gerakan nasionalis tempatan tidak mendapat
layanan langsung daripada kuasa penjajah.6 Sehinggalah kepada pendudukan Jepun sekitar
tahun 1940-an yang telah memberi wajah baru kepada gerakan nasionalisme. Pada tahap ini
nasionalisme di Asia Tenggara telah memasuki tahap kedua yang lebih berjaya.
Anti-kolonialisme berlaku impak daripada nasionalisme. Ianya menjadi faktor utama
kebangkitan nasionalisme di kalangan elit tempatan Asia Tenggara pada pertengahan abad ke-
19. Anti-kolonialisme atau tindakan balas imperialisme Barat adalah kesan atau hasil
langsung imperialisme yang diamalkan dalam sesebuah tanah jajahan Asia Tenggara. Ia juga
6 Wan Abdul Rahman Latif et. al, Sejarah Perkembangan Tamadun Dunia, 2001, hlm. 290.
3
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
dipengaruhi oleh ideologi sosialisme dan komunisme yang disebar luas di Eropah sejak awal
abad ke-20.
SEBAB-MUSABAB KEBANGKITAN NASIONALISME DAN ANTI-
KOLONIALISME DI ASIA TENGGARA
Kebangkitan semangat nasionalisme dan anti-kolonisme yang tinggi di Asia Tenggara
adalah disebabkan beberapa perkara. Antaranya ialah kesan pendudukan Jepun di Asia
Tenggara, kemunculan dan peranan dari golongan berpendidikan moden, perkembangan
sistem pendidikan, pengaruh komunisme dan sosialisme, peranan golongan agama,
perkembangan sistem komunikasi dan juga peranan media. Filipina adalah negara yang
pertama sekali di Asia Tenggara yang menerima arus nasionalisme moden. Ia mendahului
negara-negara yang lain dalam menerima perubahan-perubahan yang kemudian mencetuskan
semangat nasionalisme itu.7
Pendudukan Jepun
Adalah jelas bahawa semangat nasionalis Asia Tenggara walaupun bermula lebih awal
dari pendudukan Jepun8 tetapi sangat berkembang pesat pada zaman pendudukan Jepun
tersebut. Bolehlah dikatakan bahawa, semangat nasionalis pasca Perang Dunia Kedua
merupakan hasil perkembangan sosio-politik yang berlaku pada zaman pendudukan Jepun.
Tidak dapat dinafikan juga bahawa, dasar-dasar Jepun terhadap masyarakat tempatan Asia
7 Hall, D. G. E., Sejarah Asia Tengara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, hlm. 891.8 Kemenangan Jepun di seluruh Asia Tenggara pada tahun 1942 mempunyai kesan mendalam dan juga berkesan ke atas kuasa dan rejim kolonial Barat. Perseimbangan kuasa antara rejim kolonial tersebut dan keunggulan mereka di Asia Tenggara pada pra Perang Pasifik telah lenyap. Walaupun British, Belanda, Perancis dan Amerika Syarikat dilihat ingin mendapatkan kuasa sosio-politik dan ekonomi mereka kembali pada tahun 1945, jelas bahawa rejim-rejim kolonial pasca perang tidak berkekalan disebabkan oleh perubahan-perubahan sosio-politik dan psikologi di kalangan masyarakat tempatan akibat pengaruh pendudukan Jepun secara langsung ataupun tidak langsung.
4
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
Tenggara memberi sumbangan secara langsung ataupun tidak langsung kepada perkembangan
nasionalisme di kalangan masyarakat Asia Tenggara.
Semasa zaman pendudukan Jepun, kebanyakan penduduk negara-negara di Asia
Tenggara menderita dan terseksa akibat tiada kemajuan yang dapat dilakukan dalam bidang
ekonomi dan sosial. Ditambah lagi dengan sikap orang-orang Jepun yang tegas dan tidak
berperikemanusiaan dalam menjalankan hukuman terhadap sesiapa sahaja yang didapati
bersalah. Malahan ramai yang berpendapat kedatangan Jepun hanya meninggalkan peristiwa
hitam yang dashyat dalam negara-negara di Asia Tenggara. Namun, jika dilihat dari
perspektif yang lain, kedatangan Jepun adalah penting kepada kejayaan gerakan nasionalis
mencapai tujuannya. Pendudukan Jepun juga merupakan titik tolak kepada kebangkitan
semangat nasionalisme dan anti-kolonialisme di kalangan masyarakat Asia Tenggara. Dapat
disimpulkan di sini, empat dasar yang dilakukan oleh Jepun terhadap golongan tempatan telah
membawa kesan positif terhadap golongan nasionalis di Asia Tenggara.
Di antara dasarnya ialah, Jepun telah memberikan pendidikan yang menekankan
konsep persamaan dan kekitaan di kalangan rakyat tempatan melalui penggunaan bahasa dan
budaya negara-negara tempatan itu sendiri. Oleh itu, penanaman kesedaran terhadap jati diri
dapat dipupuk di kalangan masyarakat tempatan. Dasar yang kedua dapat dilihat melalui
latihan militari9 dan latihan kepimpinan yang diserapkan kepada golongan elit
(berpendidikan) tempatan telah memperkukuhkan kebolehan fizikal dan mental penduduk
Asia Tenggara untuk menentang kuasa penjajahan Barat. Seterusnya pendudukan Jepun di
Asia Tenggara telah memberikan kesan psikologi kepada penduduknya. Kesan psikologi
tersebut adalah kemenangan Jepun ke atas empayar British, Belanda, Amerika dan Perancis 10
9 William L. Hollond, Asian Nationalism and The West, 1973, hlm. 4.10 M. Rajendran, Sejarah Jepun,, Kuala Lumpur: Arenabuku Sdn. Bhd., 1998, hlm. 193.
5
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
di Asia Tenggara. Kemenangan Jepun yang begitu pantas ini telah membuka mata masyarakat
tempatan mengenai kekuatan kuasa dan kebolehan sebenar negara-negara penjajah Barat.
Seterusnya ia menjadi perangsang kepada penduduk Asia Tenggara untuk meneruskan
perjuangan mendapatkan kemerdekaan dari kuasa-kuasa tersebut. Dasar seterusnya ialah
Jepun telah mengembalikan kedaulatan kepada golongan nasionalis seperti di Indonesia,
Burma dan Vietnam dengan menggalakkan parti-parti politik kembali berjuang untuk negara
masing-masing. Semasa penjajahan Barat, gerakan parti-parti politik tempatan adalah tersekat
dan tidak dibenarkan langsung. Namun, parti-parti ini semakin berkembang setelah mendapat
galakan dari pihak Jepun.
Contoh negara yang dapat dilihat adalah di Indonesia. Semasa pendudukan Jepun,
mereka telah memperkukuhkan gerakan nasionalis Indonesia melalui propaganda-
propagandanya iaitu “Asia untuk orang Asia” dan “Jepun adalah cahaya, pelindung dan
pemimpin Asia”.11 Propaganda seperti ini telah berakar umbi dan kuat di hati orang Indonesia
dan menaruh harapan tinggi terhadap kemasukan orang Jepun. Mereka percaya bahawa
kehadiran Jepun ialah untuk membebaskan Indonesia dari penjajah Belanda. Propaganda dan
sikap yang ditunjukkan oleh Jepun ini bukan sahaja mempengaruhi golongan nasionalis dari
Indonesia, malah ia merupakan penggerak kepada kemunculan gerakan nasionalis di negara-
negara Asia Tenggara yang lain.12 Kepercayaan orang Indonesia bertambah kukuh dengan
tindakan-tindakan awal Jepun yang memberikan latihan militari kepada penduduk Indonesia
sebagai persiapan untuk menentang penjajahan Barat dan pihak Berikat di rantau Asia
Tenggara.
11 Vinacke, H. M., Sejarah Timor Jauh dalam Zaman Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967, hlm. 1076.12 William L. Hollond, Asian Nationalism and The West, 1973, hlm. 19.
6
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
Selain itu, Jepun juga telah membenarkan lagu Indonesia Raya iaitu lagu kebangsaan
Indonesia pada ketika itu, dinyanyikan dan bendera putih dan merah dikibarkan di serata
Indonesia. Tindakan Jepun ini ternyata telah membangkitkan semangat nasionalisme di
kalangan rakyat Indonesia. Semangat untuk terus merdeka dan memerintah negara sendiri
telah berkobar-kobar di kalangan penduduk Indonesia. Jepun juga telah menjalankan dasar
dengan mempertingkatkan lagi penggunaan bahasa Indonesia memandangkan bahasa Jepun
tidak diketahui oleh orang Indonesia. Tujuan sebenar Jepun ialah untuk menghapuskan
penggunaan bahasa Belanda dan Inggeris di Indonesia. Penggunaan bahasa Indonesia secara
meluas memupuk semangat perpaduan di kalangan penduduk Indonesia. Semangat
nasionalisme yang diterapkan oleh Jepun juga dapat dilihat melalui pengambilan pegawai-
pegawai tadbir dari kalangan orang tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan dalam
pentadbiran Indonesia. Golongan terpelajar Indonesia berpeluang menjadi pegawai-pegawai
dalam pentadbiran Jepun. Langkah ini mengukuhkan lagi keyakinan golongan nasionalis
untuk mentadbir kerajaannya sendiri. Seterusnya dapat dilihat kekalahan pihak Belanda di
tangan Jepun telah membuktikan bahawa orang Belanda juga boleh ditewaskan jika orang
Indonesia bersatu padu.13 Dasar yang dilakukan oleh Jepun ini, adalah lebih kurang sama
dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain.
Jelaslah bahawa peranan dan sumbangan pendudukan Jepun adalah mustahak kepada
kejayaan gerakan nasionalis mencapai tujuan sosio-politik mereka sewaktu pasca Perang
Dunia Kedua. Nasionalisme sebelum Perang Dunia Kedua dilihat tidak mencapai tujuan yang
sebenar dan tidak memberi kesan kepada gerakan nasionalis itu sendiri. Sebaliknya, setelah
Perang Dunia Kedua, gerakan nasionalis Asia Tenggara berdaya dinamis menentang penjajah
dengan berkesan. Contohnya di Indonesia, Myanmar dan Vietnam. Walaupun pendudukan
13 Wan Abdul Rahman Latif et. al, Sejarah Perkembangan Tamadun Dunia, 2001, hlm. 340.
7
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
Jepun memang membawa kesusahan dalam segala aspek kehidupan penduduk tempatan,
namun golongan elit tempatan terutama golongan nasionalis diberi peluang yang luas yang
mana peluang tersebut tidak pernah wujud pada zaman kolonial Barat seperti dalam bidang
pentadbiran, sosio-budaya dan pendidikan. Golongan ini juga menjadi terlatih dalam aspek-
aspek penting seperti mobilisasi massa, jati diri, kepimpinan, perang psikologi dan latihan
militari.
Peranan Golongan Berpendidikan
Salah satu sebab yang mencetuskan gerakan nasionalisme di Asia Tenggara adalah
melalui perjuangan golongan yang mendapat pendidikan sekular Barat. Pendidikan Barat
merupakan unsur yang paling berpotensi di kalangan generasi muda yang kemudiannya
muncul sebagai golongan elit baru dan para pejuang untuk kemerdekaan. Pendidikan Barat
dan juga pengalaman yang amat pahit bagi golongan muda Asia Tenggara yang belajar di
Eropah iaitu diskriminasi ras dan taraf rendah sosio-budaya mereka dalam pemikiran
masyarakat Eropah telah meningkatkan semangat nasionalisme di hati dan minda mereka.
Kebanyakan dari golongan ini bertembung dengan idea-idea seperti kebebasan individu, hak
asasi manusia, liberialisme, demokrasi, persaudaraan, sosialisme dan komunisme.14
Perkembangan sosio-politik yang penting iaitu gerakan anti-kolonial di India di bawah
kepimpinan Mahatma Gandhi, Kamal Pasha Ataturk di Turki serta perkembangan nasionalis
di Rusia, Jerman dan Itali sememangnya telah membakar semangat golongan nasionalis yang
berpendidikan moden ini. Bagi para pelajar Asia Tenggara yang belajar di Eropah pada ketika
itu, suasana sosio-politik yang begitu radikal sememangnya mempunyai pengaruh ke atas
fikiran mereka. Contoh yang dapat dilihat adalah, ada di kalangan para pelajar dari Indonesia
14 Steinberg, D. J. et al, Mengenali Sejarah Asia Tenggara Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, hlm. 351.
8
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
dan Vietnam yang mendapat pendidikan di Barat telah belajar mengenai sejarah Barat. Selain
itu, mereka juga telah mengkaji tentang perjuangan perlembagaan Britain, Peperangan
Kemerdekaan Amerika Syarikat, dan Pemberontakan Perancis.15
Golongan elit yang berpendidikan Barat ini telah menyedari kesedaran mengenai
keperitan dan penderitaan yang dialami masyarakat peribumi yang kurang diberi peluang
dalam segala aspek kehidupan semasa dijajah oleh kuasa Barat. Mereka juga berasa kecewa
melihat negara-negara mereka dikongkong oleh penjajahan Barat sedangkan negara-negara
Barat bercorak demokrasi. Oleh yang demikian, mereka mempelopori gerakan nasionalisme
yang bersifat sekular di Asia Tenggara. Selain dari mendapat kesedaran dari pendidikan
sekular Barat, golongan ini juga mendapat semangat nasionalis melalui perkembangan politik
dari luar, antaranya melalui perjuangan politik dan nasionalisme anti penjajahan di Tanah
Besar China.16 Peristiwa ini telah dijadikan sebagai pendorong dan perangsang kepada
perkembangan nasionalisme di kalangan golongan elit ini.
Golongan berpendidikan Barat yang sedar tentang keperitan bangsanya dengan
mencetuskan semangat nasionalisme ini dapat dilihat sendiri di negara Vietnam. Kebanyakan
ketua pejuang nasionalisme ini adalah mereka yang cerdik pandai dan mendapat pendidikan
Perancis.17 Pendidikan Perancis yang diterima oleh golongan ini telah menimbulkan semangat
cintakan negaranya sendiri dan perlunya perjuangan kebebasan politik. Sementara di
Thailand, peranan golongan berpendidikan dalam menimbulkan semangat nasionalisme ini
dapat dilihat dengan menyebarkan fahaman anti-pemerintahan beraja dan berkuasa mutlak.ini
kerana pemerintahan beraja di Thailand pada tahun 1938 lebih bercorak “kuku besi” dan
15 Hall, D.G.E., Sejarah Asia Tenggara, 1979, hlm. 890.16 Steinberg, D. J. et. al, Mengenali Sejarah Asia Tenggara Moden, 1981, hlm. 335.17 Vinacke, H. M., Sejarah Timor Jauh dalam Zaman Moden, 1967, hlm. 994.
9
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
menindas penduduk Thailand.18 Dengan ini jelas menyatakan bahawa akibat kemunculan
golongan berpendidikan ini telah menyebabkan tersebarnya semangat nasionalisme di
kalangan penduduk Asia Tenggara. Selaras dengan pendapat Harold M. Vinacke iaitu
kesedaran politik telah ditimbulkan oleh golongan cerdik pandai ini kerana cara pemikiran
mereka jauh berbeza dengan rakyat biasa.19
Perkembangan Sistem Pendidikan
Kebanyakan golongan yang mendapat pendidikan di luar negeri mempunyai
kesedaran untuk membuka sistem pendidikan dan juga sekolah tempatan. Institusi pendidikan
dilihat oleh golongan intelektual sebagai medium sosial untuk penduduk tempatan mendapat
pendedahan, pemikiran tentang kehidupan dan isu semasa yang berlaku di sekeliling mereka.
Ia memainkan peranan penting dalam gerakan kesedaran. Sistem pendidikan mendedahkan
pelajar dengan budaya sendiri. Di samping itu, melatih pemuda untuk percaya pada diri
mereka sendiri malah turut menaikkan semangat nasionalisme di kalangan mereka. Manakala
tenaga pengajarnya merupakan ahli-ahli gerakan nasionalisme. Kepentingan pendidikan di
kalangan anak negeri dilihat telah dilakukan oleh seorang nasionalis iaitu Dr. Mas Wahidin
Sudiro Husudo.20 Beliau telah menjelajah Pulau Jawa untuk berkempen tentang betapa
perlunya dibina sekolah-sekolah desa. Hal ini sesungguhnya amat penting untuk diberikan
pendidikan kepada penduduk luar bandar supaya mereka tidak ketinggalan dalam pelbagai
perkara dan membolehkan mereka celik ilmu. Peranan dan sumbangan beliau telah
mempengaruhi sekumpulan pelajar perubatan muda yang kemudiannya menubuhkan Boedi
Utomo pada 20 Mei 1908 di Botani.21 Antara tokoh yang menjadi ahli ialah Raden Sutomo
18 Ibid, hlm. 1011.19 Ibid, hlm. 1077.20 Bernard H. M. Velekke, Nusantara:Sejarah Idonesia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia, 1967, hlm. 353.21 Bernhard Dahm, Sejarah Indonesia Abad Kedua Puluh, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia, 1998, hlm. 37.
10
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
dan Raden Gunawan. Kegiatan Boedi Utomo yang utama ialah menggalakkan masyarakat
desa menghantar anak-anak ke sekolah di desa. Walaupun usaha yang dilakukan kurang
berjaya namun, ia merupakan satu pertubuhan yang utama yang menggerakan kesedaran
nasionalis di Indonesia. Sesungguhnya perkembangan sistem pendidikan inilah yang menjadi
salah satu faktor yang mneyebabkan perjuangan nasionalisme di Asia Tenggara terus
berkembang.
Peranan Golongan Agama
Golongan agama merupakan golongan pencetus semangat nasionalisme yang terawal
di Asia Tenggara. Kebanyakan mereka menggunakan elemen agama untuk menentang
penjajahan Barat yang dikatakan membawa agama dan budaya yang akan meninggalkan
kesan yang buruk terhadap penduduk peribumi. Agama Islam dan Buddha adalah contoh
agama yang dianuti oleh masyarakat di Asia Tenggara. Golongan ini telah melihat budaya dan
agama yang dibawa oleh pihak kolonial adalah bertentangan dengan sosio-budaya yang
mereka telah anuti sejak sekian lama.
Universiti Al-Azhar22 memainkan peranan penting dalam proses menghidupkan
kembali masyarakat Muslim yang perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan sains dan
teknologi di Barat. Kaedah yang dilakukan adalah melalui penyesuaian antara ajaran dalam
Al-Quran dan ilmu sains yang meliputi inovasi-inovasi sains dan intelek. Kesannya, Islam
menjadi amat menarik kepada para pelajar Muslim terutamanya di Nusantara. Kurikulum
22 Universiti Al-Azhar merupakan institusi pengajian Islam terkemuka yang terletak di Kaherah Mesir. Pelajarnya iaitu Muhamad Abduh merupakan reformis Islam. Beliau telah mengkaji semula prinsip-prinsip Islam yang asas dan beliau berpendapat masalah sosial dan ekonomi yang dihadapi oleh masyarakat Islam boleh diselesaikan dengan mengikut ajaran Islam yang sebenar. Usaha Muhamad Abduh telah membangkitkan kesedaran dan kecenderungan terhadap pengajian Islam. Para pengikutnya sedar bahawa melalui kefahaman yang mendalam tentang agama Islam, mereka akan berupaya untuk mengatasi masalah-masalah dalam masyarakat Islam yang sedang diancam oleh budaya Barat pada ketika itu. Lihat William R. Roff, Nasionalisma Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1975, hlm. 112.
11
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
yang diajarkan di Universiti Al-Azhar ini telah memberi impak kepada para pelajar
berkenaan. Golongan yang mendapat pendidikan di universiti inilah yang telah membawa
balik semangat nasionalisme yang berkobar-kobar dan menjadikan elemen agama Islam
sebagai perjuangan utama. Contoh negara yang dapat dilihat adalah di Indonesia. Gerakan
Islah Islamiah oleh golongan agama yang merupakan bekas pelajar Universiti Al-Azhar
didapati dapat membina dan menguatkan semangat nasionalisme masyarakat Indonesia untuk
memperbaiki pencapaian ekonomi dan sosial serta menentang penindasan penjajah.23
Semangat nasionalisme dari golongan agama ini juga menjadi pencetus nasionalisme kepada
golongan nasionalisme moden. Selain itu, melalui ajaran Islam, pengaruh ajaran aliran
Wahabi dari selatan Arabia turut menonjol dan mempengaruhi sebahagian besar masyarakat
Muslim. Ajaran ini menentang kolonialisme Barat selain menentang golongan agama
tradisional yang menjadi kroni kepada rejim kolonial.
Di Myanmar pula, agama Buddha dijadikan pencetus kepada perjuangan nasionalisme.
Di negara ini, pada peringkat awal perkembangan nasionalisme adalah diterajui oleh golongan
sami atau Phongyi. Golongan ini tidak berpuas hati kerana golongan ini selalu diketepikan
oleh British dalam urusan negeri. Selain itu, golongan ini berpendapat teknologi Barat
dipercayai secara beransur-ansur merosakkan pengaruh agama Buddha dalam masyarakat
Myanmar.24 Begitu juga Persatuan Pemuda-Pemuda Beragama Buddha (Young Men’s
Bhuddhist Association) yang ditubuhkan di Ranggon. Agama Buddha digunakan sebagai
unsur jati diri bangsa Myanmar. Keadaan ini juga dapat dilihat di Filipina, di mana
penyebaran agama Kristian membantu melahirkan perasaan nasionalisme dan anti-kolonisme.
Tidak dapat dinafikan bahawa, perjuangan golongan agama ini berkekalan sehingga negara-
23 Vinacke, H. M., Sejarah Timor Jauh dalam Zaman Moden, 1967, hlm. 335.24 Wan Abdul Rahman Latif et. al, Sejarah perkembangan Tamadun Dunia, 2001, hlm. 358.
12
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
negara Asia Tenggara mencapai kemerdekaan. Namun, perjuangan mereka sentiasa
digagalkan dan dianggap berhaluan kiri oleh pihak penjajah.
Perkembangan Sosialisme atau Komunisme
Sememangnya pendidikan Barat telah meningkatkan semangat elit Asia Tenggara
untuk menentukan nasib masyarakat mereka sendiri. Namun, kekecewaan terhadap
Perisytiharaan Kerajaan Penentuan Nasib Sendiri berikutan ianya hanya dikhaskan kepada
masyarakat Eropah Timur. Walaupun Perisytiharaan ini telah meninggikan semangat
nasionalis tetapi sebenarnya telah mempopularkan juga prinsip komunis di kalangan
pemimpin nasionalis Asia Tenggara. Contohnya, Ho Chi Minh dan Gerakan Nasionalis
Vietnam serta Parti Komunis Indonesia atau PKI.25 Nasionalisme dan komunisme
sememangnya mempunyai hubung kait antara satu sama lain iaitu merujuk kepada Asia dan
khususnya Asia Tenggara. Komunisme merupakan prinsip sosio-politik yang bersifat
antarabangsa dan menolak konsep negara sebagai sesuatu yang menghalang perkembangan
masyarakat manusia dari mencapai kemuncaknya disebabkan oleh pendekatan sempit
nasionalisme. Bolehlah dikatakan bahawa nasionalisme dan komunisme merupakan prinsip
sosio-politik yang bermusuhan antara satu sama lain.
Walau bagaimanapun, di Asia Tenggara, komunisme dan nasionalisme merupakan dua
prinsip yang saling membantu. Satu sebab penting kerjasama kedua-dua prinsip tersebut ialah
kedua-duanya merupakan prisip yang menentang habis-habisan imperialisme dan
kolonialisme. Satu lagi sebab adalah hakikat bahawa sebahagian pemimpin nasionalis Asia
Tenggara melihat sosialisme atau komunisme sebagai sistem politik dan ekonomi yang amat
25 George Mc Turnan Kahin, Nasionalisme dan Revolusi di Indonesia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, hlm. 114.
13
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
sesuai untuk memulih secara cepat dan berkesan. Hal ini demikian kerana, keadaan sosio-
ekonomi masyarakat mereka kebanyakannya telah mewujudkan jurang sosio-ekonomi yang
besar antara golongan berada dan rakyat kebanyakan. Keadaan inilah yang telah
menyebabkan golongan nasionalis yang berprinsipkan fahaman sosialisme dan komunisme
telah bangkit untuk merebut kemerdekaan negara masing-masing.
Perkembangan Sistem Komunikasi
Penyebaran idea nasionalisme juga dipercepatkan dan diperhebatkan dengan adanya
perkembangan infranstruktur moden seperti jalan raya dan jalan keretapi. Di negara Thailand
pembinaan keretapinya merupakan yang terbaik di Asia Tenggara. Sebagai contoh, landasan
keretapi yang menghubungkan Bangkok dan Paknam.26 Di samping itu, dengan adanya
ciptaan alat sebaran seperti radio, telegraf dan telefon turut juga menjadi penyumbang kepada
penyebaran idea nasionalisme di Asia Tenggara. Di Thailand, menjelang tahun 1930 terdapat
lebih daripada 800 buah pejabat pos di negara itu, berbanding dengan satu perlapan jumlah itu
dalam suku abad sebelumnya.27 Manakala perkhidmatan telegraf telah diasaskan melalui
penubuhan Jabatan Telegraf Diraja. Manakala perkhidmatan telefon turut juga menjadi satu
perhubungan yang penting di Thailand. Telefon yang pertama dibuka ialah pada tahun 1886
yang dibuka kepada umum.28 Bahkan radio turut juga berperanan penting dalam komunikasi.
Pada tahun 1937, hasil daripada syor kerajaan bagi perkembangan stesen pemancar radio telah
memudahkan perhubungan di antara pulau-pulau di Indonesia dan sebanyak 50 buah stesen
pemancaran telah dibina.29
26 Tate, D.J.M., Sejarah Pembentukan Asia Tenggara, Kuala Lumpur: Penerbitan Fajar Bakti, 1981, hlm. 575.27 Ibid, hlm. 579.28 Ibid, hlm. 580.29 Ibid, hlm. 104.
14
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
Perkembangan kemudahan infranstruktur telah memudahkan dan mempercepatkan
penyampaian maklumat dan informasi mengenai sesuatu perkara. Pelbagai maklumat yang
berkaitan dengan nasionalisme dapat disampaikan dengan lebih cepat. Oleh itu, penduduk
tempatan mendapat kesedaran dan seterusnya dalam diri mereka telah dapat disuntik dengan
semangat nasionalisme. Di samping itu, sistem komunikasi juga dapat memudahkan lagi
penduduk dari luar negara berkumpul dan berbincang tentang isu nasionalisme. Mereka dapat
bertukar-tukar pendapat antara satu sama lain. Malahan pertemuan itu boleh memecahkan
kecenderungan kewilayahan dan kedaerahan yang mengongkong pemikiran dan perasaan
mereka.
Peranan Media
Golongan terpelajar kebanyakannya telah menerima idea-idea baru sama ada
liberalisme, sosialisme, komunisme dan juga demokrasi daripada John Locke, Voltaire,
Montesquie, Rousseau dan Mazzini. Mereka ini tidak puas hati dan kecewa dengan tindakan
penjajah yang memeras kekayaan negara dan menindas rakyat. Akhbar dan majalah adalah
antara alat sebaran am yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menyebarkan
idea nasionalisme ini.30 Bahan-bahan yang dicetak bukan sahaja dalam bahasa penjajah tetapi
dalam bahasa peribumi juga. Sebagai contoh, di Indonesia dan Filipina, alat sebaran am amat
berkesan dalam memberi berita dari luar negara, menyedarkan dan menyeru rakyat untuk
bersatu serta memperjuangkan kemerdekaan. Di Indonesia, akhbar seperti Medan Priyayi,
Kaum Sunda, Utusan Hindia dan akhbar terjemahan dari Belanda dan sebagainya memuatkan
tema-tema politik, kebebasan manusia dan pemansuhan perbezaan kaya dan miskin.31
Manakala di Filipina, akhbar La Solidaridad membawa kepada perubahan sikap rakyat.
30 Wan Abdul Rahman Latif et.al, Sejarah Perkembangan Tamadun Dunia, 2001, hlm. 328.31 http://www.geocities.com/cominglucky/nasionalismeasia.htm 24.03.2007
15
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
Di samping itu, peranan media juga memberi fahaman tentang perjuangan menuntut
kebebasan yang disampaikan melalui penulisan dan disebarkan melalui cerpen, novel, dan
puisi. Di Indonesia, karya-karya seperti Siti Nurbaya oleh Marah Rusli, Hikayat Kadirun oleh
Semaun dan Student Hidjo oleh Bakti Siregar digunakan untuk mengkritik Belanda.32 Di
Vietnam, Phan Boi Chan menulis Luu Cau Huyet Le Tan Thu (Surat Dari Tulisan Ryuktus
Dalam Tangisan Darah) memberi kesedaran kepada rakyat Vietnam. Penulisan ini telah
membolehkan idea-idea nasionalisme disebarkan dengan cepat di kalangan penduduk
peribumi yang tertindas. Malahan ia turut menyedarkan mereka yang lalai dan menyeru
supaya masyarakat bersatu yang tidak mengira pelbagai ras dalam sesuatu perkara yang
dilakukan. Secara tidak langsung semangat nasionalisme berkembang di kalangan penduduk.
KESAN
Kebangkitan nasionalisme dan anti-kolonialisme di Asia Tenggara memberi kesan
yang jelas kepada perkembangan sama ada dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Namun,
yang jelas dapat dilihat adalah kesan terhadap perkembangan politik dan sosial masyarakat
Asia Tenggara yang telah dijajah oleh rejim-rejim kolonial. Antara kesan kebangkitan
semangat nasionalisme dan anti-kolonialisme di Asia Tenggara ialah pembentukan negara
bangsa, perkembangan parti-parti politik, kemerdekaan dan kedaulatan negara seterusnya
dapat mewujudkan perasaan cintakan kepada tanah air.
Pembentukan Negara Bangsa
32 http://www.geocities.com/cominglucky/nasionalismeasia.htm 24.03.2007
16
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
Pada peringkat asas sekali, negara merupakan unit politik yang terdiri daripada
penduduk yang saling mengakui mereka berjati diri yang sama melalui perkongsian beberapa
raw materials iaitu aspek sosio-budaya penting yang sama seperti bahasa, agama, nilai-nilai
sosio-moral dan budaya, perasaan taat setia terhadap tanah air dan pengalaman sejarah yang
sama. Bangsa atau rumpun bangsa juga dapat memainkan peranan dalam konsep negara tetapi
ia bukanlah faktor unggul dalam konsep negara moden ini. Sebenarnya, bangsa yang
dimaksudkan dalam terminologi “negara bangsa” yang merupakan “bangsa” yang lahir lebih
kurang bersama dengan negara moden Asia Tenggara seperti bangsa Indonesia dan bangsa
Myanmar. Ia bukan semata-mata bangsa yang berasaskan rumpun atau etnik seperti dahulu.
Negara moden ini juga bersempadankan wilayah yang tetap yang tidak bergantung kepada
kerajaan atau pengaruh negara yang lain.33
Oleh yang demikian, negara bangsa yang dibina oleh para nasionalis Asia Tenggara
merupakan sebuah unit politik yang mempunyai jati diri berasaskan raw materials. Pada
amalannya, negara bangsa Asia Tenggara menggunakan sosio-budaya masyarakat terbesarnya
sebagai ciri-ciri jati diri kebangsaan dan biasanya dasar asimilasi digunakan supaya dapat
melahirkan rakyat yang bersatu dari aspek sosio-budaya mereka. Proses membina negara atas
kefahaman dan prinsip sosio-politik ini berterusan lebih kurang seingga dekad 1970-an.
Konsep negeri, negara, negara-bangsa dan nasionalisme sangat berkait rapat. Konsep-
konsep tersebut pula berkait rapat dengan konsep-konsep sosio-politik moden yang amat
berpengaruh di Eropah pada abad ke-19 dan dipilih oleh pemimpin-pemimpin Asia Tenggara
sebagai modul terpilih untuk sistem politik dan pentadbiran mesyarakat-masyarakat merdeka
pada pertengahan abad ke-20. Semua negara berdaulat Asia Tenggara pasca Perang Dunia
33 Nicholas Tarling, Nations States in Sotheast Asia, 1998, hlm 66.
17
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
Kedua mentadbir negara mereka masing-masing sebagai sebuah negara bangsa34 yang
memegang kukuh kepada prinsip politik nasionalis dan anti-kolonialis, dan yang kuasa politik
dan pentadbiran iaitu negeri berasingan daripada masyarakat madaninya.
Perkembangan Parti-parti Politik
Parti-parti politik merupakan satu pertubuhan politik yang menjurus kepada kebajikan
ekonomi, sosial dan politik negara masing-masing. Pada asasnya, pertubuhan parti politik ini
wujud dari kesedaran nasionalisme yang membara di hati masing-masing akibat daripada
kesedaran yang tercetus dalam diri. Beberapa pertubuhan parti politik yang ditubuhkan
menjurus kepada perjuangan untuk mendapatkan kembali kemerdekaan negara dan
menjalankan pemerintahan sendiri tanpa campurtangan rejim-rejim kolonial. Contohnya,
kemunculan Parti Thakin di Burma yang memperjuang masalah dan gerakan kebangsaan.
Parti Thakin ini memperjuangkan bahawa rakyat Burma menjadi tuan rumah mereka sendiri
dengan mengamalkan adat resam dan cara hidup sebagai sebuah negara yang merdeka dan
berdaulat.
Manakala di Indonesia, Parti Nasional Indonesia ditubuhkan untuk menyatupadukan
semua parti politik dalam sebuah persekutuan parti-parti politik kebangsaan Indonesia. Ianya
bertujuan untuk mencapai perpaduan rakyat dan mewujudkan semangat kebangsaan.
Seterusnya Parti Nasional Indonesia ini menuntut kemerdekaan penuh bagi Indonesia baik
dari segi ekonomi mahupun politik. Selain itu, Parti Komunis Indonesia juga ditubuhkan
bersama golongan nasionalis untuk menentang penjajah. Tetapi, penubuhan Parti Komunis
34 Konsep negara bangsa merupakan satu pemikiran politik yang muncul berasaskan kepada persamaan di kalangan majoriti ahlinya dalam beberapa aspek penting termasuk rumpun etnik, bahasa, sosio-budaya dan pengalaman sejarah yang sama. Lihat Sivechandralingam Sundara Raja, Tamadun Eropah, Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti Sdn Bhd, 1996, hlm. 65.
18
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
Indonesia ini mempunyai matlamatnya yang tersendiri yang mementingkan ideologinya dan
bukan kepentingan negara.35 Oleh itu, parti ini telah disingkirkan dari perjuangan nasionalis
untuk berjuang mencapai kemerdekaan. Ini menunjukkan bahawa wujud parti-parti politik
yang memperjuangkan kemerdekaan negara sendiri untuk bangun dengan pemerintahan
sendiri.
Kemerdekaan dan Kedaulatan Negara
Golongan nasionalis merupakan golongan yang bertanggungjawab membawa negara
mereka ke arah kemerdekaan. Jika dilihat matlamat sebenar gerakan nasionalisme Asia
Tenggara adalah untuk mendapatkan kemerdekaan. Namun terdapat juga gerakan
nasionalisme yang gagal untuk mewujudkan kemerdekaan negara mereka. Walau
bagaimanapun, sama ada negara mereka merdeka atau tidak, tetapi gerakan nasionalisme
inilah yang menjadi pencetus kepada kemerdekaan negara masing-masing. Di Asia Tenggara,
kebanyakan negara mencapai kemerdekaan negara masing-masing dalam lewat 1940-an dan
tahun 1950-an. Kemerdekaan yang dicapai membolehkan negara-negara di Asia Tenggara
mengamalkan pemerintahan sendiri tanpa bantuan rejim-rejim kolonial. Masing-masing
mengamalkan pemerintahan demokrasi dengan cara tersendiri mengikut dasar pemerintahan
sendiri seperti yang dirancangkan.36 Setelah mencapai kemerdekaan, pemerintahan demokrasi
yang diamalkan adalah satu bentuk pemerintahan yang berbentuk parlimen dan presiden.
Antara negara Asia Tenggara yang mendapat kemerdekaan dalam tahun 1940-an ialah
Filipina, Indonesia, Burma dan Vietnam. Indonesia telah diisytiharkan merdeka sebagai
sebuah negara republik berdaulat dan merdeka pada 17 Ogos 1945. Manakala Filipina
35 Vinacke, H. M., Sejarah Timor Jauh dalam Zaman Moden, 1967, hlm. 345.36 Lennoa A. Mills, Southeast Asia: Ilusion and Reality in Politics and Economics, 1994, Minneapolis: U of Minnesota Press, hlm. 5.
19
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
mencapai kemerdekaan pada 4 Julai 1946. Burma pula mendapat kemerdekaan dengan
melantik Dr Ba Maw sebagai ketua negara. Pada 1 Ogos 1943, Burma pula diisytiharkan
merdeka oleh Jepun dan diberikan sebuah perlembagaan baru.37 Vietnam juga mendapat
kemerdekaan hasil perjuangan nasionalis kebangsaannya dalam tahun 1940-an. Setelah
sebahagian daripada Vietnam dapat dikuasai oleh Vietnam, maka pada 2 September 1945, Ho
Chi Minh mengisytiharkan kemerdekaan dan pembentukan kerajaan Republik Demokratik
Vietnam.38 Laos pula mendapat pengisytiharan kemerdekaan pada 8 April 1945. Pada 1
September 1945, Putera Phetsarath mengisytiharkan kemerdekaan Laos dan dua minggu
kemudian, beliau mengisytiharkan pula percantuman kerajaan Luang Prabang dengan
kawasan selatan menjadi negara Laos yang merdeka.39 Kawasan selatan yang dicantumkan
dengan Luang Prabang ini ialah kawasan Vientiane di mana kedua-dua kawasan ini
dipecahkan mengikut pentadbiran masing-masing. Percantuman kedua kawasan ini
membolehkan Laos mempunyai pentadbiran yang seragam dan teratur yang menjamin
kedaulatan negara. Kemboja yang merupakan negara naungan Perancis turut mendapat
kemerdekaan pada 13 Mac 1945.
Perasaan Cintakan Negara
Nasionalisme yang berlaku ekoran daripada kesedaran masyarakat dalam sesebuah
negara di Asia Tenggara telah membangkitkan perasaan cintakan negara. Perasaan ini timbul
ekoran daripada pandangan masyarakat yang menganggap bahawa masyarakat tempatan
mampu untuk memerintah negara sendiri tanpa bantuan daripada negara luar. Nasionalisme
yang tercetus mewujudkan kerjasama, kekitaan dan menghilangkan rasa kedaerahan di
37 Wan Abdul Rahman Latif et.al, Sejarah Perkembangan Tamadun Dunia, 2001, hlm. 365.38 Ibid, hlm. 379. 39 Ibid, hlm. 382.
20
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
kalangan masyarakat untuk bersatu padu. Nasionalisme memupuk semangat perpaduan di
kalangan masyarakat tempatan untuk mencapai matlamat yang satu iaitu kemerdekaan.
Setiap masyarakat akan melakukan berbagai bentuk percubaan dan kaedah untuk
melindungi negara daripada dijajah oleh kuasa-kuasa asing. Contoh yang dapat dilihat dengan
jelas adalah di Indonesia. Perasaan cintakan negara dalam diri meningkat dalam setiap
masyarakat dengan meningkatnya tentera sukarelawan dan pejuang nasionalis yang berjumlah
dua juta orang. Pertambahan dalam bilangan keahlian ketentaran ini meningkat apabila
wujudnya kesedaran tentang kesan penjajahan kuasa asing terhadap negara dan masyarakat
berusaha untuk menentang penjajah. Selain itu, golongan elit Indonesia berpegang kuat
kepada hakikat bahawa Indonesia merupakan sebuah negara yang merdeka dan mereka
bersedia untuk berjuang dalam mempertahankan status merdeka tersebut. Inilah merupakan
impak daripada perjuangan nasionalisme yang berlaku.
PENUTUP
Secara keseluruhannya, nasionalisme di Asia Tenggara amat penting bagi
mewujudkan kesedaran masyarakat untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajah.
Setelah pendudukan Jepun, barulah masyarakat Asia Tenggara menyedari bahawa perjuangan
menuntut kemerdekaan boleh dilakukan dengan lebih berkesan. Sememangnya, dalam
lingkunagn tahun 1940-an merupakan titik tolak kepada kemuncak semangat nasionalisme di
kalangan masyarakat Asia Tenggara dan dapat dilihat kebanyakan negara telah mencapai
kemerdekaan dalam dekad ini.
BIBLIOGRAFI
21
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
Bernhard Dahm. (1998). Sejarah Indonesia Abad Kedua Puluh. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Bernard H. M. Velekke. (1967). Nusantara: Sejarah Idonesia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia.
George Mc Turnan Kahin. (1980). Nasionalisme dan Revolusi di Indonesia. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hall, D. G. E. (1979). Sejarah Asia Tengara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lennoa A. Mills. (1994). Southeast Asia: Ilusion and Reality in Politics and Economics.
Minneapolis: U of Minnesota Press.
M. Rajendran. (1998). Sejarah Jepun. Kuala Lumpur: Arenabuku Sdn. Bhd.
Nicholas Tarling. (1998). Nations States in Southeast Asia. Melbourne, Australia: Cambridge
University Press.
R. Suntharalingam dan Abdul Rahman Ismail. (1985). Nasionalisme: Satu Tinjauan Sejarah.
Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti.
Sivechandralingam Sundara Raja. (1996). Tamadun Eropah. Shah Alam: Penerbitan Fajar
Bakti Sdn Bhd.
Steinberg, D. J. et al. (1981). Mengenali Sejarah Asia Tenggara Moden. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tate, D.J.M. (1981). Sejarah Pembentukan Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Penerbitan Fajar
Bakti.
Vinacke, H. M. (1967). Sejarah Timor Jauh dalam Zaman Moden. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
22
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
Wan Abdul Rahman Latif et. al. (2001). Sejarah perkembangan Tamadun Dunia, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
William L. Hollond. (1973). Asian Nationalism and The West. New York: Octagon Books.
William R. Roff. (1975). Nasionalisma Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
http://www.geocities.com/cominglucky/nasionalismeasia.htm 24.03.2007
23
LSA 3043: Sejarah Asia Tenggara I900 Hingga Kini
24