Menelusuri Perkembangan Sektor Ketiga dan Pembangunan Waqaf … · 2021. 3. 8. · Aslam, 2016)....
Transcript of Menelusuri Perkembangan Sektor Ketiga dan Pembangunan Waqaf … · 2021. 3. 8. · Aslam, 2016)....
Menelusuri Perkembangan Sektor Ketiga dan Pembangunan Waqaf di Malaysia | 2
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Pendahuluan
Model ekonomi sedia ada yang sedang digunakan di kebanyakan negara amnya dan Malaysia
khususnya adalah model dua sektor iaitu sektor awam dan swasta. Sektor awam digerakkan oleh pihak
kerajaan melalui beberapa kementerian dan agensi yang dilantik dengan menggunakan kewangan
yang disediakan oleh kerajaan itu sendiri. Bagi sektor swasta pula, ia digerakkan secara bersendirian
oleh pelbagai pihak yang terdapat dalam pasaran mengikut industri masing-masing. Mereka adalah
entiti yang berobjektifkan keuntungan kerana sangat bergantung kepada kewangan mereka sendiri
untuk terus hidup di dunia pasaran.
Model dua sektor yang berasal daripada teori neoclassical ini telah banyak membangunkan dan
menstabilkan ekonomi, sosial dan politik. Namun begitu, oleh kerana elemen kemanusiaan seperti nilai
(values) dan etika (ethiques) tidak menjadi unsur utama model arus perdana ini, ia menyebabkan model
ini berhadapan dengan fasa ketidakseimbangan dengan wujudnya beberapa kelompongan, perbezaan,
masalah kordinasi dan pertembungan kepentingan. Ini mengakibatkan agenda pembangunan negara
tidak dapat diteruskan dengan sebaiknya seperti isu kemiskinan, krisis ekonomi, ketidaksamaan, kesan
buruk kepada persekitaran dan kejatuhan moral (Nahar & Aslam, 2016).
Sebagai tindak balas terhadap perkara ini, maka wujudlah pelbagai persatuan, institusi, koperasi,
yayasan, perusahaan sosial dan organisasi bukan untung (non-profit organization) yang menjadikan
elemen kebajikan dan kesejahteraan sebagai agenda utama mereka serta nilai altruisme sebagai
pendorong dan pemangkin gerak kerja mereka (Molla & Alam, 2011). Kelompok dan institusi ini muncul
di atas ketidakstabilan model dua sektor untuk melaksanakan agenda pembangunan manusia,
ekonomi dan sosial secara berterusan. Kumpulan ini dinamakan sebagai sektor ketiga yang berfungsi
sebagai pelengkap dan alternatif mempromosikan agenda pembangunan secara keseluruhan (Najam,
2000).
Istilah ‘Sektor Ketiga’ (Third Sector) biasanya merujuk kepada suatu kumpulan, institusi atau organisasi
yang berada di antara sektor pertama iaitu kerajaan (government), dan sektor kedua iaitu pasaran
(market) walaupun sehingga kini masih tiada satu kesepakatan mengenai maksud sebenarnya. Sektor
ketiga ini merangkumi persatuan sukarela, badan amal, organisasi bukan untung, kumpulan
masyarakat, yayasan dan sebilangan besar organisasi yang bersifat swasta yang tidak mencari
keuntungan dan mempunyai elemen kesukarelawan (voluntary). Dengan kata lain, sektor ketiga ini
digambarkan secara umum melalui dua elemen utama iaitu kesukarelaan dan kemasyarakatan (Olaf,
2010).
Kewujudan Sektor Ketiga adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan membentuk persepsi
masyarakat mengenai isu tertentu. Ia bergerak secara berfokus dan menjadikan isu tersebut sebagai
agenda utama seperti isu alam sekitar, pendidikan, politik, idea golongan muda dan sebagainya. Oleh
itu, ia turut berperanan menyelesaikan isu khusus yang dihadapi oleh kumpulan tertentu terutamanya
masalah yang tidak dapat ditangani oleh pihak kerajaan dan pasaran. Pengamalan sektor ketiga
dipercayai bermula sekitar tahun 1970an di Perancis, yang diwujudkan oleh masyarakat setempat
untuk menyelesaikan masalah berkaitan kebajikan para pekerja (Helmut, 2016).
Penulisan ini akan membincangkan perihal sektor ketiga yang kini semakin berkembang di peringkat
nasional dan global. Selain itu, peranan sistem waqaf di Malaysia yang termasuk sebagai salah satu
aktiviti sektor ketiga juga akan disentuh secara kasar sebagai satu usaha untuk membangunkan sosio-
ekonomi rakyat dan negara. Terdapat pelbagai aktiviti kesukarelaan dan kemasyarakatan yang boleh
dikategorikan sebagai sumbangan sektor ketiga di Malaysia. Namun, disebabkan oleh tiada laporan
dan akreditasi secara formal berkenaan aktiviti tersebut sepertimana waqaf yang diuruskan oleh setiap
Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), waqaf memainkan peranan sebagai aktiviti formal sektor ketiga di
negara ini yang perlu diambil perhatian sewajarnya.
Menelusuri Perkembangan Sektor Ketiga dan Pembangunan Waqaf di Malaysia | 3
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Kategori dan Perkembangan Sektor Ketiga
Secara umumnya, sektor ketiga adalah sektor yang bukan arus perdana dan pengiktirafannya berbeza
mengikut negara tertenu. Kedudukan dan perkembangannya sangat bergantung kepada dominasi
sistem ekonomi semasa yang diamalkan oleh sesebuah negara di samping kesedaran masyarakatnya
berkenaan sektor ini. Ia boleh dikategorikan sebagaimana berikut (Helmut, 2016):
a) Model Statistik
Model ini adalah kombinasi yang menggabungkan keterbatasan aktiviti sektor pertama yang agak
terhad dan pergerakan sektor ketiga yang tidak aktif. Ia berlaku di negara yang mengambil peranan
mengawal sepenuhnya aktiviti domestik. Selain itu, faktor kerjasama yang baik antara golongan elit
dengan masyarakat kelas menengah di negara tersebut juga mengurangkan kewujudan kumpulan atau
organisasi sukarela di sana. Contoh yang paling menonjol bagi Model Statistik ini adalah negara Jepun.
b) Model Liberal
Negara yang mengamalkan kawalan aktiviti terhad namun mempunyai sistem, ruang serta kebenaran
daripada sudut undang-undang untuk menubuhkan persatuan sukarela adalah contoh bagi Model
Liberal sektor ketiga. Ciri-ciri ini terdapat di negara seperti Amerika Syarikat dan England dengan
terbentuknya pelbagai yayasan, organisasi dan kelompok yang bergerak secara sukarela untuk tujuan
khusus tertentu.
c) Model Sosial Demokratik
Contoh bagi model ini terdapat di negara seperti Sweden di mana sebuah kerajaan mempunyai tahap
perbelanjaan yang besar bagi tujuan kebajikan sosial rakyatnya. Ia turut disertai dengan semangat
kesukarelawanan yang sangat tinggi dari segi bilangan persatuan dan keahlian dalam kalangan
masyarakat di negara tersebut.
d) Model Korporat
Model ini adalah ciri-ciri bagi sebuah kerjasama yang erat antara sektor pertama dan ketiga, di mana
kerajaan mengambil peranan sebagai pembiaya untuk aktiviti yang ditawarkan oleh persatuan dan
organisasi sukarela. Contohnya seperti aktiviti keagamaan yang dilaksanakan secara sukarela di
Jerman, berjaya mendapat sokongan padu daripada pihak kerajaan. Selain itu, contoh lain bagi model
ini adalah Turki yang memperkenalkan sistem waqaf ke dalam kerangka arus perdana untuk berfungsi
membantu kebajikan dan sosial masyarakat di sana.
Waqaf Dalam Kerangka Sektor Ketiga
Waqaf bermaksud memindahkan hak peribadi terhadap sesuatu barang yang bernilai kepada hak milik
umum atau kumpulan khusus demi kegunaan dan kepentingan awam. Walaupun waqaf turut
dikategorikan sebagai salah satu aktiviti sektor ketiga, kewujudannya bukanlah disebabkan tindak balas
atau respon terhadap sesuatu yang berlaku. Bahkan ia telah pun lama diperkenalkan iaitu seawal
perkembangan Islam pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW di Madinah iaitu sekitar tahun
600 Masihi (Nahar & Aslam, 2016).
Di Malaysia, waqaf berpotensi untuk berkembang dengan lebih baik sebagai salah satu aktiviti sektor
ketiga jika ia diuruskan dengan cara yang betul dan berdasarkan pemahaman yang tepat (Nahar &
Aslam, 2016). Sistem waqaf di Malaysia adalah sangat unik kerana urusan berkaitan dengannya
tertakluk di bawah bidang kuasa Sultan di setiap negeri. Kewujudan Yayasan Waqaf Malaysia, satu
entiti kebangsaan pada tahun 2008 di bawah Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) adalah
Menelusuri Perkembangan Sektor Ketiga dan Pembangunan Waqaf di Malaysia | 4
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
bertujuan untuk menjadi peneraju kepada pembangunan waqaf serta berfungsi sebagai pusat kordinasi
bagi hal ehwal pengurusan waqaf di Malaysia (Yayasan Waqaf Malaysia, 2020).
Terdapat pelbagai aktiviti di negara ini yang boleh dikategorikan sebagai sektor ketiga. Namun,
kebanyakan aktiviti dalam sektor ini selain waqaf, tidak mendapat perakuan secara menyeluruh oleh
masyarakat, syarikat korporat dan pihak kerajaan. Pelbagai faktor yang menyebabkan perkara ini
berlaku seperti penipuan yang berleluasa (scammer), tiadanya laporan rasmi aktiviti direkodkan dan
perlambakan organisasi sukarela tanpa kordinasi pihak berwajib. Meskipun begitu, peranan sektor
ketiga di dalam kerangka ekonomi sedia ada perlu diperhalusi agar penambahbaikan sektor ini dapat
dilakukan sebaiknya serta keberkesanan fungsinya dapat dinikmati oleh negara dan rakyatnya.
Dua sistem ekonomi yang dominan pada ketika ini adalah Model Amerika dan Model Eropah. Menurut
Nahar dan Aslam (2016), sistem ekonomi Model Eropah adalah lebih terbuka dan meraikan peranan
sektor ketiga dalam pembangunan ekonomi dan sosial walaupun sistem ekonomi Model Amerika
diguna pakai di peringkat antarabangsa. Bagi ekonomi Model Eropah, tiga entiti utama iaitu kerajaan,
pasaran dan isi rumah persendirian (private household) adalah saling berhubungan manakala untuk
kerangka ekonomi Model Amerika pula, sektor utama iaitu kerajaan dan pasaran adalah entiti
berasingan, tidak berkait antara satu sama lain serta bergerak secara bersendirian dengan sektor
ketiga (Evers & Laville, 2004). Model Amerika juga boleh dikategorikan sebagai model yang tidak
menyeluruh dan bersifat individualistik (Roginsky & Sally, 2009).
Oleh itu, kerangka Model Eropah yang juga digelar sebagai Segitiga Kesejahteraan (Welfare Triangle)
dijadikan sandaran oleh Defourny dan Pestoff (2008) untuk menghasilkan model yang lebih
komprehensif bagi tujuan mengintegrasikan peranan antara kerajaan, pasaran dan sektor ketiga.
Kerangka ini sangat penting untuk menanam kefahaman yang betul terhadap hubungan antara politik,
ekonomi dan sosial di mana ketiga-tiganya sangat berkait rapat dan dipengaruhi oleh polisi dan
perundangan negara, nilai dan amalan dalam pasaran serta budaya masyarakat sivil dan setempat.
Sistem ekonomi Model Amerika dan Model Eropah boleh digambarkan seperti Rajah 3 dan 4 di bawah
(Nahar & Aslam, 2016):
Berkaitan dengan sektor ketiga, Nahar & Aslam (2016) telah menghasilkan suatu model baru yang
diambil dari Segitiga Kesejahteraan (Welfare Triangle) dan melibatkan peranan sistem waqaf di
Malaysia. Menariknya, model ini sangat berpotensi untuk membangunkan waqaf secara lebih efisyen
dan komprehensif sebagai aktiviti sektor ketiga yang formal dengan kerjasama dari pelbagai pihak
termasuk kerajaan dan juga pasaran. Gambaran ‘Model Malaysia’ ini boleh dilihat seperti Rajah 5 di
bawah:
Rajah 3 : Kerangka Ekonomi Model Amerika dan Hubungan dengan Sektor Ketiga
(Sumber: Nahar & Aslam, 2016)
Rajah 4 : Kerangka Ekonomi Model Eropah dan Hubungan dengan Sektor Ketiga
(Sumber: Nahar & Aslam, 2016)
Menelusuri Perkembangan Sektor Ketiga dan Pembangunan Waqaf di Malaysia | 5
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Berdasarkan Rajah 5 di atas, terdapat sepuluh tempat ditanda dengan nombor 1 hingga 10 yang
diwakili oleh setiap entiti di dalam kitaran ekonomi termasuk sektor ketiga. Setiap kawasan
menunjukkan fungsi dan peranan yang berbeza. Kawasan 1 adalah pihak kerajaan yang berperanan
untuk membangunkan ekonomi dan tidak berobjektifkan keuntungan. Contohnya seperti pembinaan
hospital awam, sistem pendidikan kebangsaan dan pembinaan jalan raya untuk kegunaan awam.
Selain itu, tanggungjawab kerajaan tidak hanya tertakluk kepada perkara seperti yang disebutkan di
atas, bahkan ia lebih meluas dan turut menyumbang kepada aktiviti yang dijalankan oleh sektor ketiga.
Ini diwakili oleh kawasan 2 yang mana ia masih kekal sebagai sektor formal dan tidak mencari
keuntungan. Seperti yang disebutkan sebelum ini, sistem waqaf di Malaysia dikategorikan sebagai
sektor formal yang tertakluk di bawah bidang kuasa MAIN di setiap negeri dan tidak dapat lari daripada
penyeliaan pihak kerajaan. Maka waqaf juga boleh diposisikan pada kawasan yang bertanda 2.
Seterusnya, kawasan bertanda 3 adalah mewakili pihak pasaran yang berorientasikan keuntungan.
Walaupun secara umumnya, sistem ekonomi sedia ada tidak dapat lari daripada sistem kapitalis, iaitu
bermotifkan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan soal kebajikan dan nilai altruisme, namun
pihak kerajaan telah menetapkan agar semua syarikat di dalam pasaran terlibat dengan urusan
tanggungjawab sosial yang kebiasaannya dikategorikan sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat
(CSR). Penglibatan ini diwakili oleh kawasan 4 yang mana ia sepatutnya bersifat sukarela walaupun
masih terdapat sesetengah syarikat swasta melaksanakannya dengan motif keuntungan wang ringgit
semata-mata. Elemen waqaf juga boleh dimasukkan di dalam kategori 4 ini terutama bagi syarikat
korporat yang melaksanakan aktiviti waqaf. Contohnya seperti syarikat Awqaf Holding Berhad yang
menggunakan kaedah melabur sambil berwaqaf di mana sumbangan dana waqaf oleh masyrakat
dilaburkan ke dalam perniagaan yang memberikan keuntungan supaya harta waqaf tersebut semakin
berkembang dan bertambah.
Kawasan 5 mewakili sumbangan ekonomi yang diberikan oleh individu dan isi rumah melalui
perbelanjaan penggunaan (consumption expenditure). Secara umumnya, perbelanjaan penggunaan ini
biasanya menyumbang lebih 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara
berbanding perbelanjaan negara bagi permintaan domestik. Aktiviti kesukarelawanan yang disertai oleh
individu secara tidak formal melalui persatuan, komuniti mahupun secara terus dikategorikan di
kawasan 6. Bahkan, sumbangan waqaf secara individu juga termasuk di dalam kategori ini. Jika aktiviti
sukarela ini dibuat secara formal seperti di beberapa negara maju yang lain, ia boleh dikategorikan di
kawasan bertanda 10.
Rajah 5 : Pengubahsuaian Segitiga Kesejahteraan dengan konteks di Malaysia (Sumber: Nahar & Aslam, 2016)
9
Menelusuri Perkembangan Sektor Ketiga dan Pembangunan Waqaf di Malaysia | 6
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Kawasan bertanda 7 adalah aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan secara tidak formal oleh sektor
kerajaan melalui agensi dan kementerian. Contohnya seperti gotong-royong membersihkan kawasan
dan penyembelihan binatang ketika musim Raya Aidiladha.
Kawasan 8 pula adalah kategori syarikat dan agensi di bawah kerajaan yang bergerak dengan motif
keuntungan. Kawasan ini biasanya dikategorikan untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti
Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Petroleum Nasional (Petronas),
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia. Selain menjadikan keuntungan sebagai
objektifnya, GLC juga memainkan peranan yang besar untuk memastikan ekonomi negara sentiasa
utuh, mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh kerajaan, mengurangkan kewujudan
pihak kerajaan dalam pasaran, mengurangkan tahap perbelanjaan awam dan memberikan ruang
kepada pasaran untuk mengawal aktiviti ekonomi agar terus efisyen dan berproduktif tinggi (Nahar &
Aslam, 2016). Kawasan 9 melibatkan aktiviti tidak formal yang dijalankan oleh entiti swasta. Perniagaan
secara kecil-kecilan di jalanan, perniagaan secara atas talian dan perniagaan yang dibuat separuh
masa adalah contoh aktiviti bagi kawasan 9 ini.
Akhir sekali, kawasan 10 adalah sektor ketiga secara tulen yang tidak melibatkan sektor kerajaan dan
pasaran. Aktiviti sukarela dalam sektor ini adalah sangat meluas yang melibatkan kebajikan, kesihatan,
pendidikan, hak asasi manusia dan sebagainya. Tambahan pula, sektor ketiga tulen ini mampu
memberikan khidmat kepada masyarakat merentasi kaum, agama, fahaman politik dan
kewarganegaraan. Antara badan organisasi yang terkehadapan dari sudut promosi dan keaktifan
adalah seperti Mercy Malaysia, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Volunteers Malaysia dan MyKasih.
Secara idealnya, waqaf juga boleh berada di kawasan bertanda 10 supaya sistem ini dapat bergerak
secara lebih aktif dan produktif seterusnya memberikan manfaat yang sangat banyak kepada
masyarakat dan negara. Oleh kerana keterikatan dengan undang-undang sedia ada, kedudukan sistem
waqaf di Malaysia berada di kawasan 2 yang mana ia adalah di bawah pantauan dan seliaan secara
terus melalui kerajaan. Keterbatasan ini mempunyai pelbagai kebaikan dan keburukannya. Apa yang
perlu dilakukan adalah memastikan setiap kekurangan yang ada dapat diatasi sebaiknya demi
kelangsungan perkembangan waqaf sebagai sistem yang dinamik supaya dapat memberikan 1001
faedah kepada Malaysia dan rakyatnya.
Kepentingan Sektor Ketiga dan Waqaf
Kehadiran sektor ketiga yang juga dikenali sebagai sektor sukarela atau sektor komuniti telah
memberikan peranan yang signifikan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat
selain memberikan kerjasama kepada kerajaan dan pasaran.
Di negara tertentu seperti Australia dan Jerman, sektor
sukarela mendapat perhatian apabila sumbangan sektor
ini turut direkodkan dalam laporan prestasi KDNK. Selain
itu, peruntukan undang-undang dan organisasi khusus
yang dipertanggungjawabkan mempromosi peranan
sektor ketiga kepada masyarakat turut diwujudkan agar
sektor ini dapat memainkan peranan yang lebih besar bagi
tujuan pembangunan ekonomi selain mendapatkan
kepercayaan rakyat untuk turut menyumbang ke dalam
sektor ini. Di samping itu, selain menyelesaikan masalah di pelbagai peringkat dari sekecil-kecil daerah
sehingga ke peringkat antarabangsa, sektor ini juga berkembang melalui kepelbagaian aktiviti dan
sumbangan seperti pengumpulan dana, khidmat nasihat dan sokongan, khidmat tenaga serta bantuan
segera.
Rajah 1 : Pusat Kajian berkaitan Sektor Ketiga di Australia & New Zealand
(Sumber: Google Image)
Menelusuri Perkembangan Sektor Ketiga dan Pembangunan Waqaf di Malaysia | 7
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Sektor ketiga dilihat semakin serius apabila turut berusaha memberikan sumbangan jangka panjang
dan lebih sistematik yang melibatkan perubahan pada dasar di peringkat tempatan, nasional dan
antarabangsa (Popowska & Lunski, 2016). Contohnya seperti penglibatan dan kolaborasi bersama
pihak akademik dalam menjalankan penyelidikan dan perkembangan (R&D) terhadap sesuatu isu yang
dihadapi. Kaedah penyelidikan ini membantu mereka menangani isu secara lebih praktikal dan
memberikan cadangan yang baik bersama bukti yang jelas untuk mencadangkan dasar dan polisi
kepada pihak kerajaan dan pasaran.
Walaupun sektor ketiga secara umumnya masih belum mendapat tempat di Malaysia, keberjayaan
sistem waqaf boleh dijadikan sebagai sandaran. Turki sering dikaitkan dengan perlaksanaan sistem
waqaf terutamanya apabila sistem ini dilibatkan di dalam arus perdana pembangunan di negara
tersebut dan telah merekodkan beberapa kejayaan melalui sistem ini ketika era pemerintahan Turki
Uthmaniyah pada tahun 1281-1924. Kerajaan Islam Uthmaniyah pada ketika itu berjaya memanfaatkan
sistem ini sebaiknya sehingga waqaf mampu mendanai perbelanjaan negara secara keseluruhannya
melainkan hanya dua kementerian sahaja yang menggunakan dana kerajaan iaitu Kementerian
Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (Cizakca, 1998).
Selain potensi waqaf yang mampu membangunkan masyarakat melalui pelbagai fungsi seperti
membantu muda-mudi mendirikan rumahtangga, menjaga pesakit miskin di rumahnya sendiri,
menanam pokok di tebing sungai dan membantu pengusaha untuk melakukan perniagaan, waqaf juga
berupaya menyumbang kepada satu lagi matlamat besar pembangunan iaitu memperbaiki agihan
pendapatan untuk kesejahteraan ekonomi (Ali Hashim, 2020). Hal ini terbukti ketika sistem ini
dilaksanakan pada era pemerintahan Islam Uthmaniyah. Pada ketika itu juga, waqaf bukan sahaja
mengurangkan perbelanjaan negara, bahkan berjaya mengurangkan cukai yang dibayar oleh rakyat
serta merapatkan jurang ekonomi antara golongan kaya dan miskin (Sahar, 2020).
Malaysia antara negara yang menjadikan sistem waqaf sebahagian daripada
urusan pentadbiran kerajaan. Hal ini demikian menjadi faktor utama segala
urusan berkaitan waqaf akan mendapat perhatian dan pantauan daripada
pihak kerajaan walaupun ia tidak termasuk dalam kerangka model ekonomi
arus perdana di negara ini,. Meskipun terdapat beberapa kesulitan dalam
memanfaatkan waqaf secara menyeluruh, usaha ke arah penambahbaikan
sistem ini perlu diteruskan dan diperhalusi sebaiknya agar waqaf kembali
menjadi sistem yang terbaik dalam membangunkan sosio-ekonomi rakyat
dan negara. Sehingga kini, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pelbagai
pihak dalam menjadikan sistem waqaf sebagai alternatif pembangunan
ekonomi dan sosial seperti projek waqaf air yang dilaksanakan oleh
Kementerian Alam Sekitar dan Air (sektor pertama), waqaf korporat oleh Awqaf Holding Berhad (sektor
kedua) dan waqaf perigi oleh NGO Al-Ameen (sektor ketiga).
Kesimpulan
Sektor ketiga yang tidak mendapat perhatian sepenuhnya ini perlu dipandang secara lebih serius di
peringkat negeri mahupun negara memandangkan sektor ini semakin hari semakin berkembang luas.
Rakyat Malaysia yang sangat terkenal dengan sikap suka memberi dan membantu pihak lain sedikit
sebanyak menyumbang kepada wujudnya pelbagai entiti di dalam sektor ini bagaikan tumbuhnya
cendawan selepas hujan walaupun ia berkembang secara tidak formal. Dalam konteks Malaysia,
penekanan perlu diberikan terhadap penambahbaikan sistem waqaf sebagai salah satu cabang sektor
ketiga. Hal ini kerana waqaf telah pun mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan merupakan
aktiviti formal di negara ini. Pemahaman yang mendalam serta kesedaran terhadap kesan baik
daripada perlaksanaan sistem waqaf perlu diperluas dalam kalangan masyarakat supaya mereka dapat
memberikan sumbangan secara konsisten terhadap perkembangannya di Malaysia.
Rajah 2 : Yayasan Waqaf Malaysia
ditubuhkan pada 2008 (Sumber: YWM)
Menelusuri Perkembangan Sektor Ketiga dan Pembangunan Waqaf di Malaysia | 8
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
SENARAI RUJUKAN
Cizakca, M. (1998). Awqaf in History and Its Implications for Modern Islamic Economies. Islamic
Economic Studies, 6(1), 43-70.
Defourny, J., & Pestoff, V. (2008). Images and Concepts of The Third Sector in Europe.
Evers, A., & Laville, L. (2004). The Third Sector in Europe. Edward Elgar Publishing.
Helmut, A. (2016). What is the Third Sector? Retrieved from The London School of of Economics and
Political Science.: http://fathom.lse.ac.uk/Features/122549/
Mohammad Azhar. (2014, December 31). Promoting The Role Of The Third Sector In Our Economy.
Retrieved from Institute of Islamic Understanding Malaysia: http://www.ikim.gov.my/new-
wp/index.php/2014/12/31/promoting-the-role-of-the-third-sector-in-our-economy/
Mohammad Sahar Mat Din. (2020, December 21). Memperkasa Waqaf Sebagai Sektor Ketiga Ekonomi
Negara. (BERNAMA, Interviewer)
Molla, R., & Alam, M. (2011). Mainstreaming Third Sector Economics by Adopting Islamic Principles of
Entrepreneurship. Dialogue and Alliance, 25(2).
Muhammad Ali Hashim. (2020, Ogos 6). Waqaf Atasi Cabaran Ekonomi. Retrieved from Awqaf
Holdings Berhad: http://awqaf.com.my/wakaf-atasi-cabaran-ekonomi/
Mohd Nahar Mohd Arshad, & Mohamed Aslam Mohamed Haneef. (2016). Third Sector Socio-Economic
Models: How Waqf fits in? Institutions and Economies, 72-90.
Najam, A. (2000). The Four C’s of Government Third Sector‐Government Relations. Nonprofit
Management and Leadership,, 10(4), 375-396.
Northern, B. (2015, December 9). Public Policy and The Humanities: Public Policy Engagement Toolkit.
Retrieved from Northern Bridge: Doctoral Training Partnership:
http://toolkit.northernbridge.ac.uk/engagingwithpolicymakers/engagingwiththethirdsector/whati
sthethirdsectorandwhatdoesitdo/
Olaf, C. (2010). Defining and Theorizing The Third Sector. In Third Sector Research, 1-342.
Popowska, M., & Lunski, M. (2014). Third Sector Characteristics and Importance.
Roginsky, S., & Sally, S. (2009). Civil Society as a Contested Field of Meanings. International Journal
of Sociology and Social Policy, 29(9/10), 473-487.
Yayasan Waqaf Malaysia. (2020). Yayasan Waqaf Malaysia. Retrieved from Yayasan Waqaf Malaysia:
https://ywm.gov.my/