Laluan Peningkatan Pofesionalisme Keguruan
-
Upload
reymrose83 -
Category
Documents
-
view
401 -
download
3
description
Transcript of Laluan Peningkatan Pofesionalisme Keguruan
1.0 Pendahuluan
Seorang guru mendapat gelaran cikgu kerana pengiktirafan terhadap
ilmunya. Menjadi seorang guru merupakan satu profesion yang mulia.
Profesion perguruan atau bekerja sebagai guru adalah antara beberapa jenis
pekerjaan yang penting dalam proses pembangunan manusia, masyarakat
dan negara. Profesion ini merupakan profesion paling utama dalam proses
penyerapan ilmu pengetahuan kepada individu dan masyarakat. Dalam era
globalisasi sekarang, peranan guru menjadi semakin kompleks dan
mencabar. Golongan guru hendaklah memastikan martabat perguruan
sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa ke tahap yang lebih tinggi
dan dihormati, seterusnya dapat merealisasikan Falsafah Pendidikan
Negara.
Menurut Kamus Dewan (2005) profesion merupakan suatu bidang
pekerjaan yang memerlukan pendidikan, kecekapan serta kemahiran yang
tinggi dan latihan yang khas. Profesion juga merujuk kepada suatu pekerjaan
yang melaksanakan fungsi sosial yang penting. Menurut Noriati, Boon Pong
Ying dan Wong Kiet Wah (2010) Professional ialah ciri-ciri atau atribut yang
terdapat dalam kalangan ahli dalam profesion.
Pengetahuan akademik sahaja tidak cukup untuk menjadi seorang
guru, Pengalaman dan amali praktikal adalah sesuatu yang amat penting
menentukan kejayaan seseorang guru. Keberkesanan penyampaian
pengetahuan adalah hasil sebenar kerja mereka. Ilmu pula merupakan satu
perkara yang amat penting dalam kehidupan masa kini. Tanpa ilmu Negara
tidak dapat dimajukan seiring dengan cabaran era globalisasi. Bagi
memenuhi aspirasi ini, seorang guru perlu terlebih dahulu dilengkapkan
dengan ilmu pengetahuan yang sempurna. Ilmu perlu bagi mendidik dan
melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, emosi, (rasional ke
rohani), intelek dan sahsiah. Ilmu pengetahuan ini diperolehi dari Institusi
Perguruan. Ilmu tanpa pengalaman tentunya tidak melengkapkan seorang
guru sebagai guru pakar.
Berdasarkan petikan dari Berita Harian bertarikh 21 November 2012,
Kementerian Pendidikan akan menjalankan program berterusan bagi
mempertingkatkan tahap profesion perguruan dengan memberi tumpuan
kepada keperluan individu dan latihan berasaskan sekolah. Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bersesuaian dengan
persaingan pendidikan abad ke-21 dan transformasi pendidikan untuk
melahirkan modal insan bertaraf dunia yang mampu bersaing dan
mengharungi cabaran peringkat antarabangsa.
2.0 Teori Perkembangan Guru
Peringkat perkembangan guru bermaksud proses bermulanya
seseorang guru menerima latihan di maktab perguruan, menjalani latihan
praktikum sehingga mengajar di sekolah. Proses mengajar di sekolah
selama beberapa tahun ini menambahkan tahap penguasaan dan kemahiran
seseorang guru. Dalam erti kata lain menjadi seorang guru pakar bukan
dapat di capai dalam sekelip mata tanpa melalui proses yang panjang bagi
memantapkan ilmu dan menimba pengalaman.
Terdapat 2 teori perkembangan guru, iaitu Teori Keprihatinan Fuller
1969 dan Teori Perkembangan Guru Trotter 1986. Fuller (1969) dalam
Noriati, Boon Pong Ying dan Wong Kiet Wah (2010) , cuba menjelaskan
persepsi kebimbangan, masalah, ketidakpuasan dan kepuasan yang di alami
oleh guru praperkhidmatan sepanjang tempoh latihan keguruan. Fuller
(1969), mendefinisikan Keprihatinan sebagai tanggapan guru yang di
anggap sebagai masalah atau sesuatu yang selalu difikirkan oleh guru dan
ingin membuat sesuatu terhadapnya.
Terdapat tiga peringkat guru bermula dari peringkat awal iaitu
peringkat Keprihatinan Terhadap Diri atau Kemandirian diri di mana guru
memberi tumpuan kepada kemampuan diri dalam menghadapi sesi
pengajaran. Seterusnya, Peringkat Keprihatinan Terhadap Tugas. Pada
peringkat ini guru lebih cenderung memberi perhatian cara bagaimana
mengendalikan tugas pengajarannya dengan baik. Peringkat Ketiga ialah
peringkat Impak. Guru mula memberikan perhatian kepada kesan
pengajarannya terhadap pembelajaran pelajar-pelajarnya. Guru mula melihat
potensi pelajarnya berbanding kemampuan dirinya. Proses perkembangan
ini di lihat sebagai proses semula jadi sebagai seorang guru.
Menurut Teori Perkembangan Guru, Trotter, 1986 dalam Noriati, Boon
Pong Ying dan Wong Kiet Wah (2010), terdapat lima peringkat teori
perkembangan guru iaitu peringkat novis, peringkat novis lanjutan, peringkat
cekap, peringkat mahir dan peringkat pakar. Bagi mencapai peringkat pakar,
seseorang guru perlu melalui pengalaman bertahun-tahun untuk mencapai
peringkat guru pakar.
Merujuk pernyataan yang telah di beri, Cikgu Aida berada dalam
peringkat Cekap. Cikgu Aida perlu mencapai peringkat keterampilan bagi
meneruskan peringkat seterusnya. Sebelum cikgu Aida mencapai peringkat
cekap, cikgu Aida telah melalui peringkat Novis di mana guru perlu mencapai
tahap penguasaan bermula dari cikgu Aida mula mendaftar sebagai pelajar
dalam Program Ijazah Perguruan. Seterusnya cikgu Aida perlu melalui
peringkat Novis Lanjutan bagi mengumpul dan menambah pengetahuan
berbentuk fakta, mengenali dan membetulkan fakta yang sebelum ini tidak
difahami. Dari sinilah cikgu Aida menimba pengalaman awal kepada amalan
bilik darjah dengan membantu membina keyakinan diri. Bimbingan guru
mentor amat penting dalam mengekalkan minat dan motivasi cikgu Aida.
Pada peringkat Cekap, cikgu Aida telah memperolehi sijil perguruan
untuk memenuhi keperluan kelayakan yang ditetapkan. Dalam erti kata lain
cikgu Aida telah memperolehi kelayakan Ikhtisas. Cikgu Aida juga perlu
memberi fokus yang lebih kepada tahap pembelajaran murid. Cikgu Aida
perlu memahami prinsip dan konsep pembelajaran dalam pelbagai situasi
dan juga situasi yang khusus. Pada peringkat ini juga, cikgu Aida telah
memiliki pelbagai strategi pengajaran dan mampu menyesuaikannya
mengikut keperluan pelajar yang berbeza-beza. Cikgu Aida juga telah
mampu menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran yang
dihadapi. Dalam peringkat ini juga, cikgu Aida perlu membuat refleksi dan
menilai semula amalan harian pengajarannya. Tempoh yang di ambil pada
peringkat ini adalah selama dua hingga lima tahun.
Peringkat seterusnya ialah peringkat mahir. Peringkat ini perlu dilalui
oleh cikgu Aida selama 10 hingga 15 tahun. Pada peringkat ini cikgu Aida
berada dalam peringkat terbaik dalam profesion perguruan. Guru dalam
peringkat ini pada kebiasaanya menjadi sanjungan bekas pelajar dan diingati
oleh muridnya kerana memberi kesan yang mendalam kepada muridnya.
Sebagai guru pada peringkat mahir juga akan dapat mengenalpasti elemen-
elemen penting di dalam tugas mereka dan mempunyai kemampuan kognitif
yang tinggi bagi mencerakinkan dan menganalisis persekitaran
pembelajaran secara kreatif dan tersendiri. Guru mahir juga mempunyai
gerak hati ataupun intuisi berdasarkan pengalaman yang banyak bagi
membantu seseorang guru seperti cikgu Aida memahami situasi itu.
Sekiranya cikgu Aida berada di peringkat ini maka beliau akan dapat
mempamerkan gaya pengajaran yang tersendiri. Pengalaman semasa di
sekolah adalah penentu utama bagi melihat prestasi dan kualiti pengajaran
bagi guru mahir.
Selain dari itu guru mahir juga mempunyai kebolehan untuk
membimbing dan menjadi mentor kepada guru novis. Perkongsian idea
antara cikgu Aida dan guru novis bukan sahaja membantu guru novis tetapi
juga kepada cikgu Aida untuk mempertingkatkan tahap kebolehan dan
kemahiran yang beliau telah ada. Perkongsian ini boleh dilaksanakan dalam
bentuk forum, kursus latihan dalam perkhidmatan, seminar penyelidikan atau
perbincangan intelek. Cikgu Aida juga menjadi tempat rujukan kepada guru
novis jika terdapat masalah atau kekeliruan dalam pengajaran.
Perbincangan yang dilaksanakan dapat menjana idea baru dan dapat
mengatasi masalah yang timbul.
Peringkat yang tertinggi dalam perkembangan profesionalisme
keguruan adalah peringkat Guru Pakar. Pada peringkat ini, cikgu Aida akan
menjadi seperti seorang bintang kerana pengalamannya dapat digunakan
secara holistik di mana beliau mempunyai kemahiran dan kepakaran yang
tinggi dalam mata pelajaran pengkhususannya. Dalam peringkat ini Cikgu
Aida akan menjadi ‘Role Model’ kepada guru lain dan menjadi sumber
rujukan berkaitan bidangnya. Untuk mencapai tahap Guru Pakar, Cikgu
Aida perlu meningkatkan kemahiran dan pengetahuannya secara optimum
serta sentiasa peka dengan perubahan system pendidikan pada masa kini.
3.0 Laluan Peningkatan Profesionalisme Guru
Matlamat pendidikan Negara adalah untuk membangunkan modal
insan kelas pertama yang bakal menerajui pembangunan negara pada
masa depan. Kejayaan pendidikan Negara sangat bergantung kepada guru
yang menjadi tunjang kepada pelaksanaan pendidikan Negara. Guru
mempunyai komitmen yang tinggi untuk memastikan pelajarnya mendapat
pendidikan yang berkualiti. Namun pendidikan yang berkualiti hanya dapat
diperolehi daripada seorang guru yang berpengetahuan dan berkemahiran
tinggi di dalam bidangnya. Apabila prestasi guru meningkat secara tidak
langsung ia akan memberi kesan positif kepada prestasi pelajarnya.
Nor Hartini binti Saari (Berita Harian) dalam tulisannya memuatkan
kajian yang dijalankan di Tennessee, Amerika Syarikat pada pertengahan
tahun 1990-an yang menunjukkan relatif guru berpendidikan tinggi dapat
meningkatkan pencapaian murid sebanyak 50 peratus dalam tempoh tiga
tahun berbanding guru berprestasi rendah.
Maka dengan itu, KPM telah merancang pembangunan pendidikan
dengan memberi keutamaan kepada pembangunan kualiti guru dan
pemimpin dalam usaha memartabatkan profesion keguruan dengan
matlamat menjadikan profesion keguruan dihormati serta dipandang tinggi .
Oleh itu, guru perlulah berusaha untuk menyemai sifat – sifat seorang guru
yang profesional serta meningkatkan tahap profesionalisme mereka. Antara
sifat dan kualiti profesional seorang guru seperti yang telah digariskan oleh
KPM ialah suka membaca, ingin tahu, kemahiran bertutur, daya ingatan,
daya usaha dan pengetahuan ikhtisas. Namun usaha kerajaan untuk
memartabatkan profesion keguruan hanya akan sia – sia jika tidak
mendapat sokongan daripada para guru sendiri.
Justeru, peluang untuk para guru menjalani latihan kemahiran
berterusan serta laluan kerjaya telah terbuka luas selain dapat meningkatkan
lagi mutu PdP dalam perkhidmatan seorang guru Justeru, dalam
meningkatkan profesionalisme perguruan hingga ke peringkat Guru Pakar,
Cikgu Aida mempunyai banyak pilihan dan sokongan yang diadakan oleh
pihak kerajaan dan swasta. Antara laluan dan program perkembangan
profesionalisme keguruan yang boleh Cikgu Aida jalani ialah melalui
Penyelidikan dan Kajian Tindakan, Kursus Peningkatan Profesionalisme
Keguruan ,Penyeliaan Pengajaran – Pembelajaran di dalam kelas oleh
Pengetua/ Guru Besar, Kerjasama Profesional/ Kolaborasi, Pembelajaran
Sepanjang Hayat : Budaya Ilmu dan Globalisasi Pendidikan
3.1. Penyelidikan dan Kajian Tindakan
Menurut Mook Soon Sang ( 2010 ) Penyelidikan Tindakan adalah satu
bidang soal selidik dan kajian yang berbentuk refleksi kendiri yang dijalankan
oleh sekumpulan penyelidik atau individu. Stenhouse (1975) dalam Zaim
(2012) berpendapat bahawa jika guru hendaklah merealisasikan aspirasi
negara mereka, adalah perlu mereka menganggap peranan mereka sebagai
penyelidik. Di bawah konteks perkembangan profesionalisme keguruan ,
penyelidikan tindakan ini boleh digunakan untuk mengkaji masalah-masalah
pendidikan dan membaiki keadaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di
dalam bilik darjah. Para guru yang telah diberi pendedahan berkaitan Kajian
Tindakan, perlu menjalankan penyelidikan supaya aspirasi negara untuk
membina insan yang mempunyai kemahiran meneroka jati diri terbina secara
intrinsik. Dengan menjalankan penyelidikan dapat menggalakkan guru
membuat refleksi terhadap masalah-masalah yang berlaku semasa sesi PdP
seterusnya mengesan dan membaki kelemahan dan kekurangannya. Donald
Schon (1983) dalam Zaim (2012) menekankan amalan refleksi sebagai
asas dan saluran untuk perkembangan ilmu professional. Elliott (1993)
dalam Zaim (2012) menekankan betapa perlunya refleksi yang sistematik
sebagai cara untuk mempertingkatkan mutu keputusan dan tindakan
profesional yang dibuat oleh seorang pengkaji. Elliott telah mengutarakan
paradigma sains praktikal yang merangkuami konsep guru sebagai
penyelidik dan pengamal refleksi. Proses ini melibatkan penyelidikan
tindakan dan inkuiri tindakan. Dari pandangan-pandangan di atas, jelaslah
bahawa penglibatan guru secara berterusan sebagai penyelidik boleh
meningkatkan keberkesanan guru yang seterusnya dapat menyumbangkan
kepada kualiti pendidikan.
Dengan menjalankan penyelidikan tindakan, guru dapat
meningkatkan kemahiran perancangan, pemerhatian, mengumpul data,
menganalisis, menilai, menginterpretasi, membuat refleksi serta merumus
demi meningkatkan tahap ilmu pengetahuan dan imejnya dalam profesion
keguruan. Selain itu, guru berpeluang mengubah dan mencuba sesuatu
kaedah dan teknik mengajar baharu yang lebih sesuai dan hasil dapatan
yang diperoleh didokumentasikan dalam bentuk tulisan. Ini bukan sahaja
merupakan bahan rujukan yang penting bagi guru sendiri, tetapi juga
sebagai sumbangan idea baharu untuk dirujuk oleh rakan sejawat dan guru-
guru di sekolah lain.
3.2. Penyeliaan Pengajaran – Pembelajaran di dalam kelas oleh
Pengetua/ Guru Besar.
Keberkesanan pelaksanaan kurikulum dijalankan melalui proses dan aktiviti
PdP oleh guru-guru di sekolah memerlukan penyeliaan yang rapi dan
sistematik dari pihak Pengetua/ Guru Besar dengan tujuan
mempertingkatkan keberkesanan proses PdP guru di sekolah. Sebagai
pemimpin profesionalisme di sekolah, Pengetua dan Guru Besar adalah
pelaksana utama kurikulum dan penyeliaan PdP di sekolahnya. Ianya
bertujuan mempertingkatkan daya profesionalisme guru-guru dalam
melaksanakan kurikulum sekolah melalui proses PdP.
Melalui penyeliaan Cikgu Aida dapat berkongsi dengan Pengetua/
Guru Besar berkaitan pengetahuan dan pengalaman untuk menilai 2
bidang iaitu bidang pertama ialah Organisasi iaitu, Iklim Kelas dari segi
organisasi kelas, kawalan murid, komunikasi, motivasi, sikap murid ,
kebersihan dan perhiasan; Penyeliaan Gerak Kerja; penilaian prestasi; profil
murid dan Panitia Mata Pelajaran di mana ciri bidang organisasi tersebut
merupakan petunjuk yang boleh membantu keberkesanan PdP.
Bidang kedua yang akan diselia ialah bidang Pengajaran dan
Pembelajaran dari segi Rancangan pengajaran iaitu objektif dan isi
kandungan; persediaan alat/bahan pengajaran dan penggunaannya;
penyampaian isi pelajaran;teknik bersoaljawab; interaksi guru-murid dan
penggunaan masa.
Selepas penyeliaan Cikgu Aida dan Pengetua/Guru Besar akan
mengadakan perbincangan yang berfokuskan maklumat-maklumat prestasi
berkaitan kelemahan dan kekuatan pengajaran – pembelajaran. Tindakan
susulan akan dirancang bagi meningkatkan keberkesanan PdP di mana
beberapa perubahan perlu dibuat supaya Cikgu Aida dapat mencapai
objektif pencerapan bagi meningkatkan kemahiran profesionalisme
keguruannya.
3.3. Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan
Latihan ikhtisas selama beberapa tahun tidak boleh menjamin Cikgu
Aida sudah terlatih untuk selamanya. Sebaliknya, jika Cikgu Aida tidak
mempunyai sikap untuk belajar dan menambah ilmu pengetahuan selepas
dilatih, Cikgu Aida akan ketinggalan dan profesion keguruan mungkin akan
kehilangan martabatnya. Sikap ingin belajar perlu di pupuk kerana ia amat
penting untuk guru itu sendiri di samping memenuhi hasrat kerajaan bagi
memartabatkan profesion perguruan. Peluang untuk meningkatkan diri perlu
bagi Cikgu Aida dengan menerima lebih banyak pendedahan kepada
perkembangan terkini dalam bidang pendidikan melalui latihan supaya
maklumat yang diperolehi boleh disampaikan kepada lebih ramai guru yang
lain. Ini adalah kerana tanggungjawab sebagai seorang guru adalah
kompleks, iaitu guru bukan sahaja perlu mempertingkatkan pencapaian
akademik murid tetapi juga perlu menaikkan martabat profesion perguruan.
Perubahan peranan guru hari ini adalah diiringi dengan perubahan
strategi PdP dalam bilik darjah. Ini bermaksud sistem latihan perguruan yang
yang terdahulu telah dianggap tidak begitu relevan untuk digunakan untuk
mencapai matlamat pendidikan yang sering berubah seiring dengan
peredaran masa. Oleh itu, latihan dalam perkhidmatan merupakan satu
cabang bagi meningkatkan tahap profesionalisme keguruan. Justeru, dalam
memperkukuhkan aspek kemahiran guru, Cikgu Aida digalakkan untuk terus
melengkapkan diri dengan mengemaskini ilmu pengetahuan dan kemahiran
mengajar dari semasa ke semasa untuk menghadapi cabaran dan tuntutan
daripada perubahan strategi PdP dalam bilik darjah. Kementerian Pelajaran
Malaysia telah mengambil langkah awal dengan menggalakkan guru-guru
meningkatkan tahap penguasaan akademik. Kementerian telah
menyediakan ruang dan peluang bagi guru-guru meneruskan pembelajaran
hingga ke peringkat PHD. Cikgu Aida boleh mengikuti kursus-kursus
pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pelajaran, Jabatan
Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah misalnya Kursus Dalam
Perkhidmatan atau Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan seperti
Kursus Dalam Perkhidmatan 14 Minggu.
Antara program peningkatan Profesionalisme keguruan ialah
Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR) dan Program
Pensiswazahan Guru (PPG) yang dijalankan dalam mod cuti. Program ini
adalah bertujuan untuk memastikan seratus peratus guru mempunyai ijazah
pertama menjelang tahun 2020. Selain itu Kementerian Pelajaran Malaysia
turut menyediakan pelan tindakan Pembangunan Profesionalisme
Berterusan untuk memantapkan Program Pengsiswazahan Guru untuk
meningkatkan tahap kelayakan pendidikan guru/pemimpin melalui
perkongsian pintar awam – swasta. ( Pelan Strategik Interim, Kementerian
Pendidikan Malaysia 2011-2020).
Latihan dalam perkhidmatan dapat menjadikan Cikgu Aida guru yang
lebih berkemahiran aras tinggi seterusnya dapat membantu melahirkan
masyarakat High Order Thingking (HOT) secara kritis, kreatif dan inovatif.
Proses melahirkan modal insan yang berinovatif dan berkemahiran tinggi ini
merupakan sebahagian pelaburan besar pendidikan untuk menjamin
kemajuan ekonomi dan kesejahteraan negara
Selepas menghadiri dan mengikuti kursus dalam perkhidmatan itu,
Cikgu Aida perlu berkongsi ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada rakan-
rakan sejawat dengan menjalankan kursus dalaman di sekolahnya. Dengan
cara ini ilmu pengetahuan dan kemahiran pendidikan dapat disebarkan
kepada guru-guru yang tidak berpeluang mengikuti kursus pendidikan
tersebut.
Selain itu, bagi mempertingkatkan kompetensi Pegawai Perkhidmatan
(PPP), Dasar Sumber Manusia Sektor Awam 2005 menyatakan dalam
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2005 yang menyatakan Ketua
Jabatan hendaklah memastikan anggota masing-masing di semua peringkat
mengikuti kursus sekurang-kurangnya tujuh hari setahun.
Selain itu, KPM juga telah mengambil beberapa pendekatan dengan
memperkenalkan konsep latihan dalam perkhidmatan berasaskan sekolah
bagi mendukung konsep “lets manager manage”. Pelaksanaan latihan
secara “on-site” dan “school based” telah dilaksanakan bagi mengatasi
masalah guru meninggalkan kelas. Latihan ini bertujuan untuk mendedahkan
Cikgu Aida kepada inovasi terkini, meningkatkan profesionalisme keguruan,
meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, mewujudkan sistem nilai dan
amalan yang mantap dan memartabatkan profesion perguruan.
3.4. Kerjasama Profesional/ Kolaborasi
Menurut Mook Soon Sang (2010) Kerjasama membawa maksud
saling membantu, manakala professional ialah orang yang mempunyai
kelayakan akademik serta ikhtisas dalam sesuatu perkerjaan. Sebagai
contoh, seorang guru terlatih boleh digolongkan sebagai seorang yang
professional kerana dia mempunyai kedua-dua kelayakan akademik dan
ikhtisas.
Konsep pengurusan ilmu secara kolaboratif sebenarnya mendorong
Cikgu Aida untuk meningkatkan profesionalisme dengan memberikan yang
terbaik melalui perkongsian dan mencari maklumat yang baru. Fullan dan
Hargreaves (1992) dalam Zaim (2012) menjelaskan bahawa konsep
`collaberative’ di dalam pekerjaan akan memberikan lebih pendekatan untuk
menjadikan pendidik lebih profesionalisme terutama di kalangan mereka
yang baru berkhidmat. Langkah -langkah yang dijalankan oleh Fullan dan
Hargreaves merupakan cadangan yang sama dengan konsep pengurusan
ilmu iaitu menggalakkan pendidik bekerjasama menjalankan idea yang
dicipta untuk mencapai matlamat mereka berkaitan dengan projek dan
pembangunan pelajar seperti sering bertukar pendapat, kerjasama di dalam
seminar, forum, mesyuarat, atau perjumpaan yang diadakan oleh pihak
sekolah bagi tujuan pembangunan profesionalisme guru.
Selain itu menganjurkan perjumpaan secara tetap bertujuan
berbincang mengenai masalah pelajar bertukar pendapat serta berkongsi
pengalaman mengajar, nota pelajaran, menggubal soalan-soalan ujian dan
meneliti semula penilaian dan pencapaian pelajar, dan menggunakan
kesempatan untuk membina alat bantu mengajar melalui Panitia Mata
Pelajaran yang telah dibentuk.
Selain itu, Cikgu Aida boleh meningkatkan kemahiran mengajar
dengan merancang aktivti penilaian sebaya di antara guru mata pelajaran.
Cikgu Aida juga harus mengadakan Latihan Dalaman dengan tujuan
berkongsi pengalaman dan kemahiran mengajar.
3.5. Pembelajaran Sepanjang Hayat : Budaya Ilmu
Menurut Boon Pong Ying, dalam perkembangan diri, guru harus
mengamalkan konsep “belajar seumur hidup”. Amalan membaca, menulis
dan melakukan penyelidikan tindakan memperluaskan pengalaman,
pengetahuan dan pandangan guru terhadap bidang pendidikan. Ia
menajamkan kecekapan serta keyakinannya dan ia akan menjadi kreatif,
reflektif dan berinovasi dalam amalan pengajaran.
Bagi membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, kerajaan
Malaysia juga menggalakkan institusi pengajian tinggi swasta mengambil
bahagian dalam menggalakkan guru menyambung pengajian. Kerajaan telah
membenarkan pusat pengajian swasta untuk menyediakan latihan pra-
perkhidmatan dan dalam perkhidmatan untuk guru sekolah rendah dan
menengah. Pusat pengajian swasta akan bertanggungjawab untuk
menentukan bidang subjek khusus mereka contohnya, Bahasa Melayu atau
pra sekolah. Manakala cara pembelajaran yang akan digunakan contohnya,
secara bersemuka, e-pembelajaran dan model campuran.
Bagaimanapun, pihak swasta mesti mematuhi standard kualiti seperti
yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dan MQA untuk latihan
guru . Kementerian Pendidikan pula, akan membuka ruang untuk pelantikan
guru sektor awam dari kalangan graduan institusi-institusi ini. Pusat
pengajian swasta ini dipilih melalui proses permintaan untuk cadangan, di
mana yang pertamanya telah dilancarkan pada penghujung tahun 2010.
Merujuk Program Transformasi Ekonomi, Hala Tuju Untuk Malaysia
dalam Bab 14: Transformasi Bidang Pendidikan sebagai Enjin
Pembangunan, Malaysia mempunyai tiga pengusaha besar dalam ruang
pendidikan dalam talian, iaitu e-Universiti Asia, Universiti Wawasan dan
Universiti Terbuka. Ini merupakan laluan permulaan yang mantap untuk
memartabatkan profesion perguruan. Universiti Terbuka telah ditubuhkan
pada 2000 menerusi gabungan 11 universiti awam. Ia bertujuan untuk
memberi penyelesaian pendidikan fleksibel supaya setiap rakyat Malaysia
boleh mendapat akses kepada pendidikan tertiari. Universiti Wawasan pula
telah ditubuhkan pada 2007 dan ia memberi perhatian khusus kepada
kursus-kursus ijazah Pendidikan Dewasa dan pensijilan dalam sains
pengurusan dalam teknologi.
Kementerian Pelajaran juga telah menyediakan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menekankan kepada peningkatan
pembelajaran dan pembangunan guru. Ianya bukan saja memartabatkan
profesion perguruan tetapi sebagai satu transformasi dalam bidang
pendidikan. Pelan ini di lihat mampu melahirkan guru berkemahiran abad ke-
21 dan untuk melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat. Cabaran
kehidupan hari ini menyebabkan guru perlu menyediakan murid yang
mampu berdaya saing. Kemampuan ini terletak kepada kemampuan minda
dan keupayaan berfikir pada tahap tinggi, iaitu kritis, kreatif, inovatif dan
imiginatif.
Budaya ilmu ini boleh dioperasikan dalam enam jenis bidang iaitu
melalui budaya membaca, budaya berfikir, budaya belajar, budaya
berkarya, bermusyawarah dan refleksi.
Budaya membaca iaitu rajin membaca dengan tujuan menambah ilmu
pengetahuan serta mengembangkan daya fikir sendiri. Maka dengan itu
alternatif lain yang digunakan bagi menggantikan latihan selama 7 hari
seperti yang terdapat dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun
2005, adalah melalui kaedah pambacaan buku-buku ilmiah. Pembacaan
buku ilmiah dan penulisan sinopsisnya ini perlu dibentangkan dalam
mesyuarat atau perhimpunan bulanan yang dipengerusikan oleh ketua
jabatan. Secara tidak langsung Cikgu Aida dapat menambah ilmu
pengetahuan guru melalui pembacaan buku ilmiah.
Budaya berfikir pula ialah sentiasa berusaha meningkatkan dan
memperkayakan pemikiran diri sendiri melalui proses analisis, sintesis dan
kritis.
Budaya belajar pula ialah sentiasa berusaha menambah dan
mengembangkan ilmu pengetahuandan melalui berbagai proses
pembelajaran sama ada secara formal atau tidak formal.
Budaya berkarya ialah sentiasa berusaha menyebarkan ilmu
pengetahuan atau kemahiran dengan lisan ataupun secara bertulis sebagai
sumbangan untuk dimanfaatkan oleh ahli-ahli masyarakatnya.
Budaya bermusyawarah iaitu pengurusan dan proses membuat
keputusan tentang hal pendidikan dijalankan secara muafakat atau
musyawarah dalam semangat berpasukan.
Budaya refleksi ialah proses penilaian kendiri, menimbangkan hasil
dapatan daripada kajian kes pendidikan dengan tujuan menyedari dan
memahami kekuatan dan kelemahannya dan mencari ikhtiar untuk
mengatasi kelemahan tersebut.
Oleh itu Cikgu Aida perlu perlu mengamalkan budaya ilmu sepanjang
hayat bersesuaian dengan hadith Nabi yang bermaksud menuntut ilmu dari
buaian hingga ke liang lahad yang bermaksud menuntut ilmu itu tiada
hentinya daripada kecil hinggalah ke akhir hayat. Perkembangan kendiri
melalui proses pendidikan sepanjang hayat akan membolehkan guru
melengkapi ilmu dan kemahiran terkini supaya Berjaya melaksankan tugas
sebagai pendidik yang beriwbawa demi merealisasikan MIsi Kementerian
Pelajaran serta aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan
2020.
3.6. Globalisasi Pendidikan
Globalisasi bermaksud merentasi sempadan dan media. Dengan
adanya Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), pemerolehan ilmu telah
tidak terhad dalam bangku sekolah sahaja, tetapi juga melalui internet
antarabangsa. Menurut Prof Michael Gibbons (2003). Setiausaha Agung
Persatuan Universiti Komanwel, globalisasi pendidikan ialah proses
perubahan untuk amalan pengajaran yang berkualiti di mana ia akan
membawa tekanan kepada guru supaya berubah dari stail pengajaran lama
kepada yang baharu, mengikut hasil dapatan penyelidikan yang terkini.
(Mook Soon Sang, 2010).
Untuk menghadapi cabaran globalisasi pendidikan, Malaysia telah
mengambil beberapa langkah positif seperti menubuhkan Multimedia Super
Corridor (MSC) dan sekolah-sekolah bestari, mereformasikan kurikulum
sekolah seperti Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR ) pada 2011,
serta penswastaan pendidikan tinggi dengan memberi peluang penubuhan
kolej – universiti swasta di dalam negeri.
Untuk menjadi seorang guru pakar, Cikgu Aida perlu bersifat dinamik
iaitu sentiasa responsive dan berupaya menyesuaikan diri untuk
menghadapi perubahan-perubahan dari semasa ke semasa. Cikgu Aida
mesti bersedia berubah mengikut perubahan era globalisasi. Ledakan ilmu
pengetahuan hari ini merangkumi dunia tanpa sempadan dan mencabar
kredibiliti guru dalam mendidik pelajar. Oleh itu Cikgu Aida perlu bersedia
dengan ilmu pengetahuan yang lengkap bagi menangani segala
kemungkinan. Cikgu Aida hendaklah berorientasikan maklumat, iaitu
bersungguh-sungguh mengejar maklumat-maklumat baharu yang berkaitan
dengan pendidikan bagi meningkatkan pengetahuan dan ketrampilan
khususnya dalam era globalisasi dan teknologi maklumat dan komunikasi
(ICT) kini dengan mempertajam kemahiran mengajar melalui ICT, meneroka
dan menukar maklumat dengan guru-guru lain yang lebih berpengalaman.
. Menurut Mohd Azrone Sarabatin dan Amin Ridzuan Ishak (Berita
Harian, 2012) dengan memetik kata-kata Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin, program Pembangunan Profesional Berterusan untuk
guru akan dipertingkat dengan tumpuan kepada keperluan individu dan
latihan berasaskan sekolah bermula tahun 2013. Beliau berkata ia
bersesuaian dengan persaingan pendidikan abad ke-21 dan transformasi
pendidikan untuk melahirkan modal insan bertaraf dunia yang mampu
bersaing dan mengharungi cabaran peringkat antarabangsa.
3.7. Kesimpulan laluan Peningkatan Profesionalisme Keguruan
Kesimpulannya, segala usaha yang telah dan akan dilaksanakan oleh
pihak kerajaan dan swasta untuk memartabatkan profesion keguruan
haruslah dipuji kerana menjadi laluan guru untuk memartabatkan profesion
perguruan. Oleh hal yang demikian semua pihak terutamanya pihak guru di
Malaysia itu sendiri haruslah menyokong segala rancangan dan projek
dalam usaha memartabatkan profesion keguruan kerana dalam zaman
baharu ini profesion keguruan merupakan suatu profesion yang semakin
mencabar. Ditambah lagi dengan para pelajar dan murid yang semakin
matang dan maju dalam menongkah arus kehidupan yang serba maju dan
moden sekarang. Justeru itu semua pihak haruslah memainkan peranan
mereka agar usaha untuk memartabatkan profesion keguruan akan
mencapai matlamatnya.
Hasil dari perbincangan di atas, jelas menunjukkan cikgu Aida
mempunyai banyak pilihan bagi meningkatkan tahap profesionalismenya
sehingga mampu menjadi guru pakar. Cikgu Aida perlu mengikuti laluan
yang betul dan membuat pilihan yang tepat.
4.0 Cabaran dan Transformasi Pendidikan Masa Kini
Menurut Prof. Dr Muhammad Naquib[1] ( dalam Syiju Salju, 2012)
beliau telah mendefinisikan pendidikan sebagai “menanam sesuatu ke dalam
diri manusia”. Oleh sebab itu, untuk menanam sesuatu ke dalam diri
manusia adalah cabaran hebat yang di galas oleh guru. Misi dan hala tuju
pendidikan Negara semakin pesat setelah terbentuknya wawasan 2020.
Cabaran globasisasi turut sama menjadi cabaran kepada pendidikan
Malaysia seiring dengan pembangunan Negara.
Menurut Abdul Said Ambotang (2013), pada abad ke -21, Malaysia
menghadapi pelbagai cabaran dalaman dan luaran akibat daripada kesan
globalisasi, liberalisasi dan perkembangan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi. Oleh itu, cabaran negara dalam sistem pendidikan adalah untuk
membangunkan satu sistem ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau K-
ekonomi. Kesannya, cabaran ini telah mendorong negara untuk
membangunkan sumber tenaga yang mempunyai ciri-ciri K-Worker, celik
dan mahir dalam ICT, yang mampu bersaing pada peringkat tempatan dan
global serta memiliki jati diri yang tinggi. Perubahan yang amat hebat dan
pantas telah menyebabkan sistem pendidikan di Malaysia dalam abad ke-21
turut berubah selaras dengan matlamat Wawasan 2020.
Menurut Dato’ Seri Mohd Najid Tun Abdul Razak (dalam Syiju Salju,
2012) pendidikan bertaraf dunia bermaksud usaha-usaha strategik dalam
menglobalisasikan pendidikan, mencari ilmu pengetahuan tidak kira dimana
dan membuka minda untuk menghadapi cabaran. Hal ini menjadikan
profesion keguruan cukup mencabar jika dilihat dari segi tanggungjawab
guru terhadap agama, bangsa dan negara. Melalui cabaran dan transformasi
yang dihadapi oleh guru-guru di Malaysia menjadikan guru seperti Cikgu
Aida di hormati dan di segani. Hal ini berlaku kerana mereka yang
bertanggungjawab memastikan Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah
Pendidikan Guru dicapai dengan jayanya. Cikgu Aida memainkan peranan
yang dominan dalam merealisasikan aspirasi negara untuk mewujudkan
transformasi dalam perpaduan kaum bagi mengimbangkan kewujudan
integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.
Sebagai guru, Cikgu Aida ialah ejen keberkesanan dalam cabaran
dan transformasi pendidikan. Kejayaan dan keberhasilan guru terhadap
tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi disifatkan
sebagai cabaran yang harus didepani dengan profesional. Seperti profesion
lain, bidang keguruan yang juga terkandung dalam Dasar Pelajaran
Kebangsaan tidak terkecuali mendepani cabaran yang cukup besar.
Perkembangan bidang sains dan teknologi turut menjadikan bidang
pendidikan semakin mencabar. Oleh itu jelaslah di sini bahawa dunia
pendidikan berubah dengan penekanan diberikan terhadap penggunaan
teknologi maklumat yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Keadaan ini seterusnya menyebabkan pengurusan di sekolah menjadi
semakin kompleks.
Menurut David Ryans dalam bukunya Characteristics Of Teachers—
Their Description, Comparison, And Appraisal (dalam Rizuan Kamis, 2012)
berpendapat bahawa guru yang berkesan dalam menangani cabaran ialah
guru yang mempunyai sifat adil, demokratik, responsif, bertimbang rasa, baik
hati, jujur, cergas, menarik, bertanggungjawab, stabil, tenang dan
berkeyakinan. Cikgu Aida juga sebenarnya berperanan sebagai ejen
penyalur budaya dan ilmu. Selain itu, setiap guru juga berperanan sebagai
institusi kedua selepas keluarga. Dalam cakupan ini, Cikgu Aida memainkan
peranan sebagai ejen pewarisan budaya yang penting bagi membentuk
sesebuah masyarakat. Proses pembelajaran mungkin berlaku secara
spontan dan personaliti berubah secara tidak disedari. Cikgu Aida harus
berdepan dengan cabaran secara profesional dan sedar tentang hakikat
bahawa guru ialah pembimbing dan pendidik dalam masyarakat yang
berbudaya. Banyak persepsi yang melingkari profesion keguruan, antaranya
tanggapan yang menyatakan bahawa profesion keguruan sebagai mudah
dan tidak memeningkan kepala, namun menjanjikan gaji yang memuaskan.
Tetapi orang di luar sana membuat kesilapan besar kerana tanggapan
salah mereka, jika mereka kaji dan selidik bahawa profesion keguruan
mempunyai cabarannya sendiri dan memerlukan persediaan yang
secukupnya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Profesion keguruan
menjurus cabaran yang dihadapi di kawasan sekolah amnya dan cabaran
dalam pengajarannya khususnya. Mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk
Dr. Haji Ahamad Sipon, berkata, dalam abad ke-21, bidang pendidikan
menghadapi pelbagai cabaran akibat kesan globalisasi dan liberalisasi.
Setiap pendidik di institusi pendidikan pasti menghadapi cabaran sebagai
seorang pendidik.
Persepsi masyarakat yang menyatakan bahawa guru ibarat “ibu bapa
kedua” secara tidak langsung menggambarkan tanggungjawab yang besar
kepada golongan pendidik. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan
ibu bapa meletakkan sepenuh kepercayaan dan tanggungjawab kepada
guru untuk mengajar anak mereka supaya cemerlang dalam bidang
akademik. Oleh sebab itu, kesan globalisasi dan liberalisasi menuntut Cikgu
Aida sebagai guru yang berilmu agar celik dan mahir dalam penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Dalam suasana alaf baharu yang
berorientasi TMK, teknologi memainkan peranan yang besar dalam
pendidikan.Aida juga perlu menanamkan sikap mahupun sifat aktif dan
bersikap terbuka bagi melihat teknologi baharu sebagai perkara yang positif
dan berusaha mencari alternatif yang terbaik bagi menguasainya.
Pengaplikasian teknologi dalam pengajaran akan menghasilkan generasi
berteknologi yang mampu mengharungi era globalisasi, sekali gus
merealisasikan impian negara agar menjadi negara maju pada 2020.
Sebagai seorang guru yang mempunyai inovasi dan kreatif dalam
melaksanakan tugas dan tanggungjawab Cikgu Aida perlulah menyesuaikan
dengan misi dan visi sekolah serta mampu memenuhi matlamat pendidikan
negara bagi meningkatkan kualiti pendidikan seiring dengan cabaran dunia
globalisasi. Cabaran global dan transformasi yang kini memerlukan guru
seperti Cikgu Aida mempunyai keunggulan hasil inovasi dalam pedagogi
yang ditentukan oleh cara kurikulum yang dilaksanakan dan disesuaikan
dengan konteks budaya yang diwakili oleh setiap murid yang berlainan
bangsa. Menurut Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menegaskan
bahawa untuk melonjak transformasi pendidikan, kerajaan perlu melakukan
perubahan terhadap guru terlebih dahulu.
Seperti mana yang kita ketahui dalam mencapai taraf negara maju
pada abad ke 21, Malaysia memerlukan warganegara yang mempunyai
pengetahuan dan kemahiran dalam bidang Sains dan Matematik. Antara
peranan guru dalam melonjak transformasi pendidikan negara ini adalah
dengan mempersiapkan diri bagi membangunkan kemahiran dalam menjadi
seorang yang kreatif dan berinovasi dalam sesi pengajaran mahupun
pembelajaran terhadap murid-muridnya. Cikgu Aida merupakan ikon guru
dalam bidang pendidikan yang bertanggungjawab membina kreativiti dan
inovasi dalam setiap program pendidikan secara terancang dan sistematik.
Oleh itu, latihan perguruan yang dipraktkikan di institusi pengajian dapat
membantu Cikgu Aida menonjolkan peranannya dengan lebih efisyen dan
berdaya saing bagi menempuh dunia moden ini disamping melengkapkan
diri dengan pengetahuan dan kemahiran insaniah yang diperlukan selaras
dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dalam Cikgu Aida
cuba melakukan transformasi diri dengan melengkapkan diri dengan
pelbagai kemahiran, Cikgu Aida juga harus dilengkapi oleh pakej latihan
yang dianjurkan oleh Jabatan pelajaran Negeri atau Jabatan Pelajaran
Daerah. Melalui pakej latihan yang dianjurkan oleh pihak yang
bertanggungjawab, secara tidak langsung Cikgu Aida akan dapat dilatih
untuk mengkaji semula, mengenalpasti dan menyelesaikan masalah dalam
proses pembelajaran di kelas secara kritis dan kreatif.
Cikgu Aida akan memperoleh banyak manfaat apabila menyertai
pakej latihan yang dicadangkan kerana ia akan peningkatan kualiti
pembelajaran melalui sumbangan idea daripada guru yang berpengalaman,
guru yang berprestasi cemerlang dan guru yang mempunyai kepakaran
dalam bidang tertentu. Selain menyertai pakej latihan, sebagai guru yang
berinovasi juga perlu menghadiri bengkel mengenai e-pembelajaran yang
dianjurkan oleh badan kerajaan mahupun swasta. Melalui bengkel ini juga,
Cikgu Aida akan didedahkan kepada persepsi umum yang berkaitan dengan
kualiti dalam e-pembelajaran. Selain membangunkan dan mempersiapkan
diri Cikgu Aida supaya menjadi guru yang kreatif dan berinovasi, Cikgu Aida
berperanan menyediakan bahan bantu mengajar yang dapat dimanfaatkan
dalam bilik darjah.
Pendidikan kini menekankan penggunaan teknologi komunikasi dan
maklumat dalam bilik darjah bagi menarik minat dan tumpuan murid-murid
untuk terus memberikan rangsangan yang baik ketika Cikgu Aida mengajar
di dalam kelas. Saya juga ingin menegaskan di sini bahawa dasar kurikulum
baru iaitu kurikulum standard sekolah rendah menekankan penggunaan
teknologi komunikasi dan maklumat dalam bilik darjah. Oleh itu bahan grafik
merupakan bahan yang mudah difahami oleh murid selain alat bantu
mengajar bebentuk visual. Cabaran dan transformasi pendidikan masa kini
menuntut agar Cikgu Aida menghasilkan bahan bantu mengajar yang dapat
mempertingkat mutu dan kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa sesuai
dengan perkembangan pendidikan masa kini. Bahan inovasi pendidikan
pemulihan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini
merupakan salah satu contoh bahan bantu mengajar yang boleh digunakan
dalam bilik darjah.
Guru yang peka dan mahir dalam selok belok pengajaran dan
pembelajaran perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan
dan kemahiran serta peka terhadap perkembangan pendidikan terkini. Oleh
itu, Cikgu Aida harus sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuan dari
semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman. Setiap guru juga perlu
bersedia menerima sebarang perubahan sistem pendidikan agar
pengetahuannya selari dengan keperluan masa kini.
Sekiranya Cikgu Aida dapat melaksanakan cabaran dalam
transformasi pendidikan ini maka kesan transformasi yang ketara yang dapat
diramalkan adalah seperti murid akan bersama-sama dapat menghayati dan
menerima ideologi dan visi ke arah menzahirkan wawasan sekolah.
Sementara itu, setelah Cikgu Aida memberikan contoh imej kepimpinan yang
baik maka ia turut akan menjadi ikutan terhadap murid-muridnya. Harapan
yang dan pencapaian yang tinggi terhadap murid melalui kata-kata motivasi
daripada guru serta amalan hidup dan bimbingan daripada guru secara
berterusan. Selain itu, Cikgu Aida juga akan dapat melihat kerjasama
berpasukan sehingga murid berjaya menghasilkan sesuatu yang
menjangkaui kemampuan diri murid-muridnya.Hakikat sebenarnya terdapat
pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan dalam meningkat kualiti
pengajaran Cikgu Aida bagi memastikan peranannya selari dengan cabaran
dan transformasi pendidikan masa kini.