KONSEP TAUBAT ABU TALIB AL -MAKK DALAM … · teori dan praktikal kepada seseorang manusia itu...
Transcript of KONSEP TAUBAT ABU TALIB AL -MAKK DALAM … · teori dan praktikal kepada seseorang manusia itu...
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
100
KONSEP TAUBAT ABU TALIB AL-MAKKI DALAM
PEMBANGUNAN PSIKOLOGI DIRI
*Che Zarrina Binti Sa’ari (PhD)
**Sharifah Basirah Binti Syed Muhsin PhD)
***Mohd Manawi Mohd Akib (M.Us)
Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam,
Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Emel: *[email protected]
Abstrak
Dalam Islam, unsur psikologi sangat penting kerana ia dapat mewujudkan
entiti individu sebagai seorang manusia. Manusia mempunyai dua unsur
utama iaitu jiwa dan jasad yang dikenali sebagai makhluk fizikal dan
kejiwaan. Justeru manusia juga dijadikan dengan empat unsur psikologi
yang menyebabkan lahirnya empat karektor atau watak manusia. Unsur
tersebut telah dibincangkan secara terperinci oleh tokoh psikologi Islam
iaitu al-Ghazali dalam karyanya Ihya’ ‘Ulum al-Din. Empat unsur tersebut
ialah; pertama unsur kehaiwanan (bahimiyyah) iaitu unsur yang berkait
dengan nafsu syahwat. Keduanya unsur keganasan (sabu‘iyyah),
ketiganya unsur kesyaitanan dan keempat unsur ketuhanan (rabbaniyyah).
Sehubungan dengan itu, untuk mendidik jiwa dan jasad ke arah mencapai
unsur ketuhanan (rabbaniyyah), perlunya satu elemen pendorong secara
teori dan praktikal kepada seseorang manusia itu untuk membangunkan
psikologi dirinya kepada yang lebih sempurna. Oleh yang demikian, di
antara cara atau jalan untuk mendidik jiwa dan jasad diri sesorang manusia
adalah dengan elemen taubat yang telah dibincangkan oleh ramai tokoh
sufi sepanjang zaman. Salah seorang tokoh tersebut ialah Abu Talib al-
Makki yang terkenal sebagai tokoh sufi pada zaman Ibn Salim pada kurun
ke 10 M. Sebagai seorang tokoh sufi terkenal dalam perjalanan tarekat
tasawuf, maka beliau telah menggarapkan suatu teori berkenaan taubat dan
menjelaskan keunggulan konsep taubat melalui praktikal dalam kehidupan
sehari-harian. Oleh kerana konsep ini sangat penting dalam pembangunan
psikologi spiritual manusia, maka beliau telah meletak dan
membincangkan konsep taubat ini pada maqam yang pertama dalam
perjalanan suluk ahli sufi. Justeru, kertas kerja yang bersifat analisis
kandungan ini cuba untuk melihat hubungkait antara konsep taubat ini
dengan pembangunan psikologi diri seseorang muslim untuk memperoleh
ketenangan jiwa dan kebahagiaan jasad.
Kata kunci: Taubat, Abu Talib al-Makki, Pembangunan Psikologi.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
101
ABU TALIB AL-MAKKI’S REPENTANCE CONCEPT IN SELF
DEVELOPMENT PSYCHOLOGY
Abstract
In Islam, element of psychological is very important because it can
manifest an individual entity as a human being. Humans have two main
elements namely the soul and the bodies are recognized as physical and
psychological creatures. Hence man is also consists with four
psychological elements and from that inception of human nature or
character. The elements have been discussed in detail by Islamic
psychologist al-Ghazali in his work Ihya’ ‘Ulum al-Din. The four elements
are; the first element is humility (bahimiyyah) which is an element that is
related to lust. Second elements is violence (sabu‘iyyah), and third is the
disbelief and the fourth elements is divinity (rabbaniyyah). Accordingly, to
educate the soul and the body towards the divine element (rabbaniyyah),
the necessity of a theoretical and practical driving element to a human
being is to awaken his psychology to a more perfect one. Thus, among the
ways or ways to educate the soul and the body of a human being is with
the element of taubat which has been discussed by the bustling sufi figures
throughout the ages. One such scholar is Abu Talib al-Makki who is
famous as a sufi figure in the time of Ibn Salim in the period of 10 M. As a
famous sufi figure in the course of sufism tariqa, then he has exploited a
theory of repentance and explain the benefits of the concept of repentance
through practical in daily life. Since this concept is very important in the
development of human spiritual psychology, he has laid out and discussed
this concept of repentance at the first maqam in the course of sufi expert
suluk. For that reason, this paper attempts to see the relationship between
this repentance concept and the psychological development of a Muslim
self in order to obtain peace of mind and happiness of the body.
Keywords: Repentence, Abu Talib al-Makki, Psychology Development.
Pendahuluan
Manusia yang dianugerahkan akal fikiran merupakan makhluk
ciptaan Allah SWT yang terbaik. Tujuan penciptaan manusia ialah
menjadi hamba dan khalifah di muka bumi. Tujuan tersebut tidak
akan tercapai melainkan setelah manusia menyedari dan mengenali
konsep psikologi dirinya dan mengetahui sejauh mana potensi yang
dimiliki bagi memastikan setiap tindakan dan perlakuannya adalah
yang terbaik dan sempurna, selaras dengan tujuan penciptaannya.
Justeru, konsep tersebut perlu dirujuk kepada Pencipta manusia itu
sendiri iaitu Allah SWT melalui penelitian dan pengamatan
terhadap ayat-ayat al-Qur’an dan juga Hadith Nabi Muhammad
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
102
s.a.w yang merupakan panduan utama dalam kehidupan manusia di
dunia demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Jika dilihat dari sudut kronologi, perbahasan psikologi telah
dikupas oleh tokoh falsafah Yunani, antaranya Plato 427SM-
347SM dan Aristotle 384SM-322SM kerana ilmu psikologi
merupakan salah satu topik perbincangan dalam disiplin ilmu
falsafah1. Disiplin ilmu falsafah diserap masuk ke dalam khazanah
ilmu Islam ketika Islam mencapai ketamadunan yang tinggi pada
pemerintahan khilafah ‘Umaiyyah dan ‘Abbasiyyah melalui proses
penterjemahan karya-karya Yunani ke dalam Bahasa Arab.
Seterusnya ia dikuasai oleh orang Islam dan disaring serta
diharmonikan agar sejajar dengan ajaran agama Islam.2
Selama lebih kurang tujuh abad, disiplin psikologi
dibahaskan dalam kajian falsafah dan tasawuf,3 bahkan pada zaman
khilafah ‘Abbasiyyah, mereka telah melahirkan konsep tentang jiwa
secara menyeluruh dengan melakukan kajian terhadap nas-nas
naqliyyah serta analisis secara empirikal melalui pemerhatian,
observasi dan praktikal,4 khususnya dalam bidang tasawuf dalam
mendidik diri agar sentiasa berada dalam keredaan Allah SWT.
Kertas kerja ini membahaskan tentang psikologi Islam
dengan memfokuskan kepada pembangunan psikologi diri melalui
konsep taubat Abu Talib al-Makki. Beberapa kaedah taubat yang
telah dinyatakan oleh beliau akan diketengahkan sebagai satu
konsep dalam membantu manusia menyedari hakikat diri dan
sekaligus menjadi pemangkin dalam pembentukan dan
pembangunan modal insan yang cemerlang. Akhirnya, kertas kerja
ini diharapkan dapat menjadi rujukan awal kepada mereka yang
sedang berusaha meningkatkan jati diri dengan sempurna
khususnya di kalangan Muslim.
1 Imam ‘Abd al-Fatah Imam, Madkhal ila al-Falsafah (al-Kaherah: Dar al-
Thaqafah li al-Nashr wa al-Tawzi‘, 1972), 144 & 156. 2 ‘Abd al-Mu‘ti Muhammad Bayumi, al-Falsafah al-Islamiyyah min al-Mashriq
ila al-Maghrib, (Madinah Nasr: t.t.p., 1982), 1: 91 & 112. 3 Achmad Mubarok, Jiwa dalam Al-Qur’an (Jakarta: Paramadina, 2000), 262. 4 Abdul Mujib dan Jusuf Mudzakir, Nuansa-nuansa Psikologi Islam (Jakarta:
Rajawali, 2011), Xiv.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
103
PERBAHASAN UNSUR TAUBAT DALAM KERANGKA AL-
MAKKI Abu Talib al-Makki tergolong di kalangan ahli tasawuf yang diakui
oleh sarjana Islam dan juga barat. Idea pemikiran yang dibawakan
oleh beliau dijadikan sebagai rujukan dan panduan kepada ahli sufi
selepasnya. Kitab Qut al-Qulub merupakan karya agung Abu Talib
al-Makki dalam bidang tasawuf telah menonjolkan elemen-elemen
spiritual dan pengalaman kerohanian al-Makki yang teratur dan
sistematik dalam doktrin kesufian dan telah memberi pengaruh
yang besar terhadap karya sufi generasi seterusnya.5 Pengaruhnya
dalam dunia kesufian makin dirasakan kerana beliau juga adalah
ahli sufi yang bukan hanya menulis sejumlah karya agung malah
beliau juga terkenal sebagai seorang ahli tarekat tasawuf yang
mempunyai ramai murid atau pengikut.
Dalam disiplin ilmu tasawuf, penekanannya ditumpukan
kepada aspek spiritual, intelektual dan juga fizikal. Ketiga-tiga
aspek ini saling berkaitan antara satu sama lain dalam pembentukan
rohani atau spiritual seseorang. Ia mampu membina dan
membangunkan psikologi dan keperibadian muslim melalui
pembersihan jiwa (tazkiyyah al-nafs) yang mempunyai hubungan
yang rapat dalam memperoleh ma‘rifat Allah SWT dan pemurnian
terhadap akhlak. Ia merupakan metodologi atau sebagai terapi yang
disarankan kepada umat Islam dalam menangani masalah sosial dan
penyakit rohani. Secara umumnya, tazkiyyah al-nafs bermaksud
penyucian, pembersihan dan penyuburan diri. Ia adalah satu usaha
yang gigih untuk membersihkan diri seseorang individu tersebut
dari sifat-sifat keji dan buruk (madhmumah). Apabila pembersihan
diri sudah selesai, seseorang individu tersebut perlu kepada
pengisian dan perhiasan diri supaya proses tersebut menjadi lebih
sempurna. Oleh yang demikian, perbahasan unsur taubat yang telah
dibincangkan oleh tokoh ini amat sinonim serta dapat memberi
kesan yang positif terhadap pembangunan psikologi seseorang
manusia seperti yang telah dibahaskan oleh al-Makki.
Dalam perbincangan mengenai taubat ini, al-Makki
telah menekankan serta menyeru seseorang itu agar kembali
kepada Allah SWT dan meninggalkan tipu daya syahwat dan
5 Smith, Margaret, Rabi’a The Mystic & Her Fellow- Saints In Islam (New
York: Press Syndicate of The University of Cambridge, 1984), 47.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
104
juga hawa nafsu supaya manusia memperoleh keuntungan dan
selamat dari azab di akhirat kelak. Oleh kerana itu, taubat
merupakan tingkatan perjalanan kerohanian para murid yang
pertama dibahaskan berbanding maqam yang lain dalam kitab
Qut al-Qulub.6 Hal yang sama turut diikuti oleh ulama’ sufi
yang lain seperti al-Kalabadhi,7 al-Qushayri8 dan al-Tusi9
yang membincangkan maqam taubat sebagai maqam pertama
dalam perjalanan yang perlu ditempuhi oleh seseorang
menuju ke jalan Allah SWT bagi mencapai kebenaran. Ia juga
dianggap sebagai pengkalan utama bagi ahli sufi untuk
memulakan perjalanan kerohaniannya. Selain itu, taubat juga
merupakan salah satu dari adab terhadap Allah SWT bagi
orang yang menempuh jalan menuju kepadaNya.10
Al-Makki telah menghuraikan makna
dan pengertian taubat itu melalui
perkataan nasuha yang bermaksud
sebagai bersikap pasrah dan tulus kepada
Allah SWT. Selain itu ia juga membawa
makna kukuh dalam ketaatan dan teguh
pada larangan kepada maksiat.11 Beliau
turut menyatakan makna taubat secara
terperinci dengan membahagikannya
kepada dua peringkat iaitu semasa
seseorang bertaubat akibat dosanya
dengan berikrar dan pengakuan terhadap
dosa yang telah dilakukan, kemudian
berjanji supaya tidak melakukan dosa dan
menuruti hawa nafsu, diikuti dengan
6 Al-Makki, Abu Talib, Qut al-Qulub (Beirut: Dar al-Kutub al-
‘Ilmiyyah,1997), 3: 17. 7 Al-Kalabadhi, Abu Bakr, al-Ta‘arruf li Madhhab Ahl al-Tasawwuf, Mahmud
Amin al-Nawawi (ed.), (Kaherah: Maktabah al-Kulliyyah al-Azhariyyah, 1969),
1111. 8 Al-Qushayri, al-Risalah al-Qushayriyyah (Kaherah: Dar al-Khayr, 2003), 1: 179. 9 Al-Tusi, Abu Nasr al-Sarraj, al-Luma‘ Fi al-Tarikh al-Tasawwuf (Mesir: al-
Maktabah al-Tawfiqiyyah, 378H), 47. 10 Sa’id Hawwa, Ulasan Al-Hikam, Dr. Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari (terj)
(Johor: Perniagaan Jahabersa, 2009), 180. 11 Al-Makki, Qut al-Qulub, 1: 317.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
105
membersihkan makanan dari yang
haram, sentiasa bersedih di atas
kesalahan dan dosa yang telah dilakukan
dan terakhirnya beristiqamah dalam
melakukan suruhanNya dan menjauhi
daripada laranganNya. Kemudian
peringkat kedua ialah selepas bertaubat,
iaitu seseorang yang bertaubat itu
perlulah berusaha memperbaiki perilaku
buruknya yang biasa dilakukan.
Kemudian menggantikan perilaku buruk
tersebut dengan kebaikan. Seterusnya
sentiasa bersedih secara berterusan dan
penyesalan di atas dosa yang telah
dilakukan sebelum itu dan berjanji agar
tidak mengulangi perkara buruk tersebut.
Rajah 1 di bawah akan menjelaskan lagi
pengertian taubat al-Makki dalam dua
peringkat sebagaimana yang dijelaskan di
atas.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018):
100- 123
106
Rajah 1: Pengertian Taubat Al-Makki
Peringkat Pertama:
Semasa Bertaubat
Peringkat Kedua:
Selepas Bertaubat
i)Berusaha membaiki perilaku buruk yang telah
dilakukan.
ii)Menggantikan perilaku buruk tadi kepada kebaikan.
iii)Sentiasa menyesal secara berterusan di atas segala
dosanya.
iv)Berjanji agar tidak mengulangi dosa tersebut.
Taubat i)Berikrar dan membuat pengakuan terhadap dosa
yang telah dilakukan.
ii)Berjanji supaya tidak melakukan dosa dan menuruti
hawa nafsu.
iii)Membersihkan makanan dari segala yang haram.
iv)Sentiasa bersedih di atas segala dosa yang telah
dilakukan.
v)Istiqamah dalam melakukan suruhanNya serta
menjauhi laranganNya.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
107
Sumber: Al-Makki, Qut al-Qulub, 1997.
Kewajipan dalam bertaubat juga dilihat penting oleh al-
Makki seperti mana ulama-ulama lain sehingga beliau didapati telah
menukilkan pendapat yang keras dari Abu Muhammad Sahl dan
Imam ‘Ali. Pendapat tersebut menyatakan taubat adalah suatu
perkara yang paling wajib ke atas manusia. Jika seseorang itu tidak
membenarkan kewajipan tersebut, mereka dianggap kafir, malah
diumpamakan juga seperti seorang yang buta.12 Untuk penjelasan
lanjut, al-Makki telah menerangkan beberapa perkara penting
berkaitan dengan taubat iaitu:
i- Syarat-Syarat Taubat
Setelah seseorang itu menyucikan dirinya dari dosa noda, syarat-
syarat taubat yang digariskan oleh al-Makki perlu dilaksanakan agar
taubat yang dibuat benar-benar diterima oleh Allah SWT. Al-Makki
telah menggariskan syarat taubat sebanyak sepuluh.13 Pertamanya
ialah wajib ke atas seseorang yang bertaubat agar tidak mengulangi
dosa yang telah dilakukan. Al-Makki telah membawa pandangan
sebahagian ulama untuk mengukuhkan lagi pendapat beliau iaitu:
“Taubat yang sah adalah apabila seseorang hamba itu melupakan
syahwatnya, sentiasa bersedih, sentiasa berusaha untuk tidak
mengulangi dosa serta tidak meragui rahsia Allah SWT.” Syarat
yang kedua pula ialah apabila berlakunya musibah yang
mengakibatkan berlakunya maksiat, ia perlu dikawal agar tidak
menjadi kebiasaan atau tabiat. Syarat ketiga ialah bertaubat kepada
Allah SWT di atas dosa yang dilakukan. Keempat, dengan
menyesali terhadap dosa tersebut. Kelima, istiqamah dalam
melaksanakan ketaatan. Syarat ini dimantapkan lagi dengan
pandangan ulama yang menyatakan di antara ciri orang yang benar-
benar bertaubat ialah menggantikan nikmat menuruti hawa nafsu
dengan nikmat dalam melakukan ketaatan, menggantikan
kegembiraan melakukan dosa dengan kesedihan melakukan dosa
tersebut.14 Kemudian syarat keenam, takut akan siksaan. Ketujuh,
bertaubat dengan penuh pengharapan kepada Allah SWT agar
diampunkan segala dosa. Kelapan, mengakui segala dosa yang telah
dilakukan. Kesembilan, yakin dan redha perkara yang telah
12 Ibn Qudamah, Ahmad bin ‘Abd al-Rahman, Minhaj al-Qasidin (Kaherah: Dar
al-Turath al-‘Arabi, 1988), 221 & 317. 13 Al-Makki, Qut al-Qulub, 1: 319. 14 Ibid., 321.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
108
ditetapkan oleh Allah SWT dan terakhirnya mengiringi dengan
segala kebaikan agar kebaikan itu menjadi penghapus kepada dosa
yang telah dilakukan.15
Al-Makki juga turut mengemukakan pandangan daripada
al-Saqati yang mempunyai sedikit perbezaan dan juga penambahan
dari apa yang telah dikemukakan oleh beliau. Menurut al-Saqati,
seseorang yang bertaubat perlu memulakan proses taubatnya
dengan memohon keampunan berdasarkan kategeri dosa yang
dilakukannya. Kemudian ia mesti mencari kesalahan dirinya dan
seterusnya berjanji agar tidak mengulangi dosa tersebut selama-
lamanya. Al-Saqati juga membuat penambahan syarat iaitu
menghadkan pertemuan sesama manusia agar tidak terpengaruh.
Beliau juga menyenaraikan enam perbuatan yang dianggap
berlebihan yang perlu dihindari bagi orang yang bertaubat.16
Perkara-perkara tersebut ialah berlebihan ketika berbicara,
berlebihan ketika melihat, berlebihan ketika berjalan, berlebihan
ketika makan dan minum serta berlebihan ketika berpakaian.
Menurut al-Makki, perbuatan tersebut adalah perkara shahwat yang
sia-sia dan perlu ditinggalkan oleh seseorang yang menuju ke jalan
Allah SWT. Ini kerana, seseorang tidak mampu untuk
meninggalkan shubhah sebelum ia berjaya meninggalkan
shahwatnya terlebih dahulu.17 Pendapat al-Saqati ini disetujui oleh
al-Makki kerana tiada bantahan atau ciri-ciri pertentangan idea di
antara keduanya.
ii- Dosa
Persoalan dosa amat berkait rapat dengan elemen taubat yang turut
dijelaskan oleh al-Makki. Ini kerana, persoalan ini dapat
menunjukkan dan mengukur kesungguhan seseorang hamba itu
dalam bertaubat. Nilai ketaqwaan dalam melaksanakan taubat
diambil kira dengan tidak meremehkan atau meringankan perbuatan
dosa walaupun sekadar dosa kecil. Ini dibuktikan dengan nukilan
al-Makki:
“Orang yang beriman menganggap
bahawa dosanya dilakukan ibarat gunung
di atas kepalanya sehingga dia merasa
15 Ibid., 319. 16 Ibid., 321. 17 Ibid., 322.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
109
takut gunung tersebut akan
menghempapnya. Manakala bagi orang
munafik menganggap dosa itu ibarat
seekor lalat yang hinggap di hidungnya
dan apabila diusir, lalat itu akan
terbang.18”
Al-Makki turut memperihal keadaan para sahabat yang
menganggap dosa kecil sebagai dosa besar disebabkan keagungan
Allah SWT bertahta di hati mereka. Ini mencerminkan atau
menggambarkan cahaya keimanan dan ketaqwaan yang
dianugerahkan kepada mereka yang tidak meringankan hal-hal
yang berkaitan dengan perbuatan dosa.19
a) Mengingati dosa-dosa yang telah dilakukan
Dalam perbahasan ini, terdapat dua pendapat yang berbeza iaitu
pendapat yang menyatakan hakikat taubat adalah dengan
mengingati dosa yang telah dilakukan dan pendapat kedua pula
dengan melupakan segala dosa yang telah dilakukan. Al-Makki
menjelaskan keadaan ini dengan mengharmonikan kedua-dua
pendapat tersebut. Kedua-dua pendapat itu mempunyai alasan yang
tersendiri. Kenyataan pendapat pertama apabila seseorang hamba
itu mengingati dosa tersebut, mereka akan selalu merasa sedih dan
menimbulkan penyesalan yang kian menebal. Kemudian pendapat
kedua menyatakan, melupakan dosa yang telah dilakukan adalah
cara bagi seseorang yang selalu sibuk berzikir dan
memperbanyakkan amal ibadah. Oleh yang demikian, al-Makki
tidak menyokong mana-mana pendapat tersebut. Bagi beliau, yang
penting ialah pendekatan yang diambil oleh seseorang hamba yang
bertaubat itu perlu jelas dan yakin dengan pengabdian dirinya
kepada Allah SWT.20
Selain itu juga, terdapat perselisihan pendapat berkaitan
perilaku seorang hamba dalam bertaubat. Pendapat pertama
menyebut apabila seseorang hamba bertaubat itu meninggalkan
dosanya, ia mesti beristiqamah dan menentang dosa tersebut atau
berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya.
Ini kerana hamba berkenaan telah menentang dosanya dan
18 Ibid. 19 Ibid. 20 Ibid., 323.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
110
mengutamakan usaha untuk menghindarinya. Pendapat ini
disokong oleh ulama ahli Syam dan juga Ahmad bin Abu Hawari.
Manakala pendapat kedua menyatakan seseorang hamba itu
berusaha keras meninggalkan dosa tetapi tidak berusaha untuk
menentang perbuatan tersebut. Di dalam hatinya tidak ada rasa berat
hati jika melakukan dosa tersebut atau juga tidak mempunyai
keinginan untuk menjauhinya. Hal ini disokong oleh Rabah bin
‘Umar dan ulama Basrah. Mereka berpendapat sedemikian kerana
mereka mempunyai jiwa yang tenang, tidak ada pertentangan batin
terhadap dosa kerana ada suatu penyaksian terhadap keyakinan dan
ketenangan. Oleh yang demikian tidak menjadi keutamaan dalam
memiliki kebenaran.21
Dalam situasi ini, al-Makki telah mendokong pendapat
yang pertama. Beliau menegaskan, untuk memiliki taubat yang sah
perlu meninggalkan serta menghapuskan syahwat di samping
sentiasa berusaha untuk menghindari dosa. Keadaan ini merupakan
perilaku seorang murid yang sentiasa berusaha untuk mengikut
jejak ahli ma‘rifah.22
b) Larangan terhadap ajakan ke arah maksiat
Kesemua pendapat ulama yang diutarakan oleh al-Makki di
dalam kitabnya melarang pebuatan mengajak orang lain melakukan
maksiat.
“Hendaklah kamu tidak melakukan dosa.
Jika ia terpaksa melakukannya, dilarang
olehmu mengajak orang lain untuk turut
serta, kerana ia akan menjadikan
bertambahnya dosa itu kepada dua.”23
Perbuatan ini turut diketagorikan sebagai dosa paling besar
kerana berlaku zalim terhadap manusia. Kenyataan ini ditujukan
kepada seseorang yang mengada-adakan sesuatu atas nama
seseorang yang ‘alim yang hidup pada zaman dahulu. Al-Makki
menegaskan sifat tersebut ialah salah satu dari sifat orang munafik.
Kenyataan ini dikuatkan dengan ayat al-Qur’an:
21 Ibid., 324. 22 Ibid. 23 Ibid., 325
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
111
“Orang-orang munafik lelaki dan
perempuan, setengahnya adalah sama
dengan setengahnya yang lain; mereka
masing-masing menyuruh dengan
perbuatan yang jahat, dan melarang dari
perbuatan yang baik, dan mereka pula
menggenggam tangannya (bakhil
kedekut). Mereka telah melupakan (tidak
menghiraukan perintah) Allah SWT dan
Allah SWT juga melupakan (tidak
menghiraukan) mereka. Sesungguhnya
orang-orang munafik itu, merekalah
orang-orang yang fasik”.
(Surah al-Tawbah 9: 67)
c) Balasan terhadap orang yang berdosa
Dalam perbincangan ini, al-Makki telah menerangkan beberapa
kesan atau balasan terhadap pembuat dosa. Justeru untuk
memudahkan pemahaman, maka penulis telah membahagikan
kesan tersebut kepada tiga bahagian iaitu kesan dosa terhadap hati
seseorang, kesan dosa terhadap kehidupan seseorang, dan kesan
dosa terhadap fizikal seseorang.
Al-Makki telah mengemukakan beberapa pendapat seperti
dari Ibn Mas‘ud dan ahli sufi yang lain mengenai kesan dosa
terhadap hati iaitu lupa terhadap ilmu yang dipelajarinya. Selain itu
juga, terbit rasa celaru, gelisah dalam pelbagai urusan yang
dilakukan disebabkan dosa akibat dari tiada penjagaan dari Allah
SWT. Keadaan hatinya yang kelam dan juga gelap kerana dosa telah
menghalangi iman memasuki hati. Manakala, dosa juga boleh
memberi kesan terhadap kehidupan seseorang antaranya terkena
musibah, dikurangkan rezeki serta keberkatan rezeki, dikurangkan
harta atau harta yang dimiliki musnah dan dibenci oleh orang
berilmu, orang solih dan juga ulama.24
Sementara kesan terhadap fizikal pula seperti wajah
seseorang itu sentiasa suram dan cenderung melakukan perkara
yang dilarang. Menurut al-Makki, kesan dosa bagi seseorang yang
mementingkan keduniaan ialah dengan diharamkan rezeki baginya.
Manakala bagi ahli akhirat pula, dosa yang dilakukan akan memberi
24 Ibid., 328.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
112
impak kepada kesulitan dalam mengapai anugerah taufik dan
hidayah daripada Allah SWT.25
Oleh yang demikian, balasan atau dosa yang diperolehi oleh
pembuat dosa bergantung kepada kuantiti atau besarnya dosa yang
dilakukan. Kesan dan seksaan ini bergantung kepada kehendakNya.
Jika Allah SWT menginginkan kebaikan kepada hamba itu, maka
Dia mempercepatkan balasan perbuatan dosa itu di dunia dan juga
sebaliknya. Dalam hal ini, al-Makki telah memberi jalan
penyelesaian kepada pembuat dosa iaitu dengan bertaubat
berdasarkan nukilan dari Abu Qasim al-Junayd yang berbunyi:26
“Setiap dosa yang dilakukan oleh
seseorang, walaupun berulangkali yang
menyebabkan hatinya hitam akibat dosa
akan hilang dengan bertaubat kepada
Allah SWT.”
Walau bagaimanapun, al-Junayd menyambung lagi bahawa
setiap dosa yang dilakukan akan mendapat balasan daripada Allah
SWT kecuali dosanya diampunkan bergantung kepada
kehendakNya. Hal ini juga turut disetujui oleh Ibn ‘Abbas bahawa
Allah SWT akan mengampuni dosa orang yang bertaubat dan
menyeksa orang yang berdosa mengikut kehendakNya kecuali
orang yang syirik.27
25 Ibid, 329. 26 Ibid. 27 Ibid., 340.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
113
iii- Cara-cara bertaubat
a) Beristighfar
Beristighfar adalah penting dalam bertaubat. Ia merupakan
makanan kepada orang-orang yang bertaubat kerana taubat akan
dimulakan dengan beristighfar kemudian mengakhiri istighfar
dengan bertaubat. Istighfar adalah permohonan kepada Allah SWT
agar diampunkan segala dosanya. Hal ini turut disetujui oleh
Saidina ‘Ali, Ibn ‘Abbas dan juga dihuraikan oleh Sahl yang
menyatakan, dalam istighfar perlu ada al-istijabah (memohon
ampun dengan amalan anggota badan dalam memohon keampunan
kepada Allah SWT), kemudian al-inabah (penggantian) dan
berakhir dengan taubat.28
Seseorang yang bertaubat perlulah menggantikan
keburukan yang dilakukan dengan kebaikan dan amalan yang soleh.
Menurut Sahl, seseorang yang ingin bertaubat perlu sentiasa berdoa
agar diampunkan segala dosa diiringi dengan sedekah, berpuasa
satu hari, berzikir, berwudhuk dengan sempurna dan solat dua atau
empat rakaat. Selain itu seseorang perlulah mendidik dirinya agar
bersabar dalam melakukan ketaatan dan juga bersabar untuk
beristiqamah untuk tidak melakukan dosa.29
Setelah bertaubat, al-Makki telah menyenaraikan sepuluh
perkara yang perlu dihindarkan iaitu, tidak mengulangi kembali
dosa tersebut, bertaubat daripada ucapan yang berkaitan dengan
dosa tersebut, bertaubat daripada bergaul dengan pelaku dosa,
bertaubat agar tidak melakukan dosa yang serupa, bertaubat agar
tidak melihat dosa tersebut, bertaubat agar tidak mendengar orang
lain bercakap mengenai dosa tersebut, bertaubat dari keinginan kuat
untuk melakukan dosa, bertaubat dari meremehkan perkara taubat,
bertaubat dari malas untuk menghadap Allah SWT dan
meninggalkan segala laranganNya dan bertaubat di atas sikap
memandang ringan mengenai taubat.30
b) Pembahagian taubat
Al-Makki turut membezakan taubat orang awam dan juga taubat
ahli ma‘rifah (sufi). Orang awam bertaubat kerana kesalahan dan
dosa yang dilakukan. Manakala kalangan sufi pula bertaubat di atas
kebaikan mereka atau kekurangan-kekurangan yang berlaku semasa
28 Ibid., 339. 29 Ibid., 339. 30 Ibid., 338.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
114
dalam melaksanakan amal soleh.31 Dhu al-Nun al-Misri juga
mempunyai pandangan yang sama dengan al-Makki.32 Ini kerana,
para sufi melihat kebaikan atau kenikmatan tersebut akan
memesongkan mereka ke jalan yang tidak halal akibat lalai yang
merupakan sumber kepada berlakunya dosa.33 Di samping itu juga
al-Makki telah membahagikan golongan yang bertaubat kepada
empat golongan. Al-Ghazali34 dan Ibn Qudamah35 didapati
bersependapat dengan al-Makki dalam pembahagian ini. Golongan
pertama ialah seseorang hamba itu benar-benar bertaubat, bersikap
istiqamah, tidak lagi mengulangi dosa tersebut hingga akhir
hayatnya dan berusaha menggantikan amalan keburukannya dengan
kebaikan. Tingkatan ini dinamakan sebagai tawbah nasuha dan
berada di tingkat nafs mutma’innah (jiwa yang tenang).36
Manakala golongan kedua ialah seseorang hamba yang
selalu melakukan taubat dan selalu berusaha untuk istiqamah, tidak
berusaha dan tidak bercita-cita melakukan dosa serta tidak memberi
peluang dan perhatian kepada dosa tersebut. Pada tahap ini, al-
Makki berpendapat, seseorang itu akan mendapat ujian sehingga
terpesong melakukan dosa tanpa disengajakan. Ini merupakan sifat-
sifat orang yang beriman yang mempunyai jiwa lawwamah.37
Golongan yang ketiga pula, seseorang yang bertaubat tetapi
masih mengulangi dosa yang dilakukan, kemudian bertaubat
kembali di atas segala dosa yang dilakukan tersebut diikuti dengan
rasa penyesalan. Menurut al-Makki, keadaan ini tidak stabil dan
susah untuk meraih tahap yang lebih tinggi. Ini kerana jiwanya
dipandu oleh nafsu dan lalai tetapi diselangi oleh taubat yang akan
berakhir dari waktu ke waktu. Seseorang hamba yang berada di
tahap ini, disarankan oleh al-Makki supaya beristiqamah agar tidak
mengulangi dosa yang dilakukan.38
31 Ibid., 338. 32 Al-Tusi, al-Luma‘ Fi al-Tarikh al-Tasawwuf, 47; Othman Napiah , Ahwal dan
Maqamat dalam Ilmu Tasawuf (Johor: Universiti Teknologi Malaysia, 2001), 34. 33 Al-Makki, Qut al-Qulub, 1: 332. 34 Al-Ghazali, Abu Hamid, Ihya’ ‘Ulum al-Din, (Beirut: Dar al-Ma‘rifah, 1982), 4:
43. 35 Ibn Qudamah, Minhaj al-Qasidin, 230. 36 Al-Makki, Qut al-Qulub, 1: 340. 37 Ibid., 341. 38 Ibid.,
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
115
Keadaan yang keempat pula ialah golongan hamba yang
paling buruk. Golongan ini sentiasa melakukan dosa, mengulangi
dosa tersebut, bahkan melakukan dosa yang lebih besar dari
sebelumnya. Ia dikategorikan sebagai ishrar (sentiasa melakukan
dosa). Golongan ini tidak berniat untuk bertaubat dan tidak pula
takut pada siksaan Allah SWT. Mereka termasuk dalam golongan
jiwa ammarah atau su’ al-khatimah dan termasuk dalam orang yang
fasik.39
Berdasarkan pemikiran al-Makki, beliau telah meletakkan
taubat di peringkat pertama dalam perjalanan yang perlu dilalui oleh
seorang sufi. Taubat berperanan sebagai elemen tazkiyyah al-nafs
kepada seseorang khususnya kepada ahli sufi. Sikap istiqamah dan
bersungguh-sungguh perlu ada dalam diri seseorang yang bertaubat
supaya dosa yang dilakukan tidak berulang. Al-Makki turut
meletakkan beberapa pembahagian mengenai dosa dan perkara-
perkara yang perlu dihindarkan semasa dan selepas taubat sebagai
panduan dan pengetahuan kepada hamba yang bertaubat agar ianya
dapat mencapai darjat taubat nasuha.
HUBUNGAN UNSUR TAUBAT DALAM PEMBANGUNAN
PSIKOLOGI INSAN
Keutuhan psikologi merupakan teras dalam pembangunan insan.
Kelemahan psikologi insan secara khususnya akan menyebabkan
mereka tidak dapat membangun dan mengembangkan potensi diri
supaya memiliki keyakinan terhadap Allah SWT, sedangkan ia
amat penting dalam membentuk umat yang berteraskan Islam.
Justeru, dilihat maqam taubat dapat memberi kesan yang positif
sebagai elemen psikoterapi Islam sekaligus dapat mempengaruhi
tahap pembangunan psikologi diri bagi individu tersebut.
Daripada perbincangan taubat yang telah dibuat oleh al-
Makki, beliau menyeru agar kembali kepada Allah SWT serta
meninggalkan tipu daya syahwat dan hawa nafsu supaya individu
itu beroleh keuntungan dan selamat dari azab api neraka, di mana
keadaan ini juga diertikan sebagai taubat. Tipu daya dan hawa nafsu
tersebut akan melahirkan penyakit hati atau rohani. Akibat dari
penyakit ini, kehidupan manusia akan bergelumbang dengan dosa
yang menyebabkan psikologi individu tersebut sentiasa dalam
kegelisahan dan kecemasan selama rasa berdosa itu melekat pada
39 Ibid., 342.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
116
dirinya.40 Menurut al-Makki, dosa adalah penghalang kepada
masuknya iman ke dalam hati seseorang. Untuk memperolehi
keimanan tersebut, seseorang individu perlulah menerima bahawa
dirinya sedang bergelumang dengan dosa. Dengan adanya rasa
penerimaan tersebut, maka akan timbul perasaan keinsafan,
kesedihan, dan penyerahan diri semata-mata kerana Allah SWT.
Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan bahawa
bertaubat merupakan satu keperluan yang penting dalam merawat
serta membangunkan psikologi diri individu. Tanpanya, maka
proses pembangunan psikologi selanjut iaitu penyucian jiwa tidak
dapat diteruskan. Proses ini amat diperlukan kerana ia bertujuan
untuk menyucikan diri dari segala kekotoran akhlak dan dosa serta
amat berkesan dalam merawat psikologi seseorang sekaligus dapat
meraih ketenangan dan kebahagiaan jiwa. Sehubungan dengan itu,
seseorang individu yang mempunyai masalah psikologi disebabkan
oleh dosa yang telah dilakukan perlu mengikuti dua langkah taubat
yang telah digariskan oleh al-Makki. Pada peringkat pertama iaitu
semasa dalam proses taubat, seseorang itu perlulah berikrar dan
membuat pengakuan terhadap dosa yang telah dilakukan, berjanji
supaya tidak melakukan dosa dan tidak lagi menuruti hawa
nafsunya, membersihkan makanan dari segala yang haram, sentiasa
bersedih di atas segala dosa yang telah dilakukan dan perlu
istiqamah dalam melakukan suruhanNya serta menjauhi
laranganNya. Manakala pada peringkat kedua pula iaitu peringkat
selepas taubat, seseorang itu mestilah berusaha dalam membaiki
perilaku buruknya dan menggantikannya dengan perilaku baik dan
terpuji, sentiasa menyesal secara berterusan di atas segala dosanya,
dan berjanji agar tidak mengulangi dosa tersebut. Kedua-dua proses
tersebut perlu dilaksanakan secara berurutan kerana taubat tadi akan
lebih berkesan sekiranya orang yang ingin bertaubat itu dapat
menyelesaikan dahulu peringkat pertama dan kemudiannya baru
beralih kepada peringkat kedua.
Justeru, dalam melaksanakan kedua-dua peringkat
tersebut, perlu diiringi dengan sepuluh syarat-syarat taubat
yang telah dicadangkan oleh al-Makki. Seseorang itu perlulah
40 Ibid., 330; Zakiah Darajat, Puasa Menigkatkan Kesihatan Mental
(Jakarta: Ruhama, 1989), 58.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
117
melaksanakan syarat-syarat tersebut bagi meraih taubat
nasuha, agar dosa yang telah dilakukan tidak akan berulang
lagi serta menghindari beberapa perkara yang telah
dikemukakan oleh al-Makki seperti berlebihan ketika
berbicara, berlebihan ketika melihat, berlebihan ketika
berjalan, berlebihan ketika makan dan minum serta berlebihan
ketika berpakaian. Perbuatan tersebut adalah perkara shahwat
yang sia-sia dan perlu ditinggalkan oleh seseorang yang
menuju ke jalan Allah SWT. Ini kerana, seseorang tidak
mampu untuk meninggalkan shubahah sebelum ia berjaya
meninggalkan shahwatnya terlebih dahulu.41 Hal ini mampu
dijadikan sebagai pendidik atau pengawalan hati agar dosa
dan maksiat yang dilakukan tidak berulang lagi. Taubat juga
merupakan proses kembali kepada fitrah (revert). Fitrah yang
dimaksudkan di sini ialah gambaran suatu kekuatan yang
dikurniakan oleh Allah SWT kepada semua manusia, iaitu
naluri untuk bertuhan kepada Yang Maha Kuasa dan
memperhambakan diri kepada Allah SWT. Maka kekuatan ini
juga termasuk dalam fitrah kurniaan Ilahi.42 Proses ini dapat dilihat dalam perbincangan yang dibuat
oleh al-Makki iaitu apabila seseorang itu telah membuat pengakuan
dan penerimaan diri terhadap kesilapannya (self critism), kembali
serta memohon keampunan kepada Allah SWT, menyesali
perbuatan yang dilakukan dan beriltizam agar tidak mengulanginya
serta bertindak untuk mengubah perkara buruk (madhmumah)
kepada baik (mahmudah). Konsep taubat nasuha ini telah ditekan
oleh al-Makki kerana ia suatu yang cukup signifikan dalam
mendidik jiwa terhadap penerimaan diri dan pengakuan bahawa ia
tidak terlepas daripada dosa dan kesilapan kerana dirinya adalah
seorang individu yang juga hamba Allah SWT yang kerdil, hina,
lemah dan pasrah. Dalam hal ini, seseorang yang bertaubat akibat
dosanya hendaklah berikrar dan menerima bahawa dirinya telah
melakukan dosa dan maksiat. Proses ini juga dikenali sebagai
41 Al-Makki, Qut al-Qulub, 1: 322. 42 Al-Jurjani, ‘Ali bin Muhammad bin ‘Ali, al-Ta‘rifat (Beirut: Dar al-Kutub al-
‘Arabi, 1985), 212.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
118
proses menyemak atau menganalisa realiti atau persepsi yang
merupakan salah satu daripada konsep dalam kaunseling.
Tidak dinafikan bahawa selepas seseorang itu melakukan
taubat, mereka mempunyai kebarangkalian untuk kembali
melakukan dosa. Oleh yang demikian perlu diingati bahawa pintu
taubat sentiasa terbuka sehinggalah saat kematian dan hari kiamat.
Seseorang hamba yang dijangkiti oleh penyakit rohani perlu
melakukan taubat secara berterusan pada setiap kali kesalahan dan
dosa dilakukan. Pengulangan taubat pada setiap kali kesalahan
dapat menunjukkan keimanan dan keyakinan serta tidak berputus
asa dengan rahmatNya di samping berusaha agar kesalahan tersebut
tidak berulang lagi. Dalam konteks ini, penekanan al-Makki
terhadap taubat nasuha telah diperjelaskan agar seseorang itu tidak
mengulangi dosa yang telah dilakukan, malah melalui pembahagian
taubat yang telah dibuat oleh al-Makki juga dapat dijadikan sebagai
motivasi kepada seseorang untuk memperoleh sebaik-baik
keampunan daripadaNya.
Tidak cukup dengan konsep penyerahan diri ketika
bertaubat, maka al-Makki menyarankan supaya penyerahan diri
tersebut mestilah diiringi dengan keyakinan yang utuh dan tinggi
dalam mengharapkan pertolongan dan keampunan Allah SWT.
Keyakinan diri kepada pertolongan Allah SWT merupakan perisai
paling kuat bagi seseorang individu yang berdosa untuk cuba
berubah dan meyakini kasih dan sayang Allah SWT terhadap
dirinya. Justeru, timbul motivasi yang mendorong mereka terus
berusaha untuk berubah ke arah yang lebih baik kerana mereka telah
yakin bahawa perjuangannya dalam melawan hawa nafsu dan
menolak sifat buruk bukanlah suatu perjuangan bersendirian, malah
mereka sentiasa diiringi dengan rahmat dan pertolongan Allah SWT
yang sentiasa membuka peluang kepada hambaNya untuk menebus
kesilapan lalu dan kembali kepada fitrahnya. Justeru, dapat
difahami, taubat juga merupakan interaksi lahir dan batin secara
langsung antara hamba dengan Penciptanya yang boleh dijadikan
sebagai terapi bagi penyakit jiwa (the sick soul).43 Secara
khususnya, taubat yang telah dibincangkan oleh al-Makki boleh
dijadikan sebagai panduan serta rujukan bagi setiap individu yang
43 M. Solihin, Terapi Sufitik: Penyembuh Penyakit Kejiwaan Perspektif Tasawuf,
(Bandung: Pustaka Setia, 2004), 158.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
119
inginkan perubahan psikologi serta spiritualnya ke arah yang lebih
sihat, tenang dan terhindar daripada segala anasir-anasir penyakit
bawaan psikologi.
Rajah 2 di bawah menerangkan secara lebih ringkas
mengenai proses taubat yang disarankan oleh al-Makki dalam usaha
membangunkan psikologi spiritual insan.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018):
100- 123
120
Rajah 2: Konsep Taubat al-Makki
TAUBAT
Peringkat Pertama:
Semasa Bertaubat
Peringkat Kedua:
Selepas Bertaubat
i)Berikrar dan membuat pengakuan terhadap dosa yang
telah dilakukan.
ii)Berjanji supaya tidak melakukan dosa dan menuruti
hawa nafsu.
iii)Membersihkan makanan dari segala yang haram.
iv)Sentiasa bersedih di atas segala dosa yang telah
dilakukan.
v)Istiqamah dalam melakukan suruhanNya serta menjauhi
laranganNya.
i) Berusaha membaiki perilaku buruk yang telah
dilakukan.
ii)Menggantikan perilaku buruk tadi kepada kebaikan.
iii)Sentiasa menyesal secara berterusan di atas segala
dosanya.
iv)Berjanji agar tidak mengulangi dosa tersebut
Sep
ulu
h s
yara
t-sy
ara
t T
au
ba
t a
l-M
ak
ki
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
121
Yakin + Pengharapan+Amalan yang Disarankan al-Makki
Penutup
Hasil perbincangan yang telah dihuraikan, dapatlah disimpulkan
bahawa elemen taubat mampu melahirkan seseorang insan yang
sentiasa bersyukur terhadap nikmat, bersabar diatas segala ujian dan
dugaan yang menimpa serta menyesali terhadap kesilapan yang
telah dilakukan dengan sebenar- benar keinsafan. Hal ini juga dapat
menghasilkan insan yang sentiasa optimis dan berfikiran positif
serta sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT. Dalam pada itu
juga, tidak lupa dalam berusaha untuk mencapai yang terbaik dalam
kehidupannya kemudian seseorang itu akan berada dalam suasana
yang tenang dan harmoni. Hal ini jika dapat dicapai oleh seorang
individu dan diaplikasikan dalam kehidupannya, ia akan
mewujudkan keunggulan pembangunan psikologi diri dalam
mencapai matlamat kehidupan yang hakiki iaitu kehidupan di
akhirat sana.
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
122
Rujukan
Al-Ghazali, Abu Hamid, Ihya’ ‘Ulum al-Din, jil. 4, (Beirut:
Dar al-Ma‘rifah, 1982)
____________________, Mukashafah al-Qulub (Beirut: Dar
al-Jayl, 1991)
‘Abd al-Mu‘ti Muhammad Bayumi, (al-Falsafah al-
Islamiyyah min al-Mashriq ila al-Maghrib, Madinah
Nasr: t.t.p., 1982)
Abdul Mujib dan Jusuf Mudzakir, Nuansa-nuansa Psikologi
Islam (Jakarta: Rajawali, 2001)
Achmad Mubarok, Jiwa dalam Al-Qur’an, (Jakarta:
Paramadina, 2000)
Al-Jurjani, ‘Ali Bin Muhammad Bin ‘Ali, al-Ta’rifat, (Beirut:
Dar al-Kutub al-‘Arabi, 1985)
Al-Kalabadhi, Abu Bakr, al-Ta‘arruf li Madhhab Ahl al-
Tasawwuf, Mahmud Amin al-Nawawi (ed.), (Kaherah:
Maktabah al-Kulliyyah al-Azhariyyah, 1969)
Al-Makki, Abu Talib, Qut al-Qulub, jil. 1 (Beirut: Dar al-
Kutub al-‘Ilmiyyah, 1997)
Al-Qushayri, al-Risalah al-Qushayriyyah (Kaherah: Dar al-
Khayr, 2003)
Al-Tusi, Abu Nasr al-Sarraj, al-Luma‘Fi al-Tarikh al-
Tasawwuf (Mesir: al-Maktabah al-Tawfiqiyyah,
378H)
Che Zarrina Sa’ari, “Peranan Tasawuf dalam Pembangunan
Spiritual Umat Islam Di Malaysia” dalam Seminar
Che Zarrina, Sharifah Basirah, Mohd Manawi, “Konsep Taubat Abu Talib al-Makki dalam
Pembangunan Psikologi Diri”, Jurnal Qalbu 5.4 (Jun 2018): 100- 123
123
Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan 1, Anjuran
jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2003.
Ibn Qudamah, Ahmad bin ‘Abd al-Rahman, Minhaj al-
Qasidin (Kaherah: Dar al-Turath al-‘Arabi, 1988)
Imam ‘Abd al-Fatah Imam, Madkhal ila al-Falsafah (al-
Kaherah: Dar al-Thaqafah li al-Nashr wa al-Tawzi‘,
1972)
M. Solihin, Terapi Sufitik: Penyembuh Penyakit Kejiwaan
Perspektif Tasawuf (Bandung: Pustaka Setia, 2004)
Othman Napiah, Ahwal dan Maqamat dalam Ilmu Tasawuf
(Johor: Universiti Teknologi Malaysia, 2001)
Sa‘id Hawwa, Ulasan Al-Hikam, Dr. Basri bin Ibrahim al-
Hasani al-Azhari (terj), (Johor: Perniagaan Jahabersa,
2009)
Smith, Margaret, Rabi’a the Mystic & Her Fellow- Saints In
Islam (New York: Press Syndicate of The University
of Cambridge, 1984)
Zakiah Darajat, Puasa Menigkatkan Kesihatan Mental
(Jakarta: Ruhama, 1989)