Kepemimpinan Berkualiti Dalam Pendidikan
-
Upload
nur-shah-lynn -
Category
Documents
-
view
633 -
download
4
Transcript of Kepemimpinan Berkualiti Dalam Pendidikan
1
KEPEMIMPINAN BERKUALITI
1.0 PENGENALAN DAN KONSEP
Konsep kepimpinan boleh ditakrifkan dalam pelbagai aspek yang berbeza.
Pertama, menurut Yaakob (2006) kepimpinan perlu melibatkan orang lain.
Dalam erti kata lain subordinat atau pengikut. Ini berikutan kesediaan
subordinat menerima arahan dari pemimpin, para kumpulan membantu dalam
mewujudkan status pemimpin dan menjadikan proses kepimpinan dapat
diwujudkan. Kedua, kepimpinan juga akan melibatkan pembahagian kuasa
yang tidak sama di kalangan para pemimpin dan juga anggota kumpulan. Ini
bermaksud bahawa pemimpin mempunyai autoriti untuk mengarah anggota
kumpulannya. Ketiga, kepimpinan boleh didefinisikan dalam pendidikan
sebagai keupayaan mempengaruhi, memotivasikan, mengubah sikap dan
tingkah laku subordinat seperti guru, staf dan pelajar supaya melaksanakan
aktiviti atau program yang telah ditetapkan bagi mencapai matlamat sekolah
(Yahya Don, 2005). Dalam erti kata lain, kepimpinan tidak dapat dipisahkan
daripada subordinat dan pandangan subordinat perlu dilihat dan dinilai untuk
mendapatkan keputusan yang menyeluruh dan berkesan.
Secara amnya, pemimpin lebih dikenali apabila mempunyai pengikut
mahupun penyokong kepada usaha atau rancangan dan gerakannya. Proses ini
akan memperlihatkan adakah seseorang mempunyai keupayaan untuk
mempengaruhi orang lain yang disalurkan melalui perkataan (komunikasi)
untuk mencapai matlamat sebenar yang ingin dicapai. Robiah Sidin (1998),
mendefinisikan kepimpinan sebagai “usaha untuk menggerakkan tenaga di
dalam sesuatu kumpulan untuk mencapai matlamat”. Robiah Sidin dalam hal
ini pula lebih menumpukan perhatian kepada usaha-usaha yang dilaksanakan
bagi menggerakkan tenaga yang dilakukan dalam satu kumpulan dan bukan
secara perseorangan dalam pencapaian matlamat. Ia berfungsi sebagai asas
tindakan di kalangan anggota, membimbing kegiatan mereka dan
2
mengarahkannya bagi memenuhi matlamat tertentu. Ia merupakan proses
yang menekankan dinamika kumpulan dan perhubungan interpersonal antara
anggota.
Kepimpinan adalah pengisian ruang di antara keperluan dan kebolehan
pihak-pihak di peringkat bawah (subordinates) serta matlamat dan kehendak
organisasi Kepimpinan yang berkesan ialah kepimpinan yang merealisasikan
hasrat (intentions) pengurus dan memenuhi keperluan pekerja. Ralf Stogdill
(1974) pula memetik intipati konsep kepimpinan dari beberapa definisi seperti
yang terkandung dalam kategori-kategori berikut :
i. kepimpinan sebagai satu fokus kepada proses-proses kumpulan
ii. kepimpinan sebagai satu seni mendorong kesetiaan (compliance)
iii. kepimpinan sebagai penggunaan kuasa untuk pengaruh
iv. kepimpinan sebagai satu tindakan (act) atau kelakuan (behavior)
Kebanyakan definisi kepimpinan oleh beribu pengkaji menggambarkan
bahawa kepimpinan melibatkan proses mempengaruhi antara pemimpin
dengan pengikut. Ini bermakna pemimpin berusaha mempengaruhi
pengikutnya untuk mencapai matlamat yang dikehendaki. Maka kepimpinan
bukanlah kerja seorang individu tetapi memerlukan juga kerjasama individu-
individu yang lain. Secara keseluruhannya, kepimpinan akan melibatkan
penggunaan pengaruh, komunikasi dan matlamat. Kepimpinan merupakan
ilmu terapan dari ilmu-ilmu sosial, sebab prinsip-prinsip dan rumusannya
diharapkan dapat mendatangkan manfaat bagi kesejahteraan manusia
(Moejiono, 2002). Ada banyak pengertian yang dikemukakan oleh para pakar
menurut sudut pandang masing-masing, definisi-definisi tersebut menunjukkan
adanya beberapa persamaan. Definisi-definisi di atas hanya sebahagian
daripada beribu definisi yang pernah diberikan kepada konsep kepimpinan.
3
Pada hakikatnya setiap manusia adalah seorang pemimpin dan setiap
orang akan dipertanggungjawabkan di atas kepemimpinannya. Manusia
sebagai pemimpin minimal harus mampu memimpin dirinya sendiri. Dalam
lingkungan organisasi harus ada pemimpin yang secara ideal dipatuhi dan
disegani oleh bawahannya. Kepemimpinan dapat terjadi melalui dua bentuk,
iaitu: kepemimpinan formal (formal leadership) dan kepemimpinan informal
(informal leadership). Kepemimpinan formal terjadi apabila dalam lingkungan
organisasi jabatan autoriti formal jawatan organisasi diisi oleh orang-orang
yang dipilih melalui proses pemilihan, sedangkan kepemimpinan informal pula
ialah di mana kedudukan pemimpin dalam suatu organisasi diisi oleh orang-
orang yang muncul dan berpengaruh terhadap orang lain kerana kecekapan
khusus atau berbagai sumber yang dimilikinya dirasakan mampu memecahkan
persoalan organisasi serta memenuhi keperluan anggota organisasi yang
berkaitan.
Dalam pandangan Islam kepemimpinan tidak jauh berbeza dengan
model kepemimpinan pada umumnya, kerana prinsip-prinsip dan sistem-sistem
yang digunakan terdapat beberapa kesamaan. Kepemimpinan dalam Islam
pertama kali dipelopori oleh Rasulullah SAW. Kepemimpinan Rasulullah tidak
dapat dipisahkan dengan fungsi kehadirannya sebagai pemimpin spiritual dan
masyarakat. Prinsip dasar kepemimpinan beliau adalah keteladanan.
Kepemimpinannya mengutamakan uswatun hasanah pemberian contoh kepada
para sahabatnya yang dipimpin. Rasulullah memang mempunyai keperibadian
yang sangat agung, hal ini seperti yang digambarkan dalam al-Qur‟an: Artinya:
“Dan Sesungguhnya engkau Muhammad benar-benar berada dalam akhlak
yang agung”. (Q.S. al-Qalam: 4)
Seiring dengan perkembangan zaman, kepemimpinan secara ilmiah
mulai berkembang bersama dengan perkembangan ilmiah yang lebih dikenali
dengan ilmu tentang memimpin. Hal ini dilihat berdasarkan daripada jumlah
literatur yang mengkaji tentang leadership daripada berbagai sudut
4
pandangan atau perspektifnya. Leadership dilihat daripada pelaksanaan
sesuatu secara terancang dan dapat melatih calon-calon pemimpin. Menurut
Tead; Terry; Hoyt (dalam Kartono, 2003) pengertian kepemimpinan ialah
kegiatan atau seni mempengaruhi orang lain agar mahu bekerjasama yang
bergantung kepada kemampuan orang tersebut untuk membimbing orang lain
dalam mencapai tujuan-tujuan yang diinginkan kelompok.
Kepemimpinan ialah bentuk dominasi berdasarkan kemampuan
peribadi yang sanggup mendorong atau mengajak orang lain untuk berbuat
sesuatu berdasarkan penerimaan oleh kelompoknya dan memiliki keahlian
khusus yang tepat bagi situasi yang khusus. Moejiono (2002) pula berpendapat
bahawa leadership sebenarnya ialah sebagai akibat pengaruh satu arah,
kerana pemimpin mungkin memiliki kualiti-kualiti tertentu yang membezakan
dirinya dengan pengikutnya. Para ahli teori sukarela (compliance induction
theorist) cenderung memandang leadership sebagai pemaksaan atau
pendesakan pengaruh secara tidak langsung dan sebagai sarana untuk
membentuk kelompok sesuai dengan keinginan pemimpin (Moejiono, 2002).
Dari beberapa definisi di atas dapat disimpulkan bahawa
kepemimpinan merupakan kemampuan mempengaruhi orang lain, bawahan
atau kelompok, kemampuan mengarahkan tingkah laku bawahan atau
kelompok, memiliki kemampuan atau keahlian khusus dalam bidang yang
diinginkan oleh kelompoknya, untuk mencapai tujuan organisasi atau
kelompok. Ia adalah sebuah hubungan yang saling mempengaruhi di antara
pemimpin dan pengikut yang menginginkan perubahan nyata yang
mencerminkan tujuan bersamanya. Kepemimpinan juga adalah setiap tindakan
yang dilakukan oleh individu untuk mengkoordinasi dan memberi arah kepada
individu atau kelompok lain yang tergabung dalam wadah tertentu untuk
mencapai suatu tujuan yang telah ditetapkan sebelumnya.
5
Kualiti merupakan salah satu konsep yang popular tetapi agak sukar
didefinisikan maksudnya. Secara umumnya, sekiranya kita menanyakan
maksud kualiti kepada pelbagai kategori orang, organisasi ataupun industri,
kemungkinan besar jawapan yang akan diterima itu akan berbeza-beza. Ini
wujud oleh sebab maksud kualiti bergantung kepada konteks penggunaannya
dan aplikasinya, serta pengoperasian maksudnya itu sendiri. Kualiti boleh
didefinisikan sebagai suatu isu teknikal yang mana ia boleh diurus dan boleh
dikawal dengan adanya bantuan ilmu pengetahuan tentang pengurusan dan
juga ilmu statistik.
Kualiti ialah bermaksud memenuhi kehendak pelanggan yang
dinyatakan sama ada secara formal atau tidak formal, pada kos yang rendah
dan terus dapat digunakan. Definisi kualiti yang digunakan oleh MS ISO
9001:1994 pula ialah keseluruhan ciri-ciri dan sifat sesuatu produk atau
perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak pelanggan yang dinyatakan
secara tersurat atau tersirat. Kualiti ialah satu hasil yang memenuhi tahap
jangkaan keserupaan dan boleh diharapkan, pada kos yang rendah dan sesuai
dipasarkan. Crosby (1979) melihat kualiti sebagai memenuhi kehendak dalam
menguruskan sesuatu dan bebas dari kecacatan atau 'zero defect' (ZD). Juran
(1989) berpendapat kualiti ialah produk yang boleh dipakai.
Kualiti merangkumi gabungan semua bahagian yang terlibat dalam
pengeluaran daripada mula hingga akhir yang dapat memenuhi kehendak
pelanggan. Kualiti bukan sahaja sebagai hasil yang baik tetapi meliputi
jangkaan malah melebihi kehendak pelanggan. Definisi kualiti mestilah
berorientasikan pelanggan dengan mengambil kira kehendak dan harapan
mereka, serta diletakkan sebagai isu utama pengurusan dalam sesebuah
organisasi. Kualiti mestilah mencerminkan keupayaan bersaing organisasi
untuk menyerlahkan nilai yang tinggi kepada pelanggan. Ini secara
langsungnya bermakna kualiti menjadi isu penting kepada organisasi dan perlu
diberi pehatian oleh pihak atasan.
6
Secara keseluruhannya, kualiti boleh didefinisikan sebagai kemampuan
organisasi untuk memenuhi dan memuaskan kehendak pelanggan, pengguna
dan ‟stakeholders‟. Dalam konteks pendidikan, kualiti boleh boleh diujuk
kepada sejauhmana kemampuan sekolah mampu menghasilkan pelajar yang
sempurna dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial
(JERIS) seperti mana yang dituntut oleh pelanggan, pengguna dan
stakeholders. Kualiti adalah keseluruhan ciri-ciri dan sifat-sifat sesuatu produk
atau perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak yang dinyatakan atau
yang tersirat. Antara contoh ciri-ciri kualiti bagi produk ialah, mudah diperoleh,
tahan lama, bersih, selamat, boleh diuji, boleh dikesan dan mudah diangkut.
Contoh ciri-ciri kualiti bagi sesuatu perkhidmatan adalah seperti keselesaan,
kesopanan, kecekapan, keberkesanan, jujur, kebolehpercayaan, cepat,
responsif dan keselamatan.
2.0 TEORI KEPIMPINAN
Terdapat banyak teori berkaitan kepimpinan yang telah dikemukakan oleh
pakar-pakar dalam bidang ini. Namun hanya beberapa teori yang akan diberi
penumpuan bagi membincangkan aspek kepimpinan berkualiti dalam penulisan
ini iaitu:
a) Kontigensi Fiedler
Model ini dipelopori oleh Fred Fiedler yang telah mengendalikan kajian pada
tahun 1951 yang mana model ini dikenali sebagai ‟Cotigency Model of
Leadership Effectiveness‟. Hasil kajiannya mendapati bahawa prestasi sesuatu
kumpulan pekerja bergantung kepada gaya pemimpin berinteraksi dengan ahli
kumpulan dan bagaimana setiap ahli menilai ahli yang lain. Fiedler telah
menghuraikan tiga dimensi yang kritikal bagi menentukan tahap di mana
pemimpin berpengaruh:
7
i) Kuasa
Fiedler merumuskan bahawa kuasa yagng diperolehi daripada kedudukan
yang tinggi dalam hierarki akan memudahkan urusan-urusan pemimpin
tersebut dan akan mewujudkan suasana yang memberangsangkan. Tahap
apabila kuasa itu sendiri membolehkan pemimpin mengawal ahli kumpulannya
supaya patuh kepada segala arahan pemimpinnya.
ii) Tugas
Keadaan yang sistematik dan teratur akan melancarkan urusan-urusan yang
berkaitan dengan kepimpinan. Tahap apabila tugas-tugas yang dikenalpasti
dalam sesuatu organisasi atau kumpulan adalah jelas, teratur dan rapi.
iii) Hubungan
Hubungan dua hala adalah dimensi yang paling penting bagi pemimpin kerana
kedua-dua dimensi pertama dikawal oleh organisasi masing-masing. Dimensi
ini menentukan tahap yang digemari pengikut dan memberi keyakinan yang
tinggi serta sanggup mengikut segala arahan.
b) Perspektif Vroom dan Yetton
Mengikut Vroom dan Vetton, terdapat lima bentuk perbezaan di dalam corak
kepimpinan demokratik. Gaya atau bentuk kepimpinan bergantung kepada
keadaan tertentu iaitu:
i) Pemimpin mendapatkan maklumat yang diperlukan dan pegawai
bawahannya membuat keputusan sendiri. Peranan pengikutnya hanya setakat
memberi maklumat yang diperlukan sahaja dan mereka tidak terlibat dengan
penyelesaian masalah.
ii) Pemimpin membina keputusan berdasarkan maklumat yang diterima pada
waktu tersebut.
8
iii) Pemimpin menyampaikan masalah kepada mana-mana staf bawahannya
yang relevan, secara individu untuk mengambil keputusan.
iv) Pemimpin menyampaikan masalah kepada staf bawahannya untuk
mendapatkan idea dan cadangan. Keputusan yang tidak semestinya hasil
daripada pengaruh staf.
v) Pemimpin membincangkan sesuatu masalah berkaitan staf bawahan untuk
mencapai persetujuan tentang penyelesaian masalah. Pemimpin tidak cuba
mempengaruhi keputusan yang diambil malah sanggup menerima dan
melaksanakan keputusan majoriti.
b) Teori Laluan Matlamat House
Profesor Robert House ialah salah seorang tokoh yang turut menyumbang
kepada teori kepimpinan dan sudut situasi.Beliau menyatakan bahawa fungsi
utama seseorang pemimpin ialah membentuk matlamat penting bagi para
pengikut atau pekerjanya serta menggariskan laluan-laluan ke arah pencapaian
matlamat tersebut. Dengan ini teorinya dinamakan teori laluan matlamat. Teori
ini biasanya diaplikasikan dalam situasi-situasi di mana struktur kerja adalah
kompleks dan mengelirukan, di mana tugas pemimpin ialah membentuk kerja-
kerja agar para pekerja mengikut suatu laluan yang jelas. Sekiranya seorang
pemimpin autokratik dan yang berorientasikan tugas cuba menambahkan lagi
struktur kerja, tentu sekali tidak akan menerima sambutan baik daripada
pekerja bawahannya.
Laluan ke arah matlamat pencapaian adalah jelas jika berkenaan
dilakukan secara berulang-ulang dan berstruktur. Ini bermakna bahawa jika
pemimpin cuba menambahkan lagi struktur kerja, keadaan ini tidak akan
menambahkan lagi kepuasan atau prestasi kerja. Pemimpin perlu bertindak
menyelesaikan kekeliruan yang timbul. Dengan ini pemimpin-pemimpin yang
9
berkesan menggunakan dua dimensi kepimpinan sama ada untuk menjelaskan
laluan ataupun memudahkannya untuk dijalankan.
3.0 MODEL KEPIMPINAN
a. Pemimpin Karismatik
Karismatik dalam bahasa Greek bermaksud „gift from the god‟s‟ iaitu
kombinasi „charm‟ dan „personal magnetism‟. Ia merupakan lanjutan daripada
Teori „Great Man‟ dan Teori Trait kerana para pengkaji Teori Trait gagal
mengaitkan keberkesanan kepimpinan. Hunsaker P.L (1986) mendefinsikan
bahawa pemimpin karismatik adalah seorang pemimpin yang tingkah lakunya
menunjukkan intipati apa yang sesebuah organisasi atau kumpulan sosial
perjuangkan untuk dicapai. Pemimpin jenis ini berusaha untuk mencernakan
nilai-nilai dalam organisasi dan menterjemahkan, memulihara dan mengubah
nilai-nilai tersebut. Pemimpin karismatik adalah bersifat dominan, berkeyakinan
diri dan memiliki keyakinan yang kuat ke atas kebenaran moral kepercayaan
mereka. Mereka berjuang untuk mencipta kesenangan dan kejayaan,
mengkomunikasikan visi dan memotivasikan pengikut-pengikutnya.
Teori kepimpinan karismatik mengatakan bahawa „semakin tinggi
karisma seorang pemimpin, semakin tinggi prestasi kerja orang di bawah
kepimpinannya‟. Pada peringkat awal teori kepimpinan adalah berasaskan
karisma seseorang. Pemimpin karismatik mempunyai kaitan positif dengan
prestasi kerja iaitu semakin tinggi karisma seseorang pemimpin maka semakin
tinggi prestasi kerja orang bawahannya. Ini akan menghasilkan kesan-kesan
yang menguntungkan baik kepada pemimpin orang bawahannya ataupun
seluruh organisasi. Gaya kepimpinan ini sangat dipengaruhi oleh reaksi-
reaksi para pengikut kepada ciri-ciri peribadi pemimpin. Contohnya pemimpin
akan dihormati, dipatuhi, setia, dan dikagumi oleh pengikutnya.
10
Kepimpinan karismatik ialah pemimpin yang mempunyai kemahiran
yang tinggi dalam pengurusan dan berjaya membuat perubahan yang besar
dalam pentadbiran. Seorang pemimpin karismatik merupakan pemimpin yang
popular dan menjadi pujaan pengikutnya. Pemimpin jenis ini, walaupun
adakalanya membuat kesilapan, kesilapan yang dilakukan itu tidak dinilai
sebagai satu kesilapan. Malah, setiap kali percubaan untuk mendedahkan
keburukannya akan dianggap sebagai satu helah, kemudiannya akan
dirumuskan sebagai konspirasi. Penyokong setianya tidak boleh menerima
kesalahan tersebut, dan sebarang percubaan menjatuhkan pemimpin itu akan
ditentang kerana mereka sanggup "mati dan berjuang" mempertahankannya.
Pemimpin karismatik bukan sahaja mampu menghimpunkan ramai pengikut
bahkan orang sanggup mendengar ucapannya dengan tekun tanpa menilainya
sebagai sesuatu yang bertentangan.
Pemimpin jenis ini amat bijak menggunakan lisan dan bahasa badan
sehingga ia dilihat hebat, mampu menyelesaikan masalah masyarakat dan
gaya retoriknya mempunyai ritma "mega mendung." Pemimpin jenis ini tahu
membangkitkan resah melalui kata-kata dan mampu pula memberikan solusi
walaupun secara rasionalnya ia adalah sesuatu yang tidak munasabah. Antara
kesan yang besar kepimpinan karismatik adalah pengikut menjadi taat dan
setia kepada seseorang pemimpin. Pemimpin ini menjadi inspirasi kepada
pengikut dalam melakukan tugas dan aktiviti. Antara contoh yang jelas
pemimpin yang ada ciri karismatik ini ialah Sukarno, Mahatma Ghandi, John F.
Kennedy dan Ayatullah Khomieni. Kebanyakan buku dan pengkaji pengurusan
menyatakan bahawa pemimpin agung adalah Nabi Muhammad S.A.W kerana
kepimpinan baginda kekal dalam bentuk ikutan walaupun baginda sudah
wafat.
b. Pemimpin Transformasi
Pemimpin jenis ini bukan sahaja memberikan ilmu kepada pengikutnya malah
turut berusaha membentuk budaya berfikir secara rasional. Dia ikut
11
membudayakan percambahan ilmu dan tidak mudah berjanji untuk
menempatkan dirinya sebagai popular. Burns (1978) mendefinisikan
kepimpinan transformasional sebagai “Pemimpin Transformasional
mengenalpasti dan mengeksploitasikan keperluan sedia ada atau kemahuan
pengikut-pengikut yang berpotensi. Tetapi lebih daripada itu, pemimpin
transformasional sebenarnya melihat potensi pada pengikut-pengikutnya,
berusaha untuk memenuhi keperluan aras tinggi dan mengikat seluruh jiwa
raga pengikutnya. Hasil dari kepimpinan ini adalah suatu perhubungan yang
saling merangsang dan mempertingkatkan yang akan mengubah pengikut-
pengikut menjadi pemimpin dan mungkin mengubah pemimpin-pemimpin
menjadi agen-agen moral.
Asas kepada teori ini adalah pemimpin-pemimpin menginspirasikan
para pengikutnya untuk mengenalpasti minat mereka dan melihat ke arah
tujuan yang berfokus atau berpusat. Pemimpin-pemimpin yang dianggap
tranformasional menumpukan usaha-usaha mereka kepada matlamat jangka
panjang, meletakkan nilai-nilai dan memberikan penekanan kepada
pembangunan dan menginspirasikan para pengikutnya untuk mengejar visi,
mengubah dan menyelaraskan sistem untuk memenuhi visi. Mereka bukannya
bekerja dalam sistem yang sedia ada atau melatih para pengikutnya untuk
mengambil tanggung-jawab terhadap pembangunan diri sendiri dan juga orang
lain (Howell & Avolio, 1993).
Yukl (1989) pula mendefinisikan kepimpinan transformasional sebagai
satu proses untuk mempengaruhi perubahan-perubahan yang besar dari segi
sikap dan andaian ahli-ahli sesebuah organisasi dan membina komitmen untuk
mencapai misi, objektif dan strategi organisasi berkenaan. Menurut Salleh
Lebar (2000), kepimpinan transformasional memfokuskan kepada peringkat
moral dan motivasi dalaman yang tinggi dalam menjalankan sesuatu tugas.
Kepimpinan jenis ini memerlukan seseorang yang bersifat kemanusiaan, adil,
jujur dan tidak emosional, tidak tamak dan tidak mencemburui kakitangannya.
12
Pemimpin transformasional adakalanya dilihat mempunyai gaya
karismatik, tetapi bukan dengan tujuan untuk menunjukkan kehebatan secara
peribadi. Pemimpin transformasional tidak berusaha membentuk kelompok
penyokong yang fanatik, tetapi lebih menjurus kepada pembentukan pemikiran
penyokongnya secara rasional agar mampu membuat keputusan dengan bijak
dan berkesan. Pemimpin jenis ini bercakap dengan menggunakan fakta dan
bukannya gemar membuat kesimpulan secara tergesa-gesa. Seorang pemimpin
transformasional sentiasa memberikan fokus selaras dengan
tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin. Pemimpin jenis ini meletakkan
amanah sebagai pemandu arah dan berusaha sepenuh daya untuk
memberikan kesejahteraan kepada orang yang dipimpinnya. Pemimpin
transformasional tidak menjadikan kedudukannya sebagai keistimewaan,
sebaliknya mengutamakan setiap peluang dan fikirannya untuk memenuhi
tuntutan masyarakat.
Perspektif kepimpinan transformasional merupakan sifat kepimpinan
yang banyak diberikan penekanan dalam al-Quran. Pemimpin jenis ini akan
sentiasa berusaha menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh amanah dan
bila membuat sesuatu keputusan, ia berdasarkan kepada prinsip keadilan.
Konsep keadilan tidak dicampuradukkan dengan konsep sama rata. Konsep
keadilan ialah meletakkan hak di tempat yang sepatutnya, maka dalam
memenuhi tuntutan tersebut, ia tetap bersandarkan kepada peraturan dan
etika yang telah melembagakan sesuatu perkara. Bagi perkara-perkara yang
belum dilembagakan sebagai satu bentuk peraturan dan etika, akan dicari pula
satu rumusan yang boleh diterima secara umum. Dalam konteks ini, pemimpin
transformasional tidak akan meminggirkan kelompok minoriti walaupun dalam
konteks demokrasi, majoriti menjadi kuasa penentu. Kepentingan minoriti akan
dilihat secara saksama, kerana mereka juga mempunyai hak selagi hak
tersebut tidak melanggar hak orang lain.
13
c) Pemimpin Transaksional
Kepimpinan transaksional adalah kepimpinan yang mengarahkan usaha orang
lain melalui tugas, ganjaran dan struktur. Pemimpin transaksional mengenal
pasti dan menjelaskan tugas-tugas dan memberitahu bahawa kejayaan
pelaksanaan tugas-tugas tersebut akan menuju kepada penerimaan ganjaran.
Pemimpin transaksional tidak mempunyai kehebatan berpidato, tetapi ia
merupakan pemimpin yang sanggup bekerja keras untuk memenuhi
tanggungjawabnya. Pemimpin jenis ini mempunyai idea yang praktikal dan
tidak akan membuat janji seandainya tidak mampu dilaksanakan. Pemimpin
transaksional mengamalkan gaya kepimpinan sederhana, tidak meninggi diri
dan sentiasa berkorban untuk mensejahterakan orang yang dipimpinnya.
Pemimpin transaksional menjanjikan ganjaran kepada pengikut jika berjaya
mencapai satu tahap prestasi yang telah ditetapkan dalam jangka masa
tertentu. Dalam hal ini, pemimpin boleh memberikan ganjaran seperti
meningkatkan bayaran gaji, komisen, bonus, menaikkan pangkat, memberikan
penghargaan serta pujian kepada pengikut.
Menurut Salleh Lebar (2000), kepimpinan transaksional memfokuskan
kepada keperluan motivasi luaran untuk menggerakkan pekerja bawahan. Ia
bukan sahaja boleh dilaksanakan di dalam sesebuah organisasi tetapi juga di
luar organisasi terutama pada masyarakat yang lebih besar. Kepimpinan
transaksional harus memiliki informasi yang jelas tentang apa yang diperlukan
dan diinginkan bawahannya dan harus memberi pulangan yang konstruktif
untuk mempertahankan bawahannya. Kepimpinan transaksional sangat
mementingkan nilai moral seperti kejujuran, keadilan, kesetiaan dan
tanggungjawab. Kepimpinan ini membantu orang ke dalam kesepakatan yang
jelas dan mengambilkira hak-hak serta keperluan orang lain.
Kepemimpinan transaksional adalah hubungan antara pemimpin dan
bawahan serta ditetapkan dengan jelas peranan dan tugas-tugasnya.
14
Kepemimpinan transaksional digambarkan sebagai mempertukarkan sesuatu
yang berharga bagi yang lain antara pemimpin dan bawahannya (Contingen
Riward), intervensi yang dilakukan oleh pemimpin dalam proses organisasional
dimaksudkan untuk mengendalikan dan memperbaiki kesalahan yang
melibatkan interaksi antara pemimpin dan bawahannya bersifat pro aktif.
Kepemimpinan transaksional aktif menekankan pemberian penghargaan
kepada bawahan untuk mencapai kerja yang diharapkan. Oleh kerana itu
secara pro aktif seorang pemimpin memerlukan informasi untuk menentukan
apa yang yang diperlukan oleh bawahannya. Berdasarkan huraian di atas,
maka dapat dikatakan bahwa prinsip utama dari kepemimpinan transaksional
adalah mengaitkan keperluan individu pada apa yang diinginkan pemimpin
untuk dicapai dengan apa penghargaan yang diinginkan oleh bawahannya
memungkinkan adanya peningkatan motivasi bawahan.
4.0 CIRI DAN PERANAN PEMIMPIN
Seseorang pemimpin perlu memastikan arah tuju organisasinya, berkeupayaan
untuk meningkatkan perkembangan profesionalisme staf-staf, menyelesaikan
masalah yang dihadapi, kesanggupan menyokong dan membantu staf-staf,
cuba mengenal pasti ketidakpuasan hati staf-staf yang tentunya akan
menentukan corak kelakuan staf-staf di dalam organisasi. Pemimpin juga
berfungsi sebagai penentu sempadan bidang kuasa dan tindakan antara
peringkat bawahan dengan peringkat atasan. Tanpa pemimpin hukum beradat
dalam masyarakat tidak akan wujud. Dengan cara ini sahaja sesebuah
organisasi akan berjaya mengalami perubahan.
Pemimpin harus memimpin, memandu, membimbing staf-staf ke arah
penyempurnaan matlamat organisasi mereka. Pemimpin akan
bertanggungjawab untuk menghubungi staf tentang rancangan dan strategi
yang akan dijalankan, menyenaraikan tugas dengan jelas untuk diberitahu
kepada staf, memberi kepuasan kerja, menyelesaikan masalah, memuji dan
15
mengkritik, membimbing dan menunjuk ajar, memberi sokongan moral,
menentukan kriteria dan piawai prestasi staf masing-masing, bersedia
mengubahsuaikan perancangan sekiranya berlakunya konflik, menyesuaikan
rancangan dengan keadaan semasa supaya kepuasan hati staf-staf dan
matlamat organisasi akan dapat dicapai.
Pencapaian kualiti sesebuah organisasi dengan gaya kepimpinan
pemimpinnya adalah berkait rapat. Pengurusan organisasi moden lebih banyak
menggunakan hubungan manusia daripada menggunakan kuasa mengarah.
Hubungan manusia yang tinggi akan berkait rapat kepada tahap prestasi staf
sebuah organisasi. Jika pemimpin tidak memiliki sifat amanah, tentu yang
terjadi adalah penyalahgunaan jabatan dan untuk hal-hal yang tidak baik. Oleh
kerana itu, kepemimpinan sebaiknya tidak dilihat sebagai alasan untuk
menguasai, tetapi sebagai sebuah pengorbanan dan amanah yang harus
dipikul sebaik-baiknya.
Pada umumnya seseorang yang diangkat menjadi pemimpin
didasarkan atas kelebihan-kelebihan yang dimilikinya dibandingkan dengan
orang-orang yang dipimpinnya, di mana kelebihan-kelebihan tersebut
diantaranya sifat-sifat yang dimiliki berkaitan dengan kepemimpinannya.
Kelebihan sifat ini merupakan syarat utama menjadi seorang pemimpin yang
sukses. Pemimpin juga merupakan penggerak utama dalam sesebuah
organisasi. Tanpa pemimpin sesebuah organisasi tidak akan dapat bergerak
lancar kerana tiada pengawasan dan pengarahan. Kebiasaannya orang yang
sanggup menjadi pemimpin ingin mendapatkan kedudukan, kekayaan,
kekuasaan dan ada juga ingin benar-benar mendapatkan kepuasan untuk
berkhidmat pada kelompoknya. Kepuasan ini bukan sahaja untuk dirinya tetapi
juga untuk kelompoknya (Robiah K. Hamzah 2001:19). Bagi menjadi seorang
ketua tak kira apa jua jenis kepimpinan, maka seseorang itu memerlukan ciri-
ciri kepimpinan tertentu iaitu:
16
a) Sihat
Seseorang pemimpin hendaklah sihat tubuh badan dan mentalnya. Seseorang
itu tidak boleh memimpin sekiranya tidak mempunyai kecergasan fizikal yang
secukupnya. Mental yang sihat pula akan membolehkan seseorang pemimpin
itu sentiasa bertindak waras dan rasional.
b) Minat
Minat yang mendalam di dalam bidang yang dipimpin hendaklah wujud di
dalam jiwa seorang pemimpin. Tanpa minat seseorang pemimpin tidak akan
berjaya memimpin kumpulan-kumpulannya di dalam bidang yang dipimpin.
Minat yang mendalam biasanya akan melahirkan semangat gigih, rajin bekerja
atau dedikasi. Tanpa sifat gigih dan dedikasi seseorang ketua itu tidak akan
berjaya membangunkan kumpulan tersebut.
c) Sikap Sosial
Seseorang pemimpin juga hendaklah mempunyai sikap sosial yang baik. Ia
hendaklah mengasihi orang yang dipimpinnya, menerima mereka sebagai ahli
kumpulan, bertolak ansur, bertimbang rasa, adil, tidak mementingkan diri
sendiri dan selalu meluangkan masa bagi mendengar masalah ahli kumpulan.
d) Taat Setia
Seseorang pemimpin hendaklah juga taat setia kepada kumpulan sebagai
mana ia mengharapkan kumpulannya berbuat perkara yang sama
terhadapnya. Ia mesti mementingkan kumpulannya dari kumpulan lain. Ia
mesti sentiasa berdiri teguh di belakang kumpulan. Segala susah payah dan
tumbang bangun kumpulan adalah juga adalah susah payah dan tumbang
bangun pemimpin itu.
e) Pintar
Seseorang pemimpin mestilah pintar. Orang yang pintar dapat menganalisa
sesuatu keadaan atau permasalahan yang baik serta dapat memisahkan antara
17
perkara yang penting dengan yang tidak. Dengan demikian beliau dapat
menghasilkan pendapat-pendapat atau rumusan yang bernas lagi berkesan.
Orang yang bodoh sudah tentu tidak layak memimpin orang lain. Perlu
ditekankan bahawa orang yang pintar tidak semestinya orang yang mempunyai
kelulusan akademik yang tinggi. Orang yang pintar biasanya berpandangan
jauh dan cepat peka terhadap apa yang berlaku di sekitarnya. Dengan
demikian ia dapat bertindak bagi kebaikan kumpulan.
f) Daya usaha
Daya usaha atau inisiatif adalah satu kualiti yang membuat seseorang itu dapat
bergerak atau bekerja tanpa menunggu arahan atau gesaan dari mana-mana
pihak. Orang yang bekerja di atas dasar „seperti pahat dengan pemukul‟ adalah
tidak sama sekali layak dijadikan pemimpin. Pemimpin yang mempunyai daya
usaha akan sentiasa melahirkan program-program aktiviti-aktiviti atas sesuatu
untuk kumpulan. Tanpa aktiviti kumpulan akan menjadi statik. Orang yang
mempunyai inisiatif adalah biasanya orang yang kreatif dan produktif.
g) Berani
Ciri ini membolehkan pemimpin supaya terus dapat memimpin kumpulan walau
di dalam apa keadaan sekali pun. Pemimpin yang (samada dari segi fizikal atau
moral) dapat melahirkan keputusan yang sukar dan berat. Dia berani bertanya,
berani berhadapan orang ramai, berani menegur dan sentiasa bersifat cekal di
dalam kecemasan. Tetapi perlu ditekankan bahawa berani yang dimaksudkan
di sini bukanlah berani yang tidak berasas dan membabi buta sehingga
terkeluar dari batas logik dan kewarasan. Seorang pemimpin yang berani
membabi buta adalah lebih merbahaya.
h) Jujur
Seorang pemimpin yang mempunyai sifat jujur akan sentiasa berterus-terang
kepada kumpulannya. Jika dia tidak tahu mengenai sesuatu perkara dia akan
mengatakan tidak tahu. Jika dia belum melakukannya sesuatu perkara maka
18
dia akan berkata dia belum melakukannya. Sementara pemimpin yang tidak
jujur atau membohongi kumpulannya dengan beberapa alasan yang hebat.
Seorang yang jujur ialah juga orang yang amanah. Kumpulan akan sejahtera
jika pemimpin tidak menyeleweng samada dari segi tugas moral atau material.
i) Disiplin
Pemimpin yang berdisiplin akan dicontohi dan dipatuhi oleh pengikutnya. Di
dalam ciri-ciri disiplin yang tinggi adalah diperlukan demi menjaga nama dan
keselamatn kumpulan. Segala arahan peraturan dan etika perlu dipatuhi
sepenuhnya. Pemimpin yang berdisiplin akan sentiasa mematuhi perkara-
perkara tersebut dan selanjutnya ia akan menentukan pula supaya kumpulan
juga berbuat demikian. Hanya mereka yang berdisiplin sahaja boleh
mendisiplinkan orang lain. Disiplin yang dimaksudkan disini bukan setakat
mematuhi arahan dan peraturan sahaja tetapi juga termasuk dari segi
mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik.
j) Tegas dan fleksibel
Pemimpin yang bersifat tegas akan di yakini oleh kumpulan. Keputusan dan
arahannya akan dipatuhi tanpa keraguan dan kelewatan. Pemimpin yang tegas
akan disegani oleh pengikutnya. Ketegasan adalah perlu terutamanya yang
berkaitan dengan keselamatan. Seseorang yang tegas diterima adalah orang
yang berdisiplin dan berani. Seseorang pemimpin hendaklah pula bersifat
fleksibel pada ketika-ketika tertentu terutama sekali bagi tujuan keselamatan
kumpulan. Sebagai contoh ia haruslah boleh memilih cara lain apabila satu cara
yang dirancangkan itu membahayakan kumpulan.
k) Yakin
Seseorang pemimpin hendaklah yakin kepada dirinya sendiri. Yakin kepada diri
sendiri ialah yakin kepada kebolehan yang ada, yakin kepada segala keputusan
dan tindakan yang telah dibuat untuk kumpulan dan apa yang lebih penting
ialah yakin kepada kepimpinan sendiri. Dengan demikian seseorang pemimpin
19
dapat menjalankan tugasnya tanpa ragu-ragu. Pemimpin yang ragu-ragu
kepada dirinya sendiri tidak akan mempunyai kekuatan dalaman untuk
memimpin orang lain.
5.0 KEPEMIMPINAN BERKUALITI DALAM PENDIDIKAN
Dalam penulisan ini, penulis tidak dapat lari daripada mengaitkan secara tidak
langsung kepada senario kepimpinan dalam konteks pendidikan selain daripada
konteks organisasi umum. Dalam konteks pendidikan, pemimpin berkualiti
boleh ditakrifkan sebagai pemimpin yang sentiasa bertindak ke arah
mewujudkan persekitaran kerja yang produktif dan memuaskan guru-guru,
serta sentiasa berusaha memperkembangkan pembelajaran murid. Dalam
konteks ini, pemimpin pendidikan di sekolah boleh disama ertikan dengan
pengetua atau guru besar. Pengetua atau guru besar bukan sahaja
bertanggungjawab dalam memastikan pencapaian pelajar dalam bidang
akademik, namun turut memastikan bahawa warga sekolahnya cemerlang
serta berjaya mencapai visi serta misi yang dirancangkan. Kepimpinan tidak
dapat diasingkan dengan subordinat.
Kepimpinan pengetua merupakan pelbagai aktiviti, perlakuan,
kemahiran, sikap dan pengetahuan yang mencerminkan kebolehan dan
kesediaan untuk mempengaruhi, menggerakkan, membimbing dan melatih
individu subordinat dan komuniti ke arah mencapai matlamat sekolah.
Kepemimpinan pemimpin adalah sangat penting semasa proses pengurusan
dan pentadbiran sebuah organisasi pendidikan (sekolah), khususnya semasa
perancangan, pengelolaan, pengarahan dan pengawalan (4P). Ia juga
merupakan proses mempengaruhi pihak kedua untuk melakukan sesuatu yang
dikehendaki. Keberhasilan sekolah untuk mencapai tujuannya antara lain
sangat ditentukan oleh kehandalan kepemimpinan sekolah dalam mengelola
sekolahnya. Peranan kepemimpinan dalam suatu organisasi sangat
berpengaruh untuk mewujudkan sasaran yang telah ditetapkan. Peranan
20
sebagai pemimpin menguji kemampuan pengetua atau guru besar dalam
membimbing warga sekolah bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan
pembelajaran dalam situasi sekolah yang pelbagai (Rahimah, 2004). Keadaan
ini terjadi kerana setiap perlakuan pengetua atau guru besar dan bagaimana
mereka melakukannya menjadi perhatian, bukan sahaja oleh warga sekolah
malah ibu bapa dan masyarakat setempat (Fullan, 2000).
Kepemimpinan dalam pandangan Islam merupakan amanah dan
tanggung jawab yang tidak hanya dipertanggungjawabkan kepada anggota-
anggota yang dipimpinnya, tetapi juga akan dipertanggungjawabkan di
hadapan Allah SWT. Kepemimpinan sebenarnya bukanlah sesuatu yang
menyenangkan, tetapi merupakan tanggung jawab sekaligus amanah yang
amat berat dan harus dilaksanakan sebaik-baiknya. Hal tersebut dijelaskan
dalam Al Qur‟an surah Al-Mu‟minun: Artinya: Dan orang-orang yang
memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janji mereka dan orang-
orang yang memelihara sholatnya, mereka itulah orang-orang yang akan
mewarisi surga Firdaus, mereka kekal di dalamnya. (Q.S. al-Mukminun 8-11).
Dalam konteks hari ini, kepimpinan pendidikan harus mampu
menjayakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Wawasan 2020, zero
defect dan pendidikan bertaraf dunia, malah menjayakan PPIP (2006 – 2010).
FPK digubal berteraskan perpaduan kaum yang berasaskan Laporan Razak
1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 yang berhasrat untuk mencapai insan
seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Secara ringkasnya ianya
akan melahirkan bangsa taat setia, insan beriman, berakhlak mulia, berilmu,
berketerampilan, sejahtera, memenuhi modal insan untuk negara dan memberi
peluang untuk semua kanak-kanak dalam negara.
FPK seperti yang termaktub dalam Ordinan Pendidikan 1957 bertujuan
membentuk dan akan meningkatkan sosiobudaya, ekonomi, dan politik negara.
Akhirnya kepimpinan pendidikan harus faham bahawa kepimpinan yang perlu
21
ditonjolkan adalah untuk mencapai perpaduan kaum, melahirkan modal insan
yang bertanggungjawab, progresif, berdisiplin dan berorientasi sains dan
teknologi. Kepimpinan pendidikan harus peka dan faham maksud yang cuba
disampaikan oleh negara semasa mereka menjalankan tugas.
6.0 ISU DAN CABARAN KEPEMIMPINAN DALAM PENDIDIKAN
Dalam era pasca moden masa kini, pelbagai cabaran yang wujud dalam
sesebuah organisasi tidak kira apa organisasi sekalipun. Dalam organisasi
pendidikan khasnya di sekolah ada beberapa isu yang timbul berdasarkan
persekitaran, suasana dan budaya sesebuah sekolah. Salah satu isu ialah
kepimpinan guru besar yang kurang mantap, tidak proaktif dan kreatif. Isu ini
timbul kerana beberapa sebab tertentu di antaranya ialah cara pelantikan
mereka ke jawatan tersebut seperti mana yang diamalkan oleh Kementerian
Pelajaran. Pelantikan seseorang sebagai guru besar biasanya berdasarkan
“seniority” dan tidak mengambil kira prestasi kerja mereka atau pengetahuan
mereka dalam pengurusan atau pengalaman mereka dalam pengurusan.
Kebanyakan guru besar yang dilantik tidak diberi kursus atau
pendedahan sebelum dilantik memegang jawatan tersebut. Jika sebelum ini
mereka tiada pengalaman dalam pengurusan hanya sebagai guru biasa yang
terus dilantik berdasarkan seniority tentulah mereka tidak mantap dan cekap
dalam menguruskan sesebuah sekolah. Guru Besar sebegini biasanya sudah
berada di penghujung karier mereka dan sebahagian besar daripada mereka
dilantik bila umur sudah mencapai 54 atau 55 tahun dan bagi mereka hanya
menunggu masa untuk bersara dan tidak proaktif dan kreatif. Mereka tidak
mahu mengambil sebarang risiko dan telah berada dalam “comfort zone” dan
meneruskan apa sahaja budaya pengurusan yang lalu walaupun pengurusan
dan kepimpinan sebelumnya tidak membawa apa-apa perubahan atau
pencapaian yang baik kepada sekolah tersebut.
22
Pemimpin sekolah yang dilantik tidak mempunyai komitmen yang
tinggi kerana walaupun mereka dihantar untuk berkursus contohnya di Institut
Aminuddin Baki dan lain-lain. Keadaan seperti sudah terlewat kerana mereka
telah pun dilantik dan jika sememangnya mereka dari golongan yang
bermasalah dan tidak mahu membuat apa-apa perubahan demi kebaikan
sekolah, khasnya demi kebaikan anak-anak murid, ianya tidak begitu berkesan,
kerana ada yang hanya pergi berkursus untuk memenuhi syarat sahaja.
Peranan guru besar dan pengetua terbahagi kepada lima bidang
utama iaitu dalam bentuk petugas, pendidikan, organisasi, pentadbiran dan
pasukan. Peranan-peranan ini bertambah dan berubah mengikut masa,
menjadikannya bertambah kompleks dan rencam. Perkara ini memberikan
implikasi yang serius terhadap kebolehan dan kemampuan guru besar jika
mereka tidak bersedia terhadap cabaran-cabaran yang bakal dihadapi,
kecemerlangan murid dan sekolah sukar untuk dibangunkan. Di samping itu
juga kecemerlangan murid dan sekolah seringkali disandarkan kepada
pengurusan dan kepimpinan yang dimiliki oleh guru besar dan pengetua.
Tegasnya, peranan yang perlu dilaksanakan oleh guru besar dan pengetua
adalah sangat besar dan mencabar.
Tugas dan peranan yang perlu dilaksanakan oleh guru besar dan
pengetua semakin mencabar dari sehari ke sehari kerana perkembangan pesat
yang berlaku dalam sistem pendidikan, di dalam dan di luar negara (Abdullah
Sani 2003; Ayob 2005; Cheng 2002; Hussein 1997; Omardin 1999). Menurut
Cheng (2002), peranan dan cabaran sebagai pemimpin sekolah semakin
kompleks. Oleh itu, guru besar atau pengetua bukan hanya perlu kepada
pengetahuan profesional sahaja tetapi perlu juga memahami kehendak
pelbagai pihak yang berkepentingan terhadap sekolah.
23
7.0 CADANGAN DAN KESIMPULAN
Secara jelas, pemimpin yang berkualiti merupakan pemimpin yang
mementingkan tanggungjawab dan amanah agar dapat menjadi model terbaik
dalam kalangan pegawai bawahannya. Dalam konteks pemimpin pendidikan,
jelas sekali para pemimpin perlukan bantuan dan sokongan dalam menghadapi
cabaran-cabaran dan harapan tinggi yang diletakkan di bahu mereka. Isu
kepimpinan ini sebenarnya boleh diatasi di mana Kementerian Pelajaran perlu
mengubah cara pelantikan, dan kebelakangan ini Kementerian Pelajaran telah
mengambil beberapa langkah tertentu dalam mengatasi isu ini. Program
mentoring telah dijalankan di mana guru besar yang baru dipasangkan dengan
seorang guru besar cemerlang yang telah berjaya menguruskan sekolahnya
dengan harapan guru besar yang baru dilantik dapat belajar bidang
kepimpinan dan pengurusan yang baik.
Pemimpin berkualiti merupakan faktor penting bagi mewujudkan
sesebuah organisasi sekolah berkesan. Dengan sifat-sifat seperti karisma,
keperibadian, bakat, kemahiran dan kebolehan mereka akan dapat memimpin ,
membimbing dan membawa warga sekolah ke arah satu matlamat iaitu
kecemerlangan pendidikan (Alimudin Mohd Dom, 2006). Pemimpin seharusnya
tahu merancang, memimpin, mengelola dan mengawal organisasi dengan cara
mengadakan mesyuarat bersama-sama dengan guru-guru dan staf. Misi, visi,
matlamat dan objektif hendaklah diputuskan bersama dengan guru-guru
barulah guru-guru dan staf mempunyai semangat kekitaan atau kepunyaan.
Mereka akan merasakan bahawa mereka menyumbang kepada organisasi.
Sebelum seorang pemimpin organisasi dilantik, proses penapisan
harus dijalankan untuk mencari mereka yang benar-benar layak, mampu dan
ingin menjadi seorang pemimpin yang berjaya. Seseorang yang akan dilantik
sebagai pemimpin sepatutnya dihantar berkursus selama setahun untuk
mempelajari selok belok pengurusan dan kepimpinan, mereka yang berjaya
24
dalam kursus tersebut akan dihantar ke sekolah untuk percubaan selama 6
bulan dan mereka yang berjaya sahaja yang dilantik. Dalam erti kata lain,
proses pelantikan pemimpin perlu lebih telus dan ketat untuk mengelakkan
pelantikan individu yang kurang komitmen dalam kepimpinan.
Pengwujudan program-program latihan yang sesuai bagi pemimpin-
pemimpin pendidikan adalah satu keperluan. Kursus-kursus seperti Pengurusan
dan Kepimpinan Sekolah (KPKS), Pengurusan Strategik untuk Organisasi
Pendidikan dan kursus Pengurusan Permuafakatan Strategik yang dilaksanakan
oleh KPM melalui Institut Aminuddin Baki (IAB) merupakan langkah yang
sangat baik dan perlu diteruskan. Di samping program-program latihan yang
sesuai bagi guru besar dan pengetua sekolah, satu standard kompetensi untuk
mereka seharusnya diguna pakai. Standard kompetensi ini seharusnya dapat
menjadi titik rujukan dalam menyediakan asas kepimpinan dan pengurusan
sekolah yang mantap dan berkesan. Pendedahan pengurusan sebegini harus
diberikan kepada pemimpin pendidikan supaya mereka dapat mengurus dan
memimpin dalam mewujudkan sekolah berkesan lagi cemerlang.
Gaya kepimpinan seorang Guru Besar banyak mempengaruhi budaya
organisasi sekolah. Kepimpinan yang baik akan menentukan kecemerlangan
sesebuah sekolah. Pentadbiran melibatkan tugas untuk mencapai objektif satu-
satu organisasi dengan cara usaha yang kerjasama, komunikasi dan kolaborasi
serta menganjur aktiviti-aktiviti terancang. Program Khas Pensiswazahan Guru
Besar yang dikendalikan oleh Institut Aminuddin Baki dengan kerjasama
Kementerian Pelajaran Malaysia dan universiti tempatan merupakan salah satu
langkah yang amat baik dalam usaha untuk mendedahkan Guru Besar akan
cara pengurusan dan kepimpinan yang baik. Program sebegini yang mengambil
masa sehingga tiga tahun banyak memberi “input” untuk digunakan dalam
pengurusan dan kepimpinan di sekolah.
25
Pelbagai cara lagi boleh diadakan dalam usaha Kementerian Pelajaran
Malaysia untuk mewujudkan pemimpin yang mantap, proaktif dan kreatif. Di
beberapa buah negara, pelbagai cara dijalankan untuk mewujudkan Guru
Besar atau Pengetua yang baik dalam kepimpinan dan pengurusan. Sebagai
contoh di Singapura pendedahan selama setahun diberikan sebelum dilantik. Di
negara China latihan berterusan diberikan di tempat kerja, di Taiwan
diwujudkan pusat latihan khas tujuan melatih Guru Besar atau Pengetua, di
Perancis, belajar semasa bekerja, di Norway dilatih di Universiti dalam bidang
pengurusan dan kepimpinan (Dr. Mohammed Sani Ibrahim, 2009 ).
Pemimpin yang berkualiti amat penting dalam menentukan halatuju
sesebuah organisasi yang cemerlang , oleh itu seseorang pemimpin perlu
mempunyai ilmu dan pengalaman dalam menguruskan sesebuah organisasi.
Walaubagaimana pun sebaik mana langkah-langkah tersebut diambil akhirnya
akan bergantung kepada sikap individu itu sendiri yang ingin berubah dan
membawa perubahan. Demi menjana pemimpin yang berkualiti langkah-
langkah cadangan jika dilakukan boleh melahirkan pemimpin organisasi yang
mantap, proaktif dan kreatif, dan secara tidak langsung akan melahirkan
generasi yang cemerlang serta sudah tentu akan mewujudkan budaya
kepimpinan yang cemerlang.
26
BIBLIOGRAFI A.L.Ramaiah. 1999 . Kepimpinan Pendidikan - Cabaran Masa Kini (edisi baru). Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.
Abdullah Sani Yahaya. 2003. Mengurus sekolah. Bentong: PTS Publications &
Distributor Sdn. Bhd. Alimuddin Mohd Dom . 2006. Kepimpinan instruktional : Peranan pengetua dan
guru besar dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Putrajaya : Sektor Penaziran Kepimpinan Institusi Pendidikan.
Aminuddin Mohd Yusof. 1990. Kepimpinan. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ayob Jantan. 2005. Pengetua sekolah yang efektif. Siri Penguruan Sekolah. Bentong: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. Aziah, Yaakob dan Yahya. 2006. Kepimpinan dan Pembangunan Pelajar Sekolah di Malaysia. Batu Caves Selangor. PTS Profefessional Publishing Sdn Bhd. Burns, J. M. (1978). Leadership. New York: Harper & Row
Cheng, Y. C. 2002. Leadership and strategy. Dlm. Bush, T. & Bell, L. (pnyt.).
The principles and practices of educational management, hlm. 51- 69. London: Paul Chapman Publishing.
Crosby, P.B. 1979. Quality is Free. New York: McGraw-Hill Fullan.M. 2000. The return of large-scale reform. Journal of Educational Change. 1(1): pp. 5–27.
Howell & Avolio. 1993. Transformational leadership, locus of control, and support for innovation: Key predictors of consolidated-business-unit performance. Journal of Applied Psychology. 78(6): 891-902.
Hunsaker.P.L.1986. Managing Organizational Behavior. USA : Addison – Wesley Publishing Com. James G. Hunt & Richard N. Osborn. 1980. Organization Behaviour 7th Edition. University of Phoenix : Wiley Juran, Joseph and A. Blanton Godfrey. 1999. Juran‟s Quality Handbook. McGraw
Hill: New York.
Moejiono Imam. 2002. Kepemimpinan dan Keorganisasian. Jogakarta: UII Press
27
Mohd Ashari Idris. 2004. Orientasi Kualiti: Prinsip dan Amalan Strategik.
Penerbit UKM: Bangi Mohd Salleh Lebar .2000. Pentadbiran Pendidikan & Pendidikan di Malaysia. Petaling Jaya: Addison Wesley Longman Malaysia Sdn Bhd. Omardin. 1999 . Pengajaran Kreatif Untuk Pembelajaran Aktif. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahimah Hj. Ahmad. 2004. Principalship and School Management. Kuala Lumpur: Universiti Malaya, Institut Kepengetuaan Fakulti Pendidikan.
Robiah K. Hamzah. 2001. Teknik dan Strategi Membimbing Remaja Menghadapi Cabaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Robiah Sidin.1998. Pemikiran Dalam Pendidikan. Shah Alam:Fajar Bakti.
Rushami Zien Yusoff. 2005. Pengurusan Kualiti – Prinsip dan Pelaksanaan. Shah
Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA)
Stogdill.1974. Handbook of Leadership: A Survey of the Literature. New York: Free Press Tead; Terry; Hoyt. 2003. Dalam Kartono. Beyond Leadership (12 Konsep
Kepemimpinan) Jakarta: PT Elek Media Komputindo. Yulk, Gary A .1989. : Leadership In Organizations. New Jersey : Prentice-Hall. Yahya Don. 2005. Kepimpinan Pendidikan Di Malaysia. Batu Caves Selangor.
PTS Profefessional Publishing Sdn Bhd.
Stogdill, R. (197
28