Isu Kemalangan Jalan Raya
-
Upload
mohd-hisyam -
Category
Documents
-
view
246 -
download
0
Transcript of Isu Kemalangan Jalan Raya
-
8/12/2019 Isu Kemalangan Jalan Raya
1/3
Adalah menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia akan sentiasa beringat dan berwaspada semasa
dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. Bersama kita jadikan jalan raya kita jalan yang selamat.
Demikianlah sedutan ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri
Abdullah Ahmad Badawi ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim di Putrajaya
baru-baru ini. Peribahasa alah bisa tegal biasa kini telah menjadi sinonim dengan masyarakat Malaysia
memandangkan saban hari rakyat Malaysia disajikan dengan berita-berita kemalangan jalan raya yang
menyayatkan hati sama ada di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Walaupun OPS Sikap XIII
sempena Aidilfitri baru-baru ini berjaya mengurangkan kes kemalangan maut daripada 213 kes kepada
203 kes, namun statistik masih menunjukkan bahawa kemalangan keseluruhan pada tahun ini
meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu. Persoalannya, apakah punca-punca yang
menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya walaupun pelbagai pihak telah memainkan peranan
mereka dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya?
Mengikut kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UTM), sikap pemandu ketika
berada di jalan raya merupakan faktor dominan berlakunya kemalangan jalan raya. Memang tidak dapat
dinafikan, pemandu marcapada ini memandang enteng terhadap peraturan-peraturan jalan raya yang
telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Buktinya, ramai pemandu yang tidak mematuhi speed limit
terutamanya ketika memandu di lebuh raya sehingga menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan
apabila cuba membelok ke kanan atau ke kiri di selekoh-selekoh jalan. Di sisi itu, risiko untuk seseorang
mengalami kecelakaan jalan raya adalah lebih tinggi bagi mereka yang memandu dalam keadaan
mengantuk atau pun mabuk. Hal ini demikian kerana pemandu yang memandu kenderaan ketika
mengantuk akan hilang konsentrasi semasa memandu dan secara tidak langsung menyebabkankenderaan dikawal secara auto-pilot yang akhirnya membawa kepada kemalangan jalan raya. Selain
itu, sikap sesetengah pemandu yang leka berbual-bual dengan rakan sebelah serta mengggunakan
telefon bimbit ketika memandu turut menyebabkan kemalangan. Pernyataan ini diperkuatkan lagi
apabila statistik menunjukkan bahawa 94 peratus pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan jalan
raya berpunca daripada sikap acuh tak acuh mereka ketika berada di jalan raya. Pendek kata, kecuaian
pemandu ketika di jalan raya merupakan penyumbang utama kemalangan jalan raya.
Bak kata pepatah Melayu, kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang kerana setiap
perkara yang berlaku pasti ada sebabnya. Selain daripada faktor manusia, keadaan fizikal jalan raya yang
tidak memuaskan turut membawa kepada kemalangan jalan raya. Di samping struktur jalan yang
berlekak-lekuk serta mempunyai permukaan yang tidak rata, infrastruktur jalan yang turut gagal
berfungsi juga boleh membahayakan pengguna jalan raya khususnya bagi mereka yang memandu pada
waktu malam. Seperti yang kita ketahui, rakyat Malaysia gemar memulakan perjalanan mereka pada
waktu malam khususnya pada musim perayaan bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas.
Namun, ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan raya menyebabkan keadaan sekeliling menjadi gelap
-
8/12/2019 Isu Kemalangan Jalan Raya
2/3
dan seterusnya membataskan penglihatan para pemandu terhadap objek di hadapan mereka. Kondisi
sebegini bukan sahaja mengganggu tumpuan pemandu malah secara tidak langsung menyebabkan
pemandu tidak sedar akan posisi sebenar kenderaan mereka. Tambahan pula, ketiadaan penghadang
jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan yang tinggi seperti Genting Highlands meningkatkan lagi
risiko untuk sesebuah kenderaan terbabas jatuh ke dalam lembah yang curam. Oleh itu, jelaslah bahawa
kemalangan jalan raya turut berlaku apabila prasarana jalan raya berada dalam keadaan yang kurang
memuaskan.
Melihat dari perspektif yang berbeza, aktiviti lumba haram yang semakin menjad-jadi juga sering
menyebabkan kemalangan maut terutamanya dalam kalangan katak-katak rempit. Tanpa mengira
keadaan trafik, para pelumba motosikal haram ini akan berkumpul dan berlumba di tengah-tengah kota
pada malam hujung minggu. Kodok-kodok rempit ini akan bermaharajalela di jalan-jalan raya dan
menjadi pemandu yang beraja di mata dan bersultan di hati dengan aksi-aksi yang membanggakan diri
masing-masing. Aksi-aksi lumba haram yang ganas seperti drift and drag, gaya aerospace dan
superman bukan sahaja salah di sisi undang-undang negara, malah membahayakan nyawa penguna
jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Cuba kita bayangkan pelbagai kemungkinan
yang akan menimpa pelumba haram yang memecut laju dengan kelajuan 200 kilometer sejam secara
tiba-tiba gagal mengawal motosikalnya dan melanggar seorang kanak-kanak. Adakah dia dan kanak-
kanak itu masih terselamat? Dan adakah dia akan dibawa ke muka pengadilan setelah menyebabkan
kematian seorang kanak-kanak yang tidak berdosa? Maka, tidak hairanlah jika aktiviti lumba haram
menjadi salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya yang kini bagaikan cendawan
tumbuh selepas hujan.
Dalam pada itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga merupakan
punca kecelakaan di jalan raya. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan peraturan yang
ketat serta mampu memberi kesan terhadap psikologi masyarakat tempatan, namun ketidaktegasan
dalam pelaksanaan undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus
melakukan kesalahan di jalan raya. Sebagai contoh, akibat daripada ketidakjujuran segelintir pihak
berkuasa yang sanggup menerima rasuah, pemandu bas yang mempunyai 13 saman dan dua waran
tangkap masih terlepas daripada tindakan undang-undang. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila sebuah
bas yang digunakan sejak tahun 1987 serta telah empat kali gagal dalam pemeriksaan Puspakom Sdn
Bhd kerana masalah brek, serta disaman 19 kali oleh pihak polis sejak tahun 1991 dan merekodkan 79
saman daripada pihak JPJ semenjak lima tahun lalu masih lagi dibenarkan beroperasi di jalan raya.
Adakah pihak berkuasa terlalu alpa akan tanggungjawab mereka dalam memakmurkan alam sehingga
memandang enteng terhadap perkara sebegini? Di manakah terletaknya keadilan dan keunggulan
undang-undang negara sehinggakan fenomena sebegini masih diberi muka? Tuntasnya, kelemahan
penguatkuasaan undang-undang turut menjadi dalang dalam masalah kemalangan jalan raya.
-
8/12/2019 Isu Kemalangan Jalan Raya
3/3
Secara intihanya, kemalangan maut di jalan raya berpunca daripada pelbagai faktor. Pada
hakikatnya, kecelakaan jalan raya bukan sahaja mengakibatkan kecederaan serta menyebabkan banyak
nyawa terkorban, malah telah memusnahkan alam sekitar dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di
jalan raya. Hal ini secara tidak lansung telah menyumbang kepada kejatuhan ekonomi negara
memandangkan pihak kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk membaik pulih
infrastruktur jalan. Oleh hal yang demikian, pelbagai pihak haruslah berganding bahu dalam mencari
ikhtiar supaya kadar kemalangan maut jalan raya di Malaysia dapat dikurangkan. Jika negara Beijing
berjaya melakukannya, mengapa tidak Malaysia? Malaysia boleh! Insya-Allah.
Ayat Penyata
Ayat Tanya
Ayat Perintah
Ayat Seruan