ELM 3043-Maklumat
Transcript of ELM 3043-Maklumat
4.0 FAKTOR-FAKTOR KERUNTUHAN AKHLAK
Saban hari isu-isu keruntuhan akhlak terutamanya yang membabitkan gadis remaja hangat
diperkatakan. Secara tidak langsung, isu ini turut menggambarkan bahawa gadis remaja kini semakin
agresif, berani, dan liar. Banyak kajian akademik telah dibuat oleh mereka yang pakar dan terlibat
secara langsung dengan isu-isu remaja ini, secara langsung dan tidak langsung seperti pihak
kementerian, jabatan, agensi, persatuan dan NGO, pihak cerdik pandai, orang perseorangan dan
lain-lain. Daripada kajian yang telah dijalankan didapati masalah remaja ini mempunyai hubungan
kait yang luas dengan masyarakat, keluarga, pengetahuan agama, tahap pendidikan, suasana rumah,
pengaruh luar, media, hiburan, jati diri, rakan-rakan dan lain-lain. Apabila masalah keruntuhan
remaja dibincangkan, soalan yang biasa ditanya ialah siapa yang harus dipersalahkan dan mengapa
perkara ini berlaku?
4.1 Perasaan Ingin Tahu dan Ingin Mencuba
Remaja ialah mereka yang berumur 18 tahun ke bawah. Pada peringkat usia ini, mereka mempunyai
perasaan ingin tahu yang sangat tinggi. Justeru, apa-apa sahaja perkara baru yang terjadi di
sekeliling mereka akan mengundang perasaan ingin tahu di kalangan mereka, ianya secara tidak
langsung akan membuatkan mereka terdorong untuk mencuba dan melakukan perkara tersebut.
Perasaan ingin tahu dan berani mencuba sesuatu yang baru adalah baik untuk remaja, namun apa
yang menimbulkan masalah apabila mereka tiada ‘guide line’ dari orang-orang yang sepatutnya,
seperti para ibu bapa, keluarga, jiran dan sebagainya. Jadi, perasaan ingin tahu remaja akan
mendorong mereka melakukan apa yang ingin mereka lakukan tanpa memikirkan baik atau
buruknya perkara tersebut.
4.2 Pengaruh Rakan Sebaya
Kawan-kawan menjadi orang yang paling rapat. Kawan yang baik boleh membimbing kepada
kebaikan, namun jika tersilap memilih kawan, akan mempengaruhi kepada perkara-perkara yang
buruk. Selain itu, sikap remaja turut menyumbang kepada gejala sosial, kadangkala mereka ini
terlalu mudah mempercayai orang lain. Umpamanya, jika mereka merasakan rakan-rakan mereka
lebih rapat dan lebih memahami, dengan mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan oleh
rakan-rakan mereka. Pada usia yang masih mentah mereka lupa bahawa “kawan juga kadangkala
boleh makan kawan”.
4.3 Pengaruh Media Massa
Media massa juga menjadi penyumbang kepada berlakunya keruntuhan akhlak di kalangan remaja
pada hari ini. Tidak semua yang dipaparkan di media massa itu memberikan kesan yang buruk.
Namun, ada segelintir program-program dan drama-drama yang memaparkan pergaulan bebas di
kalangan remaja, program-program realiti televisyen, serta rancangan-rancangan yang bersifat
hiburan semata-mata mempengaruhi para remaja dengan perkara yang kurang baik. Umpamanya
corak pergaulan remaja yang jauh dari nilai-nilai ketimuran, cara berpakaian yang kurang sopan dan
gaya hidup yang mengikut cara budaya Barat. Terdapat juga unsur-unsur lucah dan mengghairahkan
yang boleh didapati dengan mudah di pasaran sama ada dalam bentuk bercetak, CD, atau lain-lain.
Tambahan pula, di zaman dunia tanpa batasan ini segala informasi boleh didapati dengan mudah
hanya dengan melayari internet. Tidak dinafikan internet ini ada kebaikannya tetapi tidak kurang
juga banyak keburukannya. Aktiviti penggunaannya tanpa pemantauan boleh mengundang padah.
4.4 Sikap Keluarga
Dalam hal ini keluarga juga ada kalanya menjadi pendorong bertambahnya keruntuhan akhlak di
kalangan remaja. Walaupun tidak berlaku kepada semua keluarga, tetapi keluarga yang
mengamalkan sikap terlalu mengongkong atau terlalu memberikan kebebasan kepada para remaja
boleh menjadi penyumpang kepada wujudnya masalah ini. Mereka menjadi ahli keluarga yang hanya
hidup tetapi tidak dipedulikan dan tidak diberi input kerohanian, kesedaran, nilai-nilai mulia dan
keagamaan yang cukup. Keluarga yang terlalu mengongkong ialah keluarga yang mengamalkan sikap
terlalu tertutup. Maksudnya, keluarga itu seolah-olah telah menetapkan satu undang-undang atau
peraturan yang perlu diikuti oleh setiap ahli keluarga tanpa kompromi. Keadaan ini boleh
menyebabkan jiwa remaja memberontak dan jika mempunyai peluang untuk keluar dari keadaan itu
mereka akan melakukan apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka tanpa berfikir panjang.
Manakala keluarga yang terlalu memberikan kebebasan pula biasanya bersikap terbuka yang
keterlaluan. Di dalam keluarga sebegini, tiada satu peraturan pun atau ketetapan khusus yang
diamalkan. Keadaan ini juga tidak baik kerana para remaja perlukan sesuatu yang boleh dijadikan
panduan untuk menjalani kehidupan mereka. Tanpa panduan, belum tentu mereka dapat melalui
kehidupan ini dengan sebaik mungkin seterusnya mengakibatkan mereka mudah terjerumus ke arah
pelbagai keruntuhan akhlak.
4.5 Kurang Didikan Agama
Iman dan takwa yang jitu itu adalah pengikat yang berfungsi bagi menghalang seseorang daripada
melakukan tingkah laku yang berlaku di luar batasan syarak. Pendidikan agama mempunyai fungsi
yang sangat penting sebagai pelindung diri daripada terjerumus kepada pelbagai gejala keruntuhan
akhlak. Ibu bapa sewajarnya memberikan didikan agama yang sepenuhnya kepada anak-anak
mereka sejak mereka masih kecil. Ini bagi memberikan anak-anak mereka pengetahuan yang jelas
tentang hal-hal berkaitan agama, tentang halal dan haram. Bak kata pepatah melayu, “melentur
buluh biarlah dari rebungnya..”, maksudnya mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.
4.6 Ekonomi
Ekonomi juga merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak. Manusia
pada hari ini adalah manusia yang terlalu mengejar kebendaan di dalam arus kepesatan ekonomi
sehingga melupakan tanggungjawab-tanggungjawabnya yang lain. Tangungjawab yang dimaksudkan
adalah tanggungjawab kepada Allah, tanggungjawab kepada keluarga, tanggungjawab kepada alam
semesta dan tanggungjawab kepada diri sendiri. Disebabkan faktor inilah terjadinya masalah
pengabaian kasih saying kepada anak, kepada ibu bapa, dan kepada masyarakat. Anak yang terabai
akan lebih mudah terjebak kepada pelbagai masalah keruntuhan akhlak seperti penyalahgunaan
dadah, minum arak, zina, merompak, berjudi, lumba haram dan lain-lain lagi.
5.0 KESAN-KESAN KERUNTUHAN AKHLAK
Keruntuhan akhlak pada masa kini akan mendatangkan impak yang sangat besar kepada masyarakat.
Akhlak merupakan peribadi dan cermin diri bagi seseorang individu. Sekiranya individu tersebut
mempunyai akhlak yang buruk, secara otomatik peribadi individu itu juga turut terjejas. Individu
yang mempunyai akhlak yang buruk boleh memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat
dan negara.
5.1 Kesan Kepada Individu
Akhlak merupakan cermin dan peribadi seseorang individu. Oleh itu, akhlak sangat penting dalam
kehidupan seharian seseorang individu. Individu yang mempunyai akhlak yang baik akan dipandang
mulia dan tinggi, manakala individu yang tidak mempunyai akhlak yang baik akan dipandang serong
dan dicemuh oleh masyarakat sekeliling. Akhlak yang baik seharusnya dihiasi dengan keimanan dan
ketakwaan kepada Allah. Namun begitu, kebanyakan remaja pada hari ini, terutamanya remaja
muslim, mempunyai akhlak yang begitu memalukan agama, bangsa dan negara. Banyak kejadian
seperti pembuangan bayi, zina, perjudian, budaya homoseksual, penagihan dadah dan sebagainya
dilakukan oleh remaja muslim pada hari ini yang kebanyakannya berpaksikan dan bertunjangkan
nafsu dan amalan yang dipengaruhi oleh budaya-budaya Barat dan asasnya mungkin berpunca
daripada kurangnya pegangan agama dalam diri mereka. Tidak dapat dinafikan bahawa kesan
keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang mendalam pada diri individu.
5.2 Kesan Kepada Keluarga
Keluarga memainkan peranan yang penting kerana dari institusi kekeluargaanlah kebahagian dan
keharmonian sesuatu masyarakat itu bermula. Keruntuhan institusi kekeluargaan akan
menyebabkan hilangnya kebahagian dan keharmonian dalam sesuatu masyarakat. Akhlak yang baik
dan mulia datangnya daripada sesebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan bahagia. Benarlah
kata–kata hikmah yang menyatakan bahawa “rumah itu adalah akar segala-galanya…” Oleh sebab
itu, keruntuhan akhlak akan menyebabkan dan memberikan kesan yang besar ke atas kebahagian
dan keharmonian sesuatu institusi kekeluargaan itu.
Antara kesan yang akan berlaku terhadap institusi kekeluargaan ialah:
• Keruntuhan institusi kekeluargaan akan berlaku. Akhlak yang baik datangnya daripada keluarga
yang harmoni dan bahagia.
• Akibat wujudnya ketidakharmonian dalam keluarga, mungkin akan mendorong kepada wujudnya
penceraian.
• Masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara. Anak – anak akan hilang tempat
bergantung dan bermanja.
• Wujudnya masalah-masalah sosial yang lain seperti budaya lepak, ketagihan dadah, pelacuran,
perjudian, hubungan sesama jenis dan lain-lain lagi.
5.3 Kesan Kepada Masyarakat
Keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang amat besar dalam masyarakat. Jatuh bangunnya
sesuatu negara, agama dan bangsa dapat dilihat dari segi akhlak dalam masyarakat itu sendiri. Tidak
dinafikan akhlak remaja pada hari ini sangat membimbangkan. Budaya kuning dan pengaruh budaya
Barat mudah meresap masuk dan menjadi ikutan para remaja hari ini. Seandainya masalah ini tidak
dibendung dengan segera oleh pihak–pihak tertentu terutamanya pihak kerajaan dan juga pihak–
pihak yang berwajib, maka tidak hairanlah pada masa akan datang masyarakat kita akan hancur dan
akhlak remaja–remaja Islam terutamanya akan rosak dan binasa. Oleh sebab itu, pihak–pihak atau
anasir luar akan cuba mengambil kesempatan di atas kelemahan bangsa kita sendiri.
Namun begitu, kesan yang paling ketara yang dapat dilihat sekiranya akhlak remaja pada hari ini
tidak dikawal ialah:
• Masyarakat di negara ini akan menjadi porak-peranda, berpecah-belah dan tidak bersatu-padu.
• Perasaan buruk dan prasangka pasti akan wujud dalam masyarakat. Sifat saling curiga-mencurigai
akan bertakhta di hati masyarakat.
• Wujudnya pergaduhan dalam masyarakat. Isu-isu perkauman akan wujud seandainya pergaduhan
ini melibatkan antara dua kaum.
• Kadar jenayah di kalangan masyarakat juga akan turut meningkat di mana masalah ini akan
menyebabkan kadar keruntuhan akhlak di kalangan remaja semakin meningkat.
• Keharmonian dalam masyarakat sukar untuk diwujudkan.
5.4 Kesan Kepada Negara
Tidak dapat dinafikan bahawa keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang sangat besar kepada
negara. Jatuh dan bangunnya sesebuah negara dan masyarakat itu bergantung kepada akhlak
remaja atau generasi pada waktu sekarang. Tidak dapat dinafikan lagi, akhlak remaja pada waktu ini
berada pada tahap yang membimbangkan. Semua pihak terutamanya kerajaan, badan-badan NGO,
dan juga masyarakat itu sendiri harus berganding bahu untuk menangani gejala keruntuhan akhlak
dalam masyarakat.
Antara kesan yang akan berlaku ialah:
• Negara akan kehilangan generasi dan kepimpinan pada masa hadapan.
• Kerancakan pembangunan negara akan terbantut dan keadaan ekonomi negara juga sukar untuk
berkembang kerana wujudnya gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang tinggi di kalangan
masyarakat.
• Kadar jenayah dalam negara juga akan meningkat sejajar dengan peningkatan gejala sosial dan
keruntuhan akhlak.
• Perbelanjaan kerajaan juga akan turut meningkat akibat berlakunya peningkatan kadar jenayah.
• Anasir-anasir luar akan mudah meresap masuk ke dalam negara seandainya generasi pada hari ini
tidak tahu menjaga akhlak mereka.
• Sekiranya akhlak remaja pada hari ini terutamanya akhlak remaja Islam hancur dan rosak, maka
bangsa lain akan memandang serong terhadap agama yang kita anuti.
6.0 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI KERUNTUHAN AKHLAK MASA KINI
Gejala keruntuhan akhlak pada masa kini berada pada tahap yang amat membimbangkan. Masalah
ini jika tidak dibendung dengan segera akan mendatangkan kemudaratan kepada individu, keluarga,
bangsa dan negara. Menangani masalah keruntuhan akhlak merupakan perkara yang seharusnya
diberi perhatian secara bersungguh-sungguh. Usaha perlu dilakukan agar masyarakat kita kembali
menghayati dan mempraktikkan akhlak yang mulia dalam kehidupan seharian mereka.
Kita jangan mudah menuding jari ke arah sesiapa dengan menyalahkan pihak-pihak tertentu sahaja
dalam menangani masalah keruntuhan akhlak yang berlaku pada hari ini. Sebaliknya, semua pihak
bertanggungjawab untuk kembali kepada Islam dan mencari penyelesaiannya kerana setiap orang
akan dipersoalkan oleh Allah di Akhirat kelak sama ada mereka telah menunaikan amanah yang
telah dipertanggungjawabkan kepada mereka atau pun tidak. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
“Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab terhadap sesiapa yang
berada di bawah pimpinan kamu.”
Tanggungjawab untuk menangani masalah keruntuhan akhlak ini adalah tanggungjawab semua
meliputi setiap individu, keluarga, masyarakat dan negara. Individu yang mukallaf (akil baligh) mesti
berusaha untuk mewujudkan akhlak mulia dalam diri. Ini dapat dihasilkan sekiranya dia memahami
tuntutan berakhlak mulia dalam Islam.
6.1 Peranan Individu
Langkah yang paling penting dan paling utama ialah mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui
perbanyakkan solat, berzikir dan membaca Al-Quran. Dengan cara ini individu akan merasa rendah
diri dan menimbulkan keinsafan dalam diri individu tersebut. Apabila individu merasa lebih dekat
dengan Allah SWT, secara tidak langsung mereka akan sentiasa cuba untuk mengelakkan diri
daripada melakukan sebarang kemungkaran.
Individu disarankan supaya tidak segan silu untuk berkongsi masalah dengan keluarga, rakan-rakan
dan pihak kaunseling. Dengan cara ini mungkin dapat meringankan masalah atau beban yang
mereka alami. Individu juga boleh meminta dorongan daripada keluarga atau orang-orang yang
terdekat dengan mereka.
Pergaulan dengan masyarakat sekeliling boleh meningkatkan keyakinan diri individu di samping
merapatkan lagi hubungan antara satu sama lain. Ia juga boleh menimbulkan rasa kasih sayang serta
saling memahami perasaan sesama mereka.
Individu perlu menetapkan target atau membina azam untuk mencapai kehidupan yang lebih
berkualiti. Azam yang dibina dapat menguatkan semangat individu untuk terus melakukan
perubahan ke arah yang lebih baik. Individu juga perlu sentiasa yakin bahawa azam yang dibina itu
akan tercapai dengan cemerlang ke arah pembentukan diri yang lebih berdisiplin.
Amalan cara hidup yang sihat juga dapat menghindari diri daripada terjebak kepada gejala
keruntuhan akhlak. Lakukan aktiviti sihat seperti beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.
Lakukan senaman secara sistematik. Amalan pemakanan yang sihat boleh menjamin fizikal dan
mental yang berkualiti, seterusnya dapat menghindari diri daripada gejala negative seperti
penagihan dadah, minum arak, seks bebas dan sebagainya.
6.2 Peranan Keluarga
Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik akhlak anak-anak. Anak-anak perlu
dididik sejak mereka kecil lagi. Bak kata pepatah melayu, “melentur rebung biarlah daripada
rebungnya…”. Ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik kepada anak-anak mereka. Ibu bapa juga
perlu memberikan anak-anak mereka didikan agama yang sempurna bagi mengelakkan mereka
terjebak kepada gejala-gejala negatif seperti pengaruh black metal, punk, penyalahgunaan dadah,
pembuangan bayi dan lain-lain lagi.
Ibu bapa berperanan untuk membentuk generasi muda sekarang supaya mereka tidak terjebak
kepada gejala negatif yang boleh mendatangkan kemudaratan yang serius kepada mereka dan
institusi kekeluargaan. Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai -nilai murni dan etika untuk
menguruskan masa dengan baik. Mereka harus memberikan perangsang dan galakan yang
berterusan kepada anak-anak untuk berjaya.
Ibu bapa yang prihatin akan menyekat kebebasan anak-anak mereka dalam pergaulan, dalam erti
kata lain menetapkan batas-batas pergaulan untuk anak-anak mereka. Namun demikian, perlu
diselitkan toleransi supaya anak-anak tidak merasa tertekan atau dikongkong. Ibu bapa perlu
meluangkan banyak masa untuk anak-anak supaya mereka rasa diambil berat dan disayangi di
samping dapat merasai indahnya nikmat berkeluarga. Ibu bapa harus sentiasa berada di sisi anak-
anak apabila mereka berada dalam kesusahan dan menjadi rakan pendengar yang setia dan sentiasa
bersedia untuk berkongsi masalah yang anak-anak hadapi.
6.3 Peranan Masyarakat
Masyarakat juga mempunyai peranannya yang tersendiri dalam membendung permasalahan akhlak
di sesebuah negara. Sewajarnya masyarakat tidak bersikap sambil lewa dan tidak ambil peduli
dengan membiarkan pihak yang terlibat terus terumbang-ambing sebaliknya berusaha untuk
menangani masalah ini. Bantuan yang perlu dihulurkan bukan setakat berbentuk material, tetapi
lebih kepada spiritual dengan memberi semangat dan tunjuk ajar yang terbaik bagi mereka yang
bermasalah.
6.4 Institusi Pendidikan
Sekolah juga memainkan peranan yang tersendiri dalam membendung masalah keruntuhan akhlak
ini bermula dari peringkat pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, dan pengajian tinggi
sama ada awam ataupun swasta. Tanggungjawab seorang pendidik bukan sahaja sekadar
menyampaikan ilmu pelajaran tetapi lebih kepada menyemaikan nilai-nilai murni dan mendorong
penghayatan kepada semangat Islam dalam erti kata yang sebenar. Maka, sebagai langkah pertama,
wajar dimulakan dengan contoh dan teladan yang baik di kalangan para pemimpin masyarakat di
negara kita.
7.0 KESIMPULAN
Keruntuhan akhlak masa kini semakin membimbangkan, terutamanya apabila ianya banyak melanda
muda-mudi yang bakal menjadi pewaris dan harapan bangsa pada masa hadapan yang boleh
merencatkan kecemerlangan negara. Malahan, jika masalah ini tidak ditangani dengan segera dan
bijaksana beserta perancangan yang teliti pastinya akan mengancam keselamatan negara kerana
elemen-elemen keruntuhan akhlak ini boleh menjerumuskan seseorang itu ke lembah kehancuran.
Kecemerlangan yang dilaungkan dan digembar-gemburkan ketika ini tidak memberi apa-apa makna
sekiranya akhlak rakyat tidak seiring dengan agenda untuk mencemerlangkan bangsa dan negara.
Inilah antara yang menjadi isu dan cabaran pemimpin dan semua pihak yang terbesar dalam
menentukan negara dan rakyat benar-benar mencapai kecemerlangan.