DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH PEMBUKAAN RASMI … · 2006. 4. 17. · Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang...
Transcript of DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH PEMBUKAAN RASMI … · 2006. 4. 17. · Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang...
DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH
PEMBUKAAN RASMI PENGGAL KETIGA PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH YANG
KE-12 PADA 17 APRIL 2006
UCAPAN DASAR KERAJAANOLEH
TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI TUN DATUK SERI PANGLIMA HAJI AHMADSHAH BIN
ABDULLAH
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian
1. Alhamdulillah, Kita bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan
izin-Nya, maka kita dapat bersama-sama di Dewan yang mulia
pada pagi ini sempena Pembukaan Rasmi Penggal Ketiga,
Dewan Undangan Negeri Sabah yang Ke-12.
2. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada
Y.A.B. Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Haji Aman kerana
berjaya memimpin Kerajaan Negeri dalam melaksanakan
1
tanggungjawab yang telah diamanahkan demi kesejahteraan
rakyat dan kemajuan negeri Sabah.
Ekonomi Negeri
3. Kita bersyukur dengan kepesatan ekonomi negeri yang
terus meningkat maju dan terus berdaya tahan walaupun
berhadapan dengan pelbagai cabaran global, termasuk
kenaikan harga minyak petroleum dunia, kejadian bencana
alam, wabak penyakit selsema burung dan ketidakstabilan
politik di wilayah serantau dan negara Timur Tengah khasnya.
4. Kita juga gembira mengalami prospek ekonomi negeri
yang semakin cerah dengan anjuran untuk bertumbuh pada
tahap 6.0 - 6.5 peratus pada tahun ini. Pertumbuhan yang
memberangsangkan ini disebabkan permintaan yang kukuh
ke atas komoditi eksport utama negeri seperti minyak sawit
mentah, getah dan produk-produk berasaskan kayu, yang
telah meningkat harganya berbanding tahun-tahun lalu.
5. Negeri Sabah juga amat bertuah memandangkan negara
rakan dagang utamanya seperti Republik China dan India
sedang menikmati kepesatan pertumbuhan ekonomi.
Manakala negara Jepun sebagai salah satu daripada rakan
dagang utama negeri ini juga diramalkan akan mencapai
pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi tahun ini, setelah
mengalami pemulihan ekonomi. Keadaan ini menyediakan
iklim ekonomi yang positif untuk kita terus mengadakan
usaha dagang dengan negara-negara tersebut.
2
6. Kita juga menyambut baik langkah-langkah proaktif
Kerajaan Negeri dalam mencari sumber-sumber pertumbuhan
baru untuk negeri ini. Langkah-langkah ini adalah penting ke
arah meningkatkan dan mengukuhkan lagi sektor-sektor
pengeluaran negeri supaya ekonomi negeri ini tidak terlalu
bergantung kepada pergerakan harga komoditi dunia.
Kesungguhan Kerajaan untuk membangun dan menerokai
potensi-potensi besar di dalam industri biodiesel, industri
oleokimia dan industri petrokimia yang membuahkan hasil
secara perlahan-lahan adalah antara lain bukti kejayaan yang
boleh dibanggakan.
7. Walaupun ekonomi negeri sedang beralih ke satu fasa
pertumbuhan yang baru, cabaran-cabaran seperti peningkatan
kos pengeluaran, kenaikan harga minyak petroleum dan juga
kenaikan kadar faedah telah menyebabkan kadar inflasi yang
melambung tinggi dan ini merupakan cabaran yang perlu
dihadapi. Saya sukalah mengingatkan rakyat di negeri ini
supaya lebih berjimat cermat dan berbelanja secara sederhana
dalam menghadapi kehidupan harian buat masa ini. Untuk
menjadi lebih kompetitif, ekonomi negeri perlu juga
mengeluarkan produk-produk “niche” dan perkhidmatan yang
berdaya saing melalui peningkatan produktiviti, kecekapan,
kreativiti dan inovasi.
8. Walaupun negeri Sabah berjaya merekodkan
pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan pada tahun-tahun
3
lepas, tetapi saiz ekonomi negeri hanyalah merupakan 6
peratus daripada Keluaran Negara Kasar. Sebagai negeri kedua
terbesar dari segi saiz dan negeri ketiga terbesar dari segi
bilangan penduduk di Malaysia, Kerajaan Negeri perlulah
berusaha gigih ke arah menjadi lebih produktif dan berdaya
saing berikutan meningkatnya kos untuk menjalankan
perniagaan. Ini merupakan cabaran yang perlu disedari dan
ditangani oleh pengusaha-pengusaha industri utama di negeri
ini. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri hendaklah terus
menyediakan sistem pengangkutan, infrastruktur sokongan
dan utiliti yang cekap agar kos menjalankan perniagaan di
negeri ini dapat dikurangkan di samping dapat meningkatkan
pelaburan di negeri ini.
Pencapaian Rancangan Malaysia Kelapan
9. Saya berpuas hati dan berbangga dengan pencapaian
Rancangan Malaysia Kelapan yang baru berlalu. Selaras
dengan matlamat Halatuju Pembangunan dan Kemajuan
Negeri Sabah, sektor-sektor utama ekonomi negeri iaitu sektor
Pertanian, Pelancongan dan Pembuatan telah menunjukkan
prestasi yang positif.
10. Prestasi sektor pertanian termasuk penternakan dan
perikanan begitu memberangsangkan. Nilai sumbangan sektor
ini kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar telah meningkat
sebanyak 21.4 peratus dari tahun 2001 hingga tahun 2004.
Pertumbuhan kukuh yang dialami terutamanya dalam sektor
4
kelapa sawit dan getah disebabkan oleh peningkatan dalam
pengeluaran dan harga komoditi tersebut. Pengeluaran minyak
sawit mentah pula telah meningkat sebanyak 40.5 peratus
atau 5.2 juta tan metrik pada tahun 2005 berbanding dengan
3.7 juta tan metrik pada tahun 2001.
11. Manakala nilai eksport minyak sawit mentah telah
meningkat daripada RM3.3 bilion pada tahun 2001 kepada
RM7.5 billion pada tahun 2004, dan nilai eksport getah juga
telah meningkat daripada RM46 juta kepada RM209 juta pada
tempoh yang sama. Pada tahun 2004, pengeluaran hasil
perikanan dan hasil ternakan masing-masing menunjukkan
peningkatan sebanyak 10 peratus dan 16.9 peratus, dengan
nilai pengeluaran sebanyak RM728 juta dan RM559 juta.
12. Kita juga amat gembira dengan perkembangan sektor
pelancongan dinegeri ini yang mencatatkan jumlah ketibaan
pelancong telah meningkat kepada 1.82 juta orang dengan
anggaran perolehan pendapatan sebanyak RM2.5 bilion pada
tahun 2005. Walau bagaimanapun, pembangunan industri
pelancongan ini perlulah diteliti dengan berhati-hati demi
memastikan industri ini dapat diteruskan oleh generasi akan
datang. Usaha ini juga melibatkan pemuliharaan alam sekitar
serta flora dan fauna yang terdapat di negeri ini. Dari segi
pendapatan tukaran wang asing kepada negeri Sabah,
sumbangan daripada sektor ini merupakan yang ketiga
terbesar selepas pendapatan eksport minyak sawit mentah
dan petroleum mentah.
5
13. Sektor pembuatan juga turut menunjukkan
pertumbuhan yang memberangsangkan dengan nilai eksport
barangan pembuatan mencecah RM3.9 bilion pada tahun
2004. Ini menggambarkan peningkatan sebanyak 62.5 peratus
berbanding dengan tahun 2001.
14. Di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8), Kerajaan
Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan
sebanyak RM15 bilion untuk melaksanakan pelbagai program
dan projek pembangunan di negeri ini. Perbelanjaan yang amat
besar ini telah meningkatkan lagi tahap pembangunan dan
kemajuan negeri serta pertambahan pelbagai kemudahan
untuk keselesaan dan peningkatan kualiti hidup rakyat di
negeri ini. Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM1.9 bilion
atau bersamaan 88 peratus daripada peruntukan yang
diluluskan, manakala Kerajaan Persekutuan membelanjakan
sebanyak RM13.1 bilion atau bersamaan 92 peratus dalam
tempoh yang sama.
15. Dari segi pencapaian fizikal, Kerajaan Negeri telah
menyiapkan 95 peratus projek pembiayaan Kerajaan Negeri
dan 97 peratus projek pembiayaan Kerajaan Persekutuan
dalam tempoh 5 tahun yang lalu. Pencapaian yang cemerlang
dalam Rancangan Malaysia Kelapan adalah hasil daripada
kerjasama yang mantap di antara Kerajaan Negeri dan
Kerajaan Persekutuan.
6
Rancangan Malaysia Kesembilan
16. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih
kepada Y.A.B. Perdana Menteri kerana telah memperuntukkan
RM2.3 bilion bagi tahun 2006. Pada 31 Mac yang baru lalu,
Y.A.B. Perdana Menteri juga telah mengumumkan bahawa
negeri Sabah menerima RM 15.7 bilion peruntukan untuk
tujuan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia
Kesembilan. Peruntukan ini merupakan yang ketiga terbesar
berbanding peruntukan yang diluluskan kepada negeri-negeri
lain di Malaysia.
17. Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, negeri
Sabah akan mempunyai siling peruntukan pembangunan
sebanyak RM18.5 bilion, termasuk peruntukan yang
diluluskan oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM2.8 bilion, untuk
melaksanakan pelbagai projek pembangunan sepanjang
tempoh rancangan ini.
18. Selaras dengan dasar dan strategi-strategi
pembangunan nasional di bawah Rancangan Malaysia
Kesembilan (RMK9), Kerajaan Negeri akan memfokuskan tiga
objektif utama pembangunan negeri. Pertama, meningkatkan
pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi, mapan,
berdaya saing serta berdaya tahan; kedua, mengukuhkan serta
meningkatkan aspek-aspek sokongan pengeluaran dan
perkhidmatan untuk menerajui pembangunan sektor-sektor
7
pertanian, pelancongan dan pembuatan; dan ketiga,
mengurangkan kadar kemiskinan, khususnya kemiskinan
tegar di bandar dan luar bandar.
19. Sehubungan itu, saya menyeru supaya semua pemimpin
politik, jentera-jentera Kerajaan Negeri dan Persekutuan agar
dapat menggunakan peruntukan pembangunan tersebut
secara bijak serta memastikan pelaksanaan dan sistem
pemantauan projek yang berkesan dapat dilakukan. Ini
bertujuan untuk memastikan semua projek yang dirancang
dapat disiapkan mengikut jadual. Di samping itu, saya juga
menggesa supaya seluruh rakyat negeri ini dapat memberi
sokongan dan kerjasama sepenuhnya terhadap pelaksanaan
Rancangan Malaysia Kesembilan ini. Saya yakin, melalui
RMK-9 hasrat negeri Sabah untuk menjadi sebuah negeri Maju
Jaya menjelang tahun 2015 akan menjadi kenyataan.
Sektor Pertanian
20. Teras utama pembangunan sektor pertanian negeri akan
ditumpukan kepada pemodenan sektor pertanian supaya
industri pertanian di negeri ini menjadi lebih dinamik dan
berdaya saing. Untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah pusat
pengeluaran makanan, Kerajaan Negeri menggalakkan dan
mengalu-alukan pelaburan sektor swasta ke dalam industri
pemprosesan makanan, industri hiliran perikanan,
pembangunan akuakultur dan penerokaan laut dalam di
negeri ini.
8
21. Selain itu, usaha-usaha juga akan dilipatgandakan untuk
meningkatkan pengeluaran padi dan daging masing-masing ke
tahap sara diri sekurang-kurangnya 60 peratus dan 30 peratus
menjelang tahun 2010. Pada masa yang sama, usaha-usaha
perlu diberikan untuk meningkatkan produktiviti dan
pengeluaran tanaman komersial utama negeri seperti kelapa
sawit, getah dan koko yang berupaya menyumbang kepada
peningkatan pendapatan eksport.
Sektor Pelancongan
22. Memandangkan industri pelancongan mempunyai potensi
besar di dalam menjana pertumbuhan ekonomi, maka
Kerajaan Negeri telah meningkatkan sasaran ketibaan
pelancong ke negeri ini sebanyak 2.7 juta pada tahun 2007
dan seterusnya 4 juta menjelang tahun 2010. Untuk
mencapai matlamat ini, infrastruktur sokongan dan
perkhidmatan berkaitan pelancongan akan dinaiktaraf dan
diperbaiki untuk memenuhi dan mencapai piawaian peringkat
antarabangsa. Produk pelancongan yang baru perlulah
dipromosikan dengan giat untuk menarik lebih ramai
pelancong ke negeri ini. Dengan penaiktarafan dan
pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu,
usaha ini dijangka dapat meningkatkan lagi perkhidmatan
penerbangan terus antarabangsa ke negeri ini. Di samping itu,
pelancongan domestik akan terus dibangunkan dengan
menyediakan kemudahan dan akses ke destinasi-destinasi
9
pelancongan tempatan. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan
penyediaan Pelan Konsep Pelancongan Tempatan bagi kawasan
pedalaman pada tahun ini.
Sektor Pembuatan
23. Kerajaan Negeri juga menyedari kepentingan untuk
menambah nilai kepada hasil keluaran dan sumber-sumber
negeri, selaras dengan teras dasar sektor pembuatan, iaitu
membangunkan kelompok industri berasaskan sumber.
Pertumbuhan sektor ini berorientasikan eksport produk
pembuatan berasaskan sumber bernilai tambah dan kualiti
tinggi serta mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Sasaran sektor ini adalah untuk menyumbang sebanyak 18
peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar menjelang tahun
2010.
24. Pembangunan Palm Oil Industrial Clusters (POIC) di Lahad
Datu dan Sandakan akan menjadikan peneraju utama dalam
pembangunan industri pembuatan. Kedua-dua kelompok
industri ini dijangka akan dapat menarik pelaburan ke dalam
industri kelapa sawit dan mewujudkan peluang-peluang
pekerjaan untuk rakyat negeri ini. Di samping itu, Kerajaan
Negeri akan terus menggalakkan pembangunan Industri Kecil
dan Sederhana serta Perniagaan Kecil, termasuk
pembangunan bidang-bidang baru seperti Industri Petrokimia,
Bioteknologi, Oleokimia dan Seramik dan industri lain yang
berasaskan mineral bukan logam, sebagai sumber penjana
10
pendapatan yang tinggi untuk negeri ini dalam tempoh jangka
sederhana dan panjang.
Pembasmian Kemiskinan
25. Kita memandang serius dengan status negeri Sabah
sebagai negeri yang mempunyai insiden kemiskinan tertinggi
di Malaysia ketika ini. Kerajaan Negeri perlu melipatgandakan
usaha-usaha untuk membasmi kemiskinan, khususnya
kemiskinan tegar, tanpa mengira kaum, termasuk di kalangan
kaum Bumiputera minoriti. Dalam hubungan ini, Kerajaan
Negeri telah mensasarkan untuk mengurangkan kadar
kemiskinan di negeri ini dari 16 peratus pada tahun 2002
kepada 6 peratus menjelang tahun 2010. Untuk mencapai
matlamat tersebut, Kerajaan akan melaksanakan lebih banyak
program peningkatan pendapatan, kualiti hidup dan
kemahiran kumpulan sasar.
26. Selain dari itu, penekanan juga akan diberikan kepada
pembaikan sistem dan mekanisme penyampaian bantuan dan
pemantauan yang berkesan ke atas program-program yang
dilaksanakan demi memastikan kumpulan sasar menikmati
faedah yang maksimum dan berkekalan. Program pembasmian
kemiskinan yang akan dilaksanakan ialah program
pembangunan sumber manusia, program peningkatan
pendapatan dan Mini Estet Sejahtera. Di samping itu, Kerajaan
11
Negeri melalui Lembaga Industri Getah Sabah dan FELCRA
akan membangunkan tanah masing-masing seluas 10,000
hektar dan 4,500 hektar dengan penanaman getah untuk
tujuan pembasmian kemiskinan di Semenanjung Bengkoka
dan Pulau Banggi.
27. Saya juga amat gembira mengetahui bahawa dalam
Rancangan Malaysia Kesembilan, Kerajaan Persekutuan telah
bersetuju agar FELDA menyumbang peruntukan tambahan
sebanyak RM35 juta setahun untuk tujuan pembasmian
kemiskinan di Sabah. Pada tahun 2006, Kerajaan
Persekutuan telah memberi peruntukan untuk tujuan yang
sama sebanyak RM50 juta. Oleh yang demikian, saya berharap
rakyat di luar bandar dapat manfaat dan faedah daripada
peruntukan tersebut.
28. Selain dari itu, Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk
membasmi kemiskinan tegar di kawasan bandar menjelang
akhir Rancangan Malaysia Kesembilan. Bagi mencapai tujuan
tersebut, pelbagai program teras pembasmian kemiskinan
bandar akan dilaksanakan. Antaranya ialah Program
Peningkatan Pendapatan dan Program Penyediaan Bantuan
Perumahan, Pendidikan, Kesihatan, Kemudahan Sosial dan
Pengangkutan. Selain itu, pelaksanaan program-program
tersebut akan diperkukuhkan dengan penubuhan Pusat
Sejahtera dan Pengkalan Data yang menyediakan pelbagai
maklumat kepada kumpulan sasar dan juga agensi pelaksana
program pembasmian kemiskinan bandar.
12
Pembangunan Luar Bandar
29. Dalam usaha memastikan agihan kekayaan negeri adalah
saksama dan faedah-faedah pembangunan turut dinikmati
oleh sebahagian besar penduduk di kawasan luar bandar,
Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan dasar membawa
pembangunan yang lebih seimbang di antara bandar dan luar
bandar di negeri ini. Dalam hubungan ini, Kerajaan akan
meneruskan pelaksanaan pelbagai program penyediaan
infrastruktur dan prasarana asas seperti penyediaan bekalan
air dan elektrik, jalan, jambatan, sekolah, klinik kesihatan dan
sebagainya untuk mempercepatkan pembangunan dan
perubahan positif di kawasan luar bandar Sabah.
Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Asli
30. Negeri Sabah dikurniakan dengan kekayaan
sumber-sumber asli. Oleh yang demikian, Kerajaan akan terus
berusaha meningkatkan pengurusannya dari aspek
pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar, kepelbagaian
biologi dan sumber asli negeri secara holistik, termasuklah
menerokai sumber-sumber baru. Sebagai contoh, usaha
Kerajaan merizabkan kawasan Lembah Segama (Segama
Valley) sebagai kawasan pembangunan perhutanan lestari
(Sustainable Forest Management) merupakan pulangan jangka
panjang untuk dijadikan khazanah warisan bukan sahaja
untuk peninggalan kepada generasi kita malah dunia
13
umumnya. Di samping itu, pembangunan sektor perhutanan
akan menjurus kepada usaha-usaha mewujudkan semula
sumber hutan yang produktif, dengan memberikan penekanan
terhadap penggunaan sumber hutan yang optimum di samping
memperluaskan kawasan hutan sebagai kawasan pengurusan
hutan lestari. Bagi menjamin bekalan sumber kayu yang
berkekalan, Kerajaan Persekutuan juga akan menyediakan
dana untuk membangunkan ladang hutan di negeri ini.
Pembangunan Sains dan Teknologi
31. Memandangkan Sains dan Teknologi memainkan peranan
penting di dalam menambah nilai kepada semua aspek proses
pengeluaran dan perkhidmatan di ketiga-tiga sektor produktif
ekonomi negeri, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan
Persekutuan akan meningkatkan keupayaan negeri dalam
bidang ini. Kerajaan Negeri sedar bahawa terdapat potensi
besar dalam Penyelidikan dan Pembangunan, seperti dalam
bidang bioteknologi, teknologi pemprosesan makanan, industri
berasaskan pertanian dan sumber-sumber baru lain yang
boleh dikomersialkan. Untuk tujuan tersebut, usaha-usaha
akan diteruskan untuk meningkatkan kapasiti dan kemahiran
sumber manusia dalam bidang penyelidikan dan inovasi.
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)
32. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan
usaha-usaha untuk membangunkan dan memperluaskan
14
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di kalangan
masyarakat di negeri ini. Antara lain usaha-usaha tersebut
termasuklah membangunkan kemahiran sumber manusia
dalam ICT, pengecilan jurang digital di antara kawasan bandar
dan luar bandar serta pembangunan Kerajaan Elektronik
untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan ke
tahap yang lebih cekap dan berkesan.
Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam
33. Pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam pula
akan menumpukan kepada usaha meningkatkan keupayaan
untuk memenuhi keperluan penduduk dan pembangunan di
pelbagai sektor ekonomi dan sosial. Kerajaan Negeri dengan
bantuan Kerajaan Persekutuan akan meneruskan usaha
untuk menangani masalah pembetungan yang serius dan
kadar air tak berhasil (NRW) yang masih tinggi ketika ini.
Kerajaan telah mensasarkan untuk mengurangkan kadar air
tak berhasil (NRW) di negeri dari 58 peratus pada masa
sekarang kepada 37 peratus menjelang tahun 2010.
34. Dari segi penyediaan bekalan air dan elektrik, penekanan
akan diberikan kepada usaha untuk memperluaskan liputan
bekalan air dan elektrik di negeri ini, masing-masing untuk
mencapai 85 peratus dan 90 peratus menjelang akhir tempoh
Rancangan Malaysia Kesembilan. Manakala pembangunan
jalan raya dan jambatan, pelabuhan dan dermaga, serta
penyediaan kemudahan-kemudahan lain seperti tapak untuk
15
pelupusan sampah dan sisa pepejal juga akan terus
dipertingkatkan.
35. Untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas, sebuah
unit baru iaitu Unit Pengangkutan Awam telah diwujudkan di
bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur. Unit ini
akan mengambil langkah-langkah holistik untuk mengatasi
masalah kesesakan lalu lintas di bandar utama negeri seperti
Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan. Dalam usaha untuk
mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Kota Kinabalu,
Kerajaan Negeri telah melaksanakan sistem waktu kerja anjal
mulai bulan ini. Untuk mempertingkatkan lagi kecekapan dan
keberkesanan sistem pengangkutan awam di negeri ini, saya
menyeru supaya Kerajaan Negeri memohon peruntukan
daripada dana Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam
(KWAPA) dan dengan hasil penjimatan daripada pengurangan
subsidi minyak akan menambah baik sistem pengangkutan
awam.
Perkhidmatan Sosial
36. Kerajaan Negeri berhasrat untuk membangunkan sebuah
masyarakat yang matang, penyayang serta dilengkapi dengan
nilai-nilai murni yang positif. Sehubungan itu, pelbagai
program pembangunan yang meliputi pendidikan dan latihan
bagi kanak-kanak kurang upaya, perkhidmatan kesihatkan
percuma kepada golongan miskin, perkhidmatan kebajikan,
16
perpustakaan, keagamaan, kesukanan dan kebudayaan akan
terus dilaksanakan.
37. Saya menyeru supaya masyarakat umum dan
Pertubuhan Bukan Kerajaan agar dapat terus menyumbang
secara positif dalam pembangunan masyarakat penyayang bagi
membantu golongan remaja dan wanita yang bermasalah;
warga emas, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim, individu
kurang upaya dan yang kurang bernasib baik.
38. Saya juga sedar bahawa Sabah adalah negeri yang
mempunyai penduduk setinggan tempatan yang paling ramai.
Saya berharap usaha-usaha untuk menyediakan perumahan
mampu milik yang mencukupi kepada mereka dapat
disegerakan. Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan
bekerjasama untuk mempercepatkan pembinaan Projek
Perumahan Rakyat. Manakala pihak swasta adalah
disarankan mengambil peranan dan bekerjasama dengan
pihak Kerajaan untuk membina lebih banyak perumahan kos
rendah dan mampu milik.
Modal Insan
39. Untuk membangunkan modal insan, Kerajaan Negeri
menyedari pentingnya sumber manusia dalam menyokong dan
menggerakkan pembangunan negeri. Usaha-usaha akan
ditumpukan untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan
17
teknologi serta pengetahuan yang diperlukan untuk
menyokong sektor-sektor halatuju, khususnya sektor
pertanian dan pembuatan. Manakala bagi sektor pelancongan,
kemahiran hospitaliti, pengetahuan dan profesionalisme
perkhidmatan barisan hadapan di sektor ini akan
ditingkatkan.
40. Pada masa yang sama, usaha akan diteruskan untuk
meningkatkan kualiti anggota perkhidmatan awam di semua
peringkat sebagai usaha untuk meningkatkan kecekapan dan
keberkesanan sistem penyampaian Kerajaan melalui latihan di
Institusi Latihan Kerajaan Negeri dan Persekutuan seperti
INSAN dan INTAN. Anggota perkhidmatan awam hendaklah
digalakkan untuk menyertai persidangan peringkat
antarabangsa untuk mendapatkan pengalaman dan
pendedahan yang lebih luas. Selaras dengan visi nasional
untuk mewujudkan K-Ekonomi, rakyat negeri Sabah
hendaklah digalakkan untuk meningkatkan kemahiran dan
pengetahuan dengan mengikuti pelbagai kursus dan latihan
kemahiran termasuk kursus sambilan dan program
pembelajaran sepanjang hayat.
Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera
41. Untuk mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan
Perindustrian Bumiputera di negeri ini, Kerajaan Negeri akan
terus menyokong program pembangunan ini melalui
program-program yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi
18
Kerajaan Negeri dan Persekutuan seperti penyediaan premis
perniagaan, latihan keusahawanan, program usahawan muda,
bantuan kewangan dan sebagainya.
Peranan Wanita
42. Kerajaan Negeri sentiasa menghargai peranan dan
sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi, sosial dan
politik. Sebagai contoh, Kerajaan telah membuat keputusan
untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam peringkat
pembuat keputusan sebanyak 30 peratus dengan pelantikan
beberapa orang pegawai wanita ke jawatan tinggi di
perkhidmatan awam negeri.
43. Untuk menyokong usaha golongan wanita, Kerajaan
Negeri juga sedang membina Bangunan PUSPANITA dan
Wisma Wanita serta menggubal Pelan Induk Pembangunan
Wanita di Sabah. Selain itu, Kerajaan juga akan menyediakan
persekitaran yang sesuai dan mekanisma sokongan termasuk
pelaksanaan program kepekaan terhadap ‘gender’ untuk
membolehkan wanita menggunakan sepenuhnya potensi di
dalam pelbagai bidang ke arah menyumbang kepada
pembangunan negeri.
Belia dan Sukan
44. Golongan belia adalah merupakan generasi pelapis dan
berpotensi menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan
19
negeri pada masa depan. Kerajaan sedang merangka dan
melaksanakan program-program pembangunan belia dan
sukan bagi melengkapi mereka dengan semangat jati diri,
latihan disiplin dan kepimpinan, kemahiran dan pengetahuan.
Untuk mencegah belia dan beliawanis daripada terlibat di
dalam gejala sosial, Kerajaan akan terus memperluaskan dan
melaksanakan program keagamaan, kesedaran sivik dan
latihan kemahiran di negeri ini, termasuklah memberi
sokongan penuh terhadap pelaksanaan Program Giat Belia,
Rakan Muda dan Latihan Khidmat Negara.
Perpaduan
45. Kita bersyukur, negeri Sabah mempunyai penduduk
pelbagai agama, kaum, bahasa dan budaya yang telah lama
mengamalkan kerjasama, persefahaman dan saling
hormat-menghormati. Amalan ini perlu terus dipelihara.
Kewujudan pelbagai agama dan kebudayaan yang dapat hidup
harmoni dan toleransi menjadi ciri-ciri unik masyarakat di
negeri ini. Namun keutuhan masyarakat yang terdiri dari
berbilang kumpulan etnik akan menjadi rapuh seandainya
mereka dikuasai oleh pandangan yang sempit atau
terpengaruh oleh desakan pihak-pihak tertentu yang meracuni
keharmonian ini. Untuk menjadi negeri yang berdaya tahan
dan berdaya saing, perpaduan penduduk yang pelbagai
keturunan merupakan satu pra-syarat untuk memastikan
usaha pembangunan sosio-ekonomi mencapai matlamatnya.
20
Peranan Sistem Penyampaian (Delivery System)
46. Saya amat bangga dengan anggota perkhidmatan awam
yang sentiasa berusaha meningkatkan kecekapan dan
keberkesanan perkhidmatan yang dilaksanakan. Walau
bagaimanapun, usaha-usaha perlu diteruskan untuk
menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
Ini memandangkan aspirasi dan ekspektasi masyarakat kian
berusah dan semakin matang. Ledakan maklumat elektronik
melalui media massa juga mempengaruhi minda masyarakat
untuk menuntut perkhidmatan yang terbaik. Saya yakin,
pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Y.A.B.
Ketua Menteri dan barisan kabinet beliau akan berusaha
bersungguh-sungguh menyediakan perkhidmatan yang terbaik
kepada rakyat di negeri ini.
47. Dalam pada itu, usaha-usaha perlu diteruskan untuk
mempertingkatkan kapasiti dan keupayaan Sistem
Penyampaian (Deliver System) di negeri ini. Kesedaran perlu
wujud antara penjawat awam yang memain peranan
mengendalikan hal-hal perancangan dan pelaksanaan
pembangunan. Dengan kesedaran ini, saya yakin negeri
Sabah dapat menjayakan pelaksanaan RMK-9 lebih baik
daripada RMK-8.
Penutup
21
48. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan
terima kasih kepada semua anggota perkhidmatan awam, Polis
Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan juga pasukan
sukarelawan di atas perkhidmatan cemerlang dalam
melaksanakan dasar dan program pembangunan negeri, dan
juga mengawal serta menjaga keselamatan negeri ini.
49. Kini kita berada di ambang RMK-9. Justeru, sangat
sesuai Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah Penggal ini
memfokuskan penekanan khusus kepada pelaksanaan,
pemantauan dan penilaian RMK-9. Saya menyeru Ahli-ahli
Yang Berhormat sekalian, supaya dapat meneruskan dan
meningkatkan khidmat cemerlang dan tanggungjawab dengan
penuh dedikasi dan amanah demi kepentingan dan
kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Wabillahi Taufik Walhidayah,
Wassalamu Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
Sekian, terima kasih.
22