filesains dan teknologi oleh golongan yang berfikir kreatif dan kritis merupakan aset penting kepada...
Transcript of filesains dan teknologi oleh golongan yang berfikir kreatif dan kritis merupakan aset penting kepada...
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan mengetahui tahap pencapaian Kemahiran Proses Sains (KPS)
dalam kalangan pelajar Fizik di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan
Sekolah Menengah Kebangsaan Premier (SMKP) di daerah Besut. Terdapat dua
pemboleh ubah bebas yang terlibat iaitu jantina dan jenis sekolah. Seramai 160 orang
pelajar Tingkatan Lima yang terdiri daripada 50 orang pelajar lelaki dan 110 orang
pelajar perempuan telah menyertai kajian ini. Penyelidik menggunakan Ujian Pencapaian
Kemahiran Proses Sains (UPKPS) sebagai instrumen yang mempunyai 33 item yang
berbentuk objektif serta soal selidik berkaitan latar belakang pelajar. Kebolehpercayaan
instrumen UPKPS ini adalah α = 0.66 dan boleh diterima. Analisis deskriptif dalam
bentuk min, sisihan piawai dan juga Ujian-t melalui perisian Statistical Packages For
Social Science Windows release 11.0 digunakan bagi menganalisis dapatan kajian. Secara
Keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan tahap pencapaian KPS di kedua-dua buah
sekolah adalah di tahap yang baik. Melalui Ujian-t didapati tidak terdapat perbezaan yang
signifikan terhadap tahap pencapaian KPS di antara SMKA dan SMKP. Dapatan turut
menunjukkan tiadanya perbezaan yang signifikan terhadap tahap pencapaian KPS bagi
pelajar lelaki di antara kedua-dua buah sekolah. Walau bagaimana pun, bagi pelajar
perempuan didapati terdapat perbezaan yang signifikan terhadap pencapaian KPS di
antara sekolah-sekolah tersebut yang memihak kepada pelajar perempuan daripada
SMKA.
ABSTRACT
This study is done to determine the level of achievement fo Physic’s students
from Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) and Sekolah Menengah
Kebangsaan Premier (SMKP) in Besut district for their Science Process Skills (SPS).
There are two independent variables involved in this research namely gender and
school’s type. A sample of 160 Form Fives students consisting of 50 males and 110
females have joined the survey. The researcher used an instrument called Ujian
Pencapaian Kemahiran Proses Sains (UPKPS) which contains 33 items of multiple
choice questions and student’s biodata. The reliability coefficient for the instrument is α
= 0.66 and accepted. The descriptive analysis in form of means, standard deviations and
also T-tests are done by using the Statistical Packages For Social Science Windows
release 11.0 program. Overall, the findings showed that the levels of achievement of SPS
are good for both schools. The result from T-test also indicated that there is no significant
difference between SMKA and SMKP in term of level of achievement of SPS. Further
findings also indicated that there is no significant difference in level of achievement of
SPS for male students between the schools. However, there is a significant difference for
female students between the schools in favour of SMKA’s female students.
BAB 1
PENGENALAN
1.1 PENDAHULUAN
Perkembangan pendidikan sains dilihat begitu pesat seiring dengan arus kemajuan
teknologi masa kini.
“Selaras dengan perkembangan pendidikan sains yang berlaku, Malaysia telah
memberi dimensi baru ke atas proses pengajaran-pembelajaran (P&P) sains di sekolah.
Pada tahun 2002 semua pelajar Tingkatan Empat di sekolah menengah telah
menggunakan kurikulum sains yang baru ( dikenali sebagai KBSM), berasaskan
Kurikulum Sains KBSM yang telah diguna pakai sejak tahun 1989. Kurikulum sains
yang baru memberikan penekanan terhadap pemerolehan dan penguasaan kemahiran
sainstifik, di samping aspek kemahiran berfikir, penyelesaian masalah dan penerapan
sikap saintifik serta nilai murni” (Abu Hassan, 2004:1).
Perubahan yang berlaku memberikan jalan penyelesaian alternatif yang terbaik
dalam usaha pelajar mencari, memahami dan menggunakan ilmu pengetahuan sains bagi
menyelesaikan masalah yang berlaku di sekeliling dengan mengaplikasikan penguasaan
kemahiran saintifik dan bukannya berdasarkan hafalan fakta sains semata-mata (Abu
Hassan, 2004). Ini sesuai dengan kehendak kurikulum yang ingin kemahiran saintifik ini
diperkembangkan dalam P&P mata pelajaran fizik. Dengan ini, penerapan kemahiran
saintifik melalui pembelajaran formal di Malaysia mampu menjana elemen Kemahiran
Berfikir Kreatif dan Kritis (KBKK) di kalangan pelajar (KPM, 2003). Malah, kemahiran
saintifik dalam ilmu pengetahuan sains yang diterjemahkan melalui rekaan pelbagai alat
sains dan teknologi oleh golongan yang berfikir kreatif dan kritis merupakan aset penting
kepada sesebuah negara yang bergerak ke arah negara maju untuk turut sama
menyumbang kepada tamadun hari ini (Abu Hassan, 2004). Justeru itu, kemahiran
saintifik yang merangkumi pelbagai kemahiran perlu dikuasai oleh pelajar untuk
mencapai matlamat negara untuk melahirkan individu yang berfikiran kritikal seterusnya
berperanan sebagi modal insan untuk perkembangan negara pada masa akan datang.
Selain untuk mencapai matlamat yang dikehendaki, pelajar juga mampu untuk menyahut
cabaran Wawasan 2020 iaitu “Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif yang
mempunyai daya perubahan yang tinggi dan memandang ke hadapan yang bukan sahaja
menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan
teknologi masa depan” (Dasar Sains dan Teknologi Negara, 1989, hlmn 2).
Oleh itu, penerapan kemahiran saintifik melalui “pendidikan di Malaysia
memerlukan usaha yang berterusan untuk memperkembangkan lagi potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu supaya dapat melahirkan insan yang seimbang,
harmonis dan bermoral tinggi” (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003: 1). Ini sesuai
dengan hasrat pendidikan di Malaysia yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan iaitu:
“ Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah lebih
memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah
bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
(Pusat Perkembangan Kurikulum,2003: vii)
Maka, penguasaan berkenaan kemahiran saintifik terutamanya di kalangan pelajar
tidak boleh dipandang remeh serta enteng dalam memastikan segala hasrat ini tercapai
seterusnya melahirkan insan yang mampu memenuhi keperluan dan kemahuan Negara
masa kini.
1.2 LATAR BELAKANG MASALAH
Selaras dengan kehendak negara untuk melahirkan individu yang progresif,
kurikulum sains di negara kita menekankan aspek penguasaan kemahiran saintifik umtuk
melakukan aktiviti yang berteraskan ekperimen dan kegiatan amali agar hasrat ini
tercapai. Sehubungan itu penguasaan kemahiran saintifik amat penting kepada pelajar
agar proses pembelajaran akan mencapai matlamatnya.
Kementerian Pendidikan Malaysia turut mengambil usaha untuk mencapai hasrat
ini dengan memperkenalkan pelbagai jenis sekolah yang menjalankan kurikulum sains.
Dengan adanya pelbagai jenis sekolah ini sedikit sebanyak dapat membantu Kementerian
Pendidikan dalam memastikan hasrat ini tercapai kerana kepelbagaian jenis sekolah ini
dapat memberikan lebih pilihan dan alternatif kepada pelajar untuk belajar. Antara
sekolah yang telah diperkenalkan oleh kementerian bagi mencapai matlamat tertentu
adalah seperti berikut;
1) Sekolah Wawasan – Sekolah ini adalah bertujuan untuk mencapai
hasrat negara untuk melahirkan masyarakat yang
bersatu padu dan harmoni.
2) Sekolah Integrasi - Sekolah yang mencampurkan semua jurusan
yang ditawarkan di sekolah menengah dalam satu
sekolah.
Sekolah yang dinyatakan di atas adalah antara sekolah yang ditubuhkan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia. Sekolah-sekolah yang sedia ada seperti Sekolah
Sains, Sekolah Premier, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Maktab Rendah
Sains Mara tetap diteruskan seperti biasa. Terdapat beberapa lagi sekolah yang
diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam mencapai matlamat
tertentu.
1.2.1 Penguasaan Pelajar
Berdasarkan keputusan peperiksaan SPM, dapat disimpulkan bahawa masih
terdapat calon yang lemah dalam menguasai istilah Fizik dan kemahiran proses sains
seperti memerhati, membanding beza sehingga gagal menjawab soalan konstruk
mengkonsepsi. Malah terdapat calon yang yang lemah terutamanya dalam membuat
inferens terhadap situasi yang diberikan oleh soalan menyebabkan calon gagal mengenal
pasti pemboleh ubah yang terlibat dalam mereka bentuk eksperimen berkaitan ( Lembaga
Peperiksaan Malaysia, 2003:9). Kelemahan dan kesilapan para pelajar dalam
menyelesaikan masalah-masalah tersebut adalah disebabkan mereka kurang menguasai
konsep dan kemahiran saintifik.
1.2.3 Cara Pembelajaran Fizik
Melihat kepada pendekatan pembelajaran Fizik oleh para pelajar, “Mereka lebih
cenderung belajar berorientasikan hafalan berbanding dengan pembelajaran bermakna.
Ini bermakna, pelajar akan berusaha mengingat semula sebarang takrifan, konsep,
prinsip, hukum-hukum atau teori Fizik tanpa memahami atau mengaitkannya dengan
pengetahuan lepas dan mengaplikasikannya” (Lilia, T. Subahan, Zolkepeli, 2002:179).
Situasi pembelajaran seperti ini menunjukkan pengabaian yang nyata para pelajar
mengenai kemahiran saintifik yang juga terkandung dalam elemen PEKA Fizik.
1.2.4 Persepsi Masyarakat
Kajian ini adalah yang pertama seumpamanya yang menyentuh pandangan
masyarakat khususnya dalam memilih sekolah yang terbaik untuk anak-anak mereka. Di
daerah Besut yang menjadi pilihan pengkaji menjalankan kajian, terdapat satu persepsi
masyarakat yang agak menarik iaitu mereka beranggapan dengan menghantar anak-anak
mereka ke sekolah-sekolah yang terbaik dapat membantu dalam mencapai keputusan
yang lebih cemerlang.
SMKA dan SMKP yang terpilih di dalam kajian ini adalah sekolah-sekolah di
daerah Besut yang sentiasa mempamerkan pencapaian yang cemerlang bagi pelajar-
pelajar mereka. Sehingga kini sekolah-sekolah ini hanya mengambil pelajar kemasukan
ke Tingkatan Satu yang berjaya mencapai keputusan 5A di dalam Ujian Penilaian
Sekolah Rendah atau UPSR. Ini sedikit sebanyak dapat memberikan kita gambaran
bahawa sekolah-sekolah ini mempunyai pelajar-pelajar yang berwibawa dan cemerlang.
Kajian ini bukanlah bertujuan untuk mendapatkan kebenaran persepsi ini tetapi mencari
tahap sebenar pencapaian pelajar-pelajar ini khususnya dalam Kemahiran Proses Sains
dan membuat perbandingan yang signifikan.
1.3 PENYATAAN MASALAH
Berdasarkan latar belakang masalah yang telah dihuraikan, penyelidik
memikirkan satu kajian perlu dijalankan. Kajian ini adalah untuk mengenal pasti tahap
pencapaian dua Kemahiran Proses Sains iaitu Kemahiran Membuat Inferens dan
Mentafsir Maklumat dalam kalangan pelajar Fizik di sekolah yang dipilih di daerah Besut
dalam negeri Terengganu Darul Iman iaitu SMKA dan SMKP. Seterusnya membuat
perbandingan tahap pencapaian Kemahiran Proses Sains di antara kedua-dua sekolah.
1.4 OBJEKTIF KAJIAN
Penyelidik menetapkan beberapa objektif dalam menjalankan penyelidikan ini
iaitu:
i. Mengetahui tahap Kemahiran Membuat Inferens dalam
kalangan pelajar Fizik di SMKA dan SMKP.
ii. Mengetahui tahap Kemahiran Mentafsir Maklumat dalam
kalangan pelajar Fizik di SMKA dan SMKP.
iii. Mengetahui perbezaan tahap Kemahiran Proses Sains yang
signifikan di antara SMKA dengan SMKP.
iv. Mengetahui perbezaan tahap Kemahiran Proses Sains yang
signifikan bagi pelajar lelaki di antara SMKA dan SMKP.
v. Mengetahui perbezaan tahap Kemahiran Proses Sains yang
signifikan bagi pelajar perempuan di antara SMKA dan
SMKP.
1.5 PERSOALAN KAJIAN
Merujuk kepada objektif kajian, penyelidik membina beberapa persoalan
kajian iaitu:
i. Apakah tahap Kemahiran Membuat Inferens dalam
kalangan pelajar Fizik di SMKA dan SMKP?
ii. Apakah tahap Kemahiran Mentafsir Maklumat dalam
kalangan pelajar Fizik di SMKA dan SMKP?
iii. Apakah terdapat perbezaan tahap Kemahiran Proses Sains
yang signifikan di antara SMKA dengan SMKP?
iv. Apakah terdapat perbezaan tahap Kemahiran Proses Sains
yang signifikan bagi pelajar lelaki di antara SMKA dan
SMKP?
v. Apakah terdapat perbezaan tahap Kemahiran Proses Sains
yang signifikan bagi pelajar perempuan di antara SMKA
dan SMKP?
1.6 RANGKA KERJA KONSEP
Dua kemahiran proses sains yang dikaji adalah kemahiran membuat inferens dan
kemahiran memtafsir maklumat. Terdapat tiga pemboleh ubah di dalam kajian ini iaitu
pemboleh ubah dimanipulasikan, pemboleh ubah bersandar dan juga pemboleh ubah
dimalarkan. Pemboleh ubah dimanipulasikan dalam kajian ini adalah jenis sekolah iaitu
Sekolah Menengah Kebangsaan Premier dan juga Sekolah Menengah Kebangsaan
Agama. Manakala pemboleh ubah yang bersandar pula adalah tahap kemahiran pelajar
dalam membuat inferens dan memtafsir maklumat dan sementara itu pemboleh ubah
yang dimalarkan pula adalah pelajar Tingkatan Lima di sekolah-sekolah yang dipilih.
Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah instrumen tahap pencapaian yang
mengandungi 33 soalan yang akan menguji tahap kemahiran pelajar dalam membuat
inferens dan mentafsir data. Tahap pencapaian pelajar pula akan dipecahkan kepada tiga
tahap iaitu Baik, Sederhana dan Lemah. Melalui data yang diperolehi melalui soal selidik
ini, penyelidik akan membuat perbandingan tahap Kemahiran Proses Sains pelajar di
antara sekolah-sekolah yang menjadi pilihan.
1.7 KEPENTINGAN KAJIAN
Kemahiran proses sains adalah amat penting untuk dikuasai oleh pelajar kerana
ia memainkan peranan yang penting dalam pembelajaran Fizik terutamanya dalam
elemen PEKA. Justeru itu, kajian ini diadakan untuk memberikan kefahaman dan
penjelasan kepada pelajar terhadap kemahiran mereka dalam membuat inferens dan
mentafsir maklumat dan seterusnya membuat perbandingan tahap kemahiran pelajar di
antara dua jenis sekolah iaitu SMKA dan SMKP. Dapatan kajian ini juga dapat
dimanafaatkan oleh warga pendidikan di Malaysia untuk membaik pulih kelemahan dan
lompong yang ada berkenaan kemahiran proses sains. Golongan tersebut adalah termasuk
guru-guru, pengurusan sekolah, Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian
Pendidikan Malaysia dan seterusnya Kementerian Pendidikan Malaysia.
1.7.1 Pelajar
Penyelidik beranggapan bahawa kajian ini dapat memberi manafaat terhadap
pelajar. Pelajar merupakan responden yang utama dalam kajian ini. Oleh itu adalah amat
penting bagi pelajar untuk mengetahui dan mengenal pasti tahap kefahaman mereka
terhadap kemahiran proses sains yang dikaji iaitu kemahiran membuat inferens dan
kemahiran mentafsir maklumat. Selain itu, responden yang dipilih juga adalah pelajar
Tingkatan 5, maka amatlah penting kajian ini dijalankan supaya pelajar dapat membuat
pembetulan dan membaiki kelemahan yang masih ada kerana peperiksaan Sijil
Peperiksaan Malaysia (SPM) yang akan dijalani tidak lama lagi.
1.7.2 Guru
Saranan yang diberi oleh Laporan Prestasi SPM (2003, hlmn 13) menjelaskan
bahawa “Guru mesti memberikan penekanan kepada Kemahiran Proses Sains dan
memberikan perhatian yang serius dalam PEKA. Selain itu, guru perlu menekankan
laporan amali yang tersusun dan lengkap”. Guru juga bertanggungjawab menilai amali
yang dilakukan oleh pelajar. Justeru, guru yang terlibat dalam pendidikan sains tidak
dapat dipisahkan dengan Kemahiran Proses Sains.
Oleh itu, dapatan kajian ini dapat membantu guru dalam menilai tahap kefahaman
Kemahiran Proses Sains pelajar mereka. Seterusnya dapat membantu dan membuat
perubahan jika terdapat kelemahan kepada pelajar mereka dan meningkatkan lagi
pencapaian.
1.7.3 Pengurusan Sekolah
Penyelidik juga berpendapat bahawa kajian ini juga dapat memberikan manafaat
kepada pihak pengurusan sekolah. Ini kerana perbandingan yang dijalankan adalah di
antara sekolah pilhan dapat memberikan gambaran sebenar pencapaian sekolah masing-
masing.
Kajian ini bukanlah dijalankan untuk menunjukkan sekolah yang mana lebih
cemerlang atau sekolah mana yang lemah. Kajian ini dijalankan untuk membuat
perbandingan antara tahap kemahiran proses sains pelajar di antara sekolah-sekolah
tersebut. Sekiranya dapatan kajian menunjukkan kelemahan atau lompong pada tahap
kemahiran pelajar sesebuah sekolahitu, pihak pengurusan sekolah dapat membuat
perancangan untuk mengatasi masalah tersebut dan membaiki kelemahan yang didapati.
Maka kajian ini dapat memberikan penjelasan yang penting kepada pihak pengurusan
sekolah.
1.7.4 Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia
Penerangan berkenaan kemahiran proses sains yang disertakan di dalam Huraian
Sukatan Pelajaran masih belum mencukupi kefahaman kepada pelajar dan guru. Justeru
itu pihak yang berkenaan dapat mengambil inisiatif dengan memberikan huraian dan
contoh berkenaan kemahiran proses sains agar kefahaman guru dan pelajar terutamanya
akan lebih jelas.
1.7.5 Kementerian Pelajaran Malaysia
Penyelidik juga beranggapan dapatan kajian ini sedikit sebanyak dapat
memberikan gambaran yang jelas kepada Kementerian Pendidikan tentang kemahiran
pelajar dalam Kemahiran Proses Sains dan perbandingan tahap kefahaman pelajar di
antara SMKA dan SMKP.
Penyelidik bukan berniat untuk membongkar jika terdapat kelemahan tetapi
sekadar ingin memberikan gambaran situasi sebenar dan berharap agar Kementerian
Pendidikan Malaysia dapat mengambil inisiatif tertentu.