Cab 2 Prof Zainal a Borhan Peradaban Jati Diri Melayu Full Text
-
Upload
razali-ayob -
Category
Documents
-
view
146 -
download
15
Transcript of Cab 2 Prof Zainal a Borhan Peradaban Jati Diri Melayu Full Text
1
PERADABAN DAN JATI DIRI MELAYU
Oleh
Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan
Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Kuala Lumpur
1.0 Terlebih dahulu saya memohon maaf meminda tajuk yang dicadangkan
daripada Jati Diri dan Peradaban Melayu kepada Peradaban Melayu dan Jati Diri.
Pindaan ini dibuat lantaran saya ingin memulakan daripada suatu persoalan yang
lebih luas atau umum kepada persoalan yang lebih khusus. Maka di dalam makalah
ini tiga perkara pokok yang akan dibincangkan iaitu konsep peradaban, peradaban
Melayu dan jati diri Melayu.
2.0 Konsep peradaban boleh disamaertikan dengan konsep tamadun. Kata
peradaban berasal dari kata akar Arab yang bermaksud kesusasteraan. Tetapi adab
dalam bahasa Melayu bermaksud perilaku atau pekerti yang baik, sopan, halus dan
bertatasusila. Tamadun pula berasal dari kata Arab maddana, satu kata kerja yang
merujuk kepada perbuatan membuka bandar atau kota serta perbuatan
memperhalus budi pekerti. Dari kata kerja maddana, terdapat perkataan madani
yang merujuk kepada sifat sesuatu yang berkaitan dengan pembangunan
perbandaran serta budi pekerti yang halus. Kata maddana dan madani berasal dari
kata deen yang bermaksud kehidupan beragama.
Kehidupan beragama dan daya keberagamaan bukan sekadar perilaku yang
ritualistik sahaja, tetapi menuntut interaksi yang amat mendalam antara makhluk
dengan Khalik. Suatu tuntutan yang habluminallah, yang menyatu antara yang
2
ritualistik dengan ketaqwaan dan keimanan, juga interaksi perilaku dan tutur kata
yang habluminannas sesama manusia.
Natijah dari pentakrifan ringkas di atas, peradaban ialah pencapaian
tatasusila, moral dan etika yang tinggi. Peradaban di dalam kerangka natijah
berkenaan menuntut manusia untuk melaksanakan nilai-nilai yang tauhidik dan
manusiawi.
Manusia sebagai makhluk Allah diberikan fungsi yang amat besar iaitu untuk
menegakkan keadilan dan kebenaran Tuhan di muka bumi sebagai khalifat-ul-ardh
atau wakil Tuhan di muka bumi. Sebagai khalifah, manusia bukan sahaja tunduk
dan taat kepada perintah Allah s.w.t., melaksanakan fungsi memakmur dan
membawa kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Kemakmuran dan kesejahteraan
sewajibnya dengan memanfaatkan seluruh khazanah bumi yang dianugerah Allah
untuk kemanusiaan. Kemakmuran dan kesejahteraan juga dilaksanakan melalui
hukum peraturan dan perundangan untuk memastikan kemanusiaan di atas
landasan akhlak, susila, moral dan etika. Oleh sebab itu peradaban bukan sahaja
persoalan pencapaian kehidupan melalui kemajuan kota dan bandar yang penuh
pencakar langit atau kemajuan ekonomi yang berasaskan sains dan teknologi, tetapi
apa yang lebih penting ialah kejayaan manusia memanusiakan dirinya pada
masyarakatnya di dalam kehidupan yang berakhlak, bertatasusila, bermoral dan
beretika dan beradab.
Seluruh natijah peradaban dan ketamadunan adalah suatu yang ideal yang
telah diungkapkan oleh para pemikir dan sarjana peradaban serta ketamadunan. Di
3
Malaysia secara khusus di universiti awam dan swasta terdapat kursus Tamadun
Islam dan Tamadun Asia (TITAS) dan terdapat juga buku teks khasnya yang diedit
oleh Chandra Muzaffar dan lain-lain pada tahun 2001 kemudian diulang cetak pada
2002. Buku ini menjadi panduan kepada seluruh siswa pengajian tinggi di Malaysia.
Walau bagaimanapun persoalan peradaban atau ketamadunan digerakkan
dan dikembangkan oleh manusia melalui masyarakat dan kebudayaan. Secara
evolusi kebudayaan berkembang dari masyarakat sederhana (tribe) atau puak ke
masyarakat yang kompleks, dari budaya rendah ke budaya tinggi. Peradaban atau
ketamadunan dengan rancaknya berkembang di masyarakat yang kompleks dan
berbudaya tinggi.
Di dalam kerangka tatasusila dan hukum peraturan, masyarakat sederhana
mempunyai tatasusila dan hukum peraturan yang mengutamakan permuafakatan
dan nilai-nilai kolektif serta egalitarian, walau pun terdapat puak yang memiliki
hierarki. Masyarakat kompleks memiliki tatanan (struktur) sosial, ekonomi dan politik
yang kompleks; lazimnya berhierarki dan jauh lebih maju berbanding masyarakat
sederhana. Lazimnya masyarakat kompleks dan maju bermukim di kawasan bandar
atau kota manakala masyarakat sederhana di desa atau di luar bandar atau
pendalaman.
3.0 Peradaban Melayu
Peradaban Melayu telah lama bertapak di Asia Tenggara. Peradaban ini telah
berkembang dari kebudayaan Melayu, yang merupakan di antara penduduk asal
4
rantau ini (Nik Hassan Suhaimi, 1993). Wilayah peradaban atau ketamadunan
tersebut dikenali dengan pelbagai nama seperti gugusan Kepulauan Melayu (Malay
Archipelago), Nusantara, Alam Melayu dan Tanah Jawi. Dua perkara penting yang
mewarnai peradaban wilayah ini ialah bahasa Melayu yang menjadi lingua franca
dan agama Islam yang merupakan pelengkap pembentukan peradaban ini.
Memperkatakan peradaban Melayu, ia merujuk kepada kemunculan
masyarakat yang mempunyai struktur sosial yang kompleks seperti masyarakat yang
pernah wujud di pusat-pusat kerajaan Melayu awal. Pusat-pusat berkenaan wujud di
pelbagai negara-kota (city-states) atau pusat bandar (urban-centres).
Di Asia Tenggara manifestasi peradaban Melayu terawal berlaku semasa
pembentukan kerajaan Melayu awal (Ahmad Hakimi, 1998). Antara kerajaan Melayu
pra-Islam awal ialah Funan, Langkasuka, Kuala Selinsing (Selangor) dan Lembah
Bujang (Kedah). Dengan sokongan sistem ekonomi kuat khasnya dalam penghasilan
sumber makanan mampu menampung keperluan penduduk kota atau bandar. Walau
pun terdapat peradaban di luar Asia Tenggara yang berasaskan pertanian atau
masyarakatnya agraris, namun sebahagian besar kerajaan Melayu awal merupakan
kerajaan maritim.
Kerajaan-kerajaan Melayu awal telah wujud sekurang-kurangnya 2500 tahun
lalu di Malaysia seandainya berasaskan penemuan kesan-kesan arkeologi di
Lembah Bujang dan Kuala Selinsing (Ahmad Hakimi, 1998, Bellwood, 1997).
Kedua-dua kerajaan awal tersebut meninggalkan bukti arkeologi yang membuktikan
terdapat pelabuhan yang didirikan oleh mereka yang terlibat di dalam perdagangan
5
jarak jauh. Perdagangan jarak jauh ini memerlukan rangkaian perhubungan yang
besar dan petempatan yang agak lama dan tetap serta sistem kepimpinan yang
efektif, satu tanda wujudnya masyarakat yang kompleks. Petempatan yang wujudnya
di bahagian utara Sumatera dan di Segenting Kera serta di Semenanjung Tanah
Melayu mewujudkan jaringan masyarakat dan komuniti yang disebut oleh Andaya
(2008:14) sebagai the sea of Malayu.
Kebudayaan dan peradaban orang Melayu wujud dan muncul pada masa itu
kerana teknologi Melayu pada masa itu mampu untuk menguasai perdagangan
jarak jauh yang melalui perairan yang dikuasai oleh kerajaan Melayu, khasnya Selat
Melaka. Empayar Funan dan Srivijaya menguasai laluan perdagangan di kawasan
mereka.
Salah satu cara pemikiran sosio-politik Melayu pada masa itu adalah
pembentukan kerajaan-kerajaan dan empayar-empayar berdasarkan pengaruh.
Konsep ini berbeza dengan pemikiran Eropah Barat yang mengembangkan wilayah
melalui penaklukan dan penetapan sempadan wilayah secara fizikal. Oleh sebab
masyarakat Melayu pada dasarnya adalah kumpulan manusia yang tinggal di
kawasan kepulauan, mereka kurang memberi perhatian kepada penguasaan fizikal
wilayah mereka. Seandainya ada yang tidak setuju mereka boleh keluar dari sesuatu
tempat untuk menuju ke tempat lain. Penguasaan kawasan bukannya berdasarkan
kepada penguasaan tanah, tetapi berteraskan kepada penguasaan laluan air serta
kebolehan menarik orang datang ke sesuatu tempat.
6
Sebelum kedatangan agama Islam, peradaban Melayu terawal dipengaruhi
oleh agama-agama Hindu dan Buddha. Agama Hindu dan Buddha telah
menghasilkan tamadun Melayu yang berlawanan. Sentiasa terdapat persaingan
antara peradaban Melayu yang beragama Hindu dengan peradaban Buddha untuk
menguasai laluan perdagangan, dengan kemunculan agama Islam telah mengubah
bentuk-bentuk peradaban Melayu dan dengan memeluk agama Islam membolehkan
mereka menguasai perdagangan di kawasan ini.
Selepas Funan, Srivijaya, Kutei, Langkasuka, dan Majapahit, telah muncul
kerajaan dan kesultanan Melayu seperti Pasai, Brunei, Melaka, Johor-Riau, Sambas,
Aceh, Manila, Pagarruyung, Palembang, Jambi, Bugis-Makassar, Buton, dan lain-lain
dari abad ke 14 hingga ke 18. Kesemua kesultanan ini telah berkembang dari
pelabuhan kecil di pelbagai terusan perdagangan sehingga menjadi pelabuhan yang
ternama yang kemudiannya dikuasai oleh kuasa Eropah. Dari abad ke 14 hingga
ke 17 adalah abad yang penting kepada Ismail Hussien (1990:72) sebagai zaman
keemasan kesedaran Melayu. Pada zaman inilah yang disebut oleh Ried (1993)
sebagai zaman perdagangan yang hebat (the age of commerce).
Selain dari perdagangan, kesultanan ini juga berperanan sebagai pusat
peradaban Melayu khasnya dari segi persuratan. Hikayat Raja-Raja Pasai, Salalatus
Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Hang Tuah, Hikayat Sambas, Hikayat Aceh,
Hikayat Siak, Hikayat Banjar, Hikayat Patani, Hikayat Merong Mahawangsa, Misa
Melayu (Perak) dan lain-lain salasilah seperti Salasilah Melayu-Bugis atau syair
seperti Syair Perang Makasar dan Syair Awang Semaun (Brunei) adalah di antara
hasil-hasil kesusasteraan yang muncul dari abad ke 14 hingga ke 19, meriwayatkan
7
pelbagai pensejarahan atau historiografi Melayu yang meriwayatkan kerajaan atau
kesultanan berkenaan.
Hikayat, salasilah maupun syair tersebut melengkapi kitab-kitab agama,
naskhah saduran dan pelbagai naskhah kepustakaan Melayu yang ditulis dan disalin
dalam tulisan jawi. Teuku Iskandar (1995) telah menyenaraikan sejumlah besar
kitab-kitab dan naskhah yang telah dihasilkan sama ada secara saduran dan ditulis
oleh penulis tempatan. Pada zaman transisi Hindu-Islam telah disesuaikan kitab
Ramayana ke Hikayat Sri Rama; kitab Mahabharata ke Hikayat Pendawa Jaya.
Dengan masuknya Islam dihasilkan Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Iskandar
Dzulkarnain. Pada zaman kesultanan Melaka disebut dalam Sulalatus Salatin, ada
kitab yang datang dari Pasai bernama Durr al-Mandhum. Di kurun ke 16, di Aceh
disalin kitab Aqaid al-Nasafi, di samping karya-karya Hamzah Fansuri seperti Asrar
al-Ariffin, Syair Perahu dan lain-lain. Seorang lagi ulama Aceh, Syamsuddin Pasai
telah menulis di antaranya Mir’at-al-Qulub; Nuruddin al-Raniri pula dengan Sirat al-
Mustaqim, Bustan-al-Salatin dan lain-lain lagi.
Di samping kitab-kitab agama terdapat juga naskhah-naskhah perundangan
seperti Undang-Undang Melaka (Hukum Kanun Melaka), yang kemudiannya menjadi
asas kepada Undang-Undang Johor, Undang-Undang Aceh, Undang-Undang
Pahang dan Undang-Undang Kedah. Terdapat juga kitab-kitab ketatanegaraan
seperti Taj-ul-Salatin, Thamarah al-Muhimmah, Kitab Nasihat Raja-Raja. Kitab-kitab
ini dikatakan disadur dari Nasihat al-Mulk (karya al-Ghazali) dan lain-lain karya Parsi
seperti Qabusnama (Jelani Harun, 2003).
8
Seluruh kitab-kitab atau naskhah-naskhah yang dihasilkan di dalam tulisan
jawi yang berkembang sebagai tulisan Melayu. Ada pendapat yang mengatakan
bahawa bahasa Melayu berasal dari hulu sungai Kapuas di Kalimantan Barat
(Adelaar, 1995; Collins, 1995). Hipotesis ini berdasarkan andaian bahawa di hulu
Kapuas terdapat lebih banyak variasi bahasa Melayu. Hipotesis ini mungkin benar
namun belum ditolak oleh para pengkaji bahasa dan linguistik Melayu. Bahasa
Melayu menjadi lingua franca lantaran terdapatnya peranan kesultanan Melayu yang
mengembangluaskan bahasa berkenaan melalui perdagangan serantau dan
antarabangsa pada masa itu. Surat-surat raja-raja dan sultan-sultan Melayu serta
pembesar Melayu kepada pegawai-pegawai British dan Belanda ditulis dalam
bahasa Melayu (Gallop, 1994; Drakard, 1999).
Kitab-kitab dan naskhah-naskhah Melayu ditulis dengan aksara Jawi
membantu menyebarluaskan bahasa Melayu. Di Aceh, bahasa Melayu adalah
bahasa istana, malah Hikayat Aceh juga ditulis dalam bahasa Melayu (Braginsky,
2003).
Kemunculan dan kehadiran Islam dalam peradaban Melayu tidak boleh
dipisahkan daripada Islamisasi yang lebih luas yang berlaku di Asia Tenggara,
khususnya di Nusantara atau alam Melayu. Berdasarkan fakta sejarah yang telah
ada, dapat dirumuskan bahawa lautan ini telah menerima pengaruh Islam dari
pelbagai penjuru, dari Tanah Arab, China, India dan Parsi yang dibawa oleh para
pendakwah sama ada peniaga, ahli sufi atau para mubaligh. Islam berkembang di
pelbagai tempat, bukan di satu tempat sahaja (Mohammad Abu Bakar, 2000; 23-24).
9
Islam telah membawa perubahan yang transformatif, dari mengamalkan
kepercayaan tradisi yang animistik kepada kepercayaan yang tauhidik yang
bertaqwa kepada Tuhan yang esa. Walau pun Islam berkembang secara sinkretis
namun secara beransur-ansur transformasi tersebut berlaku secara menyeluruh,
mensenyawakan satu sintesis yang amat erat sehingga menjadi faktor yang
mentakrif Melayu sama ada dari segi kultural dan konstitutional. Sintesis atau
transformasi kebudayaan tidak akan berlaku seandainya pengaruh yang datang itu
tidak kuat, tidak praktikal berbanding dengan kepercayaan yang sedia ada.
Penerimaan Islam oleh kesultanan Melayu, seperti Melaka sebagai contoh,
membuka lembaran baru dalam sejarah Islam umumnya dan sejarah masyarakat
dan budaya Melaka khasnya. Penerimaan Islam melalui istana maka rakyat turut
sama menerimanya seperti terakam di dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).
Transformasi terpenting ialah konsepsi dan pandangan dunia bahawa raja adalah
bayangan Tuhan di muka bumi telah ditukar kepada wakil Tuhan di muka bumi
(khalifat-ul-ardh). Nilai politik Islam diubahsuai seperti mana terkandung di dalam
Hukum Kanun Melaka. Yang menarik Adat Raja yang dibawa dari Palembang, atau
ada yang menyebutnya sebagai Adat Temenggung yang diwarisi oleh Melaka terus
berfungsi dengan orientasi Islam.
Kedatangan Islam bukan sahaja telah membawa kebudayaan berpangkal
kepada ajaran Tauhid bahkan menukarkan kepercayaan tradisi dari Hindu-Buddha
kepada Islam. Jiwa kebudayaan Melayu dan Islam dapat dilihat dari cara pemakaian,
minum, pengembangan ilmu pengetahuan, kesenian dan persuratan dan falsafah.
Islam menjadi jiwa dan roh Melayu dan kemelayuan, malah menjadi ideologi Melayu.
10
Persoalan peradaban Melayu menjadi fokus Anthony Milner (2008) untuk
membicarakan persoalan kemelayuan. Terdapat empat perkara yang menjadi fokus
kemelayuan, iaitu raja atau sultan Melayu, agama Islam, bahasa dan kebudayaan
atau adat (Reid, 2004; Shamsul Amri, 2004).
4.0 Jati Diri Melayu
Sering terdengar dan terbaca bahawa apa itu Melayu (?). Di Persekutuan
Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perkara 160 Perlembagaannya
menyatakan bahawa Melayu itu “ertinya seseorang yang menganut agama Islam,
lazim bercakap Melayu, menurut adat istiadat Melayu.” Pentakrifan yang
konstitutional ini juga digunakan secara kultural di alam Melayu, walaupun Melayu itu
dikatakan satu etnik di Singapura dan Indonesia.
Pentakrifan ini membuktikan bagaimana sintesis antara Melayu dan Islam
berlaku. Islam menjadi faktor pentakrif Melayu. Ia juga boleh merupakan takrif
kultural sehingga yang bukan Melayu, apabila memeluk Islam dan berkahwin dengan
perempuan atau lelaki Melayu dikatakan masuk Melayu dan akhirnya jadi Melayu. Ia
bukan sekadar penanda kultural tetapi juga ideologikal.
Dari takrifan berkenaan dapat dikesani bahawa tiga perkara pokok yang
menentukan Melayu, iaitu Islam, bahasa dan adat Melayu. Dari perbincangan di
atas persoalan kemelayuan yang diperkatakan di atas turut mengesahkan faktor
yang sama. Selain daripada raja atau sultan Melayu, yang masih kekal pada masa
kini di Persekutuan Malaysia, Islam turut berperanan mentakrif Melayu. Walaupun
11
faktor raja dan sultan tidak menjadi faktor di Singapura dan Indonesia serta juga
daerah Melayu lain, namun Islam, bahasa dan adat Melayu tetap menjadi teras
kemelayuan.
Sebagai pelajar bidang Pengajian Melayu, amat disedari bahawa bahasa dan
adat Melayu itu dinamik. Bahasa Melayu yang berkembang ribuan tahun lalu
mungkin berbeza dengan bahasa Melayu kini dari segi kosa-kata, tata-bahasa,
pembangunan dan sebagainya. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan di
Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan
Malaysia. Persoalan yang bakal dikemukakan di antara kedinamikan bahasa Melayu
ialah persoalan kesantunannya yang menjiwai kemelayuan itu. Maka isu jati diri
Melayu sewajarnya juga dibincangkan bukan sahaja dari sudut jati diri lahiriah sahaja
tetapi juga dari sudut batiniah.
Bahawa jati diri Melayu itu ada jiwa dan rohnya. Kemelayuan bukan sahaja
dilihat dari sudut siratan yang bertali kepada asal-usul sejarah, bahasa, budaya,
agama dan wilayah. Penerokaan selanjutnya ialah menyelusuri aspek dalaman atau
batiniah Melayu. Aspek batiniah ini bukan sekadar rasa atau emosi, atau sekadar
persoalan cinta kasih sayang seperti yang dihadapi oleh remaja Melayu kini. Ada
persoalan yang besar dari rasa atau emosi. Apakah yang mendasari atau persoalan
utama di dalam the Malay mind itu, atau di dalam the Malay psyche itu(?).
Untuk meneroka persoalan ini, perlu disedari, terdapat khazanah
kepustakaan seperti mitologi, kesusasteraan lisan dan tulisan, perundangan dan
adat, malah ideologi dan falsafah yang terkandung di dalam pepatah, peribahasa
12
gurindam, pantun dan sebagainya boleh dikaji untuk memahami persoalan ini. Tenas
Effendy (2004, 2007), Harun Mat Piah (2001) di antaranya telah menghimpun dan
mengkaji pemikiran Melayu dari sumber-sumber berkenaan. Muhammad Haji Salleh
(1991, 1999, 2000) sebagai contoh juga telah berusaha menyelongkar dari perut
khazanah kesusasteraan Melayu akan persoalan ini.
Di dalam naskhah Adat Raja-Raja Melayu yang dikarang oleh Datuk Zainuddin
pada 1779, terdapat satu fasal khusus “Asal Mulanya Nama Melayu”, yang di
antaranya tercatat:
“Fasal pada menyatakan, ada-nya erti Melayu ini ada-lah ia melayukan diri-nya, iaitu yang di-ibaratkan orang dahulu kala daripada erti Melayu, ada-lah sa-umpama puchok kayu yang melayukan diri-nya dan bukan layu-nya itu kerana kena panas atau api. Bahasa-nya dengan sahaja2 ini juga yang melayukan diri-nya, ya’ani ia merendahkan diri-nya dan tiada ia mahu membesarkan diri-nya, baik daripada adab-tertib-nya atau daripada bahasa peratoran-nya atau daripada adab makan minum-nya dan perjalanan-nya dan kedudukan-nya sama ada di-dalam majlis atau pada tempat yang lain. Maka daripada perkara itu, tiada di-perbuat-nya itu dengan mamang, melainkan ada-lah dengan perangai-nya yang lemah lembut, tiada dengan berlebih-lebihan dan dengan kekurangan itu-lah ada-nya. Hamba terima daripada Tuan Haji Abdul „Arif di-dalam Riau ada-nya. Entah al-kalam dari-pada sa-genap perkara-nya, itu-lah erti Melayu yang dibahagikan orang dahulu. Shahadan maka lagi ada-lah yang di-kehendaki oleh isti‟adat orang Melayu itu dan di-bilangkan anak yang majlis, ia itu apabila ada ia mengada ia atas sa-suatu kelakuan melainkan dengan pertengahan jua ada-nya, ya‟ani daripada segala kelakuan dan perbuatan dan pakaian dan perkataan dan makanan dan perjalanan-nya sekalian itu tiada dengan berlebih-lebehian dan dengan kekurangan melainkan sekalian di-adakan-nya dengan keadaan yang sederhana juga ada-nya. Maka orang itu-lah yang di-bilangkan anak yang majlis; tambahan pula dengan adab pandai ia menyimpan diri-nya, maka berlebih2 lendib atau
13
sidib ada-nya, seperti kata hukama: “Hendak-lah kamu hukum-kan kerongkongan kamu di-dalam majlis makan dan hukumkan mata-mu tatkala melihat perempuan dan teguhkan lidah-mu daripada banyak perkataan yang sia2 dan tulikan telinga-mu daripada perkataan yang keji2. “Maka apabila sampai-lah sa-orang kepada segala syarat ini, iaitu-lah orang yang majlis nama-anya dan demikian lagi perkataan segala orang yang „arif budiman kepada hamba yang daif ini.”
Apa yang telah dirakamkan bukanlah satu rakaman mengenai ciri-ciri fizikal
atau tempat asal usul tetapi lebih merupakan catatan mengenai adat, adab,
perangai, tingkah laku, peribadi, perlakuan dan pengucapan. Satu kenyataan yang
menggambarkan perwatakan atau karakter Melayu yang cukup khas. Beberapa
perkara yang menarik untuk direnungkan mengenai jati diri Melayu antaranya:
a) melayukan diri – iaitu merendahkan diri, tiada mahu membesarkan
diri, baik, baik dari segi adab-tertib, bahasa pertuturan, adab makan
minum, perjalanan dan kedudukan.
b) Tidak mamang – iaitu lemah lembut (tidak kasar), tidak berlebih-
lebihan, tidak berkurangan.
c) Anak atau orang yang majlis – dengan pertengahan (sederhana)
sama ada perlakuan, perbuatan, perkataan, pakaian, makanan dan
perjalanannya.
d) Adab pandai menyimpan diri – mengawal perasaan
Apa yang dikemukakan oleh fasal yang berkenaan merupakan ciri keunggulan
perwatakan kemelayuan. Frasa-frasa melayukan diri dan anak yang majlis adalah
penghuraian kepada keunggulan akhlak dan budi pekerti Melayu. Persepsi
14
pengarang terhadap watak unggul Melayu itu terpancar ke dalam maksud bahawa
Melayu itu beradab dan beradat, berakhlak dan beretika. Sesuai dengan persepsi
tersebut, terdapat satu konsep yang sudah sebati dengan Melayu dan kemelayuan
iaitu budi. Budi merupakan satu fakulti, alam jiwa, yang mengamal, mengatur akhlak
atau pekerti, etika, adab dan moral manusia. Sebagai fakulti ia adalah hikmat yang
menerangkan, mengetahui dan mampu membuat pilihan. Lantaran itu budi adalah
struktur batiniah Melayu yang terpancar dari hikmah yang Maha tertinggi (Allah).
Dalam hal yang demikian akal-budi, hati-budi, budi-bicara adalah fakulti
atau alam fikiran yang menentukan kewarasan akal dan kejernihan perasaan (hati
atau qalbu) untuk membuat tindakan yang bijaksana. Lantaran itu akhlak atau budi
pekerti atau melayukan diri atau anak yang majlis adalah satu keseluruhan kesan
struktur lahiriah dari pancaran struktur batiniah. Struktur lahiriah tersebut dapat dilihat
dari pengucapan, tatatertib, kesantunan, adab, adat, resam, sambaan cakap,
perangai, tindakan dan keputusan, atau keseluruhan perlakuan fizikal manusia yang
berlaku di pelbagai tahap interaksi sosial setiap insan.
Persepsi melayukan diri dan anak yang majlis adalah persepsi yang
menjelaskan watak manusia Melayu yang budiman. Penerapan nilai budiman
bertujuan untuk melahirkan manusia Melayu yang bermoral, berakhlak, beretika,
beradab, beradat, berhati mulia, berakal, berilmu, bijaksana, tahu membalas budi,
cukup ajar dan yang paling penting ialah beriman dan bertakwa kepada Allah.
Lantaran itu melayukan diri dan anak yang majlis atau budi dan budiman ialah
teras kemanusiaan, moraliti dan etika Melayu yang berpaksikan ketauhidan atau
ketuhanan.
15
Kata kunci penting ialah budi dan segala gugusan berhubung dengannya iaitu
akal budi, hati budi, budi bicara, budi bahasa, dan budi pekerti. Budi adalah suatu
konsep yang menyeluruh yang menyatakan persoalan tatasusila yang dibincangkan
awal di atas.
Namun kadangkala persoalan ini sering bertindih dengan satu lagi konsep
tatasusila Melayu iaitu adat. Walaupun berasal dari kosa-kata Arab iaitu addah
namun perkataan ini sudah sedia ada dalam masyarakat di Alam Melayu. Lantaran
perkataan atau kosa kata tersebut sudah menjadi kosa kata Melayu, tetapi makna
asal kosa kata itu ialah kebiasaan, namun ia merupakan salah satu daripada
kategori dan tahap makna adat.
Secara generic atau secara umum adat merujuk kepada satu cara hidup atau
budaya. Orang Melayu di Alam Melayu sering menyebut mengenai sesuatu
fenomena budaya sebagai “ini adat kami” atau “ini cara kami”. Adat ialah satu
konsepsi yang menjelaskan satu keseluruhan cara hidup orang Melayu di Alam
Melayu. Perlu disedari sebelum kata budaya atau kebudayaan digunakan, orang
Melayu menyebut adat untuk maksud budaya tau kebudayaan.
Adat juga bermaksud usaha atau cara manusia mengatur kehidupan. Setiap
masyarakat di dunia bermatlamat agar kehidupan mereka aman, rukun, teratur,
tersusun dan sejahtera, dan mereka berusaha menghindari hidup yang penuh kacau
bilau serta porak peranda. Masyarakat mengadakan pelbagai institusi seperti sosial,
ekonomi, politik, sistem nilai, sistem hukum dan sebagai untuk mengatur kehidupan
bermasyarakat. Masyarakat Melayu mengatur kehidupan dengan adat, seperti
16
hukum adat yang meliputi adat beraja, adat bernegeri, adat memerintah dan
sebagainya.
Konsep adat dalam masyarakat Melayu di Alam Melayu memancarkan kesan
hubungan yang mendalam lagi bermakna antara sesama manusia, antara manusia
dengan alam sekeliling, termasuk alam tabii, alam sosial, dan alam ghaib. Setiap
hubungan diucapkan sebagai adat yang dapat dilihat dalam perlakuan, sikap, dan
acara/upacara.
Seperti budi, adat merupakan struktur atau binaan asas yang menghubung
seluruh kehidupan manusia Melayu yang menegaskan sifat atau ciri keperibadian
sesebuah masyarakat. Lantaran itu dalam masyarakat tradisi Melayu di Alam Melayu
adat mempunyai cerita asal usulnya, ada legenda, ada watak asal usul yang gagah,
bijaksana dan unggul. Cerita asal usul ini memberi asas makna dan mengabsah
setiap perkara atau peristiwa yang berlaku dalam pusingan kehidupan manusia,
kewujudan setiap institusi dalam masyarakat.
Adat memancarkan kepada masyarakatnya tata-perlakuan yang betul dan
halus, suatu kehidupan yang bermatlamat kesejahteraan sosial, bukannya keporak-
perandaan, untuk mengekal kesejahteraan sosial, maka adat mewujudkan sistem
hukum dan peraturannya.
Adat bukan sahaja merupakan struktur terkuat masyarakat Melayu tetapi juga
memberi jati diri kepada mereka. Adat adalah jati diri yang menyatupadukan seluruh
anggota masyarakat. Adat adalah struktur atau binaan yang mengukuh keperibadian
17
setiap anggota masyarakat seperti seorang yang „beradat‟, atau “tahu adat”. Adat
adalah satu kehalusan perlakuan, sikap, tindakan, yang dapat diterima sebagai betul
dan wajar. Seorang yang beradat atau tahu adat ialah seorang yang bersahsiah
tinggi, berwatak, mempunyai karakter yang baik, bermoral, beretika, yang semuanya
diperoleh dari satu proses sosialisasi dan enkulturasi atau pembudayaan yang telah
diatur dan ditetapkan oleh adat.
Setiap anak Melayu akan menempuh pelbagai istiadat rites de passage
seperti cukur jambul, bersunat, mengaji, bertunang, kahwin dan mati. Istiadat ini
bukan sekadar satu upacara peningkatan tahap, dari tahap dalam perut ibu, ke
tahap bayi, ke tahap kanak-kanak, remaja dan dewasa. Ia adalah lambang kepada
peningkatan kemelayuan yang berlaku di dalam pusingan kehidupan mereka. Dia
dimelayukan melalui istiadat atau upacara berkenaan.
Adat Melayu mengalami perubahan lantaran perubahan masyarakat, di
samping prinsip adat mengizinkan perubahan, “sekali air bah, sekali pandai
berubah”. Adat yang berubah disebut sebagai adat baru, seperti yang berlaku di
dalam istiadat perkahwinan Melayu. Di dalam adat perkahwinan Melayu setiap
tetamu akan dibekalkan kuih muih, pulut dan telur. Sekarang ini diganti dengan
buah-buahan, jeli, coklat dan gula-gula.
Telur dan bunga telur yang dibekalkan merupakan satu perlambangan tentang
kehidupan dan kesuburan. Telur di dalam masyarakat Melayu adalah lambang
kejantanan, keberanian di samping lambang kesuburan dan kehidupan; bunga telur
pula adalah pohon kesuburan atau kehidupan. Lantaran itu perkahwinan adalah
18
usaha meneruskan kehidupan dan membukti kesuburan. Apabila diganti dengan
gula-gula atau coklat, maka makna perlambangan itu sudah berbeza. Gula
membawa erti manis, ibarat manis tebu, atau ibarat manis di bibir. Manis tebu di
pangkal tidak serupa ke pucuk, sedangkan manis di bibir tidak kekal ia sementara.
Perkahwinan bukannya penyatuan kesementaraan dalam konteks orang Melayu, ia
adalah hubungan antara keturunan untuk mendapat zuriat.
Perkahwinan adalah di antara institusi yang melanjutkan kemelayuan. Melalui
hubungan perkahwinan orang Melayu menyusur-galurkan zuriat dan keturunan.
Orang Melayu tidak melihat semata-mata dari pihak ibu sahaja atau pihak bapa
sahaja. Orang Melayu menyusur-galurkan keturunan melalui kedua-dua pihak, iaitu
pihak bapa dan ibu. Sistem ini dinamakan sebagai sistem bilateral atau duasisi atau
duanisab. Ada juga orang Melayu yang melihat kerabatnya dari satu nisab, iaitu
nisab ibu seperti orang Minangkabau atau nisab bapa seperti orang Batak.
Di atas tadi saya telah menyebut di antara psyche orang Melayu, dan saya
cuba memberi penjelasan dengan memetik fasal usul nama Melayu dari teks Adat
Raja-Raja Melayu. Kekuatan semangat, jiwa dan roh Melayu dan kemelayuan
dimantapkan oleh Islam, selain dari apa yang telah dihuraikan di atas.
Islam dan adat Melayu merupakan dua elemen yang saling melengkapi,
terintegrasi di dalam wadah kemelayuan. Kedua-dua bukan sahaja boleh wujud
sendirian, bukan sahaja dualistik, tetapi diintegrasi ke dalam wadah kemelayuan itu.
Wadah yang terintegrasi ini dapat dilihat secara luaran apabila kita melihat tafsiran
Melayu dan kemelayuan di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara
19
160. Sedangkan wadah batiniah atau dalamannya dapat dilihat di dalam seluruh
akal-budi, hati-budi Melayu itu.
Adat Melayu meletakkan keutamaan orang yang majlis, yang halus
pekertinya, santun bahasanya, berilmu, waras akalnya, adil dan saksama hati budi
serta budi bicaranya. Seluruh aspek akhlak dan moral Melayu itu terpancar daripada
karektor Melayu yang berkualiti tinggi. Kualiti atau nilai tertinggi yang perlu ada di
dalam diri seorang Melayu ialah nilai keilahian atau ketauhidan seperti yang dituntut
oleh Islam. Paling tidak kesempurnaan lahiriah ini membentuk seseorang menjadi
manusia, menjadi orang.
Di satu sisi seorang yang beradat ialah seorang yang tahu mengatur tuntutan
fardu „ainnya, dan sisi lain pula tahu tuntutan fardu kifayahnya. Seorang Melayu yang
beradat tahu di dalam paksi vertikal kehidupannya, ia tidak memutuskan hubungan
sejati lagi abadi dirinya dengan Allah, dan sentiasa pasrah kepada Allah. Secara
horizontal tahu akan kewujudan orang lain. Melayu tahu apa yang dimaksudkan
dengan habluminallah dan habluminannas.
Pancaran Islam ke dalam diri Melayu, khasnya ketamadunan Melayu di Alam
Melayu cukup kuat dan mantap. Islam berkembang melalui bahasa Melayu dan
perdagangan maritim, di samping menjadi agama rasmi kesultanan Melayu. Islam
memancar cahayanya ke dalam tradisi keintelektualan Melayu seperti yang
terkandung di dalam korpus kesusasteraan Melayu. Islam memancarkan cahaya
ketauhidan dan ilmu kepada Melayu dan kemelayuan sehingga sukar untuk
memisahkan Melayu dari Islam, dan Islam jadi faktor denitif kemelayuan. Benarlah
20
kata perbilangan adat Melayu untuk membuktikan betapa terintegrasi Melayu dan
Islam:-
Adat bersendikan hukum Hukum bersendikan syara‟ Syara‟ bersendikan kitabullah Perbilangan atau ungkapan di atas membuktikan betapa sintesis Melayu Islam
itu berlaku di dalam sistem perundangan Melayu. Namun di dalam menghadapi
cabaran kehidupan moden sama ada Melayu di Malaysia atau di Singapura, terdapat
ungkapan menyebut
Agama dijunjung Adat dipangku Moden dikelek
Melayu Singapura secara khasnya memiliki seorang pendeta bahasa dan
budaya iaitu Muhammad Ariff Ahmad yang telah menulis Nilam, Nilai Melayu
Menurut Adat (terbitan Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu,
Singapura. Buku ini adalah sumbangan besar beliau mengenai adat Melayu
Singapura yang sudah tentu merupakan jati diri Melayu Singapura.
5.0 Kesimpulan
Tata-susila, akhlak, moral dan etika yang dikemukakan di atas
menggambarkan suatu kehalusan manusia Melayu yang dicernakan melalui budi
dan adat. Namun amat disedari bahawa jati diri adalah suatu yang dinamik, boleh
dikenal pasti dari pelbagai sudut serta dimensi dan secara berterusan akan sering
21
ditakrif lagi. Kedinamikan tersebut amat bergantung pada perkembangan sosio-
budaya yang berlaku. Melayu sebagai satu konsep kebudayaan dan kemelayuan
sebagai unsur peradaban akan menghadapi cabaran perubahan. Adalah amat
diharapkan jati diri batiniah Melayu akan terus kekal. Namun seandainya bahasa
Melayu atau dialek Melayu ditarik keluar dari jiwa raga serta benak akal Melayu,
akan mengurangkan salah satu unsur kemelayuan. Begitu juga jika agama Islam
ditolak keluar dari jiwa dan roh Melayu, maka runtuhlah benteng utama kemelayuan.
Jarang terdapat di dunia jati diri seseorang itu ditakrif berdasarkan bahasa dan
agama. Konsep etnisiti yang digunakan di tempat lain tidak dijiwai oleh faktor
bahasa dan agama.
Kepustakaan 1. Adelaar, K.A, 1995, “Borneo as a Crossroad for Comparative Austronesian
Linguistic”, dlm. Belwood. P, Fox. J and Tryon. D, eds, The Austronesian, Department of Anthropology, PSPAS, ANU, Canberra, pp. 75-95.
2. Ahmad Hakimi Khairuddin, 1998, “Arkeologi Pra-Sejarah dan Pengajian Melayu”, dlm. Hashim Awang, Zahir Ahmad dan Zainal Abidin Borhan, ed, Pengajian Sastera dan Sosio-Budaya Melayu: Memasuki Alaf Baru, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
3. Andaya, L.Y, 2008, Leaves of the Same Tree, Trade and Ethniaty in the Straits of Melaka, Universiti of Hawaii Press, Honolulu.
4. Bellwood. P, 1997, Prehistory of the Indo-Malaysian Archipelago, University of Hawaii Press, Honolulu.
5. Braginsky. V.I, 2003, Satukan Hangat dan Dingin, Kehidupan Hamzah Fansuri: Pemikir dan Penyair Sufi Melayu, DBP, Kuala Lumpur.
6. Collins. J.T, 1995, “Pulau Borneo Sebagai Titik Tolak Pengkajian Sejarah Bahasa Melayu”, Dewan Bahasa, 39, 868-879.
7. Drakard, Jane, 1999, A Kingdom of Words: Language and Power ini Sumatera, Oxford University Press Kuala Lumpur.
22
8. Gallop, Annabel Teh, 1994, The Legacy of Malay Letters, The British Library, London.
9. Harun Mat Piah, 2001, Pantun Melayu, Bingkisan Permata, Yayasan Karyawan, Kuala Lumpur.
10. Ismail Hussein, 1990, “Between Malay and National Culture”, Malay Literature 3, 2, 54-74.
11. Jelani Harun, 2003, Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu, DBP, Kuala Lumpur.
12. Milner, Anthony, 2008, The Malays, Wiley-Blackwell, United Kingdom.
13. Mohammad Abu Bakar, 2000, “Islam Dalam Pembinaan Tamadun di Malaysia”, dlm. Mohd Taib Osman dan A. Aziz Deraman, ed, Tamadun Islam di Malaysia, DBP, Kuala Lumpur, hal. 21-65.
14. Muhammad Haji Salleh, 1991, Yang Empunya Ceritera: Mind of The Malay Author, DBP, Kuala Lumpur.
15. ____________________, 1999, Menyeberang Sejarah, DBP, Kuala Lumpur.
16. ____________________, 2000, Puitika Sastera Melayu, DBP, Kuala Lumpur.
17. Nik Hassan Suhaimi, 1993, “Menyusuli Asal Usul Orang Melayu: Dari Perspektif Arkeologi Semenanjung Malaysia”, dlm. Nik Hassan Suhaimi, Mohd. Samsuddin dan Kamaruzzaman Yusoff, ed, Sejarah dan Proses Pemantapan Negara Bangsa, Prosiding Kongres Sejarah Malaysia Kedua, Jilid II, Persatuan Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur.
18. Reid, Anthony, 1993, Southeast Asia in the Age of Commerce, Yale University Press, New Haven.
19. ___________, 2004, “Understanding Melayu (Malay) as a Source of Diverse Modern Identities”, dlm. Barnard, Timothy, ed, Contesting Malayness, Malay Identity Across Boundaries, Singapore University Press, National University of Singapore.
20. Shamsul, A.B, 2004, “A History of an Identity, an Identity of a History: The Idea and Practice of Malayness Malaysia Reconsidered, dlm Barnard, Timothy ed, Contesting Malayness, Malay Identity Across Boundaries, Singapore University Press, National University of Singapore.
21. Tenas Effendy, 2004, Tunjuk Ajar Melayu, Balai Kajian Pengembangan Budaya Melayu dan Penerbit Adicipta, Jogjakarta.
23
22. ____________, 2007, Khazanah Pantun Melayu Riau, DBP, Kuala Lumpur.
23. Teuku Iskandar, 1995, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad, Malindo Printers, Shah Alam, Selangor.
24. Zainal Kling, 1997a, “Adat Collective Self Image”, dlm. Hitchock and King, Victor, ed, Images of Malay Indonesian Identity, Oxford University Press, Kuala Lumpur, pp. 45-52.
25. ___________, 1997b, “Adat: Dasar Budaya Melayu”, dlm. Parnikel, Boris, ed, Kebudayaan Nusantara Kepelbagaian Dalam Kesatuan, DBP, Kuala Lumpur, hal. 42-65.