Bab 1 Pengenalan

20
BAB 1 PENGENALAN 1.0 Pendahuluan Di dalam masyarakat yang serba moden ini, proses pembelajaran diuruskan dengan cara yang lebih sistematik terutamanya dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran. Tanpa proses yang sistematik ini, proses pengajaran dan pembelajaran berkesan tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan sempurna. Menurut Khalid (1993), pembelajaran berkesan bermakna satu usaha yang teratur, bersistem, bertertib serta optimum yang menyatupadukan dan memanfaatkan kesemua komponen pembelajaran untuk kejayaan paling maksima. Salah satu tanggungjawab sebagai seorang guru ialah perlu memikirkan kaedah pengajaran yang efisyen dan berkualiti supaya proses pengajaran dan pembelajaran itu menjadi lebih berkesan. Seorang guru perlu memikirkan kaedah pengajaran yang sesuai untuk

Transcript of Bab 1 Pengenalan

BAB 1

PENGENALAN

1.0Pendahuluan

Di dalam masyarakat yang serba moden ini, proses pembelajaran diuruskan dengan cara yang lebih sistematik terutamanya dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran. Tanpa proses yang sistematik ini, proses pengajaran dan pembelajaran berkesan tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan sempurna. Menurut Khalid (1993), pembelajaran berkesan bermakna satu usaha yang teratur, bersistem, bertertib serta optimum yang menyatupadukan dan memanfaatkan kesemua komponen pembelajaran untuk kejayaan paling maksima. Salah satu tanggungjawab sebagai seorang guru ialah perlu memikirkan kaedah pengajaran yang efisyen dan berkualiti supaya proses pengajaran dan pembelajaran itu menjadi lebih berkesan. Seorang guru perlu memikirkan kaedah pengajaran yang sesuai untuk membantu murid menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul dalam pembelajaran mereka.

Guru bahasa sebenarnya memikul tanggungjawab yang besar serta memerlukan kesabaran yang tinggi dalam mengurus pengajaran dan pembelajaran bahasa terutamanya Bahasa Melayu. Bukan semua guru terutamanya guru bahasa bahasa berjaya mencapai objektif yang mereka inginkan setelah selesai mengajar bahasa kepada murid-muridnya. Begitu juga dengan murid, tidak ramai juga yang berjaya mengikuti serta memahami apa yang di ajar oleh guru mereka walaupun telah di ajar berulang-ulang kali.

Menurut Koh Boh Boon (1989), bahasa ialah kunci pintu khazanah ilmu manakala bacaan ialah jaminan untuk mendapatkan ilmu. Dalam masyarakat yang serba moden ini masih terdapat ramai lagi murid yang buta huruf, di mana mereka tidak tahu membaca serta menulis dalam bahasa Melayu. Menurut Lapiran Pelan Indu Pembangunan Pendidikan 2006-2010, kajian Kementerian Pelajaran Malaysia mendapati seramai 165 000 murid di Negara ini masih buta huruf. Dari jumlah tersebut, 125 000 daripadanya adalah murid-murid sekolah rendah dan selebihnya pula adalah di sekolah menengah. Mereka yang mempunyai pencapaian membaca dan menulis yang rendah ini kemudiannya diberi label murid-murid lembam oleh para pendidik (Jais Sahok dan Mat Nor Hussin, 1990).

Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran teras di semua sekolah rendah dan menengah mengikut apa yang dinyatakan di dalam Akta Pendidikan 1996. Tujuan utama kurikulu Bahasa Melayu digubal ialah untuk melahirkan insan-insan yang cekap dalam berbahasa manakala matlamat kurikulum Bahasa Melayu pula adalah untuk melengkapkan murid-murid dengan ketrampilan berbahasa dan berkomunikasi. Bukan itu sahaja, BM telah dinobatkan sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi Negara Malaysia. Malah menurut catatan dalam Artikel 152 Perlembagaan 1957, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan Akta Pelajaran 1961, Bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa pengantar utama pendidikan persekolahan dan institusi pengajian tinggi Negara.

Bagi memastikan setiap murid terus dapat menimba ilmu pengetahuan, membaca merupakan satu kemahiran yang amat penting untuk dikuasai dan dipelajari. Sekiranya murid tidak dapat menguasai kemahiran ini, pastinya sukar bagi mereka untuk meneruskan pengajiannya dalam dunia pendidikan. Menurut Buku Panduan KIA2M, defisit akademik akan berlaku sekiranya sekiranya kegagalan menguasai kemahiran asas membaca ini berlaku dari peringkat awal lagi terutamanya dalam kalangan murid sekolah rendah.

Kementerian Pelajaran Malaysia begitu bersungguh-sungguh berusaha bagi menghapuskan gejala ini dengan melaksanakan pelbagai kaedah dan menelan belanja yang tinggi. Kegagalan serta kelemahan murid dalam menguasai kemahiran membaca pada peringkat rendah perlu dilihat dengan lebih serius selain memerlukan kaedah-kaedah yang tertentu untuk mengatasinya. Gejala ini jika tidak diatasi dengan segera dan bersungguh-sungguh boleh memberikan kesan yang buruk kepada murid terutamanya dari segi akademik dan social. Ini kerana jika mereka ketinggalan dalam bidang akademik atau memperolehi pencapaian yang rendah dalam mata pelajaran bahasa Melayu secara tidak langsung mereka juga akan memperolehi pencapaian yang rendah dalam mata pelajaran lainnya. Ini akan menyebabkan mereka menjadi rendah diri dan seterusnya akan menyebabkan mereka kurang berminat untuk belajar, atau terus tidak suka untuk ke sekolah. Ketinggalan menguasai kemahiran membaca mempengaruhi penguasaan dan pencapaian dalam mata-mata pelajaran lain (Khathijah Rohani bt Mohd Yunus dan Zalizan Mohd Jelas, 1993). Akibatnya juga, daripada segi psikologi, keadaan ini akan menyebabkan mereka berasa kecewa, bosan dan tidak gemar membaca (Noran Fauziah Yaakub, 1992).

1.1Latar Belakang Kajian

Proses pengajaran dan pembelajaran merupakan proses yang terpenting di dalam bilik darjah. Kejayaan atau kegagalan proses pengajaran dan pembelajaran bergantung sepenuhnya di atas bahu setiap orang guru yang bertanggungjawab memegang amanah untuk melaksanakan proses tersebut. Menurut Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman (2008), guru merupakan teras kepada pelaksanaan proses pendidikan walaupun proses pendidikan itu boleh juga berlangsung tanpa kehadiran guru.

Selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, maka guru memainkan peranan yang sangat besar dalam merealisasikan hasrat yang terkandung dalam falsafah itu sendiri. Falsafah Pendidikan Negara ini amat penting dalam pelaksanaan pendidikan Negara. Ianya menjadi panduan kepada semua pihak untuk memastikan perterjemahannya dapat mencapai hasrat pendidikan Negara untuk untuk melahirkan warganegara yang cemerlang dalam semua segi dan seterusnya menjadi modal insan yang bakal mewarisi kedaulatan Negara Malaysia.

Perlu kita semua fahami, tidak semua murid yang berada di sekolah mempunyai pencapaian akademik yang sama. Justeru, tidak dapat kita nafikan wujudnya sebahagian kecil murid yang lemah dalam pelbagai bidang terutamanya kemahiran membaca. Sebagai seorang guru yang bertanggungjawab terhadap murid-muridnya, pelbagai kaedah dan pendekatan perlu dilakukan untuk melahirkan murid-murid yang boleh menguasai kemahiran membaca. Walau bagaimana sekali pun usaha yang guru laksanakan tetapi masih terdapat murid-muridnya yang ketinggalan dalam menguasai kemahiran tersebut.

Menyedari hakikat tersebut maka kajian ini dijalankan untuk membantu merawat dan membimbing murid menguasai kemahiran membaca seperti murid yang lain. Kajian ini hanya hanya tertumpu kepada kemahiran membaca sahaja dengan melihat kecelaruan berbahasa yang dilakukan oleh murid ketika aktiviti mengeja, menggabung, membaca dan membunyikan suku kata-suku kata terbuka, tertutup dan gabungan suku kata tersebut.

Kajian ini dijalankan berikutan masalah membaca murid Tahun 2 Bestari di Sekolah Kebangsaan Guar Kepayang, Pendang, Kedah Darul Aman iaitu sebuah sekolah Gred A Luar Bandar. Seramai 28 orang murid Tahun 2 telah menduduki Ujian Saringan 1 Literasi iaitu suatu bentuk ujian yang ditentukan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah NKRA Pendidikan. Daripada jumlah yang menduduki ujian tersebut, seramai 5 orang murid telah dipilih sebagai murid LINUS kerana murid-murid ini telah dikenalpasti gagal menguasai kebanyakan konstruk soalan yang disediakan terutamanya tidak boleh membaca perkataan-perkataan yang terdiri daripada suku kata-suku kata terbuka (KV), tertutup (KVK) dan gabungan suku kata terbuka dan tertutup (KV+KVK).

Berfokuskan kepada keputusan ujian saringan tersebut, keputusan ujian yang telah dijalankan mengikut keperluan pihak Kementerian Pelajaran itu telah digunakan sebagai data untuk dianalisis bagi melihat pencapaian dan kebolehan murid tersebut. Keputusan ujian saringan ini juga telah dijadikan sebagai bantuan dalam proses memilih sampel kajian untuk dilaksanakan proses rawatan yang telah dijalankan mengikut tahap kebolehan dan pencapaian mereka.

1.2.Pernyataan Masalah

Pendekatan yang selalu digunakan oleh guru Bahasa Melayu adalah pengajaran berbentuk kelas, berpusatkan guru dan latih tubi yang kurang berfokus. Tinjauan awal melalui pemerhatian mendapati bahawa sebilangan murid masih salah ketika membaca perkataan yang mempunyai gabungan suku kata terbuka, tertutup dan gabungan kedua-dua suku kata tersebut. Walaupun hampir keseluruhan murid di dalam kelas yang terlibat boleh menguasai kemahiran membaca perkataan yang mempunyai gabungan suku kata tersebut tetapi terdapat sebilangan kecil murid masih tidak dapat membacanya dengan betul sedangkan pengetahuan mengenai bunyi suku kata gabungan tersebut sudah ada sejak mereka berada di tahun satu lagi.

Hasil pengajaran dan pembelajaran yang lalu, saya dapati terdapat murid yang gagal membaca dengan betul. Kelemahan muridmurid ini akan mengganggu proses pembelajaran mereka dalam semua bidang ilmu. Keadaan ini adalah disebabkan oleh pelbagai faktor seperti faktor genetik, persekitaran yang tidak memberangsangkan untuk pembelajaran yang baik, kurang dorongan dari keluarga dan masyarakat sekitar. Selain itu, rata-rata pelajar yang lemah ini didapati tidak mendapat pendedahan pendidikan awal yang sempurna disebabkan kemiskinan dan sebagai.

1.3Kerangka Konseptual Kajian

Kajian yang dijalankan oleh saya ini menunjukkan pembolehubah bebas adalah pendekatan koperatif. Pembolehubah bersandar bagi kajian ini pula adalah dalam bentuk hasil pembelajaran atau penguasaan kemahiran iaitu dari segi domain kognitif dan afektif. Domain kognitif adalah kebolehan murid menguasai kemahiran membaca manakala domain afektif pula merangkumi sikap dan penerimaan murid terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu. Rajah 1 di bawah menunjukkan secara kasar kerangka konsep untuk kajian yang saya jalankan ini.

Pembelajaran Tradisional

Pembelajaran Koperatif

Tingkatkan kemahiran membaca gabungan suku kata-suku kata terbuka, tertutup dan gabungan kedua-duanya melalui permainan Sahibba Linus.

Tingkatkan pencapaian murid dalam kemahiran membaca.

Mengubah sikap dan minat murid terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu.

Rajah 1 : Kerangka konsep kajian

1.4Tujuan Kajian

Memandangkan kepentingan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Bahasa Melayu amnya dan kemahiran membaca khasnya maka kajian ini bertujuan untuk meninjau keberkesanan penggunaan teknik latih tubi melalui kaedah permainan Sahibba Linus, dan keberkesanan pembelajaran koperatif terhadap pencapaian serta sikap murid Tahun 2 Bestari terutamannya murid Linus dalam menguasai kemahiran membaca gabungan suku kata bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.

Di samping itu, kajian yang dijalankan ini juga bertujuan untuk mengenal pasti sama ada kaedah pembelajaran koperatif melalui teknik latih tubi menggunakan kaedah permainan lebih berkesan berbanding dengan cara pengajaran dan pembelajaran tradisional serta peningkatan terhadap sikap dan minat murid yang menjadi sampel kajian terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu secara amnya.

1.4.1Objektif Kajian

Secara terperincinya, kajian ini dijalankan untuk mencapai objektif seperti berikut :

i.Murid dapat membunyi dan menyebut suku kata-suku kata hasil dari cantuman kad-kad suku kata dengan jelas.

ii.Murid dapat mengingat bunyi-bunyi yang dihasilkan dari gabungan suku kata yang dicantumkan tanpa bantuan gambar atau ilustrasi.

iii.Murid dapat menyebut dan membunyikan perkataan-perkataan gabungan suku kata terbuka, tertutup dan gabungan kedua-duanya dengan lancer dan jelas.

iv.Murid dapat meneruskan proses pembelajaran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu di dalam kelas arus perdana.

1.4.2Persoalan Kajian

Kajian ini dijalankan untuk melihat sejauh mana keberkesanan penggunaan teknik latih tubi yang diberikan nafas baru berkonsepkan permainan cantuman kad-kad suku kata dan gambar atau ilustrasi yang dinamakan Sahibba Linus dalam modul pembelajaran dapat meningkatkan kemahiran membaca gabungan suku kata terbuka, tertutup dan gabungan kedua-duanya di kalangan murid-murid Linus Tahun 2 Bestari. Secara khususnya, kajian ini cuba mencari jawapan kepada persoalan berikut :

i.Sejauh manakah amalan pendekatan pembelajaran koperatif di dalam kelas dapat meningkatkan kemahiran membaca murid.

ii.Sejauh manakah penggunaan kaedah permainan cantuman kad dapat meningkatkan tahap mengingat murid dalam kemahiran membaca.

iii.Adakah sikap dan amalan pengajaran guru membantu mempengaruhi minat murid untuk mengikuti proses pembelajaran.

1.5Rasional Kajian

Salah satu masalah utama yang sering dihadapi oleh guru-guru mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah ialah terdapat murid yang tidak dapat menguasai kemahiran membaca. Kekurangan atau kegagalan murid menguasai kemahiran membaca ini bukan sahaja boleh mengganggu proses pengajaran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja tetapi juga memberi kesan sampingan kepada mata pelajaran yang lainnya Justeru, kaedah pengajaran lain yang lebih berkesan perlu digunakan untuk mengatasi masalah ini.

Pengajaran Bahasa Melayu merupakan satu cabang utama dalam kurikulum pendidikan di Malaysia. Ianya bukan sahaja menjadi mata pelajaran yang wajib dipelajari tetapi menjadi bahasa pengantar utama di sekolah serta pusat-pusat pengajian di Negara kita selain menjadi bahasa rasmi yang dipertuturkan oleh setiap warganegara. Dalam pengajaran Bahasa Melayu, khasnya kemahiran membaca, terdapat pelbagai kaedah yang sesuai digunakan seperti kaedah mengeja, kaedah soal jawab, kaedah perbandingan, kaedah latih tubi, kaedah induktif dan sebagainya. Keperluan kepada kaedah-keadah yang betul dan sesuai tidak boleh dipandang remeh dalam satu-satu sistem pembelajaran yang ideal.

1.6Kepentingan Kajian

Hasil daripada kajian ini akan dapat digunakan untuk membantu penyelidik :

i.Mengetahui sejauh manakah keberkesanan penggunaan kaedah permainan kad cantuman Sahibba Linus dalam meningkatkan kemahiran murid ketika menjalani proses pembelajaran.

ii.Merancang pelbagai aktiviti pengajaran melalui teknik permainan serta pelbagai kaedah lain yang boleh membantu meningkatkan tahap penguasaan, pemahaman serta minat murid dalam setiap mata pelajaran yang di ajar.

1.7Batasan Kajian

Kajian ini hanya tertumpu kepada 5 orang sampel kajian yang menjadi sampel kajian. Kelima-lima sampel ini terdiri daripada murid Tahun 2 Bestari di Sekolah Kebangsaan Guar Kepayang. Kesemua mereka ini merupakan murid Linus iaitu murid-murid yang gagal dalam Ujian Saringan 1 Linus. Kajian ini juga tidak mengawal beberapa pembolehubah seperti status ekonomi, sosial, guru serta pembolehubah lain yang mungkin boleh menjejaskan kajian ini. Selain daripada itu, kajian ini juga tidak menggunakan sebarang peruntukan penyelidikan yang khusus. Kajian ini dijalankan mengikut peruntukan waktu mengajar yang telah ditentukan oleh pihak pentadbiran sekolah serta waktu-waktu yang terluang sahaja.

1.8Tafsiran Istilah

Berikut adalah merupakan tafsiran atau define kepada istilah-istilah yang digunakan di dalam kajian ini.

1.8.1Pendekatan Koperatif

Kajian yang saya jalankan ini menggunakan pendekatan koperatif melalui kaedah permainan secara latih tubi. Pendekatan pembelajaran ini merupakan satu set proses yang membantu murid berinteraksi antara satu sama lain untuk memcapai satu matlamat khusus yang mempunyai kaitan dengan isi kandungan sesuatu mata pelajaran.

1.8.2Teknik Latih Tubi

Teknik latih tubi berfungsi sebagai persediaan latihan dan peneguhan yang secukupnya kepada murid-murid terhadap sesuatu pembelajaran secara spesifik agar murid-murid boleh menyebut dan mengingati setiap maklumat yang diterima apabila diminta. Ia sebenarnya merupakan aktiviti pengulangan maklumat atau fakta yang telah dipelajari. Ia bertujuan untuk mencapai tahap penguasaan kemahiran serta menjamin kekekalannya dan sesuai digunakan untuk pengajaran Bahasa Melayu. Namun begitu, teknik latih tubi ini mungkin akan membisankan jika ianya dilakukan secara berterusan tanpa sebarang tambahan aktiviti yang boleh mengembalikan tumpuan murid terhadap pelajaran. Untuk mengelak supaya tidak berlaku kebosanan dan kurangnya kosentrasi murid, pelbagai bentuk latih tubi boleh diolah untuk diamalkan seperti menjadikannya dalam bentuk permainan.

Mengikut teknik latih tubi ini, perhatian mestilah diberikan kepada 5 aspek kebolehan menggunakan bahasa iaitu :

a. Sebutan

b. Tatabahasa

c. Perbendaharaan kata

d. Kefasihan

e. Kefahaman

1.8.3Sahibba Linus

Sahibba Linus merupakan permainan berteraskan teknik latih tubi. Melalui permainan ini, kad-kad suku kata, ilustrasi atau gambar akan dicantumkan menggunakan petak-petak atau tapak-tapak yang disediakan sebagai panduan kepada murid bagi mendapatkan cantuman yang betul. Setiap kali cantuman tersebut betul, murid akan menyebut berulang-ulang kali perkataan yang terhasil daripada cantuman itu.

1.8.4Pencapaian

Pencapaian yang digunakan dalam kajian saya ini diukur dengan menggunakan data perbandingan ujian pra dan ujian pos. Setiap keputusan ujian dianalisis menggunakan format pemarkahan seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1. Gred pemarkahan tersebut juga digunakan oleh semua mata pelajaran yang di ajar di SK Guar Kepayang.

Markah

Gred

Tafsiran

80 100

A

Baik

60 79

B

Sederhana

40 59

C

Lemah

20 39

D

Sangat Lemah

0 19

E

Gagal

Jadual 1 : Gred Pemarkahan mengikut bahagian / tafsiran

1.9Kesimpulan

Secara keseluruhannya pada bab ini saya telah menerangkan mengenai pengenalan serta latar belakang kajian, pernyataan masalah, tujuan kajian dijalankan, rasional saya menjalankan kajian ini, kepentingan kajian, batasan yang ada ketika menjalankan kajian dan definisi bagi istilah yang saya gunakan dalam kajian ini. Kajian ini dijalankan untuk meningkatkan kemahiran membaca perkataan gabungan suku kata terbuka dan tertutup secara latih tubi dengan menggunakan permainan Sahibba Linus khasnya dan menaik minat murid untuk meningkatkan penguasaan kemahiran membaca secara amnya.