Assignment Bbk4201

download Assignment Bbk4201

of 28

Transcript of Assignment Bbk4201

BBK4201 KARYA AGUNGHIKAYAT HANG TUAH

ISI KANDUNGAN

Tajukm/s

Pengenalan 1

Maksud Karya Agung3

Jenis-jenis Karya Agung4

Sinopsis Bab 2 Hikayat Hang Tuah - Hang Tuah Menjadi Hamba11

Penerapan Karya Agung dalam Pendidikan (Unsur Kognitif)13

Objektif Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu16

Unsur Emotif dalam Hikayat Hang Tuah18

Perwatakan19

Penerapan Nilai Murni di Sekolah20

Nilai Murni Merentas Kurikulum21

Nilai Murni Merentas Kokurikulum23

Aplikasi Teks dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu24

Kesimpulan26

Rujukan28

1.0 PENGENALAN

Tamadun sesuatu bangsa adalah warisan daya cipta bangsa itu yang dapat dikesani dan dihayati melalui karya-karya terdahulu yang ternukil oleh bijak pandai: karyawan, seniman, pemikir, ahli falsafah dan ilmuan bangsa itu (Hassan Ahmad; 2005). Karya-karya ini dianggap sebagai karya agung. Oleh itu, karya agung dalam konteks dunia Melayu boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya tahan zaman, yakni yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu. Karya merupakan satu hasil kesenian yang amat mengagumkan.

Kesenian wujud, berkembang dan diturun temurunkan dalam atau melalui tradisi-tradisi sosial atau masyarakat. Kesenian adalah milik masyarakat, dilihat sebagai cara hidup yang bertalian dengan keindahan dari para ahli masyarakat. Kesenian ini menjadi tunjang kepada kebudayaan masyarakat Melayu sejak turun temurun lagi. Dengan adanya kesenian seperti ini identiti masyarakat Melayu lebih terserlah dan dikenali ramai. Warisan seni tradisional di kalangan orang Melayu disampaikan secara lisan dari generasi kepada satu generasi, namun artis sebagai individu yang menghasilkan mempunyai ruang untuk menggalakan kreativiti dan mempertahankan nilai-nilai estetik karya seni tersebut.

MAKSUD KARYA AGUNG

KARYA AGUNG

Karya Agung ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Kita mengenal tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.

KARYA AGUNG MELAYU

Karya Agung Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealism, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera ini.Karya Agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa atau etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, atau orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan karya itu. Dari segi ini sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira di manakah daerah asalnya di Dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-menurun.

JENIS-JENIS KARYA AGUNG MELAYU

1. Bustan al-Katibin:Bustan al-Katibinmerupakan sebuah karya paling awal tentang bahasa Melayu yang disusun oleh seorang ilmuwan dan budayawan Melayu ulung, Raja Ali Haji. Kitab ini selesai dikarang pada 15 September 1850. Raja Ali Haji menekankan bahawa perkara paling utama yang harus dipelajari oleh orang Melayu tentang bahasanya ialah ilmu yang terkandung di dalamnya, kerana bahasa padanya ialah alat dalam sistem pemikiran yang digunakan secara kreatif oleh manusia untuk mencapai ilmu yang benar tentang alam ciptaan Allah. Dengan mengikuti adab dan syarat menuntut ilmu, pembelajaran bahasa Melayu mampu melahirkan penutur yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan yang mutlak dengan ilmu yang sahih dan benar.

2. Cerita Jenaka Melayu: Dalam edisi karya agung ini, termuat sebelas buah cerita jenaka Melayu, iaitu Hikayat Sang Kancil, Pelanduk dengan Anak Memerang, Pak Kaduk, Lebai Malang, Pak Pandir, Pak Belalang, Si Luncai, Mat Jenin, Hikayat Pelanduk Jenaka, Hikayat Musang Berjanggut dan Hikayat Abu Nawas. Fungsi Cerita Jenaka bukan sahaja sekadar hiburan malah menjadi alat penyampaian ilmu yang biasanya disampaikan oleh tukang cerita dan diperturunkan dari generasi ke generasi. Begitulah salah satu cara orang Melayu dahulu kala menyampaikan sesuatu ilmu atau pengajaran, iaitu melalui cerita. Misalnya daripada cerita Pak Kaduk, pengajaran atau ilmu yang ditinggalkan ialah Menang Sorak Kampung Tergadai. Melalui cerita ini, kita dapat melihat bagaimana orang desa yang tidak berkuasa tidak mempunyai pilihan apabila berhadapan dengan pihak yang berkuasa sehingga dia terpaksa menyerahkan atau menukarkan haknya atau asetnya (iaitu ayam sabung yang jaguh) dengan aset yang tidak berharga milik pihak berkuasa. Cerita ini menggambarkan kebijaksanaan rakyat, iaitu orang Melayu mentafsirkan keadaan sosial dan struktur kuasa masyarakatnya.

3. Cerita Lipur Lara: Lima buah cerita lipur lara yang dimuatkan dalam buku ini adalah cerita lisan yang dirakamkan oleh pegawai-pegawai Inggeris seawal tahun 1886, bertujuan mendalami ilmu tentang orang Melayu. Cerita-cerita yang dipersembahkan oleh penglipur lara dengan iringan gesekan rebab dan ketukan belanga atau batil begitu berpengaruh dan bersemarak dalam masyarakat Melayu sehinggalah sampai ke penghujung abad ke-20.

4. Hikayat Abdullah: Selesai dikarang pada 3 Mei 1843 di Kampung Melaka, Singapura, pada zaman dunia Melayu menghadapi cabaran ekonomi, politik & budaya yang luar biasa dari Barat (Eropah).Abdullah Munsyi dianggap sebagai pengkritik sosial zamannya yang cuba membawa wawasan baharu supaya orang Melayu mengubah acuan fikiran & kepercayaan lama yg tidak progresif. Beliau menjadi tokoh yg memperkenalkan genre autobiografi & genre jurnalistik dalam sejarah kesusasteraan Melayu. Buku ini mengisahkan pengalaman hidupnya sepanjang berada di Melaka & Singapura, yang merupakan beberapa catatan sejarah yang amat penting.

5. Hikayat Aceh: Dihasilkan pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Aceh (1606-1636) sewaktu berlakunya pertumbuhan fikrah dan wacana ilmu yang pesat dalam sejarah & kesusasteraan Melayu. Aceh merupakan pusat tamadun Melayu-Islam yang besar & kuat selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511. Dalam hikayat ini pembaca dapat melihat sejarah kebesaran kerajaan Melayu-Islam Aceh pada zaman itu, perhubungannya dengan dunia luar, khususnya dengan negeri-negeri dari dunia Asia-Barat, pertembungannya dengan kuasa-kuasa luar dari Eropah (Portugis & Belanda). Karya ini dikarang dalam bahasa Melayu, bukan dalam bahasa Aceh atau bahasa Arab, membuktikan bahawa bahasa Melayu menguasai rantau ini dalam pertumbuhan kegiatan penulisan & pemikiran yang luar biasa hasil tamadun yang tinggi.

6. Hikayat Hang Tuah: Dikarang sekitar tahun 1641-1736. Satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita, kebolehan, dan sikap hidup orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya & bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat bangga diri, keberanian, kepintaran dan budi bahasa halus, yang mendapat penghormatan dan pengiktirafan daripada bangsa dan kerajaan asing, yakni sumber hubungan luar ketamadunan Melayu pada zaman prapencerobohan Portugis di Melaka. Pengarang mengakhiri karyanya dengan meninggalkan semangat yang kekal dalam minda Melayu hingga hari ini : Takkan Melayu hilang di dunia

7. Hikayat Inderaputra: Sebuah karya agung Melayu genre cerita lipur lara yang terkenal dan tersebar luas pada abad ke-17 hingga ke-19, terbukti dengan terdapatnya naskhah karya ini dalam versi-versi Aceh, Jawa, Lombok, Bugis, Makasar, Cam dan Mindanao. Inderaputera, watak utama hikayat ini, diandaikan sebagai seorang pengembaraan sufi mencari kebenaran Ilahi. Di samping kisah percintaan dan pengembaraan, karya ini merupakan sebuah karangan yang penuh dengan nada mengajar dan sebuah epik yang menyanjung seorang wira yang berjaya melepasi pelbagai rintangan sebelum mengasaskan dinasti raja tempatan.

8. Hikayat Merong Mahawangsa: Hasil penulisan sejarah tradisional, terkarang pada sekitar tahun 1800-an, yang menyumbang keterangan tentang asal usul keturunan raja-raja Kedah dari mitos & legenda. Penulisan ini menyatukan mitos & realiti sejarah, antaranya: pemberontakan rakyat menentang Raja bersiung, kisah Raja Buluh Betung, perhubungan kerajaan Kedah dan Siam, proses pengislaman raja Kedah dan lain-lain.

9. Hikayat Panji Jayeng Kusuma:Hikayat Panji Jayeng Kusuma (HPJK)merupakan sebuah cerita panji yang ditulis dalam bahasa Melayu. Unsur-unsur utama yang diketengahkan dalam buku ini ialah percintaan, pengembaraan dan peperangan. Percintaan dalam HPJK berlangsung antara anak-anak raja dari beberapa buah kerajaan, seperti Kuripan, Daha, Gagelang, Singasari, Manjapahit (Majapahit) dan Lasem. Semua anak raja ini telah ditunangkan sesama mereka sejak kecil lagi. Raden Inu Kerta Pati, sebagai wira dalam cerita ini telah ditunangkan dengan Raden Galuh Candera Kirana, wirawatinya. Namun, akibat tersilap mendapat gambaran tentang rupa paras Raden Galuh Candera Kirana, Raden Inu Kerta Pati telah memutuskan pertunangan mereka, sebaliknya berkahwin pula dengan anak raja Singasari, Raden Galuh Lasmi Ningrat. Walau bagaimanapun, Raden Inu Kerta Pati akhirnya mengetahui rupa paras sebenar Raden Galuh Candera Kirana selepas berangkat ke Daha untuk menghadiri perkahwinan Raden Galuh Candera Kirana. Raden Inu berazam untuk mengambil semula tunangnya itu, tetapi gagal apabila Raden Galuh Candera Kirana menghilangkan diri. Ekoran daripada peristiwa itu bermulalah pengembaraan mereka mencari Raden Galuh Candera Kirana. Sepanjang pengembaraan ini, berlaku pelbagai peristiwa yang menarik seperti peperangan, penjelmaan, penyamaran dan sebagainya.

10. Hikayat Raja Pasai: Kemungkinan dikarang dalam jangka masa dari tahun 1211-1400. Mencakupi suatu zaman dalam sejarah Pasai, Sumatera Utara. Di situ agama Islam mula-mula bertapak pada abad ke-13. Walaupun hikayat ini mengandungi unsur-unsur bersifat mitos setempat tetapi terdapat juga yang didasarkan kepada fakta sejarah, yang dibuktikan dengan penemuan nisan Malikul Salih (nama yang diberikan kepada Merah Silau sesudah memeluk Islam). Karya ini memaparkan kisah kelahiran & kejatuhan sebuah kerajaan Melayu yang dapat dijadikan pengajaran untuk generasi akan datang.

11. Pantun Melayu Bingkisan Permata: Karya ini menghimpunkan 4000 pantun, puisi istimewa ciptaan orang Melayu. Buku ini memuatkan pelbagai jenis & bentuk pantun, yang meliputi tema & isi yang luas & pelbagai. Edisi ini juga menyediakan tiga jenis indeks, iaitu Indeks Baris Pertama, Indeks Maksud dan Indeks Kata Rujuk untuk memudahkan pengguna membuat rujukan.

12. Sulalat as-Salatin: Dikenali juga sebagai Sejarah Melayu. Naskhah tertua ini pernah ditemui dikarang di Johor pada tahun 1612. Bendahara Paduka Raja Tun Seri Lanang dititahkan Sultan mengarangdiperbuatkan perteturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya, supaya didengar oleh anak cucu kita kemudian dari kita dan diketahuinyalah segala perkataan, syahadan beroleh faedahlah mereka itu daripadanya. Episod-episod yang dipaparkan memberi maklumat penting tentang raja-raja Melayu serta adat istiadatnya, juga peristiwa-peristiwa bersejarah dalam kerajaan Melayu Melaka dan tanah jajahannya.

13. Syair Ken Tambuhan: Selesai disalin pada 20 September 1840 di Kampung Melayu, Negeri Makasar. Sebuah Cerita Panji yang dikarang dalam bentuk syair ini mengisahkan kisah percintaan & pengembaraan Raden Inu Kerta Pati dan Raden Galuh Candera Kirana. Walaupun cerita ini berasal dari Tanah Jawa, temanya merentas sempadan etnik dan budaya setempat, yang membuktikan bahasa Melayu telah mencapai taraf sebagai bahasa supraetnik sejak ratusan tahun lamanya.

14. Tuhfat an-Nafis: Menceritakan sejarah Kerajaan Riau-Lingga, sebuah kerajaan Melayu selepas kejatuhan kerajaan Kesultananan Melaka. Menurut pengkaji, karya ini merupakan karya sejarah Melayu yang paling kompleks dan canggih antara semua karya Melayu yang dikarang sebelum abad ke-20. Latar peristiwa meliputi jangka waktu dari awal abad ke-17 hingga pertengahan abad ke-19. Dari segi geografi,Tuhfat al-Nafismeliputi kerajaan Melayu di Semenanjung Melayu, Kalimantan Barat, Sulawesi Selatan, dan Betawi.

15. Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut: Dipercayai sebagai naskhah undang-undang Melayu tertua setakat ini dan belum pernah dicatatkan dalam mana-mana katalog naskhah Melayu lama. Dipercayai digubah pada zaman pemerintahan sultan Melaka pada abad ke-15 sebagai usaha mensistematikkan segala peraturan yang diamalkan kerajaan Melaka. Undang-undang ini menjadi acuan kepada kerajaan-kerajaan Melayu lain untuk menggubal undang-undang negeri masing-masing, misalnya Undang-undang Kedah, Undang-undang Pahang, Undang-undang Patani, Undang-undang Johor & Hukum Kanun Brunei.

Setelah berbincang, kami bersetuju untuk memilih Karya Agung Hikayat Hang Tuah. Ini adalah kerana beberapa ahli kumpulan kami pernah mempelajari Hikayat Hang Tuah di bawah Kesusasteraan Melayu ketika menduduki peperiksaan STPM. Walaupun telah lama meninggalkan sekolah menengah atas, namun pengetahuan asas berkaitan karya agung ini masih ada.

Kami bersama-sama telah meminjam buku Karya Agung ini dan bersetuju untuk memilih Bab 2 bagi melengkapkan tugasan BBK4201 ini. Kami telah mengagihkan tugasan kepada setiap ahli kumpulan bagi memudahkan kami menyiapkan tugasan ini. Kami juga telah berjumpa beberapa kali bagi membincangkan dan memahami Bab 2 yang telah kami pilih.

2.0 SINOPSIS BAB 2 HIKAYAT HANG TUAH HANG TUAH MENJADI HAMBA RAJA

Pada suatu malam Hang Mahmud telah bermimpi bulan turun dari langit dan cahaya memenuhi kepala Hang Tuah. Ini adalah suatu petanda baik lalu diciumnya Hang Tuah. Pada keesokan harinya, Hang Mahmud menjemput penduduk kampung untuk majlis doa selamat. Lalu, Hang Mahmud bersama keluarganya berpindah ke Bentan. Di sana, Hang Tuah dihantar untuk mengaji Al-Quran sehingga khatam. Seterusnya, beliau dihantar untuk menguasai beberapa bahasa bersama gurunya Lebai Keling iaitu Bahasa India, Lebai Siam iaitu Bahasa Siam , Lebai Cina iaitu Bahasa Cina dan Lebai Jawa iaitu bahasa Jawa. Di Bentan juga, Hang Tuah berjumpa rakan karibnya iaitu Hang Jebat, Hang Lekiu, Hang Lekir dan Hang Kasturi. Mereka berhajat untuk pergi ke Pulau Tinggi.Semasa dalam perjalanan mereka tersempak dengan lanun dan berjaya menewaskan lanun-lanun itu. Manakala 10 orang daripadanya ditangkap dan dibawa ke Singapura. Hang Tuah bersama rakannya berguru dengan Sang Aria Putra di Bukit Pancalusa. Mereka juga pergi berguru, Persata Nila (Abang kepada Sang Aria Putra) yang diarahkan oleh Sang Aria Putra. Setelah selesai, mereka berlima pulang dan Hang Mahmud membawa mereka untuk menghadap Bendahara Paduka Raja. Seterusnya, semasa Hang Tuah membelah kayu dengan menggunakan kapak berlakunya kekacauan di pasar di mana orang mengamuk lalu Hang Tuah membunuhnya. Ada orang yang menyaksikan kejadian tersebut meramal bahawa Hang Tuah akan menjadi seorang Panglima Besar di Tanah Melayu. Pada kali kedua Hang Tuah bersama rakannya berjaya membunuh 4 orang mengamuk di pasar yang cuba membunuh Bendahara manakala pengikut-pengikutnya lari. Hang Tuah dan rakannya diberikan hadiah daripada Bendahara kerana melindunginya daripada orang mengamuk di pasar tadi. Mereka dilantik menjadi biduanda oleh Bendahara Paduka Raja. Semasa mereka menjadi biduanda mereka bersama Tun Mamat mengikut raja berburu ke Pulau Biran Dewa. Semasa memburu, Hang Tuah telah menjumpai pisang masak dan didalamnya ada ular cintamani. Hang Tuah mengambilnya dan disimpannya ke dalam dastarnya. Kemudian ular itu diserahkan kepada Bendahara dan disimpannya di dalam gulungan kain. Raja Bentan menjemput Hang Tuah berserta rakannya dan dikurniakan hadiah iaitu pakaian dan keris. Raja Bentan merasakan kagum apabila mereka bermain senjata. Akhirnya, Hang Tuah ditugaskan untuk menentang musuh di Siantan dan Jemaja bagi membolehkan orang-orangPalembang pergi balik berdagang di Bentan.

3.0 PENERAPAN KARYA AGUNG DALAM PENDIDIKAN (UNSUR KOGNITIF)

Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran yang perlu dipelajari secara formal oleh murid-murid sekolah rendah dan sekolah menengah. Penerapan bahan sastera adalah pelengkap bagi mempelajari kemahiran bahasa. Kurikulum Bahasa Malaysia dibina berasaskan tujuh tunjang, iaitu mementingkan tindak balas komunikasi, pembentukan kerohanian, melahirkan sikap dan nilai kemanusiaan, berdaya literasi sains dan teknologi, mengamalkan estetika dan melahirkan keterampilan diri. Tujuh tunjang tersebut merupakan domain utama yang menyokong gagasan penting antara satu sama lain dalam usaha menyepadukan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Kesepaduan ini bertujuan untuk membangunkan modal insan yang seimbang, berpengetahuan dan berketerampilan. Selain itu, matlamat KSSR juga digubal untuk membolehkan murid berketerampilan dalam berbahasa dan boleh berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh pengetahuan, ilmu, menguasai kemahiran lisan, menganalisis maklumat, menentukan nilai dan idea serta merealisasikan hubungan sosial dalam kehidupan harian. Fokus kajian ini adalah untuk melihat bagaimana kemahiran seni bahasa dapat memberikan penekanan pada standard kandungan dan standard pembelajaran yang perlu diketahui dan dapat dilakukan oleh murid. Standard kandungan dan standard pembelajaran ini berpaksikan sistem kemahiran bahasa dan sistem bahasa yang disokong oleh elemen pengisian kurikulum. Jika dirujuk pada tajuk kajian, kajian turut membincangkan kepentingan unsur seni bahasa yang terdapat dalam KSSR. Aspek seni bahasa ini merujuk keupayaan murid memahami, mengungkap dan menghargai bahasa yang indah melalui pembelajaran yang menyeronokkan dalam konteks pendekatan didik hibur (pembelajaran yang menyeronokkan). Oleh itu, didik hibur ini dilihat dapat mengupayakan dan membolehkan bahasa yang indah itu dapat diperoleh secara mudah daripada teknik nyanyian, bercerita, berlakon, mendeklamasi atau berpuisi itu dilaksanakan secara lebih santai tetapi bermakna. Seni bahasa juga menampakkan keindahan bahasa dari segi pembentukan gaya bahasa khususnya ayat yang menggunakan unsur simile, peribahasa, bahasa kiasan dan personifikasi yang terdapat dalam teks yang dibaca. Oleh itu, melalui idea yang kreatif, pembelajaran seni bahasa ini diharapkan akan dapat melahirkan murid yang menguasai kemahiran lisan dan penulisan dengan baik.

Lanjutan daripada pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan digantikan dengan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), maka aktiviti seni bahasa dianggap penting dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu itu sendiri. Cadangan terhadap pelaksanaan pendekatan seni bahasa dalam pengajaran Bahasa Malaysia bermula apabila keputusan kabinet pada 8 Julai 2009 telah memutuskan bahawa bahasa Melayu perlu menjadi tunjang penting dalam sistem pendidikan negara. Penumpuan memperkasakan penguasaan Bahasa Melayu turut ditekankan dengan mula melaksanakan transformasi kurikulum Bahasa Melayu di sekolah rendah dan menengah yang memberikan fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa dalam kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik merangkumi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Oleh itu, kerajaan berhasrat memperkenalkan pendekatan seni bahasa, didik hibur dan menimbulkan kesedaran kepada apresiasi bahasa dan sastera di sekolah rendah bagi merealisasikan hasrat transformasi berkenaan. Pada peringkat sekolah menengah pula, transformasi kurikulum Bahasa Malaysia telah memberikan penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek kesusasteraan Melayu. Kaedah pengajaran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu ini akhirnya dilihat akan lebih interaktif supaya pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu akan lebih mudah dihayati dan difahami. Objektif aspek seni bahasa diwujudkan adalah untuk memastikan murid mengetahui dan berkeupayaan: (1) menyebut dan memahami puisi melalui nyanyian dengan ger ak laku secara didik hibur;

(2) mengujarkan ayat menggunakan bahasa yang indah dengan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul serta menggunakan bahasa badan secara kreatif melalui penceritaan secara didik hibur;

(3) mengujarkan dialog dengan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul tentang sesuatu perkara menggunakan bahasa badan secara kreatif melalui lakonan secara didik hibur; dan

(4) melafazkan pantun dengan menggunakan bahasa yang indah serta menyampaikan pantun dengan intonasi yang betul di samping memahami maksud pantun.

Menurut Abdul Rasid Jamian dan Arbaie Sujud (2001: 31), melalui pembacaan karya sastera sebagai bahan pengajaran, murid-murid akan dapat menikmati serta menghayati kesusasteraan Melayu yang disampaikan dalam struktur bahasa yang indah. Bahan sastera biasanya digunakan untuk mengajar kefahaman, perbendaharaan kata, tatabahasa, lisan dan sebagainya. Kaedah dan teknik yang digunakan terpulang kepada guru, untuk menjadikan suasana pengajaran dan pembelajaran menarik minat murid-muridnya. Fokus pengajaran guru menggunakan bahan sastera ini ialah kepada objektif khusus bagi meningkatkan kemahiran berbahasa seperti membaca, lisan, menulis serta mempelajari peribahasa dan tatabahasa. Berikut diterangkan objektif penggunaan, prinsip pemilihan dan kelebihan menggunakan bahan sastera.

3.1 Objektif Penggunaan Bahan Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu Menurut Rozaiman (2007: 10), walaupun bahan sastera digunakan sebagai bahan pengajaran, namun dari segi penggabungjalinan, objektif dan tujuan mengajarkan kesusasteraan Melayu itu boleh dijadikan dasar pengajaran dan pembelajaran bahan sastera. Objektif-objektif khusus Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu tersebut adalah seperti berikut:

1. memberi kefahaman tentang nilai-nilai kemanusiaan, kemasyarakatan dan kebudayaan yang terdapat dalam karya sastera;

2. menerapkan nilai-nilai moral yang dicerminkan melalui karya sastera;

3. menganalisis bentuk dan memberi kefahaman isi kesusasteraan serta mengahargai nilai keindahan bahasa dalam kesusasteraan;

4. mengekalkan, menyuburkan dan memperkembangkan minat terhadap kesusasteraan; dan

5. membuat penilaian terhadap mutu sesuatu karya sastera yang sepadan dengan kemampuan pelajar. Manakala objektif yang digariskan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (2006:3) bagi sekolah-sekolah rendah juga mementingkan penggunaan bahan sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu. Objektif ke empat itu antara lain menyatakan: membaca, memahami dan menghayati pelbagai bahan termasuk bahan-bahan kesusasteraan dan ilmiah.

Abdul Rasid Jamian dan Arbaie Sujud (2001:32), pula menggariskan beberapa objektif tentang penggunaan bahan sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu seperti berikut:

1. Menggalakkan seseorang itu membaca kerana minatnya didorong oleh kebolehannya membaca, memahami dan berfikiran kritis terhadap yang dibaca. Oleh itu semakin banyak pembacaan semakin meningkat kebolehan menggunakan bahasa.

2. Memahami setiap hal dalam tatabahasa secara tidak langsung. Begitu juga dalam penggunaan bahasa daerah, ungkapan, istilah dan struktur ayat yang kesemuanya terjadi mengikut keadaan yang benar dalam karya sastera.

3. Membolehkan seseorang memberikan penafsiran atau interpretasi kepada sesuatu kenyataan yang ditemui dalam pembacaannya.

4. Menghayati keindahan bahasa dan mendorong melahirkan penggunaan bahasa yang baik serta menarik kepada perkembangan kebudayaan yang bernilai.

5. Karya sastera kebanyakannya mencerminkan dan merakamkan peristiwa perlakuan manusia, dapat mengenali sistem sosial dan sosiobudaya sekitar mereka.

6. Minat pelajar dapat dipupuk melalui pendedahan bahan-bahan sastera. Secara tidak langsung akan menanam atau menimbukan bakat yang terpendam dalam penulisan.

7. Untuk menyemai pemikiran positif dan kreatif serta optimis dalam menggalakkan hasrat dan proses pendidikan seumur hidup.

8. Untuk mendidik para pelajar mengamalkan keperibadian yang seimbang peranannya sebagai ahli sebuah komuniti. 3.2 Unsur Emotif dalam Hikayat Hang Tuah

Hikayat Hang Tuah dikenali sebagai sebuah epik kebangsaan. Salah satu ciri penulisan epik adalah pengarangnya memulakan kisah dengan menyebut tema dan objektif penulisannya. Pengarang telah menyatakan :Ini Hikayat Hang Tuah yang amat setiakawan pada tuannyaDan terlalu sangat berbuat kebaktian kepada tuannya.Hang Tuah juga digambarkan sebagai manusia yang luar biasa . Beliau mempunyai watak yang unggul dari segi sifat budaya dan kemanusiaannya seperti sifat berani, rasional, baik hati dan pemurah. Hang Tuah juga memiliki sifat taat setianya kepada raja, bangsa dan negara. Hang Tuah juga memiliki sifat keperwiraan dan pandai menggunakan senjata , mempunyai sifat berani, ketahanan diri dan keyakinan menentang musuh dan membela raja atau mempertahankan negara .Hang Tuah rajin menuntut ilmu dan bekerja keras untuk mengubah status diri daripada hanya seorang rakyat biasa menjadi pembesar negara. Beliau memperoleh status itu bukan secara diwarisi tetapi dengan penat lelah dan semangat yang cekal. Keberaniannya juga tiada tolok tandingannya.Nilai-nilai yang terkandung dalam hikayat ini menjadi pedoman hidup bagi orang melayu, baik generasi tua ataupun generasi muda. Nilai-nilai tersebut juga diterapkan dalam pendidikan di sekolah melalui pembelajaran dan pengajaran di kelas, aktiviti kokurikulum dan aktiviti lawatan.

3.2.1Perwatakan

1.Hang Tuah

Hang Tuah ialah anak kepada Hang Mahmud dan Dang Merdu. Beliau juga mempunyai 4 orang sahabat karibnya iaitu Hang Jebat, Hang Lekiu, Hang Lekir dan Hang Kasturi. Dia dilahirkan di Sungai Duyung dan dibesarkan di Bentan. Hang Tuah juga berguru beberapa bahasa dan ilmu sakti. Disamping, beliau juga mengaji Al-Quran sehingga Khatam. Beliau diberikan gelaran Hulubalang oleh Bendahara Paduka Raja.Dalam bab ini pengarangmengarang Hang Tuah sebagai keperwiraan dan kebernian Hang Tuah terserlah apabila beliau mempimpin sahabatnya iaitu Hang Kasturi, Hang Jebat, Hang Lekir, dan Hang Lekiu dalam pelayaran mereka di selat Melaka ke Singapura. Disamping itu, kejayaan Hang Tuah memimpin kumpulan tersebut dengan keberaninya telah membolehkan mereka membunuh serta mengusir tiga buah perahu lanun yang bertemu dengan mereka. Malahan, keberaninya menojol apabila beliau berusia 10 tahun dimana beliau berjaya membunuh pengamuk-pengamuk dengan menggunakan sebilah kapak sahaja dan Hang Tuah Berjaya menyelamatkan Bendahari Paduka Raja daripada empat orang pengamuk yang ingin cuba membunuhnya.Hang Tuah juga di kurniakan gelaran biduanda oleh Bendahara Paduka Raja kerana menyelamatnya daripada orang mengamuk dipasar. Disamping Raja Benting juga member gelaran tersebut dan diarah untuk menentang musuh di Sianatan dan Jemaja bagi membolehkan mereka yang berniaga dan berulang-alik di Bentan.

2.Hang JebatHang Jebat adalah salah seorang sahabat Hang Tuah sejak berusia 10 tahun. Dalam bab 2, Hikayat Hang Tuah beliau dikatakan seorang yang berani apabila ia mengahadapi lanun-lanun di perairan. Hang Jebat dengan penuh bernai menentang musuh itu bersama-sama rakannya. Di samping itu, sifat keberanian dan kepahlawanan Hang Jebat ketika ia menentang pengamuk yangcubamembunuh Bendahara Paduka Raja dan disebabkan itu juga beliau diberikan gelaran biduanda oleh Bendahara Paduka Raja.

3.Bendahara Paduka RajaBendahara Paduka Raja merupakan pembesar negeri dan terpenting sistem pentadbiran negeri.Beliau ialah penolong kanan raja yang paling dihormati dan disegani oleh baginda. Dalam bab ini beliau dikatakan seorang yang bersifat kebijaksaan dan kepintaran dimana beliau telah memilih Hang Tuah berserta sahabatnya untuk ke melindung Raja. Walaubagaimanapun, beliau juga bersifat pengecut kerana tidak berani melawan mahupun membunuh pengamuk-pengamuk dipasar. Oleh itu, Bendahara Paduka Raja memberikan gelaran biduanda kepada Hang Tuah dan sahabatnya.

3.3 Penerapan Nilai Murni Di Sekolah

Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan.. Falsafah Pendidikan Negara (FPN) menekankan penerapan nilai murni di kalangan pelajar bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmoni, bukan sahaja dari segi intelek, tetapi juga emosi, rohani dan jasmani. Di sekolah, penerapan nilai murni dapat dilakukan melalui pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas sama ada secara langsung atau tidak langsung ( nilai murni merentas kurikulum ), aktiviti kokurikulum ( nilai murni merentas kokurikulum ) dan lawatan sambil belajar.

3.3.1 Nilai Murni Merentas Kurikulum

Konsep nilai murni merentas kurikulum bermakna nilai perlu diterapkan dalam semua mata pelajaran. Penerapan nilai murni di dalam bilik darjah dilakukan secara lebih terancang dan dilaksanakan dengan teknik-teknik tertentu. Dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Moral, pendekatan kognitif dalam bentuk perbincangan boleh diketengahkan. Fakta-fakta sejarah dan cerita-cerita sastera yang berkaitan boleh digabungjalinkan dengan isi pelajaran yang dibincang dan dikaitkan secara langsung dengan unsur nilai yang dipegang oleh pelajar atau nilai sejagat tertentu. Dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, penerapan nilai nilai murni juga dilakukan melalui pengajaran komsas. Pembelajaran pelbagai jenis genre seperti puisi, cerpen , novel dan drama menjurus ke arah membentuk masyarakat yang bersopan santun dan berbudi pekerti. Puisi Melayu khususnya pantun, banyak memaparkan tentang adat resam, contohnya:Bunga melati bunga di daratBunga seroja ditepi kaliHina besi kerana karatHina manusia tidak berbudi.

Penggunaan pantun di atas jelas memaparkan tentang kehidupan manusia yang sentiasa menitikberatkan budi pekerti yang baik.Melalui teks kesusasteraan Melayu pula, nilai nilai murni yang terpancar seperti nilai baik hati, kepahlawanan, hormat menghormati, kerajinan, patriotisme, berdikari dan nilai-nilai yang berkaitan dengan hukum hukum Islam dapat diterapkan ke dalam sanubari pelajar secara tidak langsung. Penerapan nilai- nilai murni melalui kesusasteraan Melayu dapat menentang penularan pelbagai penyakit masyarakat dengan lebih berkesan apabila guru mempelbagaikan teknik pengajaran dan pembelajaran. Guru sekolah boleh menganjurkan drama, aktiviti mendeklamasikan puisi, seminar dan sebagainya untuk mlibatkan pelajar dalam penghayatan kesusasteraan Melayu supaya penerapan nilai murni dapat dilakukan secara maksimum. Di samping itu, penglibatan golongan pelajar dapat mewujudkan interaksi yang berbilang kaum. Kesinambungan interaksi melahirkan kesefahaman dalam pembentukan sebuah masyarakat yang bermoral berteraskan nilai nilai murni.Peranan guru adalah penting sekali dalam usaha penerapan nilai murni di sekolah untuk melahirkan insan yang harmonis dan bermoral. Guru bukan lagi hanya menyampaikan ilmu pengetahuan, dan memperkembangkan kemahiran kepada pelajar, tetapi guru juga harus membentuk budi pekerti dan akhlak mereka

3.3.2 Nilai Murni Merentas Kokurikulum

Aktiviti kokurikulum di sekolah adalah antara aktiviti yang dapat memupuk budi pekerti murid. Melalui kelab dan persatuan misalnya murid-murid dilatih untuk berani memegang beberapa jawatan penting dan mengendalikan tugasan yang diberikan dengan baik. Murid-murid juga dilatih menjadi pemimpin yang berani berucap dan berhujah di khalayak ramai.Pelaksanaan kokurikulum di sekolah juga dapat memupuk sifat taat setia dalam diri murid-murid. Contohnya murid-murid yang menjadi ahli Persatuan Kajian Tempatan dapat mengenali tokoh-tokoh yang berbakti kepada negara. Murid-murid boleh mengetahui sejarah negara dan dapat melihat kesan penjajahan kuasa asing. Selain itu, murid-murid aktif yang menyertai aktiviti perkhemahan dapat dilatih supaya berfikir secara rasional untuk merancang aktiviti kumpulan serta berani untuk mengemukakan pandangan yang wajar. Ketua kumpulan juga digalakkan bersifat pemurah untuk menjaga ahli kumpulannya.Nilai murni amat perlu diterapkan dalam aktiviti kokurilulum bagi mewujudkan suasana yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Usaha penerapan nilai murni ini perlu dilakukan pada peringkat awal proses sosialisasi, iaitu semasa murid itu berada pada peringkat awal persekolahan

4.0Aplikasi Teks Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu

Terdapat pelbagai kaedah atau teknik yang boleh digunakan dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di dalam kelas. Pengajaran karya agung seperti Hikayat Hang Tuah hendaklah dilaksanakan sebaik mungkin untuk menarik minat para pelajar.

4.1Teknik Lakonan

Teknik ini memberi kesempatan kepada guru mengadaptasikan cerita daripada teks atau karya sastera ke dalam bentuk lakonan. Berdasarkan hikayat tersebut, guru boleh menyediakan skrip atau kumpulan murid yang menyediakannya. Seterusnya guru meminta murid-murid melakonkan cerita dengan menghayati watak-watak yang terdapat dalam karya tersebut. Menerusi aktiviti lakonan ini, guru dapat mengetahui tahap kecerdasan interpersonal murid daripada mula berlakon sehingga tamat. Aktiviti ini juga, dapat mengenal pasti tahap kreativiti murid-murid melalui kumpulan kecil yang telah dibahagikan.

4.2Teknik Kad Imbasan Teknik ini digunakan untuk mengajar aspek gaya bahasa. Guru boleh membuat persediaan awal dengan menyediakan contoh-contoh gaya bahasa. Selain itu, guru juga boleh menggunakan komputer dengan menyediakan slaid power point.

4.3Teknik Membuat Projek

Teknik ini adalah kaedah secara berkumpulan. Teknik ini adalah hasil tugasan bagi proses belajar dan mengajar. Berdasarkan teks sastera atau karya agung, murid boleh dilatih menyediakan : Kolaj Buka Skrap Model seperti rumah kampung, keris, sangkar, patung dan sebagainya.

4.4Teknik Lawatan Sambil Belajar

Lawatan sambil belajar merujuk kepada aktiviti luar kelas yang melibatkan murid dan guru melawat sesuatu tempat bersejarah yang memberi ilmu pengetahuan.Sekiranya sekolah mengadakan lawatan ke tempat bersejarah seperti muzium dan makam Hang Jebat, pelajar lebih mudah mengingati fakta yang berkaitan dengan Hikayat Hang Tuah.

4.5Penggunaan Bahan Animasi

Kini, terdapat pelbagai kemudahan teknologi yang membolehkan kita menarik minat para pelajar untuk mempelajari Karya Agung Hikayat Hang Tuah. Para pelajar terutamanya pelajar sekolah rendah amat berminat dengan animasi. Oleh itu, para pendidik boleh menggunakan komik Hikayat Hang Tuah yang diterbitkan untuk menarik minat dan lebih mudah difahami.

5.0 KesimpulanHikayat Hang Tuah ialah karya sastera yang tak lekang dek panas, dan tak lapuk dek hujan. Nilai utama yang menjadi tema Hikayat Hang Tuah ialah berani, rasional, taat setia, baik hati dan pemurah. Nilai-nilai murni ini dapat melahirkan insan yangunggul dan utopiademi merealisikan misi nasional negara. Sejajar dengan itu, nilai murni telah diajar di sekolah-sekolah untuk membentuk generasi muda yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka. Secara keseluruhannya, penerapan Hikayat Hang Tuah dalam pengajaran dan pembelajaran dapat mengingatkan pelajar tentang Hikayat tersebut yang boleh dijadikan sebagai pengajaran. Selain itu, terdapat banyak teknik atau aktiviti yang boleh digunakan dalam pembelajaran bagi melahirkan guru yang lebih kreatif. Seterusnya, pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan ini akan memudahkan pelajar untuk memahami, menghayati dan mengingati hikayat tersebut. Penerapan nilai murni di dalam bilik darjah juga dilakukan secara lebih terancang dan dilaksanakan dengan teknik-teknik tertentu. Nilai murni diterapkan dalam semua mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu dan Pendidikan Moral. Peranan guru adalah penting sekali dalam usaha penerapan nilai murni di sekolah untuk melahirkan insan yang harmonis dan bermoral. Aktiviti kokurikulum di sekolah adalah pentas terbaik yang dapat memupuk dan mewujudkan murid yang bermoral tinggi. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum seperti perkhemahan murid-murid dapat berfikir secara rasional untuk merancang aktiviti yang sesuai dijalankan serta berani mengemukakan pandangan yang wajar. Lawatan sambil belajar merujuk aktiviti luar kelas yang melibatkan murid dan guru. Setiap murid yang diberi tugasan semasa lawatan perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan sempurna. Dengan ini, nilai murni dapat dipupuk dalam diri murid secara tidak langsung.Nilai-nilai murni penting dalam kehidupan untuk melahirkan insan yang berakhlak mulia. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama kita. Amalan nilai-nilai murni dapat membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Rujukan

Abu Hassan Sham (1975). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad.

Abdul Halim Bandan (1994). Panduan Ulangkaji Komprehensif Sastera Karya Agung Hikayat Hang Tuah Untuk STPM. Kuala Lumpur: Jofri Print Sdn. Bhd.

Ahmad Sarji bin Abdul Hamid (2004).Hang Tuah: Tokoh Epik Nasional,Selangor: Pelanduk Publications.

Harun Mat Piah et al (2006) Kesusasteraan Melayu Tradisional, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

http://hangtuah-history.blogspot.com/2012/01/sinopsis-hikayat-hang-tuah-karya-kassim.htmlhttp://agungkarya13.blogspot.com/p/analisis.htmlhttp://www.slideshare.net/engbeeleng/assig-nilai-hikayat-hang-tuah-1http://karyaagungmelayu.blogspot.com/2013/05/pemikiran-melayu-dalam-karya-agung.htmlhttp://amnaj.wordpress.com/2012/01/28/hikayat-hang-tuah-huraian-dari-penilaian/