Analisis Model
-
Upload
sherly-jewinly -
Category
Documents
-
view
230 -
download
0
description
Transcript of Analisis Model
ANALISIS MODEL
Tajuk Pengajaran : Reka Bentuk dan Teknologi
Nama Guru : Nur Zawani binti Mokhtar
Kelas : 4 Cerdik
Kandungan Pengajaran : Alatan tangan
Masa : 30 minit
LANGKAH
HURAIAN MODEL
HURAIAN ANALISIS
1 A – Analyze
learner
(analisis cirri-
ciri pelajar)
Menganalisis kumpulan sasaran atau murid adalah penting
bagi membantu dalam merancang pengajaran dan
pembelajaran yang sesuai. Beberapa kriteria perlu
dititikberatkan dalam menganalisis murid. Hal ini adalah kerana
dalam mengenal pasti keperluan setiap murid yang terdapat
dalam sesebuah kelas itu adalah amat sukar untuk
dilaksanakan bagi seorang guru. Untuk itu, kriteria-kriteria
berikut dapat membantu saya dalam menganalisis murid
sebagai panduan dalam memilih strategi, bahan sumber dan
media yang bertepatan untuk mencapai objektif PdP.
a) Ciri-ciri umum pelajar
Umur: 10 tahun
Kelas: 4 Cerdik
Taraf sosioekonomi: sederhana
Petempatan: luar bandar
Budaya: masyarakat kampung
b) Pengetahuan/pengalaman sedia ada
Saya dapat mengetahui pengetahuan/pengalaman sedia
ada murid melalui sesi soal jawab semasa set induksi. Set
induksi adalah proses terawal dalam sesuatu pengajaran
yang dirancang dengan sengaja untuk tujuan-tujuan
tertentu (Omardin Ashaari, 1997). Dalam set induksi, saya
menunjukkan tayangan video kartun ‘Handy Manny’
berkaitan alatan tangan. Selepas tayangan video tesebut,
soalan akan dikemukakan kepada murid. Contohnya,
“Apakah yang kamu perhatikan dalam tayangan video
sebentar tadi”. Murid akan memberikan respond dengan
memberikan jawapan seperti tukul, pemutar skru dan
sebagainya berdasarkan apa yang ditonton melalui video
tersebut. Jawapan-jawapan yang diberikan murid akan
dicatat pada papan tulis dan ini menunjukkan bahawa
murid telah mempunyai pengetahuan sedia ada tentang
alatan. Namun begitu, murid masih lagi tidak mempunyai
pengetahuan terhadap nama alatan tangan yang betul-
betul spesifik yang digunakan secara umum. Mereka
memberikan jawapan berdasarkan pemerhatian,
pengalaman dan peniruan yang berlaku dalam kehidupan
seharian mereka.
c) Gaya pembelajaran pelajar
Setiap murid mempunyai gaya pembelajaran yang
tersendiri dan berbeza daripada murid-murid yang lain.
Gaya pembelajaran merupakan satu set ciri-ciri peribadi
yang mempengaruhi bagaimana seorang menerima,
mengumpul dan memproses maklumat. Dalam bilik darjah,
pelajar-pelajar mempunyai gaya pembelajaran yang
berbeza. Antara gaya pembelajaran termasuk model Dunn
dan Dunn, model Honey dan Mumford dan model Multiple
Intelligence Gardner.
Untuk murid kelas 4 Cerdik, saya lebih berfokus kepada
model Multiple Intelligence Gardner. Menurut Gardner
(1983), terdapat sembilan jenis kecerdasan dalam Teori
Kecerdasan Pelbagai iaitu Kecerdasan Verbal, Kecerdasan
Visual, Kecerdasan Logikal, Kecerdasan Muzikal,
Kecerdasan Kinestetik, Kecerdasan Interpersonal,
Kecerdasan Intrapersonal, Kecerdasan Naturalis dan
Kecerdasan Eksistensial. Murid-murid dalam kelas ini lebih
cenderung kepada kecerdasan visual, kecerdasan muzikal
dan kecerdasan kinestetik. Justeru, saya harus bijak dalam
memilih kaedah, media dan bahan berdasarkan kepada
kecerdasan yang dimiliki oleh murid kelas ini.
2 S – State Pernyataan atau hasil pembelajaran adalah penting sebagai
objective
(menyatakan
objektif)
hala tuju PdP. Objektif PdP perlu dinyatakan secara jelas dan
khusus terhadap apa bentuk keupayaan baharu yang perlu
dicapai oleh pelajar. Ralph Tyle dan Gange menyatakan tiga
sebab mengapa objektif pengajaran perlu ditulis dengan jelas
iaitu objektif yang jelas dapat membimbing dalam proses PdP,
membantu guru dalam menyiapkan tindakan penilaian dan
murid dapat menyiapkan dirinya sendiri.
Dalam objektif pembelajaran ia merangkumi empat
aspek iaitu :
a)Siapakah yang hendak dicapai (kumpulan sasaran)?
Kumpulan sasaran yang terlibat dalam mencapai objektif
pengajaran pembelajaran ialah murid tahun 4 Cerdik yang
terdiri daripada 35 orang.
b)Apakah yang hendak dicapai (apakah bentuk perlakuan
baharu)?
Hal ini merujuk kepada tingkah laku baru yang hendak
dibina atau dibentuk dalam diri pelajar. Tingkah laku yang
dinyatakan dalam objektif pengajaran-pembelajaran
hendaklah yang dapat dilihat dan diukur pencapaiannya.
Contohnya, untuk topik alatan tangan objektif yang ingin
dicapai adalah murid dapat menamakan alatan tangan
dengan betul secara lisan dan mengenal pasti tiga daripada
lima alatan tangan yang dipelajari dengan tepat.
c) Bagaimanakah hendak dicapai (apakah syarat perlakuan)?
Untuk memastikan objektif pembelajaran yang dinyatakan
dapat dicapai, saya menggunakan teknologi multimedia
seperti video, teks, gambar dan persembahan powerpoint,
lagu dan Alat Bantu Mengajar yang menarik. Keadaan ini
secara tidak langsung dapat membantu penguasaan
pemahaman murid terhadap topik yang dipelajari pada hari
tersebut.
Penggunaan video dilaksanakan pada set induksi untuk
menarik perhatian murid. Kemudian, saya akan memberikan
penerangan kepada murid mengenai alatan tangan melalui
gambar-gambar yang terdapat dalam persembahan power
point. Seterusnya, saya akan menjalankan aktiviti dengan
menyediakan alat bahan bantu mengajar seperti puzzle
gambar untuk menguji tahap pemahaman murid. Aktiviti
nyanyian lagu berkenaan alatan tangan juga digunakan bagi
membantu murid mengingat nama-nama alatan yang diajar.
d)Apakah tahap pencapaian minimum (standard pencapaian
yang dianggap sudah dikuasai)?
Tahap pencapaian minimum merujuk kepada darjah
ketepatan, kualiti dan kuantiti tingkah laku, tempoh masa
yang ditetapkan dan sebagainya. Mengenal pasti tiga
daripada lima alatan tangan yang dipelajari dengan tepat
merupakan contoh penulisan kriteria kuantitatif. Namun
begitu, penulisan kriteria kualitatif agar sukar untuk
didefinisikan. Pernyataan pengukuran tahap pencapaian
seumpama ini membantu saya menyediakan tindakan
susulan seperti aktiviti pemulihan bagi membantu murid
yang belum mencapai objektif pengajaran-pembelajaran
manakala bagi murid yang sudah menguasai pembelajaran
aktiviti pengukuhan dan pengayaan boleh dilakukan.
3 S – Select
methods,
media, and
materials
(memilih
kaedah, media
dan bahan)
Kaedah
Penentuan kaedah hendaklah diasaskan kepada ciri-ciri
pelajar, pengalaman sedia ada pelajar, gaya pembelajaran
pelajar serta objektif pembelajaran yang hendak dicapai.
Berikut merupakan kaedah yang saya gunakan untuk topik
alatan tangan.
a)Soal jawab
Pemilihan teknik ini dalam pengajaran dan pembelajaran
dapat melahirkan interaksi antara guru dan pelajar secara
berkesan.
Saya menggunakan kaedah ini selepas tayangan video
kartun ‘Handy Manny’ pada set induksi. Saya menggunakan
kaedah ini untuk menarik perhatian murid sebelum
memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu,
kaedah ini juga mampu merangsang kemahiran berfikir murid
secara kreatif, inovatif, logik dan juga kritis di samping dapat
mencungkil pengetahuan sedia ada yang dimiliki oleh murid.
Kaedah ini juga saya digunakan selepas penerangan
kepada alatan tangan untuk megukuhkan lagi pemahaman
murid.
b)Didik hibur
Pada dasarnya amalan penyerapan didik hibur bukanlah perk
ara yang baru dalam siri pendidikan negara. Untuk tujuan
penegasan istilah didik hibur digunakan secara jelas
sebagai komitmen yang bersungguh-sungguh kerajaan untuk
mengaplikasikan pendekatan ini yang diadaptasikan
menerusi pendekatan ‘Fun Learning’ yang digunakan secara
meluas dalam pengajaran dan pembelajaran. Didik hibur
merupakan satu pendekatan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur seperti
permainan, nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi secara
sistematik dan terancang.
Saya menggunakan kaedah nyanyian di mana lirik pada
lagu “Aku yang Dulu Bukan yang Sekarang” ditukar kepada
lirik yang berkaitan dengan alatan tangan. Nyanyian tersebut
disertai dengan pergerakan yang sesuai untuk menambah
keseronokan murid apabila menyanyikan lagu tersebut.
Keadaan ini bersesuaian dengan gaya pembelajaran murid 4
Cerdik yang kebanyakannya lebih cenderung kepada
kecerdasan muzikal dan kinestetik.
Saya juga menggunakan kaedah permainan di mana
saya akan menyediakan puzzle gambar alatan tangan. Murid
akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan di mana setiap
kumpulan terdiri daripada empat hingga lima orang. Setelah
menyelesaikan puzzle gambar, murid dikehendaki untuk
menamakan alatan tangan tersebut. Kumpulan yang tidak
berjaya menamakan alatan tangan dengan betul akan
dikenakan penalti.
c) Lembaran kerja
Digunakan untuk menguji pengetahuan murid dan sebagai
kayu ukur untuk melihat adakah objektif pengajaran tercapai
atau tidak. Aktiviti pengayaan dan pemulihan diberikan
selepas lembaran kerja disemak dan guru dapat mengenal
pasti murid lemah semasa murid mengisi lembaran kerja.
Media
Pemilihan format media merujuk kepada bentuk fizikal sesuatu
maklumat yang dipaparkan. Untuk memilih format media, guru
hendaklah mengambil kira beberapa kriteria. Antaranya, bentuk
audiens (kumpulan pelajar: kelas/kumpulan/individu),
keupayaan pelajar, domain objektif serta bentuk maklum bals
yang akan dihasilkan. Berikut merupakan bahan media yang
saya gunakan untuk mengajar topik alatan tangan.
a)Klip video alatan tangan
Saya menggunakan klip video iaitu kartun ‘Handy Manny’
yang memaparkan mengenai alatan tangan. Video tersebut
yang berdurasi 2:53 minit ditayangkan kepada murid pada
permulaan sesi pengajaran dan pembelajaran iaitu semasa
set induksi. Saya menggunakan video yang berbentuk animasi
kartun kerana video seumpama itu sangat dekat di hati murid
di mana lumrah kanak-kanak suka akan video kartun gambar
yang bergerak-gerak disertai dengan warna-warna yang ceria.
Video seumpama ini mampu menarik perhatian murid
sebelum memulakan topik pengajaran pada tersebut.
b)Persembahan power point
Saya menggunakan persembahan power point kerana saya
ditempatkan di sebuah sekolah yang terdapat kemudahan
TMK seperti internet dan projector LCD serta komputer dalam
bilik darjah. Selaras dengan itu, penggunaan power point juga
dapat menjimatkan masa kerana tidak perlu mencetak bahan
berkenaan sebaliknya hanya perlu dipancarkan pada projektor
LCD dan seterusnya pengajaran dan pembelajaran boleh
dimulakan.
c) Komputer dan projector
Kemudahan seumpama ini sudah disediakan oleh pihak
sekolah. Jadi, saya sebagai guru perlu memanfaatkan
kemudahan ini agar relevan dengan konsep pengajaran dan
pembelajaran masa kini yang lebih menekankan kepada
penggunaan TMK.
Bahan
Bahan sumber pengajaran pembelajaran merujuk kepada isi
pelajaran yang menjadi fokus pembelajaran. Berikut
merupakan bahan-bahan yang saya gunakan pengajaran topik
alatan tangan.
a)Alatan tangan
Di samping menunjukkan gambar alatan tangan yang terdapat
pada persembahan power point, saya juga menunjukkan
alatan tangan yang sebenar yang terdapat di dalam bengkel
kepada murid. Hal ini bertujuan untuk memberi gambaran
sebenar kepada murid alatan tangan yang terdapat di dalam
bengkel. Bukan itu sahaja, murid dapat menggunakan deria
sentuh mereka dengan menyentuh atau memegang sendiri
alatan tangan tersebut. Keadaan ini secara tidak langsung
memberi pengalaman baru kepada murid terhadap
penggunaan alatan tangan.
b)Puzzle gambar
Puzzle gambar digunakan semasa menjalankan aktiviti
berkumpulan. Tujuan puzzle gambar ini dilakukan adalah
untuk melihat sejauh mana tahap penguasaan murid terhadap
topik yang dipelajari iaitu mengenal alatan tangan. Konsep
puzzle gambar ini adalah seperti bermain sambil belajar yang
sangat dititikberatkan masa kini kerana aktiviti seumpama ini
sangat menyeronokkan di samping murid dapat terlibat aktif
dalam pembelajaran.
c) Lembaran kerja
Lembaran kerja disediakan pada akhir pengajaran dan
pembelajaran untuk aktiviti pemulihan dan pengayaan.
Lembaran kerja bertujuan menilai pemahaman murid. Dengan
adanya lembaran kerja, guru dapat mengetahui sama ada
objektif pembelajaran tercapai atau tidak.
4 U – Utilize
media and
materials
(menggunakan
media dan
bahan)
Tindakan yang perlu dilakukan oleh guru bagi memastikan
media dan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran (PdP)
dimanfaatkan sepenuhnya di dalam kelas.
1. Semak/pratonton/kaji bahan sumber sebelum digunakan di
dalam kelas.
Guru hendaklah mengkaji/menyemak/menonton bahan
sumber yang telah dipilih sebelum menggunakannya di dalam
kelas. Contoh sumber yang digunakan untuk pengajaran topik
alatan tangan ialah alatan tangan dan lembaran kerja. Saya
sebagai guru perlu memastikan alatan tangan yang hendak
digunakan itu sesuai atau tidak dengan peringkat umur tahun
4. Saya perlu memastikan alatan tangan yang hendak
digunakan itu tidak membahayakan murid dan juga perlu
memastikan bahawa alatan tangan tersebut tidak terdapat
kerosakan. Hal ini adalah kerana jika alatan tangan tersebut
berbahaya contohnya seperti tajam dan karat akan
mendedahkan murid kepada risiko kecedaraan. Keadaan ini
secara tidak langsung akan mengganggu kelancaran sesi PdP
di dalam kelas seterusnya akan menyebabkan objektif
pembelajaran gagal dicapai dengan jayanya.
Selain itu, lembaran kerja yang saya sediakan itu
haruslah menguji tahap pemikiran murid yang mengandungi
aras kesukaran berdasarkan Taksonomi Bloom. Saya perlu
memastikan lembaran kerja tersebut tidak mempunyai soalan
yang mempunyai aras kesukaran yang paling tinggi dan
rendah. Sekiranya lembaran kerja tersebut mempunyai soalan
yang mengandungi aras kesukaran yang paling tinggi, hal ini
menunjukkan bahawa lembaran kerja tersebut merupakan
lembaran kerja yang susah menyebabkan murid tidak dapat
menjawab soalan-soalan yang terdapat pada lembaran kerja
tersebut. Namun begitu, sekiranya lembaran kerja yang
disediakan mengandungi soalan yang berada pada aras
kesukaran yang paling rendah menunjukkan lembaran kerja
tersebut merupakan lembaran kerja yang senang dan mudah.
Jika keadaan ini berlaku, guru tidak dapat membezakan murid
yang sudah menguasai objektif pembelajaran dengan murid
yang masih belum menguasai objektif pembelajaran. Justeru,
saya sebagai guru haruslah menyediakan lembaran kerja
yang mengandungi soalan yang berada pada aras kesukaran
sederhana. Soalan aras kesukaran paling tinggi dan paling
rendah juga perlu ada tetapi tidak terlalu banyak.
2. Sediakan bahan untuk penggunaan dalam kelas.
Untuk topik pengajaran alatan tangan, saya perlu memastikan
alatan tangan yang hendak diajar itu terdapat di dalam begkel
Kemahiran Hidup dan berada dalam keadaan baik. Seelok-
eloknya saya perlu memastikan bahawa untuk setiap jenis
alatan tangan terdapat lebih daripada dua item. Hal ini untuk
memastikan bahawa setiap murid dapat merasai pengalaman
menyentuh dan memegang alatan tangan tersebut yang akan
dilakukan secara berkumpulan. Saya juga perlulah bersedia
dengan kemungkinan risiko kecederaan semasa murid
menyentuh atau memegang alatan tangan tersebut di mana
saya perlu menyediakan peti kecemasan untuk tujuan
tersebut.
Untuk lembaran kerja pula, saya perlu menyediakan
salinan secukupnya. Contohnya, murid 4 Cerdik terdapat 35
orang, jadi saya perlukan sediakan 35 salinan agar setiap
murid dapat peroleh lembaran kerja tersebut.
3. Sediakan persekitaran yang sesuai untuk penggunaan.
Menyediakan persekitaran yang sesuai merujuk kepada
penyusunan media dan bahan sumber agar mudah dicapai,
diambil atau dilihat. Sebagai contoh, persembahan power
point yang saya sediakan perlulah jelas dan terang apabila
dipancarkan menggunakan projektor LCD. Sebelum itu saya
perlu memastikan bahawa projector LCD berfungsi dengan
baik dan dapat digunakan sepanjang sesi PdP berlangsung.
Tambahan itu, keadaan bengkel Kemahiran Hidup juga
perlu dititiberatkan. Saya perlu memastikan keadaan bengkel
Kemahiran Hidup berada dalam keadaan bersih, teratur dan
selesa. Hal ini adalah kerana keadaan seumpama itu akan
mempengaruhi konsentrasi murid semasa PdP berlangsung.
Susun atur bengkel juga hendaklah bersesuaian dengan
peringkat umur murid tahun 4. Kadangkala terdapat bengkel
yang mempunyai meja yang tinggi dan kerusi yang rendah
dan juga sebaliknya. Jadi, keadaan seumpama ini harus
dititikberatkan sebelum sesuatu sesi PdP itu berlangsung.
4. Sediakan pelajar untuk mendapat manfaat daripada bahan
sumber.
Menyediakan pelajar untuk pengalaman pembelajaran sama
pentingnya dengan menawarkan pengalaman pembelajaran
yang merangsangkan. Induksi yang terancang dan
memotivasikan dapat menimbulkan rasa ingin tahu pelajar
untuk terus belajar. Menurut Ausubel, pelajar boleh disediakan
untuk menerima maklumat baharu dengan membuka minda
mereka dengan advance organizer, iaitu memberikan
gambaran menyeluruh berkaitan isi pelajaran yang akan
dipelajari.
Saya memulakan set induksi dengan menayangkan video
kartun ‘Handy Manny’ berkaitan alatan tangan. Murid akan
tertanya-tanya dan akan timbul rasa ingin tahu apabila
tayangan video kartun tersebut ditunjukkan. Kemudian, saya
sebagai guru akan mengaitkan video tersebut dengan topik
pembelajaran selepas sesi soal jawab dilaksanakan. Saya
juga akan memberitahu murid akan objektif pembelajaran
pada hari tersebut dan kepentingan menguasai isi pelajaran.
Dengan cara ini, secara tidak langsung murid dapat
dimotivasikan untuk belajar.
5. Sediakan pengalaman pembelajaran bagi pelajar.
Bagi menyediakan pengalaman pembelajaran, guru
hendaklah berjaya memilih kaedah dan teknik penyampaian
yang sesuai.
Semasa penyampaian isi pelajaran, saya menggunakan
persembahan power point yang dipancarkan menggunakan
projektor LCD menerusi komputer. Saya akan memaparkan
satu persatu slaid dan menerangkan kemudian bersoal jawab
dengan murid bagi memastikan murid faham apa yang di ajar.
Di samping itu saya akan menunjukkan alatan tangan yang
sebenar kepada murid. Alatan tangan yang sebenar ini
merupakan bahan maujud di mana murid di peringkat rendah
sangat sesuai dengan penggunaan bahan maujud.
Dalam perkembangan pembelajaran, fokus
pembelajaran hendaklah diberikan keutamaan. Strategi
berpusatkan murid hendaklah diberikan keutamaan. Strategi
berpusatkan murid boleh diaplikasikan di mana murid
dilibatkan secara langsung dalam proses pembelajaran.
Antara kaedah yang sesuai ialah didik hibur iaitu nyanyian dan
bermain. Nyanyian yang disertai dengan pergerakan akan
menjadikan murid berasa seronok semasa sesi PdP
berlangsung seterusnya menjadikan pembelajaran berkesan.
Saya juga menggunakan kaedah belajar sambil bermain di
mana murid akan menyusun puzzle gambar alatan tangan
secara berkumpulan.
5 R – Require
learner
participitation
(memerlukan
penyertaan
pelajar)
Sesuatu pembelajaran yang melibatkan pelajar beraktiviti atau
berfikir secara aktif akan menghasilkan perubahan tingkah laku
yang kekal. Ini disokong oleh semua teori pembelajaran seperti
teori behaviourisme dan juga teori kognitif. Pandangan teori
konstruktivis yang menjadi amalan umum hari ini juga
mengambil kira keaktifan pelajar dalam proses membina
pengetahuan sendiri sebagai bentuk pengalaman pembelajaran
yang berkesan.
Pengalaman rasa berjaya pelajar akan dapat
mengekalkan motivasi pelajar terhadap aktiviti pembelajaran.
Lantaran itu, guru hendaklah memberikan maklum balas sebaik
sahaja pelajar menunjukkan kejayaan. Contohnya aktiviti didik
hibur iaitu nyanyian. Melalui aktiviti seumpama ini murid akan
berasa seronok dan mereka akan secara aktif melibatkan diri
dalam aktiviti tersebut. Saya sebagai guru haruslah
memberikan maklum balas yang positif agar murid sentiasa
bermotivasi sepanjang PdP berlangsung.
Seterusnya, pemilihan media dan bahan sumber yang
sesuai dapat membantu dan mengekalkan penglibatan pelajar
dalam proses belajar. Gambar, foto, persembahan slaid power
point dan video contohnya dapat mencetuskan perbincangan
kumpulan, penjanaan idea dan juga aktiviti penyelesaian
masalah.
6 E - Evaluate
and revise
(menilai dan
mengulangkaji)
Menurut Heinich, 1982, penilaian perlu dibuat secara
berterusan dan bersepadu serta menyeluruh pada semua
peringkat untuk memberi gambaran sejauh mana
keberkesanan media yang dipilih terhadap prestasi pelajar
serta bertepatan dengan objektif atau hasil pembelajaran yang
dikehendaki. Langkah ini menyentuh dua aspek penilaian iaitu:
a)Penilaian pembelajaran
Penilaian pembelajaran boleh dibuat dalam pelbgai bentuk.
Bentuk penilaian pembelajaran terbahagi kepada dua iaitu
penilaian formal dan penilaian informal. Penilaian formal
merujuk kepada ujian. Pernilaian informal dibuat melalui hasil
kerja pelajar, pemerhatian, soal jawab, aktiviti kumpulan,
pembentangandan seumpamanya.
Penilaian pembelajaran boleh dibuat sepanjang proses
pengajaran dan pembelajaran. Melalui lembaran kerja guru
boleh mengenal pasti murid yang lemah, sebagai contoh jika
murid dapat menamakan tiga alatan tangan dengan betul,
maka murid telah faham dan jika tidak, maka murid tidak
menguasai pembelajaran tersebut. Selain menggunakan
lembaran kerja, guru boleh melakukan penilaian melalui
pemerhatian dan soal jawab. Guru boleh menilai tingkah laku
murid yang tidak faham dengan melihat reaksi murid yang
mengerutkan dahi dan mendiamkan diri apabila guru
mengajukan soalan. Maka murid dapat dikenal pasti tidak
faham dan tindakan pemulihan perlu dijalakan.
b)Penilaian pengajaran
Penilaian pengajaran boleh dibuat setelah selesai proses PdP
melalui amalan refleksi. Melalui proses refleksi, guru perlu
melihat semula perancangan, pengajaran, tindak balas
pelajar terhadap aktiviti pembelajaran, pencapaian objektif
dan sebagainya.
Jika murid gagal mengenal pasti alatan tangan yang
terdapat di dalam bengkel Kemahiran Hidup dengan betul,
maka objektif pembelajaran tidak tercapai. Oleh itu, guru
perlu mempertimbangkan kesesuaian objektif yang hendak
dicapai. Selain itu, penilaian pengajaran guru boleh dilihat
dari aspek penyertaan dan respon murid. Jika murid tidak
dapat menjawab soalan guru atau tidak melibatkan diri dalam
pembelajaran, hal ini mungkin disebabkan oleh kerana
pengajaran tidak sesuai dengan tahap murid atau aktiviti yang
dijalankan membosankan dan terlalu berpusatkan guru.
Jelaslah di sini menunjukkan pengajaran guru sangat
mempengaruhi pembelajaran murid.
Jadual 1: Model ASSURE