AMANAT NAIB CANSELOR TAHUN 2016 MEMERKASAKAN …...AMANAT NAIB CANSELOR TAHUN 2016 MEMERKASAKAN...
Transcript of AMANAT NAIB CANSELOR TAHUN 2016 MEMERKASAKAN …...AMANAT NAIB CANSELOR TAHUN 2016 MEMERKASAKAN...
1
AMANAT NAIB CANSELOR TAHUN 2016
MEMERKASAKAN TRANSFORMASI
KEBITARAAN UPSI ____________________________________________________________
Pendahuluan
1. Pertama-tamanya, saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke
Hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah kurnia, hidayah dan izin-
Nya jua saya dapat hadir bagi menyampaikan Amanat Naib Canselor
bagi tahun 2016 kepada seluruh warga UPSI sekelian.
2. Selawat dan Salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW,
ahli keluarga baginda, sahabat, tabiin dan seluruh kaum muslimin
yang mengikut jejak langkah baginda hingga ke hari ini.
3. Saya mendoakan semoga seluruh warga UPSI berada dalam
Rahmat Allah SWT, diberikan kesihatan yang baik, kecerdasan akal
dan fizikal untuk meneruskan kehidupan dan kerjaya di UPSI dengan
penuh tanggungjawab.
4. Saya juga ingin mengucapkan selamat tahun baharu, tahun 2016.
Tahun yang akan membawa kita semua ke suatu tahap kehidupan
setahun lagi dengan pelbagai harapan dan impian. Sepertimana
tahun-tahun dahulu yang kini sudah menjadi kenangan, dan tahun
baharu 2016 menyediakan kepada semua manusia ruang untuk
2
memajukan diri, menjadi lebih baik daripada tahun-tahun
sebelumnya.
5. Manusia yang maju menurut ukuran yang sebenarnya ialah manusia
yang keadaannya pada hari ini lebih baik daripada semalam dan hari
esoknya lebih baik daripada hari ini. Jika pada tahun sebelum ini
manusia itu berada dalam keadaan tidak baik, maka mereka
hendaklah beriltizam untuk menjadi baik pada tahun ini. Malah
mereka sentiasa berazam untuk menjadi lebih baik lagi pada hari
esoknya.
6. Kerana itu, saya menyeru kepada seluruh warga UPSI untuk melihat
sejenak tahun 2015 yang baharu ditinggalkan untuk kita muhasabah
diri kita dan melihat tahun 2016 ini sebagai ruang untuk memperbaiki
dan memperelokkan pencapaian diri, dan tahun 2017, tahun
hadapan, sebagai cabaran baharu yang akan membawa kita kepada
pencapaian yang lebih baik lagi.
Hadirin yang dihormati sekelian.
7. Sebelum saya meneruskan ucapan ini, saya ingin mengajak seluruh
warga UPSI mengenang sahabat-sahabat sejawatan dan seuniversiti
kita yang telah kembali ke rahmatullah pada tahun lepas. Mereka ini
ialah;
a. Prof. Dr. Abdul Malek bin Abdul Rahman (FPPM)
b. Prof. Dr. Mohamad Suhaily bin Che Ngah (FSK)
3
c. Prof. Madya Hariri bin Kamis (FPE)
d. Dr.Hj, Ab. Rahmad bin Ab Rashid (Mantan pensyarah FBK)
e. Pn Fairus Ahmad Daud (FBK)
f. Prof Madya Dr. Mohd Taib Ariffin (FPE)
g. Pn Salasiah Ismail (JHEPA)
h. Pn Mila Salima Halimi (FSKIK)
8. Kepada Allah SWT, marilah kita mendoakan kesejahteraan hidup
mereka di alam barzakh dan semoga dikurniakan kepada mereka
balasan baik hingga ke hari kebangkitan. Daripada kita, marilah kita
hadiahkan kepada roh mereka al-Fatihah.
9. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini merakamkan ucapan
terima kasih kepada staf UPSI yang sudah bersara daripada
perkhidmatan di Universiti ini. Saya mendoakan semoga mereka
terus sukses menjalani kehidupan baharu di luar sana sama ada
terus berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan di tempat lain atau
berkerja sendiri.
10. Kepada warga UPSI yang pada waktu ini berhadapan masalah
kesihatan yang kurang baik, marilah kita mendoakan semoga Allah
SWT mengurniakan kesembuhan dan keceriaan dalam kehidupan
mereka.
4
Hadirin yang dihormati Sekelian
Intipati Amanat YB Menteri Pendidikan Tinggi 2016
11. Pada 18 Januari lalu, YB Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Idris
Jusoh telah menyampaikan amanatnya kepada seluruh warga
Kementerian Pendidikan Tinggi. Amanat YB Menteri amat signifikan
dengan perancangan yang akan UPSI laksanakan untuk tempoh lima
tahun akan datang. Berikut adalah beberapa inti pati amanat YB
Menteri yang penting untuk kita semua ketahui:
i. Kementerian Pendidikan Tinggi akan meneruskan
kecemerlangan universiti melalui pendidikan yang bersifat
fleksibel atau luwes.
ii. 10 Lonjakan di bawah PPPM (Pendidikan Tinggi) 2015 - 2025
terus dijadikan asas untuk melahirkan pelajar bersifat holistik
iii. Mengubah landskap Universiti melalui penyediaan lima
Playbook” atau Buku Panduan bagi membantu IPT
mentransformasikan institusi masing-masing. Buku Panduan
akan dilancarkan secara berkala pada tahun ini dan
berfokuskan kepada:
a. Governans dan Kecekapan Lembaga Universiti;
b. Produktiviti dan Kewangan;
c. Trek kerjaya dan pembangunan kepimpinan;
d. Pengurusan prestasi dan pelaporan kewangan; dan
5
e. Penjanaan dana dan endowmen.
Seterusnya,
iv. Mengekalkan Peruntukan dana penyelidikan berjumlah RM450
juta dan diagihkan kepada semua IPT.
v. Certificate of Quality Compliance (CQC) untuk audit MQA
dihapuskan mulai tahun ini
vi. Meningkatkan Pendidikan TVET. Pada tahun 2016, Politeknik
akan dibuka untuk kemasukan pelajar dari Negara Asean.
Sebuah politeknik lagi akan ditubuhkan, iaitu poleteknik Besut,
Terengganu, menjadikan jumlah terkini kepada 33 buah
politeknik di seluruh negara.
vii. Lonjakan kecemerlangan melalui empat (4) laluan kenaikan
pangkat kakitangan akademik, iaitu:
a. Pengajaran
b. Penyelidikan
c. Kepimpinan institusi; dan
d. Pengamal Profesional
viii. Memperkasa program MOOC. MQA telah diberi mandat untuk
melaksanakan inisiatif “MOOCs plus Credit Recognition and
Transfer. Ini akan membolehkan semua kursus MOOCs dari
Malaysia dan luar negara didaftarkan ke dalam platform
MOOCs Malaysia dan diberikan kredit, dan kredit ini boleh
6
dipindahkan untuk tujuan penganugerahan sijil, diploma dan
ijazah. Selain MOOCs, di peringkat universiti, kita juga sedang
dan akan melaksanakan blended learning. Pensyarah perlu
pandai membahagikan kandungan kurikulum kursus yang
mereka ajar kepada bahagian diajar secara bersemuka dan
bahagian yang boleh dilaksanakan secara dalam talian (e-
pembelajaran).
ix. MQA akan memperluaskan program APEL (Accreditation of
Prior Experiential Learning) untuk tujuan penganugerahan
kredit. Dan akan bakal dikenali sebagai APEL(C). Pelaksanaan
APEL(C) akan membolehkan pelajar mendapat pemindahan
kredit dari pengalaman kerja. APEL(C) juga akan
membolehkan graduan memilih tempoh pengajian sendiri yang
lebih fleksibel.
x. Memperkasakan kaedah pembelajaran melalui pendekatan/
perisian GAMIFIKASI. Pembelajaran menggunakan gamifikasi
sesuai dengan generasi sekarang yang sejak dari kecil lagi
sudah didedahkan kepada pelbagai permainan komputer.
Apabila mereka memasukki alam persekolahan mereka terus
berminat dengan permainan komputer. Selaras dengan itu,
minat mereka belajar juga bertambah apabila mereka
dibenarkan belajar dengan menggunakan permainan komputer.
Pasukan Makmal Penyelidikan diamanahkan untuk
7
membangunkan perisian berasaskan permainan komputer ini
(Gamification).
xi. Mengiktiraf keunggulan global pendidikan tinggi yang bersifat
multi-lingual (pelbagai bahasa) dan multi-disciplinary (pelbagai
bidang). Sekarang di UPSI kita telah membenarkan pelajar
PhD menulis tesis mereka dalam bahasa Tamil dan Arab selain
bahasa Melayu dan Inggeris. Kita juga menggalakkan pelajar
kita berbahasa lebih daripada dua, selain bahasa Melayu dan
Inggeris. Penubuhan Pusat Bahasa akan menyemarakkan lagi
pembelajaran pelbagai bahasa di UPSI.
xii. Transformasi kurikulum kesukarelawan melalui pengenalan
Intergrated CGPA (iCGPA). Aktiviti kesukarelawanan akan
menjadi salah satu domain yang akan dinilai di bawah iCGPA.
Pensyarah perlu menyesuaikan pengajaran mereka dengan
perkembangan ini.
xiii. Memperkasa kesepunyaan ekosistem. Berkongsi penyelidikan,
kemudahan, sijil, ijazah melalui asas kerjasama, keserakanan
bertujuan untuk mengoptimum sumber. Kita juga telah
melaksanakan dan akan terus melaksanakan mobiliti pelajar
antara universiti tempatan awam dan swasta dan juga luar
negara. Program mobiliti pelajar luar negara, kita laksanakan
melalui ISEP yang berpengkalan di Washington D.C dan juga
secara receprocal dengan beberapa buah universiti di Korea,
8
Brunei dan universiti-universiti di bawah CAPEU (Consortium of
Asia Pacific Education Universities) yang kita menjadi
pengerusi.
Sidang hadirin yang dihormati sekelian,
12. Beberapa intipati Amanat YB Menteri Pendidikan Tinggi ini akan
dijadikan asas untuk UPSI bertindak lebih proaktif pada tahun ini
selain daripada perancangan yang dirangka UPSI sendiri dalam
Pelan Strategik 2015-2020.
13. Saya percaya bahawa dalam konteks untuk membawa UPSI ke
tahap kecemerlangan yang lebih baik dan benar-benar memiliki nilai
bitaranya, maka transformasi harus diperkasakan.
14. Untuk sampai ke tahun 2020, kita mempunyai masa hanya empat
tahun lagi. Justeru, setiap perancangan yang telah dirangka adalah
bertujuan untuk membawa UPSI mencapai tingkat kebitaraannya
untuk menjadi salah sebuah universiti pendidikan ternama di Asia
Tenggara dan Asia.
Hadirin yang dihormati sekelian.
15. Sebagai pembuka kepada amanat yang akan disampaikan ini,
sukacita saya memaklumkan kepada semua warga UPSI beberapa
perkembangan terbaik yang dicapai dalam tahun 2015, antaranya;
9
i. Kejayaan menganjurkan Persidangan dan Expo Ciptaan
Institusi Pendidikan Tinggi dan Antarabangsa (PECIPTA) pada
4-6 Disember 2015 di KLCC, Kuala Lumpur. Para penyelidik
UPSI berjaya menunjukkan kecemerlangan dengan meraih
anugerah Grand Award, Best Award dan Special Award serta
memenangi 8 pingat emas, 4 perak dan 10 gangsa.
ii. Anugerah Akademik Negara. Dua orang pensyarah UPSI iaitu
Prof. Madya Dr. Raja Shafinas bt Raja Harun, dari Fakulti
Bahasa dan Komunikasi menerima anugerah bagi kategori
pengajaran Kelompok Sastera dan Sains Sosial. Manakala
Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Sedon dari Fakulti Seni,
Komputeran dan Industri Kreatif pula telah dinobatkan sebagai
penerima anugerah bagi kategori Anugerah Seni dan Kreatif.
iii. UPSI telah berjaya melalui Audit Kesediaan Autonomi Universiti
Awam yang diadakan 22 - 24 Oktober 2015.
iv. UPSI juga berjaya melepasi Audit Pematuhan MS ISO
9001:2008 yang dijalankan oleh SIRIM Berhad pada 17-18
September 2015.
v. UPSI melalui UPSI Holdings, pada 2 Mac 2015 telah berjaya
menjual produk Sistem Kewangan MyFIS kepada Lembaga
Urus Air Selangor (LUAS) dengan nilai jualan berjumlah RM
1.74 juta.
vi. UPSI juga merupakan Penerima Anugerah Sistem Pengurusan
Pembelajaran Terbaik (Pembangunan Kendiri) Nucel 2015.
10
vii. Seorang bekas Pelajar Diploma UPSI, Calvin Woo Yoong telah
menerima Queens Young Leaders Award. Beliau terpilih
daripada peserta 60 negara Komanwel.
Pelan Strategik UPSI 2015-2020
Hadirin yang dihormati sekelian.
16. Sebelum saya menjelaskan pencapaian UPSI dalam tahun 2015,
saya ingin menerangkan secara ringkas strategi yang disusun dalam
sebuah pelan yang diberi nama Pelan Strategik UPSI 2015-2020.
17. Pelan Strategik UPSI 2015-2020 adalah satu dokumen yang
terkandung di dalamnya perancangan enam tahun yang disasarkan
untuk dicapai berasaskan Lima Teras utama. Pelan ini dibuat
berasaskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan
Tinggi) 2015-2025 dan juga berasaskan pada strategi yang
ditetapkan UPSI sendiri. Setiap pencapaian diukur dan dinilai pada
objektif-objektif dalam setiap Teras menggunakan indek pencapaian
yang ditetapkan. Pelan ini walaupun mempunyai banyak KPI yang
perlu diukur, namun yang diambil kira di peringkat Kementerian
hanya 5 KPI yang akan saya bentangkan nanti.
18. Perlu diketahui, bahawa PPPM (Pendidikan Tinggi) 2015 - 2025 yang
dijadikan teras perancangan dan pembangunan Pendidikan Tinggi
Negara ini mengandungi 10 Lonjakan, iaitu;
11
i. Graduan holistik, bercirikan keusahawanan dan seimbang
ii. Kecemerlangan bakat
iii. Menghayati pembelajaran sepanjang hayat
iv. Graduan TVET berkualiti
v. Kemampanan kewangan
vi. Pemantapan tadbir urus
vii. Ekosistem Inovasi
viii. Keunggulan global
ix. Pembelajaran dalam talian tahap global
x. Transformasi penyampaiaan pendidikan tinggi
19. Bersandarkan 10 lonjakan ini dan dengan mengambil kira visi UPSI,
fasiliti dan kebolehupayaan kita, maka Pelan Strategik UPSI 2015-
2020 dirangka dengan lapan asas kecemerlangan menjelang tahun
2020. Lapan asas kecemerlangan itu ialah;
i. Mencapai kedudukan 20 terbaik dalam QS University Ranking mengikut subjek di Asia,
ii. Mencapai kedudukan 300 terbaik dalam QS World Ranking,
iii. Mencapai kedudukan 50 terbaik di QS Asia University Ranking,
iv. Mencapai sekurang-kurang satu pengiktirafan badan antarabangsa,
v. Mempunyai sekurang-kurangnya Sebuah Pusat Kecemerlangan Berprestasi Tinggi (HiCOE),
vi. Memperolehi taraf autonomi universiti,
vii. Mencapai tahap Tier 5 dalam MyRA (sekarang 3 bintang), dan
12
viii. Mencapai Tier 6 dalam SETARA (sekarang 5).
20. Pelaksanaan program-program dalam Pelan Strategik UPSI
distrukturkan mengikut tiga fasa, iatu;
i. Fasa 1 dengan temanya, Memerkasa Transformasi
Kebitaraaan UPSI (2015-2016)
ii. Fasa 2, dengan temanya, Melestarikan Kebitaraan UPSI (2017-
2018)
iii. Fasa 3, dengan temanya, Kecemerlangan UPSI di Asia (2019-
2020).
21. Saya berharap, dengan harapan yang sungguh-sungguh agar
semua pihak khususnya ahli akademik, pegawai sokongan
mengambil berat usaha-usaha mencemerlangkan universiti
berasaskan Lima Teras yang ditetapkan ini.
Pencapaian 2015 berasaskan KPI YB Menteri Pendidikan Tinggi
22. Untuk makluman tuan/puan sidang hadirin sekalian, mulai hujung
tahun 2015 dan secara rasminya bermula tahun 2016 ini, pihak
Universiti akan merujuk kepada KPI YB Menteri Pendidikan Tinggi
Malaysia dalam memantau pencapaian KPI universiti. Di samping itu,
KPI Universiti sedia ada sepertimana yang termaktub dalam Pelan
Strategik UPSI 2015-2020 akan terus dipantau dan dilaksakan di
peringkat Universiti. KPI YB Menteri akan dipantau oleh LPU setiap
dua bulan dan juga pihak Kementerian.
13
23. Lima (5) KPI YB Menteri yang perlu universiti penuhi, ialah: (1) Yang
pertama, Kebolehpasaran graduan (Graduate employability). Telah
ditetapkan oleh KPT, 80% semasa majlis konvokesyen bagi tahun
2015. Pada konvokesyen yang lepas kita mencapai 86% melepasi
target KPT. Pada tahun 2016, KPI untuk kebolehdapatan kerja yang
ditetapkan KPT ialah 85%. InsyaAllah kita sedang merancang
pelbagai aktiviti di bawah TNC(HEPA) untuk memastikan graduan
kita mendapat kerja pada tahun ini seperti disasarkan. (2) KPI kedua
ialah jumlah pelajar antarabangsa. Pada tahun 2015 jumlah pelajar
antarabangsa yang diberikan kepada UPSI ialah 400. Pencapaian
kita tidak begitu memuaskan, dan kita tidak mencapai target yang
ditetapkan. Jumlah pelajar antarabangsa yang datang ke UPSI
hanyalah 295 orang. Satu jumlah yang jauh daripada target. Pada
tahun 2016, target yang perlu kita capai masih lagi dikekalkan 400
orang. Usaha mesti dilakukan untuk membawa masuk lebih ramai
lagi pelajar antarabangsa. TNCA dan TNC(PI) diamanahkan untuk
memastikan sasaran ini tercapai. Semua pihak di peringkat PTj perlu
membantu. (3) KPI ketiga ialah Penyelidikan, penerbitan dan sitasi.
Target untuk kita capai ialah 0.5 (tahun 2015) untuk penerbitan dalam
jurnal dan prosiding berindeks. Pada tahun 2015 kita hanya
mendapat 0.22, jauh daripada target. Pada tahun 2016, target untuk
kita capai masih dikekal pada 0.5, dan sekarang kita hanya
mendapat 0.17. Usaha mesti dilakukan untuk kita mencapai target
yang ditetapkan. KPI untuk sitasi bagi tahun ini ialah 4 sitasi bagi
setiap pensyarah. TNC(PI) diamanahkan untuk berusaha
memastikan sasaran ini tercapai. (4) KPI keempat ialah penjanaan
14
pendapatan, dikira % pendapatan yang dijana sendiri daripada
keseluruhan perbelanjaan operasi. Pada tahun 2015, UPSI
ditetapkan 15%. Kita memperolehi 17%, melepasi sasaran. Pada
tahun 2016, sasaran yang ditetapkan kepada UPSI ialah 18%.
InsyaAllah kita akan mencapai sasaran ini. (5) KPI kelima ialah
produktiviti dan keefisienan kos. Ini dikira mengikut kadar keciciran
pelajar dan bergraduat dalam tempoh masa (Graduation on Time
(GOT)). Target yang diberikan kepada UPSI ialah keciciran pelajar
10%. GOT untuk pelajar ISM ialah 95%, Master 33% dan PhD 38%.
Saya berharap kita berusaha bersungguh-sungguh sebagai
penasihat akademik dan penyelia untuk memastikan pelajar di bawah
bimbingan kita akan bergraduat dalam tempoh masa yang
ditetapkan. Antara caranya ialah membimbing pelajar dengan lebih
kerap lagi dan juga mengadakan penyeliaan bersama dengan
pensyarah yang lain. Itulah lima KPI yang diberikan kepada universiti
komprehensif seperti UPSI, UUM dan beberapa buah UA yang lain.
Bagi MTUN sebanyak 6 KPI dan RU sebanyak 7 KPI.
24. Selain daripada 5 KPI yang ditetapkan kepada UPSI, pihak universiti
juga telah memilih empat KPI utama kita sendiri yang terdapat dalam
Pelan Startegik UPSI 2015-2020 sebagai KPI tambahan. KPI
tambahan tersebut ialah: (1) Bilangan Penyelidikan Bidang
Pendidikan, ditetapkan sasaran 50 bilangan penyelidikan bidang
pendidikan pada tahun ini berbanding 15 sahaja pada tahun lepas,
(2) Geran Knowledge Transfer Programme (KTP) ditetapkan sasaran
sebanyak RM1.5 juta berbanding pencapaian RM1.1 juta tahun
15
lepas, (3) Jumlah dana melalui program NBOS di bawa UCTC
disasarkan sebanyak RM200,000 berbanding pencapain RM50,000
pada tahun lepas, dan yang terakhir (4) Peratusan jumlah graduan
sebagai Usahawan disasarkan sebanyak 5% atau 500 orang
berbanding 0.5% (50 orang) tahun lepas. Tuan/puan sidang hadirin
yang saya hormati sekalian, keempat-empat KPI ini akan saya
huraikan lebih lanjut di bahagian Cabaran dan Sasaran 2016 nanti.
25. Untuk makluman sidang hadirin juga, mulai tahun ini bagi mencapai
sasaran KPI YB Menteri Pendidikan Tinggi kepada UPSI, maka KPI
Universiti ini telah diselaraskan dengan Laporan Nilaian Prestasi
Tahunan (LNPT). Boleh saya maklumkan terdapat beberapa
perubahan pada LNPT tahun 2016 ini, sebagaimana akan diberi
penerangan oleh Y.Bhg. Timbalan Naib Canselor (Akademik dan
Antarabangsa). Kriteria lebih lanjut mengenai perubahan pada LNPT
baharu ini, tuan/puan boleh perolehi daripada TNC (AA) dan TNC
(PI) atau Bahagian Sumber Manusia sendiri selepas ini. Perubahan
pada LNPT ini perlu dilaksanakan pada tahun ini, kerana ia
merupakan cara terbaik setakat ini, untuk kita mencapai sasaran KPI
YB Menteri Pendidikan Tinggi, yang diperturunkan sebagai KPI KSU,
KPI KPPT, KPI TKPPT, KPI NC, KPI TNC-TNC, KPI Dekan, KPI
Timbalan Dekan, KPI Ketua Jabatan, dan KPI Pensyarah sendiri.
16
Hadirin yang dihormati Sekelian.
26. Demikianlah, beberapa pencapaian UPSI dalam tahun 2015
berasaskan KPI YB Menteri Pendidikan Tinggi. Melihat dan
menghalusi pencapaian tahun 2015, saya menyedari betapa kita
harus bergerak dengan langkah yang lebih perkasa pada tahun
2016 agar pencapaian baik pada tahun lalu dapat dikekalkan atau
ditingkatkan, manakala beberapa KPI yang masih belum dapat
dicapai diberi tumpuan yang lebih khusus dan tindak kerja yang lebih
bersungguh-sungguh lagi agar kita dapat capai sasaran yang
ditetapkan pada tahun ini.
27. Analisis yang kita lakukan membuktikan bahawa UPSI mempunyai
kekuatan tersendiri dengan keupayaan akademik pensyarahnya,
fasiliti dan prasarana yang ada serta peluang-peluang yang
membuka banyak ruang untuk bergerak dan bertindak.
28. Saya juga menyedari bahawa transformasi yang berlaku sebelum ini
agak perlahan, berdikit-dikit dan masih kurang menampakkan
lompatan saujananya, ketuntasannya dan keperkasaannya. Justeru,
nilai bitara yang kita hambati untuk sampai pada tahun 2020
kelihatan masih jauh dan berbalam.
29. Memahami keupayaan, kelebihan, kekurangan dan peluang yang
ada, dan dengan perancangan yang tersusun dalam Pelan Strategik
UPSI 2015-2020, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(Pendidikan Tinggi) 2015 – 2025 dan KPI YB Menteri, saya
17
mengusulkan gerak kerja kita pada tahun 2016 bergerak atas tema
`MEMERKASAKAN TRANSFORMASI KEBITARAAN UPSI`.
30. Marilah kita berusaha lebih gigih dengan mengoptimumkan
keupayaan akademia, pemikiran kreativiti dan inovatif untuk
mencapai cita-cita menjadikan UPSI sebagai sebuah universiti bitara
dalam kepimpinan pendidikan di Asia pada tahun 2020.
Hadirin yang dihormati sekelian.
Memerkasa Transformasi Kebitaraan UPSI
31. Tema yang digagaskan ini membawa suatu iltizam dan komitmen
yang khusus pada tahun ini iaitu untuk memerkasa usaha
transformasi bagi mengupayakan secara optimum tenaga akademik
dan pentadbiran UPSI melaksanakan perancangan seperti yang
termaktub dalam Pelan Strategik UPSI 2015-2020, PPPM(PT)
2015-2025 dan KPI YB Menteri.
32. Transformasi harus berlaku dalam semua aspek, mengikut
keupayaan dan bidang masing-masing. Transformasi Kebitaraan
UPSI perlu bergerak secara menyeluruh di dalam UPSI ini, di negeri
Perak sendiri, dalam negara dan juga ke luar negara, sehingga
menampakkan UPSI bukan sahaja terkenal dengan kegemilangan
sejarahnya, tetapi juga dengan kekuatan akademianya, kreativiti dan
inovasinya dalam pelbagai bidang.
18
33. Saya yakin, bahawa usaha memerkasa transformasi kebitaraan UPSI
pada tahun 2016 boleh dilakukan dengan baik, kerana UPSI
memiliki beberapa kelebihan yang menjadi tunggak kekuatannya,
antaranya ialah:
i. Jumlah ahli akademik yang memiliki Ph.D telah mencapai 70
peratus daripada jumlah keseluruhan ahli akademik yang ada.
Semua ahli akademik dimestikan mempunyai geran
penyelidikan, berkarya menghasilkan artikel jurnal dan buku
akademik, membuat aktiviti perundingan dan juga khidmat
masyarakat.
ii. Kemudahan prasarana yang tersedia yang telah menyediakan
ruang untuk pensyarah mengambil manfaat daripadanya,
seperti;
a) NCDRC, menawarkan geran penyelidikan dalam bidang awal
kanak-kanak.
b) Makmal Penyelidikan Pendidikan.
c) Kompleks Sukan - kini sedia untuk digunakan
d) Kemudahan Sistem Maklumat Bersepadu
e) Pusat Hospitaliti, dijangka siap pada bulan Jun tahun 2016 dan
insyallah akan dapat digunakan pada bulan September 2016.
f) Pembangunan Kampus Cawangan UPSI di Teluk Intan yang
akan menjadi pusat pengajian ilmu teknikal dan vokasional.
19
Selain itu, kampus ini juga akan menjadi hub kepada
penyelidikan pendidikan teknikal dan vokasional negara.
Sidang hadirin yang dihormati sekelian.
34. Kita harus menyedari bahawa UPSI pada masa kini sudah terkenal
dalam tiga bidang yang boleh saya anggap sebagai `trade mark`
UPSI. Ini adalah `wow factor` yang menaikkan bendera kebitaraan
UPSI. Tiga bidang itu ialah;
i) Model pendidikan guru. UPSI sedang membangunkan model
pendidikan guru menerusi penyelidikan yang diketuai oleh TNC
(P&I). Dengan terhasilnya Model Pendidikan Guru ini, ianya
akan menjadi rujukan dan panduan kepada program latihan
perguruan di Malaysia dalam melahirkan guru yang berkualiti,
berbakat dan berpengetahuan.
ii) Pendidikan Awal Kanak-Kanak. UPSI sebagai satu-satunya
Universiti Pendidikan di Malaysia menjadi benchmark kepada
program standard Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Malaysia
dengan menawarkan program di peringkat Diploma, Ijazah
Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah. Program diploma
dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak-
kanak) merupakan program pasaran terbuka (Open Market) di
mana program ini tidak terikat dengan unjuran KPM. Selain itu,
graduan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
(Pendidikan Awal Kanak-kanak) kebanyakkannya bekerja di
Taska PERMATA, Kolej Swasta, bidang-bidang berkaitan
20
dengan pendidikan awal kanak-kanak serta menampung
permintaan keperluan taska dan tadika swasta di seluruh
negara.
Berkesinambungan daripada Program Pendidikan Awal Kanak-
Kanak ini juga, UPSI telah melebarkan sayapnya dengan
mewujudkan Pusat Data Kanak-Kanak Negara (NCDC) di
bawah seliaan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-
kanak Negara (NCDRC) yang telah ditubuhkan di UPSI
semenjak tahun 2006. NCDRC merupakan sebuah pusat
rujukan kebangsaan bagi menjalankan penyelidikan berkaitan
dengan perkembangan dan pembangunan kanak-kanak dan
turut membantu Majlis Penyelarasan Dasar Permata Negara
dalam melaksanakan Program Perintis “Setiap Anak Permata
Negara”.
iii) Mempelopori pembelajaran dan pengurusan berasaskan
aplikasi dalam talian yang dinamakan sebagai Virtual Campus
Learning System (VCLS). Ianya merupakan sebuah kerangka
e-Pembelajaran di UPSI yang berpaksikan kepada
pengkomputeran awan. VCLS terdiri daripada tiga sistem e-
Pembelajaran utama iaitu MyGuru, Open4Learn dan
MobiLearn. MyGuru bertindak sebagai sistem pengurusan e-
Pembelajaran UPSI yang menjadi medium komunikasi dan P &
P secara atas talian. Insyallah, kita akan berusaha menjadikan
UPSI sebagai pusat data pendidikan guru negara. Di samping
itu, UPSI juga akan mempelopori kaedah pengajaran
21
berasaskan animation/gaming. Usaha ini insyallah boleh
dilaksanakan kerana baru-baru ini UPSI telah menerima
anugerah Sistem Pengurusan e-Pembelajaran Terbaik
(Pembangunan Kendiri) sempena NUCEL 2015.
35. Di hadapan kita terbuka luas ruang untuk ahli akademik mencari apa
sahaja peluang untuk mendapat geran penyelidikan, perkongsian
(Smart partnership) yang menguntungkan dengan pelbagai agensi
dan pihak luar. Peluang ini terbuka dengan beberapa perkembangan
baharu yang berlaku di Tanjong Malim, antaranya;
a. Pemilihan Tanjong Malim sebagai 1 Malaysia Youth City,
dan pada hari Ahad ini 31hb Januari 2016, aktiviti berbasikal
akan diadakan dan melibatkan YB Menteri Perumahan dan
Kerajaan Tempatan. Semua dijemput hadir.
b. Pengisytiharan Daerah Muallim sebagai daerah baharu.
Cabaran dan Sasaran Untuk Dicapai Pada tahun 2016
a) Pelajar Antarabangsa, Ranking Universiti dan Penerbitan
Hadirin sekalian, 36. Pada tahun 2015, enrolmen pelajar antarabangsa berjumlah 295
orang sahaja. Jauh daripada apa yang yang disasarkan dalam Pelan
Strategik UPSI. Kemasukan pelajar antarabangsa menjadi fokus
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan menjadi salah satu KPI
YB Menteri. Pada tahun 2015, UPSI mensasarkan untuk membawa
22
masuk seramai 400 pelajar antarabangsa dalam pelbagai peringkat
pengajian. Namun sasaran ini tidak tercapai. Semua pihak perlulah
membantu dalam usaha untuk membawa masuk pelajar
antarabangsa ini ke UPSI. Pada tahun 2016, sasaran 400 pelajar
antarabangsa dikekalkan.
37. Fakulti-Fakulti, Institut Pengajian Siswazah (IPS), Bahagian
Antarabangsa dan juga Pusat Perhubungan Alumni mestilah duduk
semeja membentuk jawatankuasa bertindak bersama untuk
memerkasakan usaha-usaha sedia ada dan merancang usaha
membawa pelajar luar negara ke UPSI.
38. Di samping itu, perlu juga diwujudkan program-program silang
budaya untuk pelajar antarabangsa terutama pada waktu semester
sebagai satu tawaran kepada mereka belajar di UPSI. Perlu ada
jaringan kerjasama dengan komuniti setempat untuk menjayakan
usaha ini.
39. Bagi mengalakkan kemasukan pelajar antarabangsa, UPSI juga akan
menyediakan beberapa kemudahan untuk pelajar antarabangsa
menerusi program zamalah, potongan yuran pengajian atau diskaun
(tution fee) kepada pelajar dari Thailand dan Indonesia, dan juga
pelajar dari negara miskin atau bermasalah.
40. Usaha sepadu perlu digerakkan bagi memastikan berlaku hubungan
muhibbah UPSI dengan Badan Biasiswa Luar Negara seperti
Lembaga Pengelola Dana Pendidikan Indonesia, Dongfang
23
International Center for Educational Exchange, China Scholarship
Council supaya nanti memudahkan pelajar-pelajar dari negara
mereka dihantar ke UPSI sebagai dentinasi pengajian luar negara
mereka.
41. Perlu ada fokus daripada aspek perancangan, sasaran negara dan
jumlah pelajarnya, program yang diutamakan untuk ditawarkan dan
strategi yang paling efektif untuk memastikan pelajar antarabangsa
ini boleh dibawa masuk untuk belajar di UPSI.
42. Dalam hal ini, Pusat Perhubungan Alumni dan Persatuan Alumni
Suluh Budiman (PASB) perlu membantu mengaktifkan alumni UPSI
di luar negara, selain daripada Thailand dan Indonesia seperti yang
dilakukan sekarang, UPSI pada masa ini sudahpun mempunyai
alumni di China, Iraq, Nigeria, Brunei, Libya, Turki, Namibia,
Pakistan, UK, Tanzania, Kemboja dan Singapura.
43. Bagi memastikan usaha untuk menempatkan UPSI pada kedudukan
300 QS Asia University ranking, para ahli akademik dimestikan
meningkatkan daya usaha untuk memperbanyakkan penulisan
artikel jurnal berindeks yang dihantar ke jurnal scopus, ERA dan ISI
untuk terbitan. Ahli akademik haruslah berkerja dalam satu pasukan,
silang kemahiran dan silang fakulti bagi memastikan guna tenaga
akademik yang ada dapat diperkasakan dan dapat dikembangkan
menerusi peranan bidang ilmu yang lain.
24
44. Dengan tindakan ini saya berharap nisbah perkadaran ahli akademik
dengan jumlah penulisan dalam jurnal berindeks pada tahun 2016
akan mencapai 0.5.
45. Di samping itu, kita perlu juga sentiasa sedar tentang citation index.
Perluaskan sebaran penulisan dan mempromosi karya kita untuk
dirujuk/dipetik oleh rakan-rakan kita sebagai rujukan akademik.
Aspek Citation ini dijadikan salah satu KPI Menteri yang mengukur
dan menilai sesebuah universiti berdasarkan penyelidikan,
penerbitan dan nisbah citation per lecturer. KPI yang ditetapkan
pada tahun 2016 ialah 4. Ini bermakna setiap pensyarah mesti
dirujuk sebanyak 4 kali hasil penulisan mereka.
b) Penyelidikan, perundingan, Inovasi dan pengkomersialan
46. UPSI akan terus memerkasakan lagi transformasi kebitaraan dalam
bidang penyelidikan. Beberapa petunjuk pencapaian tahun 2015
dapat dijadikan sandaran bahawa UPSI mampu melakukannya.
Cuma yang penting ialah kesediaan kita untuk beranjak dan
mengandakan sedikit lagi keupayaan kita. Pada tahun 2016 kita
mensasarkan untuk memperolehi geran KTP melalui 50 projek
dengan nilai yang disasarkan berjumlah RM1.5 juta.
47. Manakala sasaran Jumlah Dana diterima melalui program NBOS di
bawah UCTC bagi tahun 2016 ialah RM200,000.00. Dengan dana ini
kita boleh memerkasakan lagi usaha-usaha mempertingkatkan
25
kualiti graduan supaya menjadi seimbang dan holistik sejajar dengan
Teras 2 Pelan Strategik UPSI, “Mempertingkat Kualiti Graduan Yang
Holistik dan Seimbang”.
48. Penempatan UCTC di bangunan Bitarasiswa dengan pelbagai
kemudahan yang ada sepatutnya akan meningkatkan lagi usaha dan
peranan UCTC pada tahun 2016 dan juga pada tahun-tahun akan
datang. Pelajar yang akan tamat pengajian perlu disediakan dengan
pelbagai program yang boleh menyalurkan kemahiran mereka ke
laluan kerjaya setelah tamat pengajian di sini.
49. Ini merupakan satu cabaran besar bagi UPSI, kerana kita telah
membuka program pengajian secara `open market`, maka kita juga
perlu menyediakan program-program yang dapat membuka laluan
kerjaya pelajar dalam pasaran terbuka ini. Pada tahun 2016 juga
UPSI mensasarkan peratus jumlah graduan sebagai usahawan
ialah seramai 500 orang. Saya berharap UCTC, Pusat
Pembangunan Usahawan dan Fakulti Ekonomi mengambil perkara
dan sasaran ini sebagai satu tanggungjawab.
50. Bidang pengkomersialan masih berada pada tahap sederhana.
Prestasi penjanaan pendapatan daripada produk inovasi masih tidak
mencapai angka yang disasarkan. Justeru, pada tahun 2016, usaha
ini perlu diperkasakan lagi. RMIC dengan kerjasama fakulti dan
Institut penyelidikan (IPM dan NCDRC) serta Makmal Penyelidikan
Pendidikan perlu melihat secara lebih spesifik hasil-hasil
26
penyelidikan yang ada untuk diperkasakan menjadi kerangka
membina inovasi. Aspek inovasi dan komersial perlu juga diambilkira
dalam pertimbangan meluluskan proposal penyelidikan di peringkat
fakulti dan juga Institut dan Makmal Penyelidikan.
Hadirin yang dihormati sekelian
c) Kemampanan Kewangan
51. Dalam waktu kita melaksanakan tugas, merancang dan
melaksanakan pelbagai program, kita tidak boleh lupa sama sekali
dengan keupayaan kewangan yang menjadi tunggak sesuatu
kejayaannya. Kemanpanan Kewangan menjadi satu isu besar dalam
setiap masa, dan pada tahun 2016 isu ini menampakkan situasi
semakin kritikal.
52. Inilah salah satu cabaran terbesar bagi kita, kerana dalam waktu kita
bergerak lebih maju, lebih agresif memerkasakan segala usaha
untuk memajukan Universiti ini, kita dikekang dengan masalah
kewangan.
53. Namun begitu, kita tidak boleh putus asa dan menyerah kalah. UPSI
mengambil jalan tengah dengan mengamalkan budaya belanja
secara berhemah di samping memperkenal beberapa tindakan untuk
mengurangkan kos khususnya bagi perbelanjaan yang bersifat
belanja hangus.
27
54. Semua orang tahu bahawa peruntukan bagi sektor pendidikan telah
dikurangkan sebanyak 15 peratus dalam budget 2016.
Pengurangan ini memberi kesan langsung kepada semua IPTA.
Kaedah pembahagian peruntukan pula telah diubah. Hal ini telah
telah saya jelaskan sebelum ini dalam perhimpunan bulan Disember
2015.
55. Namun, secara ringkasnya saya ingin maklumkan bahawa
peruntukan kali ini akan disandarkan pada petunjuk prestasi, special
initiative insentive, dan insentif inovasi. Ini bermakna budget
tambahan akan diberikan jika IPTA berjaya menunjukkan adanya
inisiatif dan inovasi. Sebanyak 5% diperuntukan untuk tujuan ini.
56. UPSI akan terus bergerak ke hadapan dengan tekad untuk
memerkasakan transformasi kebitaraan. Bagi menjamin kewangan
UPSI berada dalam keadaan berimbang, stabil dan tiada ketirisan,
maka sangat penting semua PTj mengambil langkah-langkah
perbelanjaan berhemah.
57. Berhemah tidak bermaksud kedekut atau tidak berbelanja langsung,
tetapi mengamalkan ketelitian, keseimbangan, bertindak mengikut
keutamaan, berfikir untuk memberi dan menerima, berfikir tentang
untung rugi dan menimbang kesan-kesan masa hadapan. Inilah
yang perlu diambil perhatian oleh semua PTj supaya setiap sen
yang dibelanjakan dapat memberi keefisienan pulangan kepada
universiti. Mana-mana pihak yang tidak berbelanja akan di ambil
tindakan oleh pengawal kewangan kementerian, iaitu KSU. Kita
28
diminta menggunakan wang kita sendiri dahulu dan diikuti dengan
wang pemberian kementerian. Sebanyak RM153 juta adaah
pemberian kerajaan untuk belanja mengurus dan jumlah
perbelanjaan keseluruhan UPSI untuk tahun 2016 ialah RM205 juta.
Ini bermakna sebanyak RM52 juta adalah wang yang kita cari dan
diminta berbelanja dahulu. Pihak Bendahari lebih arif dalam
pembahagian wang pemberian kementerian dan wang carian UPSI
untuk dibelanjakan. Kita akan memastikan budget pengurusan tahun
ini akan dibelanjakan sepenuhnya supaya pada tahun hadapan kita
akan mendapat budget sepertimana dirancangkan.
58. Selain itu, budget bagi perjalanan ke luar negara dan one off tidak
diberikan lagi dalam budget tahun ini. Bagaimanapun, pihak
Bendahari memberi sedikit peruntukan untuk tujuan ini dengan
menggunakan peruntukan dalaman. Pihak TNCA yang diamanahkan
mengawal peruntukan kewangan keluar negara dengan cara yang
baik supaya tidak timbul keadaan tidak diingini. Dalam situasi yang
dinyatakan tentang kedudukan kewangan UPSI, Ketua PTj harus
mengambil langkah mengurus kewangan secara berhemah,
mengutamakan keberkesanan sesuatu program dan
mempertingkatkan usaha menjana kewangan sendiri. Pihak
pengurusan universiti menggalakan usaha ini dan wang yang
dikumpulkan boleh digunakan untuk pelbagai tujuan yang difikirkan
perlu dan berfaedah kepada PTj masing-masing.
59. UPSI juga telah dan sedang mengambil langkah-langkah penjimatan
tenaga elektrik. Satu jawatankuasa yang dikenali sebagai
29
Jawatakuasa Penjimatan Utiliti berperanan merangka strategi
penjimatan. Semua warga UPSI harus mengambil berat soal
penjimatan dan membudayakan amalan ini. Antara langkah yang
perlu dilaksanakan ialah;
i. Padamkan komputer sepenuhnya sebelum pulang dari tugas
ii. Tetapkan kadar suhu pada 24C
iii. Tutup semua suiz yang tidak digunakan.
iv. Menggunakan aset sedia ada dan secara gunasama.
v. Penggunaan operasi secara online bagi mengurangkan
penggunaan kertas.
60. Perkara yang saya sebutkan ini berkait secara langsung dengan dua
KPI Menteri iaitu, KPI ke-4, income generation dan KPI ke-5
productivity and cost efficiency. Ini bermakna menjana kewangan
sendiri adalah satu keperluan bagi kita terutama dalam konteks
untuk menampung pelbagai kegiatan di peringkat PTj dan juga
universiti.
61. PTj termasuk Fakulti, Pusat dan Institut, mestilah mengaktifkan dan
memerkasakan pusat kecemerlangan (Center of Excellent) masing-
masing. Fungsi Pusat kecemerlangan wajar diluaskan supaya
makna kecemerlangan itu tidak tertumpu kepada kecemerlangan
bidang penyelidikan semata-mata, tetapi perlu menambah fungsi
kepada aspek menjana sumber kewangan dan perundingan dengan
menggunakan kepakaran. Wang yang diperoleh itu digunakan untuk
menyemarakkan lagi penyelidikan yang sedang dijalankan. Apabila
30
kriteria dipenuhi, CoE ini diharap menjadi HiCoE yang dapat
menjana lebih banyak kewangan dan menaikkan nama dan imej
UPSI.
Hadirin yang dihormati sekelian
d) Memerkasakan Kualiti Tadbir Urus
62. Kejayaan transformasi Kebitaraan UPSI sebenarnya banyak
disokong oleh presentasi tadbir urus. Elemen integriti dan
akauntabiliti dalam pengurusan perkhidmatan menjadi aspek
terpenting yang memperlihatkan sebuah presentasi perkhidmatan itu
berkualiti atau sebaliknya.
63. Kita semua adalah pemain terpenting dalam tadbir urus universiti,
dan kitalah juga pihak yang akan menentukan kejayaan atau
kegagalannya. Kerana itu, harus wujud kesedaran dalam diri kita
bahawa setiap daripada kita adalah penyumbang kepada sebuah
tadbir urus yang baik dan berkualiti di universiti ini.
64. UPSI boleh menarik nafas lega, kerana KPI yang menunjukkan
jumlah pensyarah yang berkelulusan Ph.D sudah mencapai
sasarannya. Namun begitu, bagi pensyarah yang masih belum
menyiapkan Ph.D mestilah melipat gandakan usaha untuk
menyiapkannya, memerkasakan daya kesarjanaan pada tahun 2016
ini supaya tanggungjawab akademik kepada Universiti ini dapat
dilunasi. Jangan ada yang sanggup mengejar untuk mengajar
kursus-kursus di luar kemampuannya, seperti PJJ, kursus yang
31
ditawarkan oleh IPT lain di luar UPSI atau mengajar kursus-kursus
eksekutif, sedangkan tanggungjawab menyiapkan Ph.D diabaikan.
Sikap seperti ini tidak patut berlaku dan perlu dielakkan. Jangan kita
sibuk memasang atap di rumah seberang, tiris atap di rumah sendiri
dibiarkan.
65. Kita juga mensasarkan pada tahun 2016 ini, sejumlah 85-90 peratus
staf UPSI memperolehi markah LNPT melebihi 85 peratus. Jika
dasar baharu dikuatkuasa, ada kesan ke atas perkhidmatan staf
yang mendapat markah LNPT bawah paras 60 peratus. Kerana itu,
saya menyeru supaya semua staf memerkasakan keupayaan diri
dalam bidang tugas masing-masing pada tahun 2016 dan
mengambil cakna aspek-aspek penting yang dijadikan asas
penilaian supaya setiap komponen penilaian dapat dipenuhi apabila
penilaian prestasi 2016 dibuat nanti. Sebagaimana yang saya
maklumkan di awal ucapan tadi, tuan/puan boleh mendapatkan
kriteria yang digunapakai dalam LNPT 2016 ini secara detail
daripada TNCA dan TNCPI dan juga Bahagian Sumber Manusia.
66. Bagi menyediakkan staf dan pelajar UPSI dengan minda kreatif dan
bermandiri, Pada tahun 2015, UPSI telah menghantar ramai staf
akademik dan bukan akademik mengikuti kursus NLP (Neuro
Linguistic Program) di Pasir Salak. Semua yang menyertainya
telahpun memperolehi sijil masing-masing yang disampaikan oleh
YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh di Putrajaya.
32
67. Kursus ini amat penting bagi UPSI dalam menyediakan jurulatih-
jurulatih yang berkebolehan untuk melatih staf dan pelajar UPSI.
Progam NLP ini sesuai dengan gagasan `memerkasakan
transformasi kebitaraan UPSI` kerana komponen kursusnya adalah
bertujuan untuk membina potensi diri dan keupayaan berfikir untuk
menyelesaikan masalah.
68. Untuk mencapai hasrat ini, UPSI telah mewujudkan satu pusat bagi
menggerakkan program NLP di peringkat Universiti. Pusat ini
diletakkan dibawah potfolio Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan
diketuai oleh seorang Pengarah. Kita berharap Pusat ini akan
berfungsi dalam bulan Februari depan.
69. Pada tahun 2016 juga, kita mahu supaya tahap kepuasan
pelanggan/pekerja mencapai 90 peratus. Kita mahu staf dan juga
pelanggan yang berurusan dengan pengurusan Universiti berasa
lebih selesa, harmoni, mesra dan menyakinkan. Beberapa aspek
yang sering menjadi bahan kritikan adalah seperti tempat letak
kereta, dan keselamatan lalu lintas di kampus Sultan Azlan Shah
dan lain-lain aspek lagi.
e) Penerbitan dan Kegiatan Anak Syarikat UPSI
70. Seperti yang telah saya sebutkan pada awal ucapan ini bahawa ahli
akademik mestilah mempertingkatkan kegiatan penulisan terutama
artikel jurnal dan buku akademik. Kegiatan ini akan lebih berjaya dan
33
bermakna sekiranya dibantu dengan baik oleh Pejabat Karang
Mengarang.
71. Demikian juga dengan kegiatan penerbitan oleh Pejabat Karang
Mengarang. Selain daripada menerbitkan buku-buku akademik,
Pejabat Karang Mengarang juga perlu menerbitkan manuskrip karya
bukan akademik yang berpotensi menjana pemikiran kreatif dan
kritis.
72. Pada tahun 2016 ini juga, Pejabat Karang Mengarang disarankan
supaya memberi fokus kepada usaha memerkasakan usaha
pemasaran agar nilai pendapatan dari sumber jualan buku boleh
mencecah RM450,000.00 ke RM500,000.00.
73. Peranan Pejabat Karang Mengarang sangat penting bagi membantu
Universiti mencapai Objektif 4 yang ditetapkan dalam Teras 5 Pelan
Strategik UPSI, iaitu “Meningkatkan keberkesanan dan kecekapan
operasi dan tadbir urus”.
74. Demikian juga dengan UPSI Holdings yang menjadi salah satu
tunggak penjanaan sumber pendapatan Universiti. Pada tahun 2015,
UPSI Holdings telah menyumbangkan hampir setengah juta kepada
pendapatan Universiti. Walaubagaimanapun jumlah ini masih belum
mencapai sasaran yang ditetapan iaitu RM800 ribu.
34
75. Pada tahun 2016, UPSI Holdings perlu menerokai peluang
perniagaan yang lebih luas dan berimpak untung yang tinggi,
berskala sederhana dan besar dengan harapan sasaran untuk
membawa pendapatan kepada Universiti dengan jumlah RM1 juta
dapat dicapai. Kita berharap, CEO UPSI Holdings yang baharu iaitu
Tuan Haji Nazri Saad dapat melakukan usaha memerkasakan
transformasi UPSI Holdings agar mampu berdaya saing, mampu
meneroka peluang baharu dan meraih pendapatan yang lebih besar
pada tahun 2016.
Hadirin yang dihormati sekelian.
f) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni
76. Saya ingin menyentuh beberapa perkara yang berkait dengan hal
ehwal pelajar dan alumni. Pelajar adalah pelanggan utama kita. Oleh
itu, perhatian yang berterusan perlu diberikan terutama yang berkait
dengan penempatan dalam kerjaya, kebajikan, pembentukan
sahsiah terpuji, perkhidmatan selepas bergraduat dan pembinaan
nilai jati diri anak kandung suluh budiman.
77. Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni dan Pengetua Kolej
perlu lebih proaktif memerkasakan apa jua tindakan untuk
memastikan kebajikan pelajar di kolej dan di fakulti berada dalam
keadaan menyakinkan pelajar.
35
78. Sekarang ini, timbul isu pelajar univiersiti yang mengikat perut kerana
tidak makan atau tidak cukup makan. Isu ini telah sampai ke
peringkat kementerian dan telah diambil tindakan untuk
menyelesaikannya. Namun, di peringkat UPSI, kita harus sentiasa
memantau, kerana realitinya pelajar tidak mudah untuk menyatakan
kesusahannya secara terbuka. Sifat malu begini kadangnya tidak
bertempat.
79. Sebelum masalah ini menjadi lebih parah, perlu ada tindakan
bersepadu di antara Hal Ehwal Pelajar, Pusat Islam, Pusat
Kesihatan UPSI dan Fakulti untuk mengenal pasti pelajar-pelajar
yang benar-benar menghadapi masalah kewangan. Telah muncul
dalam facebook dan aplikasi whatsapp, keluhan dan rintihan pelajar
UPSI yang tidak cukup makan dan tidak mendapat perhatian
sewajarnya daripada pihak Universiti. Kita ingin pastikan pada
tahun 2016, tiada lagi isu pelajar UPSI yang tidak cukup makan dan
tidak diberi perhatian atas kebajikannya.
80. Kita juga tidak mahu, masalah kebajikan yang kurang diberi perhatian
menjadi punca kemerosotan akademik, longgarnya nilai jati diri ibu
kandung dan juga menjadi punca timbulnya protes atau tunjuk
perasaan dalam pelajar. Pencapaian graduan kita pada tahun 2015
sungguh membanggakan. Seramai 23% graduan daripada 13,000
graduan mendapat kelas pertama dan tiada graduan mendapat
kelas ketiga. Prestasi semestinya dikekalkan. Justeru, kita tidak
36
mahu isu-isu kebajikan pelajar boleh menjadi punca merosoknya
kecemerlangan pelajar.
81. Kita harus sedar bahawa kerajaan meletakkan pelajar sebagai subjek
utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(Pendidikan Tinggi) menerusi Lonjakan 1, iaitu melahirkan graduan
holisitik, bercirikan keusahawanan dan seimbang. Tuntutan
akademik dan kokurikulum perlu kepada keseimbangan ini supaya
pelajar yang dilahirkan oleh UPSI mampu menyesuaikan diri dalam
apa juga keadaan dan kerjaya. Pelajar yang sifatnya umpama benih
yang baik, jika jatuh ke ke tanah menjadi gunung, jika jatuh ke laut
menjadi pulau.
82. Saya juga dimaklumkan bahawa pelajar keluaran UPSI tidak
berminat untuk kembali ke tanah ibu kandungnya, berbanding
dengan generasi awal era SITC dan MPSI yang begitu kuat
semangat ibu kandung.
83. Pada tahun 2016, UPSI berharap alumni UPSI dapat kembali semula
ke ibu kandungnya. Pulang dengan tenaga dan kepandaian yang
ingin dicurahkan kepada anak-anak kandung, juga membangun ibu
kandung tanpa mengharapkan pujian dan ganjaran material. Dalam
hal ini, Pusat Perhubungan Alumni perlu memerkasakan usahanya
untuk menerapkan nilai ibu kandung ini agar tertanam dalam diri
alumni suatu keinginan untuk berbakti dan mempunyai nilai kasih
sayang terhadap universiti ibu kandungnya ini.
37
Hadirin yang dihormati sekelian.
g) Media dan Komunikasi Mengilap Imej UPSI
84. Untuk mencapai tahap sebagai sebuah Leading Education University
terunggul di Malaysia, Asia Tenggara dan Asia bukan suatu yang
mudah dan cantik di atas kertas sahaja. Sebaliknya, pada sisi lain
yang lebih penting ialah peranan media dan komunikasi melakukan
kerja-kerja mengilap imej UPSI dalam media sehingga benar-benar
menampak imej UPSI sebagai sebagai sebuah universiti yang
unggul dalam bidang pendidikan.
85. Setakat, ini peranan ini telah dilakukan dengan baik oleh pihak
Komunikasi Koporat. Namun, pada tahun 2016, kita mahu peranan
ini diperkasakan dan dapat memperluaskan sebaran maklumat
tentang UPSI ke peringkat antarabangsa. Bahagian komunikasi
Korporat mestilah menjadi pintu utama keluar dan masuk maklumat
UPSI baik dalam bentuk media cetak, elektronik mahupun aplikasi
dalam talian.
86. Peranan TV UPSI hendaklah diperluaskan dan kandungan
informasinya haruslah bersifat semasa dan terkini. Maklumat bukan
sahaja perlu dicari tetapi juga perlu kepada kajian supaya informasi
yang kita sajikan benar-benar bermanfaat dan ditunggu
kehadirannya.
38
Hadirin yang dihormati sekelian
h) Kesediaan Merealisasikan program Memerkasakan Kebitaraan
UPSI
87. Apa jua yang akan dilakukan oleh UPSI untuk menjayakan setiap
gerak kerjanya pada tahun 2016 adalah perlu berlandaskan tema
`Memerkasakan transformasi kebitaraan UPSI` ini, kita tidak boleh
lari daripada mengharapkan Reda dan Rahmat Allah SWT. Saya
meminta Pusat Islam menganjurkan satu masjlis bacaan Yassin dan
solat hajat sesegera mungkin untuk kita lorongkan harapan kita
pada tempat yang betul dan benar supaya dengan Izin Allah SWT
membuahkan hasil yang diharapkan.
88. Saya ingin mengulangi seruan yang sama dalam amanat tahun 2013,
2014 dan 2015 iaitu, Para Ketua PTj hendaklah memberi perhatian
kepada semua usaha untuk merealisasikan kejayaan semua objektif
yang ditetapkan dalam Pelan Strategik UPSI 2015-2020 dan yang
penting bagi tahun 2016 ini ialah mencapai sasaran KPI yang
ditetapkan. Malah pihak LPU akan memantau pencapaian KPI kita
setiap dua bulan sekali di mana pelaporan pencapaian KPI dijadikan
sebagai agenda tetap dalam mesyuarat LPU.
89. Marilah kita menyiapkan diri dengan persiapan dan kesediaan yang
benar-benar menampakkan kesungguhan untuk berjaya
mencemerlangkan UPSI pada tahun 2016 dan tahun-tahun
berikutnya. Jika sejengkal orang ke hadapan, kita pergi jauh
39
selangkah. jangan duduk hanya menunggu datangnya terang di
waktu siang, sebaliknya capailah awan, bulan dan bintang walaupun
hari masih ditutupi malam.
90. Dalam usaha untuk mencapai cita-cita ini, saya pecaya bahawa UPSI
juga perlu kepada sokongan daripada semua pihak di luar UPSI
termasuk badan-badan NGO, persatuan-persatuan dan orang
persorangan yang bersedia untuk membantu.
91. Saya berharap badan-badan dan persatuan seperti PEKA,
PRESTASI, KPA, PERSATUAN ALUMNI SULUH BUDIMAN,
Persatuan Penulis Budiman Malaysia dan lain-lain terus memberi
sokongan bagi menjayakan usaha-usaha bersama.
92. Saya difahamkan Persatuan Alumni Suluh Budiman di bawah
kepimpinan Dato’ Haji Ahmad Burak sedang dalam usaha untuk
mencari dana bagi pembinaan sebuah Wiswa Alumni. Saya
berharap usaha ini akan berjaya dan wisma ini kelak jika berjaya
dibina akan menjadi symbol kejayaan alumni universiti ini.
93. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada
Pertubuhan Ahli Akademik dan Profesional Anak Terengganu yang
berkerjasama dengan Fakulti Sains Kemanusian menganjurkan
Persidangan Antarabangsa Pembangunan Pendidikan, Alam
Sekitar, Pelancongan, Politik, Ekonomi, Seni dan Warisan bertempat
di Kuala Terengganu November lalu. UPSI juga telah dilantik
40
sebagai perunding dalam pembinaan Pelan Strategik Pendidikan
Negeri Terengganu 2016-2020.
94. Hasil daripada persidangan ini nama UPSI disebut-sebut sebagai
unversiti pendidikan terulung dan persidangan ini juga membuka
ruang kepada ramai ahli akademik menghasilkan artikel untuk
terbitan jurnal. Kerjasama ini diharap dapat diteruskan pada masa-
masa akan datang.
Penutup dan Kesimpulan
Hadirin yang dihormati sekelian.
95. Amanat yang saya sampaikan pada pagi ini sebenarnya merupakan
himpunan kesatuan idea pelbagai pihak yang mahu memastikan
usaha memerkasakan transformasi kebitaraan UPSI berjalan lancar
dan mencapai matlamatnya.
96. Marilah kita tanamkan dalam tekad kita keazaman yang sungguh-
sungguh dan iltizam untuk mencapai kecemerlangan yang
berterusan untuk universiti ini. Marilah kita panjatkan ke Hadrat Allah
SWT, doa dan harapan semoga Allah menujukkan jalan yang benar,
membuka pintu kebaikan, mempermudahkan setiap gerak kerja kita
dengan petunjuk-Nya yang benar dan barakah atas setiap yang kita
usahakan.
41
97. Dengan harapan yang tulus murni itu, saya menyerahkan kepada
seluruh warga UPSI suatu tanggungjawab untuk bersama-sama
saya bagi menjayakan setiap perancangan yang ditetapkan dalam
Amanat ini serta pencapaian sasaran KPI yang dietapkan kepada
UPSI pada tahun 2016 dan menjadi sasaran KPI semua pihak di
UPSI. Kita akan berjaya dengan segala upaya yang ada dan dengan
berpegang pada nilai kebersamaan keserakanan dan keharmonian.
Saya ingin sampai sebuah sajak nukilan Prof Madya Dr Abdul Halim
Ali:
Universiti kita ini adalah sebuah hamparan kasih tempat anak-anak bangsa mengukir mimpi dengan warna hari depan. Universiti kita ini adalah sebuah ladang ilmu tempat ibu bapa menugal benih cendekiawan agar dapat dipetik daripadanya pohon-pohon kebijaksanaan yang tumbuh dari keringat ilmuwan. Universiti kita ini umpama sebuah pelabuhan, tempat graduan di rantauan pulang dari kematangan lalu memunggah kepandaian untuk ditatang generasi baharu yang kehausan di padang dan yang sesat di hutan.
42
Universiti kita ini adalah bahtera bakti namun sering dilanda gelora nafsi muatan jasa dan pengorbanan ilmuwan timbul tenggelam dalam lautan ldealisme karam di batu pragmatisme simpan siur falsafah kadang kala menemukan visi dan misi bergemericingan di lantai angan. namun, kita perlu tetap terus di sini menggalas tanggungjawab menyempurnakan lukisan wajah cendekiawan memerkasakan transformasi kebitaraan menyempurakan wawasan untuk dipamerkan di rumah bernama masa hadapan.
98. Mengakhiri amanat ini, saya menyusun jari sepuluh memohon ampun
dan maaf sekiranya sepanjang amanat ini disampaikan, terdapat
perkara-perkara yang menyinggung perasaan sesiapa.
99. Demikian amanat saya bagi tahun 2016 ini buat seluruh warga UPSI
yang saya kasihi. Saya sudahi dengan lafaz yang mulia. Wabillah
hitaufik wal hidayah, wassalamu alikum waroh matullah hi
wabarokatuh.
PROFESOR DATO’ DR. ZAKARIA KASA Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris. Dewan SITC. 27 JANUARI 2016.