Post on 29-Mar-2019
241
KESAN BENCANA BANJIR TERHADAP KESEJAHTERAAN FIZIKAL DAN
PSIKOSOSIAL GOLONGAN WANITA DI KELANTAN
Noremy Md Akhir1 , Siti Marziah Zakaria1 & Nur Hafizah Md Akhir2
1Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia
2Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
Corresponding author: noremy@ukm.edu.my
ABSTRAK
Peristiwa banjir besar Disember 2014 di Kelantan merupakan bencana luar jangka yang telah
memberi kesan bukan sahaja dari segi kemusnahan fizikal malah mangsa banjir turut
berhadapan dengan masalah psikologikal yang secara tidak langsung telah menjejaskan
kesejahteraan fizikal dan psikososial terutamanya dalam kalangan wanita. Oleh itu, kajian ini
dijalankan untuk meneroka kesan yang dialami oleh mangsa banjir yang terdiri daripada
golongan wanita yang kehilangan harta benda secara total akibat daripada bencana banjir
yang berlaku. Seramai 16 orang wanita yang merupakan mangsa banjir yang kehilangan harta
benda secara total telah dipilih secara bertujuan untuk ditemu bual secara mendalam.
Pendekatan kualitatif yang menggunakan kajian kes sebagai reka bentuk kajian digunakan
bagi menjalankan kajian ini. Pemilihan peserta kajian adalah berdasarkan pensampelan
bertujuan yang dipilih menggunakan kriteria inklusif dan eksklusif. Sebanyak dua sesi temu
bual secara bersemuka telah dijalankan ke atas kesemua responden secara berasingan. Data
yang diperoleh seterusnya dianalisis menggunakan analisis bertema. Hasil kajian mendapati,
impak banjir yang berlaku telah memberi kesan fizikal, sosial dan psikologikal kepada
mangsa banjir yang terdiri daripada golongan wanita. Seterusnya, cadangan intervensi yang
mengambil kira pemulihan fizikal, ekonomi dan psikososial dengan menekankan kepada
konsep pemerkasaan yang efektif dicadangkan demi mencapai kesejahteraan fizikal dan
psikososial mangsa banjir terutamanya dalam kalangan wanita.
Kata kunci: Banjir, mangsa banjir, wanita, pemerkasaan wanita, kesejahteraan fizikal dan
psikososial
242
Pengenalan
Kejadian bencana banjir yang berlaku pada Disember 2014 di negeri Kelantan telah
mencatatkan sejarah baru sebagai bencana banjir terbesar dan terburuk di negeri tersebut
sehingga di gelar sebagai “Bah Kuning 2014” (Wan Nik, 2015). Berdasarkan Unit
Perancangan Ekonomi Negeri Kelantan (2015), sepanjang kejadian banjir bermula 17 hingga
28 Disember 2014 tersebut, kemudahan utiliti terjejas teruk yang melibatkan bekalan elektrik,
air dan talian komunikasi terputus hingga menyukarkan operasi menyelamat dan pengurusan
bencana banjir pada ketika itu. Selepas banjir surut, mangsa banjir terpaksa berhadapan
dengan kerugian harta benda dan ada juga yang kehilangan tempat tinggal. Terdapat empat
kategori mangsa banjir pada ketika itu. Pertamanya, mangsa yang mengalami kemusnahan
rumah dan harta benda secara total (total loss). Keduanya rumah dan harta benda
ditenggelami banjir namun masih boleh diperbaiki dan didiami. Ketiganya harta benda dan
rumah tidak ditenggelami banjir tetapi terkepung oleh banjir dan keempatnya mangsa yang
terkandas disebabkan oleh banjir tetapi rumah dan harta benda tidak terlibat dengan banjir.
Walau bagaimanapun, untuk kajian ini pengkaji memberi fokus kepada kategori mangsa
banjir yang pertama iaitu mereka yang mengalami kemusnahan rumah dan harta benda secara
total (total loss). Rujuk jadual 1.0 kategori mangsa banjir.
Jadual 1.0
Kategori Mangsa Banjir
Kategori mangsa banjir Jenis kemusnahan dan kerosakan
Mangsa banjir total loss Rumah dan harta benda musnah secara total
Mangsa banjir rumah rosak Rumah dan harta benda mereka tenggelam tetapi masih
boleh didiami dan diperbaiki
Mangsa banjir terkepung Rumah dan harta benda tidak rosak dan tidak
ditenggelami banjir tetapi terkepung oleh air banjir
Mangsa banjir terkandas Individu yang terkandas disebabkan kejadian banjir
tetapi rumah dan harta benda tidak terlibat dengan
banjir
Jika dibandingkan keempat-empat kategori mangsa banjir tersebut, mangsa banjir
yang kehilangan harta benda dan rumah secara total adalah paling terkesan teruk dari segi
fizikal, emosi dan mental malah mereka juga dilihat paling sukar untuk pulih selepas banjir.
Ini kerana selain kehilangan harta benda, mangsa banjir turut berhadapan dengan masalah
psikologikal akibat kejadian yang menimpa diri mereka (Lindell & Prater, 2004; Taft et al.,
2009; Walsh, 2007). Menurut Matud (2004) hampir separuh daripada peristiwa tekanan yang
disenaraikan oleh wanita dan lelaki adalah berbeza. Wanita lebih kerap melaporkan masalah
yang berkaitan dengan kesihatan, keluarga dan peristiwa yang dialami oleh orang lain dalam
persekitaran mereka. Manakala lelaki pula, cenderung melaporkan masalah yang berkaitan
dengan kewangan dan kerja. Namun, jika dilihat dari segi budaya masyarakat tempatan di
Kelantan, ternyata golongan wanita dilihat lebih dominan dari aspek ekonomi berbanding
lelaki terutamanya berperanan sebagai penyumbang utama kepada pendapatan keluarga. Hal
ini jelas menunjukkan mangsa banjir wanita lebih terkesan akibat daripada bencana banjir
yang berlaku disebabkan oleh komitmen dan tanggungjawab yang dipikul. Malah menurut
Ballescas (2013), wanita adalah golongan yang perlu diberi bantuan sama seperti golongan
243
kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Mereka mempunyai keperluan
khusus yang perlu diberi keutamaan terutamanya sewaktu kecemasan seperti bencana banjir
yang berlaku. Oleh itu, perbincangan artikel ini akan memfokuskan kepada kesan bencana
banjir terhadap kesejahteraan fizikal dan psikososial golongan wanita di Kelantan.
Metodologi
Kajian yang dijalankan ini adalah berbentuk kajian kualitatif dengan menggunakan
kajian kes sebagai reka bentuk kajian. Menurut Siti Uzairiah (2017), penyelidikan kualitatif
cenderung untuk menghasilkan data yang padat dengan informasi tetapi kompleks kerana ia
perlu di tafsir menurut pemahaman teori dari kajian literatur yang perlu dibuat oleh pengkaji
pada peringkat awal kajian. Ia memberi penumpuan kepada pemahaman dan penerangan
yang jelas serta mendalam ke atas sesuatu perkara yang dikaji dan ia bukan berdasarkan
ukuran atau pengiraan secara nombor. Manakala menurut Norizan (2016), reka bentuk kajian
kes melibatkan pengumpulan maklumat secara sistematik dan mendalam tentang tingkah laku
individu. Dalam kajian ini, ia merujuk kepada mangsa banjir total loss. Tambah Norizan lagi,
reka bentuk kajian kes melibatkan peristiwa khusus atau keadaan sosial untuk mengetahui
bagaimana sesuatu tingkah laku atau perubahan sosial berlaku. Dalam kajian ini, ia merujuk
peristiwa bencana banjir yang berlaku pada Disember 2014 di Kelantan sehingga
menyebabkan mangsa banjir kehilangan harta benda secara total dan kesan bencana tersebut
terhadap kesejahteraan fizikal dan psikosial mereka. Oleh itu, kajian kes diyakini bersesuaian
sebagai reka bentuk dalam kajian ini. Selain itu, pemilihan responden adalah berdasarkan
persampelan bertujuan dan teknik pengumpulan data yang digunakan adalah temu bual
mendalam secara bersemuka dengan mangsa banjir. Seramai 16 orang responden dipilih
secara bertujuan berdasarkan kriteria inklusif dan eksklusif yang telah ditetapkan oleh
pengkaji. Menurut Zainuddun (2012), kriteria inklusif adalah syarat bagi melayakkan
seseorang individu dipilih sebagai peserta kajian.
Seterusnya, temu bual secara mendalam telah dijalankan sebanyak dua sesi bagi setiap
informan secara berasingan di mana setiap sesi mengambil masa antara 60 hingga 90 minit.
Manakala instrumen kajian yang digunakan adalah panduan soalan yang mengandungi soalan
berbentuk semi struktur dan pengkaji sendiri bertindak sebagai instrumen kajian. Data yang
diperoleh seterusnya dianalisis menggunakan analisis tema. Merujuk kepada Braun dan
Clarke (2006) analisis tema meliputi lima proses utama iaitu membiasakan diri dengan data,
menghasilkan kod awal, mencari tema, mengkaji tema dan seterusnya mentakrif dan
menamakan semula tema. Rumusan metodologi kajian yang digunakan bagi menjalankan
kajian ini adalah seperti rajah berikut:
Rajah 2.0
Rumusan Metodologi Kajian
Kaedah kajian Kajian Kualitatif
Reka bentuk kajian Kajian kes
Persampelan kajian Persampelan bertujuan
Bilangan responden 16 orang mangsa banjir wanita yang total loss
Teknik pengumpulan data Temu bual mendalam bersemuka
Instrumen kajian Panduan soalan (semi struktur); Pengkaji
Analisis kajian Analisis tema
___________________________________________________________________________
244
Demografi Responden
Kajian ini melibatkan 16 orang mangsa banjir wanita yang mengalami kemusnahan
harta benda secara total (total loss) yang berusia antara 29 hingga 91 tahun di mana
majoritinya berumur antara 40 hingga 49 tahun. Selain itu, kesemua responden adalah
berbangsa Melayu dan beragama Islam terlibat dalam kajian ini. Lima daripada responden
adalah berstatus ibu tunggal, dua orang warga emas dan seorang orang kurang upaya (OKU).
Majoriti responden mempunyai pendidikan sehingga tingkatan lima dan tiga daripada
responden tidak bersekolah. Rata-rata pekerjaan responden sebelum banjir adalah seperti
menjual kuih dan makanan, menoreh getah,tukang jahit, pembantu kedai, pembantu rumah
dan bekerja sebagai tukang bersih di hotel (housekeepig) dan dua responden tidak bekerja.
Namun selepas banjir, lebih daripada separuh responden hilang pekerjaan (tidak bekerja)
akibat banjir dan selebihnya masih menjalankan pekerjaan yang sama seperti sebelum banjir.
Ringkasan demografi setiap responden diringkaskan seperti dalam jadual 3.0 berikut.
Jadual 3.0
Demografi Responden Kajian
Responden Umur Status Pendidikan Pekerjaan sebelum/selepas
(R) (tahun) khusus banjir
1 63 Warga emas Tidak bersekolah Tidak bekerja
3 40 - Darjah enam Housekeeping Hotel
4 91 Warga emas Tidak bersekolah Tidak bekerja
7 29 OKU Tingkatan lima Menjual makanan
8 51 - Darjah enam Pembantu rumah
10 47 - Tingkatan tiga Penoreh getah/Tidak bekerja
11 42 Ibu tunggal Tingkatan lima Pembantu gerai/Tidak bekerja
14 48 Ibu tunggal Tingkatan lima Tukang jahit/Tidak bekerja
17 47 Ibu tunggal Tingkatan lima Gerai makan/Tidak bekerja
18 40 - Tingkatan lima Pembantu kantin/Tidak bekerja
20 44 - Tingkatan tiga Menjual kuih/Tidak bekerja
22 36 - Tingkatan lima Pembantu kedai makan
23 47 Ibu tunggal Tidak bersekolah Menjual kuih
26 30 - Tingkatan lima Penoreh getah/Tidak bekerja
27 42 Ibu tunggal Tingkatan lima Gerai makan/Tidak bekerja
28 37 - Darjah enam Tidak bekerja
___________________________________________________________________________
Dapatan Kajian dan Perbincangan
Hasil kajian mendapati, akibat daripada bencan banjir yang berlaku telah memberi
kesan fizikal dan psikologikal kepada mangsa banjir hingga menjejaskan kesejahteraan
psikososial mereka dan ia dibincangkan seperti berikut.
Kesan Fizikal Yang Menjejaskan Kesejahteraan Psikososial
1. Kemusnahan Rumah dan Harta Benda
Kesemua responden yang terlibat dalam kajian ini mengalami kemusnahan rumah dan
harta benda secara total (total loss) akibat bencana banjir yang berlaku. Ini bermakna mereka
kehilangan tempat tinggal atau tempat berlindung. Dalam Teori Hierarki Keperluan Maslow
245
(1943) terdapat lima keperluan hidup manusia iaitu keperluan fisiologi, keperluan
keselamatan, keperluan sosial (kasih sayang), keperluan penghargaan kendiri dan keperluan
penyempurnaan kendiri. Rumah merupakan keperluan keselamatan yang diperlukan oleh
setiap individu untuk berlindung daripada hujan dan panas serta melindungi diri daripada
persekitaran yang tidak selamat. Selepas kejadian banjir yang berlaku kesemua responden
mengaku hilang tempat berteduh dan tidak mempunyai tempat perlindungan yang sempurna.
Lebih menyedihkan apabila responden mengenangkan rumah yang didiami sekian lama
hilang sekelip mata akibat banjir yang berlaku. Menurut Division Mental Health (2008),
kehilangan rumah dan tempat perlindungan adalah antara pengalaman yang sering dialami
oleh mangsa bencana dan ia telah memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental dan
kesejahteraan psikososial mangsa bencana. Selain daripada mengalami kehilangan dan
kemusnahan rumah, responden yang terlibat dengan kajian ini turut mengalami kemusnahan
dan kerosakan harta benda seperti kenderaan, perabot dan peralatan rumah, barangan dan
perkakasan elektrik, peralatan dapur, barangan keperluan persekolahan anak-anak, dokumen-
dokumen penting seperti geran tanah, geran kenderaan, sijil nikah, sijil kelahiran dan sijil
persekolahan anak-anak, pakaian, tanaman dan haiwan peliharaan. Malah ada responden
yang mengaku tinggal sehelai sepinggang kesan daripada banjir yang berlaku.
Menurut Wong dan Zhao (2001), tahap kebinasaan akibat bencana banjir bergantung
kepada tahap magnitud banjir dan kerentanan (vulnerability) penempatan manusia itu sendiri.
Hasil kajian yang dijalankan mendapati kebanyakan responden yang terlibat dengan kajian
ini adalah penduduk setinggan yang membina rumah di tepi atau berhampiran dengan sungai
di mana kawasan tersebut dianggap terdedah kepada risiko banjir. Ini selari dengan apa yang
dinyatakan oleh Chan (1995), di mana dianggarkan 3.5 million penduduk Malaysia tinggal di
dataran banjir dan kawasan yang terdedah kepada risiko banjir. Malah angka tersebut
dijangka terus meningkat disebabkan oleh penghijrahan dari luar bandar ke bandar,
ketidakmampuan dan kemiskinan serta faktor lain yang dijangka memburukkan lagi
pencerobohan ke atas kawasan dataran banjir. Malah menurut Chan lagi, dataran banjir
menjadi tumpuan penduduk kerana sebahagian besar aktiviti ekonomi tertumpu di kawasan
tersebut.
Selain daripada itu, pengkaji turut mendapati punca kemusnahan rumah adalah
disebabkan oleh kebanyakan struktur binaan rumah dibina tanpa asas yang kukuh selain
diperbuat daripada papan dan zink malah dibina oleh nenek moyang mereka sejak puluhan
tahun yang lalu. Ini dapat dibuktikan dengan tempoh menetap di rumah yang musnah akibat
banjir yang berlaku. Menurut salah seorang responden, bahagian rumah yang diperbuat
daripada kayu musnah dibawa arus deras banjir dan yang tinggal hanya tapak dan tiang batu
yang diperbuat daripada simen. Kekuatan banjir yang berlaku telah menghanyutkan dan
memusnahkan kebanyakan rumah terutamanya yang berada di tepi sungai. Responden sendiri
menceritakan pengalaman ketika pulang ke tapak rumah dan mendapati rumahnya sudah
tiada, yang tinggal hanya lantai dan tiang rumah sahaja. Struktur rumah selebihnya telah lari
dari kedudukan asal dan hancur berderai di sekitar kawasan.
Kesemua responden yang terlibat mengaku kehidupan mereka selepas banjir semakin
sukar terutamanya apabila kehilangan tempat berlindung. Kajian lepas menunjukkan bahawa
asas kepada penilaian keseluruhan pemulihan isi rumah selepas bencana adalah melalui
pembinaan semula rumah kekal kerana tanpa rumah, kemampuan individu untuk
menjalankan aktiviti atau membina semula rutin adalah terhad dan terhalang (Bates &
Peacock, 1993). Penangguhan dalam membina semula rumah akan melambatkan pemulihan
dalam dimensi yang lain. Hal ini jelas menunjukkan bantuan rumah adalah keperluan yang
246
perlu dipenuhi terlebih dahulu dalam proses pemulihan selepas bencana. Menurut Peacock,
Dash dan Zhang (2007), dengan kewujudan perumahan dalam sesebuah penempatan ia akan
membolehkan penduduk menjana ekonomi, mengisi peluang pekerjaan, membuka dan
memulakan semula perniagaan dan perkhidmatan selepas bencana.
Oleh itu, pemulihan dari segi bantuan rumah adalah penting bagi membangunkan
semula aktiviti ekonomi dan sosial penduduk setempat. International Federation of Red
Cross and Red Crescent Societies (2008), mencadangkan antara perkhidmatan asas yang
perlu disediakan terlebih dahulu kepada mangsa bencana adalah perlindungan dan
penempatan yang selamat. Oleh itu, pengkaji mendapati bantuan rumah kekal adalah antara
keperluan utama yang perlu disediakan kepada mangsa banjir yang mengalami kemusnahan
rumah dan harta benda secara total akibat bencana banjir yang berlaku. Ini selaras dengan
objektif pertama Dasar Sosial Negara (2003) iaitu memastikan keperluan asas individu,
keluarga dan masyarakat seperti tempat tinggal serta persekitaran fizikal yang sihat, bersih
dan selamat dipenuhi demi kesejahteraan hidup secara berterusan.
2. Hilang Pekerjaan Atau Sumber Pendapatan Terjejas
Majoriti responden dalam kajian ini telah kehilangan pekerjaan dan sumber
pendapatan terjejas kesan daripada bencana banjir yang berlaku. Ia jelas dapat dilihat apabila
lebih separuh daripada responden yang terlibat dengan kajian ini mengalami hilang pekerjaan
atau tidak berkerja selepas banjir. Dapatan ini selari dengan kenyataan Wong dan Zhao
(2001) di mana penurunan pendapatan adalah antara kesan banjir yang dialami oleh
kebanyakan mangsa banjir.
Bagi responden yang bekerja sebagai penoreh getah, pendapatan mereka terjejas
kesan daripada cuaca hujan dan banjir yang menyebabkan responden tidak dapat keluar
bekerja. Keadaan tanah runtuh dan hakisan tanah yang berlaku selepas banjir juga
menyukarkan responden dan penoreh getah yang lain untuk mencari rezeki bagi meneruskan
kehidupan selepas banjir di tambah pula dengan harga getah di pasaran yang semakin jatuh.
Keadaan menjadi semakin buruk apabila kebanyakan pokok getah di kawasan rendah mati
akibat ditenggelami air banjir. Menurut responden lagi, peralatan dan kelengkapan untuk
menoreh yang hanyut dibawa arus deras juga menyebabkan penoreh getah tidak dapat bekerja
dan ada sebahagiannya yang hilang pekerjaan terutamanya mereka yang menoreh di
kampung seberang sungai apabila landasan kereta api yang menghubungkan laluan ke
kampung seberang turut runtuh akibat banjir. Ternyata kesan bencana yang berlaku telah
merosakkan tanaman sehingga menjejaskan pendapatan responden dan seterusnya
mengundang masalah kewangan.
Selain itu, kebanyakan responden mengaku menghadapi masalah kewangan selepas
banjir kerana mempunyai pendapatan yang tidak tetap dan hanya bekerja kampung.
Sedangkan, wang diperlukan untuk perbelanjaan sekolah anak-anak seperti makan minum
yang memerlukan perbelanjaan harian yang besar memandangkan harga barang yang turut
meningkat selepas banjir. Dengan pendapatan yang tidak menentu ianya telah membebankan
dan mengundang masalah kewangan kepada mangsa banjir yang hanya bekerja kampung dan
tidak mempunyai pekerjaan tetap sehingga mereka merasakan kehidupan mereka yang susah
menjadi semakin sukar selepas banjir. Malah kajian terdahulu membuktikan faktor lain yang
menyumbang kepada berlakunya masalah psikologikal dalam kalangan mangsa bencana
banjir adalah sumber ekonomi yang terhad (Omar & Alon, 1994; Schwarzer, Hahn &
Schroder, 1994).
247
Ada juga responden yang terlibat dengan kajian ini mengaku tidak bekerja selepas
banjir kerana masing-masing mengalami kemusnahan perniagaan seperti perniagaan kedai
runcit dan kedai makan. Responden mengalami kemusnahan peralatan perniagaan dan
memerlukan modal yang besar sekiranya ingin memulakan perniagaan tersebut. Namun,
rata-rata memilih untuk tidak meneruskannya kerana mengalami masalah kewangan serta
sukar mencari tempat perniagaan yang baru selepas banjir. Menurut Elmerraji (2011), salah
satu masalah terbesar selepas bencana adalah gangguan perniagaan apabila berlaku kerosakan
bangunan atau kemusnahan tempat perniagaan sehingga ia terpaksa ditutup dan menyebabkan
kebanyakan mangsa bencana hilang pekerjaan dan mengganggur. Lebih meyukarkan apabila
kebanyakan responden yang terlibat dengan kajian ini mengaku tidak mempunyai wang
simpanan bagi meneruskan kehidupan selepas banjir. Ini menyebabkan komitmen bulanan
seperti hutang motosikal dan bil internet yang sudah tertangguh beberapa bulan menjadi
bebanan kerana hilang pekerjaan dan sumber pendapatan terjejas selepas banjir. Division
Mental Health (2008), turut menyenaraikan gangguan struktur ekonomi sebagai antara
pengalaman yang sering dialami oleh mangsa bencana dan ia telah memberi kesan negatif
terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan psikologikal mangsa bencana.
3. Kemusnahan Infrastruktur Awam Dan Mengubah Rupa Bentuk Asal Kampung
Kemusnahan infrastruktur awam akibat bencana banjir turut mengundang masalah
kepada mangsa banjir untuk meneruskan kehidupan selepas banjir. Menurut responden, kesan
banjir telah meruntuhkan jambatan gantung yang dikatakan menjadi laluan utama dan jalan
penghubung ke kampung seberang sungai. Ini menyebabkan responden terpaksa
menggunakan jalan alternatif untuk menghantar anak ke sekolah atau ke tempat kerja yang
terletak di seberang sungai. Perkara ini telah mengubah dan menyukarkan rutin harian
responden selepas banjir. Ia turut diperakui oleh responden yang lain dengan menyatakan
sebelum banjir, beliau dan penduduk kampung yang lain akan menggunakan laluan motosikal
bersebelahan landasan kereta api yang menghubungkan kampung bersebelahan untuk keluar
bekerja. Namun, selepas landasan tersebut terputus dua akibat banjir, responden terpaksa
menaiki perahu untuk menyeberangi sungai tersebut dengan kadar bayaran RM1.00 sehala.
Bagi responden yang tidak mempunyai perahu, ini telah membebankan dan menyukarkan
rutin seharian mereka.
Kemusnahan infrastruktur akibat bencana banjir telah memberi kesan buruk kepada
mangsa banjir dan penduduk kampung terutamanya mereka yang berpendapatan rendah. Ia
selari dengan kajian oleh Freeman (2000), di mana wujud hubungan antara kesan bencana
dengan kemusnahan infrastruktur dan kemiskinan. Hubung kaitnya boleh diterangkan melalui
tiga komponen utama iaitu kebolehcapaian terhadap infrastruktur sering dikaitkan dengan
pengukuran tahap kemiskinan, keduanya infrastruktur adalah komponen utama kepada
pertumbuhan ekonomi sesebuah penempatan dan ketiganya, kemusnahan infrastruktur adalah
signifikan dengan kos yang memberi kesan secara langsung kepada golongan miskin. Ini
adalah kerana bencana alam telah memusnahkan kemudahan infrastruktur di kawasan
pedalaman. Di negara Asia, 70 peratus bencana alam adalah disebabkan oleh banjir dan
purata kos kerugian adalah USD 15 billion. Daripada jumlah tersebut nisbah tertinggi adalah
melibatkan kemusnahan infrastruktur terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar
yang dibangunkan untuk membantu golongan yang mempunyai latar belakang ekonomi yang
rendah. Oleh itu, kesan bencana yang telah memusnahkan infrastruktur sebenarnya turut
menjejaskan golongan berpendapatan rendah.
Manakala bagi responden yang tidak mempunyai kenderaan, kemusnahan landasan
kereta api sebagai penghubung dan pengangkutan awam yang utama telah menjejaskan dan
248
menyukarkan aktiviti harian penduduk kampung di situ. Menurut responden, sebelum banjir
keretapi dikatakan sebagai pengangkutan awam termurah dan selamat namun selepas ia
mengalami kerosakan teruk akibat banjir, penduduk kampung sukar meneruskan rutin harian
seperti keluar bekerja dan ke sekolah kerana terpaksa mencari alternatif lain yang melibatkan
kos yang lebih tinggi. Menurut Oh, Deshmukh dan Hastak (2010), antara kemusnahan
infrastruktur yang memberi kesan ketara kepada ekonomi dan kesejahteraan sesebuah
masyarakat adalah kemusnahan sistem pengangkutan dan telekomunikasi. Hal ini jelas
menunjukkan responden dan penduduk kampung terkesan secara kritikal akibat kemusnahan
sistem perhubungan dan pengangkutan yang menyukarkan mereka untuk meneruskan
kehidupan selepas banjir.
Selain itu, kesan banjir yang berlaku turut mengubah rupa bentuk asal kampung yang
didiami sekian lama sehingga mengganggu responden dari segi mental dan fizikal untuk
bangkit dan memulakan kehidupan baru selepas banjir. Menurut responden, keadaan
kampungnya selepas banjir diumpamakan seperti tsunami berlumpur dengan kemusnahan
rumah dan kenderaan yang dapat dilihat hampir di setiap kawasan. Beliau sendiri mengaku
tidak tahu bagaimana untuk meneruskan kehidupan setelah melihat apa yang berlaku pada
ketika itu. Ini konsisten dengan Division Mental Health (2008) yang menyenaraikan antara
pengalaman yang sering dialami oleh mangsa bencana adalah hilang persekitaran dan
kehidupan sedia kala mereka. Pengalaman ini telah memberi kesan buruk terhadap kesihatan
mental dan kesejahteraan psikologikal mangsa bencana.
Perkara yang sama turut dinyatakan oleh responden yang lain. Responden
mengumpamakan kehidupannya selepas banjir bagaikan hidup seperti di zaman darurat
kerana rupa bentuk asal kampungnya telah berubah sama sekali akibat banjir di samping tiada
bekalan air, elektrik dan talian telefon. Ini selari dengan kenyataan Awang (2015) di mana
kehidupan selepas banjir diumpamakan seperti hidup di zaman batu apabila tiada bekalan air
dan elektrik serta terputus hubungan komunikasi. Oleh itu, adalah perlu pembangunan semula
yang melibatkan pembangunan infrastruktur dan kawasan yang terjejas banjir disegerakan
bagi mengembalikan keyakinan rakyat untuk bangkit dan meneruskan kehidupan selepas
banjir.
4. Masalah Kesihatan Responden Dan Ahli Keluarga
Terdapat responden dalam kajian ini menyatakan bahawa masalah kesihatan diri dan
ahli keluarga adalah antara kesan yang dihadapi oleh responden selepas banjir. Berdasarkan
kajian yang dijalankan ini, selain mengalami masalah psikologikal, pengkaji mendapati
kebanyakan responden mengalami masalah kesihatan seperti penyakit kulit akibat terdedah
kepada selut dan lumpur selepas banjir. Ini selari dengan kajian yang dijalankan oleh Murthy
dan rakan-rakan di mana selepas dua tahun kejadian bencana taufan di India beliau
menjalankan kajian ke atas 88 mangsa yang dipilih secara rawak dalam lingkungan usia
empat hingga 82 tahun. Hasil daripada kajian yang dijalankan, 82 peratus mengalami masalah
kesihatan di mana 39 peratus mengalami masalah kesihatan mental dan 43 peratus
mengalami masalah kesihatan fizikal (Murthy et al., 2003).
Menurut responden, keadaan selepas banjir yang dipenuhi dengan selut dan lumpur.
Tambahan pula, banjir kali ini dikatakan bah kuning kerana kandungan lumpur yang tinggi
menyebabkan air banjir berwarna kuning dan ia datang dari kawasan bukit dan lombong
bijih. Oleh itu, kandungan airnya dikatakan mengundang risiko kepada penyakit alahan kulit
seperti bengkak dan biji-biji merah serta gatal-gatal di tangan dan kaki. Walau
bagaimanapun, dalam Garis Panduan Pengurusan Banjir Kesihatan (2008), banjir yang
249
berlaku menyebabkan sampah sarap dan takungan najis keluar bersama-sama limpahan air.
Sampah sarap dan sisa najis ini bertaburan di merata-rata tempat sehingga mengakibatkan
pelbagai jenis penyakit berjangkit seperti malaria, cirit-birit, keracunan makanan, jangkitan
kulit, penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD) dan cacar air (Kementerian Kesihatan
Malaysia, 2016). Selain itu, responden juga mengadu mengalami masalah kulit kering
selepas banjir akibat cuaca yang terlalu panas. Ada juga sebahagian responden mengaku
kerap demam selepas banjir akibat cuaca yang terlalu panas dan tinggal di dalam khemah.
Ada juga segelintir yang mengadu mengalami batuk selama dua bulan kerana keadaan
berdebu selepas banjir ditambah pula responden membina khemah di tapak asal rumah yang
dibina di tepi jalan utama.
Selain itu, terdapat responden yang mengadu selepas banjir anak kecilnya yang
berusia kurang setahun sering demam panas sehingga dimasukkan ke Hospital Kuala Krai,
Kelantan. Bayinya juga dikatakan mengalami masalah ceret-beret berpanjangan hampir
sebulan lamanya sehingga saiz tubuh badannya lebih kecil dari bayi seusia dengannya.
Responden menjangkakan ini mungkin disebabkan oleh cuaca yang panas selepas banjir di
samping ketika banjir berlaku, responden mengaku kekurangan bekalan makanan dan
minuman sehingga terpaksa memberikan apa sahaja yang dimakan oleh responden kepada
bayinya di samping memberikan air hujan dan air longkang yang dimasak kepada bayinya
kerana ketiadaan sumber air yang bersih. Selain itu, ada juga responden mengadu anak-
anaknya mengalami muntah dan cirit-birit selepas banjir. Melalui pemerhatian pengkaji, ini
mungkin berpunca daripada faktor kebersihan seperti pemakanan dan pemakaian yang tidak
bersih disebabkan oleh kurang sumber air yang bersih. Responden mengaku hanya
bergantung kepada air tadahan hujan untuk memasak dan mencuci pakaian memandangkan
air sungai yang masih kotor dan berselut.
Malah ada juga responden yang mengakui kesihatan dirinya menjadi semakin teruk
sejak kejadian banjir kerana beliau mengakui terlalu memikirkan kemusnahan dan kehilangan
yang dialami di samping mengadu sukar tidur pada waktu malam. Responden mengaku
bukan sahaja terkesan secara emosi dan mental akibat kemusnahan rumah dan kehilangan
harta benda tetapi tubuh badannya juga terasa sakit kesan daripada apa yang telah berlaku.
Kajian terdahulu membuktikan bahawa selain daripada kesan langsung daripada trauma,
mangsa bencana turut mengalami masalah kecederaan dan kesakitan fizikal kesan daripada
bencana yang berlaku (Morgan et al, 2003; Galea et al, 2005). Kajian terdahulu turut
memperakui apabila tindak balas tekanan akibat bencana semakin kronik ia akan memberi
kesan kepada sistem fizikal tubuh badan seperti imunisasi badan terjejas, aterosklerosis,
obesiti, rosak tulang dan atrofi sel-sel otak (Bonanno et al., 2010; McEwen, 2004). Malah
tekanan hidup yang dialami boleh merosakkan kesejahteraan fizikal seorang mangsa bencana.
Masalah kesihatan yang dialami oleh responden ini penting untuk diberi perhatian selaras
dengan objektif pertama Dasar Sosial Negara iaitu memastikan keperluan asas individu,
keluarga dan masyarakat dipenuhi dan memastikan setiap daripada mereka berhak untuk
menikmati persekitaran fizikal yang sihat, bersih dan selamat serta berpeluang untuk
meningkatkan kualiti hidup dari segi kesihatan dan keselamatan bagi menjamin kesejahteraan
hidup.
5. Masalah Peribadi Dengan Ahli Keluarga Atau Jiran Tetangga
Antara kesan lain yang dihadapi oleh responden selepas banjir adalah menghadapi
masalah peribadi dengan ahli keluarga atau jiran tetangga. Merujuk kepada Lembaga
Penduduk dan Pembangunan Keluarga dan Negara (2013), kesejahteraan keluarga dinilai
secara objektif dan subjektif. Kesejahteraan secara objektif merujuk kepada tahap pencapaian
individu dalam kehidupan daripada aspek kesihatan, perumahan dan keselamatan. Manakala
250
kesejahteraan subjektif merujuk kepada kepuasan, kegembiraan, interaksi dan hubungan
dengan keluarga, jiran, saudara-mara dan sahabat, kefungsian individu dan keluarga serta
tahap resiliensi. Oleh itu, masalah responden dengan ahli keluarga dan jiran tetangga jelas
memberi kesan kepada kesejahteraan hidup seperti mana yang dijelaskan dalam kesejahteraan
subjektif oleh LPPKN.
Dalam kajian yang dijalankan ini, terdapat responden yang mengaku mempunyai
masalah peribadi dengan ahli keluarga sendiri. Menurut responden yang merupakan seorang
warga emas, beliau mempunyai masalah peribadi dengan anak kandungnya sendiri berpunca
daripada isu anaknya turut menuntut bantuan rumah kekal baharu (RKB) sedangkan anaknya
hanya menumpang di rumah milik responden yang musnah akibat banjir. Sejak kejadian
banjir, responden mengadu anaknya itu tidak pernah menziarahinya sebaliknya hubungan
mereka semakin renggang selepas kejadian tersebut.
Masalah hubungan kekeluargaan yang timbul menyebabkan responden mengaku
kurang mendapat sokongan sosial daripada ahli keluarga sehingga menyebabkan beliau
sering menunjukkan gejala masalah psikologikal seperti berasa sedih, bimbang dan risau
tentang masa hadapan, suka menyendiri dan sering menangis. Division Mental Health (2008),
turut menyenaraikan antara pengalaman yang sering dialami oleh mangsa bencana adalah
kemerosotan hubungan kekeluargaan dan pengalaman ini telah memberi kesan negatif
terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan psikologikal. Menurut Mitchell, Sakraida dan
Zalice (2005), kesan tekanan yang dialami daripada peristiwa bencana boleh menyebabkan
peningkatan konflik antara mangsa dengan individu lain. Menurut Kar (2000), selepas
kejadian bencana, kebanyakan mangsa dilihat menangis tanpa sebab, malah ada juga yang
kurang bercakap dan ada yang terus mendiamkan diri sebagai reaksi kepada masalah
psikologikal yang dialami. Revell dan McCurry (2010) menambah dengan menyatakan
bahawa gangguan tingkah laku mangsa bencana berlaku disebabkan oleh tahap kebimbangan
yang tinggi dan ketidakfungsian yang berlaku dalam keluarga.
Hal ini telah menyebabkan kebanyakan responden mengalami kesukaran untuk
mendapatkan sokongan dan dorongan yang sewajarnya daripada ahli komuniti untuk bangkit
meneruskan kehidupan selepas banjir. Ia selari dengan Division, Mental Health (2008), yang
menyenaraikan antara pengalaman yang sering dihadapi mangsa bencana bukan sahaja
kehilangan harta benda fizikal tetapi turut kehilangan interaksi sosial dengan rakan dan jiran
tetangga, hilang rasa percaya, perubahan peranan sosial, kemerosotan hubungan
kekeluargaan, penganiayaan dan diskriminasi. Oleh itu, jelas menunjukkan pengalaman yang
dialami oleh responden telah memberi kesan dan impak negatif terhadap kesihatan mental
dan kesejahteraan psikososial mangsa banjir.
Kesan Psikologikal
Majoriti responden menyatakan bahawa mereka menghadapi masalah psikologikal
kesan daripada bencana banjir yang berlaku. Menurut Salhah, Sapora, Husni dan Zulkepli
(2015), bencana alam seperti banjir, gempa bumi, tsunami boleh menyebabkan mangsa yang
terlibat berisiko mengalami masalah psikologikal kesan daripada peristiwa bencana yang
berlaku. Ini selari dengan kajian yang dijalankan oleh Lindell dan Prater (2004) yang
mendapati impak fizikal daripada kejadian banjir yang berlaku telah menyumbang kepada
impak sosial dan psikologikal di mana kemusnahan dan kerosakan fizikal yang dialami secara
tidak langsung telah memberi kesan emosi dan psikologi kepada mangsa bencana. Malah
kebanyakan kajian yang dijalankan sebelum ini turut membuktikan wujud hubungan antara
masalah psikologikal dan bencana dalam kalangan mereka yang terlibat secara langsung
251
dengan kejadian bencana terutamanya mangsa bencana itu sendiri (Norris, 2005; Stevens &
Stone, 2005). Menurut Johal (2009), kesan psikologikal telah memberi impak yang berbeza
terhadap kefungsian kognitif (mental), afektif (emosi) dan tingkah laku. Ini terbukti dengan
dapatan kajian yang dijalankan mendapati masalah psikologikal yang dialami oleh responden
boleh dilihat melalui tindak balas emosi, mental dan tingkah laku yang dibincangkan seperti
berikut.
(a) Tindak Balas Emosi
Majoriti responden wanita yang terlibat dalam kajian ini berasa sedih apabila
diberitahu rumah yang didiami musnah dibawa arus deras banjir. Responden sedih kerana
rumah yang didiami sekian lama serta mempunyai nilai dan memori tersendiri telah lenyap
dibawa air deras banjir. Ini selari dengan dapatan kajian yang dijalankan oleh Nasir, Zainah
dan Khairudin (2012) berkaitan kesan psikologikal ke atas mangsa banjir di Johor pada tahun
2006 hingga 2007 mendapati kebanyakan mangsa banjir berasa sedih atas kehilangan harta
benda yang mempunyai nilai sentimental dan simbolik yang tidak boleh ditukar ganti.
Selain itu, responden yang terlibat dengan kajian ini turut mengaku tinggal di khemah
tanpa melakukan apa-apa sebenarnya telah menyebabkan beliau mengalami tekanan perasaan
kerana asyik memikirkan rumah, barang dan perniagaannya yang musnah akibat banjir.
Responden hilang punca dan arah tujuan kehidupan sehingga tidak tahu apa yang harus
dilakukan selepas banjir. Berdasarkan pengamatan pengkaji, ini berlaku disebabkan oleh
kesan dari cara hidup di khemah atau penempatan sementara yang rata-rata mangsa banjir
hanya menunggu dan terus menunggu bantuan tanpa melakukan apa-apa yang boleh
menggalakkan mereka untuk bangun dan bangkit semula selepas banjir. Tindakan ini dikenali
sebagai daya tindak maladaptif. Daya tindak maladaptif berpotensi untuk menghalang
keupayaan individu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan tertentu. Ia dikatakan
cenderung untuk mengurangkan tekanan yang dialami oleh individu tetapi hasilnya tidak
produktif malah berpotensi kepada berlakunya ketidakfungsian sosial kepada mangsa banjir.
Hasil dari pengamatan pengkaji, perkara ini yang sedang berlaku kepada rata-rata mangsa
banjir yang terlibat dalam kajian ini terutamanya mereka yang tinggal di penempatan
sementara yang disediakan.
Selain itu, responden turut berasa marah dengan kehilangan yang dialami sehingga
ada dalam kalangan responden yang melepaskan kemarahan kepada diri dan orang yang
berada di sekelilingnya. Kajian terdahulu membuktikan bahawa individu yang
mengekspresikan emosi negatif sebagai tumpuan verbal terhadap pengalaman negatif, maka
individu tersebut sering dikaitkan dengan tahap kemurungan yang tinggi (Fobair, Koopman,
& Dimiceli, 2002; Lechner, Antoni, & Lydston, 2003) seperti mana yang berlaku kepada
responden yang terlibat dengan kajian ini. Selain itu, perasaan terkejut dan takut turut dialami
oleh responden kesan daripada melihat dan menyaksikan sendiri kemusnahan teruk akibat
banjir besar. Hasil dapatan ini konsisten dengan Fernando (2002), yang turut menyenaraikan
antara tindak balas emosi yang sering dialami oleh mangsa bencana adalah kemarahan,
kesedihan tidak terkawal, kebimbangan dan ketakutan melampau sehingga fobia terhadap
peristiwa bencana yang berlaku. Oleh itu, kesan psikologikal perlu diurus dengan sebaik
mungkin bagi mencegah kesan buruk terhadap emosi mangsa bencana. Pengurusan bantuan
psikososial berbentuk rawatan psikologikal dan intervensi krisis perlu bagi mencapai
matlamat dalam pemulihan emosi dalam kalangan mangsa banjir (Revell & Mc Curry, 2010).
Merujuk kepada Teori Intervensi Krisis, dalam kes bencana, mangsa berada dalam situasi
krisis kerana menderita akibat gagal berhadapan dengan situasi bencana malah merasa
kehilangan dalam segala aspek (Kanel, 2007). Oleh itu, fokus utama intervensi krisis adalah
252
meningkatkan kefungsian klien melalui perkhidmatan yang memberi fokus kepada
pembinaan self-esteem sehingga pengubahsuaian personaliti.
(b)Tindak Balas Mental
Selain daripada itu, kebanyakan responden turut menunjukkan tindak balas mental
seperti trauma dengan kejadian banjir yang berlaku. Responden trauma dengan hujan yang
lebat kerana merasakan seolah-olah banjir akan berulang kembali dan mudah berasa panik
dan cemas apabila hujan turun tanpa henti terutamanya pada waktu malam sehingga
menyebabkan responden tidak dapat tidur. Kemungkinan banjir besar seperti kejadian yang
berlaku pada Disember 2014 tidak akan berlaku lagi dalam masa terdekat, namun responden
tidak dapat menafikan wujud perasaan takut dan trauma dengan hujan yang turun. Hasil
kajian ini selari dengan kenyataan Johana dan Najib (2013), di mana mangsa yang
mempunyai pengalaman banjir akan sentiasa berada dalam keadaan tertekan, bimbang dan
cemas apabila berlaku hujan lebat secara berpanjangan. Kesannya kehidupan seharian mereka
sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan mereka sentiasa bimbang sekiranya kejadian
banjir berulang kembali. Gangguan tidur merupakan gejala yang sering berlaku kepada
mangsa bencana. Malah Division Mental Health (2008) yang turut menyenaraikan antara
tindak balas mental yang dialami oleh mangsa bencana adalah gangguan fikiran,
kemurungan, trauma, mengalami gangguan tidur, peningkatan kebimbangan dan mudah
berputus asa. Simptom yang dibincangkan ini sama seperti mana yang dialami oleh
responden yang terlibat dengan kajian ini.
Selain daripada itu, kebanyakan responden wanita yang terlibat dalam kajian ini turut
menyuarakan kebimbangan mereka tentang nasib yang bakal diterima oleh diri dan anak-
anak apabila kehilangan tempat perlindungan. Responden turut mengakui sering termenung
dan tertekan kerana semuanya berlaku secara mengejut. Dapatan ini adalah konsisten dengan
kajian sebelum ini di mana merujuk kepada Davidson (2004), kesan daripada bencana, wanita
adalah dua kali ganda (10 hingga 14 peratus) berpotensi mengalami masalah mental
berbanding lelaki (5 hingga 6 peratus). Ia turut disokong oleh Mastern dan Narayan (2012),
dengan menyatakan dalam kejadian bencana, wanita mengalami pengalaman dan simptom
PTSD yang lebih teruk berbanding lelaki. Malah terdapat juga perbezaan di antara simptom
yang ditunjukkan oleh mangsa wanita dan lelaki di mana wanita banyak menunjukkan
simptom dalaman (emosi dan mental) sedangkan mangsa lelaki banyak menunjukkan
simptom luaran (tingkah laku) seperti mana yang berlaku kepada responden yang terlibat
dalam kajian yang dijalankan ini.
Manakala, hampir kesemua responden kajian mengaku tidak boleh melupakan
peristiwa banjir tersebut kerana menganggap ianya sebagai pengalaman baru yang melibatkan
banjir paling dahsyat dalam sejarah kampung yang didiami. Sungguh pun begitu, ada juga
dalam kalangan responden yang mengaku tidak mampu mengingati apa-apa yang berlaku
selepas banjir atau digambarkan sendiri oleh responden sebagai hilang ingatan seketika akibat
terlalu trauma dan sering memikirkan banjir yang berlaku. Menurut responden, keluarga
beliau terpaksa meminta pertolongan daripada ahli perubatan agama Islam yang bergelar
ustaz untuk membantu memulihkan semangat beliau. Ini berlaku disebabkan oleh responden
sendiri melihat keadaan banjir yang berlaku di hadapan matanya sehingga menyebabkan
beliau menjadi terlalu takut dan trauma dengan apa yang dilaluinya. Menurut Moore dan
Varela (2010), pendedahan terhadap peristiwa trauma didapati mempengaruhi secara
langsung tahap keseriusan Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) yang dialami termasuklah
menyaksikan sendiri kemusnahan yang berlaku. Malah masalah psikologikal yang dialami
akan menjadi lebih teruk sekiranya peristiwa tersebut berlarutan. Oleh itu, perkhidmatan
253
kesihatan mental perlu disediakan pada peringkat ini. Bentuk intervensi yang disediakan
perlu bersesuaian dan selaras dengan keperluan mangsa bencana.
(c) Tindak Balas Tingkah Laku
Selain itu, responden turut menunjukkan tindak balas tingkah laku seperti menangis,
gelisah, panik serta menunjukkan perlakuan antisosial seperti tidak ceria, suka menyendiri
dan mengelak daripada berjumpa dengan orang lain. Kar (2000), menyatakan gangguan
tingkah laku mangsa dapat dilihat dari tahap kebimbangan yang ditunjukkan dan
ketidakfungsian dalam keluarga dan masyarakat. Malah tindak balas yang ditunjukkan oleh
responden ini juga selari dengan American Academy of Pediatrics, Work Group on Disasters
(2009), yang menyenaraikan antara simptom tindak balas tingkah laku yang sering
ditunjukkan oleh mangsa bencana adalah tindakan luar kawalan seperti menangis dan
meraung, gelisah, bimbang, mendiamkan diri atau kurang bercakap.
Terdapat juga responden yang mengaku sebelum ini beliau tidak boleh ketawa
mahupun tersenyum kerana kesan banjir yang dihadapi terlalu berat dan perit. Malah menurut
responden rakan-rakannya juga menegur perubahan tingkah laku dan perwatakannya yang
tidak ceria seperti dahulu. Ini selari dengan hasil kajian yang dijalankan oleh Nasir, Zainah
dan Khairudin (2012) di mana mangsa banjir yang berada dalam keadaan tertekan sering
menunjukkan tingkah laku seperti tidak bermotivasi, tidak fokus, bertingkah laku negatif dan
tidak ceria. Ini akan membawa kepada gangguan psikologikal yang serius seperti
kemurungan (Khalili, Murken, Helmut, Shah & Vahabzadeh, 2002) dan ia juga boleh
membawa kepada gangguan psikologi yang lebih serius sehingga menyebabkan kes bunuh
diri.
Kesimpulan
Kesimpulannya, ternyata responden yang terlibat dengan kajian ini bukan sahaja
terkesan secara fizikal namun turut menunjukkan masalah psikologikal kesan daripada
bencana banjir yang berlaku. Kesan psikologikal perlu diurus dengan sebaik mungkin bagi
mencegah kesan buruk terhadap emosi, mental (kognitif) dan keupayaan tingkah laku
individu. Malah isu psikologikal dalam kalangan mangsa bencana banjir di Malaysia
memerlukan intervensi jangka masa pendek dan panjang. Menurut Revell dan McCurry
(2010), pengurusan bantuan psikososial jangka pendek merangkumi kerja-kerja seperti
menyediakan rawatan psikologikal, intervensi krisis, menggalakkan sokongan dan jaringan
sosial dari keluarga dan rakan. Manakala intervensi jangka panjang yang efektif pula adalah
dengan memberi fokus kepada pendidikan individu dan keluarga berhubung kemahiran
mengurus tekanan, kemahiran menangani situasi kritikal dengan efisien dan perkhidmatan
sokongan spiritual kepada mangsa bencana (Revell & Mc Curry, 2010).
Intervensi yang bersesuaian perlu diberikan kepada responden wanita bagi
memastikan golongan ini mampu bangkit dengan segera selepas banjir dan berupaya untuk
terus menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat. Berdasarkan teori
pembangunan komuniti resilien oleh Paton (2005), setiap individu adalah sumber kepada
komuniti dan setiap apa juga perkara kecil yang dilakukan mampu mengubah diri, keluarga
dan komuniti secara positif. Kekuatan ahli komuniti perlu dikukuhkan melalui pembinaan
jaringan dan sokongan sosial, menggalakkan penglibatan ahli komuniti dan meningkatkan
ketahanan kendiri ahli masyarakat terhadap risiko bencana selaras dengan Rangka Kerja
Sendai (2015-2030) yang menekankan kepada peranan masyarakat dalam pengurusan dan
pengurangan risiko bencana. Pendekatan ini, ia akan menggalakkan penyertaan masyarakat
dalam pengurusan bencana.
254
Oleh itu kajian ini mencadangkan model intervensi berasaskan pendekatan resilien di
peringkat pemulihan selepas banjir perlu dilaksankan. Ia merangkumi pemerkasaan sokongan
bantu kendiri di peringkat individu, pembinaan keupayaan secara kolektif di peringkat
komuniti, pemantapan pemimpin berkaliber serta pengukuhan sokongan sosial yang efektif
dan holistik daripada agensi perkhidmatan bencana. Model ini bertujuan untuk membantu
mangsa banjir dalam meningkatkan kefungsian sosial dan kesejahteraan fizikal dan
psikososial mereka.
Rujukan
American Academy of Pediatrics, Work Group on Disasters. (2009). Psychosocial
issues for children and families in disasters: A guide for the primary care physician.
Di muat turun daripada http://mentalhealth.samhsa.gov/publications/allpubs/SMA95-
3022/default.asp
Awang, A. (2015, Januari 3). Hidup seperti di zaman batu. Harian Metro, muka surat 27.
Ballescas, C. P. (2013, November 30). Vulnerable groups and disasters. Di muat
turun daripada The Freeman website: www.philstar.com/freeman-
opinion/2013/11/30/1262605/vulnerable-groups -and-disasters.
Bates, F. L., & Peacock, W. G. (1993). Living conditions, disasters and development.
Athens, GA: University of Georgia Press.
Bonanno, G. A., Brewin, C. R., Kaniasty, K., & La Greca, A. M. (2010). Weighing
the costs of disaster: Consequences, risks, and resilience in individuals, families, and
communities. Psychological Science in the Public Interest, Supplement, 11(1), 1-49.
doi: 10.1177/1529100610387086
Braun, V., & Clarke, V. (2006). Using thematic analysis in psychology. Qualitative
Research in Psychology, 3(2),77-101. doi:10.1191/1478088706qp063oa
Chan, N.W. (1995). A contextual analysis of flood hazard management in peninsular
Malaysia. Tesis PhD, Universiti Utara Malaysia (Tidak diterbitkan).
Davidson, J. R. T. (2004). Long-term treatment and prevention of posttraumatic
stress disorder. Journal of Clinical Psychiatry, 65(1), 44-48.
Division of Mental Health (2008). National Guidelines on Emergency Post Disaster
Psychosocial Principle and Response. Kenya, Nairobi: Ministry of Health.
Elmerraji, J. (2011, Mac 5). Financial effects of natural disasters. Di muat turun
daripada https://www.forbes.com/sites/greatspeculations/2011/03/15/financial-
efffects-of-disasters.
Fahrudin, A. (2003). Post-disaster psychosocial rehabilitation: Reposition of social
worker role in Indonesia. Dalam A. Fahrudin (2012). Preparing social work students
for working with disaster survivors. Asian Social Work and Policy Review, 6(2), 86-
94. doi: 10.1111j.1753-1411.2012.00064.x
255
Fernando, N. (2002). Psychosocial care for people affected by disaster. VIDURAVA,
22, 1-32.
URL:https://www.coe.int/t/dg4/majorhazards/ressources/virtuallibrary/materials/Othe
rs/NATO_Guidance_Psychosocial_Care_for_People_Affected_by_Disasters_and_Ma
jor_Incidents.pdf
Fobair, P., Koopman, C., & Dimiceli, S. (2002). Psychosocial intervention for
lesbians with primary breast cancer. Psychooncology, 11, 427-438.
doi:10.1002/pon.624
Freeman, P. K. (2000). Infrastructure, natural disasters and poverty. Dalam K.
Alcira, & A. Margaret. (Eds.), Managing Disaster Risk in Emerging Economics (ms.
55-61). Washington D.C: The World Bank.
Galea, S., Nandi, A., & Vlahov, D. (2005). The epidemiology of posttraumatic stress
disorder after disasters. Epidemiologic Review, 27, 78-91.
doi: 10.1093/epirev/mxi003
International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC) (2009).
Psychosocial intervention: A handbook. Denmark: International Federation Reference
Centre for Psychosocial Support
Johal, S.S. (2009). Foundations of psychosocial support in emergency management:
Workshop Handbook. New Zealand: National Health Emergency. Ministry of Health.
Johana, J., & Najib, A.M. (2013). Relating stress, anxiety and depression among
flood victims quality of life in Malaysia: A theoretical perspective. International
Journal of Social Sciences and Humanity, 3(6), 543-547.
doi: 10.7763/IJSSH.2013.V3.30
Kanel, K. (2007). A Guide to Crisis Intervention (3rd ed.). California: ThomsonBrooks Cole.
Kar, G. C. (2000). Presidential address delivered at ANCIPS in Cochin, Kerala in
January 2000. Disaster and Mental Health, 42 (1).
Kementerian Kesihatan Malaysia. (2016, Mei 27). Banjir dan risiko penyakit berjangkit.
Dimuat turun daripada www.myhealth.gov.my/banjir-dan-risiko-penyalit-berjangkit/
Khalili, S., Murken, S., Helmut, S., Shah, A. & Vahabzedah, A. (2992). Religious
and mental health in cultural perspective: Observation and reflections after the first
international congress on religion and mental health. The International Journal of
Psychology of Religion, 12(4), 217-237.
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga dan Negara (2013). Laporan Kajian
Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2011. Kuala Lumpur: Penerbit LPPKN,
KPWKM.
Lindell, M. K., & Prater, C. S. (2004). Assessing community impacts of natural
disasters. Natural Hazards Review, 4(4), 176-186.
doi:10.1061/(ASCE)1527-6988(2003)4;4(176).
256
Masten, A.S., & Narayan, A.J. (2012). Child development in the context of disaster,
war, and terrorism: pathways of risk and resilience. Annual Review Psychology, 63,
227-257. doi:10.1146/annurev-psych-120710-100356.
Matud, M. P. (2004). Gender differences in stress and coping styles. Personality and
Individual Differences, 37, 1401-1415. doi:10.1016/j.paid.2004.01.010
McEwen, B.S. (2004). Protection and damage from acute and chronic stress:
Allostatic and allostatic overload and relevance to the pathophysiology of sychiatric
disorders. Association for Psychological Science. 11(1), 1-49.
doi: 10.1196/annals.1314.001
Mitchell, A.M., Sakraida, T.J., & Zalice, K.K. (2005). Disaster care: Psychological
considerations. Nursing Clinics of North America, 40,535-550.
doi:10.1016/j.cnur.2005.04.006
Morgan, L., Scourfield, J., & Williams, D. (2003). The Aberfan disaster: 33 follow
up of survivors. British Journal of Psychiatry, 182, 532-536.
doi:10.1192/bjp.182.6.532
Murthy, S. R., Kar, N., Sekar, K., Swain, S., Mishra, V., & Daniel, U. (2003).
Evaluation Report in Psychosocial Intervention with Survivors of Supercyclone.
Sneha Abhiyan: Action Aid India.
Nasir, R., Zainah A.Z., & Khairudin, R. (2012). Psychological effects on victims of
the Johor flood 2006/2007. Asian Social Sciences, 8(8) 126-133.
doi:10.5539/ass.v8n8p126
Norizan, Y. (2016). Pengurusan elemen psikologikal sebagai persediaan
menghadapi bencana: Satu kajian kualitatif terhadap mangsa banjir di Kelantan.
Jurnal Psikologi Malaysia, 30 (2), 74-81.
URL: http://spaj.ukm.my/ppppm/jpm/issue/view/26
Norris, F. (2005). Range, magnitude and duration of the effects of disasters on
mental health: Review update 2005. Di muat turun daripada
http://www.redmh.org/research/general/effects.html.
Oh, E. H., Deshmukh, A. & Hastak, M. (2010). Disaster impact analysis based on
inter-relationship of critical infrastructure and associated industries. International
Journal of Disaster Resilience in the Built Environment, 1, 25-49.
doi:10.1108/17595901011026463
Omar, H. & Alon, N. (1994). The continuity principle: a unified approach to disaster
and trauma. American Journal of Community Psychology, 22, 273-287.
doi:10.1007/BF02506866
Paton, D. (2005). Community resilience: Integrating hazard management and
community Engagement: International Conference on Engaging Communities, 14th-
17th June 2005. Queensland, Australia.
257
Peacock, W. G., Dash, N., & Zhang, Y. (2007). Hand Book of Disaster Research:
Sheltering and Housing Recovery Following Disaster. Newark, DE: Spinger.
Revell, S.M. H., & McCurry, M. K. (2010). Post flood disaster management and the
home health nurse: Using theory to guide practice. Journal of Community Health
Nursing. 27, 126-136. doi:10.1080/07370016.2010.494454
Salhah, A., Sapora, S., Husni, M. R.& Zulkepli, A. G. (2015). Prosiding The 2015
WEI International Academic Conference Proceedings. Vienna, Austria: The West
East Institute.
Schwarzer, R., Hahn, A., & Schroder, H. (1994). Social Integration and Social
support in a life crisis: Effects of macro social change in East Germany. American
Journal of Community Psychology, 22, 685-706.
Siti Uzairiah, M. T. (2017). Kajian Kualitatif dan Analisis Temu bual. Kuala
Lumpur, Malaysia: Aras Publisher.
Stevens, S., & Slone, L. (2005). The tsunami and mental health. What can we expect.
A National Centre for PTSD. 20, 289-306.
Taft, C. T., Monson, C.M., Schumm, J. A., Watkins, L.E., Panuzio, J. & Resick, P.
A. (2009). Posttraumatic stress disorder symptoms, relationship adjustment, and
relationship aggression in a sample of female flood victims. Journal Family
Violence, 24, 389-396.
Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan, Jabatan Perdana Menteri. (2015). Kertas
Pembentangan daripada Persidangan Pengurusan Bencana Banjir Kelantan 2015:
Penyelesaian, Kerangka Kerja dan Pembangunan Lestari. Kubang Kerian, Kelantan:
Universiti Sains Malaysia.
Walsh, F. (2007). Traumatic loss and major disaster: Strengthening family and
community resilience. Family Process, 46 (2), 207-227.
doi: 10.1111/j.1545-5300.2007.00205.x
Wan Nik, W. Y. (2015, Jun 30). Banjir Kelantan 2014: Satu musibah. Di muat turun
daripada pks.kelantan.gov.my/?p=82
Wong, K. K., & Zhao, X. (2001). Living with floods: victims’ perception in
Beijiang, Guangdong, China. Area, 33(2), 190-201.
doi: 10.1111/1475-4762.00022
Zainuddin, A. (2012). Research Methodology and Data Analysis (2nd ed.). Malaysia:
UiTM Press.