Post on 12-Mar-2019
506
KEPIMPINAN TRANSFORMASI PENGETUA
PROGRAM SEKOLAH TRANSFORMASI DAN
HUBUNGANNYA DENGAN KEPUASAN KERJA
GURU DI ZON UTARA
Mohamad Faisal Mohd Noh, Jamallul Lail Abdul Wahab
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti amalan kepimpinan transformasi dalam kalangan pengetua
Program Sekolah Transformasi (PST) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan hubungannya dengan
kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara. Objektif kajian ialah mengenal
pasti tahap amalan kepimpinan transformasi pengetua menurut persepsi guru, mengenal pasti tahap
kepuasan kerja guru dan mengenal pasti sama ada terdapat hubungan antara amalan kepimpinan
transformasi pengetua dengan kepuasan kerja guru. Dapatan kajian mendapati amalan kepimpinan
transformasi pengetua PST KPM adalah berada pada tahap sederhana tinggi (3.90). Kajian juga mendapati
tahap kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara juga berada pada tahap
sederhana tinggi (3.96). Selain itu, terdapat hubungan yang signifikan antara amalan kepimpinan pengetua
PST KPM dengan kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM.
Kata Kunci: Kepimpinan Transformasi Pengetua, Kepuasan Kerja, Guru Sekolah Program Transformasi
ABSTRACT
This study aims to identify the practice of leadership transformational among principals under the School
Transformation Program (STP) Ministry of Education (MOE) and its relationship with secondary school
teachers’ job satisfaction in the northern zone. The objective of the study is to determine the level of
principals' leadership transformational according to teachers' perceptions, to identify the level of job
satisfaction and to identify whether there is a relationship between leadership transformational practices
among principals with teachers' job satisfaction. The results showed that the leadership transformational
practices among principal under the STP MOE is moderately high (3.90). The study also found that the
level of job satisfaction of teachers in secondary schools involved in STP in the northern zone also showed
a moderately high figure (3.96). In addition, there is a significant correlation between principal leadership
practices and job satisfaction of teachers in secondary schools involved under the STP.
Keywords: Principle Leadership Transformational, Job Satisfaction, Teachers’ in School Transformation
Program
PENGENALAN
Keadaan sistem pendidikan hari ini menjadi penentu terbaik daya saing Malaysia. Seperti yang digariskan
dalam Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Ke-10, Malaysia berusaha untuk berubah daripada
negara berpendapatan sederhana ke arah negara berpendapatan tinggi. Perubahan ini perlu digerakkan oleh
mereka yang berbakat khususnya pemimpin dan pekerja berpengetahuan, berbanding input lain, seperti
tenaga kerja dan modal (PPPM 2013-2025).
Anjakan ke-4 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) akan memperluas laluan guru untuk peranan kepimpinan, pakar pengajaran dan pakar
bidang khusus menjelang 2016. Selain itu, Anjakan ke-5 PPPM turut menggariskan untuk memastikan
kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah. Kualiti kepimpinan sekolah merupakan faktor
507
berasaskan sekolah yang kedua terpenting selepas kualiti guru dalam menentukan keberhasilan murid.
Beberapa kajian antarabangsa tentang kepimpinan sekolah menunjukkan bahawa pengetua/guru besar yang
cemerlang, iaitu yang memberi
tumpuan kepada kepimpinan instruksional dan bukannya kepimpinan pentadbiran, dapat meningkatkan
keberhasilan murid sebanyak 20 peratus (PPPM 2013-2025).
Hasrat kerajaan untuk mengubah negara berpendapatan sederhana ke arah negara berpendapatan tinggi dan
menjadikan sistem pendidikan negara berdaya saing pada peringkat global tidak akan tercapai tanpa
sokongan kepimpinan yang boleh mentransformasikan pendidikan negara. Bagi merealisasikan hasrat ini
KPM telah merangka pelbagai program kepimpinan, bermula diperingkat kementerian sehingga ke
peringkat sekolah. Antara program yang dilaksanakan ialah:
i. Program Pembangunan Organisasi Untuk Kecemerlangan Sekolah (PrOD);
ii. Program Kelayakan Profesional Pemimpin Kebangsaan (NPQEL);
iii. Program Transformasi Daerah (DTP); dan
iv. Program Sekolah Transformasi (PST) KPM.
Kesemua program yang dilaksanakan berkisar tentang kepimpinan. Jelas menunjukkan bahawa pemimpin
berkesan memainkan peranan yang penting bagi menjayakan hasrat dan misi KPM untuk menjadikan
sistem pendidikan negara berdaya saing di peringkat global.
LATAR BELAKANG KAJIAN
PST KPM yang dilaksanakan mulai tahun 2015 merupakan sebahagian daripada usaha KPM ke arah
meningkatkan pencapaian murid, mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan
kepimpinan serta pedagogi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) selari dengan hasrat yang terkandung
dalam PPPM 2013-2025. Konsep PST KPM merupakan adaptasi amalan terbaik konsep Sekolah Amanah
yang telah dilaksanakan oleh KPM. Konsep PST juga adalah satu usaha ke arah melahirkan modal insan
unggul melalui persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, pelibatan pembelajaran murid yang aktif
lagi bermakna dengan disokong kepimpinan yang berkualiti serta berwawasan, guru yang kompeten,
beraspirasi tinggi serta komitmen komuniti yang padu. Kumpulan Rakan Educational Leadership and
Instructional Team (ELIT) yang terdiri daripada pensyarah dari Institut Aminuddin Baki (IAB) dan Institut
Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan
Daerah (PPD) serta Pengetua Guru Besar (PGB) dan Guru Penolong Kanan (GPK) dari sekolah yang
terpilih telah dibentuk bagi merealisasikan hasrat ini. Kerangka konsep PST KPM digambarkan seperti
pada Rajah 1.
Rajah 1: Kerangka Konsep PST KPM
508
Kejayaan PST KPM amat bergantung kepada komitmen Rakan ELIT terutamanya PGB. PGB merupakan
pembimbing utama dalam memimpin guru-guru di sekolah yang terlibat dengan PST KPM. Kualiti
kepimpinan dan kepimpinan yang berkesan dalam kalangan mereka akan menentukan hasrat KPM untuk
melihat peningkatan pencapaian murid berdasarkan amalan terbaik PdP, pengurusan dan kepimpinan guru
tercapai. Bagi merealisasikan hasrat ini kepimpinan transformasi PGB dilihat sebagai kunci kepimpinan
berkesan yang akan memberi impak kepada kepuasan kerja guru di sekolah.
Ishak (2001) dalam kajian “Pengaruh Kepimpinan Pengajaran, Kepimpinan Transformasi Dan Gentian
Kepada Kepemimpinan Ke Atas Komitmen Terhadap Organisasi, Efikasi Dan Kepuasan Kerja Guru”
mendapati bahawa kepimpinan transformasi di Malaysia mempunyai pengaruh yang lebih besar ke atas
komitmen dan kepuasan kerja guru berbanding gaya kepemimpinan yang lain. Kajian Nadiah dan Azlin
Norhaini (2014) mengenai amalan kepimpinan pengetua dan kepuasan kerja guru di sekolah cemerlang
daerah Seremban turut mendapati gaya kepimpinan pengetua memberi pengaruh yang kuat terhadap
kepuasan kerja guru. Keempat-empat ciri amalan kepimpinan transformasi yang telah dikenalpasti
memberikan impak positif kepada kepuasan kerja dan komitmen guru-guru (Stacy 2008).
PERNYATAAN MASALAH
KPM berhasrat untuk melihat pencapaian murid melalui pelaksanaan PST KPM. Bagi merealisasikan
hasrat ini, kepimpinan yang berkesan dan berkualiti dalam kalangan PGB dan guru yang kompeten serta
beraspirasi tinggi sangat diperlukan dalam menentukan kejayaan PST KPM. Kejayaan PST KPM
bergantung kepada tahap dan gaya kepimpinan pengetua yang diamalkan. Pengetua merupakan
pembimbing utama dalam memimpin dan kepimpinan berkesan dalam kalangan mereka akan menentukan
hasrat KPM untuk melihat peningkatan pencapaian murid berdasarkan amalan terbaik PdP, pengurusan
dan kepimpinan guru tercapai. Justeru, kepimpinan transformasi pengetua dilihat sebagai kunci kepimpinan
berkesan yang akan memberi impak kepada kepuasan kerja guru di sekolah.
Banyak kajian-kajian mengenai gaya kepimpinan dan kepuasan kerja guru telah dijalankan. Antaranya
ialah kajian oleh Ishak (2001) menyatakan kepimpinan transformasi di Malaysia mempunyai pengaruh
yang lebih besar ke atas komitmen dan kepuasan kerja guru berbanding gaya kepemimpinan yang lain.
Kajian Nadiah dan Azlin Norhaini (2014) mengenai amalan kepimpinan pengetua dan kepuasan kerja guru
di sekolah cemerlang daerah Seremban turut mendapati gaya kepimpinan pengetua memberi pengaruh
yang kuat terhadap kepuasan kerja guru. Seterusnya Stacy (2008) menyatakan bahawa keempat-empat ciri
amalan kepimpinan transformasi telah dikenalpasti memberi impak positif kepada kepuasan kerja dan
komitmen guru-guru.
Berdasarkan dapatan kajian dan persoalan-persoalan yang dibincangkan, maka pengkaji berpandangan
amalan kepimpinan transformasi pengetua sesuai dan boleh mendorong para guru mengubah nilai dan sikap
mereka supaya mempunyai komitmen yang tinggi terhadap pelaksanaan PST KPM. Kajian berkaitan
dengan kepimpinan transformasi pengetua PST KPM dan hubungannya dengan kepuasan kerja guru di
sekolah menengah yang terlibat dengan program ini belum dilaksanakan kerana PST KPM baharu
diperkenalkan. Sehubungan dengan itu, kajian awal untuk melihat amalan kepimpinan transformasi
pengetua di sekolah terlibat PST KPM perlu dilaksanakan agar objektif PST KPM tercapai seperti yang
dihasratkan.
TUJUAN KAJIAN
Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji amalan kepimpinan transformasi dalam kalangan pengetua PST
KPM dan hubungannya dengan kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara.
509
OBJEKTIF KAJIAN
Objektif kajian ini adalah bertujuan untuk;
i. Mengenal pasti tahap amalan kepimpinan transformasi pengetua PST KPM menurut persepsi guru
di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara.
ii. Mengenal pasti tahap kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara.
iii. Mengenal pasti sama ada terdapat hubungan antara amalan kepimpinan transformasi pengetua
PST KPM dengan kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara.
PERSOALAN KAJIAN
Persoalan kajian adalah seperti berikut:
i. Apakah tahap amalan kepimpinan transformasi pengetua PST KPM menurut persepsi guru di
sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara.
ii. Apakah tahap kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara.
iii. Adakah terdapat hubungan antara amalan kepimpinan transformasi pengetua PST KPM dengan
kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara.
KERANGKA KONSEPTUAL KAJIAN
Kerangka konseptual kajian seperti ditunjukkan dalam rajah 2.
Rajah 2: Kerangka Konseptual Kajian
Sumber: Kepimpinan Transformasi diubahsuai daripada Teori Burns (1978) dan Bass (1985), Kepuasan
Kerja diubahsuai daripada Teori Dua Faktor Herzberg (1985); dalam Raihana (2012) dan Kepimpinan
Berkesan diubahsuai daripada Konsep Program Sekolah Transformasi KPM (2015).
Kajian ini dijalankan berdasarkan kerangka konseptual yang ditunjukkan dalam Rajah 2. Kejayaan PST
KPM bergantung kepada pemimpin berkesan yang mengamalkan gaya kepimpinan transformasi. Kajian
kepimpinan transformasi dikaji berdasarkan model Burns (1978) dan Bass (1985), empat dimensi amalan
iaitu karismatik, pertimbangan individu, stimulasi intelek dan inspirasi motivasi. Pengetua sebagai subjek
kajian akan dikaji melalui persepsi guru terhadap amalan kepimpinan transformasi yang diamalkan.
Kajian ini juga merujuk kepada teori kepuasan kerja iaitu Teori Dua Faktor Herzberg (Herzberg’s Two-
Factor Theory) yang telah menggabungkan faktor kepuasan iaitu motivasi (keperluan tinggi) dengan faktor
ketidakpuasan iaitu hygiene (keperluan rendah). Tahap keperluan tinggi ini merangkumi beberapa aspek
510
intrinsik iaitu pengiktirafan, pencapaian dan peluang untuk memajukan diri. Manakala tahap keperluan
rendah merupakan suasana tempat kerja, penyeliaan dan hubungan interpersonal (Dinham & Scott, 2000).
ULASAN LITERATUR KEPIMPINAN AMALAN TRANSFORMASI DAN KEPUASAN KERJA
GURU
Kajian yang telah dilaksanakan oleh Button (2003) menunjukkan bahawa perubahan yang dibawa melalui
kepimpinan transformasi dilihat lebih demokratik, adil serta mampu meningkatkan komitmen serta
penglibatan individu. Organisasi yang melalui perubahan amalan kepimpinan daripada transaksional
kepada transformasional berubah bukan hanya kerana aspek-aspek di atas tetapi mereka berubah kerana
amalan kepimpinan transformasi yang mampu membawa kepada peningkatan produktiviti (Leithwood
1992; dalam Nursuhaila 2007). Menurut Hoy & Miskel (2005) model kepimpinan transformasi dilihat
paling sesuai diimplementasi oleh pemimpin sekolah.
Menurut Norashikin (2005) dalam kajiannya terhadap 365 orang pensyarah di tiga (3) buah Politeknik
mendapati bahawa Ketua Jabatan dalam Pendidikan Teknikal dan Vokasional (PTV) di 3 buah Politeknik
mengamalkan keempat-empat ciri kepimpinan transformasi iaitu ciri karismatik, ciri inspirasi motivasi, ciri
stimulasi intelek dan ciri perhatian individu. Kajian beliau mendapati kepimpinan yang ditunjukkan oleh
Ketua Jabatan mampu mendatangkan perubahan yang baik dalam PTV di Politeknik seterusnya mampu
memimpin pensyarah untuk bekerja dengan memberikan kerjasama yang tinggi.
Jazmi (2009) melalui kajiannya “Gaya Kepemimpinan Pengetua dan Kepuasan Kerja Guru: Kajian
Perbandingan Antara SMKA dengan SMK” mencadangkan agar pengetua mengamalkan gaya
kepemimpinan transformasi. Hal ini kerana pengetua akan berhadapan dengan guru-guru, staf dan pelajar
yang merupakan elemen-elemen yang memerlukan perhubungan kemanusiaan yang lebih tinggi.
Kajian Raihana (2012) mendapati amalan kepimpinan Pengarah di Institut Pendidikan MARA (IPMa)
adalah berada pada tahap sederhana tinggi dan didapati lebih cenderung mengamalkan ciri stimulasi intelek
berbanding ciri-ciri amalan kepimpinan transformasi selainnya. Kajian beliau mendapati tahap kepuasan
kerja tenaga pengajar di IPMa berada pada tahap yang tinggi.
Kajian Habib dan Zaimah (2012) ke atas guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan
(Integrasi) dalam Daerah Hulu Langat, Selangor turut mendapati ciri-ciri kepimpinan transformasi
pengetua terhadap keempat-empat dimensi amalan kepemimpinan transformasi pengetua adalah tinggi.
Kajian Nor Hanim (2013), Rosmawati (2013) dan Mohamad Radzi et al. (2014) turut mendapati
kepimpinan transformasi pengetua di sekolah berada pada tahap yang tinggi.
Robbins (2003) menyatakan kepuasan kerja merupakan satu tahap yang dirasai oleh seseorang pekerja
apabila dapat melakukan sesuatu kerja dengan baik. Kepuasan kerja ialah tingkah laku yang
memberangsangkan terhadap kerja, berasa seronok dan gembira semasa melakukan sesuatu pekerjaan.
Rugg (2005) menyatakan, kepimpinan transformasi dapat membuatkan guru-guru lebih meningkatkan
keterlibatan dalam aktiviti, lebih berdedikasi dan lebih berpuas hati. Kimberly (2008) turut mencadangkan
dalam meningkatkan kepuasan kerja guru, adalah penting bagi sekolah dan pegawai pendidikan daerah
mengimplementasikan model kepimpinan transformasi di sekolah.
Menurut Azrul Hisham (2009), kepuasan kerja merujuk kepada emosi guru yang menggembirakan hasil
daripada taksiran seseorang terhadap pekerjaannya sebagai menyenangkan dan berjaya. Manakala Karen
(2007) pula menyatakan bahawa kepimpinan transformasi pengetua dapat mengubah tingkah laku dan
sikap guru serta mewujudkan kepuasan diri kepada guru atas perubahan-perubahan positif yang berlaku.
Kajian Nadiah dan Azlin Norhaini (2014) mengenai amalan kepimpinan pengetua dan kepuasan kerja guru
di sekolah cemerlang daerah Seremban mendapati gaya kepimpinan pengetua memberi pengaruh yang kuat
terhadap kepuasan kerja guru. Nor Fadhilah dan Azlin Norhaini (2014) melalui kajian terhadap amalan
kepimpinan transformasional pengetua dan kepuasan kerja guru di sekolah menengah agama bantuan
kerajaan (SABK) Negeri Sembilan mendapati bahawa amalan kepimpinan transformasi dalam dimensi
karisma merupakan penyumbang terbesar kepada tahap kepuasan kerja guru. Manakala Thalahudin dan
511
Azlin Norhaini (2015) mendapati tahap kepuasan kerja yang tinggi sebahagiannya disumbang oleh dimensi
stimulasi intelek dalam kepimpinan transformasi.
Hasil dapatan tersebut mengesahkan bahawa amalan kepimpinan transformasi yang diamalkan boleh
menyumbang kepada kepuasan kerja guru.
TEORI KEPIMPINAN TRANSFORMASI BURN (1979) DAN BASS (1985)
Teori Kepimpinan Transformasi Burn (1979)
Teori kepimpinan transformasi telah diperkenalkan oleh James Mac Gregor Burns pada tahun 1979 di
dalam kajiannya berkaitan dengan kepemimpinan politik. Menurut Burns, kepemimpinan transformasi
merupakan satu proses di mana pemimpin dan pengikutnya saling bantu membantu untuk meningkatkan
motivasi dan moral kepada tahap yang lebih tinggi. Burns telah mengkategorikan kepemimpinan
transformasi kepada empat kategori iaitu karismatik, pertimbangan individu, stimulasi intelek dan inspirasi
motivasi. Idea Burns telah dikembangkan oleh Bass yang melihat kepemimpinan transformasi berdasarkan
cara bagaimana pemimpin mempengaruhi pengikutnya bagi membolehkan dirinya dipercayai, dikagumi
dan dihormati (Khairil Annas 2009).
Uniknya kepimpinan transformasi adalah pada sumbernya iaitu nilai peribadi dan kepercayaan seseorang
pemimpin itu terhadap perkongsian kepimpinan itu sendiri yang akhirnya boleh melahirkan pemimpin di
kalangan pengikut (Hoy & Miskel 2005).
Teori Kepimpinan Transformasi Bass (1985)
Teori ini diasaskan oleh Bernard M. Bass (1985). Teori ini merupakan suatu perincian dan penambahbaikan
daripada Teori Kepimpinan Transformasi Burns (1978) iaitu dengan memberikan perhatian yang lebih
kepada pengikut berbanding pemimpin. Bass memfokuskan teorinya kepada peningkatan kesedaran
mengenai isu-isu kepimpinan dalam kalangan pengikut. Beliau menyatakan bahawa pengikut memerlukan
pemimpin yang berwawasan, berkeyakinan diri tinggi dan mempunyai kekuatan memperjuangkan
kebenaran (Avolio & Bass 2004).
Menurut Bass (1985), terdapat tiga cara pemimpin mengubah pengikut iaitu:
i. Tingkatkan keperihatinan pengikut terhadap kepentingan tugas dan keperluan memahami nilai murni;
ii. Pengikut perlu memberikan keutamaan terhadap pencapaian matlamat organisasi berbanding
kepentingan peribadi diri; dan
iii. Pemimpin menyemarakkan keinginan pengikut di peringkat lebih tinggi.
Bass turut menyatakan bahawa terdapat empat ciri amalan kepimpinan transformasi yang digambarkan
dimiliki oleh seseorang pemimpin transformasi iaitu ciri karismatik, inspirasi motivasi, stimulasi intelek
dan perhatian individu. Senarai empat amalan kepimpinan menurut Burns dan Bass seperti pada Jadual 1.
Jadual 1: Kepimpinan Transformasi Burns (1979) dan Bass (1985)
Sumber: Teori Burns (1979) & Bass (1985); dalam Nursuhaila (2007).
512
KEPUASAN KERJA MENGIKUT TEORI DUA FAKTOR HERZBERG
Arthur dan David (2011) menyatakan Herberzg (1959) mengilhamkan teori ini daripada satu persoalan
iaitu “Apakah yang pekerja mahukan daripada pekerjaan mereka?”. Maka dalam menjawab persoalan
tersebut, beliau membuat kajian tinjauan terhadap sekumpulan profesional iaitu sejumlah 200 orang
akauntan dan jurutera di sembilan buah syarikat di Pittsburg, Amerika Syarikat dan seterusnya mendapati
bahawa terdapat dua set faktor (hygiene dan motivator) yang mempengaruhi ketidakpuasan dan kepuasan
dalam kerja.
Teori Dua Faktor Herzberg (Herzberg’s Two-Factor Theory) telah menggabungkan faktor kepuasan iaitu
motivator (keperluan tinggi) dengan faktor ketidakpuasan iaitu hygiene (keperluan rendah). Tahap
keperluan tinggi ini merangkumi beberapa aspek intrinsik iaitu pengiktirafan, pencapaian, tanggungjawab,
pekerjaan dan peluang untuk memajukan diri. Manakala tahap keperluan rendah merupakan suasana tempat
kerja, polisi kerja, penyeliaan, gaji dan hubungan interpersonal (Dinham & Scott 2000).
REKA BENTUK KAJIAN
Kajian ini adalah berbentuk kuantitatif. Menurut Cresswell (2009), pendekatan kuantitatif menggunakan
kaedah tinjauan diaplikasikan dalam kajian ini kerana ia mampu memberikan penjelasan secara kuantitatif
ke atas sesuatu populasi dengan hanya mengkaji sampel daripada populasi berkenaan. Malek (2007)
menyatakan bahawa kajian tinjauan dijalankan bagi mendapatkan bilangan, kuantiti atau data yang
melibatkan angka (numerical).
Fokus kajian ini adalah untuk mengenal pasti tahap kepimpinan transformasi pengetua PST KPM dan
hubungannya dengan kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara. Segala
pengukuran terhadap pemboleh ubah adalah dibuat berdasarkan maklum balas terhadap semua penyataan
yang terkandung dalam soal selidik.
LOKASI, POPULASI DAN SAMPEL KAJIAN
Kajian ini dijalankan di lima (5) buah sekolah menengah kohort pertama yang terlibat PST KPM di zon
utara. Pemilihan sampel kajian berdasarkan sampel yang dicadangkan oleh Krejcie dan Morgan (1970).
Senarai lokasi, populasi dan sampel ditunjukkan dalam Jadual 2.
Jadual 2: Lokasi, Populasi dan Sampel Sekolah Menengah Terlibat PST KPM di Zon Utara
INSTRUMEN KAJIAN
Instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah instrumen soal selidik. Menurut Mohd Majid (1998);
dalam Jazmi (2009) menyatakan bahawa responden hanya akan meneruskan usaha untuk menjawab soalan
sekiranya soalan yang dikemukakan dapat dibaca dan difahami dengan mudah.
Borang soal selidik terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Bahagian A mengandungi demografik iaitu
jantina, umur dan pengalaman mengajar guru, Bahagian B mengandungi 20 soalan mengenai
kepemimpinan transformasi pengetua (karismatik, pertimbangan individu, stimulasi intelek dan inspirasi
513
motivasi) dan Bahagian C mengandungi 7 soalan mengenai kepuasan kerja (faktor motivator dan hygiene).
Soal selidik kepemimpinan transformasi pengetua diubahsuai daripada soal selidik yang digunakan oleh
Nursuhaila (2007), diadaptasi daripada Multifactor Leadership Questionnaire (MLQ) yang diperkenalkan
oleh Avolio & Bass (2004). Kepuasan kerja pula diukur menggunakan soalan yang telah diubahsuai
daripada soal selidik yang digunakan oleh Badril (2009), diadaptasi daripada soalan gabungan Job
Descriptive Index (JDI) dan Job In General (JIG). Skala likert yang digunakan dalam kajian ini ditunjukkan
dalam Jadual 3.
Jadual 3: Skor Mengikut 5 Skala Likert (Tahap persetujuan terhadap penyataan)
Sumber: Adaptasi daripada Mohd. Najib (2004). Reka Bentuk Tinjauan: Soal Selidik Pendidikan.
ANALISIS KAJIAN
Soal Selidik Bahagian A
Maklumat yang disediakan dalam Bahagian A berkaitan dengan maklumat demografik iaitu jantina, umur
dan pengalaman mengajar. Maklumat ini diproses dengan menggunakan pengaturcaraan IBM Statictical
Package For The Social Sciences (SPSS) Versi 22.0.
Soal Selidik Bahagian B dan C
Data-data dan maklumat yang diperoleh dari soal selidik Bahagian B dan C diproses dengan
menggunakan pengaturcaraan IBM Statictical Package For The Social Sciences (SPSS) Versi 22.0 bagi
mendapatkan nilai skor min bagi setiap item yang dijawab oleh responden. Jadual 4 merupakan rujukan
skor min dan orientasi tahap amalan kepimpinan transformasi pengetua PST KPM dengan tahap
kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara.
Jadual 4: Jadual Rujukan Skor Min dan Orientasi Tahap Amalan Kepimpinan Transformasi Pengetua
PST KPM dengan Tahap Kepuasan Kerja Guru di Sekolah Menengah terlibat PST KPM di Zon Utara
Sumber: Nunnalyy dan Bernstein (1994). Psychometrics Theory 3rd Edition.
Ujian Kolerasi Spearman
Ujian Kolerasi Spearman digunakan bagi mengenal pasti perhubungan antara tahap amalan kepimpinan
transformasi pengetua PST KPM (pemboleh ubah bebas) dengan tahap kepuasan kerja guru di sekolah
menengah terlibat PST KPM (pemboleh ubah bersandar) di zon utara. Ujian ini dipilih oleh pengkaji kerana
514
ujian ini dapat mengenal pasti perhubungan antara kedua-dua variabel berskala ordinal sebagai skala
pengukuran (Chua2013). Data-data dan maklumat yang diperoleh dari soal selidik diproses dengan
menggunakan pengaturcaraan IBM Statictical Package For The Social Sciences (SPSS) Versi 22.0.
Rujukan bagi nilai kolerasi (r) dan orientasinya adalah seperti pada Jadual 5.
Jadual 5: Jadual Rujukan Nilai Kolerasi (r)
Sumber: (Chua 2013).
Daripada Jadual 5, sekiranya nilai kolerasi (r) yang diperoleh adalah sama dan melebihi daripada sifar (r ≥
0), maka tahap amalan kepimpinan transformasi pengetua PST KPM adalah berhubungan positif dengan
tahap kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM iaitu terdapat hubungan signifikan antara
kedua-dua pemboleh ubah tersebut. Namun, sekiranya nilai kolerasi (r) yang diperoleh adalah kurang
daripada sifar (r < 0), maka tahap amalan kepimpinan transformasi pengetua PST KPM adalah
berhubungan negatif dengan tahap kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM iaitu tidak
terdapat hubungan signifikan antara kedua-dua pemboleh ubah tersebut.
Aras kekuatan nilai pekali korelasi (r) bagi menentukan kekuatan kolerasi mempunyai sela antara -1 dan
+1 (Chua 2013). Pekali korelasi dilaporkan dalam bentuk dua titik perpuluhan. Misalnya, r = .65 dan r =
.23 (nilai sifar di depan titik perpuluhan tidak perlu dilaporkan). Jadual 6 menunjukkan aras kekuatan nilai
r (Chua 2013).
DAPATAN KAJIAN
Analisis Deskriptif Faktor Demografik Responden Kajian
Responden bagi kajian ini adalah sejumlah 351 orang guru di 5 buah sekolah menengah terlibat dengan
PST KPM di zon utara. Dalam menjalankan analisis deskriptif terhadap faktor demografik responden
kajian, pengkaji menggunakan tiga faktor demografik dalam mengenalpastikan karakteristik bagi setiap
responden yang terlibat dalam kajian yang dijalankan iaitu demografik jantina, umur dan pengalaman
mengajar.
Taburan responden mengikut jantina menunjukkan seramai 81 orang (23.1%) responden adalah terdiri
daripada guru lelaki manakala 270 orang (76.9%) responden adalah terdiri daripada guru perempuan. Ini
menunjukkan bilangan responden perempuan adalah lebih berbanding responden lelaki.
515
Taburan bagi responden mengikut kategori umur menunjukkan bilangan responden berumur bawah 30
tahun adalah seramai 41 orang (11.7%), umur di antara 31 hingga 40 tahun pula adalah seramai 129 orang
(36.8%), manakala bilangan responden dalam kategori umur 41 hingga 50 tahun adalah seramai 112 orang
(31.9%) dan kategori umur 51 tahun ke atas adalah seramai 69 orang (19.7%). Analisis data tersebut
menunjukan bahawa jumlah yang paling ramai adalah responden yang berada dalam kategori umur 31
hingga 40 tahun iaitu 129 orang (36.8%).
Taburan responden mengikut pengalaman mengajar (tahun) menunjukkan bilangan responden bagi 5 tahun
ke bawah adalah seramai 28 orang (8.0%), 6 hingga 10 tahun adalah seramai 90 orang (25.6%), 11 hingga
19 tahun adalah seramai 121 orang (34.5%) dan jumlah responden yang telah mengajar selama 20 tahun
ke atas pula adalah seramai 112 orang (31.9%). Responden terbesar adalah terdiri daripada responden yang
mengajar antara 11 hingga 19 tahun iaitu 121 orang (34.5%).
Analisis Tahap Amalan Kepimpinan Transformasi Pengetua PST KPM Menurut Persepsi Guru di Sekolah
Menengah Terlibat PST KPM di Zon Utara
Bagi tujuan menjawab persoalan kajian yang pertama mengenai apakah tahap amalan kepimpinan
transformasi pengetua PST KPM menurut persepsi guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon
utara, pengkaji menganalisa data yang diperolehi dengan menggunakan pengaturcaraan IBM Statictical
Package For The Social Sciences (SPSS) Versi 22.0. Dapatan kajian menunjukkan ciri karismatik
mendapat nilai skor min, 3.89 iaitu pada tahap sederhana tinggi. Ciri Pertimbangan Individu pula mendapat
nilai skor min, 3.87 iaitu pada tahap sederhana tinggi dan merupakan ciri kepimpinan transformasi yang
mendapat nilai skor min paling rendah berbanding nilai skor min ciri-ciri selainnya. Manakala bagi ciri
stimulasi intelek memperoleh nilai skor min, 3.91 iaitu pada tahap sederhana tinggi. Selain itu, ciri inspirasi
motivasi mendapat nilai skor min, 3.92 iaitu pada tahap sederhana tinggi dan merupakan nilai skor min
yang paling tinggi berbanding skor min bagi ciri-ciri selainnya. Secara keseluruhannya, nilai skor min bagi
tahap amalan kepimpinan transformasi pengetua PST KPM di zon utara ialah 3.90 iaitu berada pada tahap
orientasi sederhana tinggi.
Berdasarkan analisis kajian yang dijalankan, tahap amalan kepimpinan transformasi pengetua PST KPM
di zon utara adalah berada pada tahap sederhana tinggi iaitu dengan skor min, 3.90. Ciri inspirasi motivasi
memperoleh skor min tertinggi (3.92), diikuti ciri stimulasi intelek memperoleh skor min (3.91),
kemudiannya diikuti oleh ciri karismatik memperoleh skor min (3.89), dan terakhir ialah ciri pertimbangan
individu memperoleh skor min (3.87). Nilai skor min secara terperinci mengikut ciri-ciri tahap amalan
kepimpinan transformasi (karismatik, pertimbangan individu, stimulasi intelek dan inspirasi motivasi)
pengetua di sekolah terlibat PST KPM di zon utara adalah seperti pada Jadual 7.
Jadual 7: Jadual Skor Min Tahap Amalan Kepimpinan Transformasi Pengetua PST KPM di Zon Utara.
Analisis Tahap Kepuasan Kerja Guru di Sekolah Menengah Terlibat PST KPM di Zon Utara Mengikut
Faktor Motivator dan Hygiene.
Bagi tujuan menjawab persoalan kajian kedua mengenai tahap kepuasan kerja guru di sekolah menengah
terlibat PST KPM di zon utara, analisis dibuat mengikut faktor kepuasan kerja berdasarkan Teori Dual
516
Faktor Hezberg (1959) yang dikemukakan oleh Frederick Herzberg iaitu kepuasan kerja dipengaruhi oleh
faktor motivator dan hygiene.
Sejumlah 7 item soal selidik Bahagian C digunakan untuk mengukur tahap kepuasan kerja guru di sekolah
menengah terlibat PST KPM zon utara mengikut faktor motivator dan hygiene. Nilai skor min yang
diperoleh daripada analisis kajian berdasarkan persepsi kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat
PST KPM di zon utara mengikut faktor motivator dan hygiene ialah 3.96. Analisis kajian menunjukkan
persepsi guru di sekolah menengah terlibat PST KPM terhadap hubungan dengan rakan sekerja yang
menarik memperoleh nilai skor min, 4.40. Persepsi guru terhadap kerja yang selamat di sekolah (skor min,
4.24). Bagi analisis kepuasan guru terhadap gaji yang diterima menunjukkan skor min, 3.95. Persepsi guru
terhadap kerja yang dilakukan oleh mereka adalah cemerlang (skor min, 3.97). Bagi aspek membangunkan
minda, persepsi guru menunjukkan nilai skor min, 3.69. Skor min bagi cabaran untuk naik pangkat ialah
3.54. Manakala persepsi guru mengenai aspek memberikan rasa satu pencapaian memperoleh nilai skor
min berjumlah 3.95. Dapatan ini juga menggambarkan sekolah adalah sebuah tempat kerja yang
mempunyai persekitaran yang selamat untuk bekerja, setiap orang guru mempunyai hubungan yang baik
dengan rakan sekerja, guru turut mampu menunjukkan hasil kerja yang cemerlang dan guru turut berpuas
hati dengan pembayaran gaji dan faedah yang diperoleh daripada pekerjaan yang dilakukan.
Secara keseluruhan skor min bagi tahap kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di
zon utara mengikut ciri faktor motivator dan hygiene ialah 3.96 iaitu berada pada tahap orientasi sederhana
tinggi.
Dapatan ini turut menggambarkan bahawa guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara
berpuas hati terhadap pengetua kerana keperluan mereka telah dipenuhi. Jadual 8 menunjukkan nilai skor
min secara keseluruhan bagi tahap kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon
utara mengikut ciri faktor motivator dan hygiene.
Jadual 8: Jadual Skor Min Keseluruhan Bagi Tahap Kepuasan Kerja Guru di Sekolah Menengah Terlibat
PST KPM di Zon Utara Mengikut Ciri Faktor Motivator dan Hygiene.
Pengujian Hipotesis
Pengujian hipotesis adalah bertujuan menjawab persoalan kajian ketiga mengenai sama ada tahap amalan
kepimpinan transformasi pengetua PST KPM mempunyai hubungan signifikan dengan tahap kepuasan
kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara. Analisis dibuat menggunakan Ujian
Kolerasi Spearman dalam menentukan hubungan antara pemboleh ubah-pemboleh ubah tersebut.
Ho: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara amalan kepimpinan transformasi pengetua PST KPM
dengan kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara.
Keputusan analisis Ujian Kolerasi Spearman terhadap hubungan antara amalan kepimpinan transformasi
pengetua PST KPM dengan kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara
mendapati terdapat hubungan yang signifikan (r=.460, p < .05). Keputusan kajian menunjukkan Ho ditolak
dan korelasinya adalah positif. Dapatan juga menunjukkan terdapat hubungan yang lemah antara amalan
kepimpinan transformasi pengetua PST KPM dengan kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat
PST KPM di zon utara. Hubungan lemah ini berdasarkan Jadual Kekuatan Nilai Pekali Kolerasi (Chua
2013) iaitu r=.460 berada dalam kelompok “Lemah”. Dapatan kolerasi antara tahap amalan kepimpinan
transformasi pengetua PST KPM dengan tahap kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST
KPM di zon utara seperti pada Jadual 9.
517
Jadual 9: Ujian Kolerasi Spearman Antara Tahap Amalan Kepimpinan Transformasi Pengetua PST KPM
dengan Tahap Kepuasan Kerja Guru di Sekolah Menengah Terlibat PST KPM di Zon Utara
PERBINCANGAN DAN CADANGAN
Berdasarkan analisis kajian yang dijalankan, tahap amalan kepimpinan transformasi pengetua PST KPM
di zon utara adalah berada pada tahap sederhana tinggi iaitu dengan skor min, 3.90. Ciri inspirasi motivasi
memperoleh skor min tertinggi (3.92), diikuti ciri stimulasi intelek memperoleh skor min (3.91),
kemudiannya diikuti oleh ciri karismatik memperoleh skor min (3.89), dan terakhir ialah ciri pertimbangan
individu memperoleh skor min (3.87). Dapatan ini menunjukkan bahawa pengetua PST KPM
mengamalkan kepimpinan transformasi secara bersederhana sahaja kerana keempat-empat ciri amalan
kepimpinan transformasi pengetua adalah berada pada tahap sederhana tinggi.
Dapatan kajian ini mempunyai persamaan dengan dapatan kajian Raihana (2012), mendapati amalan
kepimpinan Pengarah di Institut Pendidikan MARA (IPMa) adalah berada pada tahap sederhana tinggi.
Walau bagaimanapun daripada segi kecenderungan kajian Raihana mendapati Pengarah lebih cenderung
mengamalkan ciri stimulasi intelek sedangkan kajian ini mendapati pengetua PST KPM lebih cenderung
mengamalkan ciri
inspirasi motivasi berbanding ciri-ciri amalan kepimpinan transformasi selainnya. Kajian yang telah
dilaksanakan oleh Button (2003), Nursuhaila (2007), Hoy & Miskel (2005) dan Norashikin (2005) turut
mendapati perubahan yang dibawa melalui kepimpinan transformasi dilihat paling sesuai diimplementasi
oleh pemimpin sekolah.
Selain itu, terdapat juga kajian-kajian yang dilaksanakan mengenai amalan kepimpinan transformasi
mendapati amalan transformasi pengetua berada pada tahap tinggi. (Mohd Aziz 2008; Mohamad Zabidi
2009; Habib dan Zaimah 2012; Nor Hanim 2013; Rosmawati 2013; Nor Fadhilah dan Azlin Norhaini 2014;
Mohamad Radzi et al. 2014; Thalahuddin dan Azlin Norhaini 2015).
Dapatan analisis terhadap kajian mengenai tahap kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST
KPM di zon utara mengikut faktor motivator dan hygiene adalah berada pada tahap sederhana tinggi
dengan nilai skor min, 3.96. Dapatan ini menunjukkan bahawa guru di sekolah menengah terlibat PST
KPM di zon utara berpuas hati terhadap pengetua mereka.
Dapatan ini disokong oleh kajian yang telah dilaksanakan oleh Ahmed (2008) menunjukkan tahap
kepuasan kerja guru adalah dipengaruhi oleh hubungan antara guru dengan pentadbiran sekolah, amalan
kepimpinan yang diamalkan oleh pengetua, persekitaran sekolah yang mempunyai budaya yang
menggalakkan hubungan baik di antara guru-guru di sekolah.
Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan tahap kepuasan kerja guru adalah sederhana walaupun
keseluruhan tahap kepimpinan transformasi pengetua berada pada tahap tinggi. Dapatan ini diperolehi oleh
Nor Fadhilah dan Azlin Norhaini (2014) melalui kajian terhadap amalan kepimpinan transformasional
pengetua dan kepuasan kerja guru di SABK Negeri Sembilan.
Keputusan analisis Ujian Kolerasi Spearman terhadap hubungan antara amalan kepimpinan transformasi
pengetua PST KPM dengan kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara
518
mendapati terdapat hubungan yang signifikan (r=.460, p < .05). Keputusan kajian menunjukkan Ho ditolak
dan korelasinya adalah positif. Dapatan juga menunjukkan terdapat hubungan yang lemah antara amalan
kepimpinan transformasi pengetua PST KPM dengan kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat
PST KPM di zon utara. Hubungan lemah ini berdasarkan Jadual Kekuatan Nilai Pekali Kolerasi (Chua
2013) iaitu r=.460 berada dalam kelompok “Lemah”. Sebaliknya dapatan kajian Mohd Aziz (2008) dan
Mohamad Zabidi (2009) menunjukkan terdapat hubungan kuat di antara amalan kepemimpinan
transformasi pengetua dan kepuasan kerja guru. Namun begitu, kajian Jazmi (2009) di SMKA dan SMK
di negeri Kedah menunjukkan ia mempunyai hubungan sederhana. Manakala kajian Raihana (2012) di
IPMa mendapati tahap amalan kepimpinan transformasi Pengarah adalah menunjukkan hubungan yang
tidak signifikan dengan tahap kepuasan kerja tenaga pengajar.
Berdasarkan dapatan kajian, bagi mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai amalan kepimpinan
transformasi dalam kalangan pengetua PST KPM pengkaji mencadangkan:
1. Kajian ini perlu diperluaskan ke zon-zon lain mengikut kategori sekolah luar Bandar dan dalam Bandar.
2. Empat ciri amalan kepimpinan transformasi diterapkan dalam modul latihan kepimpinan di IAB, KPM.
Penekanan Khusus terhadap dua ciri amalan yang memperolehi skor min terendah iaitu karismatik dan
pertimbangan individu.
3. Kajian mengenai hubungan kepuasan kerja guru tidak hanya terbatas kepada pemboleh ubah bersandar
motivator dan hygiene sahaja, malahan diperluaskan kepada pemboleh ubah bersandar lain yang belum
dikaji.
KESIMPULAN
Hasil kajian menunjukkan tahap amalan kepimpinan transformasi pengetua PST KPM di zon utara adalah
berada pada tahap sederhana tinggi, manakala tahap kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST
KPM di zon utara mengikut faktor motivator dan hygiene turut berada pada tahap sederhana tinggi.
Terdapat hubungan yang signifikan antara amalan kepimpinan transformasi pengetua PST KPM dengan
kepuasan kerja guru di sekolah menengah terlibat PST KPM di zon utara. Dapatan ini jelas menunjukkan
bahawa amalan kepimpinan transformasi sesuai dipraktikkan oleh pengetua PST KPM kerana amalan ini
menyumbang kepada kepuasan kerja guru di sekolah terlibat.
RUJUKAN
Ahmed Mohamed Alzaidi (2008). Secondary School Head Teachers’ Job Satisfaction in Saudi Arabia: The
Results of A Mixed Methods Approach. Annual Review of Education, Communication and Language
Science, Vol. 5. pg 161-185. United Kingdom: Newcastle University.
Avolio, B.J. & Bass, B. M. (2004). Multifactor leadership questionnaire: manual and sample, Ed. 3.
Redwood City, CA: Mind Garden, Inc.
Azrul Hisham Abdul Manaf. (2009). Faktor-faktor tekanan dan kesannya kepada guru sekolah menengah
kebangsaan: Satu kajian di daerah timur laut, pulau pinang. Tesis Sarjana. Universiti Utara Malaysia.
Badril Anuar Su @ Busu (2009). A Study of Job Satisfaction Among Teachers. Master Thesis. Universiti
Utara Malaysia (UUM), Sintok.
Bahagian Pendidikan Guru (2015). Kertas Makluman Status Pelaksanaan Program Sekolah Transformasi.
Kementerian Pendidikan Malaysia (Tidak diterbit).
Bass, B. M. & Avolio, B. J. (1994). Improving organisational effectiveness through transformational
leadership. New York: Free Press.
519
Burns, J. M. (1978). Leadership. New York: Harper & Row.
Button, B. (2003). A Study Examining The Use Of Transformational Leadership Practices For The Teacher
Development. Master Thesis. University Of Wisconsin Stour.
Chua Yan Piaw. (2013). Kaedah dan Statistik Penyelidikan Buku 3: Asas Statistik Penyelidikan: Analisis
Data Skala Likert. Malaysia: McGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd.
Creswell, J. W. (2009). Research Design: Qualitative, Quantitative, and Mixed Methods Approaches, 3rd
Edition. Los Angeles: Sage Publications.
Dinham, S. & Scott, C. (2000). Moving Into The Third, Outer Domain of Teacher Satisfaction. Journal of
Educational Administration. 38(4): 379-396.
Habib Ismail & Zaimah Ramli (2012). Amalan Kepimpinan Transformasi Pengetua Dan Hubungannya
Dengan Kepuasan Kerja Guru. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Selangor.
Ishak, S. (2001). Pengaruh Kepimpinan Pengajaran, Kepimpinan Transformasi Dan Gentian Kepada
Kepemimpinan Ke Atas Komitmen Terhadap Organisasi, Efikasi Dan Kepuasan Kerja Guru. Universiti
Kebangsaan Malaysia: Tesis PhD. (Tidak diterbitkan).
Jazmi bin Md Isa (2009). Gaya Kepemimpinan Pengetua dan Kepuasan Kerja Guru: Kajian Perbandingan
Antara SMKA dengan SMK. Ijazah Sarjana Sains Pengurusan Perniagaan. Universiti Utara Malaysia.
Karen K. Carnes (2007). Credentials for Change: A Descreption Analysis of Teacher Perceptions of
Transformational Leadership and Job Satisfaction in The Secondary School Setting. 132-135. Ph.D. Thesis.
Capella University, USA.
Khairil Annas Jusoh (2009). Siri kepimpinan: Evolusi kepimpinan 1. Tinjauan teori-teori terpilih. Kuala
Lumpur. Kasturi Jingga Corporation Sdn. Bhd.
Kimberly Erin Parkinson (2008). An Examination of The Relationship Between The Perceived Leadership
Style of The Principal and Late Career Teacher Job Satisfaction in Selected Elementary School.133- 134.
Ph.D. Thesis. University of Arizona, Arizona.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2016). Laporan Pelaksanaan Program Sekolah Transformasi
(PreSTasi) 2015-2016. Putrajaya.
Krejcie, R.V., & Morgan, D.W., (1970). Determining Sample Size for Research Activities. Educational
and Psychological Measurement.
Malek Muhamat Said (2007). Mengurus Khidmat Bimbingan & Kaunseling Sekolah. 180-182. Kuala
Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn Bhd.
Mohamad Zabidi Abdullah. (2009). Kepimpinan Transformasi Pengetua Dan Hubungannya Dengan
Kepuasan Kerja Guru. Tesis Sarjana. Universiti Malaya.
Mohamad Radzi Saidin, Azlin Norhaini Mansor, Mohamad Yusoff Mohd Nor & Jamallullail Abd Wahab.
(2014). Kepimpinan Transformasional Dan Komitmen Kerja Guru Di Sekolah Rendah SBT Di Negeri
Sembilan. Fakulti Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Selangor.
Mohd. Majid Konting. 2004. Kaedah penyelidikan pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nadiah Mohd Abdah & Azlin Norhaini Mansor (2014). Amalan Kepimpinan Transformasional Pengetua
Dan Kepuasan Kerja Guru Sekolah Cemerlang Di Daerah Seremban. Universiti Kebangsaan Malaysia,
Bangi Selangor.
Norashikin Lakman (2005). Kepimpinan Transformasi PTV di Politeknik. Tesis Sarjana. Universiti Tun
Hussein Onn (UTHM), Batu Pahat.
520
Nor Fadhilah Abdullah & Azlin Norhaini Mansor (2014). Amalan Kepimpinan Transformasional Pengetua
Dan Kepuasan Kerja Guru Di Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Negeri Sembilan.
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Selangor.
Nor Hanim Hasran (2013). Kepimpinan Transformasi Pengetua Dan Hubungannya Dengan Komitmen
Guru Sekolah Menengah di WP Putrajaya. Tesis Sarjana, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi
Selangor.
Nunnalyy, J.C dan Bernstein, I.H (1994). Psychometric Theory 3rd Edition.USA: McGraw-Hill, Inc.
Nursuhaila Ghazali (2007). Tahap Amalan Kepimpinan Transformasional Dalam Kalangan Pengetua
Sekolah Menengah Bandar Tangkak. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 (http://www.moe.gov.my/v/pelan-
pembangunan-pendidikan-malaysia-2013-2025).
Raihana Abd Rahim (2012). Amalan Kepimpinan transformasi Pengetua Dan Hubungkaitnya Dengan
Kepuasan Kerja Tenaga Pengajar Di IPMa Di Negeri Melaka.Universiti Teknologi Malaysia.
Robbins, S. P. (2003). Organizational behaviour (10th ed.). New Jersey: Pearson Education.
Rosmawati Abdullah (2013). Kepimpinan Transformasional Pengetua Dan Hubungannya Dengan
Kepuasan Kerja Guru SMK Harian Di Daerah Seremban. Tesis Sarjana, Universiti Kebangsaan Malaysia,
Bangi Selangor.
Rugg, L.J.M. (2005). Teacher Satisfaction With Principal Transformational Leader Behavior. Ph.D. Thesis.
Purdue University, Indiana.
Stacy E. Hoehl (2008). The Relationship Between Transformational Leadership And Student Educational
Outcomes as Moderated by Verbal and Nonverbal Immediacy. Ph.D. Thesis. Regent Unversity, USA.
Thalahuddin Abdullah & Azlin Norhaini Mansor (2015). Pengaruh Kepimpinan Transformasional
Terhadap Kepuasan Kerja Guru Di Sekolah Luar Bandar: Satu Kajian Kes. Universiti Kebangsaan
Malaysia, Bangi Selangor.
Wayne K.Hoy and Cecil Miskel (2005). Educational Leardership and Reform. United States.
Yahya Don, Aziah Ismail & Yaakub Daud (2007). Kepimpinan dan Pembangunan Pelajar Sekolah di
Malaysia.170. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn Bhd.