Post on 04-Apr-2019
1
DSAA @ HA Lwn SMN
[Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Shah Alam. Kes Permohonan No.: 10400-099-
0285-2017 (Y.A Tuan Abdul Shukor bin Abd Hamid, HMTS)]
[15 Rabiulawal 1439H bersamaan 4 Disember 2017M]
Undang-Undang Tatacara Mal - Permohonan membatalkan Surat Asal Dari Daftar
Perkahwinan Luar Negara bertarikh 03.02.2015 yang dikeluarkan oleh Ketua Pendaftar
Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Sabah – Seksyen 244
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
Undang-Undang Tatacara Mal – Sama ada Mahkamah Tinggi Syariah Negeri
Selangor Berbidangkuasa Untuk Mendengar dan Memutuskan Permohonan Bagi
Mendaftarkan Pernikahan Yang Sama di Negeri Selangor - Ketakpatuhan - Seksyen 5
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
Undang-Undang Tatacara Mal - Permohonan Mendapatkan Sijil Perakuan Nikah
dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor - Seksyen 244 Enakmen Tatacara Mal
Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
Undang-Undang Keterangan – Sama ada Surat Asal Dari Daftar Perkahwinan Luar
Negara Yang Telah disahkan oleh di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah Wajar
diberi Pengiktirafan Kehakiman - Seksyen 44 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah
(Negeri Selangor) 2003.
Undang-Undang Keluarga - Bidang Kuasa Memperbetulkan Butiran di dalam Surat
Asal Dari Daftar Perkahwinan Luar Negara Yang Telah disahkan oleh di Jabatan Hal
Ehwal Agama Islam Sabah - Seksyen 42 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
(Sabah) 1992.
2
FAKTA KES
[1] Ini adalah permohonan bantahan awal Pemohon yang merupakan Responden di
dalam kes Permohonan Daftar Pernikahan, Permohonan No.: 10400-012-0188-
2017 yang difailkan oleh Responden (Pemohon di dalam kes Permohonan Daftar
Pernikahan) bagi mendapatkan perintah untuk mendaftar pernikahan poligami di
antara Responden dan Pemohon yang berlangsung pada 3.9.2013. Selain
daripada itu, Responden di dalam kes induk Permohonan Daftar Pernikahan
turut memohon deklarasi dari Mahkamah ini mengenai butir-butiran pernikahan
yang sebenar agar pihak Jabatan Agama Islam Selangor mengeluarkan satu Sijil
Perakuan Nikah kepada Responden. Ini kerana terdapat kecacatan mengenai
butiran pernikahan Pemohon dan Responden di dalam Surat Asal Dari Daftar
Perkahwinan Luar Negara yang telah dikeluarkan pada 3.2.2015 yang mana
kecacatan tersebut adalah berhubung dengan tarikh pernikahan, tempat
pernikahan, wali dan dua orang saksi nikah.
[2] Menurut Responden, pernikahan tersebut telah dijalankan di XXX, Jalan Jelatek
54200 Kuala Lumpur pada 3.9.2013 dan akad pernikahan telah dilaksanakan
oleh Jurunikah yang bernama Imam MN (No. K/P: XXX) setelah bapa
Responden yang bernama N@MND (No. K/P: XXX) yang hadir pada majlis nikah
tersebut telah mewakalahkan tanggungjawab wali kepada Jurunikah. Dua (2)
orang saksi yang menjadi saksi pernikahan tersebut bernama ZB (No. K/P: XXX)
dan ID (No. K/P: XXX). Namun, butiran yang terdapat di dalam Surat Asal
tersebut menunjukkan bahawa tarikh pernikahan telah berlangsung pada
27.8.2008 di Wilayah Phatthalung, Thailand yang mana akad nikah telah
dijalankan oleh Mr Abdolrorfa Surong dan disaksikan oleh dua (2) orang saksi
yang bernama Mr YT dan Mr YM.
[3] Pemohon menghujahkan bahawa Isu berkaitan pernikahan antara Pemohon dan
Responden telahpun diselesaikan dan dimuktamadkan dengan pengeluaran
Surat Asal Dari Daftar Perkahwinan Luar Negara bertarikh 03.02.2015 (Surat
Asal) oleh Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam
3
Negeri Sabah. Oleh kerana Surat Asal pernikahan Pemohon dengan Responden
telahpun didaftarkan di Sabah dan keadaan tersebut menjadikan Mahkamah
Tinggi Syariah Negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk mendengar dan
memutuskan Permohonan Induk Responden bagi mendaftarkan pernikahan
yang sama di Negeri Selangor. Sebarang cabaran terhadap keesahan atau
kuatkuasa Surat Asal tersebut perlu difailkan oleh Responden ke Mahkamah
Tinggi Syariah Negeri Sabah yang mempunyai kuasa untuk membuat perintah-
perintah bersesuaian.
[4] Responden menghujahkan bahawa Surat Asal Dari Daftar Perkahwinan Luar
Negara bertarikh 03.02.2015 oleh Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan
Rujuk Orang Islam Negeri Sabah tidak muktamad yang mana kesahihannya
boleh dicabar dan ditentukan oleh Mahkamah, dan Responden serta saksi-saksi
Responden telah membangkitkan alasan-alasan yang mencukupi mencabar
kesahihannya. Responden juga menghujahkan bahawa Pemohon telah gagal
untuk mengemukakan sebarang keterangan untuk menyangkal keterangan
Responden atau keterangan mana-mana saksi Responden yang mencabar
kesahihan Surat Asal Dari Daftar Perkahwinan Luar Negara bertarikh 03.02.2015
tersebut. Pemohon telah gagal untuk mengemukakan keterangan yang
menyokong kesahihan butiran Surat Asal Dari Daftar Perkahwinan Luar Negara
bertarikh 03.02.2015 tersebut khususnya pihak-pihak yang dinamakan di dalam
Surat Asal Dari Daftar Perkahwinan Luar Negara bertarikh 03.02.2015 terutama
sekali jurunikah, wali, saksi-saksi nikah dan tempat serta tarikh nikah turut
termasuk Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam
Negeri Sabah. Responden menghujahkan bahawa setelah isu status butiran
perkahwinan yang didakwa oleh Responden diputuskan oleh Mahkamah ini,
barulah Surat Asal Dari Daftar Perkahwinan Luar Negara yang dikeluarkan pada
3.2.2015 dapat ditentukan kesahihannya.
4
Diputuskan
KES ini diputuskan pada hari ini dengan kehadiran Pemohon bersama Peguam
Syarienya dan kehadiran Responden bersama Peguam Syarienya. SETELAH
MENELITI semua kertas kausa, keterangan dan hujahan, MAKA ADALAH
DIHAKIMKAN seperti berikut:
(1) Mahkamah meluluskan permohonan ini berdasarkan Seksyen 244 Enakmen
Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
(2) Mahkamah memerintahkan kes Permohonan No.: 10400-012-0188-2017 dibatalkan
dan ditutup.
Peguam Syarie
1. Peguam Pemohon : diwakili oleh Abdul Razak bin Muhidin daripada Tetuan
Abdul Razak Muhidin & Associates.
2. Peguam Responden : diwakili oleh Halimatussa’diah Binti Abu Ahmad daripada
Tetuan Adi & Co.
Nas Yang Dirujuk
-Tiada-
Kitab-Kitab Yang Dirujuk
1. Abdul Wahab Qallaf. al-Asbah Wa Al-Nadhair fi Qawaid Wa Furu’ie al-Syafie. Juz. 1.
Beirut: Dar al-Kitab al-Ilmiah.
2. Al-Bahuti, Mansur Ibn Yunus. 1997. Kashaf Al-Qana’. Jilid 6. Beirut: Dar Al-Kutub Al-
Ilmiah.
3. Al-Mawardi, Abi al-Hasan ‘Ali ibn Muhammad ibn Habib. 1989/1409H. al-Ahkam al-
Sultaniyyah wa al-Wilayah al-Diniyyah. Tahqiq: Ahmad Mubarak al-Baghdadi.
Kuwayt: Maktabah Dar Ibn Qutaybah.
4. Al-Sharbini, Shamsh al-Din Muhammad bin Muhammad al-Khatib. 2006/1427H.
Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj. Jil. 6. Qahirah: Dar al-Hadith.
5
5. Al-Syirazi, Abi Ishak Ibrahim Bin Ali Bin Yusuf. Al- Muhazzab Fi Fiqh Al-Imam Al-
Syafie. Jilid 2. Beirut: Dar Al-Kutub Al-Ilmiah.
6. Al-Tirmidhi, Imam al-Hafiz Muhammad bin ‘Isa bin Surah. T.th. Sunan al-Tirmidhi.
Riyad: Maktabat al-Ma‘arif.
7. Al-Zarqa’, Ahmad bin Muhammad bin Uthman. 1989. Sharh al-Qawaid al-Fiqhiyyah.
Mustafa Ahmad al-Zarqa’ (edit.). Cetakan Kedua. Dimashq: Dar al-Qalam.
8. Dr Wahbah al-Zuhaily. 1409H/1989M. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Juz. 6, Cetakan
Ketiga. Damsyik: Dar al-Fikr.
9. Dr. Abdul Karim Zaidan. 1418H/1997M. Nizam al-Qada’ Fi as-Syariah al-Islamiyyah.
Cetakan Ketiga. Beirut: Muassasah al-Risalah.
10. Muhammad Salam Madkur. 1964. Al-Qada’ Fi Al-Islam. Kaherah: Matbaah Al-
‘Aalamiyyah.
Undang-Undang Yang Dirujuk
1. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 -S.61.
2. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 – S.43 dan S.44.
3. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Sabah) 1992 – S.32 dan S.42.
Kes Yang Dirujuk
1. Amir Gan bin Abdullah @ Gan Eng Gor, Mahkamah Tinggi Syariah di Seremban
(Kes Mal No.: 05100-099-0037-2008) [Tidak dilaporkan].
2. Commonweath Shipping Rep vs Pando, [1923] AC 191.
3. Pembangunan Maha Murni Sdn Bhd V Jururus Ladang Sdn Bhd, [1986] 2 MLJ 30.
4. Wan Ismail Bin Wan Endut lwn Wan Puziah Binti Wan Awang, [2006] JH 22 2 249.
6
Penghakiman YA Tuan Abdul Shukor bin Abd Hamid, HMTS
[5] Terdapat empat (4) isu utama yang Mahkamah perlu beri ulasan di dalam
membuat keputusan bagi kes ini iaitu :
a. Sama ada Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar, membicara dan
memutuskan kes ini;
b. Sama ada Surat Asal Dari Daftar Perkahwinan Luar Negara Yang Telah
disahkan oleh di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah Wajar diberi
Pengiktirafan Kehakiman;
c. Sama ada Fakta Yang Diberi Pengiktirafan Kehakiman Boleh Dicabar
Kewibawaannya;
d. Bidang Kuasa Memperbetulkan Butiran di dalam Surat Asal Dari Daftar
Perkahwinan Luar Negara Yang Telah disahkan oleh di Jabatan Hal Ehwal
Agama Islam Sabah.
Isu Pertama : Samada Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar, membicara
dan memutuskan kes ini.
[6] Ini merupakan kes bantahan awal terhadap bidang kuasa Mahkamah yang
menjadi pertikaian pihak-pihak. Penentuan bidangkuasa Mahkamah ini amat
penting di dalam sistem kehakiman Islam sebagaimana dijelaskan oleh para
fuqaha Islam yang terdahulu. Penetapan bidang kuasa kehakiman ini untuk
Mahkamah-Mahkamah Syariah mengikut persempadanan negeri dalam
Malaysia bukanlah sesuatu yang asing di sisi Hukum Syarak. Antaranya adalah
sebagaimana yang dipetik oleh Y.A Hakim Bicara di dalam kes Wan Ismail Bin
Wan Endut lawan Wan Puziah Binti Wan Awang (2006) JH 22 2 249, yang telah
merujuk kepada Kitab Nizam al-Qada’ Fi as-Syariah al-Islamiyyah karangan Dr.
Abdul Karim Zaidan, Muassasah al-Risalah, Beirut, Lebanon, Cetakan Ketiga
1418H/1997M di halaman 39-40 –
7
اخلاص للداللة على مدى والية يستعمل الفقهاء اصطالح التقليد العام واصطالح التقليد
القاصى وسلطته يف رؤية دعاوى الناس , فاذا عني اخلليفة قاضيا على إقليم ليقضي بني
القضاء اهذا عموم أهله ويف مجيع خصومتهم املدنية واجلزائية ويف مجيع االوقات فتقليد
معينة من حالة هو تقليد عام , أما إذا عين الخليفة قاضيا بقيودالقاضى في هذه ال
وع الخصوم فتقليد القضاء لهذا حيش المكان أو الزمان أو نوع الخصومات أو ن
القاضي فى هذه الحالة هو تقليد خاص. والتقليد الذي صار به تقليد القاضي تقليدا
لما كانت القيود التي خاصا هو الذي يعرف عند الفقهاء ب )تخصيص القضاء(ز و
تنوعه ، فإن التقليد الخاص أو تخصيص القضاء هو تقيد بها والية القاضي، قيودا م
يكون أنواعا متعددة وهذا ما نذكره في الفقرات التالية. االخر
Maksud:
“Fuqaha menggunakan istilah perlantikan umum dan perlantikan
khusus bagi menentukan bidangkuasa seseorang hakim yang
dilantik bagi mendengar dakwaan manusia. Jika Khalifah (Ketua
Negara) melantik seseorang Hakim yang mempunyai bidangkuasa
untuk satu-satu daerah tertentu atau satu-satu bandar tertentu
bagi mendengar pertikaian di kalangan penduduk daerah itu atau
bandar itu, maka Hakim yang mana perlantikannya sedemikian itu
sebenarnya mempunyai bidangkuasa yang luas merangkumi
semua jenis pertikaian dan dalam semua waktu. Perlantikan yang
sedemikian itu dinamakan sebagai perlantikan am.
Jika Khalifah melantik seseorang Hakim dengan beberapa ikatan
tertentu seperti menentukan tempat yang mana Hakim itu
8
berbidangkuasa atau menentukan masa-masa tertentu sahaja
Hakim itu boleh mendengar kes atau dengan menentukan Hakim
itu hanya boleh mendengar kes-kes tertentu sahaja maka
perlantikan yang sedemikian itu adalah merupakan perlantikan
yang ditentukan bidangkuasanya yang disebut sebagai perlantikan
khas atau khusus. Bidangkuasa Hakim yang dilantik dengan dibuat
penentuan bidangkuasanya itu dikenali dengan nama ”takhsis al-
Qada’”. Ikatan bidangkuasa dalam perlantikan seseorang Hakim
terdapat di dalam berbagai bentuk dan persoalan ini akan
dinyatakan dalam perenggan berikutnya.”
Y.A Hakim Bicara telah membuat kesimpulan bahawa mengikut pembahagian
Hukum Syara’ sebagaimana dijelaskan itu, didapati bahawa Hakim Syarie pada
hari ini merupakan individu yang dilantik oleh pemerintah untuk mengendalikan
perbicaraan sesuatu kes di dalam Mahkamah dengan bidangkuasa yang telah
ditentukan (Takhsis al-Qada’).
[7] Di dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh , oleh Dr Wahbah al-Zuhaily, Juz. 6,
Dar al-Fikr, Damsyik, Cetakan Ketiga, 1409H/1989M, hlm. 750-751, menjelaskan
bahawa bidangkuasa hakim (qadi) ada sepuluh:
1. Menyelesaikan pertikaian atas dua pihak yang berselisih sama ada
secara suka sama suka (sulh), atau secara paksaan melalui
hukuman yang diperkuat kuasakan.
2. Menghalang orang yang zalim daripada melakukan perompakan,
pencerobohan dan lain-lain, serta menolong orang teraniaya dan
menyampaikan hak kepada tuannya.
3. Menegakkan hudud dan menjalankan hak-hak Allah s.w.t.
4. Menyelesaikan kes-kes tuntutan darah dan luka-luka.
5. Menyelesaikan kes-kes berkaitan dengan harta anak yatim, orang
gila dan melantik wasi untuk menguruskan harta mereka.
9
6. Mengawasi harta waqaf.
7. Melaksanakan wasiat.
8. Mengahwinkan wanita yang tidak ada wali, atau yang walinya
enggan mengahwinkannya.
9. Mengawasi kepentingan-kepentingan awam seperti jalan raya dan
lain-lain.
10. Menyuruh kepada yang baik dan melarang yang mungkar
dengan perkataan dan perbuatan.
[8] Di dalam kitab Nizam al-Qada’ fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah, oleh ‘Abd al-Karim
Zaydan, Muassah al-Risalah, Beirut, Cetakan Ketiga, 1418H/1997M, hlm. 39-40,
menghuraikan bahawa seseorang hakim itu adalah merupakan naib khalifah
kepada khalifah (penguasa negara) yang melantiknya. Sebagai naib khalifah,
kuasa yang diperolehinya adalah setakat yang diberi mandat kepadanya. Dari
sinilah bidang kuasa seseorang hakim itu menerima taqyid (pembatasan), itlaq
(tanpa had), umum dan khusus dari segi masa, tempat, pihak yang bertikai dan
jenis-jenis pertikaian. Para fuqaha menggunakan istilah al-taqlid al-am wa al-taqlid
al-khas bagi menunjukkan bidang kuasa seseorang hakim.
[9] Mengikut Hukum Syarak, mana-mana Hakim yang dilantik dengan bidang kuasa
al-taqlid al-khas hendaklah bergantung kepada kuasa al-taqlid al-khas itu.
Bidang kuasa al-taqlid al-khas Hakim Mahkamah Syariah Selangor adalah
menurut bidang kuasa tiap-tiap Mahkamah yang diperuntukkan di dalam mana-
mana Enakmen yang menjelaskan kuasa masing-masing. Apabila khalifah
melantik seseorang hakim untuk satu-satu daerah bagi menghakimi penduduknya
dalam semua jenis pertikaian sama ada sivil mahu pun jenayah dalam semua
waktu, maka hakim yang sebegini lantikannya mempunyai bidang kuasa umum.
Apabila khalifah melantik seseorang hakim dengan beberapa ikatan tertentu dari
segi tempat atau masa atau jenis-jenis kes dan pertikaian atau jenis-jenis orang
yang bertikai, maka hakim yang sebegini lantikannya mempunyai bidang kuasa
10
khas atau tertentu. Pembatasan kuasa hakim yang dilantik dalam bentuk tertentu
sebegini dikenali di kalangan fuqaha dengan istilah takhsis al-qada'.
[10] Justeru itu bidangkuasa Mahkamah ini adalah berdasarkan kepada Takhsis Al-
Qada’, maka bidangkuasa tersebut juga telah diperuntukkan sepertimana yang
terdapat di dalam Seksyen 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri
Selangor) 2003 [EPAIS 2003] dalam konteks bidangkuasa bagi Mahkamah ini
secara khususnya dan dijelaskan di dalam enakmen-enakmen yang lain. Dalam
isu permohonan Pemohon, Mahkamah merujuk kepada peruntukan subperenggan
61 (3) (b) (i) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang
memperuntukkan-
“Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-
(b) Dalam bidangkuasa malnya, mendengar dan memutuskan
semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam
tindakan dan prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan
atau prosiding itu adalah berhubung dengan-
(i) pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran
perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman
(faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan
perhubungan antara suami isteri;”
[11] Jika hanya bergantung kepada peruntukan di atas, Mahkamah dapati bahawa
permohonan Responden atau Pemohon di dalam kes induk tersebut boleh
didengar di Mahkamah ini dan diputuskan. Namun harus diingat, selain daripada
peruntukkan di atas, persoalan bidangkuasa berhubung pernikahan, perceraian
dan rujuk turut dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
(Negeri Selangor) 2003. Justeru itu, untuk menentukan samada Mahkamah ini
11
berbidangkuasa untuk memutuskan permohonan Pemohon tersebut hendaklah
dilihat terlebih dahulu.
Isu Kedua: Sama ada Surat Asal Dari Daftar Perkahwinan Luar Negara Yang Telah
disahkan oleh di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah Wajar diberi Pengiktirafan
Kehakiman
[12] Di dalam kes ini, perkahwinan antara Pemohon dan Responden telah disahkan
oleh di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah melalui Surat Asal Dari Daftar
Perkahwinan Luar Negara bertarikh 03.02.2015 oleh Ketua Pendaftar
Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Sabah. Responden di
Perenggan 4 Permohonan Induk Responden telah memohon agar Surat Asal
Dari Daftar Perkahwinan Luar Negara bertarikh 03.02.2015 oleh Ketua Pendaftar
Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Sabah tersebut
diperintahkan sebagai tidak sah atau hendaklah dibatalkan. Menerusi Perenggan
8 (b) Afidavit Jawapan Responden pula Responden telah mengakui dan
menegaskan bahawa Permohonan Induk adalah bertujuan untuk mencabar
kesahihan Surat Asal tersebut. Ketegasan Responden ini selaras dengan
pendirian awal Responden di Perenggan 8 (b) Afidavit Jawapan Responden
yang mana Responden mendeposkan bahawa Sijil Asal tersebut tidak muktamad
dan boleh dicabar kesahihannya.
[13] Dalam permohonan induk Responden mendakwa bahawa Pemohon dan
Responden telahpun bernikah mengikut butiran yang diperihalkan dalam Afidavit
Sokongan Responden dan affidavit-afidavit saksi-saksi Responden. Pernikahan
tersebut didakwa sebagai pernikahan pertama Responden dan didakwa sebagai
pernikahan kali kedua bagi Pemohon semasa pernikahan pertama Pemohon
masih berkuat kuasa. Mengikut dakwaan Responden, pernikahan tersebut telah
dilangsungkan di dalam Negeri Selangor dan Responden tinggal di dalam Negeri
Selangor. Walaubagaimanapun dokumen berkaitan pernikahan tersebut dalam
bentuk Surat Asal telah dikeluarkan oleh Ketua Pendafar Jabatan Hal Ehwal
Agama Islam Sabah. Tiada sebarang dokumen berkaitan pernikahan tersebut
12
yang telah dikeluarkan oleh mana-mana Ketua Pendaftar Perkahwinan,
Perceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor atau negeri-negeri lain.
[14] Fakta mengenai pengeluaran Surat Asal oleh Ketua Pendaftar Jabatan Hal
Ehwal Agama Islam Sabah tersebut adalah suatu bukti konklusif bahawa
pernikahan Pemohon dan Responden tersebut berada dalam bidang kuasa
Ketua Pendaftar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah. Jika Ketua Pendaftar
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah tidak mempunyai kuasa untuk
mengeluarkan Surat Asal tersebut sudah pasti beliau tidak akan melakukannya.
Tindakan Ketua Pendaftar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah
mengeluarkan Surat Asal bagi mengiktiraf dan mengesahkan pernikahan antara
Pemohon dan Responden adalah dalam batas kuasa beliau berbuat demikian
selaras dengan peruntukan Seksyen 28 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga
Islam (Negeri Sabah) 2004.
[15] Pengeluaran Surat Asal tersebut adalah selaras dengan Seksyen 32 Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam (Sabah) 1992 yang membenarkan Ketua
Pendaftar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah sebagai orang yang dilantik di
bawah Seksyen 28 (2) Enakmen yang sama mengeluarkan dokumen yang
berupa sebagai suatu salinan surat perakuan bagi perkahwinan atau perakuan
perkahwinan yang didaftarkan oleh Pendaftar. Seksyen 32 Enakmen Undang-
Undang Keluarga Islam (Sabah) 1992 menyatakan:
Tiada seorang pun, selain daripada Pendaftar yang dilantik di bawah
Enakmen ini boleh-
(a) menyimpan apa-apa buku yang mana adalah atau yang
berupa sebagai suatu daftar yang disimpan mengikut Enakmen
ini; atau
(b) mengeluarkan kepada seseorang apa-apa dokumen yang
mana adalah atau yang berupa sebagai suatu salinan surat
13
perakuan bagi perkahwinan atau perakuan perkahwinan yang
didaftarkan oleh Pendaftar.
[16] Oleh itu, Surat Asal yang dikeluarkan di bawah tandatangan dan meterai Ketua
Pendaftar Sabah (ekshibit S-3 dalam Afidavit Sokongan Responden) dan di
dalam Permohonan ini ditandakan sebagai ekshibit AA-3 adalah dokumen yang
termasuk di bawah Seksyen 32 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
(Sabah) 1992. Oleh kerana Surat Asal tersebut mengandungi meterai Ketua
Pendaftar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah dan beliau adalah sebagai
orang yang diberi kuasa di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
(Sabah) 1992 untuk menggunakan meterai tersebut di atas ini melayakkan Surat
Asal tersebut diberikan pengiktirafan kehakiman di bawah Seksyen 44 (1)(e)
Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
[17] Di dalam kes Pembangunan Maha Murni Sdn Bhd V Jururus Ladang Sdn Bhd
[1986] 2 MLJ 30, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa:
Now, the general rule is that all facts in issue and relevant facts
must be proved by evidence. There are, however, two classes of
facts which need not be proved, viz. (a) facts judicially noticed and
(b) facts admitted. The exceptions are dealt with by sections 56, 57
and 58 of the Evidence Act 1950 under the title “Facts which need
not be proved.” In so far as judicial notice is concerned, the
provisions of section 57 subsection (1) makes it mandatory for the
Court to take judicial notice of all laws and regulations having the
force of law, [*32] public Acts passed by Parliament, the course of
parliamentary proceedings and other matters that are enumerated
in subsection (1) (a) to (o) of the section. The list however is not
exhaustive since it is impossible to make a really complete list
although a long list of facts which the English courts take judicial
notice has been prepared. The important point to note is that
14
section 57 does not prohibit the courts from taking judicial notice of
other facts not mentioned therein. The matter which the Court will
take judicial notice must be the subject of common and general
knowledge and its existence or operation is accepted by the public
without qualification or contention. The test is that the facts involved
must be so sufficiently notorious that it becomes proper to assume
its existence without proof
Terjemahan
“Sekarang, kaedah umum adalah bahawa semua fakta persoalan
dan fakta relevan mesti dibuktikan menerusi keterangan. Terdapat,
walau bagaimanapun, dua kelas fakta-fakta yang tidak perlu
dibuktikan, iaitu (a) fakta-fakta yang diiktiraf secara kehakiman dan
(b) fakta-fakta yang diakui. Pengecualian-pengecualian tersebut
diperuntukkan oleh Seksyen 56, 57 dan 58 Akta Keterangan 1950
di bawah tajuk “Fakta-fakta yang tidak perlu dibuktikan”. Setakat
mana ia melibatkan pengiktirafan kehakiman, peruntukan-
peruntukan Seksyen 57 subseksyen (1) menjadikan ia mandatori
kepada Mahkamah untuk mengambil pengiktirafan kehakiman
terhadap semua undang-undang dan peraturan yang mempunyai
kuat kuasa undang-undang, Akta-akta umum yang diluluskan
Parlimen, perjalanan prosiding parlimen dan perkara-perkara lain
yang dinyatakan dalam subseksyen (1)(a) hingga (o) seksyen
tersebut. Senarai ini walau bagaimanapun tidak menyeluruh kerana
adalah mustahil untuk membuat satu senarai yang lengkap
walaupun satu senarai panjang fakta-fakta yang mahkamah
Inggeris telah mengambil pengiktirafan kehakiman telah
disediakan. Perkara penting untuk diperhatikan adalah bahawa
Seksyen 57 tidak menghalang dari mahkamah memberi
pengiktirafan kehakiman mengenai fakta-fakta lain yang tidak
tersenarai di dalam seksyen tersebut. Perkara yang mahkamah
15
mesti mengambil pengiktirafan kehakiman mestilah perkara yang
menjadi subjek biasa dan pengetahuan umum dan kewujudannya
telah diterima oleh orang ramai tanpa sebarang syarat atau
bantahan. Ujiannya adalah bahawa fakta-fakta yang terlibat
mestilah cukup jelas (sufficiently notorious) hingga menjadi wajar
untuk menganggap kewujudannya tanpa sebarang bukti. Pihak
lawan walau bagaimanapun adalah tidak terhalang daripada
mempertikaikan perkara tersebut dengan mengemukakan
keterangan jika ia mempertikaikannya.
[18] Di dalam kes Commonweath Shipping Rep v Pando [1923] AC 191, Lord
Summer berkata:
Pengiktirafan kehakiman dirujuk kepada fakta di mana seorang
hakim boleh menerima atau bertindak dari pengetahuan umum
diketahui mengenainya atau dari pernyataan yang dibuat bagi
mendapat maklumannya dari sumber-sumber tadi di mana beliau
rasa perlu untuk dirujuk.
[19] Apa yang dimaksudkan dengan pengiktirafan kehakiman di bawah Enakmen
Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dapat dilihat
berdasarkan Seksyen 44 yang mana ia merangkumi perkara-perkara berikut:
Fakta yang mengenainya Mahkamah mesti memberi pengiktirafan
kehakiman.
(1) Mahkamah hendaklah memberikan pengiktirafan kehakiman mengenai fakta
yang berikut:
16
a. semua undang-undang yang kini mempunyai kuat kuasa undang-undang
atau yang sebelum ini berkuat kuasa atau yang kemudian daripada ini
akan berkuat kuasa di Malaysia;
b. tatakawalan angkatan tentera bagi angkatan tentera atau mana-mana
angkatan pelawat yang berada di Malaysia secara sah;
c. perjalanan prosiding di dalam Parlimen dan di dalam badan perundangan
mana-mana Negeri di Malaysia;
d. perihal naik takhta Yang di-Pertuan Agong dan naik takhta Sultan mana-
mana Negeri di Malaysia dan perlantikan Yang di-Pertua Negeri;
e. meterai semua Mahkamah di Malaysia, semua meterai yang mana-
mana orang diberikuasa untuk menggunakannya oleh mana-mana
undang-undang yang sedang berkuat kuasa di Malaysia dan meterai
notari awam;
f. perihal jawatan mula dipegang, nama, gelaran, fungsi dan tandatangan
orang yang sedang menyandang mana-mana jawatan awam di
Malaysia, jika hakikat pelantikannya kepada jawatan itu diberi tahu dalam
Warta atau dalam mana-mana Warta Negeri;
g. perjalanan biasa alam, pembahagian waktu semula jadi dan rekaan,
pembahagian dunia mengikut geografi, pengertian perkataan Melayu,
Inggeris dan Arab, hari-hari perayaan awam, puasa dan kelepasan awam
yang diberitahu dalam Warta atau dalam mana-mana Warta Negeri;
h. nama anggota dan pegawai Mahkamah serta timbalan dan pegawai
bawahan dan pembantu mereka, dan juga nama semua pegawai yang
bertindak melaksanakan proses Mahkamah; dan nama semua Peguam
Syarie dan orang lain yang dibenarkan oleh undang-undang untuk hadir
atau bertindak di hadapannya;
i. kaedah jalan di darat; peraturan-peraturan laut dan kaedah-kaedah udara;
j. segala perkara lain yang di arahkan oleh mana-mana undang-undang
bertulis supaya mengiktiraf.
17
(2) Dalam segala hal ini, dan juga mengenai segala perkara mengenai sejarah
awam, sastera, sains atau seni, Mahkamah boleh menggunakan buku atau
dokumen rujukan yang sesuai untuk membantunya.
(3) Jika Mahkamah diminta oleh mana-mana orang supaya memberikan
pengiktirafan kehakiman mengenai apa-apa fakta, ia boleh enggan berbuat
demikian melainkan jika dan sehingga orang itu mengemukakan apa-apa
buku atau dokumen sebagaimana yang difikirkannya perlu bagi
membolehkannya berbuat demikian.
[20] Apabila Mahkamah telah memberikan pengiktirafan kehakiman terhadap
dokumen yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah setelah
dimaterai oleh Ketua Pendaftarnya, maka fakta yang terkandung di dalamnya
tidak perlu lagi untuk dibuktikan di Mahkamah ini. Seksyen 43 Enakmen
Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 telah memperuntukkan
bahawa:
Tiada fakta yang mengenainya Mahkamah akan memberikan
pengiktirafan kehakiman perlu dibuktikan.
[21] Mahkamah merujuk kes Permohonan Ex-Parte Status Agama Si Mati Amir Gan
bin Abdullah @ Gan Eng Gor, Mahkamah Tinggi Syariah di Seremban (Kes Mal
No.: 05100-099-0037-2008), Hakim YA Mohd Nadzri bin Haji Abdul Rahman
dalam isu ini menjelaskan bahawa:
Fakta-fakta termasuklah eksibit yang difailkan ke Mahkamah
ini tidak perlu dibuktikan kerana Mahkamah ini memberikan
pengiktirafan kehakiman mengenai fakta-fakta yang disebut di
dalam dokumen tersebut dan mematuhi kehendak seksyen 44
(1)(e) Enakmen keterangan Mahkamah Syariah (Negeri
Sembilan) 2003. Dalam hal ini saya merujuk kepada kes
18
Mohammad bin Abdullah @ Moorthy a/l Maniam (2006) JH XXI/II,
210. Dalam kes tersebut, Tuan Haji Mukhyuddin bin Ibrahim HMTS
dalam memutuskan status agama Si Mati, telah menerimapakai
salinan surat dan dokumen yang dieksibitkan sebagai satu
dokumen awam serta diterima sebagai keterangan mengikut
seksyen 57, 59 dan 60 Akta keterangan Mahkamah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
[22] Pengiktirafan kehakiman tersebut tidak hanya terhad kepada mengiktiraf
kewujudan Surat Asal tersebut malah ia turut merangkumi kandungan, kesan,
kebenaran, keesahan serta kuat kuasa semua terma, syarat dan perkara yang
terkandung dalam Surat Asal tersebut. Di samping itu, pengiktirafan kehakiman
tersebut turut meliputi pengiktirafan kepada semua proses dan perjalanan
prosiding dalam kes tersebut sehingga membawa kepada pengeluaran Surat
Asal tersebut. Ini bermakna menerusi pengiktirafan kehakiman ke atas Surat
Asal Mahkamah harus mendapati bahawa Surat Asal telah dikeluarkan dengan
betul dan dengan mengikuti proses yang sewajarnya di Pejabat Ketua Pendaftar
Sabah dan kesemua terma dalam Surat Asal tersebut adalah betul dan berkuat
kuasa.
[23] Sesetengah fakta diketahui tidak boleh dipertikai. Untuk Mahkamah menerima
pertikaian sedemikiannya ianya akan membazir masa dan perbelanjaan dan juga
memberi malu. Prinsip pengiktirafan Mahkamah adalah berdasar kepada maxim:
1. Lex Nin Requirit Verificare Quod Apparet Curiae- undang-undang
tidak perlu pembuktian di mana ianya jelas kepada Mahkamah (the
law does not require proof of that which is apparent to the court).
2. Quod Constate Curiae Opera Testium Non Indigent – perkara yang
sudah berada dalam pengetahuan Mahkamah tidak perlu
pembuktian dari bantuan saksi-saksi (that which is established to
the knowledge of court does not require the aid of witnesses).
19
[24] Pemohon juga telah melampirkan satu surat dari pada Jabatan Hal Ehwal
Agama Islam Negeri Sabah yang ditandakan sebagai ekshibit S-9 (“Selepas ini
disebut sebagai “surat tersebut”) mengenai “Pengesahan Perkahwinan Encik AA
@HA Dengan Cik SMN” yang telah dikeluarkan pada 2 Januari 2015M/11
R.Awal 1436H dengan memakai No. Rujukan: XXX.1. Berdasarkan surat
tersebut, Pemohon dan Responden adalah pasangan suami isteri yang sah yang
telah berkahwin pada 27.8.2008 dan Sijil Nikah Pemohon dan Responden masih
lagi di dalam proses jabatan tersebut. Jika dilihat berdasarkan kepada tarikh
pengeluaran surat tersebut dan Surat Asal yang dilampirkan sebagai ekshibit S-
3, surat tersebut telah dikeluarkan terlebih dahulu pada 2.1.2015 disusuli dengan
pengeluaran Surat Asal tersebut pada pada 3.2.2015. Ini bermakna status sijil
nikah yang dimaksudkan di dalam surat tersebut yang masih lagi di dalam
proses telah keluarkan dengan sewajarnya pada 3.2.2015.
Isu Ketiga: Sama ada Fakta Yang Diberi Pengiktirafan Kehakiman Boleh Dicabar
Kewibawaannya
[25] Walaupun pada asalnya fakta yang diberi pengiktirafan kehakiman tidak perlu
dibuktikan, namun, Mahkamah tidak boleh menganggap bahawa ianya adalah
rujukan muktamad oleh Mahkamah sekiranya terdapat dakwaan bahawa ianya
tidak tepat. Oleh kerana Responden telah menimbulkan keraguan terhadap
keterangan dokumentar tersebut dengan mendakwa bahawa Surat Asal tersebut
adalah tidak tepat, Mahkamah melihat bahawa Surat Asal tersebut bukanlah
bukti muktamad yang boleh berfungsi sebagai suatu rekod perkahwinan antara
Pemohon dan Responden yang perlu diberi pengiktirafan kehakiman. Akan
tetapi, bagi membolehkan Mahkamah “lari” dari peruntukan Seksyen 43
Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 serta tidak
mengiktiraf Surat Asal tersebut, pihak yang mengatakan Surat Asal tersebut
adalah tidak tepat perlulah mendatangkan bukti. Dalam kes ini, Responden
adalah orang yang menanggung beban pembuktian tentang perkara tersebut.
Mahkamah merujuk kepada hadis Rasulullah s.a.w sebagaimana yang juga
dimuatkan oleh al-Tirmidhi dalam Sunan al-Tirmidhi, kitab al-ahkam ‘an
20
Rasulullah s.a.w, bab ma ja’a fi ‘anna bayyinah ‘ala mudda’i wa al-yamin ‘ala
mudda’a ‘alayh, hlm. 316 seperti berikut:
البينة على المدعي واليمين على من انكر
Maksudnya:
Keterangan tertanggung ke atas pihak yang mendakwa, manakala
yamin (sumpah penafian) tertanggung ke atas orang yang
didakwa.
[26] Penentuan beban pembuktian boleh ditentukan dengan memahami takrif
mudda’i dan al-mudda’a alayh yang disebut dalam hadis berkenaan. Abdul Karim
Zaydan dalam kitabnya Nizam al-Qada’ fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah, hlm. 102-
103 menjelaskan bahawa:
ا. املدعى من يدعى أمرا باطنا خفيا، واملدعى عليه من يدعى أمرا ظاهرا جليا.
من كان قوله خالف اصل أو عرف، واملدعى عليه من كان قوله على أصل او عرفب. املدعى
Bermaksud:
Mudda’i ialah seseorang yang mendakwa sesuatu perkara yang
tersembunyi, al-mudda’a alayh pula adalah orang yang mendakwa
sesuatu yang zahir lagi jelas.
Mudda’i ialah orang yang kata-katanya menyalahi asal atau adat
kebiasaan (urf) manakala al-mudda’a alayh pula orang yang kata-
katanya menepati asal atau urf.
21
[27] Takrif ini adalah selari dengan takrif yang diberikan oleh Mazhab Syafie,
sebagaimana yang disebut di dalam kitab Mughni Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani
Alfaz al-Manhaj, jil. 6, hlm. 421 yang menyatakan:
واألظهر أن املدعى من خيالف قوله الظاهر، واملدعى عليه من يوفقه
Bermaksud:
Mengikut pendapat al-azhar, mudda’i ialah orang yang kata-
katanya menyalahi zahir sesuatu perkara, manakala orang yang
didakwa (mudda’a alayh) ialah orang yang kata-katanya menepati
zahir sesuatu perkara.
[28] Mengikut kaedah fiqh adalah seperti yang dinyatakan oleh al-Zarqa’ dalam
kitabnya Sharh al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Dimashq, Cetakan Dar al-Qalam, hlm.
117 dan Abdul Wahab Qallaf dalam kitabnya al-Asbah Wa al-Nadhair fi Qawaid
Wa Furu’ie al-Syafie, juz. 1, Beirut terbitan Dar al-Kitab al-Ilmiah, hlm. 51
menyatakan bahawa asal atau zahir sesuatu itu tiada. Ia adalah seperti berikut:
األصل العدم أو األصل يف األمور العارضة العدم
Bermaksud:
Asal itu tidak ada atau asal pada perkara yang baru muncul atau
yang mendatang itu tidak ada
[29] Oleh kerana asal kepada sesuatu atau yang mendatang itu tiada maka secara
zahirnya Surat Asal tersebut pada asalnya adalah sahih dan Responden
hendaklah membuktikan bahawa ia adalah palsu berdasarkan kepada salah satu
daripada lima kaedah fiqh telah disepakati oleh ulama iaitu:
22
العدم األصل
Bermaksud:
Asal sesuatu itu tiada.
[30] Hal ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh sepertimana yang dinyatakan dalam
al-Zarqa’ dalam kitabnya Sharh al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Dimashq, Cetakan Dar
al-Qalam, hlm. 87 dan Abdul Wahab Qallaf dalam kitabnya al-Asbah Wa al-
Nadhair Fi Qawaid Wa Furu’ie al-Syafie, juz. 1, Cetakan Dar al-Kitab al-Ilmiah,
hlm. 51 yang menjelaskan:
األصل بقاء ما كان على ما كان
Bermaksud:
Asal sesuatu itu kekal keadaannya sebagaimana yang asal.
[31] Oleh kerana Responden telah gagal mematuhi prinsip di atas, kesimpulan yang
dicapai adalah Surat Asal tersebut adalah suatu dokumen yang sah dan berkuat
kuasa yang telah dikeluarkan mengikut lunas undang-undang oleh Ketua
Pendaftar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah dengan sendiri menunjukkan
bahawa pernikahan antara Pemohon dan Responden adalah suatu pernikahan
yang tertakluk kepada peruntukan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
(Sabah) 1992. Oleh itu, apabila perkahwinan antara Pemohon dan Responden
telah di selesaikan di Negeri Sabah maka kesemua negeri lain adalah terhalang
dan tidak mempunyai hak atau kuasa untuk mengambil sebarang tindakan yang
sama bagi maksud mendaftarkan pernikahan Pemohon dan Responden
tersebut. Apa-apa tindakan oleh mana-mana negeri selepas Surat Asal
dikeluarkan bukan sahaja bertentangan dengan peruntukan undang-undang
23
yang berkuatkuasa di sana malah ia juga bertentangan dengan Perlembagaan
Persekutuan.
Isu Keempat: Bidang Kuasa Memperbetulkan Butiran di dalam Surat Asal Dari Daftar
Perkahwinan Luar Negara Yang Telah disahkan oleh di Jabatan Hal Ehwal Agama
Islam Sabah
[32] Responden mendakwa bahawa akad pernikahan tersebut telah dijalankan di
XXX, Jalan Jelatek 54200 Kuala Lumpur pada 3.9.2013 dan akad pernikahan
telah dilaksanakan oleh Jurunikah yang bernama Imam MN (No. K/P: XXX)
setelah bapa Responden yang bernama N@MND (No. K/P: XXX) yang hadir
pada majlis nikah tersebut telah mewakalahkan tanggungjawab wali kepada
Jurunikah. Dua (2) orang saksi yang menjadi saksi pernikahan tersebut bernama
ZB (No. K/P: XXX) dan ID (No. K/P: XXX). Namun, butiran yang terdapat di
dalam Surat Asal tersebut menunjukkan bahawa tarikh pernikahan telah
berlangsung pada 27.8.2008 di Wilayah Phatthalung, Thailand yang mana akad
nikah telah dijalankan oleh Mr AS dan disaksikan oleh dua (2) orang saksi yang
bernama Mr YT dan Mr YM.
[33] Sekiranya Responden mendakwa bahawa Surat Asal tersebut mengandungi
kecacatan mengenai butiran pernikahan Pemohon dan Responden maka
tindakan susulan yang sewajarnya boleh dibuat oleh Responden atau Pemohon
kepada Ketua Pendaftar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
mengikut peruntukan dan tatacara yang dibenarkan di bawah Enakmen Undang-
Undang Keluarga Islam (Sabah) 1992 atau apa-apa kaedah yang dibuat di
bawah Seksyen 42 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Sabah) 1992.
Membetulkan kesilapan.
(1) Jika Pendaftar berpuas hati melalui bertulis atau selainnya
bahawa sesuatu catatan berhubung dengan sesuatu
perkahwinan adalah silap pada bentuk atau isinya, dia
boleh, di hadapan orang yang bernikah itu, jika mereka
24
tidak ada, di hadapan dua orang saksi yang boleh
dipercayai, membetulkan kesilapan itu dengan memotong
catatan itu dan membuat catatan yang betul dan dia
hendaklah selepas itu mengarahkan supaya catatan dalam
Daftar Perkahwinan tempatan dibetulkan mengikut cara
yang sama.
(2) Pendaftar hendaklah menandatangani dan mentarikhkan
pembetulan yang dibuat dalam surat perakuan nikah itu dan
dalam Daftar Perkahwinan tempatan itu.
(3) Tiap-tiap catatan yang dibuat di bawah subseksyen (1)
hendaklah diakusaksi oleh saksi-saksi yang di hadapannya
catatan itu telah dibuat.
(4) Suatu salinan pembetulan itu yang diperakui hendaklah dihantar
dengan segera kepada Ketua Pendaftar supaya suatu
pembetulan yang serupa dibuat dalam Daftar Perkahwinannya.
[34] Oleh itu, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor tidak mempunyai bidang
kuasa untuk mendengar apa-apa perkara berkaitan dengan Surat Asal tersebut
kerana ia bukan sesuatu yang berpunca dari Negeri Selangor. Mahkamah ini
tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan induk Responden
dan tidak mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa pindaan atau pembetulan
kepada apa jua perkara yang berkaitan dengan Surat Asal tersebut. Mahkamah
juga tidak mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa perintah bagi
membatalkan Surat Asal tersebut. Muhammad Salam Madkur di dalam kitabnya
berjudul al-Qada’ Fi al-Islam, hlm. 54 di mana beliau menyebut ;
25
هو أن خيصص ويل األمر القاضى عند تقليده القضاء أو بعد ذلك بنوع معني من
الشخصية, أو املدىن, أوالتجارى, أو اجلنائى إىل غري ذلك, فال يصح القضايا , كاألحوال
له أن ينظر ىف نوع آخر غريه
Maksud:
“Bidangkuasa mengikut jenis kes ialah pemerintah
mengkhususkan bidangkuasa ke atas seseorang Hakim semasa
perlantikan Hakim itu atau selepas perlantikan dibuat dengan
menentukan bahawa Hakim itu mempunyai bidangkuasa tertentu
sahaja seperti diberi bidangkuasa bagi mengendalikan undang-
undang diri, undang-undang sivil, undang-undang perdagangan
atau bagi undang-undang jenayah dan seumpamanya; oleh yang
demikian Hakim itu hanya berbidangkuasa bagi kes-kes yang
dianya diberi bidangkuasa sahaja dan Hakim itu tidak boleh
melaksanakan bidangkuasa lain yang tidak diberi kepadanya ”
[35] Selain itu, Imam Al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyah, hlm. 72
menyatakan;
على ما تضمنه وإن كانت واليته خاصة فهى منعقدة على خصوصها ومقصورة النظر
Maksud:
“Jika bidang kuasa yang diberikan kepada Qadhi itu khusus maka
ia terikat kepada bidang kuasanya sahaja”
[36] Manakala mengikut Imam As-Syirazi di dalam kitabnya al-Muhazzab Fi Fiqh al-
Imam al-Syafie, jilid 2, hlm. 293 ada menyebutkan sepertimana berikut ;
26
عمله ، يف حكم يف غري و ال جيوز أن يقضي و ال يوىل وال يسمع البية وال يكتب قاضيا
مل يعتد به ، ألنه ال والية له يف غري عمله شيئا من ذلك يف غري عمله فإن فعل
Maksud:
“Tidak boleh seorang kadhi memutuskan satu-satu hukuman atau
mendengar keterangan yang bukan dibawah bidang kuasanya,
jika ia mendengar atau membicarakan sesuatu kes di luar bidang
kuasanya, maka ia adalah terbatal. Ini adalah kerana kadhi
tidak ada kuasa mengendalikan kes yang bukan dibawah bidang
kuasanya”
[37] Imam Al- Bahuti pula ada menyebut di dalam kitabnya Kashaf Al-Qana’ ( كشاف
; Jilid 6, hlm. 368 sepertimana kata beliau ,(القناع
وال حيكم القاضي يف غري حمله وال يسمع بينة يف غري عمله, فان فعل لغي ذلك, النه
مليصادف والية
Maksud:
“Seorang Hakim tidak boleh memutuskan apa-apa hukuman
yang bukan di bawah bidangkuasanya, ia juga tidak boleh
mendengar apa-apa keterangan (baiyyinah) yang bukan di
bawah tugasnya, jika ia melakukan perkara tersebut maka
hukuman dan baiyyinah yang didengar adalah tidak terpakai. Ini
adalah disebabkan ia tidak ada mempunyai bidang kuasa di atas
perkara tersebut”.
27
Keputusan
KES ini diputuskan pada hari ini dengan kehadiran Pemohon bersama Peguam
Syarienya dan kehadiran Responden bersama Peguam Syarienya. SETELAH
MENELITI semua kertas kausa, keterangan dan hujahan, MAKA ADALAH
DIHAKIMKAN seperti berikut:
(1) Mahkamah meluluskan permohonan ini berdasarkan Seksyen 244 Enakmen
Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
(2) Mahkamah memerintahkan kes Permohonan No.: 10400-012-0188-2017
dibatalkan dan ditutup.