Post on 06-Jun-2015
Kandungan Mukasurat
1. Mukaddimah (Sekapur Sireh)
2. Pengenalan
3. Jenis-jenis keganasan dan kreteria wanita yang kerap di dera
4. Punca-punca atau faktor-faktor menyebabkan keganasan/
Penderaan
5. Kesan dari keganasan terhadap mental dan fizikal
6. Langkah mengatasi
7. Badan-badan yang terlibat dalam perlaksanaan
Undang
8. Pandangan Islam berhubung keganasan
9. Rumusan
10. Statistik berhubung dengan keganasan rumahtangga.
11. Lampiran
Sekalung Budi
Terlebih dahulu, kami mengambil kesempatan ini untuk memanjatkan
setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Illahi kerana dengan izin dan limpah
kurnianya, kumpulan kami dapat menyiapkan segala tugasan yang te0lah
diamanahkan kepada kami dengan jayanya.
Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan
terima kasih di atas segala jasa dan pengorbanan yang telah diberikan oleh
pensyarah kami, Puan Raja Zirwatul Aida binti Raja Ibrahim di atas segala
panduan dan tunjuk ajar kerana tanpa panduan dan tunjuk ajar beliau, kami yakin
tugasan ini tidak dapat disempurnakan sebagaimana yang dikehendaki dan dalam
tempuh yang telah ditetapkan. Walaupun pada peringkat awal pihak kami
menghadapi masaalah untuk mendapatkan kerjasama terutama dari pihak hospital
disebabkan sesetengah maklumat adalah sulit dan kerenah birokrasi,
alhamdulillah ianya dapat di atasi dengan usaha yang keras dan komitmen yang
jitu dari kumpulan kami.
Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak-pihak
yang terlibat, samaada jabatan atau orang perseorangan yang memberikan segala
maklumat yang dikehendaki sehingga kami dapat menyiapkan tugasan ini. Antara
pihak-pihak yang terlibat adalah J0abatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian
Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Pejabat Hal Ehwal
Agama Islam Terengganu (Unit Kekeluargaan), Hospital Kuala Terengganu dan
Biro Bantuan Guaman Terengganu, dengan bantuan dari pihak mereka, maka
kami telah memperolehi segala maklumat yang diperlukan terutama statistik-
statistik yang 0menunjukkan jumlah terkini kes keganasan rumahtangga.
Oleh itu tugasan yang kami sediakan lebih tertumpu kepada keganasan
rumahtangga yang melibatkan penderaan atau keganasan terhadap rumahtangga
yang melibatkan suami atau isteri kerana kumpulan lain telah membuat topik
berhubung dengan penderaan atau keganasan terhadap kanak-kanak. Oleh itu
fokus kami adalah lebih tertumpu kepada keganasan rumahtangga oleh suami
terhadap isteri kerana statistik dan kajian kes kebanyakan adalah diperolehi
berdasarkan keganasan rumahtangga yang berlaku di Negeri Terengganu. Pihak
kami juga membincangkan peranan dan tugas serta tanggungjawab pihak-pihak
yang terlibat di dalam menangani isu keganasan ini untuk menjelaskan keadaan
yang sebenar bagi magsa-mangsa agar dapat memperolehi pertolongan di tempat
yang sewajarnya.
Akhir kata kami berharap segala tugasan yang diberikan kepada kami ini
menepati segala kehendak yang diinginkan oleh puan pensyarah kami. Mudah-
mudahan ianya dapat dimanfaatkan oleh kita semua, insyaallah.
Sekian.
Pengenalan
Keruntuhan akhlaq dan moral dikalangan masyarakat manusia khususnya
muda-mudi adalah di antaranya berpunca dari kepincangan hidup rumahtangga.
Rumahtangga adalah suatu tempat di mana seseorang itu dapat menikmati hidup
dengan penuh selesa, lepas dan bebas dari segala ikatan adat dan protokol.
Rumahtangga juga merupakan tempat untuk melepaskan penat lelah yang dialami
di medan pekerjaan dan untuk mendapat kembali kesegaran badan serta
ketenangan jiwa dan fikiran. Sekiranya rumahtangga yang didiami itu aman dan
bahagia, antara anggotanya saling mengasihi dan hormat menghormati, maka
penghuninya akan lahir sebagai anggota masyarakat yang baik, tetapi sekiranya
rumahtangga yang didiami kucar kacir, antara anggotanya sentiasa bermusuhan,
benci-membenci, hina menghina maka penghuninya akan lahir sebagai satu
anggota masyarakat yang sakit, menghadapi banyak masalah hidup dan akan
lahirlah juga bapa-bapa atau suami yang pemabuk, ganas dan sebagainya dan
mereka yang terlibat ini semua adalah merupakan mangsa atau korban
rumahtangga yang rosak sehingga menjadi gejala-gejala yang akan merosakkan
keharmonian dan ketenteraman masyarakat dan seterunya meruntuhkan negara.
Kes keganasan rumahtangga atau jenayah keganasan yang dilakukan
dalam rumahtangga kian meningkat dan menjadi satu isu sosial yang boleh
membawa kepada keruntuhan masyarakat. Keganasan rumahtangga ini bukanlah
isu persendirian tetapi ia memerlukan kerjasama orang ramai untuk
membendungnya. Justeru masyarakat tidak lagi boleh beranggapan “jangan jaga
tepi kain orang”, sebaliknya perlu cepat bertindak melaporkan kepada pihak
berkuasa jika mengesyaki berlaku keganasan rumahtangga dalam sesebuah
keluarga.
Ramai wanita sanggup didera, dihentak, dihenyak, dicucuh dengan api
semata-mata untuk menjaga air muka. Budaya menjaga air muka perlu dikikis
untuk menghapuskan keganasan rumahtangga. Pengaruh ibu bapa juga menjadi
batu penghalang untuk anak (mangsa keganasan) membuat laporan. Ibu bapa
sering meminta anak bersabar dan memujuk anak dengan kata-kata ini adalah
“Asam garam rumah tangga”. Ramai wanita tidak tahu apa yang mereka alami itu
adalah satu bentuk keganasan rumah tangga terutama yang membabitkan
penderaan mental seperti ugut, menghalau isteri keluar rumah, mengurung isteri
dan perlakuan yang boleh mendatangkan ketakutan kepada isteri.
Keganasan atau “Violence” dalam bahasa Inggeris menurut Kamus Dwi
Bahasa keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud “ Kekerasan, aniaya,
kencang, keras, kejam atau serangan yang keras”. Rumahtangga atau “Domestic”
bermaksud keluarga yang mana dalam konteks ini didefinasikan sebagai satu
kumpulan yang merangkumi 2 atau lebih orang yang mempunyai hubungan
darah, perkahwinana atau pengangkatan. Keluarga juga ditakrifkan sebagai
Institusi Sosial Asas yang mempunyai suatu sistem norma-norma sosial. Norma-
norma ini merupakan peraturan tingkahlaku untuk ahli-ahli keluarga dan ianya
menentukan satu arah dalam keluarga tersebut. Ia terdiri dari suami, isteri, anak
lelaki atau anak perempuan, adik beradik, ibu dan bapa.
Di dalam konteks keganasan rumahtangga mangsa itu terdiri dari isteri
atau suami, bekas isteri atau suaminya, kanak-kanak, orang dewasa tidak
berkeupayaan atau mana-mana anggota lain keluarga. Oleh itu bolehlah dikatakan
Keganasan Rumahtangga ini mengikut tafsiran Seksyen 2 Akta Keganasan
Rumahtangga 1994 (Akta 521) adalah perlakuan mana-mana perbuatan yang
berikut:-
a) Secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan, atau cuba
meletakkan mangsa itu dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal;
b) Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa itu dengan sesuatu
perbuatan yang diketahui atau yang sepatutnya diketahui akan
mengakibatkan kecederaan fizikal;
c) Memaksa mangsa itu dengan perkataan atau ancaman untuk melakukan
apa-apa kelakuan atau perbuatan, berbentuk seksual ataupun selainnya,
yang mangsa itu berhak tidak melakukan;
d) Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa itu; atau
e) Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan
niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan
menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu.
Sebagai satu langkah positif untuk membendung gejala sosial ini, maka
diadakah suatu Undang-undang yang memberi perhatian yang khusus dalam hal-
hal keganasan rumahtangga. Usaha-usaha untuk mengadakan perundangan bagi
membendung masaalah keganasan rumahtangga ini telah bermula selepas
pertengahan tahun 1980an lagi, sehingga menjuruskan kepada mengadakan Akta
Keganasan Rumahtangga 1994.
Akta Keganasan Rumahtangga 1994 telah diluluskan oleh Parlimen pada
19 Mei 1994 dan diwartakan sebagai Undang-undang pada 7 Julai 1994. Akta ini
telah mula berkuatkuasa pada 1 Jun 1996. Pada umumnya Akta Keganasan
Rumahtangga 1994 adalah untuk menjamin kesejahteraan dalam keluarga.
Falsafah disebalik Akta Keganasan Rumahtangga adalah bagi membendung
kecenderungan untuk menggunakan keganasan rumahtangga sebagai alat untuk
menyelesaikan masalah rumahtangga.
Akta ini perlu dilihat sebagai satu “instrumen” untuk mangsa mendapat
perlindungan segera apabila keganasan diperlakukan ke atas dirinya.
Perlindungan mengikut akta ini juga meliputi semua ahli keluarga. Matlamat
utama akta ini adalah untuk membimbing dan tidak menekankan kepada hukuman
malah perlu dilihat sebagai pembaikan keadaan yang memberi perlindungan
kepada mangsa keganasan dan bukan bertujuan untuk runtuhkan sesebuah
rumahtangga. Dengan adanya akta ini ia boleh memberi perlindungan undang-
undang dalam situasi rumahtangga dan perkara-perkara yang bersampingan
dengannya bagi semua masalah yang berkaitan dengan keganasan bagi rakyat
seluruh Malaysia.
Dalam menangani masalah di dalam keluarga, pendekatan berasaskan
kesejahteraan diberikan penekanan utama bagi kesejahteraan sesebuah keluarga
tetapi sekiranya gagal maka undang-undang perlu dibuat bagi membendung
perkara ini walaupun penyelesaian sepenuhnya tidak dapat dilakukan. Mangsa-
mangsa keganasan rumahtangga memerlukan sokongan yang padu untuk
menyelesaikan konflik yang terjadi. Oleh itu, mangsa-mangsa yang mengalami
keganasan ini dikategorikan berada dalam situasi krisis dan mereka memerlukan
sokongan untuk membela diri.
JENIS-JENIS KEGANASAN/PENDERAAN
Jenis-jenis keganasan atau penderaan ini boleh dibahagikan kepada 2 cara iaitu:-
1. Penderaan terhadap mental
Penderaan terhadap mental ini melibatkan ugutan jenayah oleh suami
kepada mangsa iaitu isteri dengan cara ugutan untuk membunuh atau
mencederakan isteri dengan sesuatu yang tajam,dicerai, membawa lari
anak-anak, di herdik dan ditengking dengan menggunakan perkataan kesat
dan lucah, mengugut untuk menyimbah air panas atau asid yang boleh
menyebabkan kecederaan yang mana boleh menyebabkan seseorang
dalam keadaan terlalu takut sehingga mendatangkan fobia di jiwa
seseorang.
2. Penderaan/keganasan fizikal
Penderaan/keganasan yang melibatkan fizikal adalah sebagaimana
berikut:-
i) Ditampar (mata lebam, pipi lebam, gegendang telinga rosak)
ii) Ditendang
iii) Ditoreh/digores dengan benda tajam
iv) Di baling dengan benda keras (mug, kerusi, meja dan lain-lain)
v) Ditumbuk (dada, hidung dengan menggunakan hanger, tongkat,
tali pinggang dan lain-lain)
vi) Di pulas (tangan)
vii) Di pijak
viii) Dipukul (dengan menggunakan besi construction)
ix) Ditolak dengan kasar
x) Dimalukan di khalayak ramai (di mana dikoyakkan pakaian)
FAKTOR-FAKTOR MENYEBABKAN PENDERAAN/KEGANASAN
1. Suami seorang yang panas baran
2. Suami seorang yang pemabuk dan penagih dadah
3. Mempunyai masalah kewangan
4. Suami mengadakan perhubungan dengan perempuan lain (affair)
5. Suami berkahwin lebih daripada satu (berpoligami) menyebabkan
kekurangan punca kewangan dan pergaduhan di antara isteri-isteri boleh
menyebabkan tekanan dan berlaku keganasan.
6. Suami kerap dan suka bertukar-tukar pasangan (habit) yang boleh
menyebabkan pergaduhan antara suami isteri dan mengakibatkan dipukul.
7. Campurtangan dari keluarga kedua belah pihak iaitu mertua/ahli keluarga
menyebabkan suami isteri boleh bergaduh dan berkemungkinan besar
menyebabkan keganasan dan berlaku perceraian.
8. Hubungan seksual di luar batasan disebabkan oleh pengaruh video atau
CD “blue film”.
9. Suami mengalami mati pucuk menyebabkan tekanan kepada suami.
10. Suami terlalu cemburu buta menyebabkan perasaan tidak dapat ditahan
menyebabkan penderaan.
11. Syak wasangka keterlaluan terhadap isteri dengan menuduh isteri
mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
12. Suami memang kaki pukul (samseng) yang menyebabkan keganasan
adalah perkara biasa bagi suami.
13. Suami kadang-kadang dipengaruhi oleh kawan/dicabar oleh kawan-
kawan.
KRITERIA WANITA YANG KERAP DIDERA/DIGANASI
Apabila timbul perbalahan yang kronik dan tidak dapat di atasi suami
mula menuntut hak mereka dan wanita-wanita yang sering didera oleh suami
adalah terdiri dari wanita-wanita sebagai berikut:
1. Wanita-wanita yang mempunyai penghargaan kendiri yang rendah di
mana mereka terlalu mempercayai suami mereka sehingga takut untuk
berterus terang dan meminta pertolongan orang lain.
2. Wanita-wanita yang tiada pendidikan atau berpendidikan rendah.
3. Wanita-wanita yang tidak tegas di mana mereka ini sering menjadi
mangsa penipuan suami dan disebabkan ketidaktegasan mereka.
4. Wanita yang suka menyalahkan diri sendiri di mana setiap perlakuan
suami terhadap mereka, mereka merasakan kesalahan tersebut berpunca
dari diri mereka sendiri.
5. Wanita yang bersikap “Biarlah…….”. Wanita ini sentiasa mengelakkan
diri dari mengambil sebarang tindakan untuk melapurkan kepada pihak
berwajib.
6. Wanita yang suka berleter atau membebel yang mana menyebabkan suami
kadangkala naik marah dan boleh menyebabkan penderaan.
7. Wanita yang kurang/tiada sokongan ahli-ahli keluarga di mana keluarga
merasakan bahawa tindakan suami adalah berpunca dari sikap wanita itu
sendiri.
8. Wanita yang terlalu bergantung kepada suami di mana wanita ini
selalunya tidak bekerja dan menjadi surirumah sepenuh masa
menyebabkan sikap terlalu bergantug kepada suami dari segi makan dan
pakaian menyebabkan mereka terjerat.
9. Wanita yang terlalu bebas dan bersosial tanpa batasan menyebabkan
teguran suami tidak diendahkan boleh menyebabkan penderaan.
KESAN-KESAN YANG DIALAMI TERHADAP PENDERAAN
Apabila berlaku penderaan atau keganasan rumahtangga maka akan
timbulkan konflik antara suami isteri menyebabkan akan berlaku tindakan susulan
dari perbuatan tersebut di mana di antara kesan-kesan yang boleh dinyatakan di
sini ialah:
1. Berlakunya perceraian antara pasangan
Apabila sering didera, wanita-wanita tadi akan mengambil tindakan untuk
mengemukakan permohonan untuk fasakhkan perkahwinan mereka
disebabkan suami yang tidak bertanggungjawab tadi apabila diberi nasihat
atau celek akal oleh orang-orang yang berkenaan.
2. Pasangan akan tinggal berasingan.
Apabila kedua-dua pasangan mula tinggal berasingan maka akan jadilah
porak peranda rumahtangga di mana anak-anak juga turut merasa kesan
dari keadaan ini.
3. Isteri dihalau oleh suami.
Apabila berlaku konflik rumahtangga, wanita tadi kemungkinan dihalau
oleh suami dari rumah menyebabkan mereka terpaksa mengambil
keputusan kembali ke rumah keluarga atau mengambil tindakan lain yang
berkaitan.
4. Isteri cuba bunuh diri.
Sekiranya seorang isteri tiada tempat bergantung samada untuk
perlindungan atau keperluan asas maka ada kemungkinan mereka
mengambil tindakan membunuh diri disebabkan oleh tekanan atau tidak
sanggup didera. Ini memberi impak yang besar kepada institusi keluarga.
5. Tekanan emosi kepada isteri dan anak-anak.
Isteri yang tidak tahan didera menyebabkan mereka terganggu emosi dan
anak-anak juga akan tertekan kerana tidak tahan melihat penderaan yang
berlaku di depan mata dan ini boleh mengakibatkan tekanan jiwa yang
berpanjangan.
6. Isteri meninggalkan suami dan rumahtangga.
Jika berlaku penderaan, isteri menjadi tidak sabar dan cuba sedaya upaya
melarikan diri dari suami dengan meninggalkan rumahtangga dan mencari
alternatif contohnya membuat laporan kepada pihak polis atau pergi
mendapat rawatan ke hospital dan tindakan yang sewajar oleh pihak yang
berwajib atau berkuasa akan diambil oleh mereka.
LANGKAH-LANGKAH YANG BOLEH DIAMBIL OLEH MANGSA JIKA
BERLAKU KEGANASAN RUMAHTANGGA
1. Aduan boleh dibuat oleh mangsa ditempat di mana mangsa atau pengadu
tinggal, tempat di mana keganasan rumahtangga berlaku dan di tempat di
mana mangsa mendapat perlindungan sementara.
2. Membuat pengaduan di di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah, Polis
Di Raja Malaysia, Hospital Kuala Terengganu atau Pejabat Agama Islam
Negeri yang berhampiran.
3. Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah atau Pegawai Polis yang bertugas
bertanggungjawab membawa mangsa ke hospital untuk rawatan dan
kemudian dan kemudian ke Balai Polis berhampiran jika kecederaan
adalah parah.
4. Jika mangsa mendapati akan terus terancam. Pegawai Kebajikan
Masyarakat Daerah atau Pegawai Pendakwa (Pegawai Polis) yang
bertugas akan bantu mangsa memohon Perlindungan Sementara dari
Mahkamah Majistret.
5. Jika mangsa memilih untuk berpindah rumah atau keluar dari rumah
suaminya, perlindungan sementara boleh dipohon dari Jabatan Kebajikan
Masyarakat.
MEREKA YANG DILINDUNGI DI BAWAH AKTA INI.
i) Suami atau pasangannya
ii) Suami atau bekas pasanganya
iii) Kanak-kanak i.e berumur bawah 18 tahun.
iv) Orang dewasa tak berkeupayaan
v) Lain-lain ahli dalam keluarga yang merangkumi: Anak lelaki/perempuan
dewasa, ibu dan bapa, abang atau kakak dan saudara mara. Saudara mara
bermaksud adik-beradik kandung dan juga adik beradik tiri.
ADUAN KEGANASAN
Apabila berlaku sesuatu keganasan rumahtangga, mangsa atau jiran yang
berdekatan hendaklah mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengelakkan
keganasan berterusan berlaku ke atas seseorang individu. Penjaga, saudara mara kepada
mangsa keganasan rumahtangga dan Pegawai Penguatkuasa Polis atau Pegawai
Kebajikan masyarakat bagi pihak seorang kanak-kanak.
KESALAHAN-KESALAHAN YANG DILAKUKAN DALAM KEGANASAN
RUMAHTANGGA
Kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pesalah di dalam keganasan
rumahtangga kebanyakannya adalah kesalahan di bawah Kanun Keseksaan. Antara
kesalahan-kesalahan itu adalah seperti berikut:-
i) Seksyen 323 - Dengan sengaja mendatangkan cedera
ii) Seksyen 342 - Dengan sengaja mendatangkan cedera dengan
menggunakan senjata berbahaya
iii) Seksyen 325 - Dengan sengaja mendatangkan cedera parah
iv) Seksyen 341 – Halangan salah
v) Seksyen 342 - Kurungan salah
vi) Seksyen 352 - Menggunakan kekasaran jenayah
vii) Seksyen 354 - Menggunakan kekasaran jenayah untuk
menjatuhkan maruah mencabul kehormatan)
viii)Seksyen 355 - Menggunakan kekasaran jenayah untuk Mengaibkan
orang.
ix)Seksyen 376 - Rogol
x)Seksyen 426 - Khianat
xi)Seksyen 506 - Ugutan Jenayah
HUKUMAN
i) Seksyen 323 -
Penjara selama tempuh yang boleh sampai setahun atau dengan
denda yang boleh sampai dua ribu ringgit atau kedua-duanya
ii) Seksyen 342 -
Penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun,
atau dengan denda yang boleh sampai 2 Ribu ringgit atau dengan
kedua-duanya sekali
iii) Seksyen 325 -
Penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan boleh
juga dikenakan denda.
iv) Seksyen 341 -
Penjara selama tempoh yang boleh sebulan atau denda yang boleh
sampai seribu ringgit atau kedua-duanya.
v) Seksyen 342 –
Penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun atau denda
yang boleh sampai dua ribu ringgit atau kedua-duanya.
vi) Seksyen 352 -
Penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan atau denda
yang boleh sampai seribu ringgit atau kedua-duanya.
v) Seksyen 354 -
Penjara selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun atau
dengan denda atau dengan sebab atau dengan mana-mana dua
daripada seksaan-seksaan itu.
vi) Seksyen 355 -
Penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan
denda atau dengan kedua-duanya
vii) Seksyen 357 –
Penjara selama tempuh yang boleh sampai setahun atau dengan
denda yang boleh sampai dua ribu ringgit atau dengan kedua-
duanya.
viii) Seksyen 376 -
Penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak
lebih dari dua puluh tahun dan boleh dikenakan sebat.
ix) Seksyen 426 -
Penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan atau dengan
denda atau kedua-duanya
x) Seksyen 506 -
Penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan
denda atau dengan kedua-duanya.
PERANAN JABATAN ATAU AGENSI YANG TERLIBAT
1. JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT
i) Mengambil maklumat dan memfailkan aduan mangsa
ii) Menjalankan siasatan
iii) Mengatur perlindungan sementara untuk mangsa sekiranya perlu
iv) Mendapatkan perintah Mahkamah untuk memberi perlindungan
suami/isteri di rumah Seri Kenangan/Rumah Sejahtera Taman
Bahagia buat sementara waktu
v) Membawa mangsa ke hospital untuk rawatan kecederaan
vi) Bantuan kewangan sekiranya diperlukan
vii) Membantu mangsa penderaan untuk mendapatkan bantuan guaman
sekiranya perlu.
2. POLIS DI RAJA MALAYSIA
i) Memulakan siasatan apabila terdapat aduan individu atau Jabatan
Kebajikan Masyarakat.
a) Pemeriksaan doktor
Tindakan awal mangsa akan dihantar ke hospital untuk mendapat
rawatan. Lapuran akan diberikan kepada Pegawai Penyiasat bagi
tujuan permohonan “Interim Protection Order”. (IPO) daripada
mahkamah.
ii) Menghubungi pihak Kebajikan Masyarakat dengan tujuan
a) Memberi kaunseling kepada mangsa, ahli keluarga dan
penyerang untuk pendamaian.
b) Memberi perlindungan dan tempat tinggal yang selamat jika
diminta oleh mangsa.
iii) Memberi perlindungan kepada mangsa
a) Memperolehi OTI (Order to Investigate)
b) Menghubungi mangsa dari semasa ke semasa
iv) Menghadapkan si penyerang ke Mahkamah walaupun penyerang
sudah diberi kaunseling
3. JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM (UNIT KEKELUARGAAN)
i) Menerima aduan dari mangsa dera
ii) Merujuk kepada unit kaunseling keluarga
iii)Mengadakan sesi kanseling dan memberi khidmat nasihat hak-hak mangsa
dan merujuk kepada hospital atau membuat lapuran polis
iv) Memberi pandangan kepada mangsa berhubung dengan sudut
keagamaan
v) Merujuk kes ke Mahkamah atau Biro Bantuan Guaman sekiranya
mangsa ingin bercerai.
3. HOSPITAL
Apabila seseorang mangsa penderaan dirujukan ke hospital, pihak hospital
akan mengambil tindakan sebagaimana berikut:-
i) Mangsa terus di hantar kepada Unit One Stop Crisis Centre (OSCC) ditubuhkan
sebelum tahun 1993 di Hospital negeri dan daerah bertujuan untuk membantu
mangsa keganasan rumahtangga dan di mana Ketua Jabatan Unit Kemalangan
dan Kecemasan merupakan pegawai yang pengawal bagi unit ini yang
berfungsi selama 24 jam. Mangsa-mangsa yang dihantar ke sini termasuklah
kes-kes rogol, kanak-kanak yang didera dan termasuk apa-apa sahaja perkara
yang melibatkan keganasan rumahtangga yang mengakibatkan kecederaan
pada fizikal dan mental wanita.
ii) Mangsa akan dipemeriksa oleh Pegawai perubatan yang bertugas (Doktor wanita).
Pegawai bertugas akan merujuk jika mangsa memerlukan khidmat kaunseling
dengan segera, membuat lapuran polis, mengambil tindakan undang-undang
iaitu untuk mendapat perintah sementara IPO dengan segera dan lain-lain
berhubung dengan kebajikan dan keperluan mangsa. Sekiranya kes
melibatkan kecederaan yang serius, mangsa akan di masukan ke wad.
iii) Sekiranya mangsa tidak menghadapi kecederaan yang serius, mangsa akan
dibenarkan balik dan jika tindakan akan diambil mangsa dinasihatkan untuk
merujuk kepada badan-badan berkenaan.
4. BIRO BANTUAN GUAMAN
Kebanyakan mangsa penderaan adalah dari rujukan Jabatan Hal Ehwal
Agama Islam yang telah mendapat nasihat dan mahu bercerai, Mangsa di
rujuk ke Biro Bantuan Guaman untuk membolehkan mereka bercerai
sekiranya mereka tidak sanggup lagi untuk tinggal bersuami suami (pendera).
Pegawai Biro akan memastikan mangsa dibantu dari segi perundangan di
mana mangsa-mangsa tersebut akan diwakili semasa perbicaraan di
Mahkamah Syariah dalam tuntutan fasakh atau permohonan cerai.
MAHKAMAH MAGISTRET (SIVIL)
1. Apabila kes di bawa ke Mahkamah oleh Pegawai Penguatkuasa samada dari pihak
Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak Mahkamah boleh mengeluarkan suatu
perlindungan interim kepada mangsa keganasan rumahtangga sementara menunggu
penyiasatan lanjut (Sek 4 (1) Akta Keganasan Rumahtangga 1994)
2. Tujuan perintah tersebut dibuat adalah untuk menghalang sepelaku daripada
menggunakan keganasan rumahtangga terhadap mangsa. Perintah perlindungan Interim
akan berhenti berkuatkuasa setelah penyiasatan selesai.
3. Selain daripada itu Mahkamah boleh menambah kepada perintah itu bahawa
sipelaku tidak boleh menghasut mana-mana orang lain untuk melakukan keganasan
terhadap mangsa
4. Mengeluarkan perintah tambahan di bawah Seksyen 6(1) (A) hingga (f) Akta
Keganasan Rumahtangga 1994:
i) Pemberian hak penghunian eksklusif kepada mangsa
ii) Melarang atau menyekat sipelaku daripada memasuki tempat kediaman,
atau berhubung dengan mangsa
iv) Membenarkan mangsa memasuki kediamannya ditemani pegawai
penguatkuasa untuk mengambil barang kepunyaannya.
v) Menghalang sipelaku daripada membuat perhubungan secara bertulis atau
menalipun mangsa.
vi) Membenarkan mangsa terus menggunakan kenderaan yang biasa
digunakan oleh mangsa sebelum ini.
vii)Memberi apa-apa arahan perlu atau sampingan.
5. Mahkamah boleh menyertakan kuasa menangkap kepada perintah perlindungan
atau perintah perlindungan interim (Seksyen 7 Akta Keganasan Rumahtangga)
6. Perintah menangkap dikuatkuasa oleh pihak Polis
7. Boleh memerintahkan pampasan gantirugi melalui tuntutan sivil berkenaan
kecederaan, kerosakan atau kerugian secara “tort” (Seksyen 10 Akta
Keganasan Rumahtangga).
MAHKAMAH SYARIAH
Kes-kes penderaan apabila berlaku kepada mangsa, Jabatan Hal Ehwal Agama
Islam akan merujuk kes ini kepada Mahkamah Syariah apabila didapati mangsa sudah
tidak sanggup untuk tinggal bersama dengan suaminya. Mangsa boleh pergi secara terus
untuk memfailkan kes ke Mahkamah Syariah untuk tuntutan fasakh atau permohonan
cerai ataupun mangsa boleh memfailkan melalui Biro Bantuan Guaman untuk
dikemukakan ke Mahkamah Syariah.
Apabila mangsa memfailkan sendiri kesnya, Mahkamah akan mengarahkan
mangsa untuk mendapatkan khidmat guaman samada melalui peguam swasta ataupun
melalui Biro Bantuan Guaman yang akan mewakili mangsa-mangsa untuk berguam di
Mahkamah-mahkamah Syariah kerana khidmat bantuan guaman oleh Biro Bantuan
Guaman secara percuma ataupun dengan kos yang mampu dibayar oleh pihak mangsa.
Mangsa-mangsa akan merujuk kes mereka kepada Biro Bantuan Guaman kerana pegawai
Biro akan menjadi peguam yang akan mengendalikan kes tersebut dan akan memanggil
saksi-saksi yang berkenaan untuk pengsabitan cerai.
ALAMAT –ALAMAT JABATAN TERLIBAT (YANG BOLEH DIHUBUNGI
MANGSA)
Memandangkan kes keganasan rumahtangga yang kami buat ini adalah
difokuskan kepada negeri Terengganu maka pihak mangsa bolehlah menghubungi
jabatan-jabatan atau agensi-agensi ini melalui:-
1. JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT
WISMA NEGERI
20201 KUALA TERENGGANU.
2. KETUA SIASATAN JENAYAH
IBU PEJABAT POLIS KONTIJEN TERENGGANU
JALAN SULTAN OMAR
20918 KUALA TERENGGANU.
3. KETUA PENOLONG PESURUHJAYA HAL EHWAL
AGAMA ISLAM TERENGGANU
BAHAGIAN UNDANG-UNDANG KELUARGA
KOMPLEKS SERI IMAN
20616 KUALA TERENGGANU.
4. PENGARAH HOSPITAL
(JABATAN KECEMASAN DAN KEMALANGAN)
HOSPITAL KUALA TERENGGANU
20410 KUALA TERENGGANU.
5. BIRO BANTUAN GUAMAN TERENGGANU
TINGKAT 7, KOMPLEKS MAHKAMAH
JALAN SULTAN MOHAMAD
21100 KUALA TERENGGANU.
6. MAHKAMAH MAGISTRET
KOMPLEKS MAHKAMAH
JALAN SULTAN MOHAMAD
21100 KUALA TERENGGANU
7. MAHKAMAH SYARIAH TERENGGANU
JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH TERENGGANU
KOMPLEK MAHKAMAH SYARIAH
JALAN SULTAN MOHAMAD
21100 KUALA TERENGGANU.
8. RUMAH SEJAHTERA
TAMAN BAHAGIA BUKIT PAYONG
21600 MARANG
TERENGGANU.
PANDANGAN ISLAM BERHUBUNG DENGAN PENDERAAN/KEGANASAN.
Setiap pasangan mahu perkongsian hidupnya aman dan bahagia, tidak seorangpun
ingin menempuh kecelakaan untuk diri dan keluarganya, tetapi apa yang berlaku tidak
semua mereka bahagia, kekecohan dan perceraian tetap berlaku setiap hari walaupun
tidak diingini. Perkara ini berlaku kerana manusia itu bersifat lemah dan tidak tahu
apakah sebenarnya yang mesti ia lakukan untuk kebahagian diri dan keluarganya sendiri
sebaliknya ia sanggup melakukan perkara-perkara yang menzalimi dirinya dan
keluarganya.
Islam adalah agama fitrah, oleh itu asas yang digunakan oleh Islam untuk
mengatur tugas-tugas tersebut adalah berdasarkan fitrah atau tabiat semula jadi.
Sesungguhnya Allah ciptakan sifat semula jadi lelaki dan perempuan itu berbeza, masing-
masing punya keistimewaan tersendiri supaya dapat saling lengkap melengkapi antara
satu sama lain. Kebahagian dan keharmonian rumahangga tidak akan terlaksana kecuali
apabila tertanam sifat hormat menghormati antara suami isteri. Oleh itu antara kewajipan
suami ialah menghormati isterinya, elokkan pergaulan dengannya, mengambil hatinya
dengan memberi hadiah-hadiah yang menyukakannya disamping bersabar di atas sesuatu
kesilapan yang dilakukan olehnya.
Firman Allah Taala dalam surah An-Nisa ayat 19 bermaksud:
“Dan bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik, kemudian jika kamu
tidak menyukai mereka (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai
sesuatu, pada hal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak”.
Di antara tanda kesempurnaan akhlak dan kekuatan iman ialah seseorang ini
berlemah lembut dan bermesra dengan keluarganya. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
“ Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik
akhlaknya dan yang paling terpilih di antara mereka ialah orang yang paling mesra dan
berbaik-baik dengan isterinya.”
“Sesiapa yang mengharamkan sifat lemah-lembut bererti ia menghalang seluruh
kebaikan”.
Memuliakan perempuan adalah petanda kesempurnaan peribadi dan menghina
perempuan adalah pertanda kerendahan dan kecelakaanya. Sabda Rasulullah s.a.w
bermaksud:
“Tidak memuliakan mereka (perempuan) kecuali orang yang mulia dan tidaklah
menghinakan mereka (perempuan) kecuali orang yang hina.”
Dari Mu’awiyah Al-Qusyairie dari bapanya: Sabda Rasulullah s.a.w riwayat Abu Daud
bermaksud:
“Aku bertanya wahai rasulullah apakah hak isteri ke suaminya? Sabda baginda : Berilah
ia makan bila kamu makan dan berilah pakaian bila kamu berpakaian dan janganlah
kamu memukul mukanya dan jangan menghinanya dan jangan memisahkan (kerana
pengajaran) kecuali di dalam rumah juga”.
Keganasan terhadap wanita adalah perkara yang amat tidak dibenarkan oleh
Islam, malah Islam telah memberi mereka kedudukan di dalam masyarakat. Malah
Aishah r.a isteri kepada Rasulullah s.a.w telah meriwayatkan bahawa, nabi tidak pernah
memukul pesuruh atau seorang wanita dan baginda tidak pernah memukul sesiapa
dengan tangan baginda sendiri. Rasulullah s.a.w sememangnya terkenal sebagai seorang
yang mempunyai pekerti mulia dan tidak pernah ada apa-apa riwayat yang baginda
pernah memukul isterinya. Inilah sepatutnya dicontohi oleh setiap suami.
Dalam hubungan ini undang-undang telah memberi penghormatan yang
sewajarnya kepada wanita sebagai isteri dengan menentukan bahawa suami perlu
mengauli (bermu’asyarah) dengan isterinya. Selain dari itu, undang-undang juga
memberi jaminan hak terhadap isteri untuk dilayan secara baik dan saksama oleh
suaminya, tidak dilakukan sebarang perlakuan dan tindakan keras seperti dipukul,
dicedera , dimaki dan sebagainya. Jaminan ini terdapat di dalam seksyen 124 dan 125
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Terengganu di mana seksyen-seksyen tersebut
menyatakan bahawa:
“Seseorang yang menganiaya isterinya atau menipu harta isterinya adalah
melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu
ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.”
Oleh itu isteri diberi hak untuk mendapatkan perintah untuk membubarkan
perkahwinan secara fasakh atas alasan-alasan tertentu seperti di dalam seksyen 49 (1)
enakmen Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam Terengganu 1985.
KESIMPULAN
Dalam menangani masalah rumahtangga, pendekatan yang berasaskan
kesejahteraan keluarga diberi penekanan utama sebelum penyelesaian di mahkamah
dibuat. Undang-undang tidak semestinya dapat membantu mengatasi masalah tetapi ia
dapat membolehkan masyarakat menuju ke arah kehidupan yang lebih sempurna.
Semoga undang-undang yang ada dapat dijadikan sebagai satu pendekatan yang boleh
mengawas, mengawal dan mensejahterakan rumahtangga, ahli-ahli atau keluarga dan
masyarakat.
Secara umumnya undang-undang sahaja tidak berupaya membentuk peribadi
seseorang. Hukuman dari kesalahan lampau juga dilihat tidak dapat merubah sikap
seseorang. Sebagai manusia yang mempunyai pegangan agama, sikap patuh dan taat
kepada ajaran tuhan menjadi aset utama dalam pembentukan peribadi seseorang. Tanpa
keimanan dan ketakwaan kepada tuhan, belum tentu kita akan menjadi insan yang baik.
Penjelasan-penjelasan yang telah dikemukakan sebelum ini jelas membuktikan
bahawa, hak-hak wanita diberi jaminan sewajarnya dalam undang-undang keluarga
Islam. Bahkan dapat dikatakan bahawa Undang-undang Keluarga Islam mempunyai
pandangan yang lebih jelas, begitu bersimpati dengan wanita selaras dengan kedudukan
wanita yang mempunyai status yang tinggi dan terhormat di dalam Islam.
Peruntukan dan perlindungan yang diadakan itu adalah untuk mempastikan hak
wanita sebagai anak, isteri, ibu dan janda atau balu dijamin dan dilaksanakan seperti yang
dituntut di dalam Islam. Kejayaan terhadap kehendak undang-undang seperti mana yang
dinyatakan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan bergantung kepada sejauh mana pihk-
pihak terlibat dapat memberi kerjasama dengan ikhlas dan sewajarnya.
PANDANGAN KAMI TENTANG KES KEGANASAN DAN KENAPA
PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG DI BAWAH AKTA KEGANASAN
RUMAHTANGGA SEOLAH-OLAH TIDAK BERKESAN:
Setelah kumpulan kami mengadakan kajian tentang keganasan rumah tangga
berdasarkan statistik yang dikemukan oleh pihak Jabatan Agama Islam Terengganu,
Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Negeri Terengganu dan temubual kami dengan pegawai-pegawai yang terlibat,
kami dapati bahawa kebanyakan kes-kes yang melibatkan keganasan rumahtangga
selalunya para-para isteri atau anak akan menarik balik kes ini disebabkan beberapa
faktor. Di antaranya ialah:
i) Para isteri tidak mahu suaminya diambil tindakan mahkamah.
ii) Isteri sudah berbaik dengan suami
iii) Merasakan jika tindakan ke atas suami diambil, takut anak-anak akan
merasakan akibatnya. Anak-anak akan terbiar dan tiada tempat pergantungan
hidup.
iv) Lebih rela isteri diperlakukan oleh suaminya daripada mengambil tindakan
mahkamah.
v) Lapuran hanya dibuat untuk menakut-nakutkan suami sahaja tidak sampai
kepada kes-kes dibawa ke mahkamah
Oleh yang demikian, adalah sesuatu perkara yang agak sukar untuk melaksanakan
Akta Keganasan Rumahtangga ini dengan jayanya sekiranya para isteri bertindak
sedemikian. Pegawai Polis sendiri mengatakan bahawa mereka sendiri merasa agak
kecewa apabila siasatan kes dibuat secara terperinci kemudian pihak isteri datang
semula ke balai untuk menarik balik kes tersebut.
KAJIAN KES:
Kes 1
(Jabatan Kebajikan Masyarakat)
Nama : Mohon dirahsiakan demi untuk keselamatan kerana masih mendapat
perlindungan dari Jabatan Kebajikan kerana belum mendapat IPO. Suami
sedang mencari tempat kediaman mangsa. Mangsa berasa takut kerana suami
mempunyai senjata api kerana bertugas sebagai anggota keselamatan negara.
Mangsa: Wanita Melayu berusia lebih kurang 48 tahun
Pekerjaan: Berniaga kedai makan /Surirumah
Punca Penderaan : Suami cemburu buta dan merasakan isteri ada hubungan dengan
orang lain.
Cara Penderaan : Di sepak di bahagian muka, di terajang sehingga tidak boleh bangun
selama 1 minggu, diugut untuk disimbah asid, Kepala sering dicuruh dengan lauk pauk
yang dihidangkan seperti sup, gulai dan sebagainya, disuruh tidur diluar rumah dan yang
paling mengerunkan mangsa adalah beliau diperlakukan seperti haiwan kerana suami
telah kencing di atas kepala mangsa tanpa rasa belas kasihan.
Mangsa telah berkahwin dengan suami lebih kurang 4 tahun di Thailand dan
pengesahan tidak dibuat disebab suami beliau takut dikenakan tindakan disiplin
disebabkan mempunyai ramai isteri. Dalam tempuh awal perkahwinan, tiada apa-apa
berlaku tetapi setalah mangsa mendapat kemalangan dan berjaya mendapat tuntutan
insuran, beliau telah membuat keputusan untuk membuka kedai makan. Selepas mangsa
membuka kedai makan, suami menjadi semakin cemburu. Sebelum itu mangsa beritahu
bahawa beliau sering ditampar tetapi tidaklah menjejaskan dirinya. Suami adalah seorang
peminum, tidak sembahyang, tidak berpuasa, hisap ganja dan mempunyai 3 orang isteri
termasuk mangsa. Mangsa adalah isteri yang ketiga.
Suami memberi kebenaran mangsa untuk membuka kedai makan tetapi marah
jika mangsa melayan pelanggan kerana setelah kedai ditutup mangsa akan didera dengan
begitu kejam sekali. Disebabkan tidak dapat menanggung siksa selama hampir satu
tahun, mangsa telah cuba untuk melarikan diri tetapi tidak berjaya tetapi akhirnya mangsa
berjaya melarikan diri dan mendapat perlindungan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat
dan ditempatkan di rumah perlindungan wanita. Mangsa masih lagi merasa fobia kerana
bimbang suami dapat mengesan di mana mangsa berada. Mangsa baru sahaja
ditempatkan di rumah perlindungan selama 3 hari dan masih menunggu perintah interim.
Menurut mangsa sebaik sahaja beliau mendapat perintah interim, beliau akan keluar dari
Terengganu dan akan cuba memohon untuk memfasakhkan perkahwinan beliau. Beliau
benar-benar berharap agar tiada lagi surirumah yang mengalami nasib sebagaimana
beliau alami.
Kes 2.
(Jabatan Kebajikan Masyarakat)
Nama : Di rahsiakan
Umur : 19 tahun
Status : Berkahwin
Suami : Nama di rahsiakan
Pekerjaan : Kilang
Mangsa telah berkahwin pada 1/10/2004 di Pejabat Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk
orang Islam di daerah Dungun Terengganu dan terus mengikut suaminya ke Puncak
Alam, Shah Alam, Selangor. Mangsa mendakwa semenjak berkahwin, beliau telah
dikurang dalam rumah serta tidak dibenarkan berkawan dengan jiran-jiran. Mangsa selalu
dimarahi dan menjadi takut pada suaminya. Mangsa juga mendakwa bahawa suaminya
mengambil duit, rantai leher dan mengugut akan memukul mangsa. Suami juga membuat
ugutan, ancaman akan dipukul. Oleh kerana tidak tahan dengan kerenah suaminya
mangsa telah melarikan diri dengan membuat satu laporan polis dengan tujuan
mengambil tindakan selanjutnya. Mangsa merayu agar dirinya diberi perlindungan dari
sikap suaminya yang tidak bertanggungjawab. Mangsa telah mengambil keputusan dan
membuat aduan ke Pejabat Pendaftaran Perkahwinan Daerah Dungun, Terengganu.
Mangsa memerlukan perlindungan sementara bagi melindungi dirinya dari
diganggu, diugut dan diancam dari segi fizikal mahupun emosi oleh suaminya sementara
menunggu proses dan tindakan seterusnya. Demi keselamatan mangsa serta menunggu
proses tertentu maka perlu diberi perlindungan sementara di bawah Akta Keganasan
Rumahtangga 1994.
Kes 3
(Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu)
Nama : Rahsia
Usia : 20 tahun
Pekerjaan : Surirumah
Suami : 29 tahun
Pekerjaan : Nelayan.
Kahwin : 30/5/2003
Anak : Tiada
Semasa mangsa berkahwin dengan suaminya, suami sebelum ini telahpun
berkahwin dan bercerai. Perkahwinan kedua bagi suami dan pertama bagi mangsa.
Mangsa selalu bergaduh dan suami sering mengugut dan mencengkik leher mangsa
menyebabkan tekanan kepada mangsa sehingga menyebabkan keguguran setelah dipukul.
Mangsa juga hampir mendapat skizofrenia. Mangsa tidak tahu bagaimanakah untuk
mengatasi masalah tersebut. Mangsa telah pergi ke hospital dan mendapat rawatan
dengan cara melarikan diri dari rumah mertua dan balik ke rumah sendiri dan mangsa
dinasihatkan untuk membuat laporan polis. Mangsa sebelum ini pernah cuba berunding
dengan keluarga suami termasuk emak dan ayah suami supaya dapat menasihati
suaminya tetapi suami tetap tidak berubah. Kes ini telah dirujukan ke Jabatan Agama
Islam Terengganu dan apabila sesi kaunseling suami tidak hadir. Mangsa hadir bersama
kedua ibubapanya. Mangsa memohon untuk mendapatkan perceraian dan Jabatan
Agama Islam Terengganu telah merujuk kes ini ke Mahkamah Syariah.