Post on 09-Feb-2021
Jabatan Kajian Politik Nasional & Antarabangsa, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
6 DISEMBER
2 0 1 9 9 Rabi’ulakhir 1441H
Peningkatan Jenayah Membabitkan “Pelancong”
yang Hilang Oleh : Muna ‘Adila Binti Che Rime (Felow Kluster Pentadbiran, Demokrasi & Perlembagaan)
Ringkasan Warganegara asing yang masuk ke Malaysia atas kapasiti pelancong dikhuatiri telah memanipulasi kemudahan visa yang ditawarkan kerajaan untuk bermastautin di Malaysia. Kemasukan warganegara asing yang menetap secara haram di Malaysia bukan sahaja akan menjejaskan kedaulatan negara, malah kes-kes terkini menunjukkan penglibatan mereka dalam jenayah-jenayah yang menjejaskan ketenteraman awam seperti sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri dan sindiket penipuan internet. Dalam keadaan begitu banyak jenayah dan sindiket yang masih tidak dapat diselesaikan, kerajaan perlu membuat keputusan tegas dengan menarik balik begitu banyak kemudahan-kemudahan visa yang telah diberikan kepada warganegara China khususnya.
Laporan Audit yang Mengejutkan
Laporan Ketua Audit Negara 2018 mendedahkan bahawa 76,258 orang pelancong
asing dari China dan 41,243 dari India tidak keluar dari Malaysia. Tahun ini pula,
terdapat seramai 6,101 orang telah melakukan kesalahan tinggal di negara ini
melebihi tempoh pas atau permit yang dikeluarkan iaitu satu kesalahan di bawah
Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
2
Jabatan Kajian Politik Nasional & Antarabangsa, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Paling tinggi dalam senarai adalah warganegara Bangladesh seramai 707 orang,
India seramai 409 orang dan China seramai 165 orang.
Warganegara asing yang masuk ke Malaysia atas kapasiti pelancong ini dikhuatiri
telah memanipulasi kemudahan visa yang ditawarkan kerajaan untuk bermastautin
di Malaysia. Hal ini kerana laporan audit yang sama juga menunjukkan wujud
kelemahan dalaman yang serius dalam pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran
Pelancong Elektronik (eNTRI) dan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) ketika
proses di pintu masuk pelancong.
Kemasukan warganegara asing yang menetap secara haram di Malaysia bukan
sahaja akan menjejaskan kedaulatan negara, malah kes-kes terkini menunjukkan
penglibatan mereka dalam jenayah-jenayah yang menjejaskan ketenteraman awam.
Manipulasi Kemudahan Visa yang Ditawarkan
Pada waktu ini, pelancong dari negara China telah diberi pelbagai kemudahan untuk
melawat Malaysia. Berbanding dengan rakyat negara lain yang mahu datang ke
Malaysia, sekurang-kurangnya terdapat empat jenis kemudahan visa yang
ditawarkan khusus kepada rakyat negara China. Antara kemudahan yang diberikan
termasuklah Program Pengecualian Visa (eNTRI), Visa Semasa Ketibaan (VOA),
Visa dengan Kemasukan Berulang Kali (MEV) dan Permohonan Visa Atas Talian
(eVisa).
Jika dilihat kepada semua kemudahan visa yang diberikan kepada pelancong dari
negara China ini, tidak hairanlah mereka boleh keluar dan masuk ke dalam Malaysia
dengan begitu mudah sekali.
Bahkan, melalui program eNTRI, pengecualian visa diberikan bagi tempoh
keberadaan 15 hari di Malaysia. Pendaftaran hanya dilakukan secara atas talian dan
tiada kelulusan diperlukan. Pelancong yang menggunakan kemudahan eNTRI juga
boleh masuk ke Malaysia melalui 15 pintu masuk seluruh negara melibatkan
sembilan pintu masuk udara dan enam pintu masuk darat. Kerajaan telah membuat
3
Jabatan Kajian Politik Nasional & Antarabangsa, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
keputusan untuk melanjutkan lagi kemudahan eNTRI ini sehingga 31 Disember
2019.
Seterusnya, Visa Semasa Ketibaan (VOA) memberi keistimewaan kepada
pelancong negara China dan India yang memasuki Malaysia melalui Indonesia,
Singapura, Brunei dan Thailand untuk mendapatkan visa di pintu masuk semasa
ketibaan, tanpa perlu memohon terlebih dahulu untuk masuk ke Malaysia.
VOA yang asalnya diperkenalkan pada tahun 2002 (sebelum dimansuhkan pada
tahun 2010), telah diperkenalkan semula pada tahun 2013, bagi membenarkan
wargenegara asing mendapatkan visa di pintu masuk negara untuk tujuan sosial
seperti melancong, menghadiri seminar, mesyuarat dan lain-lain. Bermula 15 Julai
2019, enam lagi pintu masuk tambahan turut dibenarkan untuk mengeluarkan VOA.
Rakyat negara China yang ingin masuk ke Malaysia terutamanya untuk tujuan
perniagaan pula boleh memohon Visa dengan Kemasukan Berulangkali (MEV).
Pemegang visa MEV ini boleh keluar masuk Malaysia dengan bebas untuk tempoh
maksimum satu hingga lima tahun dengan sekali permohonan sahaja. Tempoh
keberadaan di Malaysia pula adalah tidak melebihi 30 hari menjadikan pemegang
visa ini mempunyai ruang untuk melakukan pelbagai aktiviti di sini dalam tempoh
yang lama.
Permohonan Visa Atas Talian (eVisa) pula membolehkan pelancong dari negara
China dan 10 buah negara lain memperoleh visa dalam tempoh 48 jam waktu
bekerja untuk tempoh keberadaan selama 30 hari di Malaysia.
Semua visa yang ditawarkan kerajaan kepada pelancong China ini dilihat terlampau
longgar sehingga membuka ruang untuk manipulasi bagi tujuan bermastautin di
negara ini. Dengan menggunakan “tiket” sebagai pelancong, kedaulatan negara
terancam dengan kebanjiran warganegara asing yang kemudiannya terlibat dengan
pelbagai jenis jenayah di Malaysia.
4
Jabatan Kajian Politik Nasional & Antarabangsa, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Jenayah yang Melibatkan “Pelancong” yang Hilang
Pelancong asing yang tinggal melebihi tempoh masa yang dibenarkan mengikut
sesuatu Pas atau Permit yang dikeluarkan kepadanya adalah dikategorikan sebagai
Pendatang Tanpa Izin (PATI).
Keselamatan negara terancam dengan jenayah-jenayah yang dilakukan oleh PATI
termasuklah yang melibatkan sindiket penjualan kad pengenalan, pemerdagangan
manusia, sindiket judi atas talian, sindiket jual emas palsu dalam talian,
penyeludupan dadah sehinggalah kepada sindiket pelacuran di premis-premis
maksiat.
Dalam hal ini juga, umum mengetahui bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah
mendedahkan wujudnya sindiket mendapatkan dokumen perjalanan (pasport) dan
dokumen pengenalan diri (MyKad) secara fraud. Dalam operasi yang dijalankan,
dikatakan sejumlah 20 individu termasuklah pegawai Jabatan Pendaftaran Negara
(JPN) Pulau Pinang, ejen, orang tengah, penganjur dan pemilik kad pengenalan, sijil
lahir serta pasport Malaysia secara fraud telah ditahan.
Seorang ahli perniagaan China telah mengaku membeli MyKad dan passport
Malaysia dengan harga RM400,000.00. Sindiket ini juga dipercayai masih belum
tumpas sepenuhnya memandangkan ia membabitkan ramai kakitangan kerajaan
yang berjawatan tinggi.
Baru-baru ini, tangkapan 680 warganegara China di Cyberjaya yang disyaki terbabit
dengan sindiket penipuan internet pula telah menggemparkan negara. Tidak
hairanlah begitu banyak kes-kes “scammer” seperti Macau Scammer, Love
Scammer dan tawaran pinjaman yang tidak wujud berleluasa di Malaysia sejak
akhir-akhir ini.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi tempoh 2018 sehingga Mei
2019, sebanyak 8,489 kes “scammer” telah dilaporkan dengan nilai kerugian yang
direkodkan sebanyak RM410.68 juta.
5
Jabatan Kajian Politik Nasional & Antarabangsa, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Laporan yang menyeluruh perlu dikeluarkan oleh kerajaan untuk menjelaskan
bagaimana sindiket yang begitu besar boleh beroperasi di Malaysia. Persoalan-
persoalan seperti bagaimanakah warganegara China ini boleh masuk, berkumpul
dan kemudiannya menjadikan Cyberjaya sebagai pusat operasi jenayah perlu
dijelaskan oleh kerajaan. Rakyat mahu tahu sama ada kemudahan-kemudahan visa
yang dikeluarkan kepada rakyat Negara China ini telah disalah guna untuk tujuan
jenayah.
Kesimpulan
Semua kemudahan visa ini dikatakan telah diperkenalkan bagi tujuan menggalakkan
lebih ramai pelancong asing masuk ke Malaysia terutamanya bersempena dengan
Tahun Melawat Malaysia 2020 yang mensasarkan pelancong seramai 30 juta orang.
Namun, keselamatan negara tidak wajar digadaikan demi keuntungan yang
disasarkan daripada kedatangan pelancong asing. Tambahan pula, kerajaan juga
terpaksa menanggung kos yang besar bagi penyediaan makan dan minum tahanan
depot dan kos-kos mengurus yang lain.
Kerajaan perlu membuat keputusan tegas dengan menarik balik begitu banyak
kemudahan-kemudahan visa yang telah diberikan kepada warganegara China
khususnya dalam keadaan begitu banyak jenayah dan sindiket yang masih tidak
dapat diselesaikan. Strategi untuk mencari pelancong-pelancong dari negara China
yang “hilang” ini juga perlu diperkemaskan dan perlu dimasukkan dalam Pelan
Holistik Penguatkuasaan PATI yang masih lagi dalam perangkaan.